Tuesday, December 30, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 200 (Wang Tak Patuh Syariah, Ciri-ciri Lelaki Soleh, Adab Bercakap Dalam Islam, Wang Zakat Untuk Mangsa Banjir Dan Solat Isyak di Lewatkan.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 200 adalah menjelaskan persoalan wang tak patuh syariah, ciri-ciri lelaki soleh, adab bercakap dalam Islam, wang zakat untuk mangsa banjir dan solat isyak di lewatkan.

956. Soalan : Bagaimana cara nak gunakan wang riba atau wang haram (wang tak patuh syariah)?.Boleh ke kita memberi wang haram kepada adik beradik dgn niat ingin bersedekah ?

Jawapan :

Wang tak patuh syariah tidak boleh di gunakan untuk di berikan kepada ahli keluarga atau adik beradik.

Kaedah Pelupusan Wang Tidak Patuh Syariah

Imam Al-Nawawi berkata : 

Imam Al-Nawawi di dalam kaedah penyelesaian harta haram telah menukilkan pandangan al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang lelaki itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mestilah diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserahkan (dibelanjakan) untuk tujuan maslahah umum seperti membiayai pembinaan jambatan, jalan raya dan seumpamanya.

Syeikh Atiyyah Saqar :

Manakala Syeikh Atiyyah Saqar, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar telah menyatakan kaedah melupuskan harta haram ketika bertaubat adalah mengikut kaedah berikut:

1. Memulangkan kembali harta itu kepada si pemilik asal atau waris pemilik apabila diketahui pemilik harta tersebut; dan

2. Apabila tidak diketahui pemilik asal harta tersebut, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada fakir miskin bagi memisahkan dirinya daripada harta haram yang diperolehinya. Penyerahan harta tersebut kepada fakir miskin bukanlah untuk mendapatkan pahala daripada serahan tersebut.

Hal di atas bersandarkan kepada hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah S.A.W. telah bersabda: Barangsiapa yang menzalimi kehormatan atau apa sahaja harta saudaranya hendaklah ia meminta halal daripadanya pada hari ini sehingga jangan berbaki satu dinar atau dirham. Jika tidak, sekiranya dia mempunyai amal soleh, maka akan diambil amal solehnya dengan kadar kezaliman yang dilakukannya, dan kiranya tiada lagi kebaikan, maka akan dipertanggungjawabkan kejahatan orang yang dizaliminya itu pula.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Dalam sebuah hadis lain yang bermaksud: “Daripada Samurah katanya, Nabi S.A.W. bersabda: Kewajipan di atas tangan (mencuri) apa-apa yang diambilnya sehinggalah ia memulangkannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi :

Berkenaan dengan kedudukan wang-wang faedah yang diperolehi secara haram, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah telah memutuskan wang-wang faedah yang diperolehi secara haram adalah haram secara yakin untuk ditinggalkan begitu sahaja di bank-bank konvensional.

Menurut beliau, ia seolah-olah seperti menolong bank-bank konvensional yang akan turut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Beliau menegaskan, tidak harus seseorang menggunakannya (wang faedah) tersebut kerana tindakan menggunakan wang tersebut adalah termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan sebagainya.
Para Fuqaha’ kontemporari juga sependapat dengan beliau yang mana perbuatan yang menyalahi hukum syarak iaitu melarang tindakan idha’ah al-mal iaitu mensia-siakan harta tanpa dimanfaatkan oleh sesiapa.

Menurut Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga, sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki sebaliknya ia menjadi milik maslahah umum seperti dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan seperti membantu anak-anak yatim, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya yang bersifat kebajikan.

Kaedah Fiqh :

Timbul persoalan sekiranya wang yang halal dan wang yang haram bercampur aduk dan tidak dapat dibezakan, contohnya wang simpanan yang halal di dalam bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama, bagaimanakah ianya dapat dijernihkan?

Dalam kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang berkaitan iaitu: “apabila berkumpul perkara yang halal dengan perkara yang haram, maka dimenangkan (dikira) yang haram.”
Menurut kaedah di atas, apabila perkara yang halal dan yang haram bercampur aduk dalam sesuatu perkara itu, maka ia dianggap sebagai haram.

Dalam konteks ini, apa yang jelas adalah sesuatu yang halal tersebut (wang pokok) boleh digunakan manakala yang haram itu (faedah) hendaklah dilupuskan dengan menyerahkannya kepada pihak Baitulmal bagi tujuan maslahah umum.
Namun sekiranya nilai yang halal dan haram itu tidak dapat dipastikan, maka kaedah berijtihad nilai (al-ihtiyath) boleh digunakan bagi menentukan pembahagian yang betul antara kedua-duanya.

Dengan cara ini, perkara yang halal dapat diasingkan daripada perkara yang haram dan masih dapat dimanfaatkan walaupun telah berlaku campur aduk antara kedua-duanya.

957. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan bagaimana ciri-ciri lelaki soleh pilihan wanita solehah?

Jawapan :

Untuk mencari pasangan yang soleh seorang wanita hendaklah memilih calon suaminya yang faham dan menjalankan perintah agama. Jangan terlalu mementingkan perkara yang bersifat kebendaan atau meterialistik, sebab harta, kecantikan, kedudukan dan pangkat tidak akan bertahan lama. Seandainya calon suami seorang yang soleh, Insya Allah rumahtangga akan bahagia dan diberkati Allah SWT.

Walaupun begitu mulailah dari diri sendiri, hiasi peribadi dengan akhlak yang mulia agar nanti kita akan dianugerahkan Allah pasangan yang mulia pula. Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah An Nuur ayat 26 maksudnya: "Wanita-wanita yang buruk itu untuk lelaki yang buruk, dan lelaki yang buruk untuk wanita yang buruk; sedangkan wanita-wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik". 

Terdapat 10 ciri-ciri lelaki soleh yang menjadi pilihan wanita solehah yang bakal menjadi teman hidupnya (sebagai suami) :

Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Kedua : Mempunyai ilmu pengetahuan agama.

Ketiga : Suka berdakwah (Bekerja menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran).

Keempat : Mempunyai sifat berjuang mencapai kecemerlangan dalam hidup.

Kelima : Sentiasa membersihkan dirinya daripada sebarang kemungkaran dan bertaubat kepada Allah SWT.

Keenam : Sentiasa solat berjemaah di masjid dan selalu memperbanyakan amalan sunat.

Ketujuh : Tidak takut kepada cercaan orang yang suka mencela.

Kelapan : Mengetahui dan faham serta mengamalkan segala kewajipannya dengan baik.

Kesembilan : Bersifat lapang dada, penyantun dan pemaaf.

Kesepuluh : Jika ia berkahwin, dia dapat melayan isteri dengan baik kerana sebaik-baik suami adalah suami yang paling baik terhadap isterinya.

958. Soalan : Bolehkah ustaz jelaskan adab- adab bercakap dalam Islam?

Jawapan : 

Terdapat 12 adab- adab bercakap di dalam Islam.

1- Semua perkataan mestilah membawa kebaikan.

Nabi SAW bersabda maksudnya, "Sesiapa yang beriman kpd Allah dan hari akhirat, maka hendaklah berkata baik atau lebih baik dia diam" (HR Bukhari dan Muslim)

2- Bercakap mestilah jelas dan benar.

Aisyah berkata: "Bahawasanya Rasulullah SAW itu selalu jelas sehingga difahami oleh semua yang mendengarnya." (HR Abu Daud)

3- Seimbang dan menjauhi sikap berdolak-dalih.

Sabda Nabi SAW maksudnya, "Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku di hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap dan bersikap sombong dan bercakap." (HR Tirmizi-hadis Hassan)

4- Menghindari banyak bercakap, kerana ditakuti membosankan orang yang mendengarnya.

Hadis riwayat Wail : Adalah Ibnu Masud sentiasa mengajar kami setiap Khamis, maka berkata seorang lelaki, Wahai Abu Abdul Rahman (gelaran kepada Ibnu Masud) kamu mahu mengajar kami pada setiap hari? Ibnu Masud menjawab: Sesungguhnya tiada yang dapat menghalangku memenuhi keinginanmu, hanya aku khuatir membosankan kalian, kerana aku pernag meminta yang demikian daripada Rasulullah SAW dan baginda menjawab: aku khuatir membosankan kamu. " (HR Muttafaq alaih)

5- Menghindari daripada menyatakan yang batil.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Sesungguhnya seorang hamba mengucapkan satu kata yang diredahai Allah yang ia tidak mengira yg akan mendapatkan sedemikian sehingga dicatat oleh Allah keredaanNya bagi orang tersebut hingga hari kiamat. Dan lelaki mengucapkan satu kata yang dikurkai Allah yg tidak dikiranya akan demikian, maka Allah akan mencatat yg demikian hingga kiamat." (HR Tirmizi, katanya hadis hassan sahih. Juga riwayat Ibnu Majah)

6- Mengulangi kata-kata yang penting, jika diperlukan.

Anas berkata apabila Nabi SAW bercakap, maka baginda akan mengulanginya sampai 3 kali sehingga semua yang mendengar menjadi faham dan apabila baginda mendatangi rumah seseorang maka baginda akan mengucap salam 3 kali." (HR Bukhari)

7- Menjauhi perdebatan sengit.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, "Tidak sesat sesuatu kaum setelah mendapat hidayah, melainkan kerana terlalu banyak berdebat." (HR Ahmad dan Tamizi)

8- Menjauhi kata keji, mencela dan melaknat.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, "Bukanlah seorang mukmin jika ia suka mencela, melaknat dan berkata-kat keji. " (HR Tarmizi dan Sanadnya Sahih)

9- Menghindari banyak kelakar.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, "Sesungguhnya seburuk-buruk orang di sisi Allah di hari akhirat ialah orang yang suka membuat manusia lain ketawa." (HR Bukhari)

10- Menghina atau aibkan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Jika seseorang menceritakan satu hal padamu lalu ia pergi, maka ceritanya itu menjadi amanah bagimu untuk menjaganya." (HR Abu Daud dan Tarmizi)

11- Menghindari dusta.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, "Tanda-tanda munafik ada 3: Jika bercakap, ia berdusta, jika ia berjanji ia mungkiri dan jika ia diberi amanah, ia khianat." (HR Bukhari)

12- Menghindari ghibah (umpat mengumpat) dan adu domba.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, "Janganlah kamu saling mendengki, dan janganlah kamu saling benci dan janganlah kamu saling berkata-kata keji dan janganlah kamu saling berpaling muka dan janganlah kamu saling umpat mengumpat (ghibah) dengan yang lain dan jadilah hamba Allah yang bersaudara." (HR Muttafaq Alaih).

Ayat-ayat al-Quran menjelaskan perintah Allah SWT supaya menjaga percakapan.
Kita dikurniakan mulut untuk berkata-kata. Namun bagi setiap perkataan yang diperkatakan pasti ada kesannya kepada orang lain dan kepada diri kita sendiri. 

Oleh itu, kita haruslah berhati-hati dengan percakapan kita. Allah S.W.T berfirman dalam Surah Qaaf, ayat17-18 yang boleh ditranslasikan:-

Firman Allah SWT maksudnya, "Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Surah Qaaf ayat 17-18)

959.Soalan : Ustaz boleh tak duit zakat padi salurkan kepada mangsa banjir?

Jawapan :

Dalam hal ini, perkara yang perlu difahami setiap mangsa kebiasaannya dalam keadaan amat memerlukan bantuan mengikut kadar kemusnahan yang dialami. Boleh jadi aset atau hartabendanya ranap sebahagian kecil, sebahagiannya atau musnah keseluruhannya. Dalam hal ini, marilah sama-sama kita memahami firman Allah SWT daripada Surah al-Taubah ayat 60.


إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ ﴿٦٠﴾
 

Maksudnya : Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Ayat ini menunjukkan bahawa golongan yang berhak menerima zakat hanya lapan golongan sahaja. Jumhur fuqaha’ berpendapat tidak harus diberikan kepada selain daripada yang dinaskan al-Qur’an iaitu lapan golongan ini.


Mazhab Syafi’i menetapkan bahawa wajib dibahagi kepada semua yang ada dalam kalangan asnaf yang berhak menerima zakat. Sedangkan mazhab yang lain memadai dengan sekumpulan daripada golongan yang berhak menerima zakat sahaja. Ini juga difatwakan oleh Ibn Ajil al-Asma’ie dan ramai dalam kalangan ulama’ mutakihr kerana sukar mencari lapan asnaf. Inilah yang disebutkan dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin.


Berkenaan dengan isu di atas, sebahagian ulama’ menganggap bahawa ia adalah bencana yang menyebabkan hartabenda mereka musnah dan memerlukan kepada bantuan serta berhutang samada untuk diri mereka atau keluarga mereka. Justeru, kebanyakan ulama’ memasukkan golongan seperti ini dalam asnaf al-gharimin iaitu orang yang berhutang. Sebahagian ulama’ mensyaratkan jenis hutang ini adalah yang bersifat darurat dan keperluan dan bukan untuk kemewahan atau berfoya-foya.


Oleh kerana itulah kami menyatakan bahawa harus diberi zakat kepada golongan yang terkena mudarat atau bencana samada banjir besar, puting beliung, tanah runtuh, gempa bumi dan lain-lain yang menyebabkan rumah mereka musnah, tanaman mereka binasa, dan tidak ada lagi apa-apa yang mereka miliki. Mereka boleh dikategorikan sebagai golongan al-gharimin yang berhak menerima zakat.

Selain daripada nas di atas, jika dilihat kepada tafsiran ulama’ antaranya Mujahid yang berkata : “3 golongan boleh dikategorikan sebagai al-gharimin iaitu :


1. Mereka yang hartanya dihanyut oleh banjir atau bah.

2. Mereka yang ditimpa kebakaran yang menyebabkan musnah hartanya'

3. Mereka yang mempunyai tanggungan dan tiada baginya harta untuk di infakkan kepada tanggungannya.


Kenyataan seperti di atas oleh Mujahid adalah bertepatan dengan hadith yang sahih yang dinyatakan daripada Qabisah bin Mukhariq al-Hilali yang berkata


 :تَحَمَّلْتُ حَمَالَةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَسْأَلُهُ فِيهَا فَقَالَ " أَقِمْ حَتَّى تَأْتِيَنَا الصَّدَقَةُ فَنَأْمُرَ لَكَ بِهَا " . قَالَ ثُمَّ قَالَ " يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لاَ تَحِلُّ إِلاَّ لأَحَدِ ثَلاَثَةٍ رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا ثُمَّ يُمْسِكُ وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ - أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ - وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلاَثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ لَقَدْ أَصَابَتْ فُلاَنًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ - أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ - فَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا "

“Aku telah menanggung bebanan yang banyak lantas aku pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda mafhumnya : ‘Tetaplah kamu di sini sehingga datang kepada kami sedekah dan kami akan perintahkan supaya diberi kepadamu’. 

Kata Qabisah : ‘Kemudian Baginda SAW bersabda : ‘Hai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta tidak halal kecuali untuk tiga golongan sahaja. Lelaki yang menanggung bebanan maka halallah baginya meminta sehingga menyelesaikannya kemudian menyimpannya, lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya maka halal baginya meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya, lelaki yang ditimpa kefakiran sehingga datang tiga orang lelaki yang berakal dan bermaruah daripada kaumnya mengiyakannya yang dia telah ditimpa kefakiran maka layaklah untuknya meminta sehingga menyelesaikan keperluan hidupnya. Hai Qabisah! Selain daripada itu, meminta-minta itu dianggap sebagai haram dan memakannya adalah haram.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1044)

Imam al-‘Azim al-Abadi menyatakan: “Siapa yang ditimpa hartanya dengan sebab kebinasaan daripada langit atau bumi seperti kesejukan, air batu, tenggelam dan seumpamanya yang menyebabkan tiada lagi baginya barangan untuk hidup maka haruslah baginya meminta sehingga dapat menyelesaikan kehidupannya semula.” [Aun al-Ma’bud 3/36]

Beberapa ulama’ telah memberi fatwa antaranya Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berkata : “Aku khususkan yang mengenai sifat al-gharimin bagi golongan yang terkena bencana alam sehingga binasa harta bendanya dan terpaksa kepada berhutang maka hukumnya dibolehkan. [Fiqh al-Zakat 2/623]

Begitu juga dengan Dr. Husamuddin bin Musa ‘Iffanah, Profesor Fiqh dan Usul dari Universiti al-Quds, Palestin yang menyatakan hukumnya adalah harus diberikan kepada golongan seperti ini.Saya berpendapat harus untuk memberi zakat kepada mereka, sebagaimana pendapat-pendapat yang dikemukakan dan saya cenderung untuk mencadangkan supaya hendaklah diberi kepada Baitulmal, seterusnya Baitulmal akan mengenal pasti golongan yang benar-benar terdesak dan memerlukan bantuan dengan membuat anggaran kerosakan yang ditanggung dan juga keperluan yang dihajatinya. Ini kerana, jika diberi secara langsung dengan kuantiti yang banyak, dibimbangi sebahagian sahaja yang memperolehnya sedangkan sebahagian yang lain tidak mendapat walaupun sedikit. Justeru, pasti rasa tidak selesa akan terwujud pada kebanyakan golongan yang ditimpa bencana yang tidak dapat apa-apa bantuan atau bantuan yang tidak mencukupi.

Baitulmal hendaklah menggerakkan tenaganya dengan seupaya mungkin bagi menyelesaikan kemelut tersebut dengan secepat mungkin kerana keperluan untuk hidup adalah bersifat segera. Semoga jawapan ini dapat memberi pencerahan kepada yang bertanya dalam menyalurkan bantuan berupa zakat ataupun infaq yang lain bagi membantu saudara-saudara seIslam yang terbabit dalam bencana seperti banjir dan lain-lain. Wallahua’lam

(Di petik daripada tulisan : DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRIMufti Wilayah Persekutuan)

960. Soalan : Ada satu ceramah dimasjid.ketika msuk waktu isyak,ceramah dihentikn utk beri laluan kpd azan.slps selesai azan,ceramah disambung kembali.slps habis ceramah baru dilakukn solat isyak berjemaah.boleh ke melambatkan solat? Mohon penjelasan atas segala kemusykilan,terima kasih.

Jawapan :


Semasa ceramah lepas magrib jika penceramah perlukan sedikit masa untuk menutup tajuk yang di bincangkan boleh sambung lagi selepas azan isyak. Melewatkan solat isyak tidak di larang kerana Nabi SAW ada masa melewatkan solat isyak bersama para sahabat Jabir bin Abdullah ra berkata:

والعشاء أحيانا يؤخرها وأحيانا يعجل كان إذا رأهم قد اجتمعوا عجل وإذا رأوهم قد أبطأوا أخر

“ Rasulullah SAW kadang-kadang melewatkan solat Isya dan kadang-kadang menyegerakannya. Apabila melihat para sahabat sudah berhimpun maka baginda akan mneyegerakan. Apabila baginda melihat mereka lambat datang maka Nabi SAW melewatkannya.” (Hadis sahih riwayat Bukhari (565) dan Muslim (646))
 

Zaid bin Khalid mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لو لا أن أشق على أمتي لأمرتهم بالسواك عند كل صلاة ولأخرت صلاة العشاء إلى ثلث الليل

“ Kalaulah tidak menyusahkan ummatku nescaya aku akan wajibkan mereka untuk bersiwak setiap kali solat dan melewatkan isya ke sepertiga malam yang pertama.”(Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi.)
.




No comments:

Post a Comment