Wednesday, December 4, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 12 (Jam Sadur Emas, Aurat Wanita, Kawin Sepupu, Terbuka Aurat Ketika Solat Dan Anak Susuan)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 12 adalah menjelaskan persoalan hukum memakai jam sadur emas, aurat wanita di rumah mertua, berkahwin dengan sepupu, terbuka kaki ketika solat dan anak susuan.


56. Soalan : Saya nak bertanya tentang hukum,seorang lelaki memakai jam atau kaca mata yang besinya dicampur dengan emas 24k...Terima kasih.


Jawapan :



Lelaki haram memakai emas walau pun sedikit di sadur dibahan besi seperti jam dan bingkai cermin mata.

Dari Abu Musa bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Dihalalkan emas dan sutera untuk kaum wanita dari umatku dan diharamkan keduanya terhadap kaum lelaki." Terdapat satu riwayat bahawa Rasulullah SAW pernah melihat sebuah cincin dari emas ditangan seseorang, maka Rasulullah SAW meragutnya lalu membuangnya lantas bersabda, "Seseorang dari kamu sengaja memegang bara api dari neraka lalu diletakkan ditangannya", lalu Rasulullah meninggalkan lelaki pemilik cincin tersebut dan membiarkan cincinnya terbuang di hamparan bumi lantas sebahagian orang berkata kepada si pemilik cincin, "Rasulullah telah pergi, ambil cincinmu dan pergunakanlah", Lelaki itupun menjawab dengan tegas, "Tidak, Demi Allah aku tidak akan mengambilnya apa yang sudah dilempar Rasul".


Menurut para Fuqaha" golongan Maliki, bagi kaum lelaki boleh memakai cincin dari perak asalkan tidak lebih dari dua dirham dengan syarat bertujuan mengikut jejak Rasulullah s.a.w. Berdasarkan analogi cincin ini, maka setiap benda yang diperbuat daripada emas (termasuk emas putih) yang dipakai untuk berhias oleh kaum lelaki, maka benda-benada tersebut hukumnya tetap diharamkan bagi mereka (Yunos Ali al-Mudhor: Terjemahan Halal dan Haram dalam Islam).


57. Soalan : Saya ada sedikit pertanyaan, jika seorang wanita bertandang ke rumah mertuanya yang tinggal bersama adik ipar (bukan mahram) .. Bagaimana auratnya.? Perlukah ditutup lengkap seperti biasa atau ada kelonggaran?


Jawapan :



Adik ipar bukan mahram dan wanita kena tutup aurat dan tidak boleh bersalaman dengan mereka. Jika di rumah diberi kelonggaran sedikit tak payah pakai stokin kerana kesukaran untuk memasuki tandas (mengikut mazhab Syafie jari-jari kaki dan tapak kaki adalah aurat) .Menurut Mazhab Hanafi, menurut riwayat al-Hasan daripada Abu Hanifah, tapak kaki (dalam bahasa Arab, perkataan al-qadam bermaksud tapak kaki merangkumi bahagian atas, iaitu kura-kura kaki dan bawah) bukan aurat. Maka harus mendedahkannya serta harus bagi lelaki ajnabi melihatnya. 

Hujjahnya ialah apa yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa beliau mentafsirkan ayat (dan janganlah wanita mukminah mendedahkan perhiasannya kecuali apa yang zahir daripadanya), maksud “apa yang zahir” yang disebut di dalam ayat itu ialah “al-qulbu wal-fatakhah”, iaitu cincin yang dipakai dijari kaki. Maka ini menunjukkan bahawa harus mendedahkannya kerana Allah Ta’ala melarang wanita mendedahkan perhiasan, dan Dia mengecualikan apa yang zahir. Dari segi lojiknya kita lihat, tapak kaki memang terdedah ketika berjalan. Maka ia termasuk dalam anggota yang dikecualikan daripada kewajipan menutupnya.


Sebaliknya, tapak kaki tidak ada keperluan untuk membukanya. Maka ia wajib ditutup. jika ada keperluan maka boleh dibuka. Bahagian lain kena tutup seperti biasa. 


Tidak ada nas yg direct atau langsung dalam masalah ini melainkan sepotong ayat umum dari Surah an-Nuur: 31 .

"...dan janganlah mereka (perempuan Islam) menzahirkan perhiasannya kecuali yg biasa nampak dari padanya..." 

Secebis ayat umum ini telah melahirkan pelbagai pendapat fiqih mengenai apakah yg boleh dizahirkan oleh perempuan kepada umum bila mereka keluar dari rumah-rumah mereka. Kami simpulkan: 


a. Fiqh Hanafi menetapkan dua kaki wanita bukanlah aurat kerana ia termasuk apa yg biasa nampak darinya kerana keperluan wanita melakukan pekerjaan hariannya. (alKasani, alBada'iy alSana'iy: Kitab alIstihsan, Jld 5) 


b. Fiqh Syafi'iyah, ada dua pendapat: 


Imam Muhyidin anNawawi (Syarah alMuhadzab,:3/173) kaki wanita adalah aurat.


Imam alMuzani pula berpendapat kaki bukan aurat. 


c. Imam atsTsauri juga berpendapat kaki bukan aurat (Syarah alMuhadzab, op cit, ms 173) 


d. Fiqh Maliki menetapkan kaki adalah aurat ( alMudawwanah: 1/109; Syarah alKabeer: 1/215) 


e. Fiqh alHanbaliah juga menetapkan kaki adalah aurat (alMughny: 1/601) 


Fiqh Tahqeeq (Fiqh Analitis)


Bila ada banyak pendapat, maka kita beralih pada Fiqh Tahqeeq (Fiqh Analitis): 


a. Imam asySyawkani (Nailool Awthor: 2/144) dan Tafsirnya, Fathul Qadeer: Tafsir surah anNuur) memilih pendapat bahawa kaki bukanlah aurat kerana memberi kemudahan kepada wanita. 


b. Allamah Siddiq Hasan Khan (Nailool Maram: Tafsir surat anNuur ayat 31) memilih pendapat kaki bukan aurat.


c. Syaikhul Islam a Imam Salafiya Taqiyuddin Ahmed Ibn Taymiyah alharani (Majmu' Fatawa, cetakan Riyadh, Jld 22/114-115) juga memilih pendapat kaki bukanlah aurat kerana ia merupakan kesulitan bagi wanita baik dalam solat dan di luar solat berdasarkan Hadis Aisyah ra yg mentafsirkan "apa yg biasa nampak" dalam surah anNuur ialah termasuk Fatkhah (cincin yg dipakaikan oleh wanita Arab pada jari kaki) 


Pendapat yang Rajih : 


Pendapat yang dipilih oleh As-Syaikh Dr.Abd Karim Zaidan dalam Ensiklopedianya berjudul : “Adakah kaki wanita dikira sebagai aurat?” (Rujuk Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar ah wa al-bait al-Muslim fi al-Syari’ati al-Islamiah , Jilid 3 , masalah 2282 , ms.198) ialah kaki wanita dikira sebagai aurat dan wajiblah bagi setiap wanita itu untuk menutupnya , kecuali jika terdapatnya hajat atau keperluan yang menyukarkan wanita tersebut untuk menutup kakinya , maka dalam hal ini ianya dibolehkan untuk tidak menutupnya. 



Kesimpulan : Saya setuju mengatakan kaki adalah aurat tetapi apabila ada keperluan seperti dirumah mertua hendak masuk tandas atau bilik mandi wanita tak payahlah pakai stokin hingga masuk tandas ,boleh membukanya kerana ada hajat. Tetapi apabila keluar rumah eloklah pakai stokin menutup kaki daripada dilihat oleh lelaki ajnabi. Wallahu a'lam

58. Soalan : Apa hukum kahwin bagi pasangan yang mana orang tua kedua-dua pihak adalah adik beradik?. Terima kaseh.


Jawapan :



 Islam tidak pernah menegah perkahwinan sepupu atau saudara-mara selain daripada kaum kerabat yang termasuk dalam kategori mahram. Mahram ialah ibu, nenek, anak perempuan, kakak, ibu saudara sebelah ibu dan bapa, ibu tiri, anak saudara, anak tiri, anak atau ibu susuan, ibu mertua, adik perempuan seibu sebapa dan sebagainya. (Rujuk Surah al-Nisak, ayat 23). 

Sepupu tidak termasuk dalam kategori mahram dan tidak haram dikahwini. Rasulullah SAW pernah mengahwini sepupunya sendiri, iaitu Zainab binti al-Jahsy. Baginda juga pernah mengahwinkan anak baginda, iaitu Fatimah binti Muhammad dengan sepupu baginda, iaitu Ali bin Abu Talib. Perkara yang sama diamalkan oleh ramai di kalangan para sahabat baginda. 

Berhubung dengan pendapat yang mengatakan perkahwinan sepupu boleh menyebabkan lahirnya anak yang kurang cedik atau cacat, ia merupakan kemungkinan yang amat rendah. Berkahwin dengan wanita yang bukan kaum kerabat juga ada kemungkinan untuk mendapat anak cacat. Walau bagaimanapun, jika seseorang ingin mengembangkan sanak saudara, lebih baik berkahwin dengan orang luar yang bukan daripada kaum kerabat sendiri. Wallahu a'lam

59. Soalan : Jika kita solat sendirian kemudian aurat terbuka contohnya nampak kaki dan tiada siapa yang nampak maka solat seseorang itu sah atau tidak?
Lagi satu nak tanya boleh tak kita baca terjemahan al-Quran  seperti baca buku biasa..Maksudnya tanpa tutup aurat dan baca di atas katil sebelum tidur?

Jawapan :



Aurat Wanita Di Dalam Sembahyang

1. Ulama Mazhab Syafie sepakat, aurat wanita di dalam sembahyang, wajib menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Tiada terkecuali biarpun sembahyangnya seorang diri di tempat gelap atau di dalam khemah.

2. Makruh menutup muka seperti memakai purdah yang menampakkan kawasan mata dan dahinya, atas pendapat banyak ulamak. Satu pendapat di dalam Kifayatul Akhyar, membolehkan memakai purdah seperti yang disebutkan itu bagi mengelakkan pandangan liar lelaki ajnabi di dalam masjid.

3. Batas aurat itu adalah ditutup daripada pandangan sebelah atasnya dan daripada kelilingnya. Tiada pada pandangan daripada bawahnya. Jika dia sujud, maka tapak kakinya perlu ditutup dengan pakaian, dan tidak boleh terbuka berdasarkan pandangan daripada keliling.

4. Syarat aurat itu juga ialah kain yang dipakainya mestilah tidak nipis sampai menampakkan warna kulit atau warna rambut.

5. Bila aurat itu terbuka kerana ditiup angin, tidak membatalkan solat dengan syarat ditutup dengan segera dan terbuka itu tidak melebihi kadar waktu melafazkan subhanallah. Sebaik-baiknya semasa solat memakai stokin supaya jika ternampak kaki (terbuka tanpa disengajakan) maka tidak akan membatalkan solat.

Membaca terjemahan al-Quran:

Boleh membaca terjemaahan al-Quran tanpa membaca ayat-ayat al-Quran walaupun tanpa wuduk dan menghadap kiblat. Sebaik-baiknya berwuduk kerana kita suci daripada hadas kecil kerana membaca al-Quran seolah-olah kita sedang berbicara dengan Allah SWT.

60. Soalan : Saya turut menyusu anak adik lelaki. Anak susuan saya adalah perempuan.mohon ustaz memberi penerangan batas pergaulan untuk anak-anak saya Dan anak susuan saya itu..

Jawapan :



Syarat yang berkaitan dengan susu adalah seperti berikut:

a. Susu kekal dalam sifatnya yang asal sama ada mengalir atau sebagainya kerana dengannya akan memastikan tumbesaran tubuh dan penguatan tulang.

b. Sampai susu ke sistem penghadamannya melalui tekak atau saluran hidung.

c. Penyusuan mencecah lima kali kekenyangan bayi. Setiap kali kekenyangan dikenal pasti melalui perbuatan bayi itu sendiri yang meninggalkan susuan secara sukarela dan mengambil tempoh yang lama sebelum menyusu untuk kali yang seterusnya. Sekiranya bayi berhenti menyusu disebabkan oleh gangguan di sekelilingnya, ia tidak dikira sebagai susuan yang mengenyangkan. Susuan yang mengenyangkan tetap dikira sekiranya bayi meninggalkan susuan untuk sementara waktu seperti ingin mengambil nafas, bertukar posisi daripada payudara kanan ke kiri, bersin dan sebagainya.

Apabila semua syarat ini dipenuhi, maka terhasillah hubungan pertalian antara bayi dan wanita yang menyusukannya. Perkara ini disandarkan kepada kaedah fiqh:
Maksudnya: Diharamkan (perkahwinan) disebabkan oleh penyusuan (sepertimana) apa yang diharamkan disebabkan oleh keturunan.

 Islam telah menetapkan jumlah susuan dan jumlah hisapan tertentu yang menyebabkan jadi mahram. Ia sebanyak lima kali susuan atau hisapan yang mengenyangkan. Jumlah penyusuan dan hisapan yang kurang daripada itu tidak diharamkan. Sebagaimana dijelaskan dalam hadis daripada Aisyah, Nabi bersabda: sekali hisapan (susuan) dan dua kali hisapan itu tidak menjadi mahram. 


Konsep susuan yang tidak menepati syarat yang telah ditetapkan oleh syarak tidak mengharamkan. Dalam hadis ini menerangkan dimana sekali susuan itu, iaitu apabila bayi menyusu kemudian dia melepaskan hisapan dengan kehendak dia sendiri ini dikira sekali susuan.

Tuesday, December 3, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 11 (Anak Susuan, Bercerai, Kisah Saidina Umar, Hukum Bersolek Dan Rebonding Rambut)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 11 adalah menjelaskan persoalan anak susuan, isteri yang diceraikan, kisah Saidina Umar, hukum bersolek dan hukum rebounding rambut.

51. Soalan : Apakah syarat-syarat seorang bayi itu akan menjadi anak susuan kepada wanita yang menyusukannya?

Jawapan :

Syarat yang berkaitan dengan susu adalah seperti berikut:

a. Susu kekal dalam sifatnya yang asal sama ada mengalir atau sebagainya kerana dengannya akan memastikan tumbesaran tubuh dan penguatan tulang.

b. Sampai susu ke sistem penghadamannya melalui tekak atau saluran hidung.

c. Penyusuan mencecah lima kali kekenyangan bayi. Setiap kali kekenyangan dikenal pasti melalui perbuatan bayi itu sendiri yang meninggalkan susuan secara sukarela dan mengambil tempoh yang lama sebelum menyusu untuk kali yang seterusnya. Sekiranya bayi berhenti menyusu disebabkan oleh gangguan di sekelilingnya, ia tidak dikira sebagai susuan yang mengenyangkan. Susuan yang mengenyangkan tetap dikira sekiranya bayi meninggalkan susuan untuk sementara waktu seperti ingin mengambil nafas, bertukar posisi daripada payudara kanan ke kiri, bersin dan sebagainya.

Islam telah menetapkan jumlah susuan dan jumlah hisapan tertentu yang menyebabkan jadi mahram. Ia sebanyak lima kali susuan atau hisapan yang mengenyangkan. Jumlah penyusuan dan hisapan yang kurang daripada itu tidak diharamkan. Sebagaimana dijelaskan dalam hadis daripada Aisyah, Nabi bersabda: sekali hisapan (susuan) dan dua kali hisapan itu tidak menjadi mahram. 


Konsep susuan yang tidak menepati syarat yang telah ditetapkan oleh syarak tidak mengharamkan. Dalam hadis ini menerangkan dimana sekali susuan itu, iaitu apabila bayi menyusu kemudian dia melepaskan hisapan dengan kehendak dia sendiri ini dikira sekali susuan.

Apabila semua syarat ini dipenuhi, maka terhasillah hubungan pertalian antara bayi dan wanita yang menyusukannya. Perkara ini disandarkan kepada kaedah fiqh:

Maksudnya: Diharamkan (perkahwinan) disebabkan oleh penyusuan (sepertimana) apa yang diharamkan disebabkan oleh keturunan.

52. Soalan : Dimana letaknya keredhaan Allah SWT pada muslimah yang telah bercerai dengan suaminya?

Jawapan :

Apabila berlaku perpisahan (bercerai) bergantung kepada keadaan. Jika berlakunya perceraian disebabkan suami tak bertanggung jawab tak beri nafkah, mencederakan isteri tanpa sebab, suami melakukan dosa-dosa besar maka isteri dalam kes ini tak bersalah dan akan mendapat redha Allah kerana berpisah dengan suami yg derhaka kepada Allah SWT.Tetapi jika berlakunya perceraian kerana isteri ada "pakwa lain" atau isteri nusyuz dan suami tidak bersalah atau suami berpoligami dan isteri tak sanggup bermadu maka isteri berdosa dan akan mendapat laknat Allah dan tak akan cium bau syurga.

Hadis riwayat Tsauban radhiallahu’anhu disebutkan :

“Siapa saja wanita yang minta diceraikan suaminya tanpa alasan yang dibolehkan maka haram baginya bau syurga” (HR Ahmad 5/277)

Hadis lain riwayat Uqbah bin Amir radhiallahu’anhu menyebutkan :

“Sesungguhnya wanita-wanita yang melepaskan dirinya dan memberikan harta kepada suaminya agar diceraikan, mereka adalah orang-orang munafik” (HR Thabrani dalam Al Kabir : 17/339, dalam shahihul jami’ hadits No : 1934)

Adapun jika memang ada sebab-sebab yang dibolehkan menurut syara’, seperti suaminya suka meninggalkan solat, suka minum-minuman keras dan hisap dadah, atau memaksa isterinya berbuat haram, suka menyiksanya dan menolak memberikan hak-hak isteri, tidak mau lagi mendengar nasihat dan tak berguna lagi upaya ishlah (perbaikan) maka tidak mengapa bagi isteri meminta cerai sehingga ia tetap dapat memelihara diri dan agamanya.


Dalam aqidah ahli sunah wal Jamaah sesiapa yang ada sedikit imannya dan tidak syirik walau pun dia melakukan dosa-dosa besar dia akan dimasukkan kedalam syurga . Setelah habis tempuh di seksa di neraka maka akhirnya dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Tidak bau syurga adalah seseorang yang di hisab dan didapati bersalah kerana melakukan dosa besar dan terus dimasukkan ke dalam syurga.

53. Soalan :  Ustaz. Saya mahu tanya ni apa maksud al faruq dan kepada siapa gelar ini di berikan lalu bagaimana sejarah ceritanya, minta diberikan pencerahannya?

Jawapan :

Umar bin Al-Khattab ~ Al-Faruq( Pemisah Antara Kebenaran Dan Kebatilan)

Nama sebenar Umar Al-Khattab adalah Umar bin Al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Ribaah Bin Abdillah bin Qarth bin Razaah bin Adi bin Kaab. Beliau berketurunan Arab Quraisy dari kabilah Bani Adi. Umar Al-Khattab dilantik sebagai duta kaumnya untuk mengadakan perundingan antara kabilah yang bermusuhan. Pengikut dari kabilah lain juga amat takut pada Umar.
Nabi berdoa supaya Islam dikuatkan oleh Umar.

Saidina Umar memeluk Islam pada tahun keenam kenabian Rasulullah SAW. Pada waktu itu beliau berumur 27 tahun. Diriwayatkan hati Umar mula bergoncang untuk menerima Islam setelah mendengar adiknya,Fatimah membaca Al-Quran,Surah Toha ayat 1-9 (sesetengah riwayat mengatakan Surah Taha ayat 1-5). 

Walaubagaimanapun, tindakan Umar memeluk Islam benar-benar telah menggemparkan masyarakat Quraisy. Ini disebabkan sebelumnya Umar adalah antara penentang kuat kepada ajaran Islam, bersama dengan Abu Jahal yang memang tidak dinafikan kebenciannya pada Islam. Namun perancangan Allah mengatasi segalanya. Berkat doa Rasulullah SAW, Umar telah diberikan hidayah untuk menerima Islam.
Rasulullah SAW berdoa ; "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab atau Abu Jahal b. Hisyam".( HR : At-Thabarani)

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh At-Thabarani bahawa Rasulullah SAW juga pernah berdoa : "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khattab".

Sebuah hadis dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW berkata : "Apabila Umar memeluk Islam, Jibril pun datang dan berkata : "Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan islamnya Umar".

Setelah memeluk Islam, Rasulullah SAW telah mengelarnya sebagai Al-Faruq kerana dapat membezakan di antara perkara yang benar dan bathil. Ketika ditanya oleh para sahabat bagaimana dia mendapat gelaran tersebut, Saidina Umar menjawab : "Pada suatu hari, Aku bertanya kepada Rasulullah SAW : "Ya Rasulullah SAW, adakah kita dalam kebenaran ?"

Jawab Rasulullah SAW : "Benar"

Aku berkata lagi : "Kenapakah kita beribadah secara sembunyi ?"

Kemudian kami masuk ke Masjidil Haram membuat dua saf, satu aku dan satu lagi Saidina Hamzah. Maka semua orang kafir Quraisy melihat ke arah kami berdua dengan perasaan yang sangat marah yang tidak pernah mereka terjadi sebelum ini, lalu Rasulullah SAW mengelarkan aku Al-Faruq.

Dengan islamnya Umar, maka umat Islam yang sebelum itu sentiasa ketakutan menjadi kuat. Mereka telah berani solat secara terang-terangan di Baitullah khususnya setelah peristiwa di atas. Di samping itu juga, orang Quraisy juga tidak berani menganggu orang Islam yang sedang beribadah kerana takut kepada Umar.

Umar mencabar kafir Quraisy menghalangnya dari berhijrah ke Madinah.

Ketika perintah Allah supaya umat Islam yang ketika itu dipulaukan oleh penduduk kafir Quraisy berhijrah ke Yathrib, ramai dikalangan umat Islam takut untuk berhijrah. Ada yang tidak mahu meninggalkan kampung halaman masing-masing. Ada yang tidak sanggup berpisah dengan sanak saudara. Dan paling ramai kerana takut dibunuh kafir Quraisy yang menghalang disetiap sempadan negeri Makkah. Jika ada umat Islam yang keluar pasti akan dibunuh. Rasulullah SAW dan Abu Bakar sendiri berhijrah secara sembunyi. Namun keberanian Umar Al-Khattab mengatasi segalanya. Beliau dengan nekad akan menyahut seruan Nabi SAW untuk berhijrah ke Yathrib.

Setelah saidina Umar membuat keputusan untuk berhijrah, beliau mengambil sebilah pedang disandang di sisi pinggangnya. Kemudian dicapainya busar panah lalu disangkut dibahunya, sebatang anak panah tergenggam ditangannya dan melangkahkan kaki menuju ke Kaabah. Ketika itu tokoh-tokoh Quraisy sedang bersantai di sisi Kaabah terpaku menyaksikan kehadiran Umar dengan keadaan sedemikian. Mereka tidak berani mendekati,apalagi untuk bertanya sesuatu kepada Umar.

Saidina Umar melakukan tawaf tujuh kali dengan penuh semangat tetapi tenang, tanpa menghiraukan tokoh-tokoh kafir Quraisy yang memerhatikannya. Sebaik selesai melakukan tawaf, beliau menuju ke Makam Ibrahim dan mendirikan solat. Selesai solat, Umar berdiri di sisi Makam Ibrahim sambil mengeluarkan kata-kata yang keras dan pedas terhadap puak kafir Quraisy. kata Umar: "Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia ini, kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama Allah. Barangsiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita beradu senjata di sebalik bukit ini”. 

Cabaran Saidina Umar terhadap tokoh-tokoh Quraisy yang menyaksikan kehadiran Umar dengan pedang terhunus itu, ternyata menimbulkan kesan gerun di dalam hati mereka. Pertama kali mereka mendengar cabaran yang begitu hebat dari Umar, mereka terpegun tanpa seorangpun yang berani menyahut cabaran Umar berlawan senjata. 

Dari sudut psikologi, cara Umar mencabar puak Quraisy dengan gaya seorang pahlawan yang bersedia untuk mati, menjadikan puak Quraisy lemah semangat. Mereka membisu tanpa reaksi, sekalipun Umar mengutuk mereka sebagai puak yang bakal dibinasakan Allah SWT. Dalam keadaan puak Quraisy lemah semangat, Umar mengajak mereka beradu senjata. 


Saidina Ali r.a. yang turut mendengar kata-kata Umar itu berkata: Sesudah itu Umar melangkahkan kaki meninggalkan kota Makkah dengan tenang, tanpa dijejaki oleh puak-puak Quraisy. Bagaimanapun peristiwa itu memberi seribu rahmat kepada kaum muslimin yang letih lesu, dari kalangan orang-orang tua, orang-orang sakit yang tidak terdaya meninggalkan kota Makkah tanpa teman. Mereka semua mengambil peluang untuk berhijrah ke Madinah bersama Umar Al-Khattab, dengan aman tanpa sebarang gangguan.

54. Soalan : Bolehkah seorang perempuan yg berstatus janda berhias (bersolek) untuk membolehkan dia mencari calon suami yg baru? Mohon penjelasan.

Jawapan :

Bersolek atau tabaruj tidak dibenarkan kerana mengubah wajah ciptaan Allah SWT. Walau pun mengubah yg sementara tetap tidak dibenarkan seperti bergincu merah, bedak tebal. eye shadow dan celak hitam menyala. 

Sebenarnya wanita nampak lebih cantik dan berseri apabila wajahnya sentiasa dibasuh dengan air wuduk, bibirnya sentiasa berzikir dan matanya sentiasa menatap kitab suci al-Quran dan dahinya sentiasa sujud solat fardu, tahajud, solat duha dan solat rawatip. 

Berbedah nipis dibolehkan dan memakai minyak wangi yang tidak menarik perhatian orang lain (sekadar baunya untuk dirinya saja). Apabila wanita memakai tudung labuh yang menutup dadanya itu lebih sopan dan lebih baik dan mendapat keredhaan Allah SWT maka jika Allah SWT redha maka akan datanglah lelaki soleh yang akan melamarnya.

55. Soalan : Ustaz, apakah hukumnya seorang isteri yg meluruskan rambut (rebonding) dgn niat utk kelihatan cantik didpn suaminya kerana diluar rumah dia bertudung? Mohon penjelasan.

Jawapan :

Rebonding termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah ( taghyir khalqillah ), kerana rebonding telah mengubah struktur protein dalam rambut secara kekal sehingga mengubah sifat atau bentuk rambut asli menjadi sifat atau bentuk rambut yang lain. Dengan demikian,hukum rebonding adalah haram.

Selain dalil di atas, keharaman rebonding juga didasarkan pada dalil Qiyas. Dalam hadis Nabi SAW, diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud r.a, baginda bersabda: “Allah melaknat wanita yang mentatu dan yang minta ditatu, yang mencabut bulu kening dan yang minta dicabutkan bulu keningnya, mereka telah mengubah ciptaan Allah.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Hadis ini telah mengharamkan beberapa perbuatan yang disebut di dalam nash, iaitu mentatu, minta ditatu, mencabut atau minta dicabutkan bulu kening. Keharaman perbuatan-perbuatan itu sesungguhnya didasarkan pada suatu illat (alasan penetapan hukum), iaitu untuk tujuan kecantikan dengan mengubah ciptaan Allah (thalabul husni bi taghyir khalqillah).

Sebelum permasalahan hukum rebonding ini dikupas, adalah wajar untuk kita mendalami realiti dan fakta proses rebonding itu sendiri . Rebonding adalah satu proses yang dilakukan untuk meluruskan rambut agar rambut menjadi lebih lurus dan lebih indah. Proses rebonding mempunyai dua peringkat iaitu:

1. Rambut disapu dengan krim tahap pertama untuk membuka ikatan protein rambut. Kemudian rambut dikepit seperti diseterika dengan alat pelurus rambut bersuhu tinggi. 

2. Rambut disapukan dengan krim tahap kedua untuk mengekalkan kelurusan rambut. Proses rebonding melibatkan proses kimia yang mengubah struktur protein dalam rambut.

Protein pembentuk rambut manusia dinamakan keratin, yang terdiri dari unsur cystine iaitu sebatian asid amino yang memiliki unsur sulfida. Ikatan disulfida -S-S- dari cystine inilah yang paling penting dalam menentukan bentuk rambut kita. Rambut berbentuk lurus atau kerinting disebabkan keratin mengandungi ikatan disulfida yang membuat molekul mengekalkan bentuk-bentuk tertentu.

Dalam proses rebonding, sejenis krim khas disapu ke atas rambut bertujuan untuk membuka/memutuskan ikatan disulfida itu, sehingga bentuk rambut yang kerinting menjadi lurus. Proses rebonding menghasilkan perubahan yang kekal pada rambut. Namun rambut baru yang tumbuh dari akar rambut akan tetap mempunyai bentuk rambut yang asli. Jadi, rebonding bukan pelurusan rambut biasa yang hanya menggunakan rawatan fizikal , tetapi juga menggunakan rawatan kimia yang mengubah struktur protein dalam rambut secara kekal.

Apakah Hukumnya Menurut Syarak?
Menurut kajian kami, melakukan proses rebonding hukumnya adalah haram kerana dua sebab iaitu mengubah ciptaan Allah dan menipu. Hukum rebonding adalah haram kerana ia termasuk dalam proses mengubah ciptaan Allah (taghyir khalqillah ) yang telah diharamkan oleh nash-nash syara’. Dalil keharamannya adalah keumuman firman

Allah yang bermaksud: “ Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu mereka benar-benar mengubahnya" (Surah an-Nisaa` (4) ayat 119)

Ayat ini menunjukkan haramnya mengubah ciptaan Allah, kerana syaitan tidak menyuruh manusia kecuali kepada perbuatan dosa.

Mengubah ciptaan Allah (taghyir khalqillah) didefinisikan sebagai proses mengubah sifat sesuatu sehingga seakan-akan ia menjadi sesuatu yang lain (tahawwul al-syai` ‘an shifatihi hatta yakuna ka`annahu syaiun akhar ), atau bermakna menghilangkan sesuatuyang asal itu sendiri (al-izalah).  (Hani bin Abdullah al-Jubair, Al-Dhawabit al-Syar’iyah li al-‘Amaliyat al-Tajmiliyyah, halaman 9).

Keenam : Memanjangkan rambut.

Lelaki ingin menyimpan rambut panjang; tidaklah dilarang agama kerana rambut Nabi -Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri adakalanya beliau membiarkan panjang hingga ke bahu. Dalam Sahih al-Bukhari, terdapat hadis dari Anas yang menceritakan; “Rambut Rasulullah mencecah dua bahunnya” (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari, kitab al-Libas, bab al-Ja’di, hadis no. 5452).

Walau bagaimanapun, hendaklah dipastikan gaya rambut tidak menyerupai orang kafir atau orang-orang fasik kerana Nabi bersabda; “Sesiapa menyerupai suatu kaum, ia dari kalangan mereka” (HR Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar. Lihat; Sunan Abi Daud, kitab al-Libas, bab Fi Lubsi as-Syuhrah, hadis no. 3512). 

Di larang rambut d ikat dengan getah kerana perbuatan tersebut menyerupai wanita. Walau pun rambut Nabi SAW panjang hingga kebahu tetapi dengan pemakaian seban nampak wajah baginda kacak dan tampan. Bukan rambut panjang tapi tidak terurus dengan rapi.

Sesungguhnya sudah datang hadis-hadis sahih yang menerangkan akan sifat (model) rambut Rasulullah  Di dalam kitab (Al-Mughni), dikatakan; Dan rambut manusia itu disukai seperti model rambut Nabi Salallahu Alaihi Wasallam, apabila panjang sampai ke bahu, dan apabila pendek sampai ke cuping telinganya.

Sesungguhnya memanjangkan rambut itu mesti mempunyai beberapa hal yang harus diperhatikan, di antaranya :

1.Ikhlas karena Allah Taala, dan mengikuti petunjuk Rasul, supaya mendapatkan balasan dan pahala.

2.Dalam memanjangkan rambut tersebut, hendaknya tidak menyerupai wanita, sehingga dia melakukan apa yang dilakukan wanita terhadap rambutnya, dari jenis dandanan yang khusus bagi wanita. Rambut lelaki yang panjang(hingga ke bahu) tidak diikat dengan getah.

3.Dia tidak bermaksud untuk menyerupai ahli kitab ( Kristian dan Yahudi), atau penyembah berhala, atau orang-orang yang bermaksiat dari kalangan muslimin seperti seniman-seniman dan artis (panyanyi dan pelakon filem), atau orang-orang yang mengikuti langkah mereka, seperti bintang sukan, dalam model potongan rambut mereka serta dandanannya.

Bukanlah rambut panjang hingga melebihi bahu, maka ianya menyerupai wanita bukan Islam.


4.Membersihkan rambut dan menyisirnya (sikat). Dianjurkan memakai minyak dan wangi-wangian serta membelahnya dari pertengahan kepala. 



Tanyalah Ustaz 10 (Haid, Iddah, Mengucapkan "RIP", Hukum Bekerja Sebagai Veterina Dan Bermimpi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 10 adalah menjelaskan persoalan darah haid, tempuh iddah, mengucapkan "Rest in Peace", hukum bekerja sebagai veterina dan bermimpi dengan orang yang telah meninggal dunia.

46. Soalan : Saya nak bertanya jika seorang perempuan yang datang haid, kemudian dalam tempoh haid itu dia memotong kuku tangan dan menyimpan kuku. Apabila ingin mandi wajib perlukah kuku itu juga dibersihkan sekali dengan niat mandi wajib?

Jawapan :

Seseorang yang junub, atau dalam keadaan haid, atau nifas di bolehkan menggunting rambutnya, kukunya sebelum mandi. Sebaik-baiknya selepas potong kuku dan gunting rambut maka semuanya ditanam jangan dibuangkan merata tempat. Yang haram bagi seorang yang sedang dalam keadaan junub (termasuk datang bulan) untuk dia kerjakan adalah amalan-amalan keagamaan yang bersyarat dengan adanya wuduk seperti solat sunat dan wajib.” 


Justeru, kita mengetahui tidak disyaratkan adanya wuduk untuk memotong rambut atau kuku. Dan atas dasar penjelasan di atas, kita dapat mengatakan bahawa tidak ada larangan (dalam erti kata haram) untuk membuang rambut yang gugur dan memotong kuku seperti mana yang saudari tanyakan.

47. Soalan : Boleh ustaz terangkan sedikit pasal tempoh iddah..saya ada membaca tapi saya tidak faham..apa maksud selepas 3 kali bersuci? Adakah selepas kedatangan haid ke3 atau selepas 3 bulan?

Jawapan :

Iddah pada pengertian ialah membilang atau menghitung. Maksud Iddah pada Syara' pula ialah seseorang wanita yang telah diceraikan oleh suaminya ataupun yang kematian suaminya, maka wanita tersebut dilarang dari berkahwin dengan lelaki lain untuk tempoh beberapa waktu sehinggalah tempoh waktu itu berakhir. Dengan cara ini dapatlah dipastikan kesucian wanita tersebut, sama ada ia mengandung ataupun tidak.

Hikmah yang lain adalah memuliakan ikatan pernikahan yang lalu, menghormati hak suami yang telah bercerai dan menampakkan kepada masyarakat bahawa ia telah bercerai.

Masa iddah ini terbagi atas 4 jenis iaitu :

1. Iddah masa mengandong, iaitu waktunya sampai masa kelahiran kandungan yang disebabkan talak ba’in (perceraian yang mengakibatkan tidak kembali kepada suaminya) atau talak raj’i (perceraian yang dapat kembali kepada suaminya) dalam keadaan hidup atau mati.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka adalah sampai mereka melahirkan.” (Surah Ath-Thalaq ayat 4)

2. Iddah muthlaqah (masa perceraian),

Tempoh ini ialah untuk perempuan yang masih didatangi haid dan berpisah melalui perceraian. Maksud tiga kali suci ini ialah, jika dia diceraikan, maka dia perlu beriddah sehingga tiga kali suci daripada haid.

Firman Allah s.w.t, maksudnya: “Perempuan-perempuan yang diceraikan hendaklah menahan diri mereka (menunggu) selama tiga kali quru’ (suci).” (Surah al-Baqarah ayat 228)

Bagaimana mengiranya?

Jika dia diceraikan ketika suci dari haid, maka idahnya akan tamat sebaik sahaja datang haid yang ketiga.

Contoh: Diceraikan dalam keadaan suci (Suci 1) > Haid 1 > Suci 2 > Haid 2 > Suci 3 > Haid 3 —— iddah habis sebaik sahaja haid 3 bermula.

Jika dia diceraikan ketika haid, maka idahnya akan tamat sebaik sahaja kedatangan haid yang keempat.

Contoh: Diceraikan ketika haid (Haid 1) > Suci 1 > Haid 2 > Suci 2 > Haid 3 > Suci 3 > Haid 4 —— iddah habis sebaik sahaja haid 4 bermula.

3. Perempuan yang tidak ada haid.

Siapa yang perlu beriddah selama 3 bulan? (diulangi, 3 bulan. Ia berbeza dengan 3 kali suci)

Perempuan yang perlu beriddah selama 3 bulan ialah perempuan yang belum pernah didatangi haid atau yang telah berhenti haidnya (menopause) . Sekiranya dia diceraikan, maka dia perlu mengira iddah dari hari perceraian hinggalah cukup tiga bulan Qamariyyah. Perlu diingatkan, tempoh 3 bulan ini tidak semestinya 90 hari. Hal ini kerana dalam kalender Islam, ada kalanya jumlah hari sebulan ialah 29 hari dan ada kala berjumlah 30 hari. Tetapi tiada yang berjumlah 31 hari!

Firman Allah SWT maksudnya :
“Perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus haid mereka, jika kamu ragui tentang tempoh masa idah mereka, maka masa idah mereka ialah selama tiga bulan. Begitulah juga idah perempuan-perempuan yang belum datang haid.” (Surah al-Talaq ayat 4)

4. Isteri yang ditinggal suaminya kerana meninggal dunia.

Allah SWT menjelaskan masa iddahnya sebagai berikut :

a)Bagi wanita/isteri yang tidak mengandung :

Tempohnya ialah 4 bulan 10 hari dari tarikh kematian. Perlu diingatkan bahawa ‘bulan’ di sini ialah bulan dalam kalender Islam/ Hijrah bukannya kalender Masehi. Oleh itu, jumlah hari yang dia kena beriddah ialah kira-kira 130 hari.

Firman Allah SWT maksudnya : “Orang-orang yang meninggal dunia diantaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beriddah) empat bulan sepuluh hari.” (Surah Al-Baqarah ayat 234)

b)Bagi wanita/ isteri yang mengandung.

Untuk wanita seperti ini, secara ringkasnya iddahnya tamat sebaik sahaja melahirkan anak (dan bukan 4 bulan 10 hari). Malah, jika selang masa antara kematian suami dan juga kelahiran anak itu sangat pendek, iddahnya tetap berakhir.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka adalah sampai mereka melahirkan.” (Surah Ath-Thalaq ayat 4)


Dalil daripada hadis sahih juga menjelaskan keadaan perempuan yang hamil ketika kematian suami lalu Rasulullah SAW. membenarkannya berkahwin lain selepas bersalin (tidak perlu menunggu hingga 4 bulan 10 hari). Hukum ini telah dijelaskan oleh baginda dalam hadis tentang Sabi’ah al-Aslamiyah yang bersalin beberapa hari selepas kematian suaminya (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

48. Soalan : Ustaz , saya hendak tanya apa hukum kalau kita ucapkan perkataan 'RIP' (Rest In Peace) kepada orang bukan islam yang telah mati ? Boleh ke orang islam ucapkan perkataan tersebut ?

Jawapan :

Ucapan selamat pada seseorang itu lebih merujuk kepada doa. Oleh itu dapat di fahami bahawa jika kita mengucapkan kepada orang yang bukan Islam (bila dia mati dan kita mengetahui bahawa siimati tidak mendapat redha Allah dan rahmat Allah kerana kekafirannya) maka sama hukumnya bila kita mengucapkan ~ assalmualaiku warahmatulah~ kepada bukan Islam.

Sebaik-baiknya kita berikan nasihat pada keluarga si mati bersabarlah dengan ujian ini tak payah sebut RIP (Rest In Peace) sebab secara lahiriyahnya jika mati di dalam keadaan kafir di sana sedang tunggu seksaan Allah SWT.

49. Soalan : Apa kah hukum bekerja sebagai penolong veteriner ? Tugasan yang memerlukan seorang memegang anjing untuk merawatnya . Di tempat kerja juga disediakan tanah untuk disertu lepas habis kerja . Adakah gaji itu halal ?

Soalan kedua sah tak solat kalau rambut diwarnakan ? Sepupu saya solat , tetapi dia mewarnakan rambut.

Jawapan :

Pertama : Bekerja sebagai penolong Veteriner (pegawi perubatan haiwan) adalah halal gajinya kerana tugasnya bukan saja merawat anjing tetapi semua jenis haiwan penternakan atau haiwan belaan yang lain seperi kucing. Tugas ini mulia kerana memastikan binatang penternakan dijauhi penyakit, jika ada penyakit merekalah yang akan memberikan rawatan dan ubatan. Tidak salah memberi rawatan kepada anjing cuma selepas merawatnya perlulah membasuhnya dengan 7 kali air bilasan dan basuhan pertama dengan air bercampur tanah.

Kedua : Mengenai mewarnakan rambut pastikan pewarna tersebut dibuat daripada bahan yang halal dan bersih dan pewarna yang serap air jika tidak, mandi wajib tidak sah . Dari Ibnu Sirin r. a. katanya:. Aku bertanya kepada Anas bin Malik r.a: "Adakah Rasulullah SAW mencelup rambut baginda?" jawab Anas: "Baginda tidak kelihatan beruban, kecuali di janggutnya nampak beberapa helai rambut putih. Kata Ibnu Sirin: Aku betanya pula kepadanya, adakah Abu Bakar mencelup rambutnya? Jawab Anas: Ada. Dengan inai. (Hadis Riwayat Muslim)

Huraian Hadis: 

Sebahagian daripada perkara yang tergolong di dalam masalah perhiasan ialah mewarnakan rambut atau janggut yang telah beruban. Tetapi dengan warna apa dibenarkan mewarna rambut? 

Apakah dengan warna hitam atau warna-warna lain? Atau mesti mengelakkan dengan warna hitam? Orang yang telah tua, ubannya telah merata sama ada di kepala ataupun di janggut, tidak selayaknya mewarnakannya dengan warna hitam. Oleh itu, ketika Abu Bakar membawa bapanya Abu Qufahah ke hadapan Nabi SAW. pada hari penaklukan Mekah, Nabi melihat rambutnya seperti pokok Thughamah yang terlalu putih buah dan bunganya. Nabi bersabda: "Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam." (Hadis Riwayat Muslim). 

Manakala mereka yang tidak sebaya dengan Abu Qufahah, tidaklah berdosa apabila mewarna rambutnya dengan warna hitam. Dalam masalah ini al-Zuhri telah berkata: "Kami mewarna rambut dengan warna hitam apabila wajah masih kelihatan muda, tetapi apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah goyang, kami tinggalkan warna hitam." (Fathul Bari) Dan di dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar mengatakan: "Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah pokok inai dan katam." (Hadis Riwayat Tarmizi dan ash-habusunan) 

Katam adalah sejenis pokok yang tumbuh di Yaman yang mengeluarkan pewarna berwarna hitam kemerah-merahan. Dan Inai sejenis pokok berdaun yang mengeluarkan warna merah. Anas bin Malik meriwayatkan, bahawa Abu Bakar mewarna rambutnya dengan inai dan katam, manakala Umar hanya dengan inai sahaja.

50. Soalan : Sahabat saya,kerap bermimpi orang yang sudah meninggal dunia, arwah adalah kawan lelaki kepada sahabat saya. Apa yang harus sahabat saya lakukan kerana dia selalu mendoakan ksejahteraan arwah. dan apakah ia ada maksud tersirat dalaman mimpi tersebut.?

 Apakan maksud bermimpi hari kiamat?

Jawapan :

Mimpi kawan baik yang telah meninggal dunia adalah akan muncul bantuan tidak terduga atau akan mendapatkan berita baik. Sebaik-baiknya hendaklah dia mendoakan arwah semoga di lepaskan seksa kubur dan dirahmati oleh Allah SWT di alam barzakh.

Mimpi berlakunya kiamat tafsirannya di dalam buku Tafsir Mimpi Menurut Islam :"Sesiapa yang melihat seolah-olah sudah terjadi kiamat di satu tempat bermakna akan tertegaklah keadilan di tempat itu, akan jatuhlah orang-orang zalim dan terbela orang yg dizalimi, kerana hari kiamat merupakan hari yg menentukan dan hari keadilan. Wallahu a'lam

Dalam tafsiran yg lain jika orang yang bermimpi org yg soleh maka itu tanda berita gembira baginya, untuk mereka yg suka buat maksiat juga satu berita gembira supaya dia kembali bertaubat kepada Allah SWT itu satu peringatan Allah SWT kepada dirinya.



Tanyalah Ustaz Siri 09 (Bulan Hijrah, Hukum Tidak Bertegur Sapa, Kewafatan Nabi SAW, Murtad Dan Membaca Surah Yasin)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 9 adalah menjelaskan persoalan maksud bulan-bulan dalam kalender Islam dan empat bulan haram, hukum tidak bertegur sapa, kisah kewafatan Nabi SAW, jenis-jenis orang murtad dan hukum membaca Surah Yasin ketika nazak.

41. Soalan : Apakah maksud nama-nama bulan di dalam kalender Islam? dan apakah maksud larangan Allah supaya jangan menzalimi diri dalam empat bulan haram. (surah at-Taubah ayat 36)?

Jawapan : 

1. Maksud bulan-bulan dalam  Islam :

1. Muharram: bermaksud terlarang atau suci. Pada bulan ini kaum Arab biasa menahan diri/melarang untuk berperang.

2. Safar: diberi nama demikian kerana bangsa Arab biasa meninggalkan rumah-rumah mereka untuk berdagang atau memerangi musuh. Sebagian juga berpendapat mereka biasa meninggalkan rumah ke negeri yang lebih sejuk untuk menghindari panas.

3. Rabi` ul-Awwal: diberi nama demikian kerana biasanya bersamaan dengan datangnya musim semi yang sejuk.

4. Rabi` ul-Akhir: ini adalah separuh kedua dari musim semi dan memasuki musim dingin.

5. Jamadil ul-Awwal: pada bulan ini, air terkadang membeku karena dinginnya musim.

6. Jamadil Akhir: ini adalah bulan kedua dari musim dingin.

7. Rejab: berasal dari kata bahasa Arab yang bererti mensucikan sesuatu. Bulan ini merupakan salah satu dari bulan-bulan haram, di mana perang dilarang.

8. Syaaban: berasal dari kata tasy’aba yang bererti pergi ke berbagai arah atau memencar. Bangsa Arab biasa pergi ke segala penjuru untuk mencari air, atau mencari nafkah atau memerangi musuh.

9. Ramadan: kata Ramadan berakar dari kata ar-ramdha yang menunjukkan suasana cuaca yang panas.

10. Syawal: berasal dari kata tasyawwala yang bererti sedikitnya atau langkanya penghasilan susu dari unta-unta betina. Syawal juga bererti naiknya suhu udara ketika memasuki musim panas.

11. Zul Qaedah : merujuk kepada kebiasaan orang Arab untuk duduk-duduk di rumah mereka, menghindari panas dan menolak berperang. Bulan ini juga merupakan salah satu bulan haram.

12. Zul Hijjah : dinamai demikian kerana pada bulan inilah dilaksanakan prosesi ibadah Haji.


Semoga bermanfaat dan menambah pengetahuan serta kecintaan kita kepada kalender islam.

2. Firman Allah SWT : 

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ 

الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, Maka janganlah kamu Menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.(Surah at Taubah ayat 36)

Huraiannya :

Allah Tabaroka Wata’ala menghabarkan bahawa bilangan bulan pada hukum Allah dan tercatat di lauhul mahfuzh adalah 12 bulan di waktu Dia menciptakan langit dan bumi. Diantara bulan-bulan tersebut terdapat 4 bulan haram ; Allah SWT mengharamkan melakukan peperangan pada waktu itu ( keempat bulan haram tersebut yaitu ; Zul Qaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab). Itu adalah agama yang lurus. Oleh kerana itu, janganlah kalian menganiaya diri kalian pada bulan-bulan tersebut, kerana bertambahnya pengharamannya, perbuatan zalim pada waktu itu lebih dahsyat daripada bulan-bulan lainnya, bukan bermaksud kezaliman boleh dilakukan di luar bulan-bulan tersebut. Dan, perangilah perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawa Allah berserta orang-orang yang bertakwa dengan penguatan dan pertolongannya. (Tafsir al Muyassar, Sejumlah Profesor bidang tafsir di bawah bimbingan Dr. Abdullah bin Abdul Muhsin at Turki) Wallahu a'lam

Di antara bulan-bulan yang dua belas itu ada empat bulan yang ditetapkan sebagai bulan haram yaitu bulan Zulkaidah, Zulhijah, Muharam dan Rajab. Keempat bulan itu harus dihormati dan pada waktu itu tidak boleh melakukan peperangan. Ketetapan ini berlaku pula dalam syariat Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai kepada syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Kalau ada yang melanggar ketentuan ini maka pelanggaran itu bukanlah karena ketetapan itu sudah berubah, tetapi semata-mata karena menuruti kemauan hawa nafsu sebagaimana yang telah dilakukan oleh kaum musyrikin. Biasanya orang-orang Arab amat patuh kepada ketetapan ini sehingga apabila seseorang terbunuh saudaranya atau bapaknya lalu ia bertemu dengan pembunuhnya pada salah satu bulan haram ini dia tidak akan berani menuntut balas, karena menghormati bulan haram itu. Padahal orang Arab sangat terkenal semangatnya untuk menuntut bela dan membalas dendam. Itulah ketetapan yang harus dipenuhi karena pelanggaran terhadap ketentuan ini sama saja dengan menganiaya diri sendiri karena Allah telah memuliakan dan menjadikannya bulan-bulan yang harus dihormati. Kecuali kalau kita dikhianati atau diserang pada bulan haram itu maka dalam hal ini wajib mempertahankan diri dan membalas kejahatan dengan kejahatan pula sebagaimana tersebut dalam firman Allah: 

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ وَصَدٌّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِنْدَ اللَّهِ وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّى يَرُدُّوكُمْ عَنْ دِينِكُمْ 

Maksudnya : "Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan haram, katakanlah: "Berperang pada bulan itu adalah dosa besar tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduknya dari sekitarnya lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan membuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh." Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran)." 
(Surah al-Baqarah ayat 217) 

Pada ayat ini Allah SWT memerintahkan kepada kaum muslimin supaya memerangi kaum musyrikin karena mereka memerangi kaum muslimin. Mereka memerangi kaum muslimin bukan kerana balas dendam, atau fanatik kesukuan atau merampas harta benda sebagaimana biasa mereka lakukan di masa yang lalu terhadap kabilah lain, tetapi maksud utama adalah menghancurkan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan memadamkan cahayanya. Maka wajiblah bagi setiap muslim bangun serentak memerangi mereka sampai agama Islam itu tegak dan agama mereka hancur binasa. Hendaklah ditanamkan ke dalam dada setiap muslim semangat jihad yang berkubar-kubar serta tekad dan keyakinan bahawa mereka pasti menang kerana Allah SWT selamanya menolong orang-orang yang bertakwa kepada-Nya. 

42. Soalan : Apakah hukum tidak bercakap atau bertanya khabar dengan sahabat melebihi 3 hari?

Jawapan :

“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kamu kepada Allah  supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al Hujuraat ayat 10)

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Jangan bersifat dendam, jangan dengki mendengki, jangan bermusuh-musuhan. Hendaklah kamu jadi Hamba Allah yang bersaudara. Dan tidak dihalalkan bagi seorang Islam meninggalkan saudaranya (tidak menegurnya) lebih dari 3 hari.” (Hadis Riwayat Muslim)


Tidak ada nasihat yang lebih baik untuk kita ambil sebagai pedoman selain dari nasihat dari Al Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. Rendahkanlah ego kepada kalam Allah dan Hadis Rasulullah, jangan biarkan ego kita lebih tinggi dari dua nasihat ini hingga kita terus bermasam muka, tidak bertegur sapa, enggan memohon maaf dan memberi maaf. Wallahu a'lam

43. Soalan : Benar ke kisah kewafatan baginda Rasulullah SAW,baginda Rasulullah SAW tidak menyebut ummati,ummati,ummati..

Kerana selama ini pengetahuan saya Rasulullah SAW menyebut.dan hari ini ada ustaz menceritakan kisah baginda Rasulullah SAW menyebut ummati,ummati,ummati sebelum wafat adalah rekaan semata-mata. Mohon pencerahan.

Jawapan :

Terdapat hadis yang sahih menyatakan bahawa di dalam riwayat al-Bukhari disebutkan hadis ini:

إِنَّهُ لَمْ يُقْبَضْ نَبِىٌّ قَطُّ حَتَّى يَرَى مَقْعَدَهُ مِنَ الْجَنَّةِ ثُمَّ يُحَيَّا أَوْ يُخَيَّرَ » . فَلَمَّا اشْتَكَى وَحَضَرَهُ الْقَبْضُ وَرَأْسُهُ عَلَى فَخِذِ عَائِشَةَ غُشِىَ عَلَيْهِ ، فَلَمَّا أَفَاقَ شَخَصَ بَصَرُهُ نَحْوَ سَقْفِ الْبَيْتِ ثُمَّ قَالَ « اللَّهُمَّ فِى الرَّفِيقِ الأَعْلَى »

Maksudnya : "Bahawa tidak seorang Nabi pun yang dicabut nyawanya melainkan diperlihatkan tempatnya dalam syurga. Apabila Rasulullah SAW dalam kesakitan dan menghampiri maut, kepala baginda atas peha 'Aishah dalam keadaan pitam. Apabila baginda sedar, matanya memandang ke arah bumbung rumah lalu menyebut: "ALLAHUMMA FI AL-RAFIQ AL-A'LA (YA ALLAH! PADA TEMAN YANG MAHA TINGGI)".


Maka di dalam hadis sahih daripada Sahih Bukhari ini, Nabi SAW menyebut 'ALLAHUMMA FI AL-RAFIQ AL-A'LA' semasa hendak wafat dan bukanlah ummati! ummati!

44. Soalan : Ustaz boleh tak jelas kan pada saya jenis-jenis orang yang murtad? Saya nak tahu sangat, terima kasih.

Jawapan :

Murtad adalah bermaksud berpaling dari agama Islam kepada agama kufur samada dengan niat atau perbuatan atau perkataan yang membawa kepada kufur samada secara persendaan, engkar atau iktiqad.

Murtad adalah satu perbuatan yang paling keji dan hina . Paling dikutuk oleh Allah SWT kerana sesiapa yang murtad akan mendapat balasan neraka Jahanam mereka kekal di dalamnya.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "..Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni Neraka, mereka kekal di dalamnya."
(Surah Al-Baqarah ayat 217)

Perkara-perkara Yang Boleh Menyebabkan Murtad ada tiga iaitu melalui :

Pertama : Perkataan.

Kedua : Perbuatan

Ketiga : Niat.

Huraiannya :

Pertama : Perkataan

Sebarang perkataan yang jelas boleh membawa kepada kufur adalah dihukum kufur (riddah) orang yang mengucapkannya. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Patutkah nama Allah dan ayatNya serta Rasul Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alas an-alasan yang dusta), (kerana) sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman.."
(Surah at-Taubah ayat 65-66)

Di antara contoh-contoh perkataan yang membawa kepada kufur adalah seperti berikut :

1. Engkar sesuatu yang diketahui daripada agama (Islam) secara jelas seperti mengengkari keesaan Allah, kewujudan Malaikat, Kenabian Nabi Muhammad S.A.W dan seumpamanya.

2. Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT .

3. Mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah SWT.

4. Mencela Nabi Muhammad SAW atau Nabi-nabi lain atau mengejek mereka. Dan menolak hadis-hadis sahih sebagai sumber hukum.

5. Mencela agama Islam, menghina al-Quran dan as-Sunnah dan tidak beramal dengan keduanya.

6. Mendakwa wahyu turun kepadanya.

7. Merendah-rendahkan nama Allah dan perintah Nya.

Kedua : Perbuatan

Di antara perbuatan yang boleh membawa kepada murtad (riddah) ialah :

1. Mencampakkan Mashaf al-Quran atau Kitab Hadis Rasulullah SAW ke tempat-tempat kotor dengan tujuan menghina.

2. Sujud kepada makhluk seperti berhala, matahari, bulan dan sebagainya.

3. Tidak mengamalkan hukum-hukum al-Quran dan as-Sunnah kerana menggangapnya tidak sesuai dengan zaman sekarang dan yakin bahawa undang-undang ciptaan manusia lebih utama dan mulia daripada undang-undang ciptaan Allah SWT.

Ketiga : Niat

Contohnya ialah seperti berazam untuk kafir pada hari esok atau teragak-agak untuk melakukannya. Niat seperti itu menyebabkan orang itu kufur ketika itu juga.

Syarat-syarat Sah Seseorang Dikira Murtad

Para Ulama bersepakat meletakkan dua syarat bagi mengesahkan seseorang Islam dikira murtad.

1. Berakal tidak sah murtad orang gila dan kanak-kanak.

2. Pilihan sendiri atau sukarela. Tidak sah murtad orang yang dipaksa sedangkan hatinya masih beriman.

Berkata Syed Sabiq : "Seseorang Islam tidak dikira hukum murtad (riddah) kecuali apabila telah lapang dadanya dengan kufur dan tenang hati dengannya dan masuk ke dalamnya (kufur) dengan sebenarnya".

Berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 106 maksudnya : "Akan tetapi (yang dikira kafir) seseorang yang lapang dadanya dengan kufur."


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan." (Hadis Riwayat Muslim)

45. Soalan : Ustaz, saya nak tanya satu kemusykilan: adakah dilarang kita membaca yasin / ayat-ayat al-Quran dihadapan jenazah yg belum dikebumikan? Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan :

Majoriti ulama (Mazhab Hanafi, Syafi'i dan Hambali) mengatakan membaca surah Yasin untuk orang nazak adalah digalakkan. Mereka telah mengemukakan beberapa dalil. 
Hadis daripada Ma'qil ibn Yasar r.a.:

اقرأوا علي موتاكم يس

"Bacalah kepada orang yang hampir mati di kalangan kamu dengan surah Yasin."

An-Nawawi mendhaifkan hadis ini di dalam kitabnya (al-Azkar).
Al-Albani juga mengklasifikasikan hadis ini sebagai dhaif dalam kitabnya (Irwa' al-Ghalil-688)

Shaikh al-Islam Ibn Taymiyyah memilih pendapat ini, seperti yang disebut di dalam (al-Ikhtiarat, hlm 91):
"Membaca surah Yasin kepada orang yang hampir mati (nazak), di mana ia disunatkan."

Shaikh Abdul Aziz ibn Baz pernah ditanya, adakah dibenarkan membaca Yasin ke atas orang yang hampir mati?

Beliau menjawab:
Membaca Yasin ke atas orang yang hampir mati adalah berdasarkan kepada hadis Ma'qil ibn Yasar,

اقرأوا علي موتاكم يس

"Bacalah kepada orang yang hampir mati di kalangan kamu dengan surah Yasin."

Sebahagian ulama mengatakan hadis ini sahih dan isnadnya adalah baik. Ia diriwayatkan oleh Abu 'Uthman al-Nahdi daripada Ma'qil ibn Yasar.

Shaikh Ibn 'Uthaimin pula, apabila ditanya tentang persoalan ini, adakah terdapat di dalam sunnah ataupun tidak?

Beliau menjawab:

Membaca Yasin untuk orang yang hampir mati adalah sunat menurut kebanyakan ulama berdasarkan hadis yang dinyatakan sebelum ini. Tetapi terdapat sebahagian ulama yang membahaskan hadis ini dan mendaifkannya. Bagi orang yang mengatakan hadis ini sahih, maka membaca surah Yasin adalah sunnah. Manakala golongan yang berpendapat bahawa hadis ini daif, maka membacanya tidak sunnah. (Rujuk Fatawa Ibn 'Uthaimin, jil 17, hlm 72).