Tuesday, January 21, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 43 ( Harta Pusaka , Hukum Berdua-duaan, Tegur Menegur, Membuat Pelaburan )

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 43 adalah menjelaskan persoalan harta pusaka , hukum berdua-duaan, sifat tegur menegur, membuat pelaburan di dalam Islam.

211. Soalan : Ustaz, saya perlu bantuan nasihat ustaz utk menyelesaikan masalah pembahagian harta pusaka mengikut faraid.isteri saya baru meninngal dan telah meninggalkan simpanan kwsp RM20,000.00 .Arwah meninggalkan 2orang anak lelaki dan kedua ibu bapa yang masih hidup.
Macam mana cara saya nak membahagi dan mengira harta tersebut mengikut faraid?

Jawapan : 


Apabila isteri meninggal dunia meninggalkan dan meninggalkan wang berjumlah RM 20,000.00

1. Suami : mendapat = 1/4 x 20,000.00 = RM 5,000.00

2. Bapa mendapat = 1/6 x 20,000.00 = RM 3333.33

3. Ibu mendapat = 1/6 x 20,000.00 = RM 3333.33

4. Anak lelaki 2 orang setiap seorang mendapat bahagian = (20,000.00 - 5000.00 - 6,666.66 ) x 1/2 = RM 4,166.67..

212. Soalan : Apakah hukum berdua-duaan dalam Islam dan berjumpa berduaan sahaja ?
sebagai sahabat bagaimana cara kita untuk menegur rakan yg melakukan perbuatan tersebut ?
Mohon penjelasan.

Jawapan : 

Allah SWT melarang lelaki dan wanita berdua-duaan tanpa mahram kerana perbuatan tersebut adalah menghampiri zina. Allah SWT berfirman maksudnya : “Jangan kamu menghampiri perzinaan kerana sesungguhnya zina adalah perbuatan yang kotor dan cara yang sangat tidak baik.” (Surah al-Isra' ayat 32)

Islam apabila mengharamkan sesuatu itu maka ditutupnyalah jalan-jalan yang akan membawa kepada perbuatan haram serta mengharamkan cara apa saja serta seluruh pendahuluannya yang mungkin dapat membawa kepada perbuatan haram di samping untuk mengelak masyarakat daripada berlaku kucar-kacir kerana berzina itu salah satu fitnah yang besar. 

Justru itu pula, maka apa saja yang dapat membangkitkan seks dan membuka pintu fitnah baik oleh laki-laki atau perempuan, serta mendorong orang untuk berbuat yang keji atau paling tidak mendekatkan perbuatan yang keji itu atau yang memberikan jalan-jalan untuk berbuat yang keji, maka Islam melarangnya demi untuk menutup jalan berbuat haram dan menjaga daripada perbuatan yang akan membawa kepada kerosakkan. Syaitan adalah orang ketiga yg akan menggoda lelaki dan wanita tersebut untuk melakukan perbuatan zina.

Jelaskan secara terus terang dengan bahasa yang lembut bahawa berkhalwat atau bercouple adalah haram di sisi Islam sebelum seseorang bernikah. Percepatkan nikah jangan tunggu lama-lama kerana bila sudah ada jodoh jangan ditanggung-tangguh lama-lama, ibu bapa perlu ambil perhatian serius. Berikanlah nasihat yang lemah lembut kepada rakan saudara supaya dia faham bahawa larangan berdua-duaan adalah perintah Allah SWT.

213. Soalan : Saya nak tanya..bila kita menegur seseorang diatas kesilapannya..apakah itu dikatakan hanya mencari kesalahan orang lain?...Sedangkan diri sendiri pun masih belum sempurna. Bagai mana harus didepani masalah seperti ini ustaz?

Jawapan : 

Islam menggalakkan umatnya saling nasihat menasihati, tegur menegur dan saling lengkap melengkapi. Kita tegur atau nasihat suatu kesilapan saudara kita bukan nak cari kesilapan orang lain tetapi untuk menyahut seruan Nabi SAW supaya umatnya saling nasihat menasihati. ٣

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

وَالْعَصْرِ (١)إِنَّ الإنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (٢)إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (٣)

Terjemahannya :

1. Demi masa. (QS. 103:1)

2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, (QS. 103:2)

3. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (Surah al-Asr (103) ayat 3).

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama-ulama hadis, antaranya Muslim, dan diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a., sabda Rasululah SAW yang bermaksud;
“Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah sedaif-daif iman.” (Hadis Riwayat Muslim)

214. Soalan : Ustz bolehkan berikan pencerahan soalan saya :

Kawan saya mengajak saya untuk melabur dalam perniagaan yang akan di usahakan...dan dia menjanjikan dividen tahunan 10% dari nilai pelaburan...namun dividen itu adalah dia beranggapan hanya sebagai hadiah penghargaan kepada mereka dalam perniagaan runcit . Adakah situasi ini diizinkan syarak ustaz....mohon pencerahan ...trima kasih .

Jawapan : 

Pelaburan dengan menjanjikan keuntungan tetap dalam jangka masa tententu, peratus yang dijanjikan dinisbahkan kepada modal pelaburan, bukan kepada perolehan untung pelaburan, pelaburan sebegitu tidak menepati Syariat kerana ia berkonsepkan riba walau apa nama sekalipun diberikan kepada keuntungan tersebut (dividen, bunga, untung, hibah atau sebagainya) kerana ukuran hukum bukan melihat kepada nama/istilah semata-mata, tetapi melihat kepada apa yang realiti di sebalik nama/istilah itu. 

Adapun jika seseorang berhutang dari rakannya, kemudian ketika membayarnya ia memberi suatu hadiah/saguhati kepada rakannya itu sebagai perhargaan atau terima kasih, itu dibenarkan (malah digalakkan) kerana ia tidak dijanjikan dan tidak disyaratkan terlebih dahulu. Wallahu a'lam.

215. Soalan : Harta yg kita miliki dan isteri kita sekarang, contohnya kereta, rumah, wang atau tanah perlukah diletakkan penama atau orang yg akan mewarisinya kelak jika kita meninggal dunia. Jika diletakkan, adakah ia akan dikira sebagai hibah, atau ianya dikira harta pusaka yg wajib dibahagi mengikut hukum faraid setelah peninggalan kita. Jika tidak diletakkan penama, akan ada risiko yang akan kita hadapi setelah meninggal nanti. Sila minta ustaz menjelaskannya. terima kasih.

Jawapan : 

Perlu atau tidak meletakkan penama pada harta adalah bergantung kepada maslahah pemilik harta dan waris-warisnya. Namun menurut fatwa ulama; Penama tidak lebih dari pemegang amanah sahaja. Apabila berlaku kematian pemilik harta, penama wajib menguruskan harta tersebut dengan membahagikannya kepada waris-waris si mati. Ia tidak boleh dianggap hibah kerana hibah ialah pemberian ketika hidup dan hibah hanya dikira sah apabila telah diterima/dipegang oleh penerima hibah (yakni telah bertukar nama/milik kepadanya). Oleh kerana harta/wang yang ditinggalkan itu masih atas nama si mati, maka harta itu dianggap harta peninggalan si mati dan mesti diagihkan kepada waris-warisnya setelah ditolak hutang-hutang dan wasiatnya (jika ada).

Jika diletakkan penama, tetapi kita tidak menukar nama secara hakiki, disertakan dengan penyaksian dua orang lelaki; atau seorang lelaki dan dua orang perempuan; atau empat org perempuan, maka ianyanya hanya dikira sebagai "wasiat". 

Perlaksanaannya pula adalah hanya apabila setelah kita meninggal dunia. Hibah pula dari sudut bahasa bermaksud "hadiah", maka pemberiannya perlu diberi SBLM KITA MENINGGAL DUNIA. 

Dalam Islam, wasiat hanyalah utk meletakkan penama yg bukan waris kadim, contohnya anak angkat dan maksimum pemberian harta adalah 1/3 daripada keseluruhan harta. Ada juga syarikat pengurusan harta pusaka yg membolehkan kita meletakkan nama waris kadim sbg penerima harta dlm wasiat; tetapi apabila meninggal, pembahagian tetap memerlukan PERSETUJUAN kesemua waris seandainya pecahan pembahagian adalah TIDAK MENGIKUT FARAID. 

Wallahua'lam.


2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. ustaz saya nak bertanya,jika arwah pernah meninggalkan puasa ketika tidak uzur dan belum pernah qada dan bayar fidyah dan banyak tahun berbuat demikian (sukar untuk menentukan jumlah harinya) ..apakah yang harus dilakukan waris? qada kan utk arwah? bayar fidyah? atau keduanya dan jika fidyah atau qada bagaimana pula perkiraannya..terima kasih

    ReplyDelete