Tuesday, March 3, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 225 (Kedudukan Anak-anak Orang Kafir Yang Mati Sebelum Baligh, Ayat-ayat Mutasyabihat (Allah SWT Bersemayam di Arsy), Cara-cara Nak Ikhlaskan Hati, Di Syurga Boleh Bertemu Ahli Keluarga, Suami Suka Maki Hamun Isteri.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 225 adalah menjelaskan persoalan kedudukan anak-anak orang kafir yang mati sebelum baligh, ayat-ayat mutasyabihat (Allah SWT bersemayam di Arsy), cara-cara nak ikhlaskan hati, di syurga boleh bertemu ahli keluarga, suami suka maki hamun isteri.

1081. Soalan : Ustaz bagaimana pula bagi bayi, dan kanak-kanak yang bukan Islam, adakah dia masuk syurga?

Jawapan :

Anak orang bukan Islam yang mati sebelum baligh. Terdapat 5 pandangan ulama:

Pandangan Pertama : Anak-anak bukan Islam akan masuk ke dalam syurga. 

Sebahagian ulama dari kumpulan ini berpandangan, di awalnya mereka akan berada di al-A’raf, dan kesudahannya mereka yang berada di al-A’raf semuanya akan dimasukkan ke dalam syurga. Inilah pandangan kebanyakan ulama seperti yang dinukilkan oleh Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Tamhid (18/96)

Antara dalil mereka:

i. Hadis Samurah r.a.: “Bahawa Rasulullah SAW melihat (ketika malam Mi’raj) bersama dengan Nabi Ibrahim a.s. anak-anak orang islam dan musyrikin.” (HR al-Bukhari)

ii. Daripada Hasnaa’ Binti Mu’awiyah dari Bani Shuraim yang berkata: “Menceritakan kepadaku bapa saudaraku, katanya: Daku pernah bertanya: “Wahai Rasulullah siapakah yang akan berada di dalam syurga?” Nabi SAW menjawab: “Nabi di dalam syurga, orang syahid di dalam syurga, bayi-bayi yang meninggal di dalam syurga, dan bayi-bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup di dalam syurga.” (HR Ahmad 5/409. Namun al-Albani hadis ini sebagai Lemah di dalam Dhoief al-Jami’ 5997) 

Pandangan Kedua : Anak-anak orang bukan islam bersama dengan bapa mereka di dalam neraka. 

Al-Qadhi Abu Ya’la menisbahkan pendapat ini kepada Imam Ahmad. Namun Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menganggapnya sebagai satu kesilapan besar. (lihat Hasyiah Ibn al-Qayyim terhadap Sunan Abi Daud 7/87)

Dalil mereka:

i. Daripada Salamah bin Qais al-Asyja’ie katanya: “Aku bersama saudaraku pergi berjumpa Nabi SAW, lalu kami berkata: “Ibu kami mati ketika jahiliyyah (tidak islam), dia dahulunya seorang yang memuliakan tetamu, menghubungkan silaturrahim, dan dia juga pernah menanam saudara perempuan kami yang belum baligh ketika jahiliyyah.” Jawab baginda: “Yang menanam anak hidup-hidup dan anak yang ditanam di (kedua-duanya) di dalam neraka melainkan orang tua yang menanam anaknya itu memeluk islam.” (Hadis dinilai Hasan oleh Ibn Kathir di dalam Tafsirnya 3/33. Demikian juga Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Tamhid 18/120) 

ii. Terdapat juga hadis-hadis yang lain, namun semuanya lemah.

Pandangan Ketiga : Al-Tawaqquf atau Allah lebih mengetahui tentang kesudahan mereka.

Dalil mereka:

i. Daripada Ibn ‘Abbas r.a, Rasulullah SAW pernah ditanya berkaitan anak-anak orang musyrikin, baginda menjawab: “Allah lebih mengetahui, apa yang mereka kerjakan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

ii. Hadis yang lebih kurang sama, namun diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. (al-Bukhari dan Muslim)

Pandangan Keempat : Anak-anak orang kafir akan menjadi khadam kepada Ahli Syurga.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Tiada sebarang asas bagi pendapat ini.” (Majmu’ al-Fatawa 4/279) 

Terdapat hadis dalam perkara ini yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dan al-Bazzar. Namun hadis ini telah dinilai sebagai lemah oleh para imam hadis seperti al-Hafidz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari (3/246)

Pandangan Kelima : Anak-anak orang kafir yang mati sebelum baligh akan diuji di akhirat kelak. 

Sesiapa yang taat, maka dia akan masuk ke syurga dan sesiapa yang engkar, maka dia akan di masukkan ke dalam neraka. Inilah pandangan kebanyakan ulama Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah seperti yang dinukilkan oleh al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ariy. 

Inilah juga pandangan al-Imam al-Baihaqi dan sekumpulan para pentahkik. Ibn Taimiyyah juga cenderung kepada pandangan ini, beliau juga menyatakan inilah kandungan nas-nas dari Imam Ahmad. Ibn Kathir juga mentarjihkan pandangan ini dengan berkata: “Pandangan ini menghimpunkan dalil-dalil keseluruhannya, hadis-hadis yang lalu saling menguatkan dan menyokong antara sebahagian dengan sebahagian yang lain.” (Tafsir al-Quran al-‘Azim 3/31)

Dalil mereka:

i. Daripada Anas yang berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Akan didatangkan empat golongan para hari kiamat: kanak-kanak yang mati sebelum baligh, yang kurang akal, yang mati zaman Fatrah, dan orang yang sangat tua. Maka setiap mereka akan mendatangkan hujah mereka. lalu Tuhan Tabaraka wa Taala berfirman kepada neraka: “Maraklah!” Lalu Allah berfirman kepada mereka: “Sesungguhnya sebelum ini Aku telah mengutuskan kepada para hambaKu (di dunia) seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri. Dan sekarang Akulah utusan kepada kamu semua, masuklah kamu semua ke dalam neraka ini.” 

Baginda SAW bersabda: “Maka berkatalah orang-orang yang telah ditetapkan kesengsaraan untuknya: “Wahai Tuhan, bagaimana aku perlu memasukinya, sedangkan dahulunya kami lari daripadanya.” 

Baginda SAW juga bersabda: “dan orang-orang telah ditetapkan untuknya kebahagiaan, dia akan pergi dan memasukinya (neraka) dengan segera.” 

Baginda seterusnya menyambung: “Lalu Allah Taala berfirman: “Kamu semua ini (yang tidak mahu taat kepada perintah Allah) sudah pasti akan lebih mendustai dan mengingkari RasulKu, lalu Allah memasukkan mereka (yang taat perintahnya) ke dalam syurga dan yang engkar dan enggan ke dalam neraka.” (HR Abu Ya’la 4224, hadis ini juga memiliki sokongan yang banyak seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir di dalam Tafsirnya 3/29-31)

Al-Imam Ibn al-Qayyim r.h. berkata: “Inilah pandangan yang lebih adil, padanya berhimpun seluruh dalil dan hadis dalam bab ini. Maka sebahagian mereka (anak-anak orang kafir) ada yang masuk ke syurga seperti yang dinyatakan oleh hadis dari Samurah, ada pula sebahagiannya yang berada di dalam neraka seperti yang dinyatakan di dalam hadis dari ‘Aisyah.” (Hasyiah Ibn al-Qayyim ‘Ala Sunan Abi Daud 7/87)

Wallahu a’lam.

1082. Soalan : Dalam surah Al Sajadah ayat 4 Allah SWT berfirman yang maksudnya,"Allah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam 6 masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arsy"

Jika anda di datangi sorang insan dari kalangan bukan muslim,ia ingin memeluk agama Islam dan sebelum dia memeluk agama Islam,dia tanya satu persoalan seperti ini:-
Kenapa diciptakan dalam 6 masa? ( sedangkan Allah boleh jadikan sekelip mata sahaja sebab "KUN" maka jadi la..

Mohon penjelasan dan pencerah dari ustaz .....sebab saya perlukan jawapannya bagi menerangkan kepada orang bukan Muslim itu....sekian terima kasih .

Jawapan : 

Persoalan saudara adalah membicarakan ayat-ayat mutasyabihat. Allah SWT sendiri minta jangan di perdebatkan dan di perbincangkan ayat-ayat mutasyabihat.

Di kalangan umat Islam sendiri apabila berhadapan dengan sesama muslim apabila membicarakan Allah bersemayam di atas Arsy ayat tersebut telah berpecah kepada 3 kumpulan di antara satu sama lain cuba membid'ahkan pandangan orang lain yang bukan daripada pandangan kumpulan mereka. 

Jika orang bukan Islam tanya persoalan di atas kita jawab itu adalah urusan Allah SWT dan kita tak tahu hikmahnya kenapa 6 masa bukan sekelip mata. Banyak lagi ayat-ayat lain yang boleh kita jelaskan kepada orang bukan islam untuk membuka minda mereka tentang kebesaran dan mukjizat al-Quran.

Firman Allah SWT yang maksudnya: "Dialah yang menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepada kamu. Di antara isinya ada ayat-ayat yang muhkamat (jelas), itulah asas (induk) bagi isi al-quran dan yang lainnya ayat-ayat mutasyabihat (samar). Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata "Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami." dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal". (Surah Ali-Imran ayat 7)

1083. Soalan : Ustaz..saya nak tanya..macam mana  kita nak ikhlaskan hati kita untuk benar-benar berubah?

Jawapan :

Apabila kita nak berubah maka yang paling penting kita ubah hati kita. Dari hatilah akan merubah fizikal kita. Seorang wanita yang tidak menutup aurat bila dia mula nak tutup aurat maka perlulah lakukan dengan hati yang ikhlas buat semata-mata kerana Allah SWT bukan nakkan pujian orang lain atau pakai kerana desakkan kawan-kawan. 

Hati adalah raja kepada anggota yang lain, sebagimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, " "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir). 

Hati mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik maka akan melahirkan keikhlasan kepaad Allah SWT. Kerana membersihkan hati adalah wajib. Bila ia bersih, akan membersihkan seluruh kehidupan lahirnya. Di antara cara-cara memimpin hati ialah:

Pertama: Ada ilmu tentang hati atau roh. Tujuannya untuk mengenal sifat-sifat hati yang positif dan yang negatif. Kalau tidak ada ilmu tentangnya, sifat-sifat mazmumah tidak akan dapat dikesan. Apalagi untuk ditumpaskan. Begitu juga dengan sifat-sifat mahmudahnya tidak akan dapat dikesan untuk disuburkan.

Kedua: Perlu latihan-latihan praktikal melalui:

a. Mujahadatunnafsi (Mujahadah melawan hawa nafsu).

b. Istiqamah

c. Tafakur

d. Bergaul dengan orang yang baik-baik

e. Mencari guru yang soleh lagi bertakwa sebagai pembimbing.

a. Mujahadatunnafsi.

Mujahadatun nafsi itu, di antara caranya ialah dengan menempuh tiga peringkat iaitu:

1. Takhalli – mengosongkan, membuang atau menyucikan daripada sifat-sifat yang keji.

2. Tahalli – mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji.

3. Tajalli – terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau sentiasa rasa kehidupan ini di perhatikan oleh Allah SWT.

Pada ketiga-tiga peringkat ini hendaklah dilakukan dengan mengadakan latihan yang dinamakan riadatunnafsi (Yakni latihan melawan atau memerangi semua kehendak-kehendak hati yang jahat, yang didorong oleh hawa nafsu.).

Cara memeranginya ialah melalui latihan-latihan menolak kemahuan jahat yang ditimbulkan oleh nafsu. Wallahu a'lam

Ikhlas adalah rahsia Allah SWT, untuk mendapatkan keikhlasan perlulah kepada latihan dan pengorbanan. Mula-mula mungkin tak berapa ikhlas tetapi bila sentiasa bermujahadah , muraqabah, muraja'h dan muhsabah sedikit demi sedikit keikhlasan itu akan datang dan bila ianya datang bertapak di hati maka barulah mendapat kesempurnaan amal soleh. dan amal soleh kita di terima oleh Allah SWT.

1084. Soalan : Ustaz.. Allah menjanjikan Syurga pada hambanya yang soleh. adakah di syurga dapat bertemu dengan orang yang kita ingini, contohnya ahli keluarga,saudara, haiwan-haiwan yang kita sayang..

Jawapan : 

Dalam syurga Allah SWT akan pertemukan kita dengan orang yang kita kasihi ketika di dunia terutama ahli keluarga kita, isteri-isteri, ibu bapa, anak-anak , adik beradik, saudara mara, sahabat-sahabat, guru-guru dan orang yang kita cintai dan kasihi. Binatang kesayangan semasa di dunia tak akan masuk syurga bersama kita kerana binatang di himpunkan di padang mahsyar dan mereka akan mati dan menjadi tanah.

Firman Allah SWT. maksudnya :" Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya." (Surah al-Tur ayat 21)

Ayat di atas secara jelas menjelaskan kelebihan 2 hala di dalam hubungan ibu bapa dan anak cucu mereka di akhirat kelak. Orang-orang yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga bersama dengan ibu bapa serta anak cucu mereka sebagai salah satu bentuk ni’mat dan hiburan kepada mereka.

Bahkan Allah akan mengangkat darjat ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka, begitu juga meninggikan darjat anak- cucu disebabkan amal soleh ibu bapa (Tafsir Ibn Kathir)). Menurut Imam al-Razi, ayat ini juga menjadi bukti bahawa kasih sayang ibu bapa yang beriman berterusan sehingga ke akhirat (Tafsir al-Razi).
Walaubagaimanapun ni’mat ini hanya dikhususkan kepada ibu bapa dan anak cucu yang sama-sama beriman dan mati di dalam iman sahaja.

Selain itu, sejarah membuktikan bahawa ibu bapa yang soleh memang boleh memberikan manafaat kepada anak-anak mereka. Contohnya, Allah telah menyelamatkan harta anak-anak yatim yang tertanam di balik dinding yang hampir runtuh di dalam kisah pengembaraan Musa & Khidir di dalam surah al-Kahf ayat 82.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Adapun dinding itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula dahulunya adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".  (Surah al-Kahf(18) ayat 82)

Kesimpulannya, jangan hanya berharap anak-anak anda sahaja menjadi soleh kerana untuk berlaku adil kepada ibu-bapa kita yang telah meninggal dunia, kita adalah anak...mereka juga memerlukan amal soleh kita untuk membantu mereka..sekiranya anda merasakan status soleh masih jauh daripada anda..apa tunggu lagi berusahalah kerana status itu boleh diusahakan oleh semua dengan belajar dan belajar.

Dalam satu hadis riwayat Anas bin Malik r.a. : Ada seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW : “Bilakah kiamat itu tiba?”
Rasulullah bersabda : “Apa yang telah kamu persiapkan untuk itu?”
Lelaki itu menjawab : “Cinta Allah dan Rasul-Nya.”
Rasulullah menjawab : “Kamu akan bersama orang yang kamu cintai.”
(Hadis Riwayat Muslim, No. 4775)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa setiap mukmin yang beriman dan bertakwa akan bertemu di syurga orang yang dicintai ketika di dunia dahulu.

Apabila ditanya oleh Nabi SAW kepada Arab Badwi apakah persiapan beliau untuk menghadapi kiamat, beliau menjawab dia mencintai Allah dan Rasul-Nya. Jika benar apa yang beliau ucapkan maka di hari akhirat nanti beliau akan bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah SWT mencintai dan meredainya. Begitu juga jika beliau mencintai Rasul-Nya maka beliau akan bertemu dan berkumpul bersama-sama baginda di syurga.

Jika di dunia kita mencintai Rasulullah SAW, para sahabat baginda, alim ulama, orang-orang soleh, para mujahid Islam, orang-orang mukmin, ibu bapa, isteri, anak-anak, ahli keluarga dan sahabat-sahabat seperjuangan insya Allah kita akan bertemu dengan mereka di dalam syurga , salah satu tempatnya adalah di Pasar Syurga setiap hari Jumaat.

Tanda kita mencintai Rasulullah SAW adalah dengan mengikut sunah dan ajaran Rasulullah SAW dan banyak berselawat ke atas baginda maka kita akan bertemu dan dikumpulkan bersama baginda.

Nabi SAW menyuruh umatnya apabila ingin mencari sahabat maka carilah sahabat yang soleh kerana sahabat yang soleh bukan sahaja akan membantu menyelamatkan kita ketika di dunia tetapi dia juga akan memberi syafaat ketika di hari akhirat nanti.

Nabi SAW mengajarkan kepada kita agar bersahabat dengan orang yang dapat memberikan kebaikan dan sering menasehati kita.

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ ، وَكِيرِ الْحَدَّادِ ، لاَ يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ ، أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ ، وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً

Maksudnya : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Imam al- Bukhari dari Abu Musa.)

Ulama Salaf ada memberi pesanan : "Carilah banyak sahabat, kerana sesungguhnya tiap-tiap mukmin itu mempunyai syafaat.Maka semuga engkau dapat masuk ke dalam syafaat sahabatmu. Orang-orang beriman dan beramal soleh dapat memberi syafaat (pertolongan) kepada sahabat-sahabatnya dan membawa masuk kedalam syurga. Dikatakan juga , apabila Allah SWT. mengampunkan dosa seseorang, maka orang tersebut akan dapat memberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya."

Begitu juga jika kita mencintai ulama kerana ilmunya yang bermanfaat dan sentiasa menasihati kita supaya terdorong untuk mentaati Allah SWT dan menjauhi daripada maksiat dan dosa , kemudian kita berusaha melaksanakan kebaikan tersebut, kita akan bertemu dengannya di syurga dalam keadaan cinta mencintai dan berkasih sayang.

1085. Soalan : Seorang suami suka marah-marah dan maki hamun isteri. Jika sedang marah suka cakap "aku tak maafkan dosa kau, bila mati masuk neraka". Adakah doa suami seperti ini makbul di sisi Allah SWT, bagaimana nak nasihatkan suami seperti ini? Minta pencerahan ustaz.

Jawapan : 

Dalam kehidupan berumah tangga kadangkala seorang isteri yang baik akan bertemu dengan seorang suami yang jahil agama , buruk akhlaknya, lidahnya suka maki hamun dan suka mendoakan keburukan isteri. Doa suami seperti ini tak makbul di sisi Allah SWT. 

Sifat kasar, bengis, tak memaafkan kesalahan orang lain adalah sifat sombong dan ego dan sifat seperti ini bukan sifat seorang suami yang baik. Jika puan berjumpa dengan suami seperti ini banyakkan bersabar, beristighfar dan banyakkan berdoa dan solat hajat supaya Allah SWT ubah perangai yang buruk yang ada pada suami puan. 

Seorang yang cepat panas baran, cepat membuat tuduhan dan suka mengaibkan isterinya adalah jenis suami yang mengikut terpengaruh dengan godaan syaitan dan hawa nafsu yang tidak terkawal. Orang seperti ini adalah seseorang yang mempunyai penyakit hati dan jiwa , sukar untuk mengubatinya jika dia tak mahu merendahkan hatinya menerima kebenaran . 

Seorang suami yang baik akan berlemah lembut dengan isterinya, bersabar jika ada perkara yang dia tak setuju dengan isterinya. Setiap percakapannya di dorong oleh iman dan fikiran yang waras bukannya di pandu oleh emosi dan hawa nafsunya.

No comments:

Post a Comment