Tuesday, March 3, 2015

Tanyalah Usatz Siri 226 (Hukum Makan Semeja Dengan Orang Minum Arak, Balasan Mereka Yang Menyiksa Haiwan, Perlu Berdakwah Pada Orang Lain, Solat Rasa Sedih Hingga Menangis Dan Berlebihan Semasa Berwuduk.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 226 adalah menjelaskan persoalan hukum makan semeja dengan orang minum arak, balasan mereka yang menyiksa haiwan, perlu berdakwah pada orang lain, solat rasa sedih hingga menangis dan berlebihan semasa berwuduk.

1086. Soalan : Ustaz,boleh ustaz beri pandangan dan apakah hukumnya orang Islam yang makan semeja dengan orang bukan Islam dan situ ada arak,tapi orang Islam tak minum arak itu,cuma makan sahaja,contoh: makan malam sempena tahun Baru Cina.

Jawapan :

Umat Islam di minta menjauhkan diri daripada makanan dan minuman haram termasuk makan dan minum semeja dengan orang bukan Islam. Mereka perlu menghormati umat Islam yang di larang meminum minuman keras dan jika mereka nak meminumnya perlu di tempat lain yang bukan semeja dengan umat Islam. Walaupun tidak minum minuman keras tetapi jika ada minuman tersebut di meja yang sama di kira bersyubhat. 

Sabda Rasulullah oleh Imam Thabarani maksudnya: “ Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia meminum arak, dan siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia duduk pada meja jamuan yang ada diminum arak”

Melalui hadis ini, bukan saja hukum meminum arak itu haram tetapi menghadiri jamuan atau majlis yang ada menghidangkan arak juga diharamkan.

Kita tinjau lagi sabda Rasulullah ini yang diriwayatkan oleh Abu Daud maksudnya “Allah telah melaknat arak, peminum arak, pembawa arak, pembeli arak, penjual arak, pembuat arak, orang yang minta dibuatkan arak, tukang angkat arak dan orang yang diangkatkan arak kepadanya”

Laknat itu bermaksud di murkai dan jauh dari rahmat Allah.

Hukum bagi arak itu meliputi semua aspek iaitu peminumnya, pemerahnya, peminta perahnya, pembawanya, peminta bawakannya, pemberi minumnya, peminta minumnya, penjualnya, pembelinya, peminta belinya, peminta jualnya, pemakan harganya, penyimpannya dan pemiliknya.

Jelas wahai saudara-saudaraku bahawa hukum arak itu adalah haram dan dilaknat oleh Allah. Janganlah kita terpedaya oleh pengaruh arak dan syaitan. Walaupun ada faktor yang mendorong kita berbuat demikian tetapi ingatlah akan balasan yang bakal diterima.

1087. Soalan : Ustaz, haiwan tidak punyai akal fikiran ada tak hadis atau dalilnya tentang haiwan ni, saya nak beri tahu pada kawan saya yang sedangan kesedihan kerana kehilangan haiwan kesayangannya. Dan adakah berdosa dan mendapat balasan di akhirat jika seseorang itu menyiksa haiwan .

Jawapan :

Semua binatang yang melakukan kesalahan seperti menanduk binatang lain akan di hisab dan di berikan pembalasan setelah itu binatang tersebut akan menjadi tanah. Binatang tak masuk syurga atau neraka. Sesungguhnya makhluk yang pertama kali diadili oleh Allah Ta’ala adalah binatang, bukan manusia ataupun jin. Allah Ta’ala berfirman:

وَإِذَا الْوُحُوْشُ حُشِرَتْ (5)

Maksudnya : “Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan.” (QS. At-Takwir: 5), yakni dikumpulkan di hari Kiamat untuk diadili.

وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ طَائِرٍ يَطِيْرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلاَّ أُمَمٌ أَمْثَالُكُمْ مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ يُحْشَرُوْنَ (38)

Maksudnya : “Dan tiadalah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan umat-umat (juga) sepertimu. Tiadalah Kami lupakan sesuatu apapun di dalam Al-Kitab kemudian kepada Rabb-lah mereka dihimpunkan.” (Surah al-An’aam ayat 38)

Syaikh Muhammad bin Sholih al-‘Utsaimin rahimahullah mengatakan, “Pada hari kiamat kelak, seluruh binatang akan dikumpulkan, sedangkan manusia menyaksikannya. Kemudian binatang-binatang itu diadili, sehingga binatang yang tidak bertanduk akan menuntut balas terhadap binatang bertanduk yang telah menanduknya di dunia. Setelah binatang tersebut diqisas, Allah akan mengubahnya menjadi tanah. Allah melakukannya untuk menegakkan keadilan di antara makhluk-Nya.” (Tafsiir Juz ‘Amma, hal. 70)

Hisabnya hewan ini disaksikan oleh para malaikat, orang-orang yang beriman dan juga orang-kafir. Setelah binatang diadili, Allah Ta’ala berfirman: “Jadilah tanah!” Maka binatang-binatang itu berubah menjadi tanah. Tatkala melihat hewan itu diubah menjadi tanah, orang-orang kafir itu mengatakan, “Alangkah baiknya jika aku menjadi tanah.” Inilah salah satu makna firman Allah Ta’ala:

وَيَقُوْلُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرَابًا (40)

Maksudnya : “Dan orang kafir itu berkata, “Alangkah baiknya sekiranya aku menjadi tanah saja.” (Surah an-Naba ayat 40).

Ketika haiwan di hisab maka tuannya akan kenal haiwannya di dunia dan seluruh manusia akan menyaksikan termasuk orang kafir . Manusia yang menyeksa binatang akan mendapat balasan di akhirat dan mereka tak boleh melarikan diri.

Manusia yang menyiksa haiwan terutama haiwan peliharaan seperti kucing di kurung sehingga mati kelaparan , melagakan ayam jantan sehingga cedera parah atau mati, menjadikan haiwan sebagai tempat sasaran memanah, maka di akhirat akan mendapat balasan yang azab daripada Allah SWT. 

Sabda Nabi SAW maksudnya:"Seorang wanita diazab kerana seekor kucing yang dikurung sampai mati. Wanita itu masuk neraka kerananya. Dia tidak memberi makan dan (tidak juga) minum kepada kucing itu ketika dia menawannya. Dia juga tidak melepaskannya agar dapat makan serangga-serangga yang ada di bumi." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Jenis-jenis penyeksaan yang di larang terhadap haiwan :

1. Membakar binatang

Membunuh binatang dengan cara membakarnya sama ada yang boleh dimakan atau tidak adalah dilarang dan berdosa besar. ‘Abdullah bin Mas’ud radhiallahu ‘anhu meriwayatkan dengan berkata:

Maksudnya: “Dan Baginda melihat sarang semut yang telah kami bakar. Maka Baginda bersabda: “Siapa membakar ini?” Kami menjawab: “Kami.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya tidak seharusnya diazab dengan api melainkan oleh Tuhan Pemilik api itu (iaitu Allah Subhanahu Wa Ta‘ala).” (Hadis riwayat Abu Daud)

2. Membunuh untuk dipersia-sia

Membunuh binatang dengan tujuan mensia-siakannya dan bukannya untuk dimanfaatkannya adalah satu penganiayaan. Asy- Syarid radhiallahu ‘anhu meriwayatkan sebuah hadis mengenai hal ini dengan berkata:

Maksudnya: “Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesiapa yang membunuh burung untuk dipersia-sia, ia (burung) mengadu (dengan suara yang kuat) kepada Allah ‘azza wa jalla di hari akhirat, dengan katanya: “Wahai Tuhan! Sesungguh si polan telah membunuhku untuk dipersia-sia dan dia tidak membunuhku untuk tujuan dimanfaatkan.” (Hadis riwayat an-Nasa’ie)

3. Menjadikan sebagai sasaran

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam melaknat mereka yang menjadikan binatang sebagai sasaran sama ada dengan melontarnya, memanahnya, menembaknya, melastiknya atau sebagainya. Perkara ini disebut dalam hadits yang diriwayatkan oleh Sa‘id bin Jubair di mana Ibnu ‘Umar pernah menegur budak-budak yang melontar burung yang dijadikan sebagai sasaran dengan berkata:

Maksudnya: “Siapa melakukan ini, Allah melaknat siapa yang melakukan ini. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat sesiapa yang menjadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran.” (Hadits riwayat Muslim)

Sesungguhnya sifat belas kasihan dan rahmat itu adalah antara beberapa tuntutan dalam agama Islam. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: “Orang-orang yang bersifat rahmat dan belas kasihan, mereka itu dirahmati oleh Tuhan ar-Rahman, maka hendaklah kamu bersifat rahmat kepada penduduk-penduduk bumi, nescaya kamu akan dirahmati oleh siapa yang berada di langit. (Hadis riwayat Abu Daud)

Sesiapa yang melakukan belas kasihan atau berlaku rahmat, sekalipun kepada binatang bukan saja Allah menerima amalnya itu, bahkan Allah akan mengampuni dosanya sebagaimana hal ini disebut oleh Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam suatu peristiwa:

Maksudnya: “Ada seorang laki-laki sedang berjalan, merasa sangat kehausan, lalu dia pun turun ke dalam telaga dan minum dari telaga itu, kemudian dia keluar, tiba-tiba dia melihat seekor anjing terjulur-julur lidahnya (sambil) menjilat tanah basah kerana kehausan. Orang itu berkata demi sesungguhnya telah sampai keadaannya seperti keadaan-ku, lalu dia (turun untuk) mengisi sepatunya (dengan ayer), dan dipegangnya dengan mulutnya, kemudian dia naik ke atas dan memberi minum anjing itu. Maka Allah Ta'ala menerima dan memuji di atas budinya dan ihsannya itu dengan mengampunkan dosa-dosanya. Lalu sahabat-sahabat yang ada di situ bertanya: “Adakah kita mendapat pahala berbuat baik kepada binatang-binatang? Baginda bersabda: “Berbuat baik kepada tiap-tiap hati yang hidup itu (yang bernyawa) diberi pahala.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, janganlah menganiaya, menyeksa dan menzalimi binatang atau tidak ada belas kasihan terhadapnya. Melakukan penganiayaan, penyeksaan dan kezaliman terhadap binatang bukan hanya menjauhkan kita daripada rahmat Allah Subhanahu Wa Ta‘ala bahkan boleh mengundang azab di akhirat kelak.

1088. Soalan : Saya ada terdengar orang berkata. Walaupun kita pergi surau 5 waktu. Diakhirat Nanti kita akan dipersoalkan Allah sekira nya kita Tak mengajak Sahabat Dan jiran-jiran kita untuk ke Surau. Dengan kata lain berdakwah.

Jawapan :

Tugas berdakwah adalah kewajipan setiap muslim mukmin yang beriman kepaad Allah SWT dan rukun iman yang 6. Tugas berdakwah atau sampaikan Islam bukan tugas para ulama dan ustaz sahaja tetapi kita semua sebagai seorang muslim wajib sampaikan dakwah ini kepada orang lain terutama isteri dan anak-anak kita, jiran tetangga, rakan sepejabat, dan umat Islam yang lain samaada yang muslim atau bukan muslim. Kita sampaikan setakat kemampuan kita. Nabi SAW bersabda maksudnya, "Sampaikanlah daripada aku walaupun sepoting ayat." (Hadis Sahih Riwayat Bukhari).

Islam juga dapat ditegakkan secara kaffah (sempurna) di tengah-tengah kehidupan lantaran aktiviti-aktiviti dakwah. Terdapat banyak dalil yang memerintahkan agar kaum Muslimin untuk sentiasa berdakwah. Ganjaran pahala yang disediakan bagi para pendakwah juga amat besar. Antara dalil yang menjelaskan tentang keutamaan dakwah adalah sepertimana firmanNya:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِّمَّن دَعَآ إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَـلِحاً وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya : “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, 'Sesugguhnya aku adalah daripada kalangan orang muslim (yang berserah diri)?” (Surah Fussilat (41) ayat 33)

Secara zahirnya, sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Alusi, seruan dakwah yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah melalui lisan. Manakala perkataan kepada Allah SWT di sini bermaksud mengajak kepada mentauhidkan Allah SWT dan taat kepadaNya.

Asy-Syaukani dan Al-Jazairi dalam tafsir mereka tidak jauh berbeza dengan pendapat Abu Hayyan Al-Andalusi yang mengatakan bahawa al-du’a ilal-Lah adalah dengan menyeru kepada Islam, berjihad melawan kaum kafir dan menghentikan perbuatan orang-orang yang zalim. Ini dari sudut seruan ayat tersebut.

Dari sudut pelaku atau orang yang menyeru kepada dakwah pula, ada yang menafsirkan bahawa orang yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada Rasulullah SAW. Ada pula yang menyatakan bahawa ayat ini turun berkenaan muazin (orang yang melaungkan azan). Jika dilihat pada lafaznya, kata “man” dalam ayat ini adalah isim al-istifham (kata soal). Kata tersebut memberikan makna yang umum. Oleh kerana ia memberi makna yang umum, maka selagimana tidak ada dalil yang mengkhususkannya untuk sesuatu, maka ia tetap kekal dengan makna yang umum. Oleh itu, kebanyakkan mufassir (ahli tafsir) seperti Al-Hasan, Mujahid, Ibnu Katsir, Asy-Syaukani, Al-Alusi dan lain-lain memilih kesimpulan bahawa ayat ini bermaksud umum yang melibatkan semua orang yang menyeru kepada Allah SWT.

Walaupun kalimat “man” dalam ayat ini adalah isim al-istifham, menurut Al-Alusi, istifham tersebut membawa makna al-nafiyy (penegasan). Ertinya, tidak ada perkataan yang disampaikan oleh seseorang yang lebih baik daripada orang yang menyeru kepada Allah SWT. Menurut Fakhruddin Al-Razi, ini menunjukkan bahawa berdakwah kepada Allah lebih baik daripada perkara-perkara yang lain.

Semua manusia maklum bahawa yang dihasilkan oleh lisan adalah ucapan atau perkataan. Sebagaimana anggota badan yang lain, apa sahaja yang dilakukan oleh lisan adalah wajib untuk terikat dan sejajar dengan hukum syara.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata khair (yang baik-baik) atau diam”. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Tirmidzi daripada Abu Hurairah).

Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam Fathul Bari menyatakan bahawa perkara termasuk dalam cakupan “al-khair” (baik-baik) adalah apa sahaja ucapan atau perkataan yang dituntut (oleh Islam), sama ada yang difardukan mahupun yang disunatkan. Adapun maksud kata “syarr” (diam) adalah apa sahaja yang mengakibatkan keburukan, maka diperintahkan untuk diam.

Perkataan yang mengandungi seruan dakwah kepada Allah dan kepada agamaNya adalah perkataan yang paling baik. Ini adalah kerana, ucapan tersebut bukan sahaja menampilkan kesempurnaan dirinya, tetapi ia juga dapat menyempurnakan orang lain. Pahala yang diberikan kepada orang-orang yang melakukan aktiviti tersebut juga sangat besar. 

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Demi Allah, sesungguhnya satu orang yang diberikan petunjuk (oleh Allah) melalui perantaraanmu (pendakwah), maka itu lebih baik daripada unta merah” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Nasa’i).

Apabila dakwahnya diterima, pahala yang diberikan kepadanya pun terus mengalir. Rasulullah SAW juga bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang menunjukkan atau mengajarkan suatu kebaikan, maka dia mendapat pahala yang sama sepertimana orang yang melakukannya (mengikutinya)”. (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ahmad).

Sebagai pendakwah kita hanya di suruh sampaikan kebenaran dengan cara baik dan hikmah, jika mereka nak terima atau tidak menerimanya itu bukan urusan kita tetapi itu urusan Allah SWT kerana taufik dan hidayah adalah milik Allah SWT. Semua kumpulan yang mengajak kepada kebenaran, menyampaikan dakwah Islam adalah kumpulan yang di redhai oleh Allah SWT termasuk NGO Islam, Jemaah Islam seperti Pertubuhan Ikram Malaysia, Haluan, ABIM, Jemaah Tabliq, Hidayah Centre, Persatuan China Muslim, PERKIM, dan lain-lain adalah organisasi yang yang melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

1089. Soalan : Saya ada pertanyaan ia itu kerap kali bila saya solat samada berjemaah atau bersendirian, ada masanya saya rasa sangat sangat tenang dan terasa seolah saya tersenyum sambil mata tepat ke arah sejadah, Apa kah maksudnya ustaz. Dan ada ketikanya pula, waktu membaca Al Fatihah, saya rasa sangat sebak dan ingin menangis tapi saya menahannya.. Boleh Ustaz jelaskan maksudnya.

Jawapan :

Solat adalah satu ibadah yang khyusus di antara manusia dengan Allah SWT. Jika kita solat hati rasa seronok dan ketika membaca al-Fatihah dan surah sehingga rasa sebak dan mengalirkan air mata maka itu ada petanda ada ciri-ciri khyusuk. 

Semakin seseorang merasai khyusuk maka semakin hampir dirinya dengan Allah SWT. Para sahabat bila mereka solat mereka lupa segala-galanya urusan dunia dan masaalaah kehidupan yang mereka hadapi. 

Saidina Ali r.a apabila terkena panah di betisnya, untuk di keluarkan panah tersebut ketika beliau solat sunat dan tidak menjerit kesakitan kerana terlau khyusuk kepada Allah SWT semasa beliau solat. 

Khusyuk dalam solat adalah satu perkara penting kerana dengan mendapat khusyuk barulah solat kita akan bernilai disisi Allah SWT, Jika kita solat tetapi tidak khusyuk maka kita akan termasuk dikalangan orang yang lalai. 

Terdapat enam perkara jika kita hayati sebenar-benarnya maka kita akan mendapat khusyuk.

Perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Perasaan takut kepada kebesaran Allah SWT. sebagai Tuhan pencipta seluruh alam membuat diri terasa kerdil, takut dan gentar berhadapan dengan Allah SWT.

2. Keyakinan dan keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT menguatkan lagi ketetapan hati dan keimanan kepada-Nya.

3. Menyerahakan seluruh pergantungan kepada Allah SWT. atas segala sesuatu disamping meletakkan segala pengharapan kepada-Nya dan yakin dengan sepenuhnya janji-janji Allah SWT.

4. Menganggap segala nikmat dan musibah adalah ujian dari Allah SWT. untuk menguji keimanan dan ketakwaan hamba-Nya. Dalam setiap kesusahan akan ada kegembiraan. Manusia hendaklah redha dengan segala ujian dan musibah yang menimpa dan yakin semua yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT.

5. Hendaklah bersikap ikhlas dalam solat dan melakukannya sebagai tanda bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. serta tidak mengharapkan sebarang ganjaran dari-Nya.

6. Sentiasa ingat mati.

1090. Soalan : Apakah yang dimaksudkan " Jangan berlebihan didalam berwuduk"

Jawapan :

Maksud berlebihan dalam berwuduk adalah membasuh anggota wuduk melebihi 3 kali. Nabi SAW pernah membasuh kekali-sekali, dua kali -dua kali dan tiga kali- tiga kali. Baginda tak pernah membasuh melebihi 3 kali. Pembaziran di dalm wuduk adalah menggunakan air yang banyak semasa berwuduk ini juga di larang oleh Nabi 

Diriwayatkan dari 'Amr bin Syua'ib dari ayahnya , dari datuknya (yakni Abdullah bin Amr Radiyallahu Anhu) ia berkata : Bahawasanya seorang Arab Badwi menemui Rasulullah .SAW. dan bertanya kepada baginda tentang tata cara berwuduk . Baginda memperlihatkan tata cara wuduk yakni membasuh setiap anggota wuduk masing-masing tiga kali , kemudian baginda bersabda :

" Begitulah cara berwuduk, barangsiapa yang menambah-nambahinya , maka ia berbuat telah membuat kesalahan atau melampaui batas atau berbuat zalim"

(HR. Abu Dawud ((no.135) an-Nasai'e (I/88) dan al-Baghawi (228) dengan sanad yang hasan . Dalam riwayat Abu Dawud disebutkan lafazh (Au Naqasha) (atau menguranginya) , para Ulama meriwayatkan bahawa tambahan tersebut adalah dha'if kerana telah disebutkan dalam hadith Shahih bolehnya berwuduk dengan membasuh setiap anggota wuduk masing-masing dua kali atau sekali".) 

Tidak boleh berlebih-lebihan dalam penggunaan air , walaupu jumlah basuhan sesuai dengan ketentuan yang disyari'atkan .

Imam al-Bukhari berkata dalam kitab Shahihnya ,Kitab Wuduk Bab : Perihal Wuduk , Rasulullah SAW. telah menjelaskan bahawa kewajipan berwuduk itu adalah sekali-kali , dua kali , atau tiga kali dan tidak boleh daripada itu . Para ahlul Ilmu membenci israf (berlebih-lebihan menggunakan air) dalam berwuduk dan menambah-nambahi cara-cara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

1 comment:

  1. Ustaz, sy nak tanya . Apakah hukum org Islam mkn masakan org bukan Islam..

    ReplyDelete