Friday, December 5, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 196 (Hak Jiran, Petua Orang Tua Tidak Ada Nas, Hutang Dalam Islam, Wanita Sebagai Fitnah Dan Hati Terhijab.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 196 adalah menjelaskan persoalan hak jiran, petua orang tua tidak ada nas, hutang dalam Islam, wanita sebagai fitnah dan hati terhijab.

936. Soalan : Ustaz, belakang rumah saya terdapat sebuah rumah kongsi, yang menjadi tempat tinggal sementara pekerja kontrak (Indonesia, Bangladesh) serta beragama Islam, soalan saya ustaz, apakah mereka mempunyai hak-hak sebagai jiran?

Jawapan :

Mereka adalah jiran saudari dan mereka ada hak jiran. Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Berapa banyak jiran yang memegang tetangganya pada hari kiamat untuk diajukan kepada Allah SWT lalu berkata: 'Ya Allah orang ini telah menutup pintunya daripadaku dan tidak membantu aku'." (Hadis Riwayat Bukhari) 

Dalam hadis yang lain Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Tidak akan masuk syurga orang yang jirannya tidak aman dari gangguan-gangguannya" (Hadis Riwayat Muslim). 

Hak berjiran adalah satu perkara yang amat dititikberatkan oleh agama Islam. Dalam Islam, jiran adalah mereka yang dekat dengan rumah kita. Dalam bahasa klasik disebut, 40 buah rumah ke kanan dan 40 rumah ke kiri, 40 ke atas dan 40 ke bawah.

Ukuran ini menjadi relevan dengan rumah pangsapuri dan flat pada hari ini. Malah kehidupan dalam sesebuah taman perumahan. Semua mereka itu adalah jiran saudari.

Sebagai jiran kita, masing-masing ada kewajipan dan ada hak. Abdullah Nasih `Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, ada memberikan empat asas yang semua pihak patut fahami, malah mengamalkannya:

1. Jangan menyakiti jiran.

Dasar ini memberi erti tidak boleh sama sekali melakukan zina, mencuri, mengutuk dan mencampakkan sampah sarap ke rumah jiran. Jadi perbuatan buruk terhadap jiran anda itu amatlah salah. Melakukan zina atau melakukan pencurian terhadap jiran sepuluh kali ganda lebih buruk daripada melakukannya kepada pihak lain. Hingga hadis Bukhari ada menyebut Tidak beriman mereka yang menyakiti jiran.

Manakah lagi satu perbuatan keji selain daripada berzina dengan anak jiran atau mencuri hak mereka. Ia boleh diibaratkan membuang najis ke dalam periuk nasi.

2. Memelihara jiran.

Setiap daripada kita wajib memelihara jiran. Sikap ini menandakan hati yang bersih. Sekali lagi Nabi SAW  mengingatkan , "Siapa yang memenuhi hajat jirannya, Allah akan memenuhkan hajatnya." . Segala kebaikan hendaklah diberikan kepada jiran.

3. Berbuat baik kepada jiran.

Dengan maksud jika jiran bergembira seperti dapat menantu, anak-anak lulus dengan baik dalam peperiksaan atau pelajaran, maka ikutlah sama memberikan tahniah dan jika mereka berduka kerana kematian keluarganya, berilah takziah, walaupun bukan seagama. Malah jika mereka ditimpai sakit ziarahilah mereka. Jika anda bertemu berilah salam atau sapalah mereka. Ertinya, jika ada keperluan mereka kepada pertolongan, mereka hendaklah dibantu. Dalam hal ini nabi Muhammad SAW. meletakkan mereka yang menghormati jiran itu sebagai tanda orang yang beriman.

Sebagai orang yang dekat, jiranlah tempat kita memohon pertolongan apa sahaja keperluan .Kepada jiran dalam perkara ini melebihi keluarga sendiri yang tinggal jauh. Jika habis air, garam,beras atau keperluan harian yang lain, maka jiranlah tempat mengadu, apa lagi di kampung. Jika ada kenduri kendara memerlukan kawasan, mangkuk pinggan, atau peralatan dapur, siapa lagi jika bukan jiran yang menjadi tempat untuk meminta bantuan.
Sikap dan perbuatan jiran anda yang di sebut di atas, bertentangan sama sekali dengan itu semua. Namun bagi kita pula hendaklah mengambil sikap dasar seterusnya.

4. Menanggung kejahatan jiran.

Kata pepatah melayu buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali. Memang jika diikutkan hati yang panas, apa sahaja mahu dilakukan kepada jiran yang sebegitu rupa. Tetapi Islam meletakkan mereka yang membalas kejahatan jiran dengan kebaikan sebagai kedudukan yang paling mulia.

Rasulullah SAW selalu memuji orang yang berlapang dada, mudah memaafkan, memberi kepada mereka yang enggan berbuat begitu kepada kita, malah menghubung silaturrahim dengan mereka yang memutuskan silaturrahim.

Membalas kejahatan dengan kejahatan akan merosakkan perpaduan. Jika ada ruang untuk membaiki keadaan secara baik, itulah jalan paling selamat. Justeru itu kita dituntut memiliki perasaan bersabar dan tidak mudah jadi pemarah. Jangan bersikap panas baran
Dalam perkara ini pendidikan sejak awal perlu disemai, di mana setiap orang dididik agar tahu dan amalkan sikap berbaik-baik dengan jiran . Wallahu a'lam

937. Soalan : Amalan membasahkan pinggan makanan dengan sedikit air setiap kali selepas makan dari zaman tok nenek sebagai petua agar rezeki yang diperolehi tidak putus-putus itu, apakah hukumnya ustaz? Mohon penjelasan dr ustaz.

Jawapan :

Amalan basahkan sedikit air selepas makan tak ada nas yg sahih yang menyuruhnya dan kepercayaan tersebut boleh mendapat rezeki satu kepercayaan kurafat wajib di tinggalkan. Nabi suruh habiskan makanan dan tak tinggal sia-sianya

Kita tak boleh berpegang pada petua yang bersangkut paut dengan perkara akan datang dan akidah, rezeki, bala, jodoh, umur pendik, kedatangan tetamu, akan menangis kerana semua perkara ghaib adalah urusan Allah SWT melainkan jika ada nas yang membenarkannya. Tetapi jika petua bersangkut paut dengan masaalah kesihatan kita boleh terima contoh : wanita baru bersalin tak boleh makan timun, jangan banyak bergerak ada kebaikakannya kerana timun sayur yang sejuk dan akan menganggu rahim wanita dan banyak bergerak boleh berlaku tumpah darah. Jangan mandi waktu malam - kajian doktor jika kerap mandi malam boleh menimbulkan msaalah kesihatan seperti asma atau paru-paru berair. Anak-anak kena masuk rumah sebelum magrib - ada hadis yang menyatakan syaitan berkeliaran waktu magrib melainkan nak pergi ke surau atau masjid untuk solat magrib. 

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda dalam hadis yang panjang, yang telah diriwayatkan oleh Syaikhani, Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim,

خَمْسٍ لَا يَعْلَمُهُنَّ إِلَّا اللَّهُ ثُمَّ تَلَا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ }

“Ada lima perkara (ghaib) tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah, kemudian Rasul membaca (QS Luqman 34) : 

(1) sesungguhnya hanya disisiNya lah ilmu tentang hari kiamat; 

(2) Dan Dia yang menurunkan hujan; 

(3)Dia yang mengetahui apa yang ada dalam rahim; 

(4) dan tidak ada orang yang mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakan/diperoleh besok, 

(5) dan tidak ada seorangpun yang mengetahui di bumi mana ia akan meninggal dunia. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, maha mengenal.”

Tidak benar rezeki berlaku sebab tuang air selepas makan, bukankah rezeki itu urusan Allah SWT? . Amalan sunah yang di suruh oleh Nabi SAW adalah seperti berikut : 

Sesudah makan menjilat pingan dan jari. Sabda Nabi SAW bermaksud : "Sungguh kamu tidaklah mengetahui (bahagian) manakah (makanan kamu) yang mengandungi keberkatan.' (Hadis Riwayat Muslim)

Malah Rasulullah SAW menyuruh umatnya agar menyapu makanan dalam pingan (untuk dimakan) .

"Perbuatan Nabi SAW dimana baginda menjilat (dan menghisap) sisi-sisi makanan (serta memakannya) daripada tiga putung jari (yang menjemput makanan) sebelum lagi baginda menyapu jari-jarinya." (Hadis Riwayat Musliam) . Bukannya menuang air di pinggan selepas makan.

Sebagai umat Islam generasi baru yang memahani Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna maka kita boleh kaji balik petua-petua orang tua-tua mana yang berkaitan dengan kesihatan maka boleh di ambil dan ada ulasan dan kajian doktor atau pakar perubatan. Mana-mana petua yang ada nas hadis seperti larang anak-anak di waktu senja, tutup tingkap dan pintu, tutup bekas air minuman , tak boleh buang air di air bertakung, maka kita letakkan hadis daripada nabi SAW dan mana-mana yang lansung tak ada nas dan ianya bersangkut paut rezeki atau tetamu akan datang (perkara ghaib) maka kita buangkan terus tak boleh di amalkan. Maka dengan ini barulah umat islam akan berpegang pada petua yang tak bertentangan dengan syariat dan dapat beramal dengan suatu amalan yang jelas datangnya daripada Rasulullah SAW.

938. Soalan : Bagaimana ustaz jika seseorang mempunyai hutang, dia berhajat nak membayarnya tetapi belum sempat dia meninggal dunia siapa yang akan membayar hutang tersebut? Anak-anak dan waris si mati tidak di maklumkan.

Jawapan : 

Jika seseorang berhutang tetapi dia berniat hendak membayarnya jika berkemampuan, tetapi dengan izin Allah SWT dia meninggal dunia, maka dia di kira tidak berdosa kerana bukan di sengajakan untuk tidak membayar hutang.

Terdapat hadis menegaskan;

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ

“Sesiapa mengambil harta orang lain dengan keinginan untuk membayarnya, Allah akan membayar bagi pihaknya. Sesiapa mengambilnya dengan keinginan untuk memusnahkannya (yakni tiada keinginan untuk membayarnya), Allah akan memusnahkannya” (Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Hurairah r.a. Soheh al-Bukhari, Kitab al-Istiqradh…, hadis no. 2387).

Menurut penjelasan ulama ; maksud “mengambil harta orang lain’ merangkumi mengambilnya sebagai hutang, mengambilnya untuk menyimpanya (wadi’ah), melalui melalui satu bentuk mu’amalah atau lain-lainnya. Ia tidak terikat dengan mengambil secara zalim sahaja. Maksud; “dengan keinginan untuk membayarnya” ialah; berniat untuk membayarnya ketika di dunia.

Maksud “Allah akan membayar bagi pihaknya” ialah; Allah akan membantunya untuk membayarnya atau Allah akan melapangkan rezkinya sehingga ia dapat membayar hak orang lain sebelum kematiannya. Atau boleh juga difahami dengan maksud doa dari Nabi SAW, iaitu; “Semoga Allah akan membayar bagi pihaknya”.

Menurut Imam al-Munawi; makna zahir hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa berniat untuk menunaikan/membayar (hutang kepada orang lain yang tertanggung atas bahunya), kemudian ia mati sebelum sempat membayarnya kerana kesusahannya atau kerana matinya secara tiba-tiba, Allah tidak akan mengambil dari kebaikan-kebaikannya di akhirat (untuk dibayar kepada pemilik hutang tadi), akan tetapi Allah akan menjadikan pemilik hutang redha kepadanya (dan tidak menuntut haknya)” (Faidhul-Qadier, hadis no. 8351).

Maksud “mengambil dengan keinginan untuk memusnahkannya” ialah mengambil hak orang lain tanpa berniat membayarnya. Maksud “Allah akan memusnahkan hartanya” ialah; Allah akan memusnahkan hartanya di dunia dengan mentakdirkan banyak berlaku dugaan kepadanya, kerugian demi kerugian, musibah dan terhapusnya barakah, dan di akhirat pula Allah akan menghukumnya kerana hak orang lain tersebut.

Abu Hurairah r.a. menceritakan; Suatu hari Nabi SAW pernah bertanya sahabat-sahabatnya; ‘Tahukah kamu siapa orang muflis?’. 

Mereka menjawab; ‘Orang muflis mengikut kefahaman kami ialah seorang yang tidak memiliki wang (untuk membayar hutangnya) dan tidak pula memiliki barang (untuk digadai bagi membayar hutangnya)’. 

Lalu Nabi SAW bersabd maksudnyaa; “Seorang muflis dari kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) ia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah oang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian dari pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditapukkan ke atasnya hingga akhirnya ia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)” (Hadis Riwayat Muslim. Soheh Muslim, kitab al-Birri wa as-Shilah wa al-Adab, hadis no. 2581).

939. Soalan :  Saya ada 2 soalan ingin minta ustaz memberikan pencerahannya :

1. Bolehkan ustaz terangkan dalam satu hadis Nabi SAW menyatakan bahawa godaan wanita itu satu fitnah. Apakah maksud fitnah?

2. Siapakah yang lebih mulia dan cantik di antara wanita solehah yang menjadi ahli syurga atau bidadari bermata jeli? dan sekiranya seorang wanita yang solehah masuk syurga namun suaminya tidak masuk syurga, dengan siapakah dia akan dinikahkan di syurga?

Jawapan :

1. Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Begitulah kedudukan wanita, tidak kira samaada ia sebagai anak gadis, sebagai isteri atau sebagai ibu. Apabila ia seorang yang solehah, maka mereka merupakan sebaik-baik kedudukan di antara seisi dunia. Tetapi jika sebaliknya, mereka merupakan suatu fitnah yang merbahaya kepada dunia. Walaupun mereka tidak berniat untuk membuat fitnah, tetapi wanita itu sendiri dengan kehadirannya boleh membawa fitnah jika tidak dipandu dan dikawal oleh syariat. 

Fitnah maksudnya adalah ujian. Wanita itu fitnah maksudnya wanita adalah ujian untuk lelaki.

Masakan tidak, memandangnya saja boleh menimbulkan fitnah jika tubuhnya tidak dibaluti pakaian yang menutup aurat. Melangkah saja ia boleh mendatangkan fitnah jika ia melangkah tanpa mengikut peraturan syariat. 

Allah SWT. tidak mengenakan sedemikian kawalan yang ketat keatas mereka jika mereka tidak sedemikian bahaya.Bukankah Rasulullah SAW. telah mengingatkan tentang wanita dalam sabdanya yang bermaksud : "Wanita adalah alat perangkap (yang digunakan oleh) syaitan." (Hadis Riwayat Asy-Shihaab)

Tetapi jika wanita telah menjadi wanita solehah maka fitnah itu akan dapat di elakkan dan dia akan menjadi sebaik-baik perhiasan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :"Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah." (Hadis Riwayat Muslim)

2. Berdasarkan hadis Nabi SAW daripada riwayat Ummu Salamah wanita dunia yang solehah lebih mulia dan cantik berbanding dengan bidadari bermata jeli. Wanita tersebut akan menjadi ketua bidadari untuk suaminya.

Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi SAW, katanya : 
Aku bertanya, "Ya Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari bermata jeli? 

Baginda menjawab, "Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari seperti kelebihan apa yang nampak dari apa yang tidak terlihat." 

Aku bertanya, "Mengapa wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari?" 

Baginda menjawab, "Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas." 

Mereka berkata : "Kami hidup abadi dan tidak mati. Kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali. Kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali. Kami reda dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya." (Hadis Riwayat ath-Tabrani).

Jika seorang wanita masuk syurga dan suaminya masuk neraka 
saya akan nukilkan fatwa salah seorang ulama terkemuka di zaman ini, Syeikh Muhammad al-’Utsaymīn. Syeikh Muhammad al-’Utsaymīn pernah ditanya, “Jika seorang wanita dari kalangan ahli syurga belum pernah bernikah di dunia, atau beliau sudah bernikah namun suaminya tidak masuk syurga, maka siapakah yang akan bersama wanita itu (di syurga)?”
Beliau menjawab, “Jawapan atas pertanyaan ini dapat diambil dari keumuman firman Allah Taala:

وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ نُزُلاً مِّنْ غَفُورٍ رَّحِيم

Maksudnya, “Dan bagi kamu di dalamnya (akhirat) apa yang kamu inginkan dan bagi kamu (pula) di dalamnya apa yang kamu minta. Sebagai hidangan (bagimu) dari Rabb yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Fushshilat [41] ayat 31-32)
Juga dari (keumuman) firman Allah Taala:

وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ وَأَنتُمْ فِيهَا خَالِدُون

Maksudnya, “Dan di dalam syurga itu terdapat segala apa yang diingini oleh hati dan sedap (dipandang) mata dan kamu kekal di dalamnya.” (Surah Az-Zukhruf [43] ayat 71)

Di syurga terdapat ahli syurga dikalangan lelaki bujang yang belum pernah berkahwin semasa di dunia dan terdapat juga lelaki yang pernah berkahwin di dunia dia masuk syurga sedangkan isterinya ahli neraka. Wanita ahli syurga tadi akan berpeluang memilih sesiapa sahaja yang dia berkenan di kalangan lelaki ahli syurga tadi. Wanita tersebut juga berpeluang memilik lelaki ahli syurga lain yang di kenali dulu di dunia tetapi tidak berpeluang untuk mengawininya kerana dalam hadis ada di nyatakan bahawa kita akan di kumpulkan bersama orang yang kita kasihi di dunia.

940. Soalan : Apakah sebabnya hati kita terhijab untuk menerima kebenaran dan bagaimana cara-cara mengatasinya? Kerjasama ustaz memberikan jawapan dan pencerahan di ucapkan ribuan terima kasih. Wassalam.

Jawapan : 

Setiap manusia dilahirkan mempunyai hati. Samaada hati itu hidup atau mati bergantung kepada pemilih hati itu sendiri. Jika ia berusaha mengenali Allah SWT dan mencari kebenaran maka hatinya akan jadi baik, bersih dan sihat. Sebaliknya jika ia menjauhkan diri dengan Allah SWT dan melanggar perintah dan larangan-Nya maka hatinya akan menjadi sakit, berpenyakit dan terhijab. Inilah kelebihan manusia daripada haiwan-haiwan iaitu mempunyai hati yang dapat mengenal Allah SWT dengan sebenarnya hingga ia menjadi hamba Allah yang benar-benar takutkan kepada-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta."
(Surah Al Baqarah ayat 10)

Terdapat 4 sebab kenapa hati kita boleh terhijab (tertutup) :

Pertama : Memakan makanan yang haram atau syubahat .

Bukan sahaja hati terhijab tetapi doa pun tidak diterima oleh Allah SWT.

Dalam hadis Nabi SAW : "....seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut masai rambutnya, dan berdebu mukanya menghulurkan kedua tangannya ke langit (berdoa) Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya haram, dan pakaiannya haram dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya." (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua :Makanan halal tetapi berlebih-lebihan di dalam pemakanan.

Rasulullah SAW. bersabda maksudnya :"Wadah yang paling dibenci oleh Allah ialah perut yang penuh dengan makanan yang halal".

Allah SWT. benci kepada perut yang penuh dengan makanan sebab perut yang ketat itu akan melemahkan kegiatan hati yakni tidak kuat untuk memandang pada alam ghaib. Bila hati lemah maka manusia jadi lalai dan malas (mahu tidur sahaja). Malas beribadah dan mudah terjebak dalam maksiat. Atas dasar inilah para solafussoleh hanya sedikit makannya.

Ketiga : Pandangan dan Pendengaran yang Haram.

Telah sepakat orang-orang kita mengatakan: “Dari mata turun ke hati.” Ertinya hasil dari pandangan (termasuk pendengaran) bukan setakat di mata dan telinga tetapi akan bersambung dan berkesan ke hati. Kalau apa yang kita pandang dan dengar itu baik, maka hati kita akan menerima kebaikannya. Sebaliknya kalau yang kita pandang dan dengar itu maksiat dan mungkar (haram), maka hati kita akan bersalut kejahatan dan kemungkaran.

Allah SWT menyuruh lelaki beriman supaya menundukkan pandangan matanya kepada wanita yang bukan mahram, begitu juga Allah SWT menyuruh wanita beriman supaya menundukkan pandangan mereka kepada lelaki yang bukan mahram. Hikmah arahan ini adalah supaya mereka akan merasa kemanisan iman dan terpelihara hati mereka daripada cenderung kepada kemungkaran.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya..." (Surah an-Nur ayat 31)

Keempat : Melakukan dosa akan berlaku titik hitam di hati. 

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah).

Hadis ini selari dengan firman Allah yang bermaksud "Sekali-kali tidak! Bahkan apa yang mereka kerjakan itu (dosa dan kekufuran) telah menutup hati mereka." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14).

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak akan masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan kita untuk mengamalkannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud "Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya, dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan." 
(Surah al-Baqarah, ayat 74).

1 comment:

  1. Salam ustaz,,bagaimana jika terdapat barang2 lama jiran di belakang rumah saya(besi bekas binaan dan kerera sorong yang sudah berkarat) lalu dibuang oleh ibu saya begitu sahaja oleh kerana dikhuatiri menjadi sarang binatang buas tanpa pengetahuan jiran tersebut???Adakah dalam hal ini ibu saya telah mengambil hak jiran??Adakah perkara ini menjadi suaru kemaslahatan buat semua kerana dikhuatiri jika kami memberitahu jiran tersebut untuk membuang barang tersebut,takut2 mereka sayang ingin membuang barang tersebut lalu makin besar sarang binatang buas,,,mohon penjelasan ustaz😊

    ReplyDelete