Saturday, January 31, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 211 (Hukum GST, Mewarnakan Rambut Dengan Warna Hitam, Mimpi Nak Berjumpa Rasulullah SAW, Darah Nifas Wanita dan Suami Tak Bayar Nafkah Isteri.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 211 adalah menjelaskan persoalan hukum GST, mewarnakan rambut dengan warna hitam, mimpi nak berjumpa Rasulullah SAW, darah nifas wanita dan suami tak bayar nafkah isteri.

1011. Soalan : Ustaz, apa kah hukum gst? ada baru2 ni kata haram apa kata ustaz nanti kalau haram ada kita kita juga berdosa kerana termasuk subhat?
Terima kasih ustaz

Jawapan : 

Dr. Zaharuddin bin Abd Rahman memberikan huraiannya mengenai hukum GST : 

Sewaktu saya menulis artikel ini, GST telah pun diluluskan oleh kerajaan dan parlimen Malaysia dengan undi majoriti ahli dewan rakyat. Namun apa pula sebenarnya pandangan ahli fiqh dan ulama berkenaannya?. 

Banyak perbincangan timbul berkenaan cukai lantaran pengumuman kerajaan untuk memperkenalkan Goods and Service Tax (GST) bermula April 2015 nanti. Tidak kurang juga yang mengulas berkaitan hukum GST terbabit, ada yang mendakwanya haram secara mutlaq (total), ada juga yang menganggapnya haram kerana sebab-sebab lain dan sebagainya. Ada pula yang menyebutnya sebagai harus lagi halal. Menteri Agama pula menyatakan tiada keperluan untuk membincangkan hukum GST di peringkat Majlis Fatwa.

HUKUM KERAJAAN MENGENAKAN CUKAI

Penulisan ringkas ini akan berkongsi persoalan cukai menurut ahli fiqh Islam berdasarkan ijtihad masing-masing. Secara umumnya, para ulama fiqh terbahagi kepada tiga kumpulan dalam menentukan hukum kerajaan mengenakan cukai. Ia seperti berikut:-

1. Haramnya cukai secara mutlaq.

Mereka berhujjah berdasarkan dalil :

a. Firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 188 yang mengharamkan memakan harta sesama manusia secara bathil.
Justeru, pungutan cukai dianggap tergolong dalam pendapatan yang bathil kerana tanpa rela dan keperluan mendesak.

b. Sabdaan Nabi sallaallahu ‘alaihi wasallam yang menyebut

أَلَا لا تَظْلِموا, أَلَا لا يَحِلُّ مالُ امرِىءٍ إلا بِطِيبِ نفسٍ منه

Ertinya : Janganlah kami menzalimi dan tiada halal harta seseorang muslim yang (diambil) tanpa disertai rela dan izin dari pemiliknya. ( Riwayat Ahmad : hadis sohih)
Justeru, mengambil cukai dari rakyat sedang rakyat tidak rela disebabkan pendapatan kerajaan yang mewah adalah tiada halal.

c. Sabda Nabi sallaallahu ‘alaihi wasallam

فوالذي نفسي بيدِه ! لقد تابت توبةً ، لو تابها صاحبُ مُكْسٍ لغُفِرَ لهُ

Ertinya : Telah datang kepada Nabi seorang wanita yang berzina yang ingin dilaksanakan hukuman had ke atasnya tetapi baginda menjawab, “Demi jiwaku pada tangan Allah, seseungguhnya wanita itu telah bertaubat yangsekiranya seorang pemungut cukai bertaubat juga akan diampunkan baginya. ( Riwayat Muslim : Sohih)

Justeru, pemungut cukai adalah haram kerana itu baginda Nabi menyebut ‘bertaubat’ menunjukkan ianya berdosa.

d. Nabi bersabda :

إنَّ صاحبَ المَكْسِ في النارِ

Ertinya :Sesungguhnya penguasa yang mengenakan ‘Maks’ (sebahagian menterjemahkannya sebagai cukai) adalah di dalam neraka. ( Riwayat Ahmad : Sohih menurut Al-Suyuti)

2. Harus secara sementara waktu ke atas si kaya pada kadar tertentu di musim wujudnya keperluan.

a. Dalil mereka : Sabda Nabi ;

إنَّ في المالِ لَحَقًّا سِوَى الزكاةِ

Ertinya : sesungguhnya pada harta itu ada kewajiban lain selain zakat (Riwayat At-Tirmidzi : Dhoif menurut Al-Suyuti, Albani, )

b. Berlandaskan Siyasah Syari’iyyah yang digubal berdasarkan keperluan semasa. Sebagaimana fatwa Imam Malik yang berkata :

Ertinya: Wajib ke atas orang ramai menebus tawanan perang mereka walaupun mereka terpaksa menggunakan harta mereka sendiri (Ahkam al-Quran, Ibn Arabi, 60/1). Imam Al-Qurtubi juga menguatkan hal ini dengan katanya “Sepakat ulama apabila wujudnya keperluan untuk kaum muslimin dalam sesebuah Negara iaitu selepas digunakan wang zakat dari baitul mal maka wajib pula dibantu dengan menyalurkan wang (dari cukai rakyat). ( Tafsir Al-Qurtubi, 2/223). 

Hal ini juga ditegaskan oleh Imam Al-Syatibi dalam kitabnya al-I’tisom. Imam Al-Ghazzali juga menyatakan yang sam apabila dia menyebut:-
Ertinya “Apabila sudah kosong milikan Negara dari harta, dan tiada lagi harta awam yang boleh memenuhi keperluan tentera, sehingga jika tentera terpaksa bekerja lain bagi mendapatkan pendapatan dan meninggalkan tugasan tentera, maka dibimbangi masuknya musuh ke neraka umat Islam atau pemberontakan fitnah, maka haruslah bagi pemerintah mengenakan kepada si kaya kadar (cukai) bagi memenuhi keperluan tentera. ( Al-Mustasfa, 1/426)

Namun, konteks fatwa ini kelihatan tidak begitu menepati situasi Malaysia kerana negara kita masih tidak sampai ke tahap tersebut.

3. Harus mengenakan cukai pada sekadar memenuhi maslahat umum pentadbiran Negara.

Pendapat ini dipegang oleh Sheikh Mahmud Syaltut, (Al-Fatawa al-Kubra, hlm 116), begitu juga Sheikh Abu a’la al-Mawdudi yang menyatakan, harus dikenakan cukai jika wang bayaran cukai itu adalah bagi kemaslahatan awam. (Nazariyat al-Islam, hlm 313). 

Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga berijtihad harus dikenakan cukai bagi kemaslahatan awam sambil mengatakan perkataan ‘Maks’ di dalam hadis ancaman neraka itu oleh Nabi SAW itu membawa maksud khusus iaitu

التي يفرضها بعض الحكام توسعة على أنفسهم وأتباعهم وتضييقا على شعوبهم

Ertinya : iaitu jenis cukai yang difardhukan oleh sebahagian pemerintah untuk bersenang-senang mereka dengannya dan penyokong mereka walaupun menyempitkan rakyat mereka. ( Fiqh al-Zakat, Qaradawi, 2/987)

Prof. Dr Ali Muhydin Al-Qurrah Daghi menyatakan Ini juga merujuk kepada sebahagian cukai yang dikenakan di zaman pemerintahan awal Islam seperti AL-KHARRAJ (cukai tanah), AL-'USHUR ( cukai perniagaan 10 % ke atas perniagaan non muslim) dan AL-JIZYAH (cukai individu) . Kesemua cukai ini digunakan sebaikanya untuk kepentingan dan kebaikan rakyat.

TARJIH PANDANGAN

Penulisan ringkas ini tidak mampu untuk membuat tarjihan pendapat yang terkuat secara komprehensif, namun secara umumnya perbincangan hukum cukai dalam Islam tidak dapat lari dari menimbang di antara maslahat kebaikan dan kemudaratan darinya. Walaupun sewaktu wujudnya dalil-dalil berkaitan cukai, namun menurut majoriti ulama’, nas yang berkait dengan urusan siyasah dan pentadbiran mesti dilihat kepada ‘illah atau sebab utamanya ianya disebutkan oleh Nabi SAW. Melihat kepada objektifnya iaitu membawa lebih kebaikan berbanding kemudaratan. Beberapa jenis hukum dalam urusan muamalat boleh berubah dengan berubahnya masa dan zaman serta keperluan.

Namun apapun, kaedah fiqh ada menyatakan “Menolak Keburukan didahulukan dari Membawa Kebaikan (tambahan)”. Justeru, jika benar tanpa GST atau cukai jualan dan servis, maka ini ekonomi negara bakal terancam, kelangsungan Negara menjadi longgar, tatkala itu cukai boleh berubah menjadi harus dan hal ini boleh dinilai dari masa ke semasa.
Sebahagian ahli ekonomi menyimpulkan cukai GST mampu membawa kestabilan fiskal dalam kewangan negara dan keutuhan pendapatan kerajaan selain dapat memperbaiki kutipan hasil cukai dari sebahagian besar golongan yang terlepas atau sengaja melepaskan diri dari membayar cukai.

Manakala sebahagian yang lain menyatakan cukai hanya menyebabkan inflasi semakin sukar dikawal, kenaikan harga dalam majoriti barangan yang akhirnya membawa kesan buruk kepada hampir semua kelas pendapatan rakyat khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Disebabkan harga barang menjadi menaik, kuasa beli dan nilai matawang menjadi turun.

Cukai seperti ini mungkin sangat releven bagi sesebuah negara yang belum memperkenalkannya khususnya seperti cukai pendapatan, korporat dan sebagainya. Namun, memperkenalkan cukai baru sedangkan kantung kewangan negara masih utuh dan perbelanjaan awam masih boleh dikawal dan diperbetulkan, sudah tentu lebih cenderung hukumnya kepada HARAM, kecuali jika ia bersifat sementara sebagaimana fatwa kumpulan kedua ulama.

Negara Malaysia yang telah sedia ada cukai jualan dan servis sejak beberapa puluh tahun lepas, namun untuk meniadakannya secara drastik bakal menyaksikan kekalutan pengurusan kewangan, pentadbir awam dan negara berada dalam kesukaran yang dibimbangi membawa lebih mudarat berbanding manfaat. Jika hukum haram yang ingin dipegang sebagai terkuat, maka sejak berpuluh tahun sebelum ini cukai ini sudah haram dan patut ditegaskan agar tidak perlu dibayar serta jangan dibayar. Bukanlah sekarang masanya untuk terus menolak cukai secara sepenuhnya.

Berkenaan GST pula, jika mampu dibuktikan sebagai penyusunan semula metode cukai dan seterusnya mampu diurus dengan lebih baik, telus dan lebih kurang menekan berbanding sistem percukaian cukai jualan dan khidmat sebelum ini, maka saya rasakan GST boleh disokong pelaksanaannya atas dasar, mengambil kaedah Fiqh iaitu mengambil yang kurang mudarat di antara dua kemudaratan.

Secara teorinya, namun bergantung kepada pengawasan terhadap para peniaga, GST boleh sama ada menaikkan harga, menurunkan harga atau kekal pada harga biasa. Illustrasi dari pihak savemoney ini mungkin boleh memudahkan gambarannya.

Kesimpulannya :

Berdasarkah huraian di atas kita tak boleh menolak terus dengan mengatakan bahwa cukai GST haram kerana jika kerajaan mampu uruskan GST dengan lebih baik, telus dan lebih kurang menekan berbanding sistem percukaian cukai jualan dan khidmat sebelum ini, maka di rasakan GST boleh disokong pelaksanaannya atas dasar, mengambil kaedah Fiqh iaitu mengambil yang kurang mudarat di antara dua kemudaratan.

1012. Soalan : Apakah hukumnya mewarnakan rambut ubat kepada warna hitam? Adakah Islam melarangnya?

Jawapan :

Ulama telah bersepakat mengharuskan mencelup warna rambut dari warna hitam ke warna lain seperti merah, perang dan sebagainya, samada dengan inai dan apa jua pewarna yang dibenarkan syarak. (Rujuk Al-Fatawa al-Hindiyyah, jld 5,ms 359 ; Al-Istizkar, Ibn Abd Al-Barr , jld 27, ms 85 ; Mughni al-Muhtaj, As-Syabini, jld 1, ms 191 ; Kassyaf al-Qina', Al-Bahuti, jld 1, ms 77) 

Mereka semua berdalilkan dengan hadis-hadis riwayat An-Nasaie, At-Tirmidzi, Ahmad, dan Muslim. Hampir kesemuanya mempunyai sanad hasan dan sahih dengan perawi yang thiqah. Demikian menurut Imam Al-Haithami dalam kitabnya Majma' az-Zawaid dan Imam As-Syawkani dalam Naylul Awtar. 

Bagaimanapun ia diikat dengan syarat berikut :- 

1- Pewarna tersebut bukannya jenis yang kekal, jika tidak ia dikira mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan. 

2- Menggunakan pewarna yang suci dan halal. 

3- Tidak mengakibatkan mudarat terhdp kesihatan individu. Seperti Kanser, kekeringan rambut dan merapuhkannya, atau allergi ataupun mudarat terhadap janin dan lain-lain akibat bahan kimia pewarna tadi. 

4- Memutihkan rambut iaitu dengan mengikis warna hitamnya dengan tujuan utk menghasilkan warna baru rambut yang lebih cantik, adalah makruh. kerana ia menukar ciptaan asal Allah.

HUKUM MENCELUP UBAN PUTIH KE HITAM 

Ulama telah berbeza pandangan dalam hal ini seperti berikut :- 

1. Makruh .

Ia adalah pandangan Mazhab Maliki, Abu Hanifah, sebahagian ulama Syafie seperti Imam Ghazali, Al-Baghawi. 

Tetapi kiranya ia dibuat untuk tujuan menakutkan musuh di dalam peperangan ia adalah HARUS. 

Dalil mereka : 

a) Sabda Nabi SAW : "Tukarlah ia (warna rambut, janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam" (Hadis Sahih Riwayat Muslim) 
b) Berkata Ibn Umar ra : "Kekuningan pewarna para mukmin, kemerahan pewarna para Muslimin, Hitam pewarna puak Kuffar" (Hadis Riwayat At-Tobrani, Al-Haithami) 

c) Nabi SAW bersabda : "Barangsiapa yang mewarnakan rambutnya dengan warna hitam, nescaya Allah akan menghitamkan wajahnya di akhirat kelak" (Al-Haithami, bagaimanapun Ibn Hajar berkata seorg perawinya agak lemah, bagaimanapun rawi tersebut diterima oleh Imam Yahya Mai'en dan Imam Ahmad) 

d) Dalil aqal, ia dikira suatu penipuan. 

2. Haram

Ia adalah pandangan Mahzab Syafie. Dikecualikan kiranya untuk jihad. Mereka berdalil dengan dalil kumpulan pertama tadi. 

3. Harus tanpa Makruh 

Ia adalah pandangan Imam Abu Yusof dan Ibn Sirin. 

Dalil mereka : 

a) Sabda Nabi SAW : "Sebaik-baik pewarna yang kamu gunakan adalah warna hitam ini, ia lebih digemari oleh isteri-isteri kamu, dan lebih dapat menakutkan musuh" (Hadis Riwayat Ibn Majah, bagaimanapun ia adalah hadith Dhoif) 

b) Diriwayatakan bahawa sahabat dan tabi'ein ramai juga yang mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam. Antara Sa'ad, ‘Uqbah bin ‘Amir, Az-Zuhri dan diakui oleh Hasan Al-Basri. (Lihat Fath al-Bari, Majma' az-Zawaid dan Tahzib al-Athar oleh At-Tabari) 

Suka disebutkan di sini setiap mazhab mempunyai dalil masing-masing yang tidak dapat disebutkan kesemuanya di sini, demi meringkaskan tulisan ini. 

Kesimpulan Hukum .

Akibat terdapat zahir hadis dan athar yang bertembung antara satu sama lain, maka fuqaha mengambil jalan membuat takwilan bagi menggabungkan hadis-hadis ini. Ia seperti berikut :

a) Hadis larangan adalah menujukan kepada larangan penipuan umur yang tua akibat tua dan uban maka dihitamkan bagi kelihatan lebih muda. Tidak kira dari kalangn lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam.


b) Adapun hadis yang mengharuskan adalah dalam keadaan dan sebab-sebab yang diiktiraf oleh syarak, seperti perang bagi menakutkan musuh, ataupun ia tidak mengandungi unsur penipuan, seperti merawat penyakit dan lain-lain lagi. 

Majlis Fatwa Kebangsaan : Hukum Wanita Mewarnakan Rambut

ISU:

Bolehkah wanita mewarnakan rambutnya dengan warna seperti merah atau oren. Adakah sah mandi wajib wanita yang mewarnakan rambutnya?

PENJELASAN:

Mewarnakan rambut kebiasaannya dilakukan sama ada untuk menutupi uban di kepala ataupun semata-mata untuk kecantikan.

Bagi kedua-dua tujuan tersebut, hukum asal mewarnakan rambut sama ada dengan inai atau lain-lain bahan adalah harus selagi mana perkara-perkara berikut dijaga:
  
Tidak menyerupai wanita-wanita bukan Islam. Sekiranya suatu warna, fesyen warna, gaya warna, ataupun bahan pewarna itu kebiasaannya hanya digunakan oleh golongan bukan Islam, di mana jika seseorang Muslimah memakainya dia akan kelihatan seperti wanita bukan Islam, maka tidak harus mewarnakan rambut dengan warna, gaya, fesyen atau bahan demikian. Kerana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

 مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ  مِنْهُم

Maksudnya, “Sesiapa menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian daripada mereka”. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, 4/44, no: 4031).

Wanita bersuami hendaklah mendapat keizinan suaminya untuk mewarnakan rambut. Jika suaminya tidak mengizinkan, maka isteri tidak harus melakukannya.

Wanita yang sedang dalam tempoh edah kematian suami tidak diharuskan mewarnakan rambutnya, kerana mewarnakan rambut termasuk dalam perbuatan menyerlahkan kecantikan, dan ia dilarang terhadap wanita yang dalam edah kematian suami.

Warna rambut hendaklah selain daripada warna hitam, kerana menutupi uban dengan warna hitam adalah dilarang oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Di dalam satu hadis, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada Abu Quhafah yang sudah keputihan rambut dan janggutnya, “Ubahlah ini dengan sesuatu, dan jauhi warna hitam”. (Hadis Riwayat Muslim, 3/1663, no: 2102). 

Dalam mazhab Syafie, mewarnakan rambut dengan hitam tidak dibenarkan untuk wanita kecuali dengan izin suami.

Bahan yang digunakan untuk mewarnakan rambut hendaklah daripada bahan-bahan yang suci. Maka tidak harus menggunakan bahan najis atau bercampur dengan bahan najis.

Bahan yang digunakan sebagai pewarna hendaklah daripada jenis bahan yang hanya meninggalkan warna dan bukannya bahan yang melekat dan melapisi rambut yang boleh menghalang air daripada mengenai anggota mandi wajib.

Mewarnakan rambut dilakukan bukan untuk tujuan mendedahkan kecantikannya kepada khalayak yang bukan mahram. Jika tujuan mewarnakan rambut adalah untuk diperlihatkan kepada mereka, maka haram hukumnya. Justeru, wanita yang tidak bertudung di khalayak adalah haram mewarnakan rambut kerana ia adalah maksiat berganda; pertama kerana mendedahkan aurat, dan kedua kerana melakukan tabarruj (berhias-hiasan) di hadapan khalayak ajnabi.

Berkenaan dengan mandi wajib bagi wanita yang mewarnakan rambut, para ulama bersepakat bahawa kewujudan bahan yang melekat dan melapisi anggota mandi akan menghalang sahnya mandi wajib. Justeru, perkara ke-6 di atas hendaklah dijaga bagi mengelakkan masalah ketika mandi wajib.

Wallahu A’lam.

1013. Soalan : Ustaz..saya nak tanya boleh kite bertemu dengan Rasullulah SAW dalam mmpi kita ustaz? Jika boleh apakah amalan atau doa untuk bertemu dengan baginda dalam mimpi kita ustaz?Mohon pencerahan ustaz..

Jawapan :

Seseorang yang berhajat nak jumpa Nabi SAW di dalam mimpi bukan satu perkara mudah bila hati dan jiwa kita penuh dengan selaput hitam akibat dosa-dosa yang kita lakukan. Saudara boleh saja jumpa dengan Rasulullah SAW dalam mimpi . Solat hajat 2 rekaat dan beristighfar 100 kali dan perbanyaklah membaca selawat (paling kurang 1000 kali). 

Dalam amalan harian mencintai sunah Rasulullah SAW, dan perbanyaklah bersedekah pada anak yatim, dan baktilah pada ibu bapa jika masih ada, ini adalah amalan amalan yg sangat dicintai oleh Rasulullah SAW, jika saudara tidur amalkan adab-adab tidur dan bibir sentiasa terus berselawat sehingga terlina. Niat di hati dan berdoa kepada Allah SWT semoga hajat kita di tunaikan oleh Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW:

من رآني في المنام فسيراني في اليقظة
ولا يتمثل الشيطان بي

Maksudnya, "Siapa yang melihatku dalam mimpi, maka beliau akan melihatku secara yaqozoh (dalam keadaan sedar) dan syaitan itu tidak menyerupai aku.’(Hadis Riwayat Imam Bukhari: Hadis Sohih) 

Maksudnya siapa yang melihat wajah Rasulullah SAW di dalam mimpi maka itulah wajah baginda yang sebenarnya ketika hidup di dunia. Syaitan di haramkan menyamar bentuk wajah baginda walaupun semasa di dalam mimpi.

1014. Soalan : Sekiranya seseorang perempuan itu dalam berpantang selepas mengandung atau keguguran,perlukah dia menunggu selama 40 hari untuk mandi wajib ataupun mandi selepas darah itu betul kering walaupun tidak sampai 40 hari

Jawapan :

Wanita yang keguguran tak perlu menunggu 40 hari baru nak mandi wajib. Jika kering saja darah nifas kerana keguguran maka boleh terus mandi wajib dan mengerjakan solat. Kefahaman ini adalah satu kefahaman yang tak betul dan wajib di buangkan kerana wanita yang telah kering darah nifas wajib segerakan mandi wajib kerana untuk mengerjakan solat. Berdosa besar jika wanita tak solat sedangkan darah nifas telah kering.

Apa yang dimaksudkan darah nifas?

Darah nifas ialah darah yang keluar dari faraj wanita kerana melahirkan anak.

Adakah darah yang keluar sebelum lahirnya anak juga dikira darah nifas?

Sepakat para ulama menyatakan bahawa darah yang keluar dari kemaluan wanita sebaik sahaja selepas melahirkan anak adalah darah nifas. Namun mereka berikhtilaf berkenaan darah yang keluar bersama dengan bayi atau sebelum kelahiran bayi; adakah termasuk darah nifas atau tidak?;

1. Bagi pandangan mazhab Syafi’ie; Darah nifas ialah darah yang keluar selepas lahirnya bayi sepenuhnya. Oleh demikian, darah yang keluar bersama bayi atau sebelumnya bukan darah nifas. Ia sama ada darah haid (jika ia sedang haid kerana mazhab Syafi’ie berpandangan harus wanita hamil kedatangan haid) atau darah fasad jika bukan haid. [Para ulama mazhab Syafi’ie memperincikan syarat darah nifas dengan penjelasan; hendaklah darah itu keluar selepas kosong rahim sepenuhnya dari bayi (yakni bayi telah keluar sepenuhnya dari rahim). Jika sebahagian sahaja badan bayi yang telah keluar dan masih tinggal sebahagian lagi yang belum keluar walaupun sedikit, maka darah yang keluar belum lagi dianggap darah nifas. Disyaratkan juga, darah itu keluar sebaik sahaja selepas kelahiran iaitu dalam tempoh lima belas hari. Adapun selepas 15 hari atau lebih baru darah keluar (yakni sebelum itu darah tidak keluar walaupun setitik), maka darah yang keluar itu tidak dianggap darah nifas. Ia dianggap darah haid.]

2. Di sisi mazhab Imam Ahmad; darah yang keluar dua hari atau tiga hari sebelum melahirkan anak yang disertai dengan rasa sakit, begitu juga darah yang keluar bersama dengan keluarnya bayi adalah dikira darah nifas sama seperti darah yang keluar selepasnya. 

3. Mengikut mazhab Imam Malik pula; darah nifas ialah darah yang keluar ketika bersalin dan selepasnya. Adapun darah yang keluar sebelum bersalin, maka ia bukan darah nifas tetapi darah haid di sisi mereka. 

Berapa lamakah tempoh paling pendek bagi darah nifas?

Terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam masalah ini;

1. Mengikut mazhab Syafi’ie; tempoh nifas paling pendek (selepas seorang wanita melahirkan anak) ialah ialah seketika atau sedetik (لحظة).

2. Para fuqahak yang lain berpendapat; tidak ada had bagi tempoh minima nifas kerana tidak terdapat nas Syarak menentukannya.

Adalah tidak mustahil seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah nifas sedikitpun. Terdapat riwayat menceritakan seorang wanita pada zaman Nabi SAW melahirkan anak tanpa keluar darah nifas, lalu ia dipanggil dengan nama Zatil-Jufuf iaitu wanita yang kering.

Berapa lamakah tempoh paling panjang bagi darah nifas?

Masalah ini juga diikhtilafkan oleh ulama;

1. Jumhur ulama –merangkumi ulama-ulama sahabat, mazhab Imam Ahmad, Abu Hanifah, as-Sauri dan sebagainya- berpandangan; tempoh nifas yang paling panjang ialah 40 hari. Pandangan ini berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Wanita-wanita bersalin pada zaman Nabi SAW . menunggu (selepas bersalin) hingga 40 hari” (HR Imam at-Tirmizi).

Berdasarkan pandangan jumhur ini; wanita bersalin jika ia mendapati darah masih keluar dari kemaluannya walaupun selepas 40 hari, maka darah yang keluar selepas 40 hari itu bukan lagi darah nifas, akan tetapi darah penyakit (istihadhah). 

Oleh itu, selepas 40 hari itu hendaklah ia mandi wajib dan menunaikan solat walaupun darah masih keluar. Keadaannya sama seperti wanita yang istihadhah dan tertakluk dengan hukum-hakamnya sebagaimana yang akan diterangkan nanti.

2. Imam Syafi’ie dan mazhabnya mempunyai pandangan berbeza dari pandangan jumhur di atas di mana menurut beliau; tempoh maksima nifas ialah 60 hari. Jadi, jika seorang wanita darah bersalinnya berlarutan selepas 40 hari, mengikut pandangan ini; darah itu masih dianggap darah nifas sehinggalah 60 hari. Dalam tempoh 60 hari itu jika darah masih keluar, tidak harus ia mengerjakan solat, puasa dan sebagainya lagi dari ibadah-ibadah yang mensyaratkan bersuci. 

Jika selepas 60 hari darah masih lagi keluar, maka ketika itu barulah ia dianggap darah penyakit dan tertakluk dengan hukum-hakam istihadhah dan sulasul-baul sebagaimana di atas. Imam Syafi’ie berhujjah berdasarkan pengalaman, yakni menurut pengalaman dan pemerhatian beliau; terdapat wanita yang pernah mencapai tempoh nifas hingga 60 hari. Adapun tempoh 40 hari yang disebut oleh Ummu Salamah dalam hadis di atas, itu adalah tempoh kebiasaan nifas bagi kebanyakan wanita, bukan bermaksud tempoh maksimanya.

1015. Soalan : Ustaz nak minta tolong ustaz jelaskan macamana  isteri nak tuntut nafkah pada suami walau belum bercerai sebab suami susah sangat nak bagi nafkah sedang kan boleh bagi duit pada orang lain yang bukan isteri yang sah..terima kasih di dahulukan.

Jawapan :

Jika suami tak memberi nafkah kepaad isteri dan anak-anak adalah berdosa kerana memberi nafkah adalah tanggung jawab suami. Menurut Islam, seorang isteri berhak mendapat keperluan hidup dan nafkah yang mencukupi daripada suaminya, dan bukan sebaliknya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin (yang bertanggungjawab) terhadap kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.” (Surah an-Nisaa’ 4:34)

Seorang sahabat bernama Hakim bin Mua’wiyah bin Hidah al-Qusyairi r.a. pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami?” Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Memberinya makan apabila kamu makan dan memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” (Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, no. 1830)

Menurut riwayat ini, syarak mempertanggungjawabkan kepada para suami untuk menanggung perbelanjaan makan minum dan pakaian si isteri dan juga anak-anak, dan ini termasuklah tempat tinggal, perubatan dan ilmu yang bermanafaat. Sebagai contoh, seorang suami mampu menyediakan makan minum yang mengenyangkan untuk isteri dan anak-anak berupa nasi dan lauk yang sesuai, itu dikira telah menyediakan nafkah yang cukup walaupun hari-hari makan ikan dan sayur dan hanya sekali dalam sebulan makan daging atau ayam. Wang poket juga tetap perlu diberikan kepada isteri dalam kadar yang sesuai dan munasabah untuk tabungan dan simpanan bagi menghadapi kes-kes kecemasan. Seorang suami yang tidak memberikan wang saku yang sesuai dan munasabah adalah dikira telah melakukan keganasan kewangan kepada isteri, sekiranya isteri adalah seorang surirumah yang tidak mempunyai apa-apa hasil pendapatan selain daripada wang yang diberikan oleh suami.

Seorang isteri yang bekerja juga berhak mendapatkan nafkah 2 persalinan pakaian yang lengkap termasuk kasut,pakaian dalam,tudung dsb dalam setahun.

Semua keperluan ini bergantung dalam konsep yang munasabah menurut syarak. Bermaksud, jika suami sediakan pakaian yang tidak baik, terlalu jarang hingga mendedahkan aurat, atau sediakan rumah tetapi tiada bekalan elektrik atau air, atau sediakan makanan tetapi yang tidak berkhasiat SEDANGKAN suami berkemampuan , maka suami seperti ini dikategorikan sebagai suami yang kikir, bakhil atau kedekut.

Syara’ juga menetapkan kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi kemampuannya yang sebenar.

Jika suami enggan memberi nafkah, maka isteri berhak mengambil duit suami tanpa pengetahuannya mengikut kadar keperluan belanja keluarga.
Hal ini dibenarkan oleh syara’ . Ini berdalilkan kepada riwayat berikut. Rasulullah SAW telah ditanya oleh isteri Abu Sufian, Hindun binti Utbah bin Rabi’ah yang datang mengadu kepada Baginda SAW, “Wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami?” Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Tidak mengapa engkau mengambil sekadar keperluanmu dengan cara yang makruf.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari no. 2460)

Maka jika puan berhadapan dengan suami seperti ini, puan boleh mengambil secara diam-diam sejumlah wang yang sesuai untuk menampung perbelanjaan bagi keperluan yang patut dan wajar untuk diri sendiri dan anak-anak, pembantu jika ada, tanpa menanggung apa-apa dosa bahkan puan sebenarnya telah meringankan beban siksa suami puan dihadapan Allah Taala di yaumil akhirat nanti.

Ulama berpendapat, dengan cara yang makruf di dalam riwayat bermaksud pengambilan harta tersebut tidak berlebih-lebihan dan tidak merosakkan harta si suami. Jika hal itu disedari oleh suami dan menimbulkan pergaduhan, isteri boleh memaksa suami memberikan nafkah melalui perintah Mahkamah Syariah.

Seorang isteri yang bekerja masih berhak mendapat nafkah daripada suaminya, bermakna hak isteri itu tidak gugur kerana dia bekerja. Jika selama ini wang hasil titik peluh isteri digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga, ini tidak bermakna suami boleh melepaskan tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak-anak begitu sahaja. Sebaliknya, suami masih perlu memberi nafkah kepada isteri kerana Islam sebenarnya meletakkan beban tanggungjawab nafkah kepada suami, bukan isteri.

Apabila suami enggan membayar nafkah untuk keluarga, dia dikira sudah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami dan ia berdosa. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila suami yang mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya.” (Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, no. 1442)

Jika suami di berikan nasihat untuk memberi nafkah dia masih enggan si isteri boleh mengadu di Mahkamah Syariah supaya minta mahkamah arahkan suami supaya membayar nafkah zahir pada isteri dan anak-anak. Jika suami tak memberi nafkah maka isteri boleh menuntut fasakh atau tebus talak (khuluk) di Mahkamah Syariah.












No comments:

Post a Comment