Friday, March 13, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 229 ( Suami Suka Ungkit Mengungkit, Makan Buah Sebelum Makan Nasi, Hukum Kita Kongsikan Ilmu di FB Tanpa Maklumkan Pada Pemilik Artikal Tersebut, Rukun dan Syaart Sah Nikah, dan Hukum Hudud di Dalam Islam)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 229 adalah menjelaskan persoalan suami suka ungkit mengungkit, makan buah sebelum makan nasi, hukum kita kongsikan ilmu di fb tanpa maklumkan pada pemilik artikal tersebut, rukun dan syaart sah nikah, dan hukum hudud di dalam Islam.

1101. Soalan : Ustaz,mohon maaf,apa hukum jika suami suka mengungkit pemberian nafkah kepada isteri (contohnya wang,makanan dsb) sedangkan nafkah itu hak yang wajib keatas isteri tersebut? Mohon pencerahan dari ustaz.

Jawapan :

Suami tak boleh mengungkit-ungkitkan nafkah wajib yang di berikan kepada isteri dan anak-anaknya kerana perbuatan tersebut akan menghapuskan pahala suami kepada keluarganya. Salah satu perbuatan yang sangat dibenci oleh Allah SWT adalah mengungkit-ungkitkan pemberian yang kita telah berikan. Mengungkit-ungkit akan menghapuskan pahala di atas amal soleh yang kita berikan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Tidak akan masuk syurga orang yang memperdaya, orang yang kikir, dan orang yang suka mengungkit-ungkit pemberian.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadis di atas terdapat tiga golongan tidak akan masuk syurga iaitu :

Golongan Pertama : Suka memperdaya orang lain (menipu)
Golongan Kedua : Orang yang kikir (bakhil)
Golongan Ketiga : Orang yang suka mengungkit-ungkit pemberian.

Suka mengungkit-ungkit (pemberiannya)

Firman Allah yang bermaksud,"Hai orang yang beriman,jangan kamu batalkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebut dan mengungkit-ungkit (perasaan si penerima) seperti orang yang menafkahkan bertanya kerana riyak kepada manusia dan dia tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat" (Surah al-Baqarah ayat 264). 

Mengungkit pemberian terhadap seseorang pasti akan menyinggung perasaan orang yang menerimanya. Perbuatan itu mendatangkan kesan buruk terhadap diri sendiri dan orang yang diungkitnya. Suami yang mengungkit-ungkit nafkahnya kepada isteri dan anak-anaknya termasuk golongan yang suka mengungkit-ungkit.

Dalam sebuah hadis disebutkan, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tiga golongan yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat kelak, serta tidak akan dipandang-Nya, dan tidak pula disucikan-Nya, iaitu orang yang mengulurkan kainnnya, orang yang suka mengungkit-ungkit kebaikannya dan orang yang menjual dagangannya dengan sumpah palsu.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, dan Nasai dari Abu Dzar al- Ghifari).

Mengungkit pemberian bukan sekadar menghapus pahala sedekah tetapi berdosa kerana menyakiti hati orang lain.Sesungguhnya, ianya akan menyingung hati isteri dan anak-anaknya dan menyebabkan hilang perasaan kasih sayang sesama ahli keluarga . Lebih besar dosanya apabila seorang anak mengungkit-ungkit pemberiananya kepada kedua ibu bapanya. Anak tersebut menjadi anak derhaka selagi dia tidak bertaubat kepada Allah SWT dan meminta ampun kepada kedua ibu bapanya.

Jika seseorang menyakiti hati kita sekali pun janganlah kita bertindak menyakiti hati orang tersebut di atas amal atau bantuan yg pernah kita berikan. Bantuan yg pernah kita berikan itu sebenarnya adalah hak Allah dan rezeki orang tersebut melalui tangan kita. Jika kita ungkit mengungkit secara otomatik menghapuskan pahala tersebut dan mendapat dosa kerana menyakiti hati orang yg pernah menerima bantuan kita.

1102. Soalan : Adakah terdapat hadis sahih Rasulullah SAW menyuruh makan buah dahulu sebelum makan makanan berat seperti roti atau nasi?

Jawapan : 

Saya belum jumpa hadis sahih menjelaskan Rasulullah SAW menyuruh makan buah dahulu sebelum makan makanan yang berat (seperti nasi atau roti). Tetapi terdapat ayat al-Quran menceritakan penduduk syurga memakan hidangan daripada buah dahulu kemudian daging burung. Di mulakan dengan Makan Buah.

Firman Allah SWT yang bermaksud, ”Dan buah-buahan dari apa yang mereka pilih, dan daging burung dari apa yang mereka inginkan”. (Surah Al Waqi’ah ayat 20-21)

Dalam ayat tersebut Allah Subhanahu Wa Ta’ala menerangkan tentang makanan penduduk syurga.Yang menarik di sini, bahawa Allah SWT menyebutkan buah-buahan dahulu, baru kemudian daging. Apa rahasianya ?

Memakan makanan berat dan berlemak memerlukan banyak tenaga untuk proses pencernaan dan pembuangan. Itulah sebabnya banyak dari kita merasa mengantuk dan lelah setelah makan. Akan lebih baik bila kita menikmati buah terlebih dahulu sebelum makan, agar usus menjadi bersih.

Dr. Muhammad Suwardi, dalam bukunya yang berjudul Al-Qur’an The Amazing Secret, menjelaskan bahwa buah yang di makan sebagai hidangan pencuci mulut justru akan menjadi sampah dalam tubuh kerana buah tidak dicerna secara alami di lambung, tetapi ikut berkumpul bersama makanan selama berjam-jam dalam kubangan asam lambung yang pekat.

Menurut penelitian Dr Stephen Carr Leon, beliau pernah melakukan pengamatan selama 8 tahun di Israel. Hasil yang ia dapatkan menunjukkan bahawa orang Yahudi (Israel) terkenal cerdas kerana salah satunya mereka sangat menjaga pola makan, yaitu dengan membiasakan makan buah sebelum makan nasi. Selain itu, mereka sangat menjaga prinsip untuk tidak makan daging dan ikan secara bersamaan. Stephen juga menyebutkan bahwa anak-anak di negara ini dibiasakan untuk makan buah-buahan dahulu sebelum hidangan utama. Maka jangan heran jika dalam jamuan makan di rumah mereka, dihidangkan buah-buahan terlebih dahulu. Menurut mereka, dengan memakan hidangan kabohidrat (nasi atau roti) terlebih dahulu kemudian diikuti dengan menyantap buah-buahan akan menyebabkan kita merasa ngantuk. Hal ini dapat mengakibatkan keadaan tubuh menjadi sangat lemah dan sukar untuk memahami pelajaran di sekolah.

Selain itu, penelitian membuktikan bahawa makan buah terlebih dahulu dapat memancing getah lambung untuk segera mengeluarkan getah lambung yang akan membantu dalam proses pencernaan makanan yang lain


Enzim dari buah dapat membantu tubuh untuk mencerna karbohidrat, protein, dan lemak. Tubuh pun lebih ringan mencerna kerana tidak perlu segera menghasilkan enzim pencernaan.

1103. Soalan : Boleh ustaz beri pencerahan tentang hukum apabila kita share ayat AlQuran, idea atau sebarang hasil penulisan orang di fb atau wassap tanpa pengetahuan tuan punya.

Jawapan :

Dalam Islam apa saja ilmu yang bermanfaat yang mengajak kepada kebaikan jika kita kongsikan dengan orang lain maka orang tersebut akan mendapat pahala. Itu sebab para sahabat, ulama hadis, ulama feqah, ulama tasauf di kalangan ulama besar dan muktabar daripada dahulu sehingga sekarang beri kebebasan siapa saja boleh berkongsi dan sebarkan ilmu yang mereka tulis di dalam kitab-kitab mereka kepada orang lain tanpa hak cipta terpelihara. Mana-mana ilmu di facebook selagi pemiliknya tak adakan sekatan (tak boleh di kongsikan) maka boleh di kongsikan dan sebarkan pada orang lain. Tidakkan kita berkongsi denagn orang lain adalah amalan yang baik. Jika suatu artikal itu di ambil sepenuhnya sebagai menghargai penulis asal letakkan di bawah sekali di petik daripada tulisan Ali bin Abu. Jika buku perlu meminta izin kepada menulis dan penerbit jika bercadang untuk di cetak atau di edit semula buku tersebut.

1104. Soalan :Apakah rukun akad nikah.dan syarat sah nikah. Mohon kongsi ilmu ustaz.?

Jawapan : 

Rukun & Syarat Sah Nikah

Rukun nikah : 

1. Pengantin lelaki (Suami)
2. Pengantin perempuan (Isteri)
3. Wali nikah pengantin perempuan.
4. Dua orang saksi lelaki
5. Ijab dan kabul (akad nikah)

Syarat Sah Nikah :

Syarat bakal suami.

1. Islam
2. Lelaki yang tertentu
3. Bukan lelaki mahram dengan bakal isteri
4. Mengetahui wali yang sebenar bagi akad nikah tersebut
5. Bukan dalam ihram haji atau umrah
6. Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
7. Tidak mempunyai empat orang isteri yang sah dalam satu masa
8. Mengetahui bahawa perempuan yang hendak dikahwini adalah sah dijadikan isteri.

Syarat bakal isteri :

1. Islam
2. Perempuan yang tertentu
3. Bukan perempuan mahram dengan bakal suami
4. Bukan seorang khunsa / mak nyah / tukar jantina.
5. Bukan dalam ihram haji atau umrah
6. Tidak dalam iddah
7. Bukan isteri orang

Syarat wali nikah .

1. Islam, bukan kafir dan murtad
2. Lelaki dan bukannya perempuan
3. Baligh
4. Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
5. Bukan dalam ihram haji atau umrah
6. Tidak fasik
7. Tidak cacat akal fikiran,gila, terlalu tua dan sebagainya
8. Merdeka
9. Tidak ditahan kuasanya daripada membelanjakan hartanya.

* Sebaiknya bakal isteri perlulah memastikan syarat WAJIB menjadi wali. Sekiranya syarat wali bercanggah seperti di atas maka tidak sahlah sebuah pernikahan itu. Sebagai seorang mukmin yang sejati, kita hendaklah menitik beratkan hal-hal yang wajib seperti ini. Jika tidak di ambil kira, kita akan hidup di lembah zina selamanya.

Syarat-syarat saksi.

1. Sekurang-kurangya dua orang
2. Islam
3. Berakal
4. Baligh
5. Lelaki
6. Memahami kandungan lafaz ijab dan qabul
7. Dapat mendengar, melihat dan bercakap
8. Adil (Tidak melakukan dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil)
9. Merdeka.

Syarat ijab.

1. Pernikahan nikah ini hendaklah tepat
2. Tidak boleh menggunakan perkataan sindiran
3. Diucapkan oleh wali atau wakilnya
4. Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah (nikah kontrak) 
5. Tidak secara taklik(tiada sebutan pra syarat sewaktu ijab dilafazkan)

* Contoh bacaan Ijab: Wali/wakil Wali berkata kepada bakal suami:"Aku nikahkan/kahwinkan engkau dengan Diana Binti Daniel dengan mas kahwinnya sebanyak RM 3000 tunai".

Syarat qabul.

1. Ucapan mestilah sesuai dengan ucapan ijab
2. Tiada perkataan sindiran
3. Dilafazkan oleh bakal suami 
4. Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah(seperti nikah kontrak)
5. Tidak secara taklik(tiada sebutan pra syarat sewaktu qabul dilafazkan)
6. Menyebut nama bakal isteri
7. Tidak diselangi dengan perkataan lain.

* Contoh sebutan qabul (akan dilafazkan oleh bakal suami):"Aku terima nikah dengan Diana Binti Daniel dengan mas kahwinnya sebanyak RM 3000 tunai."

1105. Soalan : Boleh tak ustaz terangkan hukum hudud kerana ramai di kalangan umat Islam mempertikaikan kebaikan hukum hudud sehingga memandang remeh terhadap syarat 4 orang saksi yang adil yang di jelaskn oleh al-Quran terhadap menuduh seseorng berzina atau meliwat?

Jawapan :
Allah SWT menciptakan manusia dan Allah SWT juga menciptakan undang-undang-nya di muka bumi. Allah SWT turunkan al-Quran sebagai panduan hidup manusia yang di ciptakkan-Nya dan Allah melantik Rasul-Nya Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah SWT untuk berdakwah, mendidik dan mengajak umat manusia supaya kembali mentuhidkan Allah SWT , beriman kepada Allah SWT dan para Rasul-Nya, para malaikat, kitab-kitab-nya, beriman kepada hari akhirat dan percaya kepada qada' dan qadar-Nya. Mengajak manusia supaya melaksanakan 5 rukun Islam. Manusia tak boleh bersikap sombong dengan memperkecilkan hukum-hukum hudud, qisas dan diyat yang di tetapkan oleh Allah SWT. Manusia tak boleh menghina hukum Allah SWT dengan mengatakan hukum hudud telah ketinggalan zaman kerana sekarang sudah ada CCTV, sudah ada ujian DNA, telefon pintar, setelite, dan sebagainya. Perkataan menghina ini boleh menjadikan seorang muslim itu jatuh murtad. 

Ada hikmah kenapa Allah SWT jelaskan saksi perlu ada 4 orang lelaki yang adil sebagai syarat pertuduhan zina atau liwath kepada lelaki dan wanita. Ini adalah kerana tidak ada siapa pun boleh membuat tuduhan palsu kepada wanita yang beriman atau lelaki yang beriman. Oleh kerana hukumannya berat maka Allah SWT menetapkan perlu ada 4 orang saksi yang adil dan melihat dengan mata sendiri dengan jelas tanpa keraguan. Hukuman hudud zina untuk lelaki dan wanita yang belum berkahwin disebat 100 kali dan di buang daerah dan bagi lelaki dan wanita yang berzina yang sudah berkahwin adalah di rejam sampai mati.

Perlu kita jelas 4 orang saksi dalam hukum hudud hanya melibatkan jenayah zina atau liwat sahaja sedangkan tuduhan mencuri, minum arak ,tak perlukan 4 orang saksi. Sesiapa yang membuat tuduhan zina atau liwath tanpa membawa 4 orang saksi lelaki yang adil boleh di hukum qazaf iaitu di sebat 80 kali dan persaksiannya tak di terima sampai bil-bila. Ini menunjukkan Islam cukup menjaga maruah orang yang di tuduh dan memberi amaran kepada siapa saja jangan mudah membuat tuduhan tidak kira orang tersebut pemimpin, wartawan, juruhebah, ahli politik, pensyarah universiti, guru sekolah, peguam, atau orang kampung maka jika lidah cukup mudah membuat tuduhan tanpa membawa 4 orang saksi sebenarnya menempah dirinya untuk mendapat dosa besar kerana jenayah qazaf.

Dalam Islam sesiapa saja yang melakukan gangguan seksual, rogol, bunuh, ragut, berkhalwat, jika ada bahan-bahan bukti dan hakim puas hati dengan kesalahan yang dilakukan maka terdapat satu lagi hukuman boleh di jatuhkan iaitu takzir. Dalam hukum takzir bukti-bukti sepeti CCTV, DNA, saksi 1 orang, 2 orang atau 3 orang boleh di ambil kira atau pun bukti-bukti yang lain yang boleh di sabitkan kesalahan boleh di gunakan. Islam adalah satu agama yang tak jumud atau kaku dan sentiasa melihat perkembangan zaman.
Dalam Islam jika tak ada 4 orang saksi tetapi orang tersebut membuat pengakuan di hadapan hakim maka pengakuannya boleh di terima dan dia boleh di jatuhkan hukum hudud.

Dalam kes suami isteri dan suaminya melihat sendiri isterinya berzina tak perlu 4 orang saksi memadai suami dan isteri bersumpah (sumpah laknat) di panggil li'an.

Apabila wanita tersebut di dapati mengandung tanpa suami dan hakim meminta pengakuan wanita tersebut jika dia mengaku berzina maka hakim boleh menjatuhkan hukum hudud ke atasnya, jika dia berdusta tak mengaku atas kandungannya oleh kerana tak ada saksi 4 orang yang menyaksikan dia berzina dan tak ada pengakuan orang yang mengandung tadi maka hukum hudud tak boleh di jatuhkan tetapi boleh di jatuhkan hukum takzir, nanti di akhirat jika dia benar-benar berzina akan mendapat hukuman tersebut.

Sebagai peringatan kepada mana-mana umat Islam yang cuba memperkecilkan atau menghina hukum hudud atau mempermain-mainkan syarat 4 saksi yang adil yang di jelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran . Firman Allah SWT maksudnya, " "Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatang 4 orang saksi, maka deralah mereka(yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lama nya. Dan mereka itulah orang-orang yg fasik, kecuali orang yg bertaubat sesudahnya itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Surah an-Nuur ayat 4-5). 


Hudud adalah hukum Allah SWT tidak ada istilah hudud parti politik atau hudud suatu negeri atau negara. Jika Brunei laksanakan hukum hudud itu bukan hudud Brunei tetapi hudud Islam. Terdapat sedikit perbezaan tafsiran di sana-sini di dalam draf undang-undang yang di gubal tak boleh cepat menudud itu bukan hudud islam. Manusia yang mengikut emosi dan taksub kepada pndangan golongan mereka akan mudah membuat tuduhan tanpa berpandukan ilmu dan mengkaji secara ilmiah.

3 comments:

  1. Assalammualaikum..
    Saya hendak bertanya,boleh kah talak taqlik di tarik balik???
    2-suami telah lafaz taqlik yang berbunyi ‘satu sen mak lepaskan dekat ko jatuh talak tiga’ niat dia cakap macam tu hanya menggugut kerana duit nafkah anak-anak saya minta dengan mak mertua saya kalau suami tiada duit kerana suami tak berkerja.jadi soalanyer mak mertua saya boleh tak beri duit pada saya lagi kalau saya minta?????

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum
    Saya nk brtanya apa hukumnya suami apabila suka mengungkit nafkah yg tlah dia bagi slama ni..dan apabila stiap bgaduh dia slalu mngungkit dan mngungkit smula nafkah yg dia bagi

    ReplyDelete
  3. Assallamualaikum ustaz saya nak tya la ape hukumnya bagi suami yang kedekut xpernah mmberi nafkah bulanan pada istri dan selalu menghram kan nafkah berupa makanan yng telah diberikan pada istri nya dan. Juga slalu mengungkit2 nafkah yang diberikan nya sekian saja ustaz pertanyaan saya
    assallamualaikum

    ReplyDelete