Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 223 adalah menjelaskan persoalan persamaan solat lelaki dan wanita, wanita boleh memakai emas dan haram untuk lelaki, puasa qada' tak boleh di gabungkan dengan puasa sunat, amalan untuk bertemu arwah ayah dalam mimpi dan cara potong kuku bukan hadis sahih.
1071. Soalan : Kita sedia maklum ada perbezaaan antara lelaki dan perempuan dalam solat..contohnya cara rukuk, cara sujud dan sebagainya..soalan saya, kalau seseorang perempuan tak mengikut seperti yang di syaratkan, sah tak solat fardunya. Contoh kaki tak dirapat ketika sujud.
Jawapan :
Sebenarnya tak terdapat nas mengatakan bahwa cara solat wanita dan lelaki berbeza . Nabi Salallahu 'Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : "Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat". (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 631).
Apa yang lazim diajarkan di dalam kitab-kitab atau kelas-kelas pengajian Fardu ‘Ain di Malaysia ialah wujud perbezaan dalam sifat solat lelaki dan perempuan.
Umpamanya bagi perempuan apabila mengangkat tangan ketika Takbir hendaklah merapatkan tangan dan ketiaknya. Sedangkan bagi lelaki hendaklah merenggangkan tangan dari ketiaknya. Ketika sujud pula kaum perempuan hendaklah merapatkan pahanya kepada perutnya serta tangannya pula dirapatkan kepada rusuk. Sedangkan bagi lelaki dijauhkan pahanya dari perut serta tangannya direnggangkan dari rusuk kiri dan kanan.
Sepanjang kajian tidak wujud hadis yang sahih menunjukkan ada perbezaan antara tatacara solat lelaki dan perempuan kerana seluruh umat Islam hanya wajib mencontohi tatacara solat Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Menurut al-Albani rahimahullah [Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Shalat Nabi, ms. 239.]
Tidak terdapat keterangan dari sunah yang menerangkan adanya cara-cara khusus untuk perempuan yang berbeza dengan cara yang berlaku untuk lelaki. Bahkan sabda Nabi Salallahu 'Alaihi Wasallam: Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 631.]
Berlaku secara umum dan mencakupi kaum perempuan. Ibrahim al-Nakha’i menyatakan:
تَفْعَلُ الْمَرأَةِ فِي الصَّلاَةِ كَمَا يَفْعَلُ الرَّجُلُ.
Dalam solat, wanita mengerjakannya sama dengan cara yang dilakukan oleh lelaki.[Hadis Riwayat ini disebut oleh al-Albani dalam Sifat Shalat Nabi (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh 1996), ms. 189 dan beliau menyandarkannya kepada Ibn Abi Syaibah (1/75/2) dan mensahihkan sanadnya. Akan tetapi semakan saya kepada kitab al-Musannaf, hadis no. 2788 oleh Ibn Abi Syaibah mendapati lafaz yang ada di dalamnya ialah:
تَقْعُدُ الْمَرْأَةُ فِي الصَّلاَةِ كَمَا يَقْعُدُ الرَّجُلُ.
Kaum wanita duduk dalam solat sebagaimana duduknya kaum lelaki. [ Ummu al-Darda’ merupakan seorang tabi’iyyah (mereka yang tidak sempat berjumpa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam tetapi hanya berjumpa dengan para sahabat radhiallahu 'anhum). Beliau merupakan isteri kepada Abu al-Darda’ radhiallahu 'anh seorang sahabat Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Ummu al-Darda’ terkenal sebagai seorang perempuan yang ahli fiqh.]
al-Albani rahimahullah juga telah membawa sebuah riwayat dari al-Bukhari dalam kitabnya al-Tarikh al-Saghir, mukasurat 95 dari Ummu al-Darda’[4] berbunyi:
أَََنَهَا كَانَتْ تَجْلِسُ فِي صَلاَتِهَا جِلْسَةَ الرَّجُلِ, وَكَانَتْ فَقِيْهَةً.
Sesungguhnya (Ummu Darda’) dalam solat, duduk seperti cara duduk lelaki,
padahal beliau seorang perempuan yang ahli fiqh.
Selanjutnya kita akan membicarakan kedua-dua tatacara solat yang dikatakan terdapat perbezaan antara lelaki dan perempuan iaitu cara mengangkat takbir dan sujud. Dalam membahaskan hal ini penulis mengambil kesempatan untuk mendedahkan secara ringkas kepada para pembaca beberapa gerakan dalam solat yang sahih datangnya dari Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam.
Tatacara Takbir Dalam Solat
Berkaitan dengan tatacara mengangkat takbir al-Syafi’i rahimahullah dalam kitabnya al-Umm telah meriwayatkan hadis berikut:
عَنْ سَالِمِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ إِذَا افْتَتَحَ الصَّلاَةَ وَإِذَا كَبَّرَ لِلرُّكُوعِ
وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنْ الرُّكُوعِ رَفَعَهُمَا كَذَلِكَ أَيْضًا
وَقَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ
وَكَانَ لاَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِي السُّجُودِ.
Dari Salim bin Abdullah, dari bapanya bahawa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam biasa mengangkat kedua tangannya sejajar dengan kedua bahunya apabila (takbir) membuka (memulai) solat, dan apabila takbir rukuk.
Apabila mengangkat kepala dari rukuk, baginda juga mengangkat kedua tangannya seperti itu sambil mengucapkan ‘Sami’Allahu liman hamidah rabbana walakal hamdu’ dan baginda tidak melakukan demikian saat sujud.[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 735.]
Menurut al-Syafi’i rahimahullah: Dengan (hadis) inilah kami mengatakan, maka kami menyuruh setiap orang yang mengerjakan solat, baik dia imam atau makmum atau solat sendiri-sendiri, lelaki atau perempuan, bahawa mengangkat dua tangannya apabila memulai solat (ketika takbiratul ihram), apabila takbir untuk rukuk dan apabila mengangkat kepala dari rukuk. Adalah kesemua tiga golongan yang disebutkan tadi mengangkat tangannya setentang dengan bahu.[Al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 248.]
Jelas al-Syafi’i rahimahullah sendiri tidak membezakan tatacara mengangkat takbir dalam solat antara lelaki dan perempuan. Oleh itu ketika melakukan takbir dalam solat maka hendaklah diangkat kedua-dua tangan dengan membuka jari-jari lurus ke atas dengan tidak menggenggamnya sejajar dengan bahu. Adakalanya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam mengangkat tangannya ketika takbir setentang dengan hujung kedua telinga sebagaimana yang diperjelaskan oleh Malik bin al-Huwairith radhiallahu’anh:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
كَانَ إِذَا كَبَّرَ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى يُحَاذِيَ بِهِمَا أُذُنَيْهِ بِهِمَا فُرُوعَ أُذُنَيْهِ.
Sesungguhnya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam apabila bertakbir (dalam solat) diangkat kedua tangannya sehingga sejajar dengan hujung kedua telinganya.[Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 391.]
Walaubagaimanapun al-Syafi’i rahimahullah lebih cenderung kepada mensejajarkan tangan dengan bahu.[Silalah rujuk kitab beliau bertajuk al-Umm (Kitab Induk), Bab Mengangkat Dua Tangan Pada Takbir Dalam Shalat, jld.1, ms. 248.]
Disyari’atkan juga untuk mengangkat tangan ketika berdiri dari rakaat kedua setelah membaca tasyahhud awal:
عَنْ نَافِعٍ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ إِذَا دَخَلَ فِي الصَلاَةِ كَبَّرَ وَرَفَعَ يَدَيْهِ
وَإِذَا رَكَعَ رَفَعَ يَدَيْهِ وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَفَعَ يَدَيْهِ
وَإِذَا قَامَ مِنْ الرَّكْعَتَيْنِ رَفَعَ يَدَيْهِ وَرَفَعَ
ذَلِكَ ابْنُ عُمَرَ إِلَى نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
Dari Nafi’ bahawa Ibnu ‘Umar apabila masuk dalam (memulai) solat,
dia bertakbir dan mengangkat kedua tangannya, apabila rukuk dia mengangkat kedua tangannya, apabila mengucapkan ‘Sami’Allahu liman hamidah’ dia mengangkat kedua tangannya, dan apabila berdiri dari rakaat kedua dia mengangkat kedua tangannya. Ibnu ‘Umar menisbatkan hal itu kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam.[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 739.]
Tatacara Sujud Dalam Solat
Berkenaan dengan tatacara sujud pula al-Syafi’i rahimahullah berkata:
Saya menyukai bagi orang yang sujud, bahawa dia bertakhwiyah. Takhwiyah itu adalah mengangkat (menjarakkan) dadanya dari kedua pahanya. Dan bahawa dia merenggangkan dua sikunya dan dua lengannya dari dua lambungnya (rusuknya). Sehingga apabila tidak ada padanya yang menutup bahagian bawah dua bahunya, nescaya terlihatlah warna dua ketiaknya. Tidak dia mempertemukan kedua-dua lututnya. Dia merenggangkan kedua-dua kakinya [Disyari’atkan juga untuk merapatkan kedua tumit kakinya (tetapi tetap merenggangkan kedua lutut) ketika bersujud sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Thahawi, Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim.Sila rujuk Sifat Shalat Nabi oleh Muhammad Nashiruddin al-Albani, ms. 174.]
Dia meninggikan punggungnya dan tidak membengkukkannya (iaitu meluruskan bahagian belakang)
Perhatikan sekali lagi bahawa al-Syafi’i tidak membezakan tatacara sujud antara lelaki dan wanita. Seterusnya mari kita lihat beberapa hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam berkaitan dengan tatacara sujud yang mencakupi kaum lelaki dan perempuan.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَالِكٍ ابْنِ بُحَيْنَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
كَانَ إِذَا صَلَّى فَرَجَ بَيْنَ يَدَيْهِ حَتَّى يَبْدُوَ بَيَاضُ إِبْطَيْهِ.
Dari ‘Abdullah bin Malik bin Buhainah bahawasanya Nabi shalallahu 'alaihi wasallam apabila bersolat, baginda merenggangkan antara kedua tangannya hingga nampak warna putih ketiaknya.[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 807.]
Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah “merenggangkan antara kedua tangannya” bermaksud bermaksud: “Menjauhkan tangan dari sisi badan (rusuk) yang ada di dekatnya.”[ Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jld. 4, ms. 624.]
Beliau melanjutkan bahawa jarak ukuran jauhnya renggangan tersebut adalah sekiranya anak kambing yang kecil melalui dicelah renggangan tersebut nescaya ia boleh melepasinya.
Di samping itu hendaklah kita juga mengangkat lengan serta siku kita ketika sujud dan membiarkan hanya kedua tapak tangan yang terletak di tanah. Nabi shalallahu 'alaihi wasallam menyamakan orang yang meletakkan keseluruhan siku, lengan serta tapak tangan ke tanah seperti sujudnya binatang buas. ‘Aishah radhiallahu’anha berkata:
وَيَنْهَى أَنْ يَفْتَرِشَ الرَّجُلُ ذِرَاعَيْهِ افْتِرَاشَ السَّبُعِ.
Dan (baginda shalallahu 'alaihi wasallam) melarang seseorang (dalam sujud) membentang kedua lengannya seperti binatang buas.[Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 498.]
Al-Barra’ radhiallahu’anh juga telah berkata:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
إِذَا سَجَدْتَ فَضَعْ كَفَّيْكَ وَارْفَعْ مِرْفَقَيْكَ.
Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Apabila engkau sujud, maka letakkanlah kedua telapak tanganmu serta angkat kedua sikumu.”[Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 494.]
Hendaklah ketika sujud tujuh anggota badan mengenai tanah, lantai atau sejadah yang digunakan untuk bersolat. Tujuh anggota badan tersebut adalah:
Dahi dan hidung yang dikira sebagai satu anggota.
Dua telapak tangan.
Dua lutut.
Dua hujung jari-jari di kedua kaki.
Ini sebagaimana diperjelaskan oleh Ibnu ‘Abbas radhiallahu’anh:
قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الْجَبْهَةِ
وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَالْيَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ.
Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Aku diperintahkan untuk sujud menggunakan (di atas) tujuh tulang; di atas dahi (dan baginda mengisyaratkan pada hidungnya), dua tangan, dua lutut dan hujung jari-jari kedua kaki.”[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 812.]
1072. Soalan : Saya mohon pencerahan adakah hadis dibawah ditujukan kepada kaum lelaki dan kaum wanita atau untuk kaum lelaki sahaja?.Terima kasih.
"Barangsiapa ingin menyarung kekasihnya dengan cincin daripada neraka, bolehlah dia menyarungnya dengan cincin emas; barangsiapa ingin menyarung kekasihnya dengan rantai daripada neraka, bolehlah dia menyarungnya dengan rantai emas; dan barangsiapa ingin menyarung kekasihnya dengan gelang daripada neraka, bolehlah dia menyarungnya dengan gelang emas. Sebaliknya hendaklah kamu menggunakan perak. Bermainlah dengannya.” (Hasan. Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Jawapan :
Larangan memakai emas adalah untuk kaum lelaki tetapi di haruskan untuk wanita.
Dari At-Tirmizi melalui riwayat hasan mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda : "Diharamkan kaum lelaki memakai sutera dan emas, dan dihalalkan kepada kaum wanita".
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Rasulullah SAW melarang kaum lelaki memakai cincin emas. Juga diriwayatkan bahawa apabila Rasulullah SAW melihat seorang lelaki memakai cincin emas, beliau cepat-cepat mengambilnya dari lelaki tersebut dari tangannya dan membuangkannya. Baginda bersabda : "Memakainya (cincin emas) adalah seperti menyaluti tangan sesorang dengan api neraka".
1073. Soalan : Ustaz saya nak bertanya adakah boleh puasa ganti Ramadan di satukan dengan puasa sunat di bulan Syawal? Minta pencerahan, terima kasih.
Jawapan :
Di dalam bulan Syawal ada puasa sunat 6 hari (puasa sunat Syawal) . Untuk mereka yang meninggalkan puasa Ramadan di sebabkan haid , sakit atau bermusafir. Jumhur ulama berpendapat jika terdapat puasa wajib (qada' Ramadan) maka mengutamakan yang wajib dulu baru puasa sunat. Contoh wanita yang haid ada meninggalkan puasa Ramadan 7 hari maka dia qada' dulu puasa Ramadan yang di tinggalkan kemudian dia sambung puasa 6 hari di bulan Syawal.
Jika dia tak mampu nak buat puasa qada' dan puasa sunat Syawal (13 hari puasa - 7 hari puasa wajib dan 6 hari puasa sunat) maka ulama memberikan pandangannya boleh dia puasa 6 hari pada bulan Syawal dan puasa qada' di buat di bulan-bulan lain selepas Syawal kerana puasa qada' boleh di buat pada bulan selepas Syawal sedangkan puasa sunat Syawal hanya pada bulan Syawal sahaja.
Adakah boleh niat puasa qada' di satukan dengan niat puasa sunat Syawal?
Persoalan ini terdapat khilaf (perbezaan pandangan) di kalangan ulama.
Pendapat pertama: Sebahagian ulama berpendapat, tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan niat puasa fardu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain. Sekiranya dilakukan, maka puasa itu tidak sah, sama ada bagi yang fardu ataupun yang sunat. Pendapat ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari bulan Syawal maka seakan-akan ia berpuasa setahun”. (HR Muslim)
Bagi memenuhi maksud hadis ini, dalam usaha memperolehi pahala yang dijanjikan iaitu pahala berpuasa setahun, maka hendaklah seseorang itu menyempurnakan puasa Ramadan (yang merupakan puasa wajib) kemudian ditambah dengan puasa enam hari di bulan Syawal (yang merupakan puasa sunat). [Syeikh Muhammad Sholih Al-Munajid ]
Pendapat kedua: Di kalangan ulama Syafie ada yang berpendapat bahawa ganjaran puasa enam Syawal tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qada sekalipun dia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya. Namun, pahala yang diperolehi itu adalah kurang berbanding seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Fatawa al-Azhar 9/261]
Setelah diteliti, dapat disimpulkan bahawa pendapat kedua iaitu pandangan ulama yang membolehkan ‘puasa dua dalam satu’ ini tidak disandarkan kepada mana-mana nas Al-Quran ataupun Al-Sunnah yang sahih. Mereka juga mengatakan bahawa amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qada pada bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus mengerjakan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid)
Hadis yang membenarkan membuat puasa sunat Syawal dulu dan kemudiankan puasa qada' adalah hadis daripada riwayat Aisyah r.ha . Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dari Aisyah katanya" Atasku ada puasa dari bulan Ramadan, maka aku tidak mengqadhanya sehingga datanglah bulan Syaaban tahun berikutnya". Maksudnya Aisyah buat puasa sunat bulan Syawal dulu dan lewatkan puasa qada' Ramadan. Perlu di ingat puasa qada' Ramadan tak boleh di niatkan sekali dengan puasa 6 Syawal menurut Imam Nawawi kedua-dua puasa tak sah. Jika puasa qada Ramadan niat puasa qada' dan jika puasa 6 Syawal maka niat puasa 6 Syawal dulu tak boleh dua niat dalam satu puasa (2 dlm 1)
1074. Soalan : Ustaz saya tersangat sangat ingin bermimpi bertemu dengan arwah bapa saya yang telah meninggal dunia 34 tahun yang lalu ketika saya masih kecil. Apakah ada doa @ amalan yang saya boleh buat untuk bermimpi bertemu arwah? Sekian... t.kasih
Jawapan :
Jika saudari berhajat nak berjumpa arwah bapa di dalam mimpi.
1. Ambil wuduk dan solat hajat 2 rekaat. (niat dalam hati hajat nak mimpi berjumpa arwah bapa) lakukan selepas solat Isyak sebelum tidur.
Selepas habis solat hajat beristighfar 100 kali dan berselawat kepada Nabi SAW 100 kali.
Kemudian baca doa ini : " Ya Allah sesungguhnya aku menyerahkan diriku kepada-Mu dan menghadapkan wajahku ke hadapan-Mu dan menyerahkan persoalan kepada-Mu, aku berlindung kepada-Mu, kerana aku senang serta takut kepada-Mu. Tidak ada tempat berlindung dan tempat kembali kecuali kepada-Mu. Aku beriman kepada kitab-Mu yang Engkau turunkan dan aku beriman kepada Nabi-Mu yang Engkau utus, Maha Berkat Engkau dan Maha Tinggi Engkau. Engkau yang Maha Kaya sedangkan aku orang yang paling miskin. Pada-Mu aku mohon ampun dan aku bertaubat kepada Engkau. Ya Allah , aku memuji dan memuja-Mu. Ya Allah berilah aku mimpi yang benar, bukan mimpi yang bohong, berilah aku mimpi yang baik dan mengembirakan, bukan mimpi yang menyedihkan, yang berguna , bukan mimpi yang mensegsarakan. Ya Allah aku berhajat nak berjumpa ayahku bernama............dalam mimpiku ini , izinkanlah ya Allah. Engkau ampunkan dosa-dosa ayahku dan kasihanilah dia sebagaimana dia telah mendidik dan mengasihiku semasa aku masih kecil. Sesungguhnya hanya Engkau saja yang akan mengkabulkan segala doa. Amiin ya Rabbal a'lamin.
Setelah berdoa mulalah tidur mengikut adab-adab tidur :
Adab-adab Tidur
Tidur seorang hamba pada waktu malam setelah segala aktiviti yang dilakukannya pada siang hari, akan membantu tubuhnya menjadi segar untuk boleh melakukan aktiviti pada esok hari, juga akan membantu tubuhnya lebih bersemangat untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT Maka dengan nikmat yang besar ini hendaknya seorang muslim bersemangat untuk menjaga tuntunan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. dalam masalah adab-adab yang berkaitan dengan tidur. Di antara adab tersebut adalah:
1. Tidak mengakhirkan tidur setelah melakukan solat Isya kecuali kerana perkara yang penting untuk dilakukan seperti mempelajari ilmu atau menjamu tamu atau untuk melayani keluarga. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Barzah bahwasanya Nabi SAW tidak menyukai tidur sebelum solat Isya dan berbincang-bincang setelahnya.
2. Tidur dengan berwuduk terlebih dahulu. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW : “Apabila kamu hendak tidur maka berwuduklah sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
3. Memulai tidur dengan membaringkan tubuh ke sisi sebelah kanan sebagaimana dalam hadis di atas.
4. Tidak tidur dengan tiarap, berdasarkan sabda Nabi SAW “Sesungguhnya itu adalah cara tidur yang dimurkai Allah ‘azza wa jalla”.(Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang shahih)
5. Mengumpulkan kedua telapak tangannya. Kemudian ditiup dan dibacakan: surat Al-ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Kemudian dengan kedua telapak tangan tadi mengusap tubuh yang dapat dijangkau dimulai dari kepala, wajah dan tubuh bagian depan. Hal ini dilakukan sebanyak tiga kali." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
6. Mengibaskan tempat tidur dengan ujung sarung atau dengan pakaiannya sebanyak tiga kali.(Hadis Riwayat Bukhari).
7. Membaca doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, seperti membaca doa “Bismika Allahumma amuutu wa ahyaa (Dengan menyebut nama-Mu ya Allah aku mati dan hidup)” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
8. Dianjurkan membaca tasbih 33 kali, tahmid 33 kali, takbir 33 kali atau 34 kali ketika hendak tidur, sebagaimana sabda baginda kepada Ali bin Abi Thalib dan isterinya ketika mereka hendak tidur, “Maka bacalah tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, dan takbir tiga puluh tiga kali” dan dalam riwayat lain “takbirlah tiga puluh empat kali” (Hadis Riwayat Bukhari).
9. Dianjurkan juga membaca ayat kursi, membaca dua ayat terakhir surat Al-Baqarah atau membaca surat Ali ‘Imran ayat 190-200. (Hadis Riwayat Bukhari).
10. Apabila tiba-tiba terbangun di tengah malam, maka dianjurkan meminta kepada Allah SWT kerana saat itu adalah saat yang mustajab, sebagaimana sabda Nabi SAW. “Tidaklah seorang muslim yang tidur dalam keadaan suci dan berdzikir lalu tiba-tiba terbangun di malam hari kemudian mohon kepada Allah kebaikan dunia dan akhirat kecuali Allah akan mengabulkannya” (Hadis Riwayat Abu Dawud).
11. "Ketika bermimpi buruk hendaknya berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk dan dari keburukan yang dilihat dalam mimpi. " (Hadis Riwayat Muslim).
12. Ketika bangun tidur hendaknya membaca doa, “Alhamdulillahil ladzi ahyaana ba’da maa amaatanaa wa ilaihin nusyuur (Segala puji bagi Allah yang telah membangkitkan kami dari mati (tidur) dan hanya kepada-Nya semuanya kembali)” (Hadis Riwayat Bukhari).
Demikianlah beberapa adab tidur yang dituntunkan oleh Nabi kita Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam. Semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk senantiasa mengamalkannya, mengikuti sunnah Nabi-Nya sehingga tidur kita tidak sekedar rutin harian untuk pemenuhan keperluan jasmani, namun juga merupakan kenikmatan yang bernilai ibadah dan membuahkan pahala di sisi Allah SWT.
Jika malam pertama belum di izinkan Allah SWT jangan putus asa teruskan lagi sehingga di izinkan oleh Allah SWT . Wallahu a'lam
1075. Soalan : Ustaz saya ingin bertanya terdapat riwayat mengatakan kebaikan dan keburukan hari-hari tertentu apabila kita potong kuku adakah hadis ini sahih atau palsu? Satu lagi ustaz adakah cara potong kuku mula jari telunjuk kanan , jari tengah, jari hantu, jari kelingking dan ibu jari kanan adakah ini cara potong kuku ikit sunah Rasulullah SAW? Minta pencerahan terima kasih.
Jawapan :
Di dalam internet kita sering jumpa riwayat di bawah, adakah riwayat ini sahih , dhaif atau palsu?
Adakah ini riwayat sahih atau palsu ?
Barang siapa yang mengerat kukunya pada:
* Hari Sabtu : Nescaya keluar dari dalam tubuhnya ubat dan masuk kepadanya penyakit
* Hari Ahad : Nescaya keluar daripadanya kekayaan dan masuk kemiskinan
* Hari Isnin : Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk sihat
* Hari Selasa : Nescaya keluar daripadanya sihat dan masuk penyakit
* Hari Rabu : Nescaya keluar daripadanya was-was dan masuk kepadanya kepapaan..
* Hari Khamis : Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk kepadanya sembuh dari penyakit.
* Hari Jumaat : Nescaya keluar dosa-dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya dan masuk kepadanya rahmat daripada Allah Taala.
Hadis di bawah ini bukan hadis sahih :
من قلم أظفاره يوم السبت خرج منه الداء ، ودخل فيه الشفاء ، ومن قلم أظفاره يوم الأحد خرجت منه الفاقة ودخل فيه الغنى ، ومن قلم أظفاره يوم الاثنين خرجت منه العلة ودخلت فيه الصحة ، ومن قلم أظفاره يوم الثلاثاء ، خرج منه البرص ، ودخل فيه العافية ، ومن قلم أظفاره يوم الأربعاء خرج منه الوسواس ، والخوف ودخل فيه الأمن والصحة ، ومن قلم أظفاره يوم الخميس خرج منه الجذام ودخل فيه العافية ، ومن قلم أظفاره يوم الجمعة دخل فيه الرحمة ، وخرج منه الذنوب
Maksudnya: "Sesiapa yang memotong kukunya pada hari sabtu, keluar darinya penyakit dan masuk ke dalamnya penyembuhan, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari ahad, keluar daripadanya kefakiran dan masuk ke dalamnya kekayaan, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari isnin, keluar daripadanya penyakit dan masuk kepadanya kesihatan, sesiapa yang mengerat kuku pada hari selasa, keluar daripadanya al-Baros dan masuk ke dalamnya al-'Afiah, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari rabu, keluar daripadanya was-was dan ketakutan dan masuk ke dalamnya keamanan dan kesihatan, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari khamis, keluar daripadanya al-Jadam dan masuk kepadanya al-'Afiah dan siapa yang mengerat kukunya pada hari jumaat, masuk kepadanya rahmat dan keluar daripadanya dosa-dosa."
Darjat Hadith
1. PALSU (al-Maudhuaat, Ibn Jauzi, 3/226)
2. PALSU, di dalam sanadnya ada para pemalsu hadith dan rawi-rawi yang majhul (al-Fawa-id al-Majmu'ah, oleh al-Syaukani. m.s. 197)
3. Di dalam sanadnya ada Nuh bin Abi Maryam yang ditohmah dengan pendustaan (Tartib al-Maudhuaat) - al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani pula di dalam Silsilah al-Ahadith al-Dhoiefah wa al-Maudhuah ada menyebut hadith:
من قلم أظافيره يوم الجمعة قبل الصلاة ، أخرج الله منه كل داء ، وأدخل مكانه الشفاء والرحمة
Maksudnya: "sesiapa yang mengerat kukunya pada hari Jumaat sebelum menunaikan solat, Allah mengeluarkan daripadanya penyakit dan menggantikan tempat penyakit itu dengan ppenyembuhan dan rahmat." Hadith ini menurut penilaian al-Albani adalah hadith yang terlalu lemah (ضعيف جدا)- Sila lihat Silsilah al-Dhoiefah, m.s. 36, bil. hadith: 2021, cetakan pertama Maktabah al-Maarif al-Riyadh.
al-Hafidz al-Sakhawi di dalam al-Maqasid al-Hasanah m.s. 422 menyebut:
لم يثبت في كيفيته ولا في تعيين يوم له عن النبي صلى الله عليه وسلم شيء
Maksudnya: "Tidak thabit tentang kaifiatnya (memotong kuku), tidak thabit juga tentang menentukan hari untuk memotong kuku dari Nabi S.A.W. sesuatu hadith pun."
Adab-adab Potong Kuku :
Riwayat di atas terlalu dhaif tidak terdapat hadis sahih mengenai pemotongan kuku bermula dari jari telunjuk kanan sehingga ibu jari kanan. Cuba terdapat hadis sahih Nabi SAW mulakan pekerjaan dan amalan bermula daripada kanan dulu, baru kiri samaada potong kuku jari kanan dulu baru jari kiri dan mulakan jari kaki kanan dulu baru kaki kiri.
Adapun tentang jari mana yang hendak didahulukan ketika memotong kuku, al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani (10/345) menyebut:
لم يثبت في ترتيب الأصابع عند القص شيء من الأحاديث .... وقد أنكر ابن دقيق العيد الهيئة التي ذكرها الغزالي ومن تبعه وقال : كل ذلك لا أصل له ، وإحداث استحباب لا دليل عليه ، وهو قبيح عندي بالعالم ، ولو تخيل متخيل أن البداءة بمسبحة اليمنى من أجل شرفها فبقية الهيئة لا يتخيل فيه ذلك . نعم ، البداءة بيمنى اليدين ويمنى الرجلين له أصل وهو (كان يعجبه التيامن
Maksudnya: "Tidak thabit dalam tertib jari-jari ketika memotong kuku sesuatu hadithpun... Ibn Daqiq al-'Ied telah mengingkari bentuk (memotong kuku) yang telah disebut oleh al-Ghazali dan orang yang mengikutnya, dengan berkata:
"Semua cara-cara itu tidak ada asalnya, dan untuk mengatakan ia suatu yang digalakkan, ianya suatu yang tidak ada dalilnya, ia merupakan suatu yang tercela di sisiku, sekiranya seseorang menggambarkan, cara memotong kuku dimulakan dengan jari telunjuk tangan kanan disebabkan kemuliaannya, maka jari-jari yang lain, dia tidak akan dapat menentukannya dengan cara itu. Ya! memulakan dengan yang kanan samaada tangan ataupun kaki itu ada asalnya, kerana Nabi S.A.W. suka memulakan sesuatu dengan sebelah kanan."
-----------------------------------------------------------
Kesimpulan:
1. Hadis Memotong kuku mengikut susunan (mula dari jari telunjuk , jari tengah, hantu, kelingking dan ibu jari) adalah dhaif.
2. Apa yg thabit adalah memulakan dengan tangan kanan atau kaki kanan berdasarkan hadith Aisyah yg menceritakan Nabi SAW sentiasa mendahului perbuatan dgn tangan kanan, termasuk menyikat rambut.
Aisyah Ummul Mukminin beliau mengatakan, "Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam suka mendahulukan yang kanan ketika bersuci, menyikat rambut dan memakai sandal." (HR. Bukhari dan Muslim)
3. Islam mengutamakan kebersihan untuk ummatnya. Maka memadai dengan apa yg diajarkan oleh Rasulullah SAW berkenaan kebersihan berdasarkan hadis soheh, tidak perlu menjadikan hadis dhaif sebagai hujjah untuk kita beribadah.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment