Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 86 adalah menjelaskan persoalan nazar perkara wajib, masaalah mertua dengan menatu, solat duha, rukun dalam solat dan hukum makan ikan rebus.
486. Soalan : Ustaz, saya nak bertanya sikit kepada ustaz.saya musykil, bagaimana kalau seseorang itu berjanji ,contohnya '' saya berjanji akan memakai tudung labuh selama lamanya'' apa yang dia perlu buat jika dia memungkiri janjinya?adakah kafarahnya sama seperti kafarah melanggar sumpah.mohon penjelasan sepenuhnya daripada ustaz.terima kasih.
Jawapan :
Bernazar di dalam perkara yang wajib : Maka nazar dalam perkara wajib adalah TIDAK SAH, dan tidak dikenakan kaffarah. Memakai tudung labuh adalah wajib maka nazar tersebut tidak sah.
Demikianlah yang difatwakan oleh kebanyakan ulama, dan dimuktamadkan dalam dalam keempat-empat mazhab. Cuma dalam mazhab Hanbali ada riwayat atau ihtimal bahawa sah nazarnya, dan jika melanggarnya maka dikenakan kaffarah.
Dalil-dalil TIDAK SAH nazar wajib, atau nazar tinggal maksiat:
1) Perkara itu telah wajib dengan syarak, maka tidak ada apa-apa erti untuk kita wajibkan ia dengan nazar. Tutup aurat adalah wajib, pakai tudung labuh adalah tutup aurat yang sempurna.
2) Kaedah feqah yg masyhur: "Sesuatu yang sabit dengan syarak didahulukan daripada sesuatu yang sabit dengan syarat". Dalam kes ini, kewajipan asal syarak yg diambil kira, manakala syarat iaitu nazar tidak diambilkira.
Lihat kaedah dalam: Asybah Wa Nazair oleh Suyuti 279. dan Imam Suyuti membawa contoh ini.
3) Kata Ibn Qudamah: Tidak sah beriltizam dengan sesuatu yang telah lazim. Manakala al-Buhuti berkata: ia satu bentuk Tahsil al-Hasil. iaitu: menghasilkan sesuatu yang telah ada. Maka Tahsil Hasil adalah batil.
Kesimpulan:
-Nazar yg anda lafazkan adalah TIDAK SAH
-Tetapi anda tetap wajib memakai tudung labuh tersebut, kerana itu kewajipan asal syarak.
-Anda tidak dikenakan apaapa kaffarah sekalipun anda melakukan tidak memakai tudung labuh, cuma tutup aurat anda taksempurna jika tak pakai tudung labuh.
Rujukan:
-Mazhab Hanafi, Ktab al-Asl (al-Mabsut) oleh Imam Syaibani (Anak murid Abu Hanifah) m/s 3/148-149.
-Mazhab Maliki, kitab al-Tafri' oleh Ibn Jallab 1/377
-Mazhab Syafie, kitab Kanzul Raghibin, dan Hasyiah Qalyubi wa Umairah 4/289
-Mazhab Hanbali, kitab al-Mugni Ibn Qudamah 13/628, dan Kasyyaful Qina' 5/237
wallahu a'lam
487. Soalan : Ustaz, saya ingin bertanya sesuatu. Saya mempunyai seorang ibu yang duduk dengan kami sekeluarga. Tetapi semenjak suami saya rasa dirinya diperkecilkan dan abang saya yang seorang mengambil kesempatan diatas kelembutannya, sepeeti tidak ambil tahu ttg ibu saya & melepaskan tanggungjawab menjaga dan memberi makan keatas bahu syami saya, beliau rasa terpaksa bertegas dan ingin abang saya mengambil berat ttg kebajikan ibu saya. Suami saya juga pernah menyuarakan kpd ibu agar tidak bermastautin di rumah seorang anak sahaja. Bergerak2lah ke rumah anak2 yg lain sambil bermesra dgn cucu2 yg lain. Tetapi ibu saya sering mendapati suami saya seperti tidak suka beliau dan menghalau beliau dari rumah saya. Adakah salah apa yg suami saya buat itu. Patutkah suami saya berterus terang begitu? Suami saya kata saya pwrlu mendengar cakapnya kerana saya ni isteri & tidak patut membantah. Adakah benar perbuatan kami? Suami saya juga berkata saya sepatutnya mendengar cakap dia sebagai suami dan buka ibu saya.
Jawapan :
Masaalah perhubungan di antara ibu mertua dengan anak menantu perlulah dijaga supaya tidak wujud pergeseran dan salah faham di antara mereka. Perbalahan boleh membawa kepada fitnah memfitnah dan mengaibkan di antara satu sama lain dan boleh memutuskan silaturahim, sedangkan memutuskan silaturahim boleh membawa kemurkaan Allah SWT dan hilang keberkatan di dalam kehidupan.
Puan sebagai anak perempuan dan boleh menjadi orang tengah di antara suami , emak puan dan abang puan. Berbaik-baiklah jangan bermasam muka kerana dilarang tidak bertegur sama lebih daripada 3 hari.“Tidak halal bagi seorang Muslim “hajr” (tidak bertegur sapa) saudaranya melebihi tiga hari, kedua-duanya bertemu, lantas saling berpaling muka antara satu sama lain. Yang terbaik antara mereka ialah orang yang memulakan salam”. (Hadis Riwayat Muslim no 6697).
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW. menyebut balasan perbuatan ini :
Maksudnya : “Tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur sapa saudaranya melebihi tiga hari, maka barangsiapa yang tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari, nescaya akan masuk neraka”. ( Hadis Riwayat Abu Dawud : no 4914).
Hadis riwayat Aisyah r.a., ia berkata:Rasulullah SAW. bersabda: Rahim (tali persaudaraan) itu digantungkan pada Arsy, ia berkata: "Barang siapa yang menyambungku (berbuat baik kepada kerabat), maka Allah akan menyambungnya dan barang siapa yang memutuskan aku, maka Allah pun akan memutuskannya." (Hadis Shahih Riwayat Muslim)
Hadis riwayat Jubair bin Muth`im ra.: Dari Nabi SAW. bahwa beliau bersabda: "Tidak akan masuk Syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan." (Hadis Shahih Riwayat Muslim )
Hadis riwayat Anas bin Malik ra., ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW. bersabda: "Barang siapa yang merasa senang bila dimudahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung hubungan kekeluargaan (silaturahmi)."
(Hadis Shahih Riwayat Muslim)
488. Soalan : Saya nak tanya solat sunat Duha.. kalau pukul 8 pagi dah boleh ke buat solat sunat Duha?
Jawapan :
Solat duha waktu paling awal adalah 28 minit setelah masuk waktu syuruk. Pada 3.4.2014 waktu syuruk di Shah Alam adalah jam 7.12 pagi. waktu duha adalah jam 7.40 pagi. Waktu akhir solat duha adalah 9 minit sebelum masuk waktu zohor.
489. Soalan : Ustaz..saya nak bertanyakan tentang hukum membaca al-quran tanpa suara. Saya bekerja dan sememangnya mmbaca al-quran pd subuh atau maghrib. Kadang-kadang saya diam dan membaca di dalam hati apabila tekak perit atau saya dlm keadaan tak bertenaga. Apakah hukumnya? Yassiin baca didalam hati bolehkah? Kalau bersuara kecil dikira bersuara jugakah ustaz? mohon bimbing saya...insyaAllah.
Jawapan :
Rukun Qauli, iaitu rukun berkaitan bacaan di dalam solat (sekurang-kurangnya kena dengar bacaan itu ke telinga kita, jika kita sendiri tidak dengar, tidak sah solat kita itu) ia ada 5 perkara:
1. Takbiratul ihram;
2. Membaca Al-Fatihah;
3. Membaca tahiyyat akhir;
4. Berselawat kepada Nabi SAW. di dalam tahiyyat akhir;
5. Mengucap salam yang pertama
Bacaan surah dan zikir semasa rukuk dan sujud, doa semasa duduk antara dua sujud, membaca tahyat awal walaupun sunat sebaik-baiknya dibaca sekurang-kurangnya kena dengar bacaan itu ditelinga kita, untuk menyempurnakan solat kita. Di luar solat ketika kita membaca al-Quran dan berdoa dan berzikir juga dengan suara yang boleh kita dengan sendiri. Membaca di hati boleh tetapi lebih afdhal kita keluarkan suara supaya telinga ini akan menjadi saksi di atas bacaan yang kita ucapkan semasa membaca al-Quran, berzikir dan berdoa.
Rukun solat terbahagi kepada tiga kategori:
1. Qalbi (diingat dalam hati) ,
2. Qauli (diucap dengan lidah).
3. Fi'li (perbuatan)
Rukun solat ada 13 perkara iaitu:
1. Berdiri bagi yang mampu. [Fi'li]
2. Niat.[Qalbi]
3. Takbiratul Ihram (Allahu Akhbar yang pertama). [Qauli]
Takbiratul Ihram dilafazkan dengan salah. Contohnya, bertakbir dengan lafaz ﭐﷲ di mulut, dan ﺃﻛﺒﺮ di dalam hati. Walhal, lafaz takbiratul ihram adalah RUKUN QAULI, maka, ia WAJIB dilafazkan 100% di mulut tanpa meninggalkan satu hurufpun dalam kalimah ﭐﷲ ﺃﻛﺒﺮ . Selain itu, sekiranya makhraj lafaz takbiratul ihram ini salah, maka ia boleh juga membatalkan solat. Contohnya, melafazkan takbiratul ihram dengan suara angin (seperti suara orang berbisik).
4. Membaca surah Al-Fatihah. [Qauli]
Al-Fatihah merupakan RUKUN QAULI yang wajib dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul. Sekiranya membaca al-Fatihah dalam hati atau menggunakan suara angin, maka, ia boleh membatalkan solat.
5. Rukuk dengan tama'ninah .[Fi'li]
6. Iktidal dengan tama'ninah. [Fi'li]
7. Sujud dengan tama'ninah. [Fi'li]
8. Duduk di antara dua sujud, dengan tama'ninah. [Fi'li]
9. Duduk Tasyahhud akhir. [Fi'li]
10. Membaca bacaan Tasyahhud / Tahiyat Akhir. [Qauli]
Lafaz tahiyyaat akhir yang salah. Perkara ini merupakan antara kesalahan yang amat biasa dilakukan tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Lafaz tahiyyaat wajib disebut dengan makhraj yang betul kerana ia adalah rukun qauli. Sekiranya lafaz tahiyyat itu dilafazkan dengan suara angin juga, ia akan membatalkan solat.
11. Selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam Tasyahhud Akhir. [Qauli]
اللهم صَلِّ على سيـّدنا مُحمـّد
12. Mengucapkan salam yang pertama. [Qauli]
Lafaz salam dibaca dalam hati, dilafaz dengan suara angin, atau melafazkan salam dengan makhraj dan huruf yang salah juga boleh membatalkan solat. Lafaz yang tepat adalah ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ (assalaamu’alaikum warahmatullaah). Sekiranya menyebut “asalaamu’alaikum”, “salaamu’alaikum”, menukar huruf ﻉ kepada ﺃ, huruf ﺡ kepada ﻫ, atau apa sahaja sebutan yang selain daripada ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ , ia akan membatalkan solat. Menyebut salam dalam hati juga boleh membatalkan solat, kerana lafaz salam pertama adalah rukun qauli, ia WAJIB dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul.
13. Tertib [Qalbi]
490. Soalan : Ustaz.. Di perak ada menjual.ikan rebus yang dimasak terus selepas ditangkap dan baru2 ini saya mendengar ceramah bahawa ikan rebus itu haram dimakan sebab direbus sekali dgn isi perutnya.. Betulke ustaz?
Jawapan :
Ulama berselisih pendapat najis daripada haiwan dagingnya boleh dimakan Imam Syafie mengatakan najis secara mutlak tetapi Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Hanbali megatakan suci.Dalam kitab Al-Majmuk Syarah Muhadzab, Imam Nawawi mengatakan:
وقد سبق أن مذهبنا أن جميع الأرواث والذرق والبول نجسة من كل الحيوان ، سواء المأكول وغيره والطير وكذا روث السمك والجراد وما ليس له نفس سائلة كالذباب فروثها وبولها نجسان على المذهب ، وبه قطع العراقيون وجماعات من الخراسانيين . وحكى الخراسانيون وجها ضعيفا في طهارة روث السمك والجراد وما لا نفس له سائلة ، وقد قدمنا وجها عن حكاية صاحب البيان والرافعي أن بول ما يؤكل وروثه طاهران وهو غريب ، وهذا المذكور من نجاسة ذرق الطيور كلها هو مذهبنا
Maksudnya, "Sudah dijelaskan dalam mazhab kita (yakni mazhab Syafi'i) bahawa seluruh kotoran haiwan, tahi burung dan kencingnya itu najis. Baik haiwan yang halal dimakan atau tidak. Adapun burung, tahi/kotoran ikan dan belalang dan haiwan yang darahnya tidak mengalir seperti lalat, maka hukum kotoran/tahi-nya dan kencingnya adalah najis menurut mazhab (Syafi'i). Ini pendapat ulama Irak dan segolongan ulama Khurasan.
Najisnya kotoran burung semua adalah pendapat majoriti mazhab Syafi'i.
KOTORAN HEWAN SUCI MENURUT MAZHAB HANBALI, MALIKI DAN HANAFI
Menurut mazhab Hanbali, seluruh kotoran dan kencing haiwan yang halal dimakan itu suci.
Ibnu Qudamah seorang ulama mazhab Hanbali dalam Al-Mughni mengatakan:
وبول ما يؤكل لحمه وروثه طاهر ... قال مالك : لا يرى أهل العلم أبوال ما أكل لحمه وشرب لبنه نجساً .... وقال ابن المنذر : أجمع كل من نحفظ عنه من أهل العلم على إباحة الصلاة في مرابض الغنم ، إلا الشافعي فإنه اشترط أن تكون سليمة من أبعارها وأبوالها
Maksudnya, "Kencing dan kotoran/tahi haiwan yang halal dimakan itu suci. Imam Malik berkata: Ahlul ilmi tidak menganggap kencingnya haiwan yang halal dimakan dan meminum susunya itu najis. Ibnu Mundzir berkata: Ahul ilmi sepakat atas bolehnya solat di kandang lembu kecuali Imam Syafi'i yang mensyaratkan harus selamat dari kencing dan kotoran sapi itu.
Kesimpulan: Haiwan yang halal dimakan baik itu haiwan laut seperti ikan dan udang, haiwan udara seperti burung, atau haiwan darat seperti kambing, dll maka kotoran dan kencingnya hukumnya :
1. Menurut mazhab Syafi'i hukumnya najis, kecuali pendapat sebagian kecil ulama mazhab Syafi'i yang mengatakan suci.
2. Menurut ulama mazhab yang lain seperti mazhab Hanbali, Maliki dan Hanafi, hukumnya suci.
Oleh itu ikan yang direbus bersama isi perutnya menurut mazhab Syafie najis dan ikan rebus tersebut tak halal di makan tetapi menurut majoriti ulama di dalam mazhab Maliki, Hanafi dan Hanbali adalah suci dan ikan rebus tersebut hukumnya halal dimakan.
Adapun kotoran / najis haiwan yang haram dimakan dagingnya seperti babi, burung elang, buaya, anjing, biawak dll maka ulama dari keempat mazhab sepakat atas kenajisannya. Wallahu a'lam
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 85 adalah menjelaskan persoalan doa pindahkan hujan, tinggalkan yang wajib, lelaki bermusafir hari Jumaat, hadis utamakan kanak-kanak dan suami utamakan adik beradiknya.
481. Soalan : Ustaz. saya ada mendengar ada orang yang boleh melakukan tolak hujan apabila mengadakan majlis perkahwinan, yakni mengelakkan hujan daripada turun di tempat majlis tersebut. Bagaimana cara yang dilakukan tidak lah saya ketahui. Soalan saya adakah kaedah ini dalam agama kita? Mohon penjelasan ustaz. Sekian. Terimakasih.
Jawapan :
Kita tak boleh tolak hujan kerana hujan itu adalah rahmat Allah SWT yang diturunkan oleh Allah SWT keatas makhluknya, kita hanya boleh berdoa supaya Allah SWT pindahkan hujan ditempat kita untuk beralih ketempat lain jika kita ada majlis contohnya kenduri kawin .
DOA AGAR HUJAN BERHENTI
174- اَللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اَللَّهُمَّ عَلَى اْلآكَامِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ.
174. “Ya Allah! Hujanilah di sekitar kami, jangan kepada kami. Ya, Allah! Berilah hujan ke daratan tinggi, beberapa anak bukit perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan pepohonan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari 1/224 dan Muslim 2/614)
482. Soalan : Boleh ustaz terangkan serba sedikit mengenai seseorang yang suka mendahulukan perkara sunat daripada perkara wajib? Contohnya suka membaca al-Quran, tetapi solat liat untuk dijaga.
Jawapan :
Dalam Islam yang paling penting untuk menjadi seorang muslim mesti laksanakan semua yang wajib dan tinggalkan semua yang haram. Untuk menjadi seorang mukmin yang bertakwa perlu perbanyakkan yang sunat dan tinggalkan yang makruh, dan niatkan yang harus menjadi sunat.. Jika seorang masih buat yang haram dan pada masa yang sama buat pula yang sunat, pahala yang sunat tak dapat nak tampung dosa pekerjaan haram yang dilakukan. Oleh itu perlu kita istiqamah dengan yang wajib dan tinggalkan yang haram barulah sempurna akhlak kita iaitu akhlak seorang muslim.
Maksudnya di dalam urusan kita seharian banyak perkara harus seperti makan, mium, tidur, naik kenderaan semuanya harus. Contoh makan dan munum kita niatkan di dalam hati : makan dan mInum mesti yang halal semoga dengan tenaga yang Allah SWT berikan kita nak melakukan ibadah kepaad Allah SWT dan dengan tenaga yang di berikan untuk bekerja mencari nafkah, begitu juga tidur harus tetapi kita tidur dengan niat nak bangaun solat subuh maka seluruh tidur kita diberikan pahala oleh Allah SWT. Beli kereta hukumnya harus tetapi bila kita niatkan kereta yang ada untuk cari nafkah, untuk ke masjid solat berjemaah maka kereta yang kita miliki mendapat pahala.
Begitu juga meninggalkan pekerjaan haram akan mendapat pahala seperti mencuri, berzina, minum arak, mengumpat, memfitnah, mengambil rasuh. Apabila bagun diwaktu pagi kita berdoa , "Ya Allah aku meninggalkan semua pekerjaan haram, maksiat dan dosa semata-mata kerana -Mu ya Allah, jauhkan aku daripada pekerjaan haram, maksiat dan dosa" maka seluruh hari itu kita mendapat pahala kerana niat kita tak mahu melakukan perkara haram, maksiat dan dosa. Niat itu cukup penting memberikan ganjaran pahala sunat dan pahala wajib (meninggalkan yang haram adalah wajib maka kita akan mendapat pahala wajib)
483. Soalan : Maaf ustad saya pernah dengar kaum lelaki itu dikira musafir hanya jika dia keluar rumah sebelum subuh.. Jika dia keluar selepas subuh dia masih wajib menunaikan solat Jumaat... Betul ke ustaz?
Jawapan :
Mengenai solat Jamak dan Qasar terdapat jawapan oleh Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor .Solat Qasar Dan Jamak Zohor Dengan Asar Pada Hari Jumaat
Kertas ini dikemukakan kepada Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' untuk mendapat pertimbangan dan pandangan mengenai solat Qasar dan Jamak Zohor dengan Asar pada hari Jumaat.
Keputusan:
Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor dalam persidangannya yang bertarikh 29 April 1999 telah membincangkan perkara di atas dan keputusannya adalah seperti berikut :
'Jawatankuasa Fatwa kali 1/99 memutuskan bahawa perkara ini merupakan hukum yang telah sedia ada'.
Keterangan/Hujah:
LATAR BELAKANG
1. Solat Qasar adalah satu keringanan bagi orang yang bermusafir serta memenuhi syarat untuk melakukan solat Qasar. Orang yang bermusafir tidak diwajibkan solat Jumaat berdasarkan Hadis : Maksudnya : "Tidak diwajibkan solat Jumaat ke atas musafir."
Jika orang yang tidak diwajibkan solat Jumaat menunaikan solat Jumaat bersama orang ramai (orang yang diwajibkan solat Jumaat), maka dikira sah solat itu dan tidak diharuskan solat fardu zohor kerana mereka menanggung kesulitan sebagaimana juga orang musafir yang melakukan puasa, sedangkan orang yang bermusafir tidak diwajibkan berpuasa tetapi jika dia berpuasa maka puasanya dikira sah. Ini kerana setiap orang yang sah solat zohornya tetapi tidak diwajibkan solat Jumaat. Apabila ia menunaikan solat Jumaat, maka solatnya dikira sah mengikut ijma", sebab sah bagi orang yang tidak uzur, maka tentulah lebih sah bagi orang uzur.
2. Sehubungan dengan itu, berbagai pandangan ulama" dikemukakan. Antaranya :
Mazhab Hanafi :
Diwajibkan solat Jumaat ke atas musafir yang berniat untuk bermukim atau tinggal selama 15 hari.
Mazhab Maliki :
Diwajibkan solat Jumaat ke atas musafir yang berniat untuk bermukim atau tinggal selama 14 hari genap atau lebih, walaupun dengan adanya orang musafir itu tidak semestinya sah berjumaat (kerana orang musafir tidak dikira dalam bilangan Jemaah yang membolehkan sah solat Jumaat)
Mazhab Syafii :
Diwajibkan solat Jumaat ke atas musafir yang berniat untuk tinggal di sesuatu tempat selama 4 hari dan musafir yang memulakan perjalanannya setelah terbit fajar subuh pada hari Jumaat. Tetapi sekiranya dimulakan perjalanan sebelum terbit fajar subuh maka tidak diwajibkan solat Jumaat
Mazhab Hanafi :
Diwajibkan solat Jumaat ke atas musafir sekiranya ia berniat untuk tinggal selama 4 hari lebih ataupun musafir dengan tujuan maksiat. Ini bertujuan supaya maksiat tidak menjadi dasar kepada keringanan daripada kewajipan solat Jumaat atau kerana jarak antara tempat dia berada dengan tempat yang dilakukan solat sejauh satu fasakh atau kurang atau jarak jauh musafir itu kurang daripada jarak yang dibenarkan Qasar solat.
Rujukan : Fiqh dan Perundangan Islam (jilid II).
Hukum solat Jumaat bagi orang musafir.:
1. Menurut pendapat majoriti fuqaha, seseorang yang menghadiri suatu perjalanan atau musafir yang mencukupi syarat-syarat mengqasarkan solat, tidak diwajibkan untuk menghadiri solat Jumaat. Ini adalah kerana tidak diterima sebarang riwayat bahawa Nabi Sallallahu-Alaihi-Wasallam ada melaksanakan solat Jumaat dalam mana-mana ekspedisi atau peperangan atau perjalanan yang beliau lakukan sepanjang hidupnya. Ini juga dicontohi oleh para sahabat beliau radiallahu-anhum di mana tidak dinukilkan sebarang riwayat dari mereka, samada ketika masa kehidupan Nabi atau selepas kewafatan beliau, bahawa mereka ada melakukan solat Jumaat ketika musafir. (Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/284-286 ; Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/252.)
2. Walaubagaimanapun amat dianjurkan seseorang yang bermusafir itu agar tetap berusaha untuk menghadiri solat Jumaat berjemaah sebagai mengelak dari pergeseran dengan pendapat lain yang mengatakan solat Jumaat tetap wajib sekalipun bagi orang musafir. Pendapat yang mewajibkan ini berhujah atas dasar bahawa tiada nas atau dalil sahih yang mengatakan bahwa seseorang yang musafir tidak perlu menghadiri solat Jumaat. Oleh kerana tiada dalil yang mengecualikan suasana musafir, maka hukum solat Jumaat ini kembali pada perintah asal, iaitu tetap wajib bagi semua orang, mastautin mahupun musafir.
Tambahan lagi Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tidak mengecualikan seorang musafir dari solat Jumaat tetapi hanya mengecualikan mereka yang terdiri daripada [1] wanita, [2] budak belum baligh, [3] orang sakit dan [4] hamba sahaya.
Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Jumaat adalah benar, wajib atas semua umat Islam dengan berjemaah kecuali empat golongan - hamba sahaya, wanita, anak-anak atau orang sakit. (Maksud hadith dari Thariq bin Syihab radiallahu-anha, Sunan Abu Daud - no: 1026 dan disahihkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani, al-Iraqi dan asy-Shaukani, Nail-ul-Authar, 3/527.)
Adapun riwayat yang berbunyi , "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka wajib ke atasnya solat Jumaat kecuali wanita atau orang musafir atau hamba sahaya atau orang sakit adalah tersangat daif kedudukannya (Riwayat di atas ditakhrij oleh Imam ad-Daruquthni dan al-Baihaqi dari Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu, dinyatakan kelemahannya oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 3/527-528) .
Demikian juga sebuah lagi riwayat lain yang bermaksud, "Tidak wajib Jumaat atas orang musafir adalah juga daif kedudukannya. (Maksud hadith dari Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma diriwayat oleh at-Thabrani dalam al-Ausath, didaifkan kedudukannya oleh Imam as-Sha'nani dalam Subul-us-Salam, 2/236).
Kedua-dua hadis yang daif ini tidak boleh dijadikan hujah pegangan atau sumber rujukan hukum.
Justeru itu sekalipun majoriti para fuqaha berpendapat bahawa solat Jumaat tidak wajib ke atas orang musafir, tetapi sebagai pilihan yang selamat lagi dipertengahan, adalah amat disyorkan bagi seseorang itu untuk tetap berusaha menghadiri solat Jumaat berjemaah. Anjuran ini menjadi lebih berat mengingatkan banyaknya fadilat-fadilat Hari Jumaat itu sendiri beserta keutamaan solatnya, sebagaimana yang banyak dipesan oleh baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Tambahan lagi solat Jumaat di kala musafir membuka peluang untuk kita berkenalan dengan komuniti tempatan dan beramah mesra lagi memperluaskan hubungan sesama umat.
484. Soalan : Salam Ustaz, nak tanya adakah hadis ini hadis sahih..ada satu poster yang selalu di share di FB.Katanya Hadis Nabi... Intipatinya : 1) Orang yang tidak menyukai kanak-kanak tidak akan masuk syurga 2) Bau mulut atau tubuh kanak-kanak adalah sebahagian dari bau syurga 3) Setiap ciuman yg diberikan kepada anak dibalas dengan satu darjat di syurga. Nisbah di antara dua darjat adalah 500 tahun. 4)Mereka yang keluar ke pasar dan apabila balik ke rumah membelikan buah tangan untuk anak-anaknya mendapat rahmat Allah dan takan diseksa di akhirat. mohon pencerahan Ustaz..wasalam...
Jawapan :
Saya belum jumpa lagi hadis sahih yang menjelaskan kelebihan menyukai kanak-kanak seperti yang saudari jelaskan di atas, tetapi saya ada terjumpa hadis berikut :
Menceritakan hadis dari Syarik hadis dari Laith hadis dari Ikrimah hadis dari Ibnu Abbas berkata: 'Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): 'Laisa minna man lam yarham soghirana yuaqqir kabirana wa-yakmur bil-ma'rufi ya-yanhu 'annil munkari' (Yg bermaksud: Bukanlah dari golonganku (yakni, umatku) orang yg tidak menyayangi kanak-kanak dan orang yg tidak memuliakan orang-orang tua dan orang yg tidak menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kpd kemungkaran.) (Hais Riwayat at-Termidzi, Bab Wasilah]
Dan, hadis berikut yg diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dalam kitabnya Sunan Abu Daud juga disebutkan hadis mengenai ketetapan yg sama:
Diriwayatkan hadis dari Ibni Abi Najih hadis dari Ibni 'Amir hadis dari Abdillah b 'Amru meriwayatkan hadis Ibnu Sarhih berkata: 'Hadis dari Nabi (s.a.w) bersabda: 'Man lam yarham soghirana wa-ya'rif haqqa kabirina falaisa minna.' (Yg bermaksud: Barangsiapa yang tidak menyayangi anak-kanak kecil (atau kanak-kanak) dan tidak tahu hak orang-orang tua (antaranya, dihormati), maka bukanlah dia dari golongan aku (Nabi).) (Hadis Riwayat Abu Daud, Kitab Adab)
485. Soalan : salam, nak tanya..apa tindakan saya, suami abaikan makan minum, keperluan kami, walaupun saya turut membantu membayar sewa rumah bil2 semua. tapi barang dapur, keperluan ank, saya seorang yang uruskan..jika minta suami, dia kata xde duit, namun apabila ayah atau family dia minta, dia ade duit. bagi suami, biar die xde duit, namun jika ayah die minta, die pasti bagi..
Ayah dia ade pencin, berniaga, dan ibunya menjaga anak orang...hutang dah takda...tapi selalu merungut tak cukup duit, adik belajar 2 orang, saya pun pernah belajar universiti, dapat ptptn, tapi tak ada pula minta duit banyak pada mak ayah, lain pula dengan adik ipar saya ni, dapat ptptn, tak sampai sebulan dah habis....namun bagi saya cukup....saya tak kisah suami bagi duit, tapi sila utamakan keperluan kami...Minta pandangan ustaz?
Jawapan :
Seorang suami yang bertanggungjawab akan menggunakan kebijaksanaan dirinya dan keadilan untuk menguruskan rumah tangga. Sebahagian suami lupa bahawa walaupun isterinya bekerja tetapi tanggungjawab menyara kehidupan, menyediakan rumah, pelajaran , kesihatan dan kemudahan yang lain perlu dipikulkan ke atas bahu suami.
Isteri hanya membantu atas kerelaannya dan suami tak boleh kontrol gaji isteri. Isteri yang baik dan prihatin tak akan membiarkan kesusahan anak-anak dan keluarganya. Bantuannya adalah atas dasar kerelaan bukan paksaan.
Satu lagi sikap suami yang disuruh agama adalah bersikap adil di dalam menyara keluarganya sendiri dan juga membatu ibu bapa dan adik beradiknya. Utamakan dahulu isteri dan anak-anak, dan jika kedua ibu bapa nya susah maka kewajipan anak lelaki untuk membantunya. Tetapi jika ibi bapanya berpencin dan berharta maka suami kena berpada-pada jangan sampai kecenderungannya kepada adik beradiknya hingga mengabaikan kewajipan kepada isteri dan anak-anaknya. Hati kecil isteri perlu dijaga dan perlu saling nasihat menasihatai dan wujudkan kemesraan dan kasih sayang.
Nabi SAW bersabda :
“خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي”
Maksudnya, “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya. Dan akulah yang paling baik di antara kalian dalam bermuamalah dengan keluargaku.” (H.R. Tirmidzi dan beliau mengomentari bahawa hadis ini hasan gharib sahih. Ibnu Hibban dan al-Albani menilai hadits tersebut sahih).
Jika suami tak baik akhlaknya dengan isteri dan anak-anak dia bukan seorang yang berakhlak sebagaimana hadis di atas. Oleh itu puan perlu banyak bersabar dan berdoalah kepada Allah SWT supaya suami puan berubah perangainya dan kembali berfungsi sebagai suami yang soleh dan mampu mendidik puan dan anak-anak kejalan yang diredhai oleh Allah ST. Wallahu a'lam
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 84 adalah menjelaskan persoalan lelaki pakai seluar pendik, cara kawal marah, cara untuk khyusuk dalam solat, cara solat taubat, kawin gantung dan solat qada
476. Soalan : Apa pandangan Ustaz apabila seseorang lelaki muslim yang telah akil baligh memakai seluar pendek di khalayak ramai. Apabila kita berjalan-jalan di kawasan awam seperti di pasaraya-pasaraya, taman-taman awam, pusat-pusat riadah dan lain-lain tempat terbuka seringkali kita melihat kaum lelaki yang berseorangan atau berpasangan memakai seluar pendek (suami) bersama keluarga. Kadang kala kita berasa janggal, malu dan berdosa apabila melihat kaum lelaki (suami) berseluar pendek tetapi isteri dan anak-anaknya berpakaian menutup aurat berjalan beriringan. Semua orang tahu bahawa aurat kaum lelaki terletak di antara pusat dan lutut tetapi bukanlah bermakna/dibenarkan sewenang-wenangnya boleh membuka aurat di merata-rata tempat bahkan didalam rumah pun klu terdapat anak perempuan yang telah remaja aurat lelaki (suami, anak-anak lelaki) tetap tidak boleh terbuka.
Mohon pencerahan/huraian Ustaz. Terima kasih.
Jawapan :
Seorang muslim yang telah menjadi suami atau ayah perlulah membawa contoh yang baik kepada ahli keluarganya. Jika keluar rumah dengan memakai seluar pendik menampakkan kejahilannya tentang hukum agama dan menunjukkan seorang yang tidak membawa sahsiah Islam terutama kepada masyarakat Islam.
Umumnya semua orang islam faham bahawa aurat lelaki adalah di antara pusat dan lutut. Sepatutnya merasa malu apabila keluar rumah berjalan bersama isteri yang menutup aurat. Satu masaalah lagi bagaimana seorang isteri tak boleh menegur suaminya yang terang-terang melakukan maksiat? Sepatutnya peranan menegur dan membetulkan kesalahan berlaku di antara isteri dan suaminya.
Aurat lelaki menurut ahli hukum ialah daripada pusat hingga ke lutut.
Hadis dari Jarhad al-Aslami r.a. yang menceritakan; “Rasulullah duduk bersama kami sedang pahaku ketika itu terbuka. Lalu Rasulullah berkata kepadaku;
أما علمت أنَّ الفخذ عورةٌ
Maksudnya : “Apakah kamu tidak mengetahui bahawa paha adalah aurat?”. (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Malik)
477. Soalan : Ustaz,,saya nak tanya macamana supaya saya tadak berkata-kata perkataan yang tidak elok di dengar apabila saya marah kepada seseorang.?
Jawapan :
Seorang mukmin akan sentiasa membawa akhlak Islam samaada ketika suka, duka atau marah. Jika suka atau gembira tidak melampau batas, jika duka tidak menangis meraung-raung dan jika marah tak akan keluar perkataan kesat atau kotor. Nabi SAW pernah marah kepada sahabat, tetapi baginda tak pernah maki hamun, cuma sahabat nampak diwajah banginda berubah wajah baginda, dan baginda akan menasihati sahabat tersebut dengan lemah lembut tetapi tegas.
Firman Allah SAW yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh” (Surah Al-A'raaf ayat 199)
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)
Sabda Nabi SAW. lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Al Imam Al Hasan Al Bashri rahimahullah berkata: “Empat hal, barangsiapa yang mampu mengendalikannya maka Allah akan menjaga dari syaitan dan diharamkan dari Neraka : iaitu seseorang mampu menguasai nafsunya ketika berkeinginan, cemas, syahwat dan marah.”
Setiap Muslim harus marah manakala kemuliaan Islam dihina, contohnya apabila penghinaan terhadap baginda Rasulullah SAW. yang dilakukan oleh orang-orang yang anti Islam.
Sedangkan kita dituntut untuk dapat mengendalikan marah sekaligus mema’afkan orang lain ketika penyebab marahnya tertuju kepada diri secara peribadi, contohnya ketika jasa seorang suami kurang dihargai isterinya maka suami tersebut hendaklah bertenang jangan cepat merasa marah.
Dalam riwayat Abu Said al-Khudri Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sebaik-baik orang adalah yang tidak mudah marah dan cepat meredhai, sedangkan seburuk-buruk orang adalah yang cepat marah dan lambat meredhai " (Hadis Riwayat Ahmad).
Diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ada seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW. : “Berilah saya nasihat.” Baginga s.a.w.bersabda, “Jangan marah.” Lelaki itu terus mengulang-ulang permintaannya dan baginda tetap menjawab, “Jangan marah.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Terdapat lima pekara untuk mengatasi perasaan marah. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Membaca Ta'awwudz. (memohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan)
Sulaiman Ibnu Sard meriwayatkan, pernah dua orang saling mencerca satu sama lainnya di hadapan Rasulullah SAW.. Sementara itu, kami sedang duduk di sisinya. Salah seorang dari mereka menghina yang lainnya dengan marah, hingga merah mukanya. Maka Rasulullah SAW.bersabda maksudnya : "Aku mengetahui suatu kalimat, jika diucapkan olehnya (laki-laki yang merah mukanya), maka akan hilang kemarahannya. Hendaklah dia berkata: A’udzubillahi minasy syaithanir rajim (maksudnya 'aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk). ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
2. Berwuduk.
Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : " Sesungguhnya, kemarahan itu berasal dari syaitan. Dan syaitan tercipta dari api. Dan sesungguhnya, api itu dapat dipadamkan dengan air. Jika salah seorang diantara kalian marah, maka berwudhu'lah. (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud, hadis ini hasan.)
3. Duduk.
Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda maksudnya : "Kalau kalian marah maka duduklah, kalau tidak hilang juga maka bertiduranlah"(Hadis Riwayat Abu Dawud).
Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Jika salah seorang kalian marah dan dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah duduk. Jika masih belum reda marahnya, maka hendaklah berbaring.
( Hadis Riwayat Ahmad )
Hal ini kerana marah dalam berdiri lebih besar kemungkinannya melakukan keburukan dan kerusakan daripada dalam keadaan duduk. Sedangkan berbaring lebih jauh lagi dari duduk dan berdiri.
4. Diam.
Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : "Jika engkau marah, maka diamlah. Jika engkau marah, maka diamlah. (Hadis Riwayat Ahmad ) .
Banyak berbicara dalam keadaan marah tidak boleh mengawal perasaan sehingga terjatuh pada pembicaraan yang tercela dan membahayakan dirinya dan orang lain.
Dalam hadis disebutkan :“Apabila diantara kalian marah maka diamlah.” Baginda s.a.w. ucapkan tiga kali." (Hadis Riwayat.Ahmad)
5. Bersujud (maksudnya solat sunat dua rekaat)
Nabi SAW bersanda maksudnya : "Ketahuilah, sesungguhnya marah itu bara api dalam hati manusia. Tidaklah engkau melihat merahnya kedua matanya dan tegangnya urat darah di lehernya? Maka barangsiapa yang mendapatkan hal itu, maka hendaklah ia meletakkan pipinya dengan tanah (sujud)." (Hadis Riwayat Tirmidzi)
478. Soalan : ustaz...soalan saya :Bagaimana cara untuk lebih kusyuk dalam solat dan cara menunaikn solat taubat?
Jawapan :
Untuk mendapat khyusuk dalam solat terdapat 17 perkara. jika kita amalkan diharapkan akan mendatangkan lebih khyusuk. Antara amalan untuk mendapat khusyuk dalam solat dan kemanisan ibadah ada 17 perkara :
1.Sentiasa melaksanakan solat berjemaah (yang paling afdal ialah di masjid).
2.Menjaga makan minum agar terjamin halalnya (pastikan tidak di makan makanan yang haram dan syubhat kerana ianya boleh mengelapkan hati).
3.Membanyakkan sedekah kepada fakir dan miskin.
4.Jangan solat dengan menangguh untuk membuang air besar atau kecil dan perkemaskan segala urusan supaya tidak timbul kebimbangan dalam solat.
5.Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat atau do'a apabila air melalui di tiap-tiap anggota.
6.Memakai pakaian yang bersih dan kemas seperti akan menghadap pembesar negeri.
7.Tempat sujud dipastikan tidak ada gambar yang menganggu fikiran atau membimbangkan hati.
8.Mengingatkan mati dan kemungkinan itulah solat kita yang terakhir dalam hidup.
9.Menyedari bahawa kita sedang berhadapan dengan Allah Yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia hamba-Nya.
10.Memenuhkan dada dalam perasaan takut dan rendah diri kepada Allah yang melihat segala gerak geri kita.
11.Memahami segala bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat Al-Quran dan segala zikir.
12.Sebelum mengangkat takbir, membaca surah An-Nas, selawat atas Nabi SAW, istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan.
13.Memandang ketempat sujud dan tidak terlalu banyak mengerakkan anggota badan.
14.Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.
15.Memanjangkan sedikit tempoh semasa rukuk dan sujud.
16.Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan solat.
17.Jangan menjeling ke kiri dan ke kanan.
Walau apapun syarat khusyuk yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.
Solat Sunat Taubat dilakukan selepas seseorang itu melakukan dosa dan kesalahan atau perlanggaran hukum-hukum agama atau berasa dirinya bersalah dan berdosa kepada Allah SWT. kemudian menyesali atas perbuatan itu dan ingin kembali semula ke jalan Allah (bertaubat).
.
Rasulullah SAW. telah bersabda: “Sesiapa yang pernah melakukan perbuatan dosa, bersegeralah berwuduk kemudian dirikan solat dan mohonlah keampunan kepada Allah SWT., Allah pasti akan menerima permohonannya itu. Kemudian bacalah ayat ini:
“Mereka yang pernah mengerjakan perbuatan dosa atau telah berbuat dosa terhadap dirinya sendiri lalu mereka bersegera mengingati Allah dengan memohon keampunan Ilahi terhadap dosa yang dilakukan itu. Siapakah yang akan mengampuni segala dosa, selain Allah? Kemudian itu mereka berasa insaf dan sedar serta tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi, maka mereka akan diberi pahala dan ganjaran syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai dan disitulah tempat mereka selamanya.” (HR Abu Daud, Nasa’I, Ibnu Majah dan Baihaqi.)
.
Solat Taubat boleh dilakukan sekurang-kurangnya dua rekaat pada bila-bila masa yang dikehendaki, tetapi lebih afdal pada waktu tengah malam dimana suasananya lebih sunyi dan tenang. 1. Bacaan surah selepas Al-Fatihah:
.
Rakaat pertama: Surah Al-Kafirun
Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas
.
2. Semasa sujud terakhir pada rakaat kedua (sebelum duduk Tahiyyat Akhir) iaitu selepas membaca tasbih biasa, bacalah Tasbih berikut 40 kali:
“Laa-i-la-ha il-la an-ta sub-haa-na-ka in-niy kun-tu mi-naz-zhoo li-miyn.”
Tiada Tuhan melainkan Dikau (Allah)! Maha Suci Dikau! Sesungguhnya daku ini termasuk daripada golongan orang yang aniaya (zalim).
.
3. Setelah memberi salam hendaklah memperbanyakkan beristighfar :
.
a. Bacalah istighfar berikut sebanyak 100 kali;
“As-tagh-fi-rul-Laa-hil ‘A-ziym, al-la-dziy laa i-la-ha il-laa hu-wal hai-yul qoi-yuum wa-a-tuu-bu i-laih.” Maksudnya, "Daku mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus dan daku bertaubat kepada-Nya".
479. Soalan : Ustaz.saya berasal dari Kelantan Berumur 20. Saya nak Tanya ustaz apa itu Kahwin Gantung? dan apa hukumnya? Harap Ustaz dapat menjawab soalan saya.
Jawapan :
Dalam Islam tak ada kawin gantung (sesudah akad nikah suami isteri tak boleh tinggal sekali sebelum di adakan kenduri kawin). Adat ini sebenarnya telah menafikan hak suami setelah akad nikah . Dalam Islam apabila berlaku saja akad nikah isteri wajib taat pada suami dan telah beralih amanah dan tanggungjawab ke bahu suami bukan tanggungjawab bapa si isteri.
Tetapi adat kawin gantung ini si isteri masih dibawah arahan ibu bapanya, cara ini menyalahi sunnah Rasulullah SAW. Kerana nak buat kenduri besar-besaran sanggup melupakan sunah Rasulullah SAW. Islam menyuruh adakan kenduri walimatulurus bersederhana saja tak perlu besar-besaran dan membazir. Ibu bapa isteri berdosa kerana menghalang suami membawa balik isterinya kerumahnya semata-mata kerana adat setelah berlangsungnya akad nikah.
480. Soalan : ustaz boleh terangkan pada saya.kalau seseorang itu banyak tertinggal qada solatnya adakah seseorang itu boleh melakukan solat sunat yang lain,? seperti solat sunat taubat, tahajud, dan solat sunat yg lain?
Jawapan :
Dalam Mazhab Hanafi menjelaskan : "Menyibukkan sembahyang sunat tidak menafikan segera sembahyang qada. Hanya sesungguhnya yang terutamanya perlu sibuk dengan Sembahyang qada yang luput dan tinggalkan solat sunat melainkan sunat Rawatib,Duha,Tasbih,Tahiyatul Masjid. Ini menjelaskan bahawa solat sunat masih dibenarkan dengan syarat mengutamakan solat qada dahulu, dan jika ada masa maka boleh lakukan solat sunat. Wallahu a'lam
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 83 adalah menjelaskan persoalan jemputan jamuan jiran rasuah, solat taubat , syurga dibawah tapak kaki ibu, sebutan "kalau" dan suami yang keras.
471. Soalan : Jika jiran kita terlibat dengan rasuah dan riba (terdapat bukti yang jelas) dan sekiranya beliau menjemput jamuan makan atau kenduri di rumahnya adakah boleh kita hadir?
Jawapan :
Kita hadir kenduri atas jemputan jiran kita, salah satu hak jiran adalah menghadiri jamuan yang di adakah oleh jiran dan dia menjemput kita hadir. Urusan rasuah atau riba yang dia perolehi maka dosa itu ditanggung oleh jiran tersebut. .Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud:
“Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”. Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675).
Dalam riwayat al-Baihaqi, seseorang bertanya Ibn ‘Umar bahawa beliau ada jiran yang memakan riba atau mempunyai pekerjaan yang haram, kadang-kala dia jemput makan, bolehkah hadir?. Jawab Ibn ‘Umar: “Ya” (al-Sunan al-Kubra, bil: 11138).
Al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin r.h pernah ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya.
Beliau menjawab:“Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi SAW pun menerima hadiah dari yahudi, memakan makanan yahudi, membeli dari yahudi sedangkan yahudi terkenal dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah SAW memakannya dengan jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang halal, maka tidak mengapa”
472. Soalan : ustaz...saya nak tanya...kalau kita pernah buat solat taubat nasuha tapi kita tak pasti solat kita sah atau tidak macamana....baleh ustaz bagitahu apa surah yang patut dibaca ketika kita melakukan solat taubat nasuha ?
Jawapan :
Solat taubat nasuha adalah solat kita mohon ampun dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Taubat nasuha adalah taubat untuk kita membersihkan diri kita daripada dosa-dosa besar, syaratnya perlu meninggalkan dosa tersebut, menyesal di atas perbuatan kita dan berazam tidak akan mengulagi lagi dosa-dosa tersebut. Taubat kita samaada diterima atau tidak terserah kepaad Allah SWT tetapi yakinlah Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Pengasihdan Penyayang. Tetapi tanda-tandanya kita menjadi lebih baik dan lebih solehah dan semakin cinta kepada Allah dan cinta untuk menghayati Islam sebagai cara hidup.
Tidak ada surah khas solat taubat, bacalah mana-mana surah yang kita hafal, yang penting keikhlasan hati kita untuk bertaubat dan membersihkan diri kepaad Allah SWT.Solat sunat taubat sekurang-kurangnya 2 rekaat, jika nak buat 4 rekaat atau 6 rekaat di haruskan tetapi buat 2 rekaat , 2 rekaat dan salam. Niatnya di hati "“Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala"
473. Soalan : Ustaz...ada tak dalil atau hadis menyatakan syurga seorang isteri dibawah telapak kaki suami?Setahu saya syurga seorang anak dibawah telapak kaki ibu?
Jawapan :
Mu'awiyah bin Jahimah telah datang kepada Rasulullah S.A.W. lantas bertanya: "Aku hendak pergi berjihad, justeru aku datang kepadamu untuk meminta pandanganmu." Rasulullah S.A.W. bertanya, mafhumnya: "Adakah kamu masih memepunyai ibu?" Jawabnya: "Ya." Lalu, Rasulullah S.A.W. bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu kerana syurga itu berada di bawah kedua-dua kakinya." (Riwayat al-Nasa'i dan al-Tabarani)
Hadis tersebut mempunyai sanad yang hasan, disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi dan diperakui oleh al-Munziriy.. Tidak terdapat hadis lain yang menyatakan bahawa syurga isteri dibawah tapak kaki suami. Tetapi banyak hadis yang menceritakan isteri wajib mentaati suami dan redha Allah kepada isteri adalah bergantung redha suami ke atas isterinya.Daripada Ummu Salamah R.ha katanya, sabda Rasulullah SAW, “Mana-mana wanita yang meninggal dunia sedang suaminya redha terhadapnya nescaya dia akan masuk ke syurga”. (Hadis Riwayat Tirmidzi -hadis hasan)
Huraian Hadis :
1. Suami yang redha terhadap isterinya yang telah meninggal dunia membolehkan isterinya dimasukkan ke dalam syurga.
2. Isteri-isteri hendaklah melakukan suatu perkara yang diredhai oleh suaminya.
3. Setiap sesuatu yang hendak dilakukan oleh seseorang isteri hendaklah dipersetujui oleh suaminya.
4. Keizinan suami atas suatu perkara yang dilakukan oleh isterinya adalah menunjukkan keredhaan suami.
474. Soalan : ustaz..saya ada satu soalan, betulkah kita tak boleh menyebut "KALAU"?
Jawapan :
Kita tidak boleh sebut "kalau" jika perkara tersebut telah berlaku, kerana seolah-olah kita tak redha dengan qada dan qadar daripada Allah SWT. Tetapi jika kita sebut "kalau" perkara yang belum berlaku sebagai berhati-hati dibenarkan.
Nabi SAW melarang umatnya berkata "kalau" , "seandainya" dan "sekiranya" keatas kejadian yang telah berlaku, kerana kita seolah-olah tidak reda dan bersetuju di atas apa yang telah di tetapkan-Nya. Perasaan kecewa ini boleh menjejaskan akidah kita terhadap qada dan qadar Allah SWT dan akan terjebak di dalam perangkap syaitan.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata: 'Sekiranya (kalau) aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku.' Tetapi katakanlah: 'Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya', sesungguhnya 'kalau' akan membukakan pintu amalan syaitan." (Hadis Riwayat Muslim)
Orang yang sentiasa bewaspada terhadap nikmat kehidupan di dunia tidak akan mudah terjerumus dalam perangkap syaitan. Segala tindakan yang diambil mencerminkan ketakwaannya kepada Allah dan dia sekali-kali tidak membiarkan kebaikan dan keburukan yang menimpanya sebagai suatu kegembiraan (kemenangan) dan kesedihan semata tetapi percaya bahawa semuanya itu mempunyai hikmah yang tersendiri daripada Allah SWT untuk diambil pengajaran.
Ucapan 'kalau' tidak harus diamalkan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak reda dengan apa yang telah berlaku. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan ingat bahawa segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri kita sendiri. Oleh sebab itu Islam menyuruh umatnya agar bertawakal (berserah) kepada Allah SWT dalam melakukan sesuatu usaha dan percaya bahawa setiap sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa keizinan daripada-Nya jua.
Sifat orang mukmin akan menjadikan peristwa yang telah berlaku dengan fikiran yang cukup positif dan akan bermuhasabah diri sendiri dan semuanya akan dijadikan sebagai panduan, peduman dan kekuatan untuk mencari reda Allah SWT dan beramal soleh lebih baik lagi daripada sebelumnya.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Ketahuilah, jika seluruh manusia berkumpul untuk memberikan manfaat kepadamu, kecuali sesuatu yang telah ditulis Allah untukmu. Jika mereka berkumpul untuk memberikan madarat kepadamu, maka mereka tidak akan boleh memberikan madarat, kecuali yang telah ditulis Allah untukmu. Pena telah diangkat dan lembarannya telah kering” (Hadis Riwayat Tirmizi dari Ibnu Abbas)
475. Soalan : Ustaz saya ada soalan..semoga Ustaz dapat menjelaskan. tetang rumah tangga scara islam. Bagaimana menghadapi suami yang keras. tiap waktu masaalah demi masaalah macam tiada kesabaran. intinya wanita yang selalu serba salah. sesorang wanita ingin didikkan.belajar dari suami..sehingga menjadi wanita solehah InsyaAllah. Namun..pada kekerasan itu membuat hambar tiada keharmonian langsung dlm rumah tangga?
Jawapan :
Akhalk Nabi SAW adalah lemah lembut , kasih sayang dan tidak keras dan bengis. Daripada Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah SAW bersabda kepada Asyaj Abd al-Qais maksudnya : "Sesungguhnya sesiapa yang memiliki dua sifat, nescaya dikasihi oleh Allah iaitu lemah lembut dan tenang." (Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas terdapat dua sifat pada diri seorang mukmin maka dia akan dikasihi oleh Allah SWT. Sifat-sifat tersebut adalah :
Pertama : Lemah lembut.
Kedua : Tenang.
Huraiannya :
Pertama : Lemah lembut.
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya :“Sesiapa yang dikurniakan sifat lemah lembut nescaya ia akan memperolehi kebaikan dalam semua hal.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sifat lemah-lembut adalah akhlak yang mulia yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Oleh itu orang yang memiliki sifat lemah lembut adalah orang yang sangat beruntung. Sesiapa yang memiliki sifat ini dia akan dapat menahan diri apabila marah dan mempertimbangkan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak.
Orang yang lemah lembut melambangkan orang yang sentiasa sabar , tidak bersikap keras dan kasar dan tidak tergopoh gapah di dalam sesuatu perkara. Bukanlah bermakna apabila seseorang berlemah lembut maka dia mudah di permainkan atau diperbodohkan oleh orang lain. Namun sifat lemah lembut ini lebih baik diseiringkan dengan ketegasan dalam kebenaran agar seseorang itu akan dihormati dan muliakan.
Rasullullah SAW adalah contoh orang yang paling lemah-lembut dan paling baik dalam pergaulan. Sesiapa yang melihat baginda dari jauh akan berasa gentar tetapi sesiapa yang bercampur atau bergaul dengan baginda tentu akan menyayangi baginda disebabkan oleh sikap lemah lembut baginda itu.
Rasulullah SAW bersabda, bermaksud: "Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut dan ia menyukai sifat lemah lembut. Dan Allah memberikan sesuatu dengan cara lemah lembut yang tidak diberikan dengan cara kekerasan, dan juga tidak diberikan sesuatu melainkan dengan cara lemah lembut.(Hadis Riwayat Muslim)
Sifat lemah lembut adalah sifat yang disukai oleh Allah sebaliknya sifat kekerasan adalah sifat yang dibenci oleh Allah. Kekerasan tidak akan dapat menyelesaikan masalah sama ada yang meliputi bidang alam rumahtangga perhubungan masyarakat dan sebagainya. Dari itu kita dituntut supaya bersifat lemah lembut dan bertolak ansur didalam perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Firman Allah SWT :
فبما رحمة من الله لنت لهم, ولو كنت فظا غليظ القلب لانفضوا من حولك فاعف عنهم واستغفرلهم وشاورهم فى الامر, وإذا عزمت فتوكل على الله. إن الله يحب المتوكلين.
Maksudnya : “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya”. (Surah Ali Imran (3) ayat 159)
Orang mukmin akan sentiasa berdoa kepada Allah SWT untuk empat perkara : “ Ya Allah, kayakanlah aku dengan ilmu, hiasi diriku dengan sifat lemah-lembut, muliakanlah aku dengan sifat ketakwaan dan cantikkanlah aku dengan nikmat kesihatan”.
Oleh itu bersifatlah dengan sifat berlemah lembut dan jauhilah sifat kasar, keras, bengis dan tidak bertimbang rasa kerana fitrah manusia suka dan kasih pada peribadi yang memiliki sifat lemah lembut. Berlemah lembutlah kepada ulama, guru-guru, ibu bapa, isteri, anak-anak, jiran tetangga, sahabat handai, saudara mara dan umat Islam seluruhnya nescaya kalian akan dikasihi oleh mereka semua.
Kedua : Tenang.
Sifat tenang adalah salah satu sifat mahmudah. Tidak gopoh-gapah di dalam segala urusannya.
Daripada Sahl bin Sa'd bersabda Rasulullah SAW : "Gopoh-gapah itu merupakan sifat syaitan." (Hadis Riwayat Tarmizi 2012 dan dikatakan hasan)
Orang yang cerdik sebelum ingin mengambi sesuatu tindakan atau keputusan ia perlu mengkaji terlebih dahulu serta memikirkannya segala akibat dan menimbangkan baik buruknya. Kemudian barulah dilaksanakannya tindakan atau keputusan tersebut dengan penuh ketetapan hati dan berhati-hati. Sikap seperti ini tidak akan menimbulkan penyesalan di kemudian hari nanti. Seandainya perkara yang dirancang tadi mengikut pengharapannya, nescaya dia bersyukur kepada Allah SWT dan jika terjadi sebaliknya diluar jangkaannya ia menganggap sebagai takdir Tuhan serta reda menerimanya dengan tenang dan sabar.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sungguh menakjubkan sifat dan keadaan orang mukmin, seluruh urusan kehidupannya mengandungi kebaikan dan hal berkenaan tidak terdapat pada orang lain. Orang mukmin jika diberikan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup, kemudian dia bersyukur, maka hal itu menjadi kebaikan baginya, sebaliknya jika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar maka hal yang demikian juga kebaikan baginya. (Hadis riwayat Ahmad)
Rasulullah SAW mengajar kepada kita bahawa apabila iqamat telah di kumandangkan menandakan solat telah hampir untuk di dirikan maka kita hendaklah bertenang dan jangan gopoh-gapah. Sempurnakan wuduk dan berjalan ke tempat solat dengan tenang sebagimana sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bersabda Rasulullah SAW : "Jika kamu mendengar iqamat, maka berjalanlah menuju solat dengan tenang, tenteram dan jangan tergesa-gesa. Maka apa yang kamu dapati, hendaklah kamu sempurnakan."
(Hadis Riwayat Muttafaq alaih)
Firman Allah SWT :
{الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ}
Maksudnya : “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram” (Surah ar-Ra’du ayat 28).
Jiwa yang sentiasa tenang dan tenteram adalah jiwa orang mukmin kerana setiap masa lidahnya sentiasa membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah SWT. Sesungguhnya hanya mengingati Allah SWT hati akan tenang, tenteram dan merasa gembira.
Dari Maimunah hamba pengasuh Nabi SAW berkata : "Seorang wanita datang kepada Nabi dari puak Jursh dan berkata kepada ‘Aisyah : Tolonglah beritahuku dengan suatu doa dari Rasulullah yang boleh menenangkan diriku dan mententeramkannya.
Rasulullah bersabda kepada 'Aisyah radiallahuanha katakan kepadanya : "Letakan tangan kananmu dekat bahagian hatimu dan sapukan ia sambil membaca doa :
بِسْمِ اللهِ، اَللهُمَّ دَاِونِي بِدَوَائِكَ وَاشْفِـنِيْ بِشِفـَائِكَ
وَأَغْنِنِيْ بِفَـضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاك
Maksudnya : "Dengan nama Allah , Wahai Allah, rawatilah daku dengan Rawatan-Mu, sembuhkanlah daku dengan Penawarmu dan Cukupkan daku dengan kelebihan yang ada pada-Mu dari mengharapkan selain dari-Mu." (Petikan dari kitab Usudul Ghobah : 5/404)
Apabila isteri berhadapan dengan suami yang keras dan bengis maka dia hendaklah banyak bersabar. Banyakkan berdoa kepada Allah SWT supaya Dia melembutkan hati suaminya. Walaupun suaminya keras tetapi wanita (isteri) perlu berlemah lembut kerana jika keras dengan keras maka kedua-duanya akan pecah dan rosak tetapi jika keras berlawan dengan lembut maka yang keras akan mengalah juga akhirnya. Ingatlah bahawa sifat ahli syurga adalah lemah lembut, bersih daripada hasad dengki, dan sentiasa tenang menghadapi gelombang rumah tangga.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 82 adalah menjelaskan persoalan solat ghaib, wang insuran, zina hati dan zina mata, mati syahid dan niat ikhtikaf di surau.
466. Soalan :Dalam hukum agama,Adakah tempoh2 masa tertentu untuk kita menunaikan solat ghaib ( solat jenazah secara ghaib)..misal-nya kita belum dapat bukti yang nyata tentang kematian se-seorng muslim itu..hanya dengan mengagak sahaja..misal-Nya setelah hilang lebih dari 3 atau 4 tahun tanpa sebarang bukti.?..
Jawapan :
Solat Ghaib adalah solat terhadap jenazah ahli keluarga atau saudara seagama yang meninggal di tempat yang jauh atau kepada jenazah yang telah dikebumikan tetapi tiada kesempatan bagi ahli keluarga si mati untuk menyembahyangkannya.
Solat Ghaib sunah dilakukan ketika mendengar berita kematian seseorang walaupun masa meninggal dunia sudah berlalu sehingga sebulan. “Sesungguhnya Nabi ﷺ telah melaksanakan solat di atas (berhampiran) kubur, sesudah sebulan lamanya.”
Jika kematian seseorang hanya diketahui selepas dikebumikan jenazahnya, maka diharuskan dilaksanakan Solat Ghaib berhampiran kubur si mati.
Hadis riwayat Abu Hurairah radliyallaahu ‘anhu :
“Bahawa seorang wanita berkulit hitam yang biasa menyapu masjid, suatu hari Rasulullah ﷺ merasa kehilangannya (tidak melihatnya). Lalu Baginda ﷺ bertanya kabarnya, para sahabat menjawab: “Dia sudah meninggal dunia.” Rasulullah ﷺ menegur: “Kenapa kamu tidak memberitahu kepadaku?” Seakan-akan para sahabat menganggap kecil urusannya atau urusan kematian. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: “Tunjukkan aku kuburnya.” Setelah ditunjukkan, Baginda ﷺ mensolatkannya kemudian bersabda: “Sungguh pekuburan ini penuh dengan kegelapan bagi para penghuninya dan sesungguhnya Allah meneranginya sebab solatku atas mereka.” (Shahih Muslim No.1588)
Jika seseorang hilang tak diketahui samaada hidup atau mati tidak di galakkan untuk solat ghaib kerana nabi SAW solat ghaib ketika seseorang sudah di sahkan meninggal dunia dan berada ditempat yang jauh.
467. Soalan :Bolehkah digunakan duit insuran yang di tuntut akibat kemalangan motor, untuk pergi haji? Mohon pencerahan terima kasih..
Jawapan :
Menggunakan duit tuntutan insuran kerana kemalangan jalan raya adalah harus. Wang tersebut adalah hadiah daripada syarikat insuran kenderaan seseorang yang mendapat kemalangan jalan raya (insuran kenderaan yang melanggar). Berbeza pula jika seseorang masuk insuran nyawa (konvesional - riba) dan berlaku kemalangan dan dia mendapat habuan maka wang yang diterima adalah mengandungi unsur tak patuh syariah dan tak boleh digunakan untuk keperluan individu. Jika seseorang ambil takaful maka halal wang yg diterima sebagai hadiah daripada takaful.
Wang hadiah tersebut daripada syarikat insuran kerana sebab kemalangan boleh digunakan untuk tunaikan haji atau umarah.(bayaran kita terima daripaad insuran motor atau kereta yang melanggar) Tapi wang yang seseorang terima kerana masuk labur dalam skim insuran nyawa jika berlaku kemalangan dan dia dapat ganjarannya tak halal kerana ianya tak patuh syariah dan tak boleh digunakan untuk fardu haji atau umarah.
468.Soalan : Ustaz...saya hendak menanyakan soalan kepada ustaz. Bagaimankah hendak mengelakkan zina hati dan mata?apakah cara terbaik untuk mengubatinya?apakah chat antara lelaki dan perempuan bukan mahram boleh bawa kepada maksiat dan dosa?mohon penjelasan dari ustaz..
Jawapan :
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda yang maksudnya, “Kedua mata itu boleh melakukan zina, kedua tangan itu (boleh) melakukan zina, kedua kaki itu (boleh) melakukan zina. Dan kesemuanya itu akan dibenarkan atau diingkari oleh alat kelamin.” (Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Ibn Abbas dan Abu Hurairah). dan “Tercatat atas anak Adam nasibnya dari perzinaan dan dia pasti mengalaminya. Kedua mata zinanya melihat, kedua teling zinanya mendengar, lidah zinanya bicara, tangan zinanya memaksa (memegang dengan keras), kaki zinanya melangkah (berjalan) dan hati yang berhasrat dan berharap. Semua itu dibenarkan (direalisasi) oleh kelamin atau digagalkannya.” (HR Bukhari).
Apabila seseorang tertanam dihatinya jika bertemu di inginkannya untuk melakukan zina, maka hati yang berhasrat dan berharap ini adalah dikatakan zina hati. Bagaimana boleh menghilangkannya? Caranya jangan berfikir dan berhasrat untuk melakukan maksiat, jika suka pada seorang wanita dan dia seorang gadis atau janda yang belum berpunya dan mempunyai akhlak yang baik berfikir untuk mengambil beliau sebagai isteri. Hasrat ini adalah hasrat yang mulia. Jika tak bercadang untuk berkahwin anggap saja sebagai seorang sahabat yang baik dan mendoakan saja untuk kebaikannya. Bersihkan hati daripada niat-niat yang buruk dan tak baik. Untuk elakkan mata menjadi zina mata maka mata tersebut jangan melihat wanita dengan nafsu syahwat. Pandangan pertama diharuskan dan pandangan kedua dilarang kerana ada dorongan nafsu.
Chatting di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram perlu ada sebab dan asas yang kukuh. Seperti untuk tanya sola-soal agama dan perkembangan semasa umat Islam. Jika berhasrat untuk berumah tangga berbincang untuk takruf dan tahu latar belakang keluarga di haruskan tetapi jika hanya sembang kosong dan berbicara hal-hal dunia di antara wanita dan lelaki yang bukan mahram dan boleh mendatangkan fitnah maka tidak digalakkan. Semua bergantung pada niat seseorang dan berpada-padalah jangan timbul zina hati dan perasaan yang bukan-bukan.
469. Soalan : Boleh ustaz terangkan makna syahid akhirat?
Jawapan :
Makna syahid akhirat adalah mati terbunuh ketika berjihad melawan orang kafir di dalam peperangan. Mati seperti ini tak perlu dimandi , dikafankan dan disembahyangkan , Firman Allah SWT maksudnya, "Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: Orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (Surah Baqarah ayat 154)
Dalam ayat di atas disebut “jangan mengatakan”, dalam ayat yang lain pula disebut “jangan kamu fikir atau sangka”
Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (Surah Ali-Imran ayat 169)
Dalam mazhab Syafie, mereka yang syahid besar (mati ketika berjihad dijalan Allah) tidak perlu dimandikan, tidak perlu dikafan dan tidak perlu di sembahyangkan jenazah mereka kerana segala dosa mereka telah gugur (dihapuskan). Dalam mazhab Hanbali pula, mereka yang syahid besar tidak perlu dimandikan, tidak perlu dikafan dan tidak perlu di sembahyang jenazahkan kerana telah mereka sebenarnya masih hidup dan tidak mati berdasarkan firman Allah di atas. Dalam mazhab Hanafi, jenazah pejuang syahid tetap disembahyangkan sebagai menghormati jenazah seorang Muslim, sepertimana jenazah Rasulullah SAW. sendiri disembahyangkan selama 3 hari.
470. Soalan : Ustaz ,saya nak bertanya beberapa soalan.
1.Boleh ke kita berniat ikhtiqaf di surau?
2. Apa beza aurat kecil dengan aurat besar.
Terima kasih.
Jawapan :
Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah berkata, “Para ulama bersepakat bahawa disyaratkan melakukan i’tikaf di masjid.”[Fathul Bari, 4/271 ]
Ini berdalilkan ayat berikut ayat 187 surah al-Baqarah: “….. Sedang kamu beri’tikaf dalam masjid”.
Para ulama’ berbeza pendapat apakah ia sah dilakukan di semua masjid yang mendirikan solat lima waktu berjemaah, atau hanya untuk masjid jami’/masjid yang dilakukan solat fardhu Jumaat.?
Imam Malik rahimahullah berpendapat ia sah dilakukan di mana-mana masjid yang didirikan solat fardu lima waktu secara berjemaah [di dalam istilah di Malaysia, dipanggil surau/musolla]
Al-Imam asy-Syafie rahimahullah pula mensyaratkan agar ia dilakukan di masjid jami’/masjid yang melakukan solat fardhu Jumaat [Al Mughni, 4/462 ] agar orang tersebut tidak perlu ke tempat lain untuk mendirikan solat Jumaat.. Umat Islam di Malaysia berpegang pada pendapat Imam Asy- Syafie bahawa ikhtikaf hanya boleh dilakukan di masjid-masjid jami' yang di adakah solat Jumaat di dalamnya.
Aurat besar dan kecil ialah istilah yang digunakan oleh sarjana fikah dalam membahagikan aurat. Aurat besar ialah dua kemaluan lelaki dan perempuan. Sebahagian sarjana turut memasukkan buah dada ke dalam kategori ini. Aurat kecil pula ialah bahagian badan selain kemaluan, seperti paha,lutut,betis dan dada.
Ketika bersolat , jika aurat kecil terdedah tetapi ditutup semula dengan segera , solatnya tidak batal. Tetapi jika sengaja dibiarkan, batal solatnya. Sebaliknya , jika aurat besar terdedah secara sengaja atau tidak , dalam tempoh yang lama atau tidak , solatnya batal .
Bawah dagu, bahagian bawah yang melandut menuju kearah leher pula tetap aurat kerana ia sebahagian dari leher. Semasa solat, bahagian ini wajib di tutup. Aurat wanita ketika solat adalah seluruh badannya kecuali wajah dan kedua tangannya.
Had wajah secara memanjang adalah daripada tempat mula tumbuh rambut hingga ke dagu dan melebar daripada anak telinga kanan ke anak telinga kiri.
Maka bahagian bawah dagu dan bawah rahang sehingga ke leher adalah aurat yang perlu ditutup. Amalan masyarakat atau apa yang diistilahkan sebagai ‘umum al-balwa’ sama sekali tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk tidak menutup bahagian bawah dagu dan bawah rahang ketika solat atau ketika keluar rumah.