Thursday, November 28, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 01 (Punggut Cukai, Hati Gelisaah, Bertaubat, Nazar Dan Hak-hak Isteri)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah  Ustaz Siri 1 membicarakan persoalan hukum memunggut cukai, hati gelisah ketika hendak solat, bertaubat nazar untuk tutup aurat dan hak-hak isteri selepas diceriakn oleh suami.

1. Soalan :  Mohon pencerahan hadis Nabi SAW yang bermaksud," Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memunggut cukai" (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Hakim)

Jawapan :


Firman Allah SWT :

وَلا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah !!, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah ayat 188).

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi, rampas, riba dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu." (Surah an-Nisa' ayat 29)
iii. Hadith sahih dari Abu Hurrah al-Raqashi dari pakciknya, Rasulullah saw bersabda, “Tidak halal harta seseorang melainkan dengan kerelaan hatinya.” Musnad al-Imam Ahmad.

Hukum asal mengambil cukai dari rakyat adalah haram. Ini disandarkan kepada hadis, bahawa Nabi SAW bersabda;

إِنَّ صَاحِبَ الْمَكْسِ فِي النَّارِ

Maksudnya; "Sesungguhnya pengambil cukai dalam neraka" [Musnad Ahmad : 16387]

Dalam kaedah usul fiqh, sebarang ancaman neraka menerusi nas memaksudkan perkara tersebut adalah haram. [mabahis usuliyyah fi taqsimat al-alfaz : 87]

Namun begitu, dalam beberapa keadaan, kerajaan dibenarkan mengutip cukai dari rakyat. Dr yusuf Al-Qaradhawi menyebut;

و اشترط بعضهم أن يخلو بيت المال خلوا تاما حتى يجوز فرض ضرائب , و ما صنعوا ذلك إلا خشية إسراف الحكام في طلب الأموال لحاجة و لغير حاجة
Maksudnya; "Setengah ulama mensyaratkan [mengutip cukai], bahawa dalam keadaan baitul mal [perbendaharaan negara] benar-benar kekeringan, sehingga terpaksa mengenakan cukai [kepada rakyat]. Mereka [ulama] meletakkan syarat sebegitu, tidak lain kerana bimbang berlaku pengambilan harta rakyat sewenang-wenangnya, sama ada ketika hajat atau tidak" [Fiqh Az-zakat : 2/1140]

Imam As-Syatibi pula menyatakan;

و شرط جواز ذلك كله عندهم عدالة الإمام و إيقاع التصرف في أخذ المال و إعطائه على الوجه المشروع

Maksudnya; "Disyaratkan keharusan itu – disisi mereka [ulama] – adalah pemerintah mestilah adil, dan perbelanjaan dari sudut pengambilan harta dan pemberian harta itu atas jalan yang dibenarkan syarak" [Al-'Itisam : 2/86]

Dalam Imam Al-Qurtubi pula menerangkan syarat-syarat mengambil harta rakyat dalam bentuk cukai adalah seperti berikut;

Pertama, jangan pemimpin mementingkan dirinya dengan membebankan rakyat.

Kedua, hendaklah dipentingkan kepada golongan yang paling berhajat dengan bantuan kewangan.

Dan ketiga, hendaklah disama-ratakan pembahagian negara [hasil cukai] berpandukan taraf kedudukan rakyat. [tafsir Al-Qurtubi : 11/60]

Khalifah Umar telah mengadakan cukai tanah dan juga jizyah kepada golongan kafir zimmi. Cukai ini adalah berpatutan kerana rendah kadarnya dan tidak menyusahkan mereka. Pernah suatu kali khalifah Umar memanggil 10 orang zimmi dari Kufah dan 10 orang zimmi dari Basyrah supaya mereka bersumpah, bahawa cukai yang dikenakan keatas mereka tidak membebankan.

Taraf dan hak awam di berikan sama rata seperti apa yang dinikmati oleh orang Islam. Golongan zimmi yang masih menentang Islam akan dibuang atau dihalau keluar negara. Harta mereka tidak akan dirampas, malah harta mereka yang tidak dapat dipindahkan seperti ladang akan dibayar ganti rugi oleh kerajaan Islam

2. Soalan : Saya nak bertanya kalau kita rasa gelisah dan tidak tenang apabila melakukan solat terasa seolah-olah ibadat kita tidak sempurna dan tidak akan diterima oleh Allah.. Adakah solat itu sah atau tidak?

Jawapan :


Bila nak solat rasa gelisah itu adalah tanda gangguan daripada jin atau syaitan yang cuba menimbulkan kegelisahan. Sebelum mulakan solat baca surah an-Nas dan beristighfar kepada Allah SWT dan mohon perlindungan daripada Allah SWT dari gangguan jin dan syaitan.

Ada beberapa aspek yang perlu dibincangkan di sini. 

Pertamanya mengenai persiapan kita sebelum mendirikan solat agar kita dapat tenang dan kyusuk dalam solat. Sebelum solat, pastikan selesaikan terlebih dahulu dilakukan perkara-perkara yang boleh menganggu solat, contohnya, kalau makanan sudah terhidang, jika waktu masih ada, maka makanlah terlebih dahulu. Sebelum solat juga, pastikan kita benar-benar suci dari hadas , badan, pakaian dan tempat mestilah suci dari najis. 

Terdapat banyak kes dimana seseorang bersolat sedang pakaian atau badan mereka tidak suci dari hadas. Ini sebenarnya akan menjejaskan solat kita. Selain daripada itu, seseorang itu tidak dapat khusyuk dalam solatnya jika wuduk tidak diambil dengan sempurna, Mungkin air tidak mengenai secara merata ke anggota diwajibkan atau angggota yang menjadi rukun. 

Kedua ialah merasa sangsi sama ada sah atau tidak solat. Jika diyakini syarat-syarat sah solat telah dapat disempurnakan, maka dirikanlah solat secara sempurna. Jika telah disempurnakan solat (sama ada khusyuk atau tidak) dan setelah merasa itu merasa sanagsi sama ada sah atau tidak, maka abaikan syak itu kerana merasa syak akan sabit ketika mana ibadat itu sedang didirikan, manakala ketika solat telah dilaksanakan kemudian kita merasa syak, maka dia tidak sabit kepada batalnya solat tersebut. 

Untuk ketika merasa kyusuk dalam , maka pastikan perkara-perkara sebelum solat dapat diselesai atau diuruskaan dengan sempurna, Tiada zikir khas untuk kyusuk dalam solat kecuali memahami segala makna bacaan dalam solat.

3. Soalan : Setiap kali dia menyesal dia bertaubat dan berdoa tetapi dia mengulangi dosa itu semula.. Adakah doa dan taubatnya  akan diterima oleh Allah SWT? Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan : 


Allah SWT tetap akan terima taubat hamba-Nya jika dia bertaubat kepada Allah SWT selagi nyawanya belum sampai dikerongkong (sebelum nazak). Untuk muhasabah kenapa seseorang sudah bertaubat boleh mengulangi dosa-dosa yang lama dimana silapnya? Jika kita lihat syarat-sayart taubat nasuha terdapat 5 perkara :

PERTAMA : Taubatnya tersebut dilakukannya dengan ikhlas semata kerana Allah. Jadi, faktor yang mendorongnya untuk bertaubat, bukanlah kerana riyak nama baik (prestise), takut kepada makhluk ataupun mengharap suatu urusan duniawi yang ingin diraihnya. Bila dia telah berbuat ikhlas dalam taubatnya kepada Allah dan faktor yang mendorongnya adalah ketakwaan kepada-Nya, takut akan seksaanNya serta mengharap pahalaNya, maka berarti dia telah berbuat ikhlas dalam hal tersebut.

KEDUA : Menyesali perbuatan dosa yang telah dilakukan. Yakni, seseorang mendapati dirinya sangat menyesal dan bersedih atas perbuatan yang telah lalu tersebut serta memandangnya sebagai perkara besar yang wajib baginya untuk melepaskan diri darinya.

KETIGA : Berhenti total dari dosa tersebut dan keinginan untuk terus melakukannya. Bila dosanya tersebut berupa tindakannya meninggalkan hal yang wajib, maka setelah taubat dia harus melakukannya dan berusaha semaksima mungkin untuk membayarnya. Dan jika dosanya tersebut berupa tindakannya melakukan sesuatu yang diharamkan, maka dia harus cepat berhenti total dan menjauhinya. Termasuk juga, bila dosa yang dilakukan terkait dengan makhluk, maka dia harus memberikan hak-hak mereka tersebut atau meminta dihalalkan darinya.

KEEMPAT :  Bertekad untuk tidak lagi mengulanginya di masa yang akan datang. Yakni, di dalam hatinya harus tertanam tekad yang bulat untuk tidak lagi mengulangi perbuatan maksiat yang dia telah bertaubat darinya.

KELIMA :  Taubat tersebut hendaklah terjadi pada waktu yang diperkenankan. Jika terjadi setelah lewat waktu yang diperkenankan tersebut, maka ia tidak diterima. Lewatnya waktu yang diperkenankan tersebut dapat bersifat umum dan dapat pula bersifat khusus. Waktu yang bersifat umum adalah saat matahari terbit dari arah terbenamnya. Maka, bertaubat setelah matahari terbit dari arah terbenamnya tidak dapat diterima. Atau ketika nazak (nyawa dikerongkong) maka taubatnya tidak akan diterima.


Satu perkara yang perlu diingat jika seseorang sudah bertaubat kemudian mengulangi lagi dosa tersebut di khautiri hatinya menjadi mati dan rasa payah pula nak kembali kepada fitrah yang asal dan tiba-tiba dia mati dalam keadaan dia tak sempat nak bertaubat maka perkara inilah yg sangat dikhuatiri. 

Oleh itu pesanlah kepada saudara kita yang sudah bertaubat maka janganlah sekali-kali cuba melanggari janji yang telah dia buat dihadapan Allah SWT untuk bertaubat tiba-tiba dia lupa akan janji yang telah dia ucapkan ketika dia bertaubat dahulu. Wallahu a'lam

4. Soalan : .Jika seorang wanita bernazar terhadap sesuatu perkara...dan nazarnya adalah hendak menutup aurat dengan sempurna baik di luar atau di dalam rumah..Bila berjaya mendapat sesuatu perkara dia tidak tunaikannya..apa hukumnya?.

Jawapan : 



Tidak sepatutnya wanita muslim yang sudah baligh menjadikan kewajipan menutup aurat sebagai nazarnya. Kerana menutup aurat bukan sunat tetapi wajib, perkara wajib tidak boleh dijadikan sebagai nazar kerana perintah Allah SWT tidak boleh di cagarkan dengan hajat duniawinya. Jika perkara sunat atau harus boleh dijadikan sebagai nazar. Begitu juga perkara haram, haram jika dia bernazar untuk melakukannya. 

Dalil-dalil TIDAK SAH nazar untuk melakukan sesuatu yang wajib, atau nazar tinggal maksiat:

1) Perkara itu telah wajib dengan syarak, maka tidak ada apa-apa erti untuk kita wajibkan ia dengan nazar.

2) Kaedah feqah yg masyhur: "Sesuatu yang sabit dengan syarak didahulukan daripada sesuatu yang sabit dengan syarat". Dalam kes ini, kewajipan asal syarak yg diambil kira, manakala syarat iaitu nazar tidak diambilkira.

Lihat kaedah dalam: Asybah Wa Nazair oleh Suyuti 279. dan Imam Suyuti membawa contoh ini.

3) Kata Ibn Qudamah: Tidak sah beriltizam dengan sesuatu yang telah lazim. Manakala al-Buhuti berkata: ia satu bentuk Tahsil al-Hasil. iaitu: menghasilkan sesuatu yang telah ada. Maka Tahsil Hasil adalah batil.

Kesimpulan:
1. Nazar yang di lafazkan untuk menutup aurat adalah TIDAK SAH
2. Tetapi beliau yang bernazar tetap wajib menutup aurat, kerana itu kewajipan asal syarak.
3. Beliau tidak dikenakan apa-apa kaffarah sekalipun perkara yang dinazarkan telah diperolehinya.
Cara menyelesaikan perkara ini adalah dia wajib menutup aurat kerana Allah SWT kerana perintah menutup aurat adalah wajib jika dia enggan dia berdosa. 

5. Soalan : Apakah hak-hak isteri selepas diceraikan oleh suaminya?

Jawapan :


Antara hak-hak isteri selepas di ceraikan.. 

1) memberi nafkah 'iddah selama isteri tidak nusyuz atau meninggal dunia atau isteri itu berkahwin semula, 

2) memberi mutaah dengan sempurna seperti mana yang telah diputuskan 

3) memberi tempat kediaman baginya dimana dia biasa tinggal semasa berkahwin dengan suami sehinggalah tamat 'iddah, tempoh penjagaan anak telah tamat, jika bekas isteri berkahwin semula atau bekas isteri itu melakukan perbuatan yang memberahikan secara terbuka atau fahisyah.

Jika suami enggan membayar nafkah iddah, mutaah dan nafkah anak-anak suami akan mendapat dosa kerana tidak melaksanakan perintah Allah SWT. Suami kena jawab di hadapan Allah SWT kerana keenggannya melaksanakan kewajipannya sebagai suami dan bapa kepada anak-anaknya. Mahkamah Syariah di Malaysia tak ada kuasa mengarahkan polis menagkap suami dan dimasukkan ke dalam penjara kerana ingkar arahan mahkamah syariah. Oleh itu banyakkan bersabar dan berdoa kepada Allah SWT semoga Dia memudahkan urusan isteri dan dibantu oleh ahli keluarga isteri sendiri.


No comments:

Post a Comment