Wednesday, May 20, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 236 (Dosa Syirik Tak Akan di Ampunkan Allah, Orang Meninggal Dunia Roh Tak Balik Rumah, Amanah Anak Yatim, Dosa Tak Solat dan Berzina Tapi Solat.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 236 adalah menjelaskan persoalan dosa syirik tak akan di ampunkan Allah, orang meninggal dunia roh tak balik rumah, amanah anak yatim, dosa tak solat dan berzina tapi solat.

1136. Soalan : Mohon pencerahan..... Adakah dosa syirik boleh di ampunkan dan jika boleh bagaimanakah caranya? Mohon ustaz bagi jawapan 
Terima kasih.....

Jawapan :

Dosa syirik tidak akan di ampunkan oleh Allah SWT apabila seseorang mati dalam syirik tidak sempat bertaubat. Syirik adalah menyamakan atau memperkongsikan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan sesuatu yang lain seperti berhala, dewa, jin dan menganggap ada makhluk lain juga mempunyai kuasa. Termasuk syirik apabila seseorang menolak hukum-hukum Allah SWT dan menerima hukum-hukum ciptaan manusia dan menganggap hukum -hukum ciptaan manusia lebih baik daripada hukum-hukum Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk." (Surah al-An'aam ayat 82)

Para sahabat Rasulullah keberatan dengan ayat ini, dan bertanya kepada baginda, "Hai Rasulullah, siapa orang yang tidak menzalimi dirinya sendiri?". Maka, baginda menjawab, "Maksud ayat ini bukan begitu, tetapi maksudnya adalah syirik. Bukankah kalian mendengar petuah Luqman kepad anaknya, "Wahai anakku, janganlah engkau menyekutukan Allah kerana sesungguhnya perbuatannya ini adalah dosa (kezaliman) besar." (Hadis Riwayat Muttafaq alaih).

Firman Allah SWT maksudnya, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh." (Surah an-Nisa' ayat 116)

Berdasarkan zahir ayat ini ramai yang berfahaman bahawa Allah tidak mangampunkan dosa orang yang berbuat syirik kepadanya. Ditambah pula dengan tafsiran Ibnu Kathir;

أخبر تعالى أنه لا يغفر أن يشرك به، أي لا يغفر لعبد لقيه وهو مشرك به، ويغفر ما دون ذلك أي من الذنوب لمن يشاء، أي من عباده

Maksudnya; Allah Taala mengkhabarkan bahawa dia tidak akan mengampunkan dosa jika disekutukan dengan sesuatu, iaitu jika hamba itu mati dalam keadaan menyengutukannya dan dia boleh ampun dosa selain dari syirik itu bagi sesiapa yang dia kehendaki, dari kalangan hamba-Nya.

Ibnu Jarir turut menafsirkan dengan maksud yang hampir sama. Para ustaz yang memberi kuliahpun selalu mengingatkan; Allah akan mengampunkan dosa orang-orang yang memohon keampunannya.

Sebenarnya ayat 116 tadi berkaitan kehendak Allah (مشيئة الله). Iaitu, bagi orang yang berdosa, tidak kira kecil atau besar, jika dia tidak bertaubat dari dosa itu, kemudian mati dalam keadaan berdosa, maka terserah kepada kehendak Allah di akhirat kelak. Jika dia kehendaki, dia ampunkan dosanya dan jika dia kehendaki dia azab pesalahnya, KECUALI syirik. Tidak termasuk dalam kehendak Allah SWT tadi. Dosa syirik Allah SWT akan masukkan ke dalam neraka selama-lamanya..

Adapun untuk syirik, kerana beratnya kesalahan, pelakunya mesti bertaubat dan mengucap semula Dua Kalimah Syahadah. Kalau dia bertaubat dan memenuhi syarat-syarat yang kita sedia maklum, pasti Allah ampun dan terima taubatnya.

Firman Allah SWT maksudnya, " Katakanlah: Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah az-Zumar ayat 53)

Inilah dimaksudkan dengan dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya.

Sekadar contoh, dalam kitab Ia’natul Mustafid, pada menjelaskan dosa niyahah (meratapi mayat), pengarang menjelaskan;

ودلّ هذا على أن التوبة تمحو المعصية ولو كانتْ كبيرة، ولو كانت شركاً وكفراً بالله جل وعلا، فالتوبة تَجُبُّ ما قبلها من النياحة وغيرها.

Maksudnya; Ini menunjukkan bahawa taubat menghapuskan semua dosa sekalipun besar, walaupun syirik dan kufur kepada Allah. Kerana taubat menutup dosa-dosa lampau termasuk niyahah dan lainnya.

Bahkan jika diteliti tafsiran Ibnu Kathir tadi, beliau menyebut

لا يغفر لعبد لقيه وهو مشرك به,

iatu Allah tidak ampunkan hamba yang bertemunya dalam keadaan menyengutukannya. Sedangkan masyarakat Arab jahiliah yang dikenali sebagai musyrikin pun Allah SWT ampunkan dosa apabila mereka memeluk Islam! Bermaksud, taubat dan eloknya Islam telah menyelamatkan mereka dari azab Allah.

1137. Soalan : Ustaz saya ingin bertanya bolehkan seseorang itu terutamanya kanak -kanak yang telah kembali kerahmatullah dan datang mengziarah di rumah keluarganya.

Jawapan : 

Setiap manusia yang telah meninggal dunia samaada orang dewasa, remaja atau kanak-kanak rohnya tak akan kembali kerumah. Rohnya sudah berada di alam barzakh. Kefahaman bahawa roh boleh balik kerumah adalah fahaman kurafat dan boleh ajtuh syirik kerana kepercayaan tersebut bukan daripada ajaran Islam.

Kita perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang bersih daripada campuran adat istadat yang bertentangan dengan syariat islam. Neraca kita dalam semua perkara adalah al-Quran dan as-Sunnah, ijmak ulama, ijtihad (jika tak ada al-Quran dan as-Sunnah) dan qiyas.

Apabila nampak bayangan rupa si mati itu bukan roh simati itu adalah Qarin atau jin pendamping arwah cucunya. Qarin adalah jin yang sentiasa bersama dengan manusia sejak mula di lahirkan ke dunia.Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Tidak ada sesiapa diantara kamu melainkan baginya  Qarin adalah jin yang sentiasa bersama dengan manusia sejak mula di lahirkan ke dunia. Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Tidak ada sesiapa diantara kamu melainkan baginya ditugaskan Qarin dari kalangan Jin, Mereka berkata : 'Walaupun kamu Ya Rasulullah?', Baginda menjawab : 'Walaupun Aku, akan tetapi Allah menolongku dan aku selamat darinya (atau - mengIslamkannya), maka dia hanya akan memerintahku melakukan perkara yang baik" (Hadis Riwayat Muslim)

Qarin adalah sejenis jin yang berdamping dengan manusia. Qarin di sini adalah makhluk halus (dikalangan jin) yang mengiringi kelahiran seseorang bayi. Qarin suka menghasut manusia kearah kejahatan, melainkan qarin Nabi S.A.W. yang telah ditundukkan oleh baginda.

Qarin si mati biasanya akan meninggalkan rumah arwah (pendampingnya) setelah dia meninggal dunia. Qarin akan pulang ke tempat asalnya (kembali ke alam jin tempat asalnya) . Kita tak perlu menghalaunya kerana dia akan keluar sendiri dari rumah tempat tinggal manusia yang menjadi tuannya. Berbeza dengan saka (saka adalah jin kafir yang menjadi sahabat orang yang membelanya). Jin saka ini akan mencari anak cucu tuannya untuk di jadikan tempat bergantung dan mencari tuan yang baru. Jin saka perlu di buangkan dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran dengan bantuan pengamal perubatan Islam.

1138. Soalan : Ustaz,apakah hukum sekiranya seseorang itu tidak menjaga amanah terutamanya barang2 itu kepunyaan ank yatim? Mohon penjelasan daripada ustaz...

Jawapan :

Jika seseorang tak amanah terhadap barang-barang anak yatim adalah berdosa besar.Firman Allah SWT :

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka)” (Surah an Nisa’ ayat10).

Dalam ayat ini ada ancaman neraka bagi orang yang memakan harta anak yatim sehingga perbuatan ini hukumnya dosa besar.

Untuk menghapuskan dosa memakan harta anak yatim maka mereka yang telah memakannya mestilah membayar kembali harta yang telah digunakan serta memohon maaf kepada anak yatim tersebut . Jika anak yatim tersebut memaafkan perbuatannya, barulah boleh bertaubat kepada Allah SWT. Seandainya anak yatim tersebut tidak memaafkan perbuatannya maka dosanya tidak terhapus.

Diriwayatkan oleh AL Hakim dari Abu Musa ra.Dalam tafsir Al Qurtubi ada hadis dari Abu Said Al Kudry ra sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Pada malam aku di-Israkkan oleh Allah, aku melihat kaum yang bibirnya laksana bibir unta. Dan sesungguhnya ada malaikat yang diserahi tugas menarik bibir mereka. Kemudian mulut mereka itu diisi dengan batu yang besar dan nanti akan keluar dari dubor mereka. Lalu aku (Muhammad) bertanya: “Wahai Jibril, siapakah itu?” Jibril menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang memakan harta anak yatim dengan zalim.”

Kasih sayang dan berbuat baik kepada anak yatim, sebagaimana yang telah di perkatakan kepada kalian, adalah sebagian dari akhlak orang mukmin yang mulia. Itu tidak boleh dilakukan kecuali oleh seorang mukmin yang mulia, yang menghimpun banyak budi pekerti mulia, yang mencintai kebajikan.

Abdullah bin Umar r.a tidak pernah memakan makanan kecuali dimeja makannya ada seorang anak yatim yang makan bersamanya. Jika kalian menjadi seorang yang penyantun, lemah lembut, dan mampu berbuat kebaikan kepada anak yatim, mengusap kepalanya dengan tangan dan menjamunya serta membuatkan perasaan gembira ke dalam hati mereka. Ketahuilah, jika kalian mampu melakukan kebaikan seperti itu sebenarnya kalian telah mendapat taufiq untuk melaksanakannya, maka kalian benar-benar manusia yang beruntung. Yang berhak mendapat gelar “Seorang yang Berbudi”.

Masuk kedalam syurga adalah kejayaan yang paling tinggi yang diharapkan oleh orang-orang yang beriman. Nabi S.A.W. memberi jaminan bahawa sesiapa yang mengasuh dan berlemah lembut dengan anak yatim akan dapat bersama-sama Nabi S.A.W. disana. Itu adalah derajat yang akan diperolehi oleh orang yang mengasuh dan berlemah lembut terhadap anak yatim anak.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Aku dan orang-orang yang mengasuh/menyantuni anak yatim di syurga seperti ini”, Kemudian baginda memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah seraya sedikit merenggangkannya. (Hadis Riwayat Bukhari)

Imam Ibnu Bathal rahimahullah berkata : “Orang yang mendengar hadis ini wajib melaksanakannya, agar ia boleh menjadi sahabat Nabi S.A.W. di syurga."

Al-Hafizh Ibnu Hajar rahimahullah berkata : “Isyarat ini cukup untuk menegaskan betapa dekatnya kedudukan pemberi layanan dan berlemah lembut kepada anak yatim dengan kedudukan Nabi di syurga nanti, kerana tidak ada jari yang memisahkan jari telunjuk dengan jari tengah.”

1139. Soalan : Ustaz. Saya ingin bertanya...Solat adalah perkara yang WAJIB dan penting dalam hidup kita...tapi kenapa saya masih ada nampak orang Melayu Islam kita tidak melakukan Solat seperti mana Nabi suruh?
dan perlu atau tidak kita menegur mereka? Ikut pengalaman saya, kalau saya tegur mesti melenting, dia balas balik...."engaku Solat tuu dah tentu masok syurga kerr?"
Akhir sekali...cuma saya diam dan doa dalam hati....

Jawapan :

Kenapa seseorang berani meninggalkan solat? Adakah kerana mereka tak takut seksaan neraka yang Allah sediakan kepada mereka yang engkar dan berdosa? Yang pasti mereka tahu dan pernah mendengar naishat ini daripada para guru dan ustaz semasa disekolah rendah lagi sudah di terangkan seksaan dan dosa besar kerana meninggalkan solat. Punca sebenarnya adalah kerana lemah iman, jiwa mereka kosong tidak di isi dengan tarbiah dan pendidikan Islam, mereka tidak berilmu dan tak mahu pula menambahkan ilmu yang boleh di perolehi di masjid, surau, radio IKIM, TV Hijrah dan sebagainya. 

Hidup di dunia bukanlah untuk berseronok-seronok sahaja cubalah renungkan bahawa kehidupan yang kekal abadi adalah di hari akhirat. Cubalah bermuhasabah diri sendiri apakah persiapan yang telah kita lakukan? . Tugas berdakwah adalah tugas yang wajib kerana nabi SAW berpesan maksudnya, "sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat". Jika kita melihat rakan-rakan kita tak solat, tak puasa, tak tutup aurat cubalah tegur cara baik, cara hikmah dan jangan marah-marah bila kita nak berdakwah pada mereka. 

Perlu kita ingat bahawa kita hanya menyampaikan saja sedangkan hidayah dan taufik adalah milik Allah, kita jangan kecewa jika rakan kita tak mahu dengar nasihat kita. Teruskan berdakwah jangan berputus asa dan rasa sedih.

Amalan yang pertama di semak adalah solatnya, jika solatnya ada kekurangannya maka akan di semak solat sunatnya. Jika solatnya di terima maka barulah amalan-amalan yang lain akan di terima oleh Allah SWT. Jika solatnya di tolak, atau jika tak solat langsung maka semua amalan-amalannya yang lain akan di tolak dan dia akan di humbankan ke dalam neraka.Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kecelakaanlah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya. (Surah al-Maa’un ayat 4-5)

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang. (Surah al-Muddathir ayat 42-43)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama”. ((Hadis Riwayat Baihaqi)

1140. Soalan : Ustaz saya nak bertanya tentang jika seseorang yang telah membuat zina dan maksiat dia tetap solat lima waktu penuh selain hari yang dia membuat zina dan maksiat tetapi dia tidsak solat taubat selepas dia melakukan zina dan maksiat itu.adakah solatnya diterima atau tidak ?

Jawapan :

Jika seseorang telah melakukan zina (dosa besar) sekiranya dia tak bertaubat maka dosa itu tak akan terhapus di dalam dirinya. Solat yang di kerjakan jika cukup syarat akan di catat oleh para malaikat, puasanya akan di catat dan amalan-amalannya yang lain. Jika sehingga kematiannya dia tak bertaubat dan matinya membawa dosa-dosa besar maka amal ibadah dan amal solehnya tak akan mampu nak tampung dosa besar tersebut termasuk solatnya. Mereka yang melakukan dosa-dosa besar sudah di janjikan neraka jika dia tak sempat bertaubat sebelum saat kematiannya.

Jika Allah SWT terima taubatnya maka dia bersih dosa terhadap Allah SWT dan perlu lihat pula dosa dia sesama manusia. Jika manusia tak ampunkan dosanya akan di adili di mahkamah Allah SWT , jika dia melakukan kesalahan sesama manusia, menzalimi manusia, mengambil hak manusia, maki hamun maka di tolak pahala yang di buat untuk membayar segala dosanya sesama manusia. Jika habis pahalanya, dia akan ambil pula dosa orang yang di lakukan dosa semasa di dunia jika habis semua hutangnya dan dia sudah tak ada lagi pahala lagi maka dia akan di masukkan ke neraka. 

Selama mana dia tinggal di neraka adalah bergantung sebanyak mana dosa yang dia lakukan . Jika dosa itu banyak maka lamalah masanya dia di neraka melainkan mendapat syafaat Rasulullah SAW dan syafaat-syafaat yang lain yang boleh mengeluarkan dirinya daripada neraka.

Apabila seseorang zina buat solat pun solat sebenarnya solatnya tak berfungsi, imannya lemah atau mungkin tak ada langsung dan nafsu syaitannya kuat sehingga tidak dapat nak menghalang dirinya daripada keseronokkan zina. Jiwa orang yang suka pada zina terutama sex bebas jiwa dan hatinya terlalu kotor dengan selaput hitam , hidupnya menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya dan dia tak takut azab Allah SWT yang dahsyat kepada manusia yang suka berzina. Didalam Hadis Tirmidzi, Rasulullah SAW, bersabda maksudnya :
“Ketika orang mukmin berzina maka dia bukan orang mukmin. Dan ketika orang mukmin mencuri maka dia bukan orang mukmin, akan tetapi (lain halnya jika dia) bertaubat”.

Dengan berbuat zina seseorang akan kehilangan segala-galanya; di dunianya tidak berwibawa, menjadi orang fakir, umurnya tidak ada keberkatan, dan di akhiratnya; mendapat murka Allah SWT, hitungan amalnya buruk sekali, dan menadapat azab yang sangat berat (yaitu seksa neraka).

Perlu sentiasa menasihati suami puan supaya jangan melakukan perbuatan yang di murkai oleh Allah SWT dengan mendampingi wanita yang bukan mahram. Jika mampu lebih baik bernikah daripada melakukan maksiat dan sentiasa berdua-duaan yang di tegah oleh Allah SWT, puan tak boleh menuduh suami pun berzina jika tak ada 4 orang saksi kerana orang yang membuat tuduhan boleh di kenakan hukum qazab. Cuba menasihatinya dengan nasihat yang baik.

Jika suami puan ada hubungan dengan wanita lain maka puan perlu memberikan nasihat kerana katakan dalam islam berdua-duaan adalah haram melainkan bernikah maka terlepas daripada maksiat kerana sudah menjadi suami isteri apabila mereka nikah secara sah.

Puan tak boleh merasai jemu kerana ini adalah perjuangan dan cara Allah SWT berkehendakkan kebaikan pada puan supaya berusaha dan berdoa semoga suami berubah.



No comments:

Post a Comment