Wednesday, January 21, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 207 (Amalan Untuk Elakkan Sihir, Sifat-sifat Mazmumah, Memakai Cincin Suasa, Melihat Zat Allah di Syurga dan Anjing Menyalak Melihat Syaitan.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 207 adalah menjelaskan persoalan amalan untuk elakkan sihir, sifat-sifat mazmumah, memakai cincin suasa, melihat Zat Allah di syurga dan anjing menyalak melihat syaitan.

991. Soalan : Ustaz bagaimana cara nak elakkan dari terkena sihir ? Jika sudah terkena sihir bagaimana nak merawatnya?

Jawapan : 

Ilmu sihir adalah ilmu hitam yang boleh membawa seseorang itu syirik kepaad Allah SWT. Biasanya bomoh atau dukun tradisional mengamalkan ilmu sihir atau ilmu hitam. Makhluk yang menjadi khadam atau perantaraan untuk menghantar ilmu sihir kepada mangsanya adalah jin kafir dan syaitan.

Ilmu sihir adalah pekerjaan dan perbuatan jin kafir dan syaitan. Untuk mengelakkan diri kita daripada terkena ilmu sihir ini adalah kita sentiasa berdoa, mengamalkan zikir dan menguatkan rohani kita dengan solat tahajud, membaca al-Quran dan puasa sunat. Terdapat beberapa amalan untuk kita menjauhkan diri daripada gangguan syaitan iaitu : 

1. Membaca basmalah ketika mula pekerjaan untuk keberkahan.

2. Memperbanyakkan solat tahajud dan solat taubat.

3. Memperbanyakkan membaca hawqalah. La Haula Wala Quwwata illa billahi, dan doa Nabi Yunus a.s. لااله الا انت سبحانك انّي كنت من الظالمين

4. Berdoa - setiap masa terutama di waktu mustajab doa.

5. Dirikan solah berjemaah di masjid atau surau.

6. Wuduk sebelum tidur, membaca ayat kursi, muawwazatain: surah al-falaq dan surah an-nas.

7. Tidak mendengar muzik dan lagu-lagu yang tak senonoh, menuntun filem ganas dan menaikkan syahwat.

8. Tidak mendedahkan aurat, tidak guna minyak wangi kalau perempuan.

9. Istiazah/tawwuz dan bacaan al-Quran terutamanya surah al-Baqarah.dan surah Ali-Imran.

10. Doa sebelum masuk bilik mandi / tandas dan ketika keluar dan doa sebelum bersama isteri.

11. Membekali diri dengan ilmu fardu ain dan mendengar tazkirah.

12. Jaga kebersihan hati daripada syirik dan sifat mazmumah.

13. Sentiasa Husnuz zhan (Bersangka baik) sesama muslim.

14. Berzikir (zikir al-Matsurat) dan zikir-zikir yang menjadi amalan Nabi SAW.

15. Bersihkan daripada najis. (beristinjak dengan sempurna)

16. Berstighfar dan bertaubat. setiap hari.

Amalkan zikir waktu pagi dan petang : 

Apabila amalan zikir dihidupkan dan dijadikan kebiasaan maka perjalanan kehidupan harian akan dirasai ketenangan, kebahagian dan keceriaan. Segala masaalah kehidupan akan mudah diatasi kerana mendapat bantuan dan rahmat Allah SWT.

Dari Uthman bin Affan r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda ; "Tidaklah seorang hamba setiap pagi dan petang membaca; ' Bismillahillazi layadurrumaasmihi saiun filardi wallafis samai wahuwas samiul alim' (maksudnya : Dengan nama Allah, yang dengan nama-Nya tidak ada mudharat sedikit pun baik di bumi dan di langit, dan Ia Maha Melihat dan Maha Mengetahui.) kecuali bahawa tidak ada sesuatu yang membahayakannya." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

{Zikir ini di baca 3 kali pada waktu pagi dan petang}

Di dalam hadis yang lain, dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa menjelang petang membaca , 'A'uzubikalimatilla hittaamaati min syarrimaahalaq' (maksudnya : Aku berlindung pada kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk-Nya) 3 kali maka tidak akan membahayakan baginya racun yang ada pada malam itu." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya)

{Zikir ini di baca 3 kali pada waktu pagi dan petang}

Dari Ibnu Abbas r.a, katanya: Pada suatu hari aku berada dibelakang Rasulullah SAW (di atas kenderaan), lalu baginda bersabda: "Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada dihadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana keatas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku." (Hadis Hasan Sahih Riwayat Tarmizi) 

Berdasarkan hadis di atas dapatlah difahami bahawa Allah SWT mengingatkan umat manusia bahawa mereka adalah makhluk yang lemah, kuasa mereka sangat terbatas, mereka tidak akan dapat mencapai apa yang mereka hajatkan tanpa bantuan pihak yang lain.

Mengingatkan umat manusia betapa kuasa Allah yang tiada tara dan batasannya. Segala penghuni langit dan bumi tunduk kepada ketentuan-Nya. Jadi atas dasar inilah maka manusia mestilah memohon sesuatu hanya kepada Allah. Berzikir dan berdoa tanpa putus-putus mengharapkan bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT. Jin kafir dan syaitan yang suka menggoda dan membawa ilmu sihir akan dapat di halang kerana hubungan hati kita yang rapat dengan Allah SWT. 

Selain itu juga wajib diketahui bahawa memohon pertolongan kepada Allah atau berdoa kepada-Nya mestilah secara langsung secara terus menerus kepada-Nya, tidak melalui sembarang perantaraan atau wasitah dari manusia atau lainnya.

Tidak ada orang yang dapat memberi manfaat dan mudarat tanpa izin Allah SWT. Nabi SAW menerangkan kepada Ibnu Abbas r.a bahawa sekiranya sekalian umat atau makhluk berkumpulan dan bersatu untuk memberi manfaat kepadanya ataupun sebaliknya mereka bersatu dan berkumpul untuk mendatangkan mudarat kepadanya, namun semua itu tidak mungkin akan terjadi kecuali apa yang telah dituliskan untuknya di Loh Mahfuz sejak azali.

992. Soalan : Apakah sifat-sifat mazmumah yang perlu di jauhi oleh seorang mukmin supaya tidak di masukan ke dalam neraka Jahanam?

Jawapan :

Terdapat 10 Sifat-sifat Mazmumah Supaya Terselamat Daripada Seksaan Neraka Jahanam.

Sifat Mazmumah ialah sifat-sifat yang tidak baik dan tercela, juga sifat yg patut kita jauhi. Sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut :

1. Makan dan minum daripada barang yang haram dan syubhat atau daripada sumber pendapatan yang haram.

Hadis Nabi SAW :

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال” : يأتي

“ على الناس  زمان لا يبالي المرء ما أخذ منه أمن الحلال أم من الحرام 

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Bersabda Rasulullah SAW; “Akan datang  suatu zaman seseorang tidak mempedulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram”.(Hadis Riwayat.an-Nasa’i)

Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya :"Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya".(Hadis riwayat Al-Tarmizi)

2. Membuat Fitnah Dan Mengumpat.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SAW yang bermaksud : "Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati, tentu sekali kamu benci memakannya. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujarat ayat 12)

Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, " Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah SWT. menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat." (Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya)

3.  Marah:

Sifat marah berpunca dari kurang kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan. Orang yang demikian selalunya  didorong oleh pengaruh Syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :"Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi SAW. lagi yang bermaksud :"Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala." (Hadis Riwayat Ibnu Majah) 

4.  Hasad dengki, dan iri hat:

Sifat di atas lahir  daripada rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Waspadalah terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu." (Hadis Riwayat Abu Dawud)"

5. Sifat Bakhli (Kikir)

Sifat Bakhil adalah sifat yang tercela kerana sifat ini terlahir dari godaan syaitan. Bakhil dijadikan oleh syaitan sebagai jalan untuk menuju jalan ke neraka. Definisi bakhil adalah perbuatan seorang hamba untuk menahan harta yang ada pada kepemilikannya tanpa menunaikan hak dan kewajiban yang sepatutnya di tunaikan dengan harta tersebut. Dalil yang melarang dari perbuatan bakhil di antaranya adalah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا هِيَ؟ قَالَ: «الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالشُّحُّ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ»

Maksudnya : “Dari sahabat Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu  beliau berkata, Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasalam telah bersabda, ‘Jauhillah tujuh kehancuran yang dapat menimpa kalian.’ Lalu (shahabat) bertanya, ‘Apakah itu wahai Rasulullah?’ Lalu baginda menjawab, ‘Menyekutukan Allah, bakhil (kikir), membunuh jiwa yang diharamkan Allah, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari peperangan, menuduh zina wanita mukminat yang suci.” (Hadis Riwayat an-Nasai)

6. Sombong & Takbur:

Allah Ta’ala berfirman,

وَلاَ تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلاَ تَمْشِ فِي اللأَرْضِ مَرَحاً إِنَّ اللهَ لاَ يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَجُوْرٍ  {18}

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman ayat 18)

Allah Ta’ala berfirman,

إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْتَكْبِرِينَ

“Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang menyombongkan diri.” (Surah An Nahl ayat 23)

Haritsah bin Wahb Al Khuzai’i berkata bahwa ia mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda,

أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَهْلِ النَّارِ قَالُوا بَلَى قَالَ كُلُّ عُتُلٍّ جَوَّاظٍ مُسْتَكْبِرٍ

“Maukah kamu aku beritahu tentang penduduk neraka? Mereka semua adalah orang-orang keras lagi kasar, tamak lagi rakus, dan takbur (sombong).“ (Hadis Riwayat. Bukhari no. 4918 dan Muslim no. 2853).

7. Riyak ;
Riyak pula ditakrifkan sebagai sifat untuk menarik pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan yang baik dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan.

Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: riyak." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal? Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda: Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya."  (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

8. Ujub;

Sifat ujub pula ialah berkait rapat dengan takbur dan riyak. Ujub bererti berasa hairan dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ini juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi  kecantikan , kepandaian, kekayaan dan lain-lain.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dia (Qarun) berkata: 'Sesungguhnya aku hanya diberi (harta itu), semata-mata kerana ilmu yang ada padaku." (Surah al-Qashash ayat 78)

Qarun bersifat ujub kerana dia merasakan bahawa harta yang banyak yang dia miliki adalah hasil daripada kepandaiannya mengumpulkan harta dan perniagaan yang dia usahakan, sedangkan asalnya dia adalah seorang yang miskin dan tidak memiliki apa-apa kepandaian. Berkat daripada pertolongan dan doa Nabi Musa a.s yang menyebabkan Allah SWT mengurniakan harta yang banyak kepadanya. Ini adalah ujian daripada Allah SWT untuk melihat adakah Qarun hendak bersyukur dan taat kepada-Nya. Ujub yang dimiliki Qarun adalah rasa bangga dengan nikmat yang ada tanpa mengaitkan dengan pemberian daripada  Allah SWT.

Orang yang terkena penyakit ujub akan memandang remeh dosa-dosa yang dilakukannya dan mengang-gapnya bagai angin lalu. Nabi SAW. telah mengabarkan kepada kita dalam sebuah hadis: “Orang yang jahat akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan mudah dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangan. Adapun seorang mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan duduk di bawah kaki gunung yang siap menimpanya.” (Hadis Riwayat  Al-Bukhari)

9. Kasih dan Cinta Dunia.

Hati yang sentiasa berpaut kepada kehidupandan kesenangan  dunia akan menyebabkan seseorang itu takutkan mati. Hakikat sebenar kehidupan dunia ini telah digambarkan oleh Allah SWT. berfirman yang bermaksud : “Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta kekayaan dan anak pinak.” (Surah Al-Hadid ayat 20)

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : 
"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". 
Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?"
Nabi SAW. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah SWT. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah SWT. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan".
Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" 
Nabi Muhammad SAW. menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". 
(Hadis Riwayat Abu Daud)

10. Berbohong , Mungkir Janji. dan TIdak Amanah.

Menjelaskan sifat munafik yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW.: Sesiapa yang mempunyai tiga perkara ini, maka dia adalah seorang munafik walaupun dia berpuasa, sembahyang, menunaikan haji, umrah dan mengatakan dirinya seorang Muslim.
Para sahabat bertanya, ``Apakah tiga perkara ini?'' Jawab baginda: Iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia tidak menepati janjinya dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya. (Hadis Riwayat Muslim)

993. Soalan : Ustaz apakah hukumnya lelaki memakai cincin suasa?

Jawapan :

Ulama menyatakan memakai cincin menurut sunah yang diperbuat daripada perak adalah harus bagi lelaki. Manakala bagi perempuan harus memakai cincin yang diperbuat daripada emas. Rasulullah SAW pernah memakai cincin diperbuat daripada perak sehingga baginda wafat. Baginda melarang memakai cincin emas sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi bermaksud: "Rasulullah SAW melarang daripada memakai cincin emas".

Cincin suasa adalah campuran daripada dua unsur logam iaitu emas dan perak. Oleh kerana cincin suasa campuran emas lebih daripada perak maka ia dihukumkan emas dan haram dipakai oleh kaum lelaki.

Menurut laporan Mesyuarat Panel Kajian Syariah JAKIM kali ke 31 pada 2-4 Oktober 2000mengenai hukum memakai suasa bagi lelaki adalah HARAM.

Panel menasihati agar pengantin lelaki memakai cincin perak atau platinum.

994. Soalan : Bolehkah ustaz kemukan hadis sahih di syurga nanti kita boleh melihat Zat Allah SWT dan ini merupakan nikmat yang paling besar tidak ada tolok bandingnya?

Jawapan : 

Hadis sahih yang menceritakan nikmat yang paling besar yang di perolehi ahli syurga adalah mereka di izinkan melihat Zat Allah SWT. 

Terdapat satu hadis qudsi : Shuhaib meriwayatkan bahawa RasulullahSAW. bersabda : “Jika calon ahli syurga telah masuk kedalam syurga,Allah SWT berfirman, ‘ Hai ahli syurga! Apakah kalian ingin sesuatuyang lebih dari nikmat ini?’

Mereka menjawab, ‘Bukankah Engkau telah mencermelangkan muka kami?Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkankami dari neraka?’

Maka, disingkaplah hijab. Maka, tidak ada kenikmatan yang lebih mereka senangi dari pada memandang Tuhan mereka.” 

(Hadis ini sahih. Ia dikeluarkan oleh Muslim (181), Ahmad (4/333), At-Tirmidzi (2552), dan Ibnu Majah (187).)

Jika ahli syurga telah masuk ke dalam syurga, Allah memberi merekakemampuan dan kekuatan untuk melihat Zat-Nya. Dapat melihat Zat Allah ini adalah nikmat ahli syurga yang paling besar. Dalil yang membenarkanbahawa ahli syurga akan dapat melihat Zat Allah adalah firman-Nya dalam al-Quran, maksudnya : "Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat,” (Surah Al-Qiyamahayat 22-23).

995. Soalan : Ustaz..saya nak tanya pagi tadi semasa azan subuh saya terdengar anjing meyalak sepanjang azan dialunkan..seleps habis saja azan..anjing tu pun berhenti menyalak..kenapa ya ustaz?

Jawapan :

Abu Hurairah ra. ia berkata: Sesungguhnya Nabi SAW. bersabda: "Jika kalian mendengar kokok ayam jantan, maka mohonlah karunia Allah, kerana sesungguhnya binatang tersebut melihat malaikat. Dan jika kalian mendengar ringkikan keledai, maka mohonlah perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan, kerana binatang tersebut melihat syaitan.".
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan lainnya) . 

Dalam hadis yang lain : Dari Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu Nabi SAW bersabda maksudnya, “Jika kamu mendengar lolongan anjing dan ringkikan keldai pada malam hari , maka berlindunglah kepada Allah darinya kerana ia melihat apa yang tidak dapat kamu lihat.” (Hadis Riwayat . Abu Dawud no. 5103, Ahmad 3/306, 355-356 Shahih al-Adabul Mufrad no. 937 serta Ibnu Sunni no. 311) . 

Ketika azan berkumandang berkemugkinan anjing tersebut melihat syaitan lari lintang pukang menyebabkan anjing tersebut menyalak. Kerana syaitan akan berkumpul di rumah orang kafir yang ada bela anjing dan ada patung sembahannya.

3 comments:

  1. Assalamualaikum ustaz ..Saya nak tnya sikit .Kat tmpt keja sy ad sekor anjing .Setiap kli sy masuk pagaq ..Dia mesti mnyalak dan kejaq sy .Sya tkot ustaz .Tlg bg sedikit penjelasan dan ap yg patot sy buat ustaz ?

    ReplyDelete
  2. ustad. mcm mna kalau ada anjing ikut pergi rumah minta mkn., ?, bgi je ke?, biar je ke diorng di sna?

    ReplyDelete