Monday, December 15, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 198 ( Tugas Malaikat Hafazah, Wuduk Untuk Wanita Istihadah, Tamakaninah Dalam Solat, Tunaikah Haji Dengan Wang Pinjaman Dan Solat Di Akhir Waktu Dan Waktu Di Haramkan Solat Sunat.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 198 adalah menjelaskan persoalan tugas Malaikat Hafazah, wuduk untuk wanita istihadah, tamakaninah dalam solat, tunaikah haji dengan wang pinjaman dan solat di akhir waktu dan waktu di haramkan solat sunat.

946. Soalan : Apakah fungsi dan tugas Malaikat Hafazah kepada diri kita?

Jawapan : 

Malaikat Hafazah adalah di tugaskan untuk mengawasi apa yang kita lakukan.Malaikat Hafazah juga ditugaskan juga untuk menjaga kita. Antaranya, mereka menjaga orang beriman dari dirasuk jin. Jin tidak boleh mengganggu kita. Tidak boleh nak masuk dalam badan kita. Tapi, apabila seseorang membuat syirik sahaja, tiada penjagaan malaikat. Apabila mereka kembali kepada tauhid, jin dan syaitan kembali tidak boleh ganggu kita lagi. Sebab itu, banyak kisah bagaimana orang yang selalu kena kacau dengan jin kafir atau syaitan, boleh nampak jin kafir dan sebagainya, apabila mereka kembali belajar tauhid, tiada lagi jin yang kelihatan. Itu adalah kerana jin sudah tidak boleh mengganggu mereka lagi.

Lihat ayat Firman Allah SWT dalam surah ar- Ra'd ayat 11.

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ

Maksudnya, "Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah.Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia." (Surah ar-Ra'd ayat 11)

Selain dari menjaga kita dari gangguan jin dan syaitan, malaikat-malaikat itu juga menjaga kita daripada perkara-perkara lain seperti dari kemalangan. Kadang-kadang kita boleh dengar bagaimana orang yang mengalami kemalangan yang besar tetapi dia selamat sahaja. Kereta remuk, dan kita terfikir macam manalah orang yang di dalamnya boleh terselamat. Tapi begitulah Allah telah tugaskan malaikat untuk menjaga kita. Selagi belum sampai habis ajal kita, selagi itu kita akan diselamatkan dari kematian.
Lihat juga Firman Allah SWT Surah at-Tariq ayat 4.

إِنْ كُلُّ نَفْسٍ لَمَّا عَلَيْهَا حَافِظٌ

Maksudnya, "Tidak ada suatu jiwapun (diri) melainkan ada penjaganya." (Surah at- Tariq ayat 4)

Jadi malaikat itu ada dua tugas: untuk mengawasi apa yang kita lakukan dan untuk menjaga kita.

Sebenarnya Allah SWT yang menjaga kita tetapi Allah SWT telah memberikan tugas itu kepada para malaikat. Ini menunjukkan betapa sayangnya Allah SWT kepada kita sampai Allah SWT menghantarkan malaikat-malaikat untuk menjaga kita. Bukan satu malaikat saja diberikan kepada seorang manusia tetapi ramai malaikat diberikan kepada manusia itu.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

Maksudnya :"Sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu,"

Malaikat itu bukan berterusan menjaga kita. Mereka ada masa yang terhad. Mereka akan menjaga kita selama hayat kita masih ada lagi. Apabila telah habis hayat kita, tugas malaikat itu pun sudah habis bertugas. Waktu itulah kalau kemalangan, maka itulah sebab kematian kita.

تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا

Maksudnya, "ia diwafatkan oleh malaikat-malaikat Kami,"

Kemudian, ada pula malaikat yang diwakilkan untuk ambil nyawa kita. Lihat Ayat as-Sajdah ayat 11.

۞ قُلْ يَتَوَفَّاكُمْ مَلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

Maksudnya, "Katakanlah: “Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa) mu akan mematikanmu, kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan”. (Surah as-Sajdah ayat 11)

Malaikat-malaikat itu hanya mengikut arahan Allah SWT sahaja. Dan daripada hadis kita dapat tahu bahawa bukan satu malaikat saja yang terlibat dalam proses kematian kita tetapi ramai malaikat. Ada ramai malaikat yang akan menyambut kita jikalau kita adalah roh yang baik. Begitu juga, akan ramai malaikat yang menarik seseorang dengan ganas kalau seseorang roh yang jahat.

947. Soalan : Bagaimana cara-cara mengambil wuduk untuk wanita yang beristihadah?

Jawapan :  

Persoalannya di sini, adakah perkara ini dianggap suatu keuzuran yang mengharuskan orang yang sentiasa dalam hadas ini untuk meninggalkan sembahyang atas alasan sembahyangnya tidak akan sah kerana sentiasa dalam hadas? 
  
Persoalan ini terjawab dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha, bahawa Fatimah binti Abu Hubaisyh radhiallahu ‘anha telah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam:     
  
Maksudnya:“Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya adalah perempuan yang beristihadhah, sehingga saya tiada (waktu) suci. Apakah saya boleh meninggalkan sembahyang?” Maka Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pun menjawab: “Tidak, itu hanyalah ‘Irq (pendarahan) dan ia bukannya haid. Oleh kerana itu jika datang haidmu, maka tinggalkan sembahyang, dan jika kadar masa telah berlalu (tamat), maka bersihkanlah darah daripada dirimu, kemudian sembahyanglah”. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)
  
Dalam hadis ini, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan jelas menegaskan bahawa perempuan yang dalam istihadhah, sungguhpun keadaan mereka itu menyebabkan mereka sentiasa dalam keadaan berhadas, ianya bukanlah satu keuzuran yang mengharuskan mereka untuk meninggalkan sembahyang. 
  
Maka para ulama pun mengqiaskan hukum tetap wajib sembahyang ke atas perempuan istihadhah dalam hadis ini dengan keadaan-keadaan seumpamanya yang lain yang menyebabkan seseorang itu sentiasa dalam keadaan berhadas, seperti orang yang sentiasa keluar air kencing, air mazi, kentut dan sebagainya. 
  
Jelasnya di sini, orang yang sentiasa dalam hadas itu tetap sahaja wajib mengerjakan sembahyang. Akan tetapi, terdapat beberapa perkara yang wajib diketahui dan wajib dipatuhi oleh orang yang sentiasa dalam hadas ini dalam perkara mengambil wuduk dan begitu juga dalam perkara mengerjakan sembahyang itu sendiri. 
  
Menurut ulama, orang yang sentiasa dalam hadas disyaratkan untuk berwuduk bagi setiap kali hendak menunaikan sembahyang fardu dan disyaratkan juga supaya wuduk itu dikerjakan sesudah masuk waktu sembahyang. Jadi, tidak sah wuduk itu jika dikerjakan sebelum masuk waktu sembahyang fardu yang hendak ditunaikan itu.  
  
Ini kerana wuduk yang dikerjakan oleh orang yang seumpama ini adalah  thaharah (penyucian) ketika darurat, jadi tidaklah harus baginya untuk mengerjakan sesuatu sebelum tiba waktunya disebabkan ketiadaan darurat pada ketika itu. 
  
Sebelum berwuduk, orang yang sentiasa dalam hadas disyaratkan supaya beristinja' terlebih dahulu kemudian bersegera menampal tempat keluar najis  dengan sesuatu yang dapat menghalang najis daripada mengotori pakaian (memakai tuala wanita), tempat sembahyang dan sebagainya. 
  
Kemudian hendaklah orang tersebut bersegera mengambil wuduk dengan memastikan bahawa wuduk itu dikerjakan sesudah masuk waktu sembahyang sepertimana yang telah disebutkan tadi.   Dari segi niat pula, orang yang sentiasa dalam hadas ini tidak memadai wuduknya jika ianya diniatkan bagi mengangkat hadas semata-mata, bahkan hendaklah diniatkan wuduknya itu bagi membolehkan dan mengharuskannya mendirikan sembahyang. Ini kerana pada hakikatnya, hadas  orang tersebut tidak terangkat disebabkan air kencing atau darah istihadhah atau sebagainya yang sentiasa keluar atau boleh keluar pada bila-bila masa. 
  
Contoh niat wuduk bagi mengharuskan sembahyang itu adalah seperti berikut:  “Sahaja aku berwudhu bagi mengharuskan sembahyang fardu Zuhur kerana Allah Ta‘ala”.
  
Walaubagaimanapun, menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah, sunat disatukan niat mengangkat hadas dengan niat mengharuskan sembahyang sebagai jalan keluar daripada perselisihan pendapat di kalangan para ulama dalam permasalahan niat wuduk bagi orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas ini. 
  
Contoh niatnya:  “Sahaja aku mengangkat hadas bagi mengharuskan sembahyang fardu Zuhur kerana Allah Ta‘ala”. 
  
Perlu diingat di sini bahawa  satu wuduku hanya sah untuk mendirikan satu sembahyang fardu sahaja. Maka tidak sah orang tersebut mendirikan sembahyang fardu yang lain jika dia telahpun mengerjakan satu sembahyang fardu dengan wuduknya itu tadi walaupun pada hakikatnya wuduknya itu belum lagi batal. 
  
Jelasnya di sini, jika orang tersebut hendak mengerjakan sembahyang fardu yang lain selepas itu, misalnya hendak mengerjakan sembahyang nazar, maka wajib ke atasnya untuk berwuduk sekali lagi. 
  
Walaubagaimanapun, had satu wuduk bagi satu sembahyang fardu ini hanya dikhususkan bagi sembahyang fardu sahaja. Adapun bagi sembahyang sunat pula, orang tersebut diharuskan mengerjakan sembahyang sunat  dengan wuduknya itu sebanyak mana yang dikehendakinya tanpa perlu  berwuduk kembali walaupun setelah mengerjakan sembahyang fardu. 
  
Jika dia meniatkan wuduk itu  untuk mengharuskan sembahyang fardu secara umum tanpa menentukan adakah ia sembahyang fardu Subuh, atau sembahyang fardu Zuhur, atau sembahyang fardu Asar, sembahyang qada' dan sebagainya, misalnya dia berniat:  “Sahaja aku berwuduk bagi mengharuskan sembahyang fardu kerana Allah Ta‘ala”, maka dalam hal ini dia boleh mengerjakan apa sahaja satu sembahyang fardu dan beberapa apa sahaja sembahyang sunat. 
  
Walaubagaimanapun, jika dia meniatkan wuduk itu untuk mengharuskan sembahyang sunat semata-mata, maka tidak sah baginya mengerjakan sembahyang fardu. 
  
Jika dia meniatkan wuduk itu  untuk mengharuskan sembahyang semata-mata tanpa menentukan  sembahyang apakah yang ingin dikerjakannya, misalnya dia berniat: “Sahaja aku berwuduk bagi mengharuskan sembahyang kerana Allah Ta‘ala”, maka menurut pendapat yang  ashah (yang lebih sahih) dalam mazhab asySyafi‘e, wuduknya itu hanya memadai untuk mengerjakan sembahyang sunat sahaja dan  tidak memadai untuk mengerjakan sembahyang fardu.   
  
Manakala wuduk yang diniatkan bagi mengharuskan atau mengerjakan ibadat lain seperti sujud tilawah, menyentuh atau membaca al-Qur‘an dan sebagainya tidaklah memadai untuk membolehkannya mengerjakan ibadat sembahyang sama ada sembahyang fardu mahupun sembahyang sunat kerana ibadat sembahyang lebih tinggi daripada ibadat-ibadat tersebut. 
  
Ini kerana niat untuk mengharuskan suatu ibadat yang lebih rendah tidak memadai untuk mengharuskan suatu ibadat yang lebih tinggi. 
  
Sembahyang Orang Yang Sentiasa Dalam Hadas :
  
Orang yang menghadapi  masalah seperti ini, selain disyaratkan untuk mengerjakan wuduk setelah masuk waktu sembahyang fardu yang hendak dikerjakannya, disyaratkan juga ke atasnya supaya segera menunaikan sembahyang fardu sebaik sahaja selesai berwuduk.

Bagaimanapun, diharuskan baginya melewatkan sedikit sembahyangnya itu kerana keperluan atau tuntutan yang berkaitan dengan sembahyang seperti menutup aurat, azan, iqamat, berijtihad dalam menentukan qiblat, berusaha mencari pendinding tempat dia bersembahyang dan sebagainya. Akan tetapi jika dia melewatkannya tanpa sebarang keuzuran, maka batallah wuduknya kerana dia telah melampaui batas yang telah ditentukan. 
  
Secara ringkasnya, orang yang sentiasa dalam hadas itu tetap wajib ke atasnya untuk mendirikan sembahyang fardu. Jika dia hendak mengerjakan sembahyang fardu, hendaklah dia beristinja' terlebih dahulu kemudian segera menampal tempat keluar najis dengan sesuatu yang dapat menahan najis daripada mengotori pakaian, tempat sembahyang dan sebagainya. 
  
Selepas itu hendaklah dia segera berwuduk dengan memastikan bahawa wuduknya itu dikerjakan setelah  sabit masuk waktu sembahyang fardu yang hendak dikerjakannya dengan mematuhi kaedah berniat yang telah disebutkan sebelum ini. Sebaik sahaja selesai berwuduk, maka hendaklah dia terus sahaja mengerjakan sembahyang fardu tersebut kecuali jika ada keperluan atau tuntutan yang berkaitan dengan sembahyang yang memerlukannya melakukan demikian. Wallahu a'lam.

948. Soalan : Apakah dia tamakninah? Adakah solat jika seseorang solat tidak melakukan tamakninah?

Jawapan : 

Tamakninah adalah berhenti ketika seketika masanya adalah sekadar membaca subhanallah. ketika 1. rukuk,2. iktidal, 3. sujud dan 4. duduk antara dua sujud .

Tidak menyempurnakan rukuk dan sujud merujuk kepada rukuk dan sujud dalam solat yang tidak disertakan dengan tamakninah, menyebabkan rukuk dan sujudnya tidak sah. 

Dalam mazhab Syafie dan Hanbali, tamakninah adalah rukun solat yang mana tanpanya, solat seseorang jadi tidak sah. Orang yang solat dalam keadaan cepat atau laju tanpa menyempurnakan tamakninah termasuk dalam kategori orang yang mencuri dalam solatnya, bahkan Nabi Muhammad SAW menyatakan itulah sejahat-jahat pencuri. 

Ada beberapa tempat dalam solat yang mesti disertakan tamakninah iaitu ketika rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud. Jika pengabaian terhadap tamakninah ini dilakukan berterusan tanpa diambil peduli, maka rugi dan sia-sialah solat. 

Rasulullah SAW melarang solat yang dilakukan seperti burung yang mematuk makanan, iaitu pantas berdiri dan sujud dalam waktu yang singkat. Suatu masa Rasulullah SAW memasuki masjid, lalu masuk seorang lelaki ke masjid untuk melakukan solat. Selesai solat, ia mendatangi Rasulullah seraya mengucapkan salam. Setelah menjawab salam, Baginda berkata: “Kembalilah ke tempatmu dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum solat. Lelaki itu lalu solat semula seperti tadi, tetapi Rasulullah SAW tetap menyatakan yang sama iaitu menyuruh lelaki itu solat semula kerana menurut Rasulullah SAW, lelaki itu belum mengerjakan solat (secara sepatutnya). Hal ini berulang sampai tiga kali. 

Lalu lelaki itu berkata: Demi zat yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, aku tidak boleh mengerjakan yang lebih baik daripada ini, maka ajarlah aku. Baginda pun mengajarnya: Apabila engkau berdiri menunaikan solat maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagimu, kemudian rukuklah sehingga engkau tamakninah dalam keadaan engkau rukuk, kemudian bangkitlah sehingga engkau tamakninah dalam keadaan engkau iktidal, kemudian sujudlah sehingga engkau tamakninah dalam keadaan sujud, kemudian bangkitlah sehingga engkau tamakninah dalam keadaan duduk. Engkau buatlah yang demikian itu dalam semua solat engkau.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Tamakninah dapat dianggap sebagai adab dalam solat. Bermakna dengan bertamakninah, seorang Mukmin itu beradab ketika solatnya kerana ketika solat, ia sedang berhadapan dengan Allah SWT yang Maha Esa. 

Membuang tamakninah bukti bahawa pelaku solat itu tidak sungguh-sungguh dalam melakukan adab dan penghormatan terhadap Allah. 

Daripada Huzaifah, beliau pernah melihat orang yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujud ketika solat dan terlalu cepat. Setelah selesai, Huzaifah menegurnya: “Sudah berapa lama anda solat seperti ini? Ia menjawab: 40 tahun. Huzaifah mengatakan: Engkau tidak dihitung solat selama 40 tahun (kerana solatnya batal). Selanjutnya kata Huzaifah: Jika kamu mati dalam model solatmu masih seperti ini, maka engkau mati bukan di atas fitrah (ajaran) Muhammad SAW.” (Hadis Riwayat Bukhari, Ahmad dan Nasa’i)

Rasulullah SAW bersabda: “Sejahat-jahat pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana ia mencuri dalam solatnya? Baginda menjawab: Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad) 

Hadis ini ada kaitannya dengan tamakninah (berhenti seketika) yang diabai dan dilupakan kebanyakan Mukmin ketika mengerjakan solat. Tamakninah termasuk salah satu daripada rukun solat yang mesti dilakukan namun masih ramai yang cuai. 
Ucapan Rasulullah iaitu tidak menyempurnakan rukuk dan sujud merujuk kepada rukuk dan sujud dalam solat yang tidak disertakan dengan tamakninah, menyebabkan rukuk dan sujudnya tidak sempurna. 

949. Soalan : Bolehkah saya hantar ibu saya menunaikan haji dengan wang pinjaman saya di Bank Islam?

Jawapan : 

Jika wang ringgit masih belum mencukupi tidak di wajibkan untuk mengerjakan haji. Tidak di galakkan meminjam untuk menunaikan fardu haji. Syarat wajib menunaikan haji adalah mencukupi perbelanjaan pergi dan balik. 

Para ulama sepakat menyatakan hukum wajib tidak akan tertanggung ke atas seseorang lelaki dan wanita selagi syarat "istita'ah" atau ‘kemampuan' belum diperolehi.
Pengertian istita'ah secara mudah lagi ringkas, adalah sebagaimana yang di nyatakan oleh Nabi SAW ketika ditanya akan ertinya, baginda Nabi SAW menjelaskan :

الزاد والراحلة

Ertinya : Bekalan dan pengangkutan perjalanan ( Hadis Riwayat At-Tirmidzi; berkata At-Tirmidzi & An-Nawawi : Hadis Hasan : Al-Majmu', 7/41 (Hadis dhaif : Imam Ibn Munzir mengatakannya dhaif, )

Jelas dari hadis yang memperincikan erti istita'ah di atas, terdapat dua perkara utama iaitu :-
1- Bekalan.

Erti bekalan di sini adalah bekalan makanan, minuman dan pakaian yang mencukupi sepanjang pemergiannya sehinggalah kepulangannya. ( I'anah At-Tolibin, 2/281 ; Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/316)

2- Kenderaan dan Perjalanan.

Kenderaan dan perjalanan mestilah sesuai dan diyakini keselamatannya, kenderaan pula mestilah diperolehi sama ada dengan membelinya atau menyewa. ( Al-Mughni, Ibn Qudamah)

Dua Isu Utama :

Dua bekalan yang perlu untuk syarat kewajiban haji adalah jelas, namun bagaimana dengan isu yang ingin kita bincangkan? Ia seperti berikut :-

a) Berhutang melalui pembiayaan Islam untuk menunaikan haji.

Berhutang untuk menunaikan Haji jika dilihat dari satu sudut, ia seolah-olah menunjukkan ketidakmampuan seseorang atau belum mempunyai kelayakan dan bekalan mencukupi untuk menunaikan ibadah Haji.

Dari sudut yang lain pula, ia mungkin juga boleh menunjukkan status kemampuan, cuma kemampuan itu memerlukan sedikit masa, maka untuk mempercepatkan status ‘mampu', ia membuat pinjaman.

Jika itu dua kemungkinannya, adakah seseorang dituntut untuk meminjam semata-mata untuk tujuan Haji.? Apatah lagi pembiayaan dari Institusi Kewangan yang akan menyebabkan kos yang lebih tinggi dari harga asal kos haji.

Jawab ringkasnya TIDAK PERLU DAN IA BUKAN PRIORITY. Itulah jawapan ringkas yang diberikan oleh Nabi SAW apabila ditanya oleh seorang sahabatnya Abdullah Bin Abi Awfa,

سألته عن الرجل لم يحج أيستقرض للحج ؟ قال : لا

Ertinya : Berkata Abdullah : Aku bertanya kepada Nabi SAW berkenaan seorang lelaki yang belum menunaikan Haji, adakah boleh ia meminjam wang untuk Haji? , jawab Nabi : tidak" (Musnad As-Syafie ; 1/109 ; Al-Um, 2/116 )

Imam Asy-Syafie berkata berselepas itu :

ومن لم يكن في ماله سعة يحج بها من غير أن يستقرض فهو لا يجد السبيل

Ertinya : Barangsiapa yang tidak mempunyai kemudahan, keluasan (lebihan) harta yang membolehkannya menunaikan haji tanpa membuat pinjaman, ketika itu DIA DIANGGAP TIDAK BERKELAYAKAN ( TIADA BEKALAN) UNTUK PERGI HAJI" ( Al-Umm, 2/116)
Islam tidak memberatkan kecuali kepada mereka yang benar-benar sudah sampai kemampuan dan bukan kemampuan yang dipaksa-paksa sebelum tiba saatnya.

950. Soalan : Saya nak bertanya kalau saya tengah solat zohor waktu asar pun sampai. haruskah saya qada zohor? dan apakah waktu-waktu di larang solat sunat?

Jawapan : 

Jika saudara dapat satu rekaat setelah bangun daripada rukuk dan azan asar berkumandang maka saudara telah mendapat solat zuhur, teruskan solat sehingga selesai. Jika saudara baru baca al Fatihah rekaat pertama kemudian mendengar azan asar maka teruskan juga solat zohor sehingga selesai tetapi pahala yang saudara dapat adalah pahala solat qada zohor. Jangan niat qada' teruskan solat zohor seperti biasa. hingga salam.

Diriwayatkan hadis daripada Abi Hurairah (r.a) bahawa Rasulallah SAW bersabda: ‘Barangsiapa mendapat satu rakaat dari solat Subuh sebelum bahawa terbit matahari, maka sungguh-sungguh mendapat (dia) solat Subuh, dan barangsiapa mendapat satu rakaat dari solat ‘Asar sebelum bahawa terbenam matahari, maka sungguh-sungguh mendapat (dia) solat ‘Asar.’ (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat)

Mengikut hadis di atas, Rasulallah SAW memberikan ketetapan syariat bahawa jika kita dapat satu rakaat solat Subuh, yakni apabila sempat kita selesaikan rakaat pertama, kemudian naik matahari, yakni luput waktu Subuh, kita tetap dikira telah mendapat keseluruhan solat Subuh itu. Yakni, walaupun matahari sudah terbit, kita hendaklah teruskan rakaat kedua. Walaupun, kemudahan sedemikian diberikan kepada kita, tidaklah kita menjadikan amalan biasa mensolatkan solat-solat kita pada waktu-waktu yang hampir kepada waktu haram bersolat. Begitu juga untuk solat zohor, asar, magrib dan isyak jika mendapat 1 rakaat tiba-tiba azan berkumandang maka kita telah mendapat keseluruhan solat tersebut.

2. Waktu-waktu yang di haramkan solat sunat.

Perkara ini ada disebutkan di dalam hadis :

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم نهى عن صلاة بعد العصر حتى تغرب الشمس ، وبعد الصبح حتى تطلع الشمس

Daripada Abi Hurairah r.a : “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang dari mengerjakan solat selepas Asar sehingga terbenam matahari dan solat selepas Subuh sehingga terbit matahari.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Dawud, Imam Tirmizi,Imam Nasaie dan Imam Ahmad.). 

Daripada Uqbah bin Amir Al Juhani r.a., katanya:

ثَلَاثُ سَاعَاتٍ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْهَانَا أَنْ نُصَلِّيَ فِيهِنَّ أَوْ أَنْ نَقْبُرَ فِيهِنَّ مَوْتَانَا حِينَ تَطْلُعُ الشَّمْسُ بَازِغَةً حَتَّى تَرْتَفِعَ وَحِينَ يَقُومُ قَائِمُ الظَّهِيرَةِ حَتَّى تَمِيلَ الشَّمْسُ وَحِينَ تَضَيَّفُ الشَّمْسُ لِلْغُرُوبِ حَتَّى تَغْرُبَ

“Ada tiga waktu yang Rasulullah SAW melarang kita solat atau menguburkan jenazah pada waktu-waktu tersebut. Pertama, ketika matahari terbit hingga ia agak meninggi. Kedua ketika matahari tepat berada di pertengahan langit (tengah hari tepat) hingga dia telah condong ke barat. Ketiga, ketika matahari hampir terbenam sehingga dia telah tenggelam sama sekali.” Dari Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jika hijab matahari telah terlihat, tangguhlah solat sehingga benar-benar nampak. Jika matahari menghilang, tangguhlah solat sampai matahari benar-benar terbenam.” (Muttafaq ‘alaih). 

Lima Waktu Ditegah Melakukan Solat
.
Dalam banyak waktu solat yang perlu diwaspada adalah mengenai lima masa yang dilarang melakukan solat sunat. Bilakah lima waktu tersebut?
.
1) Sesudah menunaikan Solat Fardhu Subuh sehingga terbit matahari.

2) Semasa terbit matahari sehingga ia meninggi kadar setombak.

3) Ketika matahari tegak di atas kepala sehingga ia condong ke barat.

4) Selepas menunaikan Solat Fardhu Asar sehingga terbenam matahari.

5) Semasa matahari hampir terbenam sehingga tenggelam seluruh bulatannya.

No comments:

Post a Comment