Wednesday, January 21, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 208 (Ciri-ciri Isteri Nusyuz, Isteri Bekerja, Adab-adab Menyambut Kelahiran Anak, Rahmat Allah dan Kesesatan Ajaran Syiah.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 208 adalah menjelaskan persoalan ciri-ciri isteri nusyuz, isteri bekerja, adab-adab menyambut kelahiran anak, rahmat Allah dan kesesatan ajaran Syiah.

996. Soalan : Di dalam kehidupan masyarakat modern  hari ini terdapat ramai isteri  yang derhaka (nusyuz) kepada suaminya. Bolehkan ustaz terangkan apakah ciri-cirinya isteri derhaka.?

Jawapan :

Jika dilihat berdasarkan hukum feqah terdapat 9 ciri-ciri isteri derhaka (nusyuz) :

Pertama : Keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya. 

Isteri wajib meminta kebenaran suami jika hendak keluar rumah terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadi untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika sekiranya suaminya bukan seorang faqih dalam bidang agama. 

Isteri perlu meminta izin untuk keluar rumah menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu atau bapanya atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya). 

Kedua : Enggan mengikut suami berpindah ke negeri lain tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syarak . 

Jika diizinkan syarak seperti isteri sakit atau perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau taun maka barulah isteri boleh tidak mengikut kehendak suaminya. 

Ketiga : Menyakiti hati suami .

Isteri yang suka menyakiti hati suaminya, suka berbantah-bantah atau tidak membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau ke bilik dengan tujuan menyakiti hatinya adalah berdosa besar.

Ibnu ‘Asakir pula menyebut: "Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya." 

Keempat : Tidak menyerahkan diri pada suami ketika suami hajat bersama.

Ketika suami berhajat kepadanya dia engan melayan hajat suaminya tanpa ada keuzuran seperti sakit. Setakat malas atau tak ada keinginan bukan alasan yang menasabah.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam maksudnya : "Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelima : Tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk dengan keperluannya.

Isteri tidak boleh mengutamakan pekerjaan lain walaupun sebuk macamana perlu melayan panggilan suami kerana memenuhi keperluan suami adalah wajib melainkan isteri sedang solat fardu maka ketika ini tak perlu menyahut panggolan suami.

Keenam : Isteri membuat fitnah kepada suaminya.

Isteri cuba memfitnah atau mendakwa suaminya telah mentalaknya sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu. atau isteri menuduh tanpa bukti yang sahih bahawa suaminya ada perhubungan dengan wanita lain. Lebih besar dosanya jika fitnah tersebut di sebarkan di internet dan whatsapp kepada rakan-rakannya.

Ketujuh : Isteri minta cerai tanpa alasan yang dibenarkan syarak. 

Jika isteri meminta cerai kerana alasan suami berhajat berpoligami.bukanlah alasan yang syrie.

Sabda Rasulallah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud : "Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak haram baginya bau syurga." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi) 

Kelapan : Isteri merahsiakan perhubungannya dengan lelaki lain.

Isteri selalu chatting, talipon , whatsapp dan hantar pesanan ringkas tanpa pengetahuan suami untuk berseronok-seronok dan menceritakan aib suaminya kepada lelaki yang bukan mahramnya. 

Kesembilan: Puasa sunat tanpa keizinan suami dan memasukkan seorang lelaki tanpa izin suaminya. 

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud : "Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaupun lelaki yang datang kerumah isteri tersebut adalah terdiri daripada mahramnya. Tetapi jika suami tidak ada halangan di atas kehadiran mereka tidak menjadi masaalah .

997. Soalan : Saya ingin bertanya adakah isteri yang bekerja pendapatannya adalah hak isteri sepenuhnya atau suami ada hak menggunakan pendapatan isteri. Adakah boleh isteri membantu ibu bapanya yang susah setiap bulan tanpa penegtahun suami? Minta ustaz memberikan pencerahannya.

Jawapan :

Nafkah bagi kehidupan suami-isteri (iaitu belanja-belanja keperluan hidup untuk mereka) adalah tertanggung sepenuhnya di atas bahu suami. Ia adalah kewajipan suami yang ditetapkan Syariat. Sabda Nabi SAW maksudnya; “Wajib atas kamu (para suami) menyediakan untuk mereka (yakni isteri-isteri kamu) rezki mereka dan pakaian mereka mengikut kebiasaannya” (Hadis Sahih Riwayat Muslim; 1218. Abu Daud; 1905, dari Jabir bin Abdullah r.a). 

Menurut ulama; maksud rezki dalam hadis ialah nafkah hidup merangkumi makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Hukumnya adalah wajib atas suami. (Mirqaat al-Mafatih, Syeikh ‘Ali al-Qari (5/1772). Mir’aat al-Mafatih, al-Mubarakfuri (9/25).)

Berkata Imam an-Nawawi; terkandung dalam hadis ini kewajipan (suami) menafkahi isteri dan menyediakan pakaian untuk mereka. Hukum ini telah diijmakkan oleh ulamak”.(Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi (8/184).)

Jika isteri bekerja digalakkan isteri membantu suami, namun bukan atas dasar kewajipan , tetapi semata-mata ihsan darinya sahaja. Para suami perlu menyedari hakikat ini. Tidak harus suami memaksa isteri untuk turut sama menanggung nafkah keluarga. Isteri yang engkar kepada arahan suami dalam perkara tersebut tidak dianggap sebagai nusyuz di sisi syariat. Dalam hal ini suami tidak harus menggunakan kuasa vetonya, sebaliknya mengesyorkan secara baik kepada isteri. Isteri pula jangan keberatan membantu kewangan suami selagi termampu kerana wang/harta yang dibelanja untuk suami dan keluarga akan diberi dua pahala/ganjaran oleh Allah; pahala sedekah dan pahala qarabah. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW tatkala baginda ditanya berkenaan isteri yang membelanjai suami dan anak-anaknya-; “Untuknya dua pahala; pahala qarabah (mengeratkan ikatan keluarga) dan pahala sedekah” (Hadis Riwayat Bukhari; 1466. Muslim; 1000).

Isteri yang bekerja dan mempunyai pendapatan tetap boleh membantu ibu bapanya atau adik beradiknya yang susah walaupun tanpa di maklumkan kepada suaminya.


Apabila suami mengizinkan isteri untuk keluar berkerja, pendapatan isteri adalah milik penuhnya. Tidak harus diambil suami melainkan dengan persetujuannya. Kecuali jika suami mengsyaratkan sebahagian pendapatan hendaklah digunakan untuk belanja rumah sebagai tukaran kepada keizinan yang diberinya untuk keluar berkerja, ketika itu isteri terikat dengan syarat tersebut. Nabi SAW bersabda maksudnya; “Orang Islam terikat dengan syarat (yang dipersetujui) sesama mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram” (as-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 11430, dari ‘Amru bin ‘Auf al-Muzani r.a.). 

Tanpa syarat tersebut, kewajipan nafkah sepenuhnya atas suami.(Fatawa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (2686).) Wallahu a’lam.

998. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan apakah adab-adab yang dianjurkan Islam selepas bayi yang dilahirkan?

Jawapan :

Setiap manusia akan melahirkan anak kerana anak adalah zuriat keturunan. Dalam Islam setiap anak yang dilahirkan perlulah kepada beberapa adab-adab yang di anjurkan oleh  Islam untuk kita mengamalkannya. 

Terdapat 10 adab-adab yang perlu di amalkan oleh setiap mukmin untuk menyambut kelahiran bayi kerana anak-anak adalah amanah yang besar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kedua ibu bapa.

10 adab-adab yang disunatkan dalam Islam adalah seperti berikut :

1. Melakukan sujud syukur sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT. Suami boleh lakukan di mana sahaja dia berada ketika itu. Ia elok dilakukan sebaik sahaja anak keluar daripada rahim ibu. Perbanyakkan bacaan zikrullah (tasbih, takbir dan tahmid).

2. Sunat untuk diazankan di telinga bayi sebab ia dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW ketika cucu baginda, Hasan lahir. Imam Ibnu Qayyium memberitahu azan dilakukan supaya kalimat seruan tentang kebesaran Allah SWT menjadi seruan pertama yang didengar oleh bayi.

Dari Abu Rofi’ maula Rasulullah SAW berkata, “Saya melihat Rasulullah azan sebagaimana untuk solat di telinga Hasan bin Ali saat dilahirkan oleh Fathimah.” (Hadis Riwayat Abdurrazzaq (7986), Ahmad (6:90), Abu Dawud (5105), Tirmidzi (1514),  Imam Tirmidzi sebagai hadis hasan dan Imam Hakim berkata bahwa sanadnya shahih)

3. Panggilan bagi menyambut anak lelaki adalah disebut "Salamun Zakrun" yang bererti: Salam sejahtera anak lelaki.Manakala panggilan untuk menyambut anak perempuan adalah disebut sebagai "Salamun An-Nisaa" yang bererti: Salam sejahtera anak perempuan.
Memohon doa keselamatan untuk anak supaya dijauhkan daripada gangguan syaitan. Apa-apa sahaja doa yang diketahui oleh ibu bapa boleh dibacakan. Nabi Muhammad SAW juga melakukan amalan ini apabila cucundanya lahir. Amalan ini disebut dalam hadis sahih dari Bukhari. 

4. Sunat memberi ucapan tahniah kepada ibu bapa yang baharu sahaja mendapat anak. Ia ada disebut dalam kitab Imam An-Nawawi. Tujuannya untuk menghulurkan rasa kegembiraan kepada seluruh ahli keluarga yang memperoleh cahaya mata baharu selain mengeratkan kemesraan dan ikatan silaturrahim di antara mereka. Disarankan mereka yang berkunjung melawat bayi turut menghulurkan buah tangan seperti hadiah, wang dan sebagainya kepada ibu bapa tersebut.

5. Tanam uri dengan segera kerana ia adalah benda kotor dan najis. . Sebaiknya bungkus terus dan segera ditanam. Elok ditanam di tanah yang keras dengan mencangkul dalam tanah untuk mengelakkan daripada dikorek dan dimakan binatang.

6. Sunat menamakan anak yang baharu lahir dengan nama yang elok dan membawa makna baik kerana nama itu yang akan dipanggil di hari akhirat kelak. Nabi SAW menyuruh ibu bapa memberi nama anak pada hari ke-7 atau secepat yang boleh. "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengaqiqahkan Hasan dan Husain pada hari ketujuh, memberikan kedua-duanya nama dan baginda menyuruh supaya menghilangkan daripada keduanya kesakitan kepala (mencukur rambut kepala)." (Hadis riwayat al-Hakim)

7. Sunat melakukkan tahnik atau belah mulut bayi baharu lahir. Tahnik ialah mengunyah buah kurma dan diletakkan sedikit rasanya di dalam mulut bayi. Tahnik bertujuan memohon kepada Allah SWT supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya daripada menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya”.

8. Sunat membuat aqiqah yang bermaksud penyembelihan binatang ternakan seperti kambing, lebih afdal dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi. Hadis Abu Daud ada menyebut aqiqah dilakukan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT supaya mendekatkan anak kepada Allah. Daging sembelihan hendaklah disedekahkan kepada orang sekeliling supaya mereka tahu tentang kelahiran anak anda. Tetapi jika ibu bapa tidak mampu melakukan aqiqah tersebut pada hari ke 7, 14 dan 21, ia boleh dilakukan sebelum aqil baligh si anak. 

Sunah Rasulullah SAW menyuruh aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan.Sunat dicukur keseluruhan rambut anak  pada hari ketujuh selepas kelahirannya, sama ada anak itu lelaki ataupun perempuan. Menurut pendapat yang ashah, sunat mencukur rambut anak itu selepas menyembelih binatang aqiqah. (Al-Majmu‘: 8/324-325) 

Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang maksudnya : "Anak-anak tergadai (terikat) dengan aqiqahnya, disembelih (aqiqah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

9. Mencukur rambut anak yang baharu lahir. Hal ini bersandarkan kepada hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam daripada ‘Ali bin Abu Thalib katanya yang bermaksud : "Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah beraqiqah untuk Hasan dengan seekor kambing dan baginda bersabda: "Wahai Fatimah! Cukurlah kepalanya (rambutnya) dan bersedekahlah seberat timbangan rambutnya itu dengan perak." (‘Ali) berkata: "Lalu dia (Fatimah) timbang (rambut anaknya itu), maka beratnya adalah satu dirham atau setengah dirham." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

10. Mengkhatankan anak. Hadis daripada Al-Baihaqi menyebut Rasulullah SAW bukan hanya menyembelih kambing tetapi turut mengkhatankan bayi baharu lahir pada hari ketujuh. Berkhatan bagi lelaki bertujuan untuk kebersihan, mencegah penyakit dan seksual. Perkara ini menjadi sunat kepada kaum perempuan dan satu kewajiban bagi lelaki. 

999. Soalan : Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim sabda Rasulullah S.A.W.  dari Abu Hurairah r.a maksudnya :"Ketika Allah S.W.T. menentukan takdir makhluk-Nya , Dia menuliskan di dalam kitab-Nya di atas Arasy : 'Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan (mengatasi) Marah-Ku'. "

Bolehkah ustaz huraikan apakah yang dimaksudkan rahmat-Ku mengalahkan kemurkaan-Ku.? 

Dalam hadis yang lain ada di nyatakan kita masuk syurga dengan rahmat Allah SWT bukan dengan amal ibadah kita. minta pencerahan.

Jawapan :

Sesungguhnya sifat Allah yang pertama disebut di dalam al-Quran ialah “ar-Rahman, ar-Rahim”. Justeru, Allah Ta’ala melayani makhluk-Nya dengan lembut, penuh rahmah sebelum dihukum dan diseksa, sehinggakan kepada para penderhaka sekalipun. Sifat Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang dan Dia sentiasa menerima taubat hamba-hamba-Nya yang berdosa.

Firman Allah SWT maksudnya:  “Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azab-Ku, ialah azab yang tidak terperi sakitnya (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya).”  (Surah Al-Hijr ayat 49-50) 

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (Dia tidak bertindak dengan serta-merta, bahkan) Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hamba-Nya.” (Surah Fatir ayat 45)

Begitu juga dengan sabda Rasulullah S.A.W.  dari Abu Hurairah r.a maksudnya : "Allah S.W.T. memiliki 100 rahmat. Dari Rahmat-rahmat itu dia menurunkan 1 rahmat untuk para jin ,manusia , haiwan dan binatang melata. Dengan rahmat itu juga para makhluk dapat berkasih sayang ,berlemah lembut , dan dengannya juga binatang buas menyayangi anak-anaknya. Allah S.W.T.  mengakhirkan 99 rahmat-Nya yang akan diberikan kepada hamba-hamba-Nya pada hari kiamat nanti."(Hadis Muttafaqun 'alaih , Bukhari dan Muslim )

Dari Jabir, ia berkata: Saya pernah mendengar Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Amal soleh seseorang diantara kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga dan tidak dapat menjauhkannya dari azab api neraka dan tidak pula aku, kecuali dengan rahmat Allah." (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut masuknya kita ke dalam syurga Allah S.W.T.  adalah disebabkan dengan rahmat Allah bukan dengan amalan yang kita laksanakan. Walaubagaimana pun untuk mendapatkan rahmat Allah perlulah ada beberapa syarat yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis Nabi S.A.W.

Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Tidak melakukan syirik kepada AllahS.W.T.

Dosa yang paling besar disisi Allah S.W.T.  adalah syirik kepada-Nya.  Allah S.W.T. tidak akan ampunkan dosa mereka yang mati dalam keadaan syirik kepada-Nya.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :"Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk." (Surah al-An'aam ayat 82)

Kedua : Sentiasa berzikir dan menjaga hubungan hati dengan Allah S.W.T.

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”
(Surah Al A’raf,  Ayat 205)

Ketiga : Sentiasa bertaubat dan beristighfar kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." 
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :"Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka."

Keempat : Sentiasa mengikhlaskan beribadah kepada-Nya.

Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman yang bermaksud:“Ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsia-Ku. Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang Aku mangasihinya” (Riwayat Abu Hasan Al Basri)

Kerana ikhlas satu rahsia Allah tentu tidak mungkin kita dapat mengetahui siapa yang ikhlas dan siapa yang tidak. Malah diri kita sendiri pun mungkin kadang-kadang susah untuk dipastikan apakah amalan kita itu ikhlas atau sebaliknya.

Firman Allah S.W.T. maksudnya :"Dan tiadalah mereka disuruh melainkan supaya menyembah Allah serta mengikhlaskan agama kepadanya." 
(Surah Al-Bayyinah ayat 5)

Kelima : Melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T.  dan mengerjakan amal soleh.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :“Masuklah kamu ke dalam syurga disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah An-Nahl ayat 32)

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Itulah syurga yang diwariskan kepadamu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Al-A’raaf ayat 43)


Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia." (Hadis Riwayat Muslim)

1000. Soalan : Bolehkah ustaz memberikan pencerahan kenapa ajaran Syiah termasuk didalam ajaran sesat? Bagaimana kita nak kenal seseorang telah menganut ajaran Syiah dan siapakah yang mengasaskan ajaran Syiah?

Jawapan : 

Ulama terkenal Syria, Syeikh Sa’id Hawwa dalam sebuah risalahnya berkaitan Syiah menyenaraikan beberapa penyelewengan mereka. 

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Syiah percaya bahawa para imam mereka adalah maksum sehingga mengatasi Nabi dan bebas daripada dosa atau tidak berdosa. Menurut Syiah lagi, para Imam Syiah bebas daripada kesalahan, ghaflah (lalai) dan lupa sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja serta kedudukan imam itu mengatasi kedudukan kenabian.

Perkara ini menurut ulama Syiah adalah ijmak atau kesepakatan golongan terdahulu dan terkemudian Syiah. Oleh kerana itu para imam Syiah mempunyai kuasa mutlak dan hak serta pemilihan dalam menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Kedua : Syiah percaya bahawa al-Quran yang wujud di tangan kaum muslimin pada hari ini telah mengalami perubahan. Perkara ini diakui oleh ulama mereka seperti al-Kulaini dan Muhammad Baqir al-Majlisi dalam karangan mereka. Syiah mendakwa mereka memiliki al-Quran yang disebut sebagai “Mashaf Fatimah” dan ianya tiga kali ganda banyaknya daripada al-Quran yang kita miliki.

Lihatlah bagaimana orang Syiah menganggap bahwa Al Quran yang ada di tengah-tengah kita belum sempurna. Dan lihatlah bagaimana Syiah berdusta atas nama Saidina Ali k.wj. Mereka menyatakan bahawa hanya Ali bin Abi Talib yang boleh mengumpulkan Al Quran.

Secara langsung orang Syiah telah membantah firman Allah Ta’ala,

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya : “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redai Islam itu jadi agama bagimu.” (Surah Al Maidah ayat 3). 

Ayat ini menunjukkan bahawa Islam telah sempurna, begitu pula Al Quran.
Ketiga : Syiah tidak mengiktiraf hadis-hadis Nabi SAW  yang diriwayatkan oleh kebanyakan para sahabat seperti Abu Hurairah r.a, Samrah bin Jundub r.a,  Amr bin al-As r.a. dan sebagainya. Syiah juga menolak hadis-hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Saidatina Aisyah r.ha. 

Menurut Syiah, umat Islam telah kufur selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW  kecuali tiga atau empat orang sahabat iaitu al-Miqdad bin al-Aswad r.a, Abu Dzar al-Ghifari r.a. dan Salman al-Farisi r.a. kerana mereka tidak berpegang dan tidak mempercayai hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat bahkan meletakkan hadis-hadis tersebut dalam kelompok hadis-hadis palsu. Syiah hanya menerima hadis-hadis yang diriwayatkan oleh ahli al- bait atau kerabat Nabi SAW  sahaja.  Pendirian ini sudah cukup jelas bahawa Syiah adalah ajaran sesat , mereka bukan dikalangan orang Islam. 

Syiah adalah salah satu ajaran sesat yang di asaskan oleh seorang bangsa Yahudi Ibn Saba' . Beliau menyamar masuk Islam (orang munafik) dan mengetuai komplot pembunuhan Saidina Uthman Ibn Affan r.a. Kononnya mereka (golongan syiah) adalah ahli bait dan bersimpati dengan syahidnya Saidina Hussin cucu Rasulullah SAW. Kesesatan ajaran syiah ini terbukti apabila mereka mengkafirkan sahabat-sahabat Rasulullah SAW dan menuduh Saidatina Aisyah r.ha dengan tuduhan yang melampau batas.

Ciri-ciri di bawah adalah sebahagian dari petanda seseorang yang menganut ajaran Syiah. Berwaspadalah jika saudara dapati tanda-tanda sebegini ini tampak mula kelihatan pada orang-orang yang saudara sayang.

1. Senantiasa memuja Sayyidina Ali dan melebihkan beliau daripada Sayyidina Abu Bakar & Umar.

2. Memperlekeh dan memandang rendah kepada sahabat-sahabat Nabi SAW.

3. Sering menghimpunkan (jamak) sembahyang Zuhur bersama Asar dan Maghrib bersama Isyak tanpa sebarang sebab.

4. Kaki tidak dibasuh ketika berwuduk sebaliknya hanya disapu sahaja.

5. Sujud di atas batu Karbala ketika solat.

6. Menepuk paha ketika memberi salam sesudah sembahyang.

7. Tidak mahu makan ikan yang tidak bersisik.

8. Melewatkan berbuka puasa sehingga hampir waktu Isyak.

9. Memarahi orang yang puasa Asyura.

10. Sering memperkatakan tentang keperluan kepada imam zaman ini (Imam
Mahdi).

Ajaran Syiah di asaskan oleh seorang Yahudi  bernama Abdullah bin Saba'. Beliau adalah orang yang merancang pembunuhan Saidina Uthman bin Affan r.a.. Tujuan beliau menubuhkan Gerakan dan ajaran Syiah (yang sesat lagi menyesatkan) adalah untuk memecah belahkan perpaduan dan akidah umat Islam di bawah pimpinan Khalifah Saidina Ali bin Abi Talib r.a.

No comments:

Post a Comment