Thursday, November 28, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 04 (Lamaran, Adik Beradik Susuan, Pinjaman Wang, Berbohong Dan Ilmu Tasawuf)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah  Ustaz Siri 4 membicarakan persoalan lamaran lelaki kepada wanita, adik beradik susuan, pinjaman wang, berbohong yang diharuskan dan ilmu tasawuf.

16. Soalan : .Saya ingin bertanya adakah jika seseorang lelaki telah berjanji dengan seorang perempuan untuk berkahwin dalam tempoh yang dipersetujui bersama dan adakah ini dianggap bertunang?

Jawapan :

Bertunang sebenarnya mestilah melalui wali perempuan atau mahramnya dan ada ikatan bersama maka barulah sah pertunangannya. Ketika ini tidak ada siapa yang boleh melamar wanita tersebut, secara resminya sudah ada yang punya. 

Jika walinya tidak tahu dan tidak salah jika ada orang masuk melamar melalui walinya kerana ikatan perjanjian seorang wanita dan lelaki tidak diketahui oleh ahli keluarganya. Oleh itu jika berhajat ingin hidup bersama sebagai suami isteri maka cepat-cepatlah berjumpa wali atau mahramnya dan buat satu ikatan pertunangan dan tetapkan majlis akad nikah.

17. Soalan : Bagaimana sekiranya pasangan yang baru berkahwin tidak tahu yang mereka adalah adik beradik susuan dan tiada sesiapa pun yang memberitahu mereka mengenai hal tersebut.. Contohnya kedua ibu bapa pasangan tersebut telah meninggal dunia dan tiada sesiapa pun yang tahu mereka adalah adik beradik susuan. Adakah perkahwinan mereka sah?

Jawapan :

Perkahwinan di antara mahram susuan adalah haram. Tetapi jika sudah terjadi dan ada keluarga lain yg mengetahuinya wajib memberitahu dan perkahwinan itu akan terbatal dengan sendirinya. Jika siapa pun tidak mengetahuinya maka itu kita serahkan kepada Allah SWT dan tidak ada siapa yang berdosa.

Diriwayatkan oleh Aisyah Abdullah Mulaika r.a: Uqbah bin Harith r.a berkata bahawa ia menikahi anak perempuan Abi Ihab bin Aziz. Tidak lama kemudian seorang perempuan menemuinya dan berkata :Akulah yang menyusui Uqbah dan perempuan yang dinikahinya. Uqbah berkata kepadanya : Aku tidak tahu kamu telah menyusui ku dan kamu tidak mengatakannya kepada ku. Kemudian dia pergi menemui Rasulullah SAW di Madinah dan bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hal itu. Rasulullah SAW menjawab: Bagaimana kamu boleh (memperisterikannya) padahal telah dikatakan kepada mu (bahawa ia saudara sesusu mu) ? Kemudian Uqbah menceraikan isterinya dan kemudian isterinya berkahwin dengan orang lain.

Huraian Hadis: 

Apabila seorang perempuan menyusukan seorang bayi di bawah umur dua tahun sebanyak lima kali susuan atau lebih, maka anak tersebut menjadi anak susuannya dan anak suaminya. 

Oleh yang demikian anak susuan itu menjadi mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya, begitu juga terhadap keturunan kedua suami isteri tersebut. Berikut disenaraikan orang-orang yang menjadi mahram kepada anak susuan itu:

i. Perempuan yang menyusukan
ii. Suami ibu susuan
iii. Ibu bapa kepada ibu susuan
iv. Ibu bapa kepada suami ibu susuan
v. Adik beradik kepada ibu susuan
vi. Adik beradik kepada bapa susuan
vii. Anak-anak kepada ibu dan bapa susuan
viii. Anak-anak kepada ibu susuan
ix. Anak-anak kepada bapa susuan

Manakala orang-orang yang menjadi mahram kepada ibu susuan dan bapa susuan adalah anak susuan yang disusukannya, begitu juga anak kepada anak susuannya hingga ke bawah.

Tetapi ibu bapa, nenek, ibu atau bapa saudara dan adik beradik kepada anak tersebut tidak menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan berkenaan. Ini kerana susuan itu tidak menjadikan mahram kepada usul bagi anak yang menyusu seperti bapa, nenek sehingga ke atas dan hawashinya seperti adik beradik dan ibu atau bapa saudara. 

Hukum mahram itu hanya kepada anak yang menyusu itu hingga furu˜nya seperti anak-anaknya, cucu sehingga ke bawah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT, yang maksudnya: "Dan ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu dan saudara kamu yang sesusu" (Surah an-Nisa': 23)


Serta sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: "Sesuatu yang diharamkan dengan sebab penyusuan sebagaimana apa-apa yang diharamkan oleh sebab nasab. Wallahu a'lam

18. Soalan : Saya hendak bertanya. Kawan saya  ingin meminjam duit dengan saya dalam jumlah yang banyak juga..Boleh kah saya meletakkan syarat.. seperti dia perlu bayar dalam jumlah sekian dalam tempuh berturutan.?

Jawapan

Boleh memberi pinjam wang kepada rakan yang memerlukan tetapi jangan di ambil faedah daripada pinjaman tersebut kerana setiap faedah di atas pinjaman di kira sebagai riba. 

Saudari boleh membuat peraturan atau syarat-syarat pinjaman untuk menjamin pinjaman wang tersebut dapat dibayar pada masa yg ditetapkan. Tidak salah meletakkan cagaran yang berpatutan jika perlu. Perjanjian tersebut perlulah dituliskan sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 282.

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar). Dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi surat itu), maka hendaklah di rencanakan oleh walinya dengan adil (benar) dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil disisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjualbeli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Baqarah ayat 282)

19. Soalan : Bolehkan seseorang berbohong kerana terpaksa? Adakah dia masih berdosa?

Jawapan :

Hukum asal berbohong adalah berdosa. Tetapi di dalam keadaan darurat dia terpaksa untuk menyelamatkan nyawa sesorang yang dizalimi maka di haruskan. Malah dia akan berdosa jika tidak melakukan sesuatu untuk membantu saudaranya.

Dari Ummu kaltsum binti Uqbah bin Abi Mu’aith – dia termasuk muhajirat yang pertama-tama berbai’at dengan Nabi SAW – mengatakan bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidak termasuk pendusta orang yang memperdamaikan dua orang yang berselisih, dia mengatakan yang baik lalu dia berhasil dengan baik.” Kata Ibnu Syihab, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW membolehkan orang berdusta, melainkan dalam tiga hal (1) dalam perang. (2) dalam mendamaikan dua orang yang berselisih (3) berita suami kepada isterinya dan berita isteri kepada suaminya.”

Antara dasar syarak ialah: HARAM BERBOHONG, dan ia salah satu ciri utama orang munafik.

Dikecualikan dalam beberapa keadaan kerana maslahah. Antaranya:

1. Untuk mendamaikan antara dua orang atau dua kumpulan. Contohnya: Ali dan Amhad bertengkar, lalu kita beritahu pada Ali bahawa Ahmad mahu berdamai, dan beritahu pada Ahmad bahawa Ali mahu berbaik dengannya.

2. Perbualan antara suami isteri dalam hal-hal yang boleh menambahkan kemesraan, dan kasih sayang antara mereka. Contohnya: Seorang yang berpoligami berkata kepada setiap isterinya, bahawa dialah isteri yang paling disayangi.


3. Dalam peperangan. Contohnya: pemimpin tentera menzahirkan bahawa dia mahu mengerahkan tentera-tenteranya melalui laluan A, padahal sebenarnya dia mahu mereka melalui laluan B. Ini adalah kerana maslahah, supaya rahsia strategi peperangan tidak sampai ke tangan musuh.

20. Soalan : Apakah dimaksudkan dengan ilmu tasawuf?

Jawapan :

 Ilmu Tasawuf ( تصوف , ) adalah ilmu untuk mengetahui bagaimana cara menyucikan jiwa, menjernihan akhlak, membangun zahir dan batin, untuk memperoleh kebahagian yang abadi.Sebenarnya ilmu rohaniah itu adalah ilmu tasawuf atau dikatakan juga sebagai ilmu hakikat atau ilmu batin. 

Mengapa ilmu ini dikatakan ilmu rohani? Ini kerana perbahasannya adalah mengenai roh. Mengapa pula ia juga dikatakan ilmu tasawuf? Jika kita lihat perbincangan para ulama termasuk ulama moden, perkataan tasawuf itu diambil daripada bermacam-macam perkataan. Tetapi di sini saya hanya memilih salah satu daripadanya iaitu dari perkataan sofa’ bermakna bersih atau murni.


Tegasnya, ilmu tasawuf itu adalah ilmu bagaimana hendak membersihkan atau memurnikan roh (hati) atau nafsu. Agar dari dorongan hati yang bersih itu dapat membersihkan pula anggota lahir daripada melakukan kemungkaran dan kesalahan. Oleh itu, ilmu tasawuf itu adalah ilmu mengenai cara-cara membersihkan lahir dan batin daripada dosa dan kesalahan. Bahkan kesalahan lahir ini berpunca dari kesalahan batin. Dosa lahir ini berlaku setelah berlakunya dosa batin. Maka sebab itulah ia dikatakan ilmu tasawuf. Ilmu tasawuf juga adalah ilmu untuk melahirkan sifat-sifat mahmudah dan meninggalkan sifat-sifat mazmumah. Wallahu a'lam


   

.

1 comment:

  1. Adakah anda sedang mencari pinjaman? Anda mempunyai tempat yang betul untuk penyelesaian pinjaman anda di sini! Kewangan Global terhad memberi pinjaman kepada syarikat-syarikat dan individu pada kadar faedah yang rendah dan mampu milik sebanyak 3.2%. Sila hubungi kami melalui e-mel hari ini melalui susanmichael911@hotmail.co.uk

    DATA PEMOHON:

      1) Nama Penuh:
      2) Negara:
      3) Alamat: a
      4) Negara:
      5) Jantina:
      6) Status Perkahwinan:
      7) Pekerjaan:
      8) Nombor Telefon:
      9) Pada masa ini kedudukan di tempat kerja:
      10) Pendapatan bulanan:
      11) Jumlah Pinjaman Diperlukan:
      12) Tempoh pinjaman:
      13) Tujuan Pinjaman:
      14) Agama:
      15) Pernahkah anda memohon sebelum;
      16) Tarikh lahir;
      terima kasih,
    Puan Susan Michael

    ReplyDelete