Sunday, December 28, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 199 (Hukum Melabur di ASB dan ASN, Menyapu Muka Selepas Solat, Hukum Bapa Angkat, Solat Isyak Selepas jam 12 Malam Dan Kisah Taubat Para Rasul.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 199 adalah menjelaskan persoalan hukum melabur di ASB dan ASN, menyapu muka selepas solat, hukum bapa angkat, solat isyak selepas jam 12 malam dan  kisah taubat para Rasul.

951. Soalan : Apakah hukum melabur di dalam ASB dan ASN ? Jika dividen ASB dan ASN tidak patuh syariah bagaimana cara boleh kita menggunakan wang tak patuh syariah tersebut?


Jawapan : 


Jabatan Mufti Selangor mengeluarkan fatwa yang diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011 yang memutuskan bahawa skim pelaburan ASN dan ASB tidak halal lantaran bertentangan dengan hukum syarak. Antara alasan mereka ialah dana-dana ASN dan ASB secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah dan sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional.

Menurut fatwa itu lagi skim ASN dan ASB juga tidak diklasifikasikan sebagai dana unit amanah yang patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan yang haram terutamanya dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan riba.

Untuk pengetahuan semua, di bawah Suruhanjaya Sekuriti terdapat resolusi Syariah yang jelas mengenai pelaburan saham syarikat yang terdapat percampuran di dalam aktiviti dan operasinya. Sebagai contoh, sekiranya sebuah konsortium atau syarikat yang perniagaan utamanya patuh Syariah seperti konsortium hartanah tetapi anak syarikatnya terlibat dengan aktiviti perjudian, maka pihak Suruhanjaya Sekuriti akan menilai status kewangannya terlebih dahulu. Sekiranya, pendapatan daripada syarikat judi tersebut kurang daripada 5% berbanding pendapatan keseluruhan syarikat utama, maka kaunter saham syarikat tersebut masih dianggap patuh Syariah.


Walaubagaimanapun, dalam kes pelaburan ASB/ASN, dana-dana ini dilaburkan dalam syarikat kewangan konvensional berasaskan riba khususnya Maybank yang melebihi paras 5% yang ditetapkan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.


Oleh itu jika wang dividen yang di berikan oleh ASB /ASN kepada pelabur adalah di kira wang tidak patuh syariah.


Menurut Prof i Dr Yusof Qardawi berpendapat wang sebegini boleh digunakan untuk faedah umum demi kebaikan seperti disumbangkan kepada fakir miskin, anak yatim, musafir, jihad pada jalan Allah, memperluaskan dakwah Islam, membina masjid dan pusat-pusat Islam, menambah dana pertolongan, mencetak kitab Islam dan perbagai bentuk kebaikan. Namun pendapat beliau telah dibahaskan oleh ulamak semasa, antara hujah penghalang kepada penggunaan wang ini, bagaimana hendak memberi makan kepada orang miskin hasil dari sesuatu yang haram dan bagaimana orang miskin rela untuk diberi makan sesuatu yang umat Islam tidak rela untuk makan?


Hakikatnya harta ini adalah haram dinisbahkan kepada mereka yang memperolehinya secara tidak betul, akan tetapi untuk dinisbahkan kepada fakir miskin ia adalah tujuan yang baik dan dapat menyempurnakan hajat mereka. Kembali kepada persoalan perolehan sesuatu harta haram, ia sememangnya haram daripada segi cara memperolehinya namun ia bukanlah haram dari segi material tetapi ia tetap haram keatas orang yang mendapatkannya.


Akhirnya wang yang tidak patuh syarak ini meninggalkan empat kaedah pelupusan mengikut rasional yang ada. Pertamanya, diambil dan diguna manfaat harta haram tersebut untuk diri dan keluarganya. Ini tidak dibolehkan. Yang kedua, meninggalkan wang haram tersebut di dalam bank, ini juga tidak dibolehkan sepertimana hujah diatas. Ketiga, menghilangkan wang tersebut dengan cara memusnahkannya, ini adalah pendapat sebahagian ulamak salaf yang warak, namun ia ditentang oleh Imam Ghazali didalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ dimana beliau melarang membinasakan harta. Keempat, mengubah harta tersebut kepada kegunaan yang baik seperti kepada fakir miskin, anak-anak yatim, orang yang dalam perjalanan, yayasan kebajikan Islam, dakwah dan kemasyarakatan dan ini adalah pendapat yang terbaik.


Sayugia diingatkan bahawa kaedah pelupusan yang keempat tidak dikira sebagai sedekah walaupun ia yang terbaik, kerana ‘Allah SWT adalah suci sifatnya dan tidak menerima sesuatu melainkan dengan kesucian’. Pengubahan wang haram ini hanyalah satu cara pelupusan atau menghilangkan sifat haramnya sahaja, bukan bermaksud satu pemberian atau sedekah yang syarie, ia tidak lebih hanyalah satu proses untuk menyampaikan kebajikan. 


Ini bersesuaian dengan gesaan Allah SWT untuk melakukan kebajikan di dalam surah Al-Maidah yang bermaksud: “..hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana . Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya). (Surah al-Maidah ayat 2). 


Dalil ini juga menjurus kepada larangan menolong melakukan dosa sepertimana meninggalkan wang syubhah atau haram di dalam bank dan akhirnya akan digunakan semula oleh pihak bank untuk tujuan maksiat kepada Allah.


Meskipun pelupusan wang haram harus dilakukan mengikut kaedah diatas namun ini tidak menghentikan tohmahan penggunaan wang tersebut. Ini disebakan nas pengharaman riba dan harta yang tidak halal lebih jelas dan ditekankan pada kebanyakan ayat berkaitan muamalat di dalam Al-Quran mahupun di dalam Hadis manakala pengharusannya tidak didatangkan secara langsung, oleh yang demikian Dr. Yusuf Qardawi di dalam kitabnya Fatawa Muasarah Jilid 2, cetakan Darul Wafa’ Mansurah (1993) muka surat 416 mendatangkan dalil keharusan ini, antaranya: Peristiwa sewaktu Rasul SAW menyuruh sedekahkan kambing yang diberikan kepadanya. Dimaklumkan kepada Rasul SAW bahawa kambing tersebut adalah dari sumber yang haram (diambil tanpa pengetahuan tuan punya kambing), lalu Rasul menyuruh kambing tersebut disembelih dan diberikan kepada tawanan perang.


952. Soalan : Adakah menyapu muka selepas selesai solat itu sunnah Nabi. Ada tak hadis sahih tentang hal ini?


Jawapan : 


Tidak ada nas yang sahih menyatakan Nabi SAW menyuruh atau menggalakkan sapu muka selepas solat.


Al-Mawarzi di dalam kitab al-Witr (hal. 236) berkata, “Ahmad bin Hanbal (imam Ahmad (w. 248H)) menyatakan, dari Abu Dawud, “Aku pernah mendengar bahawa Ahmad ditanya tentang seseorang mengusap mukanya dengan kedua tangan jika telah selesai solat witir, ia berkata, “Aku belum pernah mendengar sedikit pun berkenaan dengan hal itu, sedangkan aku menyaksikan bahawa Ahmad tidak melakukan hal itu (mengusap muka selepas solat).”


Terdapat riwayat dalam Sahih Bukhari dimana Abu Said al Khudri berkata(maksudnya): ”Aku melihat Rasulullah sujud di atas air dan tanah, sehingga dapat dilihat kesan debu dan tanah di dahinya”(Hadis Riwayat Bukhari).


Difahami dari hadis ini bahawa Nabi SAW tidak mengusap dahi atau muka baginda meskipun terdapat kesan tanah dan air. Dan jika terdapat baginda menyapu wajahnya selepas itu, maka diihtimalkan(diandaikan) oleh para ulama’ adalah kerana membuang kesan tanah dan air sahaja, bukan kerana itu perbuatan yang berkaitan solat. Bahkan itu merupakan perbuatan semulajadi kerana membersihkan diri dari kotoran.


953. Soalan : Apakah hukumnya bapa angkat meletakkan nama bapa kepada namanya sendiri bukan nama bapa kandung anak angkat tersebut?


Jawapan : 


Anak angkat di bin atau bintikan bapa angkat adalah berdosa kerana meletakkan nasab yang bukan nasab sebenar. Cuba usahakan tukar balik kepada bin atau bintu bapa kandung si anak angkat tersebut. 


Adalah menjadi kesalahan dan haram hukumnya menasabkan seseorang anak angkat kepada bapa angkatnya. Ini bererti dalam Islam adalah ditegah seorang yang mengambil anak angkat lalu di‘bin’kan kepada bapa angkatnya.


Hukum ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud : "...dan dia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak-anak kamu sendiri..." (Surah al-Ahzab ayat 4)


Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman yang bermaksud : "...panggillah anak-anak angkat itu dengan ber‘bin’kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. (Surah al-Ahzab ayat 5)


Berdasarkan kepada kedua-dua ayat di atas jelas bahawa perbuatan membinkan anak angkat kepada bapa angkat adalah dilarang dalam al-Quran.

Ibnu al-Qayyim berkata: "Sesungguhnya nasab itu sthabit pada asalnya ialah kepada bapa." (Zad al-Ma’ad, jld. 4, hlm. 110)

Oleh itu, kita perlu ingat dan sedar yang menetapkan nasab itu ialah Allah dan menasabkan kanak-kanak itu kepada bapa kandungnya ialah hak kanak-kanak tersebut.


Memelihara hak Allah dan hak kanak-kanak itu merupakan sesuatu yang wajib. Maksudnya hak Allah dipelihara dengan menasabkan kanak-kanak itu kepada asal usul keturunannya, kerana dari situlah dia dijadikan Allah, manakala hak kanak-kanak itu ialah mesti dinasabkan kepada bapanya kerana darah daging seseorang itu thabit kepada bapa kandungnya.


Sekiranya berlaku khilaf (tidak dikenali bapanya) maka hendak dibinkan dengan Abdullah.

Gadis yang diwalikan oleh bapa angkat tidak sah akad nikahnya, urusan akad itu mesti diserahkan kepada wali hakim. Bapa angkat juga tidak boleh mewakilkan kepada wali hakim kerana dia tidak ada hak wali.

Jika berlaku juga perkahwinan maka perkahwinan yang diwalikan oleh bapa angkatnya tidak sah, jika berlaku juga akad maka akad tersebut terbatal dengan sendirinya.

Hubungan suami isteri juga menjadi haram (zina). Anak yang diperoleh juga akan menjadi anak tak sah taraf.

954. Soalan : Saya keletihan dan tidur selepas solat magrib. Saya terjaga daripada tidur jam 3 pagi adakah saya masih boleh tunaikan solat isyak. Saya mendengar daripada imam masjid di tempat saya bahawa solat isyak tidak boleh di tunaikan melebihi jam 12 malam. Boleh ustaz berikan pencerahannya?


Jawapan :

Para ulama membahagikan waktu solat kepada waktu ikhtiariy (الإختياري) dan waktu al-Idhtiroriy (الإضطراري). Waktu al-Ikhtiyari bagi solat Isya ialah sehingga sebahagian malam. Manakala waktu al-Idhtiroriy pula berlanjutan sehingga terbitnya fajar sidik.

Maksud waktu al-Ikhtiariy: ialah waktu yang dibenarkan solat di dalamnya tanpa makruh, samaada di awal waktu ikhtiyari ini atau di akhirnya.

Manakala maksud waktu al-Idhtiroriy: ialah waktu yang tidak boleh dilewatkan solat sehingga masuk waktunya melainkan bagi orang-orang yang berada dalam keuzuran seperti orang gila yang normal setelah berlalunya waktu al-Ikhtiyariy, wanita haid, orang yang tertidur, terlupa, orang kafir yang baru memeluk islam atau budak yang baru baligh.
Ini menunjukkan tidak boleh melewatkan solat Isya sehingga habisnya waktu al-Ikhtiyari melainkan bagi orang-orang yang memiliki keuzuran seperti yang disebut di atas.
Perkara ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W.

وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ

Maksudnya: “Dan waktu solat Isya ialah sehingga sebahagian malam yang pertengahan.”
Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim menyebut, maksudnya hadis ini ialah: “waktu menunaikannya dlm waktu al-Ikhtiyariy.” (5/111) :
Badan Fatwa Arab Saudi di dalam fatwa mereka menyebut:

ووقت العشاء من غيبوبة الشفق الأحمر إلى نصف الليل ، وهذا وقت الاختيار لها ، ووقت الاضطرار من نصف الليل إلى طلوع الفجر

Maksudnya: “Waktu Isya itu bermula dari luputnya awan merah (habis waktu Maghrib) sehingga pertengahan malam, ini adalah waktu al-Ikhtiyar, manakala waktu al-Idhthiror bermula dari sebahagian malam sehingga terbitnya fajar.” (6/113)

Al-Syeikh Abdul Aziz Abdillah bin Baz menyebut:

“Apabila telah hilangnya awan merah – iaitu awan merah sebelah barat – tamatlah waktu Maghrib dan masuknya waktu Isya sehingga pertengahan malam. Dan apa yang selepas pertengahan malam adalah waktu dhorurah (al-Idhthirar) bagi solat Isya, tidak boleh melewatkan solat Isya sehingga selepas pertengahan malam, antara hilangnya awan merah sehingga pertengahan malam itu adalah waktu al-Ikhtiyariy bagi solat Isya, jika seseorang menunaikan solat Isya selepas pertengahan malam (selepas tamatnya waktu al-Ikhtiyariy) dia telah menunaikan solat itu di dalam waktunya, akan tetapi dia dikira berdosa, kerana melewatkan solat Isya sehingga masuk waktu dharurah.” (Fatwa Bin Baz 10/384).
Wallahu a'lam

955. Soalan : Di dalam al-Quran terdapat kisah para Rasul bertaubat kepada Allah SWT .Boleh ustaz terangkan sebahagian ayat-ayat tersebut?
Sekian, terima kasih.

Jawapan :

1. Doa Taubat Nabi Adam a.s.. Dan Hawa Di Syurga :

Apabila Nabi Adam a.s. dan Hawa mendengar firman Allah SWT itu, baharulah mereka tersedar bahawa mereka berdua telah melanggari perintah Allah SWT dan telah melakukan suatu kesalahan serta dosa besar. Maka mereka berdua pun teramat menyesal dan merayu sebagaimana yang telah tercatat dalam Surah Al-A’raf; Ayat 23 berikut: “Ya Rabb kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi”. (Surah Al-A’raf ayat 23). Doa Nabi Musa a.s kepada Allah SWT maksudnya : "Musa berdoa: Ya Rabbku, ampunilah aku dan sauadaraku dan masukkanlah kami ke dalam rahmat Engkau, dan Engkau adalah Maha Penyayang di antara para penyayang." (Surah al A'raaf ayat 151)

2. Doa Taubat Nabi Yinus a.s. :

Al Quran ketika bercerita dengan ringkas tentang Yunus ini: Firman Allah SWT maksudnya, "Dan (ingatlah) kisah Zun Nun (Yunus) ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya atau menyulitkannya, maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: Bahawa tidak ada ilah (yang berhak di sembah) selain Engkau. "Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim". Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman." (Surah al Anbiyaa ayat 87-88)

3. Doa Taubat Nabi Daud. a.s.

Firman Allah SWT mAKSUDNYA, "Dan Daud mengetahui bahawa Kami mengujinya, maka ia meminta ampun kepada Tuhannya lalu menyungkur sujud dan bertaubat. Maka Kami ampuni baginya kesalahannya itu. Dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan dekat pada sisi Kami dan tempat kembali yang baik." (Surah Shaad: 24-25)

4. Doa Taubat Nabi Nuh a.s.

Doa Nabi Nuh a.s. Firman Allah SWT maksudnya, "Ya Tuhanku, sungguh aku berlindung kepada-Mu dari memohon sesuatu yang aku tidak mengetahui hakikatnya. Dan sekiranya Engkau tidak memberi ampunan serta tidak menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan termasuk orang yang rugi." (Surah Hud ayat 47).

Jika para Rasul yang bersifat maksum juga meminta ampun kepada Allah SWT maka lebih-lebih lagi kita sebagai manusia biasa yang sentiasa melakukan dosa kepada Allah SWT sangat-sangat perlu untuk sentiasa bertaubat dan mohon ampun kepada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment