Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 222 adalah menjelaskan persoalan huraian hadis solat sunat di rumah, huraian tafsiran mimpi, semasa berselawat perlu atau tidak meletakkan perkataan sayyidina, cara atasi isteri curang, dan maksud rahmat dan redha.
1066. Soalan : Ustaz boleh tolong terangkan hadis ini. "Solatlah kalian (solat sunat) di rumah-rumah kalian dan janganlah kalian menjadikan rumah-rumah kalian seperti kuburan'."
أَخْبَرَنَا الْعَبَّاسُ بْنُ عَبْدِ الْعَظِيمِ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ أَسْمَاءَ قَالَ حَدَّثَنَا جُوَيْرِيَةُ بْنُ أَسْمَاءَ عَنْ الْوَلِيدِ بْنِ أَبِي هِشَامٍ عَنْ نَافِعٍ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ وَلَا تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا
Telah mengabarkan kepada kami Al 'Abbas bin 'Abdul 'Azhim dia berkata; telah menceritakan kepada kami 'Abdullah bin Muhammad bin Asma' dia berkata; telah menceritakan kepada kami Juwairiyah bin Asma' dari Al Walid bin Abu Hisyam dari Nafi' bahwasanya 'Abdullah bin 'Umar berkata; "Rasulullah Shalallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda: `Shalatlah kalian (shalat sunah) di rumah-rumah kalian dan janganlah kalian menjadikan rumah-rumah kalian seperti kuburan'."
Jawapan :
Nabi SAW bersabda maksudnya, " Solatlah kalian (solat sunat) di rumah-rumah kalian dan janganlah kalian menjadikan rumah-rumah kalian seperti kuburan'" [HR. Nasai No.1580]. ." .
Maksud hadis ini orang mukmin akan sentiasa mengerjakan solat-solat sunat di rumah-rumah mereka supaya rumah mereka bercahaya dan di berkati kerana akan hadir para malaikat rahmat dan di benci oleh jin-jin kafir dan syaitan.
Solat-solat sunat yang boleh di kerjakan di rumah adalah solat tahajud, solat witir, solat hajat, solat taubat, solat tasbih dan solat duha. Semakin banyak kita tunaikan solat-solat sunat jiwa kita akan semakin tenang dan mendapat doa para malaikat rahmat.
Kenapa Nabi SAW menyamakan rumah yang tak di kerjakan solat sunat umpama kuburan! Kerana kita semua tahu bahawa kubur adalah tempat yang sunyi sepi terutama di waktu malam maka rumah yang sunyi sepi boleh di samakan seperti kuburan yang tidak ada orang melakukan solat di atasnya.
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya, " solatlah di rumah-rumah kalian. Sesungguhnva solat seseorang yg paling utama adalah di rumahnya, kecuali solat wajib. [HR. Nasai No.1581].
1067. Soalan : Ustaz. saya nak minta pencerahan dari ustaz tentang mimpi. Sesetengah orang mengatakan mimpi itu mainan syaitan. Adakah kenyataan itu benar? Biasanya mimpi tentang sesuatu yang buruk itu lah yang dikatakan mainan syaitan. Tapi kalau kita mimpi tentang sesuatu yang baik2 dan yang indah2, adakah itu juga adalah mainan syaitan atau pon satu petunjuk yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. Kadang2 sesuatu yang kita nak didunia yang nyata, kita tak dapat. Tapi kita dapat dalam mimpi. Adakah itu juga rezeki? Adakah benar Allah juga turut mengurniakan rezeki dalam bentuk mimpi? Mohon ustaz huraikan secara ringkas tentang mimpi dan kalau saya nak tafsir dengan lebih detail tentang mimpi, dimana saya dapatkan sumber tentang mimpi? Harap ustaz dapat bantu saya. Terima kasih.
Jawapan :
Setiap manusia pernah bermimpi, kerana mimpi adalah perkara biasa berlaku semasa tidur dan ianya berlaku kepada setiap orang. Semakin bertakwa seseorang itu kepada Allah S.W.T. maka semakin benarlah mimpi-mimpinya sebagai petunjuk daripada Allah S.W.T.
Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Mimpi yang benar itu ialah sebahagian daripada empat puluh enam sifat kenabian." (Hadis Riwayat Muslim)
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Mimpi baik itu daripada Allah dan mimpi buruk itu daripada syaitan, maka ketika salah seorang daripada kamu mimpi buruk, meludahlah ke arah kiri tiga kali, kemudian minta perlindungan kepada Allah, maka mimpinya tidak akan mengkhuatirkan." (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam riwayat yang lain Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang darimu melihat mimpi yang menggembirakannya maka hendaklah ia mengucapkan 'alhamdulillah' dan ceritakannya kepada orang yang lain, dan sebaliknya apabila ia melihat mimpi yang menduka citakannya, maka mimpi itu adalah dari syaitan, kerana itu hendaklah ia mengucapkan isti’azah (a’uuzubillahi minasysyaitoonir roojiim) dan jangan ceritakannya kepada orang lain kerana mimpi itu tidak mendatangkan mudarat kepada nya.”(Hadis Riwayat Bukhari dari Abi Sa’id).
Untuk mendapatkan mimpi yang benar seseorang perlulah melaksanakan adab-adab sebelum tidur seperti berwuduk, membaca al-Quran, berzikir dan solat witir. Tidur mengiring ke arah kiblat seperti tidur Rasulullah S.A.W. Waktu yang baik adalah waktu tengah malam di antara jam 1 pagi hingga 4 pagi. (waktu mustajab doa).
Mimpi yang dimimpikan di antara masa seseorang hampir lena hingga dia tidur lena adalah benar dan berfaedah. Mimpi-mimpi ini selalunya merupakan pembawa pembukaan dan perantaraan kepada yang luar biasa. Bukti kebenaran mimpi dinyatakan oleh Allah S.W.T. dengan firman-Nya yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah akan buktikan mimpi itu benar kepada Rasul-Nya, kamu akan masuk Masjidil Haram jika dikehendaki Allah dengan aman”
(Surah al-Fath ayat 27).
Secara umumnya, mimpi berlaku apabila seseorang itu sedang tidur. Boleh juga berlaku dalam situasi lain, seperti ketika pengsan, mabuk, nazak dan sebagainya, dengan syarat fizikalnya dalam keadaan separuh sedar.
Dikatakan mimpi berlaku apabila roh seseorang itu keluar dari jasadnya, cuma yang berbeza dengan kematian ialah roh orang mati keluar terus kesemua sekali dari jasad. Bagi orang yang bermimpi, rohnya hanya keluar dalam ertikata ‘menjenguk’ (extending), masih ada yang tinggal dalam jasad. Sebab itulah orang tidur masih bernafas. Ibarat seseorang kaki kanan di dalam air tapi kaki kiri memijak daratan. Begitulah juga orang yang bermimpi, sebahagian rohnya berada dalam jasadnya manakala sebahagian lagi berada di luar tubuhnya.
Manusia keseluruhanya bermimpi. Kadangkala mimpi itu menggembirakan dan kadangkala tidak, kadangkala mimpi itu tidak dapat difahami dan di tafsirkan, kadangkala mimpi itu juga penuh misteri dan simbolik sehinggakan agak sukar bagi kita sebagai umat manusia untuk menafsirkan makna di sebalik setiap kejadiaan mimpi tersebut.
Imam Ibnu Sirin, dalam bukunya Tafsir Mimpi Menurut Islam, berkata: "Tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung didalamnya. Ada kalanya mimpi bagaikan angin lalu namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan. Mimpi insan yang bertakwa merupakan perkhabaran yang akan berlaku, kerana Rasulullah tidak bermimpi melainkan mimpi baginda menjadi kenyataan. Sedangkan mimpi insan yang tidak beriman merupakan berita yang disebarkan oleh syaitan."
Dalam suatu riwayat dikisahkan, seorang wanita bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya bermimpi melihat sebahagian tubuh baginda berada di rumahku." Baginda menjawab, "Sesungguhnya Fatimah akan melahirkan seorang anak lelaki, kemudian engkau yang akan menyusukannya." Tidak lama kemudian Fatimah melahirkan Hussein dan disusukan oleh wanita tersebut.
Menurut ahli-ahli takbir, mimpi ada tiga macam:
1. Mimpi daripada Allah S.W.T. iaitu mimpi yang baik untuk dunia dan akhirat, merupakan khabar gembira atau satu peringatan daripada Allah S.W.T. supaya tidak melakukan maksiat kepada-Nya.
2. Mimpi yang batil atau permainan syaitan, iaitu mimpi yang tidak dapat diperincikan oleh orang yang bermimpi. Ertinya orang yang bermimpi itu tidak sanggup mengingat tertib atau jalan cerita mimpi itu. Mimpi seperti ini dianggap batil dan tidak mempunyai sebarang makna atau takwil. Atau mimpi buruk yang tidak menyenangkan seperti kedatangan mala petaka, musibah, permusuhan, kesedihan, kesengsaraan, kemelaratan, penderitaan dan sebagainya.
3. Keinginan nafsu. Seperti kita ketahui nafsu ada tiga, iaitu nafsu mutmainnah, nafsu lawwamah dan nafsu ammarah. Mimpi seperti ini terjadi kerana pengaruh fikiran seseorang. Sesuatu yang dia lakukan atau dia khayalkan siang hari atau menjelang tidurnya selalu menjelma ketika tidurnya. Atau mimpi makan ketika diri sedang lapar, mimpi di aniayai orang ketika sedang sakit dan sebagainya. Mimpi seperti ini tidak mempunyai erti sama sekali.
Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya ; "Mimpi itu ada tiga, mimpi daripada Allah (mimpi yang baik), mimpi daripada syaitan (mimpi buruk) dan mimpi daripada dirinya yang kerana terjadi sesuatu kemudian dia bermimpi." (Hadis Riwayat Ahmad)
Biasanya untuk menafsirkan mimpi saya menggunakan dua buah buku tafsir mimpi iaitu buku Tafsir Mimpi Menurut Islam dan buku Ensiklopedia Tafsir Mimpi Menurut Tradisi Islam. karangan al-Imam Ibnu Sirin. Mimpi boleh datang dalam 3 bentuk iaitu mimpi yang baik petunjuk daripada Allah SWT, mimpi mengerikan datangnya daripada permainan syaitan dan ketiga mimpi yang datang daripada nafsu dan emosi seseorang. Mimpi jenis ke 2 dan ke 3 tak boleh di tafsirkan. Hanya mimpi jenis pertama saja yang boleh di tafsirkan. Wallahu a'lam
1068. Soalan : Saya maukan sedikit pencerahan dari ustaz tentang cara berselawat yang mana lagi lebih baik / afdhal. Samada meletakkan saiyidina ataupun tidak. Dan saya tau ada khilaf tentang perkara tersebut. Ada setengah pendapat dalil tidak meletakkan sayyidina itu adalah ketika kita bersyahadah pun tidak ada perkataan sayyidina dan meletakkan nabi itu setaraf dengan para sahabat-sahabatnya. Tetapi saya telah lama mengamalkan selawat dengan meletakkan sayyidina. Terima kasih ustaz.
Jawapan :
Terdapat khilaf ulama samaada meletakkan perkataan sayyidina di awal nama Muhammad lebih afdhal atau pun tidak. Ulama yang menyatakan lebih afdhal adalah berdasarkan huraian berikut : Al-Hakim dalam Al-Mustadr.
Hadis yang mempunyai isnad sohih ini berasal dari Jabir bin ‘Abdullah r.a. yang mengatakan sebagai berikut:
“Pada suatu hari kulihat Rasulallah SAW. naik keatas mimbar. Setelah memanjatkan puji syukur kehadirat Allah SWT. baginda bertanya : ‘Siapakah aku ini ?’ Kami menyahut: Rasulallah ! Baginda bertanya lagi: ‘Ya, benar, tetapi siapakah aku ini ?’. Kami menjawab : Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul-Mutthalib bin Hasyim bin ‘Abdi Manaf ! Baginda kemudian menyatakan : ‘Aku sayyid anak Adam….’.”
Riwayat hadis ini menjelaskan kepada kita bahwa Rasulallah SAW. lebih suka kalau para sahabatnya menyebut nama baginda dengan kata sayyid. Dengan kata sayyid itu menunjukkan perbezaan kedudukan baginda dari kedudukan para Nabi dan Rasul terdahulu, bahkan dari semua manusia sejagat.
Para sahabat pun menghormati keluarga Rasul dgn menyebut sayyidi
Didalam Al-Mustadrak Al-Hakim mengetengahkan sebuah hadis dengan isnad sohih, bahawa “Abu Hurairah r.a. dalam menjawab ucapan salam Al-Hasan bin ‘Ali r.a. selalu mengatakan “Alaikassalam ya sayyidi”. Atas pertanyaan seorang sahabat ia menjawab: ‘Aku mendengar sendiri Rasulallah SAW. menyebutnya (Al-Hasan ra.) sayyid’ “.
Ibnu ‘Athaillah dalam bukunya Miftahul-Falah mengenai pembicaraannya soal selawat Nabi mewanti-wanti pembacanya sebagai berikut: “Hendaknya anda berhati-hati jangan sampai meninggalkan lafadz sayyidina dalam berselawat, kerana didalam lafadz itu terdapat rahasia yang tampak jelas bagi orang yang selalu mengamalkannya”.
Ini baru segelintir dalil yang dapat di paparkan.masih banyak dalil-dalil yang menjelaskan tentang keutamaan dan keharusan menyebut Nama Rasul didahului sebutan yang mulia.
اَللَّهُمَّ صَلِِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَ عَلَىآلِ. سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Ulama yang menyatakan semasa berselawat tak perlu tambah sayyidina adalah kerana Nabi SAW menyatakan dalam hadis sahih bahawa selawat kepada baginda adalah seperti hadis berikut :
Abdurrahman bin Abi Lailah berkata: “Saya berjumpa dengan Ka’ab bin Abi Lailah lalu dia berkata: “Mahukah aku hadiahkan kepadamu satu hadiah yang aku pernah mendengarnya dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam?” Jawabku: “Sudah tentu! Hadiahkanlah kepadaku!” Dia berkata: “Kami (para sahabat) pernah bertanya kepada Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bagaimana (cara) berselawat kepada kamu (wahai) ahlul bait, kerana sesungguhnya Allah telah mengajarkan kepada kami bagaimana (caranya) kami memberi salam (kepadamu)?” Baginda menjawab: Ucapkanlah oleh kalian:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
“Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.
Ya Allah, berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 3370.]
Dari Abi Mas’ud al-Anshari, dia berkata: “Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam datang kepada kami sedang kami berada di majlis Sa’ad bin ‘Ubadah. Kemudian Basyir bin Sa’ad bertanya kepada baginda: “Allah Ta’ala telah memerintahkan kepada kami berselawat kepadamu wahai Rasulullah, maka bagaimanakah (caranya) kami berselawat kepadamu?” Kata Abi Mas’ud: “Maka Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam diam sehingga kami ingin kalau sekiranya dia (Basyir bin Sa’ad) tidak bertanya kepada baginda. Kemudian Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda: Ucaplah oleh kalian:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ
وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ
فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
“Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim,
Ya Allah, berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, atas seluruh alam
sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih”, juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no. 3220.]
1069. Soalan : Ustaz mohon pencerahan bagaimana saya nak mengatasi isteri saya curang dan ada teman lelaki, dan saya ada ternampak beliau bersama dengan teman lelakinya di dalam kereta.?
Jawapan :
Islam memberi hak kepada suami untuk menghukum isterinya kerana suami adalah pemimpin dalam rumah tangga. Namun perlu diingat, hukuman itu bukan bertujuan menyeksa isteri dan bukan menghina isteri.
Tindakan itu hanyalah bertujuan untuk mendidik mereka dan menghindari dari berlakunya kehancuran rumah tangga.
Allah SWT menyebut dalam surah an-Nisa ayat 34 yang bermaksud: “Lelaki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri) kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan) dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah daripada hartanya. Maka perempuan-perempuan yang solehah, adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada, kerana Allah telah menjaga (isteri).
Maksud menjaga isteri iaitu Allah SWT mewajibkan si suami menggauli isterinya dengan baik. Pada sambungan ayat itu Allah SWT telah menyebut langkah-langkah yang perlu diambil oleh suami apabila isterinya derhaka iaitu, ”“Perempuan-perempuan yang kamu bimbangkan akan nusyuz (derhaka), hendaklah kamu memberi nasihat kepada mereka, tinggalkanlah mereka di tempat tidur (pisah ranjang), dan (kalau perlu) pukullah mereka.”
Justeru, perlu difahami baik-baik terutama bagi suami, langkah pertama yang perlu diambil ialah mengingati dan menasihati isteri dengan berhikmah atau bijaksana. Isteri yang melakukan kesalahan jangan terus dimarahi dan dikasari tetapi hendaklah dinasihati dengan baik supaya ia kembali menunaikan hak suaminya. Umumnya, isteri akan kembali mentaati suaminya selepas dinasihati dengan lemah lembut dan berhikmah.
Tetapi isteri yang tidak mengubah sikap dan kelakuan mereka dengan nasihat atau teguran, bahkan menunjukkan kedegilan mereka dan bertambah buruk setelah ditegur, maka wanita seperti ini hendaklah diluruskan dengan langkah yang kedua. Caranya iaitu dengan mengasingkan diri seperti firman Allah SWT iaitu: “Dan pisahkan tempat tidur mereka”. Maksud mengasingkan tempat tidur iaitu suami membelakangkan isterinya dan jangan berpaling kepadanya. Ayat itu bukanlah menyuruh suami meninggalkan isterinya keseorangan di tempat tidurnya atau suami meninggalkan rumahnya. Cara ini mengandungi hikmah yang cukup tinggi.
Tetapi sekiranya cara ini pun tidak berkesan, maka hendaklah mengambil langkah yang lain iaitu memukulnya seperti firman Allah SWT pada ayat yang sama: “dan pukullah mereka.” Hukuman seperti ini tidak boleh dilakukan kecuali setelah menggunakan cara yang pertama dan kedua. Walaupun ayat ini membenarkan suami untuk memukul isteri tetapi dengan syarat. Syarat itu iaitu jangan bertujuan untuk kekerasan serta jangan menghina dan menyakitkan sehingga mendatangkan kecederaan pada isteri.
Dalam menjalankan hukuman, hendaklah dilakukan berdua-duaan suami isteri. Jangan dilakukan di hadapan kaum kerabat ataupun lebih-lebih lagi orang luar. Bahkan tidak boleh sekali-kali dilakukan di hadapan anak-anak kerana ia boleh memberi pengaruh yang tidak baik kepada perkembangan jiwa anak-anak.
Ada kemungkinan apabila dilakukan di hadapan anak-anak, mereka akan membenci bapa atau ibu atau kedua-duanya. Begitu juga si suami apabila telah menghukum isterinya, dilarang sama sekali menceritakan kepada kawan-kawannya kerana ia boleh menjadikan si isteri berasa malu dan perasaannya tersinggung. Kemungkinan si isteri tidak akan mengubah sikapnya atau sikapnya mungkin akan menjadi lebih buruk.
Dalam kes saudara sekiranya derhaka isteri kepada suami di sebabkan dia ada kekasih di luar ini adalah kes berat dan suami tak boleh membiarkannya kerana suami yang tidak mengambil tindakkan segera si suami boleh menjadi dayus. Suami dayus tak cium bau syurga.
Ketika inilah cerai adalah jalan terbaik untuk selamatkan daripada kemurkaan Allah SWT. Semasa iddah inilah masanya suami boleh melihat adakah dia bersedia untuk berubah atau pun tidak dan jika tidak boleh berubah carilah wanita solehah yang lain yang ramai di muka bumi Allah SWT . Wallahu a'lam.
1070. Soalan : Ustaz nak tanya apa beza "Rahmat" dan "Redha" Allah S.W.T?
Jawapan :
Rahmat Allah SWT adalah kasih sayang Allah SWT. Rahmat secara umumnya bermaksud kasih sayang kasih sayang antara Pencipta yang Maha Agong terhadap hamba-Nya.
Sabda Rasulullah S.A.W. dari Abu Hurairah r.a maksudnya :"Ketika Allah S.W.T. menentukan takdir makhluk-Nya , Dia menuliskan di dalam kitab-Nya di atas Arasy : 'Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan (mengatasi) Marah-Ku'. "
(Hadis Muttafaqun 'Alaih , Bukhari dan Muslim )
Begitu juga dengan sabda Rasulullah S.A.W. dari Abu Hurairah r.a maksudnya : "Allah S.W.T. memiliki 100 rahmat. Dari Rahmat-rahmat itu dia menurunkan 1 rahmat untuk para jin , manusia , haiwan dan binatang melata. Dengan rahmat itu juga para makhluk dapat berkasih sayang ,berlemah lembut , dan dengannya juga binatang buas menyayangi anak-anaknya. Allah S.W.T. mengakhirkan 99 rahmat-Nya yang akan diberikan kepada hamba-hamba-Nya pada hari kiamat nanti." (Hadis Muttafaqun 'alaih , Bukhari dan Muslim ).
Manusia masuk ke syurga bukan kerana amal ibadahnya tetapi mereka masuk syurga adalah kerana rahmat Allah SWT.
Mendapat Redha Allah SWT adalah bermaksud sesuatu amalan yang di terima, di sukai dan mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Allah SWT.
Keredhaan Allah hanya boleh dicapai dengan beriman kepadaNya yang Maha Esa lagi Maha Kuasa, taat kepada segala titah perintahNya, tenang dan yakin terhadap janji-janjiNya. Inilah orang yang dinamakan mutmainnah.
Para malaikat memanggil mereka agar kembali ke Pangkuan Tuhan mereka dengan mendapat limpahan kasih dan redhaNya. Firman Allah SWT maksudnya, "Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklahlah ke dalam golongan hamba-hambaKu . Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! " (Surah Al-Fajr ayat 27-30)
Menurut Imam at-Tobari, nafs mutmainnah atau jiwa yang tenang bermaksud jiwa yang sentiasa tenang dan yakin kepada janji Allah. Dia berjanji kepada mereka yang beriman kepadaNya bahawa mereka akan mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat. Lalu mereka yang beriman percaya kepada janji tersebut.
Beliau menyebut tafsiran lain terhadap maksud nafs mutmainnah ialah, jiwa yang percaya dan yakin bahawa Allah adalah Tuhannya, tunduk kepada perintahNya, menerima segala ketentuanNya. Pendapat lain ialah, jiwa yang yakin bahawa Allah adalahTuhannya dan sentiasa bersiap sedia untuk mentaati dan melaksanakan perintahNya. Justeru, orang yang benar-benar ingin mencari keredhaan Allah mestilah mengikhlaskan niat, hanya keredhaan Allah yang dicari, bukan sanjungan manusia, bukan pujian orang ramai dan bukan juga kepuasan diri sendiri.
No comments:
Post a Comment