Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala
puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan
mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang
istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 131 adalah menjelaskan persoalan puasa semasa menyusukan anak, cara pengkebumian jenazah,pendidikan anak , bersiwak dalam bulan puasa dan dilarang membaca al-Quran semasa rukuk dan sujud.
611. Soalan : Saya nak tanya 1 soalan.tak lama lagi kita akan berada di bulan Ramadan. Saya ada baby sekarang dah 5 bulan.baby saya menyusu badan.
Persoalannya sekarang boleh ke saya berpuasa sedangkan baby saya hanya menyusu badan dan tak menyusu susu fomula.
Jawapan :
Jika saudari menyusu badan, saudari tidak diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan. Kebanyakan sarjana Islam percaya bahawa wanita yang menyusukan, seperti juga wanita yang tidak sihat atau sedang bermusafir, dibenarkan untuk tidak berpuasa. Malah, ramai yang mengatakan adalah salah untuk tidak menghiraukan kelonggaran ini dengan berpuasa jika saudari tidak perlu berbuat begitu.
Namun begitu, keputusan samada hendak berpuasa atau tidak bergantung kepada beberapa perkara, dan usia bayi adalah pertimbangan utama. Memang ada perbezaan di antara bayi yang masih kecil dan hanya menyusu, dengan bayi berusia satu tahun yang sihat dan sudah makan makanan lain dan menyusu hanya pada waktu malam. Berbincanglah dengan ibu-ibu lain dalam keluarga saudari mengenai apa yang mereka lakukan dan pengalaman mereka dalam hal itu. Hubungi doktor, perunding penyusuan atau ulama untuk mendapat lebih keyakinan dalam membuat keputusan.
Adakah berpuasa semasa menyusukan akan membahayakan bayi saya?
Tidak. Berpuasa tidak membahayakan bayi kerana badan saudari masih boleh menghasilkan susu semasa anda berpuasa. Kurang pengambilan kalori sepatutnya tidak menjejaskan jumlah susu yang dihasilkan.
Malah, walaupun wanita yang menyusu badan itu tidak makan apa-apa selama 24 jam, ia masih tidak menjejaskan kuantiti dan nilai nutrisi susu mereka. Jika terdapat kesan berpuasa terhadap badan saudari, saudari pasti sudah merasainya terlebih dahulu dan tentu sekali saudari perlu menghentikan puasa sebelum kesan itu menjejaskan penghasilan susu.
Adakah perubahan dalam susu badan akan memberi kesan ke atas bayi saya?
Perubahan dalam susu badan saudari tidak akan memberi kesan ke atas bayi. Dia sudahpun dapat menerima perubahan-perubahan kecil pada susu saudari bergantung kepada apa yang saudari makan dan berapa banyak dia perlu menyusu. Kajian menunjukkan bahawa walaupun si ibu berpuasa selama 24 jam, kandungan lemak dalam susunya tidak akan berubah.
Jika saudari makan terlalu sedikit dan berat badan mula turun, jenis lemak dalam susu saudari mungkin berubah, tetapi jumlahnya tidak berubah. Walaupun payudara itu sendiri boleh menghasilkan lemak susu, jenis-jenis lemak yang lain akan diperolehi daripada simpanan lemak dalam badan saudari sekiranya ia tidak diperolehi melalui pemakanan saudari
Adakah berpuasa semasa menyusukan membahayakan saya?
Badan saudari biasanya dapat bertahan jika saudari berpuasa. Dalam satu kajian, ujian darah dilakukan terhadap sekumpulan kecil wanita yang berpuasa sepanjang bulan Ramadan. Wanita yang menyusu badan didapati mempunyai imbangan kimia dalam darah yang agak sama dengan mereka yang tidak menyusu badan atau yang sedang hamil.
Walau bagaimanapun, menyusu badan membuatkan saudari sangat dahaga. Jika saudari ternyahhidrat, saudari akan rasa tidak sihat. Saudari boleh mengagak bahawa saudari sedang ternyahhidrat apabila:
1. saudari rasa sangat dahaga;
2. air kencing saudari berwarna gelap dan berbau kuat;
3. saudari rasa seperti hendak pitam, lemah atau lesu;
4. saudari mula sakit kepala atau mengalami kesakitan lain.
Jika saudari mula sedar akan tanda-tanda ini, saudari harus berbuka dengan meminum air dan berehat. Selepas setengah jam, jika saudari masih rasa tidak sihat, hubungilah doktor .
Minum banyak air semasa berbuka dan terutamanya semasa sahur.
Jangan sekadar minum sahaja. Penting untuk saudari mendapatkan nutrien, kalori dan serat daripada makanan. Jika sukar untuk saudari makan secukupnya pada waktu malam dan anda berat badan saudari mula turun, bincanglah dengan doktor anda. Saudari juga mungkin perlu untuk tidak berpuasa.
Walau bagaimanapun, jika anda sihat dan tidak kisah berat badan saudari turun sedikit, penurunan sehingga 1kg seminggu sepanjang .
612. Soalan : Ustaz..apa bacaan sebelum mengali kubur.membuka liang lahad dan kepalan 7 tanah..( sy mengikuti kerja-kerja menggali bersama rakan yang lain tapi saya tak pernah untuk memulakannya ketika ada kematian..saya ingin belajar .
Jawapan :
Cara Memasukkan Jenazah Ke Dalam Kubur
1. Apabila jenazah telah sampai ke kubur, hendaklah diletakkan kepalanya dahulu di sisi kaki kubur. Sunat juga mengeluarkan jenazah dari tempat usungan atau kerandanya dan memasukkannya ke dalam kubur dengan mendahulukan kepalanya. Dari Ibnu Abbas, beliau berkata: ”Sesungguhnya Nabi SAW dikeluarkan dari sebelah kepalanya.” (Hadis Riwayat Syafii)
2. Adalah sunat juga pekerjaan memasukkan jenazah yang hendak ditanam itu dilakukan oleh orang lelaki dengan bilangan yang ganjil seperti tiga orang atau lebih sekalipun yang meninggal itu seorang perempuan. Walaupun begitu, bagi jenazah perempuan ianya lebih utama dilakukan oleh suaminya, kemudian muhramya.
3. Sunat juga menutup kubur dengan kain ketika menanam jenazah, samaada jenazah itu lelaki atau perempuan.
4. Sunatsemasa memasukkan jenazah ke dalam kubur membaca:
Ertinya: Dengan nama ALLAH dan atas agama Rasulullah.”
5. Setelah diletakkan jenazah ke atas tanah dalam lahadnya atau dalam kerandanya, maka disunatkan membuka kain kafan agar pipinya diketemukan dengan tanah. Kemudian bukakan tali pengikat kafan iaitu dengan membuka ikatannya sahaja. Adalah makruh meletakkan jenazah dalam kubur dengan beralaskan bantal atau hamparan seperti tikar.
6. Sunat membaringkan jenazah itu di atas rusuk yang kanan, dan adalah wajib mengadapkannya ke kiblat. Untuk mengelakkan badan jenazah agar jangan bergerak dari tempat letakknya maka bolehlah disendalkan dengan ketul-ketul tanah. Ini kerana mengadap ke kiblat adalah wajib.
Dari Ubaid bin Umair, beliau berkata: ” Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang dosa – dosa besar. Baginda bersabda: ” Dosa-dosa besar itu ada sembilan; menyekutukan ALLAH, sihir, membunuh diri, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan, menuduh berzina kepada perempuan yang telah bersuami, menderhakai ibubapa dan menghalalkan Baitul haram (kiblat) kamu ketika hidup dan mati”. (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
Cara Menimbus Tanah
1. Setelah ditutup jenazah dengan papan atau penutup kerandanya maka sunat salah seorang dari mereka memulakan dengan menggenggam tanah sebanyak tiga kepal, kemudian melemparkan ke dalam kubur pada bahagian kepala jenazah dengan membaca.
Kepalan pertama : Ertinya: “ Daripadanya telah Kami jadikan kamu.”
Kepalan kedua : Ertinya: “ Dan ke dalamnya Kami kembalikan kamu.”
Kepalan ketiga : Ertinya: “ Dan daripadanya Kami keluarkan kamu sekali lagi.”
Dari Amar bin Rabiah beliau berkata: “Bahawasanya Nabi SAW telah sembahyang atas jenazah Usman bin Maz’un dan baginda datang ke kubur, maka ia menuangkan tanah tiga kali di atas kuburnya.”
2. Kemudian teruslah menimbuskan tanah dengan perlahan dan cermat di mana pada permulaannya hendaklah ditahankan tanah timbusan tersebut dengan tikar atau daun-daun kayu sehingga meratai tanah atasnya. Sunat ditinggikan permukaan kubur lebih kurang ¾ kaki (sekadar sejengkal) supaya mudah dikenali ketika hendak diziarahi.
Hendaklah diratakan tanah di atas kubur seumpama papan kerana kubur Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar Al-Khattab kesemuanya ditinggikan sekadar sejengkal dan diratakan diatasnya. Dari Abu Hayyaj, Dari Ali bin Abi Talib, katanya: “ Aku utus engkau sebagaimana Nabi SAW mengutus aku. Jangan engkau biarkan patung-patung itu melainkan engkau hapuskan, dan jangan engkau biarkan kubur itu dilonjongkan melainkan engkau ratakan.” (Hadis Riwayat Muslim)
3. Kemudian disunatkan meletakkan batu nisan atau papan pada bahagian kepala mayat. Berdasarkan hadis riwayat Ibnu Majah dan Anas: “Bahawasanya Nabi SAW menandai kubur Usman bin Maz’un dengan batu.”
4. Makruh hukumnya menulis nama atau lain-lainnya pada batu nisan, tetapi jika ditulis kerana untuk mudah dikenali ketika menziarahi maka harus hukumnya kerana Rasulullah SAW pernah melarang membina sesuatu dan menulis di atas kubur. Dari Jarir, katanya: “ Rasulullah SAW telah melarang menembok kubur, membuat tulisan padanya, membuat bangunan di atasnya.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Nasai dan Abu Daud.)
Menembok kubur bermaksud membuat bancuhan dengan simen. Adapun hikmah larangan menembok kubur ialah kerana kubur itu hanyalah sementara, bukan tempat persemadian selama-lamanya. Perbuatan menembok kubur itu termasuklah perhiasan dunia yang sememangnya tidak perlu bagi orang yang sudah mati.
Sebagaimana para ulama menganggap makruh menembok kubur, mereka juga berpendapat makruh hukumnya membangunkan dengan batu-bata atau kayu atau dimasukkan ke dalam peti. Namun begitu ia dikecualikan sekiranya tanah di tempat itu basah atau tanah di kelilingnya jenis berlumpur. Pada ketika itu tidak mengapa dibangunkan batu-bata di sekeliling kuburan tersebut.
Dalam hal ini tidak mengapa sekiranya ditambak tanah keliling kubur dengan tanah liat kerana Rasulullah SAW pernah melakukannya. Dari Jaafar bin Muhammad yang diterima dari ayahnya, ” Bahawa Nabi SAW meninggikan kubur sejengkal dari permukaan tanah, dan memulasnya dengan tanah liat yang diambilnya dari tanah kosong, lalu diletak di atasnya batu-batu kerikil.”
5. Setelah itu sunat dijiruskan kubur dengan air yang dingin dan suci bermula dari bahagian kepala mayat hingga ke kakinya. Dari Jabir bin Abdillah, katanya:” Disiramkan ke kubur Nabi SAW air dan orang yang menyiramkan air di atas kubur itu ialah Bilal bin Rabah. Dimulai dari kepala sebelah kanan hingga kepada kedua kakinya(Hadis Riwayat Baihaqi)
Perkara Yang Makruh Ketika Mengebumikan Jenazah
1. Adalah makruh hukumnya air yang hendak dijiruskan di atas kuburan itu tadi dimasukkan bau-bauan seperti air mawar dan sebagainya.
2. Begitu juga tidak ada dalam syariat yang menyuruh meletakkan pepohon kayu atau bunga-bungaan di atas kubur. Ini berdasarkan hadis dari Ibnu Abbas, katanya: ”Bahawa Nabi SAW lewat pada dua buah kubur, maka sabdanya: ” Kedua mereka sedang diseksa, padahal mereka itu diseksa bukanlah mereka melakukan dosa besar. Adapun orang ini, sebabnya ialah kerana ia biasa tidak bersuci habis kencing (istibra’) sedang orang ini suka mengadu domba.” Kemudian Nabi meminta sebuah pelepah pucuk kurma lalu dibelahnya dua, kemudian yang sebelah ditanamnya pada sebuah kubur dan yang sebelah lagi pada kubur yang lain. Sabdanya: Moga-moga kedua mereka diberi keringanan, selama pelepah ini belum kering.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Hadis di atas tidaklah menyuruh kita meletakkan pelepah kurma di kubur, kerana apa yang berlaku hanya mengambil berkat atas doa Nabi SAW agar kedua mayat di dalam kubur itu diringankan seksaan mereka. Baginda juga berkata bahawa membatasi keringanan ke atas mereka selama mana pelepah kurma itu masih basah. Begitulah menurut Khatabi.
Bahkan inilah yang menjadi amalan para Sahabat Nabi kerana tidak ada seorang pun dari mereka meletakkan pelepah kurma atau menaburkan bunga-bungaan di kubur. Ibnu Umar juga pernah menyuruh seseorang yang meletakkan tanda di maqam Abdurrahman dan membongkarnya kembali.
3. Begitu juga makruh hukumnya menanam dua mayat di dalam satu kubur. Contohnya kedua-duanya lelaki, atau kedua-duanya perempuan ataupun antara lelaki dan perempuan yang muhram, ataupun suami isteri. Bahkan adalah haram jika ditanam dua mayat di dalam satu kubur sekiranya kedua mayat itu seorang lelaki dan seorang perempuan yang bukan suami isteri atau bukan muhram. Bagaimanapun ianya dikecualikan sekiranya ada sebab, misalnya apabila tanah perkuburan tidak muat sedangkan mayat yang hendak ditanam terlalu ramai. Pada ketika itu haruslah ditanam beberapa mayat di dalam sebuah kubur.
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Tarmizi menyatakan sahnya:”Orang-orang Ansar telah datang mendapatkan Nabi SAW sewaktu perang Uhud. Kata mereka, ” Ya Rasulullah, kita telah letih dan banyak yang luka-luka. Bagaimana harus kami lakukan?” Ujar baginda, ”Galilah kubur-kubur yang dalam dan lebar, dan tanam dua atau tiga mayat ke dalam satu liang.” Tanya mereka pula, ” Siapakah yang harus kami lakukan?” Ujar baginda, ” Yang lebih banyak hafaz Al-Quran.”
4. Jumhur ulama juga sepakat mengatakan makruh meletakkan kain, selimut atau lain-lain sebagai pengalas mayat di dalam kubur. Bagaimanapun Ibnu Hazmin menyatakan tidak salah meletakkan hamparan di dalam kubur . Ini berdasarkan jenazah Rasulullah SAW yang diletakkan permaidani merah. Dari Ibnu Abbas, katanya: ” Pada maqam Rasulullah SAW dihamparkan permaidani merah.” (Hadis Riwayat Muslim)
613. Soalan : Ustaz . bagaimana nak didik anak supaya menjadi anak yang soleh dan solehah?
Jawapan :
Apabila Allah telah anugerahkan anak kepada pasangan suami isteri, secara pastinya mereka akan menyayangi anak mereka dengan penuh kasih sayang, memberi sepenuh perhatian kepada anak mereka dan mengorbankan segala apa yang ada untuk menjamin kebahagiaan anak mereka di masa akan datang.
Walaupun dalam keletihan dan baru pulang dari kerja, mereka sanggup lagi melayan karenah anak mereka dengan penuh senyuman dan kerinduan. Mereka sanggup meluangkan masa membawa anak-anak mereka keluar bersiar-siar dan bermain-main di tempat permainan, demi memenuhi tuntutan anak atau tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Ketika anak mereka sakit, mereka sanggup meredah kesunyian dan kegelapan pada waktu malamnya dan sanggup mengambil cuti pada siangnya untuk memastikan sakit anak mereka dirawat di klinik, hospital atau di rumah. Yang penting bagi mereka, anak mereka selamat dan sihat seperti anak-anak atau kanak-kanak yang lain. Jiwa mereka menjadi tidak tenteram dan risau dengan keadaan anak mereka yang sakit. Selain dari ubat yang diambil daripada klinik atau hospital, mereka juga merawat anak mereka dengan kaedah perawatan tradisional yang telah diajar oleh ibu bapa mereka pada masa dahulu.
Adakah kasih sayang terhadap anak-anak hanya tertumpu kepada fizikal anak semata-mata? Adakah ibu bapa berfikir bahawa perkara yang paling penting adalah bagaimana ingin mendidik anak-anak itu supaya mereka semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan mementingkan kehidupan cara Islam.
Bagaimanapun dalam Islam ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak mengikut acuan Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka ibu bapalah yang bertanggungjawab sama ada menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani,” (Hadis Riwayat Muslim).
Dalam hal ini jika ibu bapa tersalah didik hingga anak-anak menjadi salah satu dari tiga golongan itu, sudah tentu anak-anaknya tidak akan menjadi seorang Islam yang baik. Jika ibu bapa prihatin sejak anak dalam kandungan lagi hingga di lahirkan apabila ajaran Islam di ajarkan dan telah menjadi sebati dalam jiwa dan diri anak-anak maka anak-anak itu sedang berada di dalam keadaan fitrah (bersih). Islam adalah agama fitrah yang bersih daripada syirik dan kemungkaran.
Segala pengorbanan yang diberikan kepada anak semasa dia kecil hingga dewasa tidak akan merugikan ibu bapa, malah mereka dijanjikan dengan balasan yang baik dari Allah jika mereka mengharunginya dengan perasaan reda dan sabar. Mereka juga sedar jika Allah SWT tidak menganugerahkan kepada mereka anak, nescaya kehidupan mereka akan menghadapi kekurangan dan tidak memiliki keturunan.
Sebagai hamba Allah yang bertakwa, kita hendaklah menerima anugerah Allah SWT ini dengan penuh kesyukuran, kerana cahaya mata itu adalah perhiasan dan penyeri rumahtangga kita. Firman Allah SWT maksudnya :
“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas Yang memberi harapan.” (Surah al-Kahfi ayat 46)
Memang ada orang yang mengeluh mempunyai anak, kerana banyak wang yang diperlukan untuk memelihara anaknya. Ada juga orang yang tidak mahu mempunyai anak dan sanggup mengambil ubat-ubat pencegah kehamilan dengan alasan masih belum bersedia untuk memperolehi anak, menjaga badan, terlalu muda, belum mampu dan sebagainya. Mereka lupa sesungguhnya anak bukan membebankan tetapi ia adalah pembawa rezeki kepada keluarga tersebut. Setiap anak telah ditetapkan rezekinya semasa dalam kandungan lagi. Perkara ini telah dibuktikan di dalam firman Allah :
“Sesungguhnya Allah Dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha kuat kukuh kekuasaanNya.” (Surah az-Zaariyat ayat 58)
Alangkah baiknya ibu bapa yang mempunyai anak, melaksanakan tugasnya dengan penuh keikhlasan dan kesabaran untuk mendidik anak mereka sepertimana yang dikehendaki oleh Islam. Ujian yang sangat besar kepada kedua ibu bapa yang mempunyai anak, kadang-kadang waktu tidur malam dikejutkan dengan tangisan anak kerana kelaparan untuk minum susu ataupun buang air besar atau kecil.
Tindakan saling membantu antara suami dan isteri dalam segala urusan rumahtangga, adalah tindakan yang baik dan ia merupakan sunnah Rasulullah SAW. Dari Aisyah r.ha ditanya oleh seorang lelaki yang bernama Aswad :
“Apa yang di lakukan Rasulullah SAW di rumahnya? Aisyah r.ha menjawab : Rasulullah SAW membantu isterinya dalam menyelesaikan pekerjaan rumah dan jika baginda SAW mendengarkan azan baginda pun keluar (ke masjid)”. (Hadis Riwayat Bukhari)
Ini tauladan yang sangat baik dan perlu dicontohi oleh semua umat Islam. Jangan anggap kerja rumah itu adalah kerja isteri sahaja dan suami tidak perlu membantunya. Suami perlu mempunyai sikap bertimbang rasa kepada isterinya untuk menjaga rumahtangga kerana ia adalah milik bersama.
Ramai ibu bapa di luar sana yang gagal mendidik anak mereka menjadi manusia yang mempunyai akhlak yang baik. Contoh yang dapat kita lihat, ibu bertudung dan menutup aurat, tetapi anaknya membuka aurat dengan memperagakan pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh mereka. Si ayah pula berkopiah dan sentiasa menunaikan solat di masjid, tetapi anaknya memakai seluar pendek dan tidak pernah sama sekali melakukan solat.
Semua perbuatan yang menyalahi prinsip Islam ini tidak pernah ditegur oleh kedua ibu bapa mereka. Malah ibu bapa mereka memberi alasan bahawa anak mereka sudah besar, bukan masanya untuk menegur dan mereka sendiri sudah tahu yang mana baik dan yang mana buruk.
Ibu bapa seperti inilah yang lemah dan tidak mampu untuk melaksanakan segala amanah yang diberikan oleh Allah kepada mereka. Segala kesalahan mereka terhadap anak mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak nanti. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis
Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah mereka telah memeliharanya atau mensia-siakannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Beginilah apabila manusia tidak lagi memiliki iman dan tidak takut lagi dengan kekuasaan Allah, mereka akan lakukan apa sahaja mengikut nafsu amarah mereka tanpa mengira dosa dan pahala. Perbuatan seperti ini juga boleh dikatakan seperti perangai binatang yang hanya mementingkan dirinya sendiri.
Untuk melaksanakan amanah ini seperti mana yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT, maka ibu bapa perlulah bersedia dari segi jasmani dan rohani seperti melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan agama yang baik dan mengamalkan cara hidup Islam di dalam keluarga. Dari segala pengetahuan penghayatan agama yang ada di dalam diri kedua ibu bapa, maka curahkanlah segalanya kepada anak-anak supaya mereka dapat menjauhkan diri mereka dari segala anasir-anasir jahat yang sentiasa berusaha untuk merosakkan akidah dan iman mereka. Cara ini mampu melahirkan generasi Rabbaniah yang mempunyai jati diri yang kuat dan tidak tergugat apabila ia memasuki mana-mana kelompok masyarakat.
Alangkah baiknya kalau anak tersebut menjadi manusia yang berguna dan taat kepada Allah, dia akan menjadi harta yang sangat tidak ternilai berbandingkan dengan harta dunia yang lain, kerana anak yang soleh akan membantu ibu bapanya untuk masuk ke syurga Allah.
Al-Afnaf Bin Qias menjawab apabila Khalifah Muawiyah bertanya kepadanya tentang anak :
“Wahai Amirul Mukminin! Adapun anak itu ialah buah hati kita, tulang belakang kita. Kita ini adalah bumi yang lebar tampanya berpijak, langit tempat mereka berlindung teduh dan bernaung dari kerananyalah berani kita menempuh kesukaran bagaimana sulit. Dari itu bila mereka meminta, berikan, bila mereka kecewa, senangkan hatinya agar di balasinya dengan cinta pula dan hargainya kepayahan kita.”
Ibu bapa yang bertakwa akan sentiasa merindukan anak-anak yang soleh dan solehah yang akan mendoakan mereka ketika mereka berada di alam barzakh, kerana doa anak yang soleh mustajab di sisi Allah SWT.
Seorang anak yang soleh adalah anak yang taat dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya dan taat dan menghormati kepada kedua ibu bapanya semasa kedua ibu bapanya masih hidup. Apabila kedua ibu bapanya telah meninggal dunia dia sentiasa bersedekah, membuat amal kebajikan dan mendoakan untuk mereka. Doa anak yang soleh mustajab disisi Allah SWT.
Dari Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Apabila seorang diantara kamu meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)
614. Soalan : Apa hukum bersiwak semasa berpuasa? Samaada batal, makruh atau harus apa pula hukum kalau menggunakan berus gigi?
Jawapan :
Waktu yang digesa bersiwak
Hanafiah
Ketika wuduk, mendirikan sembahyang, membaca al-Quran, bangun tidur, masuk ke rumah, berkumpul dengan orang lain, berubah mulut dan gigi berwarna kuning.
Malikiah
Ketika wuduk, sembahyang, membaca al-Quran, bangun tidur, berubah mulut, diam yang lama, banyak bercakap dan memakan makanan yang berbau.
Syafi’iah
Ketika wuduk, mendirikan sembahyang, membaca al-Quran atau al-hadis atau ilmu syarak atau berzikir, bangun tidur, berubah bau mulut, berubah dengan sebab tidur atau makan atau lapar atau diam yang lama atau banyak bercakap, pada waktu sahur, ketika makan dan selepas witir.
Hanabilah
Ketika wuduk, sembahyang, masuk masjid, membaca al-Quran, bangun tidur, mandi, masuk rumah, diam yang lama, gigi berwarna kuning dan perut kosong.
Fuqaha’ bersepakat bahawa bersugi sangat-sangat disunnahkan ketika:
a. Ketika wuduk.
b. Ketika mendirikan sembahyang.
c. Ketika bangun dari tidur.
d. Ketika masuk rumah.
e. Ketika bau mulut berubah dan gigi berwarna kuning
6. Hukum siwak bagi orang berpuasa
Para fuqaha’ bersepakat: Harus/dibolehkan bersiwak bagi orang yang berpuasa sebelum tergelincir matahari.
Mereka berselisih pendapat: Hukum bersugi bagi orang yang berpuasa selepas tergelincir matahari:
Pendapat pertama: Dibolehkan tanpa syarat.
Pendapat siapa? Umar, Ibnu Abbas, Aisyah r.a., al-Nakha’I, Ibnu Sirin, Urwah, salah satu pendapat Abu Hanifah dan Malik, satu riwayat dari Ahmad, pilihan al-Nawawi, Ibnu Taimiyah, Ibnu al-Qaiyim dan al-Syaukani.
Pendapat kedua: Makruh
Pendapat siapa? Atha’, Mujahid, Ishaq, Abu Tsaur, pendapat al-Syafi’I dan yang masyhur dalam mazhab Ahmad bin Hanbal.
Perbincangan Dalil
Hujah pendapat pertama:
Dalil 1:
Hadis Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW. bersabda: Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang. (HR al-Bukhari)
Petunjuk dari hadis: Sunnahnya bersiwak berdasarkan hadis di atas umum untuk semua sembahyang termasuk Zohor, Asar dan Maghrib. Samada untuk orang yang berpuasa ataupun tidak.
Dalil 2:
Hadis Aisyah r.a., katanya: “Bahawa Nabi SAW. apabila masuk ke rumahnya ia memulakan dengan bersiwak.” (HR Muslim)
Petunjuk dari hadis: Hadis di atas umum untuk semua waktu ketika masuk rumah, samada untuk yang berpuasa ataupun tidak; samada sebelum tergelincir ataupun selepasnya.
Dalil 3:
Hadis Aisyah r.a., dari Nabi SAW.: “Siwak dapat membersihkan mulut dan diredhai Allah.” (HR al-Bukhari, Ahmad, Al-Nasa’I & Ibnu Hibban)
Petunjuk dari hadis: Hadis di atas menggalakkan agar bersiwak. Ia berbentuk umum tanpa dikaitkan dengan waktu tertentu.
Hujah pendapat kedua: (Makruh)
Dalil 1:
Hadis Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW.: Demi diriku di dalam genggamanNya bahawa bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. (HR al-Bukhari)
Petunjuk dalil: Bau dari mulut orang yang berpuasa seperti yang disebutkan di dalam hadis akan hilang disebabkan bersiwak. Oleh itu jelaslah hukumnya adalah makruh.
Sanggahan: Ibnu al-Qaiyim menolak petunjuk dalil di atas dengan:
a. Berkumur-kumur (ketika berwuduk) itu lebih dapat menghilangkan bau mulut berbanding bersiwak. Sedangkan berkumur-kumur itu secara ijmak disyariatkan termasuk bagi orang yang sedang berpuasa.
b. Keredhaan Allah (kerana bersiwak) itu lebih besar berbanding mencari keharuman bau mulut orang berpuasa.
c. Kecintaan Allah terhadap bersiwak lebih besar berbanding kecintaannya terhadap bau mulut orang yang berpuasa.
d. Bersiwak tidak menghalang keharuman bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah pada hari kiamat.
e. Bersiwak tidak menghilangkan bau mulut orang yang berpuasa. Kerana punca bau itu masih tetap ada (sekalipun bersiwak), iaitu perut yang kosong.
f. Nabi SAW. mengajar umatnya apa yang disunnahkan dan apa yang dimakruhkan semasa berpuasa. Dan, siwak tidak dinyatakan sabagai perkara yang dimakruhkan.
Dalil 2:
Hadis Khubab bin al-Art r.a., bahawa Nabi SAW. telah bersabda: Apabila engkau berpuasa, bersiwaklah pada waktu pagi, jangan bersiwak pada waktu petang. Sesungguhnya tidak ada orang yang berpuasa yang kering dua bibirnya pada waktu petang melainkan terdapat cahaya antara dua matanya pada hari kiamat. (HR al-Baihaqi – Dha’if)
Sanggahan: Hadis Khubab di atas adalah hadis dha’if, tidak boleh digunakan sebagai hujah.
Dalil 3:
Kesan ibadah yang menjadi saksi yang baik makruh dihilangkan seperti menghilangkan darah orang mati syahid.
Sanggahan: Larangan menghilangkan darah orang yang mati syahid ada nash yang melarangnya. Sedangkan tidak terdapat nash yang melarang menghilangkan bau mulut orang yang berpuasa.
Tarjih:
Dibenarkan dan tidak makruh bersiwak bagi orang yang berpuasa pada setiap waktu termasuk selepas gelincir matahari. Kerana nash-nash yang ada adalah berbentuk umum tanpa mengkhususkan waktu-waktu tertentu.
Ibnu al-Qaiyim berkata: Tiada nash yang sah dari Rasulullah SAW. yang melarang orang yang berpuasa bersiwak dari awal siang hingga akhirnya. Malah nash yang ada menunjukkan sebaliknya. Wallahu a'lam
Menggunakan berus gigi dan ubat gigi adalah untuk membersihkan mulut dan bau mulut maka fungsinya sama dengan menggunakan siwak. Semasa berpuasa berhati-hati menggunkan ubat gigi kerana dikhuatiri bekas rasa manis ubat gigi tertelan dan menyebabkan puasa terbatal. Untuk mengelakkan perkara ini gunakan berus gig kosong tujuannya adalah untuk membersihan mulut dan bau mulut di siang hari.
615. Soalan : Solat fardu dalam sujud terakhir tu saya baca lailahaillah anta subhanaka inni kuntu min a zalimin..mohon pencerahan ustaz...terimakasih.
Jawapan :
Dalam hadis sahih Rasulullah SAW melarang membaca al-Quran semasa sujud dan rukuk ketika solat. Doa Nabi Yunus di atas adalah doa yang terdapat di dalam al-Quran oleh itu ulama tak galakkan kita membacanya ketika sujud. Berdoa biasa diharuskan minta pada Allah SWT hajat-hajat kita. Berdoa di sujud terakhir adalah salah satu tempat mustajab doa.
Sesungguhnya sujud itu adalah waktu yang paling hampir seorang hamba dengan Tuhannya maka perbanyakkanlah dan bersungguh-sungguhlah berdoa di ketika itu.
اَنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: أَقْرَبُ مَا يَكُوْنُ اَحَدُكُمْ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوْا فِيْهِ مِنَ الدُّعَاءِ، وَقَالَ: اَلاَ اِنِّيْ نُهِيْتُ اَنْ اَقْرَأَ الْقُرْاَنَ رَاكِعًا اَوْ سَاجِدًا اَمَّا الرُّكُوْعُ فَعَظَّمُوْا فِيْهِ الرَّبَّ وَاَمَّا السُّجُوْدُ فَاجْتَهِدُوْا فِي الدُّعَاءِ فَقَمِنٌ اَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ
Telah bersabda Nabi SAW: "Saat yang paling dekat bagi seorang hamba untuk berada di samping Tuhannya ialah ketika ia sujud. Dari itu hendaklah kamu memperbanyak doa ketika sujud itu. Dan sabdanya lagi: Ketahuilah, sesungguhnya aku dilarang membaca Al-Quran ketika rukuk atau sujud. Adapun di waktu rukuk maka agungkanlah Tuhanmu sedang di waktu sujud maka bersungguh-sungguhlah kamu dengan berdoa, maka pasti kamu dikabulkan.
(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Nasai dan Abu Daud. )
Doa yang paling afdhal adalah doa yang kita mohon kepada Allah SWT bersesuaian dengan hajat kita, untuk diri sendiri, isteri, anak-anak, ahli keluarga, pekerjaan, perniagaan, jemaah, umat Islam dan sebagainya. Doa di hati di dalam bahasa melayu tetapi jangan dilafazkan kerana batal solat jika tersebut bahasa selain daripada bahasa arab.