Thursday, November 28, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 02 (Isteri Nusyuz, Mandi Junub, Susukan Anak, Dosa Lama Dan Petua Pindah Rumah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah  Ustaz Siri 2 membicarakan persoalan isteri nusuz, cara-cara mandi junub, menyusukan anak hingga 6 tahun, cara hendak tebus dosa lama, petua-petua pindah rumah baru.

6. Soalan : Apakah hukum isteri melarikan diri dari rumah ikut lelaki lain serta meninggalkan suami dan anak. Sedangkan sudah di suruh balik kerumah tapi tidak mahu mendengar nasihat. Apakah dosa isteri itu suami akan menanggung nya...?

Jawapan :

Isteri keluar rumah ikut lelaki lain dengan meninggalkan suami dan anak-anaknya adalah BERDOSA BESAR, TIDAK CIUM BAU SYURGA. Daripada Ibnu Abbas dan Imran bin Hussein r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “ Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang yang fakir miskin. Dan aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan wanita. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Terdapat tujuh perkara yang menunjukkan ketidaktaatan kepada suami yang dianggap nusyuz itu ialah seperti berikut:

Pertama : Keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya. Terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadi untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika sekiranya suaminya bukan seorang faqih dalam bidang agama.

Jika seorang isteri meminta izin untuk keluar rumah menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu atau bapanya atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya), maka suami berhak untuk tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun dalam hal ini, adalah lebih utama jika suami mengizinkan isteri.

Peristiwa ini pernah berlaku dizaman Rasulullah SAW apabila seorang suami tidak membenarkan isterinya keluar rumah tanpa izinnya semasa beliau bermusafir. Walaupun kematian ayah wanita tersebut, Nabi SAW tidak membenarkan wanita itu keluar rumah untuk menziarahi jenazah ayahnya. Oleh kerana ketaatan wanita ini maka Nabi SAW menjelaskan bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosa ayah wanita tersebut.

Kedua : Enggan mengikut suami berpindah ke negeri lain tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syarak seperti isteri sakit atau perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau taun.

Ketiga : Tidak membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau ke bilik dengan tujuan menegahnya daripada masuk ke dalam rumah atau bilik.

Keempat : Tidak menyerahkan diri pada suami (ketika suami berhajat kepadanya) tanpa ada keuzuran seperti sakit. Setakat malas atau letih bukan alasan yang menasabah.

Kelima : Tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk dengan keperluannya.
Keenam : Isteri mendakwa suaminya telah mentalaknya sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu.


Ketujuh : Isteri merahsiakan perhubungannya dengan lelaki lain, selalu chatting, talipon dan hantar pesanan ringkas tanpa pengetahuan suami untuk berseronok-seronok dan menceritakan aib suaminya.  

Jika suami sudah memberi nasihat tetapi isteri tidak mahu dengar maka isteri akan menanggung dosanya sendiri dan suaminya akan terlepas kerana sudah diberi nasihat. Sebaik-baiknya suami menceraikan isteri seperti ini kerana secara terang-terang melakukan dosa besar.

7. Soalan : Ustaz saya ingin bertanya cara-cara mandi junub yang sebenarnya.

Jawapan :

Rukun mandi ada tiga perkara meliputi :

1. Niat dengan tujuan membezakan ibadat dan adat. Niat ini sekadar dilafazkan di dalam hati dan tidak perlu dilafazkan secara zahir (secara lisan)

2. Menghilangkan kotoran dan najis pada badan.

3. Meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir termasuk segala lipatan-lipatan badan. (Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah)

Niat

Niat mandi wajib secara ringkasnya adalah "Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala."Niat itu hendaklah disertakan ketika air sampai ke bahagian anggota badan. 

Untuk wanita yang mandi wajib kerana hadas haid, niat mandi wajib adalah "Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala." manakala bagi wanita yang habis nifas, niat mandi wajib ialah "Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala".

Niat mandi wajib hendaklah dilafazkan apabila mula terkena air kepada mana-mana bahagian anggota mandi. Sekiranya niat dilafazkan selepas dia telah membasuh anggota badannya, mandi wajibnya tidak sah dan dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air ke seluruh anggota badannya. Sekiranya dia berniat sebelum air sampai ke badan, niat itu juga tidak sah dan dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air ke seluruh anggota badannya.

Orang yang tidak berniat mandi wajib tidak memenuhi rukun mandi wajib dan dengan itu tidak boleh dikatakan telah mengerjakan mandi wajib. Dia hanya sekadar mengerjakan mandi biasa (mandi adat), dan masih terikat dengan larangan yang dikenakan ke atas orang yang berhadas besar.

Cara Mandi Wajib.

Mandi wajib hendaklah dikerjakan menggunakan menggunakan air mutlak iaitu air yang suci lagi menyucikan, dan tidak sah jika menggunakan air yang bukannya air mutlak.

Cara mandi wajib paling afdal sekiranya mengikut sunnah Rasulullah SAW. Berdasarkan hadis dari Aisyah ra.,

“Dahulu, jika Rasulullah SAW hendak mandi janabah (junub), baginda membasuh kedua tangannya. Kemudian menuangkan air dari tangan kanan ke tangan kirinya lalu membasuh kemaluannya. Lantas berwuduk sebagaimana berwuduk untuk solat. Lalu baginda mengambil air dan memasukkan jari-jemarinya ke pangkal rambut. Hingga baginda menganggap telah cukup, baginda tuangkan ke atas kepalanya sebanyak 3 kali tuangan. Setelah itu baginda guyur seluruh badannya. Kemudian baginda basuh kedua kakinya” (HR. Al Bukhari dan Muslim)

Cara mandi wajib yang paling baik adalah mengikut cara yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi.

1. Membaca bismillah sambil berniat untuk mengangkat hadas besar .

2. Membasuh tangan sebanyak 3 kali.

3. Membasuh alat kelamin dari kotoran dan najis.

4. Mengambil wuduk sebagaimana biasa kecuali kaki. Kaki dibasuh selepas mandi nanti.

5.Membasuh keseluruhan rambut di kepala.

6. Membasuh kepala berserta dengan telinga sebanyak 3 kali dengan 3 kali menimba air.

7. Menjirus air ke seluruh bahagian badan di sebelah lambung kanan dari atas sampai ke bawah.

8. Menjirus lambung kiri dari atas sampai ke bawah.

9. Menggosok bahagian-bahagian yang sulit seperti pusat, ketiak, lutut dan lain-lain supaya terkena air.

10. Membasuh kaki.

Perhatian : Jika dia mandi dengan menggunakan “shower”, tidak perlu tiga kali, memadai telah yakin air telah meratai seluruh badan dari kepala ke hujung jari.

Untuk wanita pula, oleh kerana rambut wanita lebih panjang, maka disunatkan diuraikan rambut. Jika rambut seseorang itu ditocang atau disanggul, sekiranya tak sampai air ke dalamnya, tocang atau sanggul hendaklah dibuka untuk membolehkan air sampai.


Seseorang itu elok memakai kain hingga ke lutut ketika mandi seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

8. Soalan : Saya ingin bertanya apakah hukum, menyusukan anak sehingga berusia 6 tahun sedangkan susu itu masih ada dalam badan wanita tersebut seperti seawal dulu dia menyusukan anaknya. Setengah pendapat mengatakan ia adalah darah dan bukan susu lagi. Mohon penjelasan dari ustaz.

Jawapan : 

Firman Allah SWT :

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لاَ تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلاَّ وُسْعَهَا لاَ تُضَآرَّ وَالِدَةُ بِوَلَدِهَا وَلاَ مَوْلُودُُلَّهُ بِوَلَدِهِ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَلِكَ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالاً عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا وَإِنْ أَرَدْتُمْ أَن تَسْتَرْضِعُوا أَوْلاَدَكُمْ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُم مَّآءَاتَيْتُم بِالْمَعْرُوفِ وَاتَّقُوا اللهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرُُ


Maksudnya : "Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah member makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya, dan seorang ayah karena anaknya, dan waris pun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum 2 tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah ayat 233)

Cuma sesetengah ulama berpendapat ia akan melemahkan bayi kerana setiap yang disyorkan oleh Allah seperti tempoh menyusu dua tahun itu pasti ada hikmahnya kerana Allah Maha Tahu sebagai Pencipta manusia.

Penyusuan badan adalah hak anak dalam Islam, sudah tentulah ia yang terbaik dan ini telah terbukti benar melalui kajian saintifik kini.

Tiada pula sumber ditemui mengatakan ia bertukar menjadi darah selepas dua tahun. Jiran saya seorang jururawat menyusukan anaknya sehingga tiga setengah tahun.

Dia berbuat demikian setelah bertanyakan doktor yang membenarkannya berbuat demikian selama anak itu masih ingin menyusu tetapi bukan sebagai makanan utama selepas dua tahun.

Namun kebanyakan ulama berpendapat patut dihentikan selepas dua setengah tahun kerana susu itu tidak lagi berfungsi sebagai pembekal nutrien untuk membesar kepada bayi.


Juga untuk memberi peluang kepada ibu mengandung lagi kerana penyusuan badan biasanya membantut proses mengandung secara alami.

9. Soalan : Kawan saya pernah mencuri buku dari rakannya ketika masih di sekolah rendah . Namun sekarang rakan anyg menjadi mangsa curi tu tak lagi ditemui ,bagaimanakah cara meminta maaf atau menggantikan barang itu ?

Jawapan :

Jika kawannya sudah tidak ada ditempat dia tinggal dan tak dapat dikesan maka gantikan buku itu dengan nilai wang dan sedekahkan kepada orang miskin , anak yatim atau sedekah jariah untuk pembinaan masjid atau sekolah tahfiz. Niatkan duit tersebut untuk rakannya yang dia ambil bukunya dahulu.

10. Mohon pencerahan, ada tak apa-apa petua atau amalan bila berpindah ke rumah baru? Saya tak lama lagi akan berpindak kerumah baru. Terima kasih ustaz.

Jawapan :

Islam adalah cara hidup yang lengkap dan sempurna. Dalam setiap amalan dan pekerjaan yang hendak kita lakukan terdapat doa dan adab-adab yang dianjurkan Islam untuk kita ikuti dan amalkan. Termasuk juga apabila kita hendak menduduki rumah baru atau rumah lama yang ditinggalkan ada beberapa doa dan amalkan yang perlu kita lakukan supaya terhindar daripada gangguan makhluk halus yang menjadi penghuni rumah tersebut tanpa kita ketahui.

Amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut : 

1. Solat berjemaah dan azan. Rumah yang baru di beli atau baru di duduki eloklah dilakukan solat berjemaah dikalangan ahli keluarga. Mulakan dengan laungan azan untuk melakukan solat fardu ketika pertama kali masuk rumah baru. Ia juga baik bagi bangunan yang telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW. pernah memberitahu bahawa sekiranya sesebuah bangunan (premis/rumah) itu terlalu lama dikosongkan (tanpa penghuni) ianya akan dimasuki sejenis makhluk halus (jin yg dikenali sebgai Al-'Ammar) yang suka tinggal di rumah yang tidak berpenghuni.

2. Membaca surah Al-Baqarah - Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasululuuah SAW  bersabda yang bermaksud; "Janganlah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya untuk tidur), sesungguhnya rumah yang dibacakan Surah al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan" (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Muslim dan Nasai) 

3. Banyakkan solat sunat dan membaca al-Quran - Dalam sebuah hadis lain pula, Rasulullah SAW. juga menggalakkan agar kita memperbanyakkan solat dan membaca al-Quran di dalam rumah atau bangunan yang baru diduduki. Baginda bersabda yang bermaksud: "Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca al-Quran." (Hadis riwayat Baihaqi)

4. Baca Zikir al-Mathurat kubra setiap pagi (lepas subuh) dan petang (selepas asar atau lepas magrib) amalan ini bukan untuk menduduki rumah baru sahaja tetapi amalan harian yang sunat yang dituntut untuk dibacakan setiap hari pagi dan petang. Insya Allah jin kafir dan syaitan akan menjadi lemah untuk menggoda dan mengganggu pengamalnya yang sentiasa membaca zikir al-Mathurat .

5. Pagar Rumah Secara Islam - Perbuatan memagar rumah dengan menanam atau menggantung sesuatu di penjuru atau sudut-sudut tertentu di rumah atau bangunan yang diduduki dengan kepercayaan bahawa benda tersebut akan menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah perbuatan yang bertentangan di sisi Islam. Bagaimana pun ada cara yang dibolehkan dan digalakkan mengikut ajaran Islam. 

i. Baca surah Yasin sekali dan sediakan air satu bekas kemudian 'memagar rumah' dengan merenjis air Yassin di sekeliling rumah. Amalan ini adalah amalan masyarakat Islam untuk menghalang daripada gangguan jin. Setiap ayat al-Quran yang dibacakan keatas air akan ada gelumbang yang baik dan laju dan amat dibenci oleh makhluk ghaib seperti jin dan syaitan.

“... Surah Yasin adalah qalbul Quran (jantung atau hati al-Quran), tidaklah seseorang yang membacanya kerana mengharap keredhaan Allah dan negeri akhirat (syurga), melainkan akan diampunkan dosanya. Dengan itu, bacakanlah ia kepada orang yang akan mati di antara kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasaa’i. Dinilai lemah oleh ad-Daruquthni, al-Haitsami, al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth). 

Walaupun hadis di atas dhaif tetapi ulama membenarkan (untuk beramal bukan untuk menjadi sumber hukum) untuk diamalkan semata-mata mencari keredhaan Allah SWT dan terdapat hadis sahih menyatakan :

Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran), maka baginya satu pahala kebaikan dan satu pahala kebaikan akan dilipat gandakan menjadi 10 kali, aku tidak mengatakan Alif Laam Miim itu satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf, dan Miim satu huruf.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Surah Yasin adalah salah satu daripada surah-surah dalam al-Quran. 


ii. Ambil air kemudian baca surah Al-Fatihah sekali, ayat Kursi sekali, Surah 3 Kul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas) sekali. Kemudian tiup ke dalam air tersebut perlahan-lahan hingga habis nafas. Setelah itu, jirus dan renjiskan air tersebut ke setiap penjuru rumah dengan mulai dengan penjuru yang terletak di sebelah kanan dan penjuru seterusnya, mengikut arah berlawanan jarum jam. Waulahualam.




No comments:

Post a Comment