بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 231 adalah menjelaskan persoalan hukum wanita mencabut uban, solat tahajud, wanita memakai pendakap gigi, hukum sambutan Maulidur Rasul dan suami suka keluar perkataan kesat.
1111. Soalan : Saya ingin bertanya apakah hukum wanita mencabut uban?
Jawapan :
Mencabut uban terdapat khikaf ulama ada mengatakan haram, atau makruh saja. Hukum mencabut uban dapat dikatakan haram kerana ada dalil tegas mengenai hal ini, sedangkan jumhur ulama mengatakan hukumnya adalah makruh. Namun sebagai seorang muslim yang ingin selalu mengikuti petunjuk Nabinya Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan agar tidak kehilangan cahaya di hari kiamat kelak, maka seharusnya seorang muslim membiarkan ubannya (tidak perlu dicabut). Dengan inilah dia akan mendapat tiga keutamaan:
1. Allah akan mencatatnya kebaikan,
2. dan menghapuskan kesalahan serta.
3. akan meninggikan derajat seorang muslim karena uban yang dia jaga di dunia. Namun, jika uban tersebut berada pada jenggot atau rambut yang tumbuh di wajah, maka ini jelas haramnya. Wallahu a’lam.
1112. Soalan : Mohon pencerahan sedikit berkaitan solat tahajjud..saya mencari diintenet terjumpa bilangan rakaat tahajjud sunnah nabi adalah 11 rakaat atau 13 rakaat termasuk witir 3 rakaat...ada saya terbaca bilangan rakaat tidak terhad mengikut kemampuan..
Jawapan :
Daripada ‘Aishah radhiallahu’ anha, dia berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي بِاللَّيْلِ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُوتِرُ مِنْهَا بِوَاحِدَةٍ.
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam solat malam pada waktu setelah selesai Isyak sampai terbit fajar sebanyak sebelas rakaat dengan salam setiap selesai dua rakaat, lalu berwitir dengan satu rakaat." - (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 736.) Ini bermakna solat tahajujud baginda 10 rakaat dan 1 witir. Dalam hadis yang lain baginda solat tahajud 10 rakaat dan witir 1 rakaat. dan sunat sebelum subuh 2 rakaat. Daripada ‘Aishah radhiallahu’ anha, dia berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ ثَلاَثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْهَا الْوِتْرُ وَرَكْعَتَا الْفَجْرِ.
Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam biasa solat pada malam hari tiga belas rakaat termasuk witir, dan dua rakaat solat fajar (sunat Qabliyah Subuh). - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1140).
Oleh itu banyak hadis sahih menjelaskan solat tahajud nabi SAW adalah 11 rakaat termasuk witir. Boleh juga solat 8 rakaat tahajud dan 3 witir.
Sekiranya Nab SAW mengerjakan solat Tahajjud dengan tidak melebihkannya dari sebelas atau tiga belas rakaat, adakah diperbolehkan bagi kita semua mengerjakannya dengan jumlah rakaat yang mengatasi jumlah rakaat yang dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam? Menurut Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim:
Majoriti ulamak –baik daripada kalangan salaf mahupun khalaf- justeru berpendapat diperbolehkan untuk menambah bilangan rakaat Qiyam al-Lail melebihi sebelas rakaat walaupun mereka tetap menyatakan bilangan sebelas rakaat adalah bilangan yang disunnahkan. Al-Qadhi Iyadh berkata:
Tidak ada perbezaan di kalangan para ulamak bahawa tidak ada batasan yang dilarang, baik untuk menambah atau mengurangkan dalam masalah ini (jumlah bilangan rakaat Qiyam al-lail). Solat adalah satu bentuk ketaatan yang setiap kali bertambah jumlah bilangannya, maka pahalanya pun bertambah. Isu yang menjadi perselisihan adalah hal yang berkenaan dengan perbuatan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan apa yang telah baginda pilih untuk dirinya. Wallahu a’lam.
Ibnu ‘Abdul Barr dalam kitab al-Tamhid berkata:
Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan umat Islam bahawa tidak ada batasan tertentu untuk solat malam. Solat ini adalah salah satu perbuatan sunnah dan kebajikan, sesiapapun boleh melakukannya sedikit dan boleh memperbanyakannya.
Aku (iaitu Syaikh Kamal) katakan: Hal ini menunjukkan bahawa pendapat inilah yang kuat. - Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 653.
1113. Soalan : Apakah hukumnya jika seorang wanita itu menggikir gigi, menyambung rambut palsu dan memakai pendakap gigi? Minta ustaz memberikan pencerahannya.
Jawapan :
1. Mengikir gigi :
Mengadalah meratakan bawah gigi supaya nampak cantik sebab gigi ada tinggi rendahnya tak rata. Termasuk juga mengikir apabila menjarangkan gigi. Wanita arab jahiliah memandang menjarangkan gigi adalah cantik , oleh itu Islam telah melarangnya kerana dia cuba ubah ciptaan Allah SWT.
2. Memakai rambut palsu :
Menyambung Rambut (Memakai rambut palsu)
Haram menyambung rambut dengan rambut ke atas lelaki dan perempuan. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/364) Malahan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melaknat orang-orang yang melakukan perbuatan demikian. Sebagaimana disebutkan oleh beberapa hadis di antaranya daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma berkata:
Maksudnya: "Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melaknat perempuan yang menyambung rambut dengan rambut yang lain, orang yang meminta sambungkan rambut dan orang yang bertatu." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas jelas menerangkan bahawa menyambung rambut perempuan dengan rambut orang lain atau meminta orang lain menyambungkan rambutnya dengan rambut orang lain adalah haram.
Dalam hal menyambung rambut ini para ashab (‘ulama-‘ulama Asy-Syafi‘e) telah menghuraikannya dengan lebih jelas, iaitu tiada perbezaan pendapat ‘ulama mengenai hukum haram menyambung rambut dengan rambut manusia, sama ada rambut lelaki atau perempuan ataupun rambut suami atau mahram. Ini kerana menggunakan atau memanfaatkan rambut manusia adalah haram disebabkan kemuliaannya.
Jika rambut itu bukan berasal daripada manusia dan ianya najis seperti bulu daripada bangkai binatang atau bulu binatang yang tidak boleh dimakan adalah haram disambung dengannya. Sementara rambut bukan kepunyaan manusia yang suci, jika perempuan itu tidak bersuami maka haram dia menyambungnya, melainkan bagi perempuan yang bersuami dan diizinkan oleh suaminya. (Shahih Muslim Bisyarh An-Nawawi: 7/359-360)
3. Memakai kawat gigi (Pendakap gigi)
Jika memakai pendakap gigi niatnya nak cantik maka haram kerana di anggap merubah ciptaan Allah SWT. Tetapi jika tujuannya merawat gigi yang jongang maka di haruskan. Memulihkan gigi yang cacat kerana merawat sesuatu yang rosak adalah di galakkan di dalam Islam.
Pendakap gigi jika untuk merawat gigi supaya normal (tujuan kesihatan) maka ulama mengatakan diharuskan. Nabi SAW bersabda :
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya,“Allah melaknat wanita yang membuat tattoo dan wanita yang telah memakainya, wanita yang mencabut bulu diwajahnya dan wanita yang telah melakukannya, dan wanita yang meluaskan jarak diantara gigi mereka atau orang lain bagi tujuan kecantikan, menukar apa yang Allah telah ciptakan” – (Shahih Muslim NO. 3966).
Imam Al-Nawawi rh didalam memberi komentar terhadap hadith diatas menjelaskan :-
( المتفلجات للحسن ) فمعناه يفعلن ذلك طلبا للحسن , وفيه إشارة إلى أن الحرام هو المفعول لطلب الحسن , أما لو احتاجت إليه لعلاج أو عيب في السن ونحوه فلا بأس والله أعلم .
“Meluaskan jarak gigi – maknanya sesuatu yang dilakukan keatas gigi bagi menjadi seseorang itu kelihatan cantik, dan ini menunjukkan bahawa ia adalah HARAM, iaitu apabila dilakukan bagi tujuan kecantikan, akan tetapi bagi merawat masalah yang berlaku kepada gigi, maka tidak ada salah melakukan, Dan ALLAH yang lebih tahu sebaiknya.”
Braces atau pendakap gigi ini adalah bertujuan membetulan kedudukan gigi atau merawat gigi, dan ia bukan dari larangan yang dinyatakan didalam hadis diatas yang dikategorikan sebagai mengubah ciptaan Allah.
Menurut Dr Rafa’at Fawzi Abdul Muttalib, Prof Universiti Dar al-Ulum, Braces yang membetulkan kerosakan gigi adalah dibenarkan.
Syeikh Faizal al-Moulawi, Naib Pengerusi Majlis Fatwa Eropah berkata :
تقويم الأسنان لأسباب صحية جائز شرعاً، بل قد يكون مطلوباً أيضاً
“Braces atau pendakap gigi bagi tujuan KESIHATAN adalah dibenarkan menurut syara’, bahkan ia juga diperlukan”
Pendakap gigi jonggang diharuskan untuk merawat tetapi jika nak tambah cantik dengan memakai pendakap gigi itu lebih kepada merubah ciptaan Tuhan sama seperti menjarangkan gigi untuk kecantikan (ianya dilarang)
1114. Soalan : Siapakah orang yang pertama menyambut Maulidur Rasul? Apakah hukum menyambut Maulidur rasul adakah harus atau bid'ah?
Jawapan :
Peringatan Maulidur Rasul pertama kali dilakukan oleh Raja Irbil (wilayah Iraq sekarang), bernama Muzhaffaruddin al-Kaukabri, pada awal abad ke 7 hijriyah. Ibn Katsir dalam kitab Tarikh berkata:
“Sultan Muzhaffar mengadakan peringatan Maulidur Rasul pada bulan Rabi’ul Awwal. Baginda merayakannya secara besar-besaran. Baginda adalah seorang yang berani, pahlawan,` alim dan seorang yang adil -semoga Allah merahmatinya-”.
Dijelaskan oleh Sibth (cucu) Ibn al-Jauzi bahawa dalam peringatan tersebut Sultan al-Muzhaffar mengundang seluruh rakyatnya dan seluruh para ulama’ dari berbagai disiplin ilmu, baik ulama dalam bidang ilmu fiqh, ulama hadis, ulama dalam bidang ilmu kalam, ulama usul, para ahli tasawwuf dan lainnya. Sejak tiga hari, sebelum hari pelaksanaan Maulidur Rasul baginda telah melakukan berbagai persiapan. Ribuan kambing dan unta disembelih untuk hidangan para hadirin yang akan hadir dalam perayaan Maulidur Rasul tersebut. Segenap para ulama saat itu membenarkan dan menyetujui apa yang dilakukan oleh Sultan al-Muzhaffar tersebut. Mereka semua berpandang dan menganggap baik perayaan Maullidur Rasul yang dibuat untuk pertama kalinya itu. Bukan sebagaian daripada ulama kita yang baru keluar universiti sudah menghukum bid'ah dan sesat amalan sambutan Maulidur Rasul.
Ibn Khallikan dalam kitab Wafayat al-A`yan menceritakan bahawa al-Imam al-Hafizh Ibn Dihyah datang dari Moroco menuju Syam dan seterusnya ke menuju Iraq, ketika melintasi daerah Irbil pada tahun 604 Hijrah, beliau mendapati Sultan al-Muzhaffar, Raja Irbil tersebut sangat besar perhatiannya terhadap perayaan Maulidur Rasul. Oleh kerana itu, al-Hafzih Ibn Dihyah kemudian menulis sebuah buku tentang Maulidur Rasul yang diberi judul “al-Tanwir Fi Maulid al-Basyir an-Nadzir”. Karya ini kemudian beliau hadiahkan kepada Sultan al-Muzhaffar..
Para ulama’, semenjak zaman Sultan al-Muzhaffar dan zaman selepasnya hingga sampai sekarang ini menganggap bahawa perayaan maulid Maulidur Rasul adalah sesuatu yang baik. Para ulama terkemuka dan Huffazh al-Hadits telah menyatakan demikian. Di antara mereka seperti :
1. Al-Hafizh Ibn Dihyah (abad 7 H)
2. Al-Hafizh al-’Iraqi (W. 806 H)
3. Al-Hafizh Ibn Hajar al-`Asqalani (W. 852 H)
4. Al-Hafizh as-Suyuthi (W. 911 H)
5. Al-Hafizh aL-Sakhawi (W. 902 H)
6. SyeIkh Ibn Hajar al-Haitami (W. 974 H)
7. Al-Imam al-Nawawi (W. 676 H)
8. Al-Imam al-`Izz ibn `Abd al-Salam (W. 660 H)
9. Mantan mufti Mesir iaitu Syeikh Muhammad Bakhit al-Muthi’i (W. 1354 H)
10. Mantan Mufti Beirut Lubnan iaitu Syeikh Mushthafa Naja (W. 1351 H)
Terdapat banyak lagi para ulama’ besar yang lainnya. Bahkan al-Imam al-Suyuthi menulis karya khusus tentang maulidur Rasul yang berjudul “Husn al-Maqsid Fi ‘Amal al-Maulid”. Oleh itu perayaan maulidur Rasul yang biasa dirayakan di bulan Rabi’ul Awwal menjadi tradisi ummat Islam di seluruh dunia, dari masa ke masa dan dalam setiap generasi ke generasi.
Hukum Peringatan Maulid Nabi
Peringatan Maulid Nabi Muhammad Sallallahu`Alaihi Wasallam yang dirayakan dengan membaca sebagian ayat-ayat al-Quran dan menyebutkan sebagian sifat-sifat nabi yang mulia, ini adalah perkara yang penuh dengan berkah dan kebaikan kebaikan yang agung. Tentu jika perayaan tersebut terhindar dari bid`ah-bid`ah sayyi-ah yang dicela oleh syara’. Sebagaimana dijelaskan di atas bahwa perayaan Maulidur Rasul mulai dilakukan pada permulaan abad ke 7 Hijrah.
Ini bererti perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu`Alaihi Wasallam, para sahabat dan generasi Salaf. Namun demikian tidak bererti hukum perayaan Maulidur Rasul dilarang atau sesuatu yang haram. Kerana segala sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu`Alaihi Wasallam atau tidak pernah dilakukan oleh para sahabatnya belum tentu bertentangan dengan ajaran Rasulullah Sallallahu`Alaihi Wasallam sendiri.
Para ulama menyatakan bahawa perayaan Maulidur Rasul adalah sebahagian daripada amalan yang baik. Ertinya bahawa perayaan Maulidur Rasul ini merupakan perkara baru tetapi ia selari dengan al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW dan sama sekali tidak bertentangan dengan keduanya. Adakah satu kesalahan jika kita mengajak seluruh umat Islam mengingati sunah dan perjuangan Rasulullah SAW? Adakah di kira berdosa jika kita mengajak umat Islam bersatu di atas satu wadah perjuangan iaitu menghayati manhaj tarbiyah dan dakwah yang di laksanakan oleh baginda SAW?
Dalil-Dalil mengenai Peringatan Maulidur Rasul :
Peringatan Maulidur Rasul masuk dalam anjuran hadis nabi untuk membuat sesuatu yang baru yang baik dan tidak menyalahi syari`at Islam. Rasulullah Sallallahu`Alaihi Wasallam bersabda:
“مَنْ سَنَّ فيِ اْلإِسْـلاَمِ سُنَّةً حَسَنـَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَىْءٌ”. (رواه مسلم في صحيحه)”.
Maksudnya, “Barang siapa yang melakukan (merintis) dalam Islam sesuatu perkara yang baik maka ia akan mendapatkan pahala daripada perbuatan baiknya tersebut, dan ia juga mendapatkan pahala dari orang yang mengikutinya selepasnya, tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun”.(Hadis Riwayat Muslim di dalam kitab Shahihnya).
Faedah daripada Hadis tersebut:
Hadis ini memberikan kelonggaran kepada ummat Nabi Muhammad Sallallahu`Alaihi Wasallam untuk melakukan perkara-perkara baru yang baik dan tidak bertentangan dengan al-Quran, al-Sunnah, Athar (peninggalan) mahupun Ijma' ulama.
Peringatan maulidul Rasul adalah perkara baru yang baik dan sama sekali tidak menyalahi satu-pun di antara dalil-dalil tersebut. Dengan demikian bererti hukumnya boleh, bahkan salah satu jalan untuk mendapatkan pahala. Jika ada orang yang mengharamkan peringatan Maulidur Rasul bererti ia telah mempersempit kelonggaran yang telah Allah SWT berikan kepada hamba-Nya untuk melakukan perbuatan-perbuatan baik yang belum pernah ada pada zaman Nabi SAW.
Jangan sekali-kali mengkaitkan sambutan Maulidur Rasul yang di raikan oleh umat Islam seluruh dunia dengan ajaran Syiah dan jangan cuba membid'ahkan sesuatu yang baik .
Siapa kita yang lebih hebat daripada Al-Hafizh Ibn Hajar al-`Asqalani (W. 852 H),. Al-Hafizh as-Suyuthi (W. 911 H), Al-Hafizh aL-Sakhawi (W. 902 H)
SyeIkh Ibn Hajar al-Haitami (W. 974 H). Al-Imam al-Nawawi (W. 676 H) dan Al-Imam al-`Izz ibn `Abd al-Salam (W. 660 H) yang membid'ahkan Maulidur Rasul ?
Sedangkan ulama-ulaam besar dahulu tidak keluar pun di lidah mereka perkataan bid'ah dalalah yang sering kita dengan daripada ulama yang kononnya memperjuangkan sunah tetapi banyak membuat dosa memecah belahkan perpaduan umat Islam denagn membuat tuduhan membuta tuli kepada amalan umat Islam masa kini. Wallahu a'lam
1115. Soalan : Apa pandangan ustaz tentang suami yang suka melemparkan kata-kata kesat terhadap isteri dan juga anak-anak walau pun cuma kesslahan kecil.bgaimana kita menghadapi situasi ini...?
Jawapan :
Jika seorang suami suka melemparkan kata-kata kepada isteri dan anak-anak sebenarnya suami sedang mengalami sakit jiwa., hatinya menjadi hitam kerana setiap satu dosa yang dilakukan akan menjadi satu titik hitam dan jika banyak maka penuh di hati itu denagn titik-titik hitam. Seorang suami dan juga seorang bapa perlulah menunjukkan contoh ikutan yang baik, menunjukkan akhlak terpuji sebagaimana di tunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada isteri-isteri dan anak-anak baginda.
Seorang suami perlu berlemah lembut di dalam amalan kehidupan harian dan tegas di dalam perkara dosa yang di lakukan oleh isteri dan anak-anaknya. Seorang suami sepatutnya mendidik isteri dan anak-anaknya jika dia tak mampu nak mendidik dia perlu bawa isteri dan anak-anaknya ke masjid untuk mengikuti kuliah agama atau tazkirah. Tidak sepatutnya kesalaahn kecil yang di lakukan oleh isteri dan anak-anaknya di hembur dengan perkataan ayng kesat dan maki hamun.
Suami seperti ini perlu mengikuti kursus perkahwinan semula atau kursus kaunseling rumah tangga supaya dia faham fugsi perkahwinan dan bagaimana nak didik isteri dan anak-anaknya. Dia akan di tanya di akhirat nanti apa usaha-usaha yang di jalankannya untuk membawa ahli keluarganya kepada ajaran Islam dan menghayatinya pula. Jika dia gagal menjawab persoalan ini akan menyukarkannya ke syurga. Isteri dan anak-anaknya akan mengadu pada Allah SWT selama menjadi suami atau bapa dia tak pernah mengajar kebaikan agama sehingga isteri ahli keluarganya jahil dan melakukan masiat dan dosa.
Sesetengah isteri mengharapkan suaminya berubah, (mestila ke arah yang digemari olehnya), tapi dia sendiri tak pulak berubah ke arah yang disukai suami.
Menegur suami, harus berhati-hati supaya tidak jatuh martabatnya sebagai suami. Bagaimana jatuh martabat suami? Bila dirinya sudah tak dihormati oleh isteri.
Menegur suami cukup hanya sekali.
Seorang isteri harus banyak berdoa untuk suaminya. Doa isteri adalah kunci kejayaan suami. Isteri selaku ibu rumahtangga perlu banyak berdoa demi sebuah keluarga yang bahagia, berjaya, harmoni, gemilang dan cemerlang. Dan ya, sebuah rumahtangga yang mendapat rahmat dan berkat dari Ilahi. Isteri hendaklah menjadi pendorong utama kepada suaminya, dalam menuju cita-cita dan menempa kejayaan.
Oleh itu hubungan suami isteri haruslah dalam keadaan yang sangat baik, agar keikhlasan itu timbul. Perasaan ikhlas tu bukan lahir dari perasaan cinta semata-mata, tapi juga perasaan ihsan dan empati.
Kerukunan rumahtangga lahir dari persefahaman suami isteri. Kerana itu Islam telah menyediakan garis panduan seawal memilih pasangan lagi. Dari 4 ciri pemilihan pasangan – keturunan, rupa paras, harta dan agama, agama adalah elemen terpenting sekali, kerana dengan adanya agama itu, seseorang suami/isteri mudah dibentuk, insya-Allah.
Dari sudut lain, kerana 3 elemen tersebut memang tak sama. Keturunan – kita bernikah dengan keturunan berbeza, walaupun nikah dengan sepupu tapi susur galur keluarga sudah ada percampuran dari cabang keluarga yang berbeza. Harta – mungkin tak sama harta keluarga dan harta pencarian. Cakap mudah, gaji masing-masing mungkin tak sama.
Rupa – sama ada sama-sama cantik atau seorang cantik seorang kurang tapi mestila takkan sama. Tapi agama, bagi kita di Malaysia ni, Islam pasangannya mesti Islam juga. Jadi kita mempunyai persamaan di situ. Dengan itu mudahlah untuk menggembleng tenaga bersama-sama. Kerana itu agama jatuh nombor satu. Kerana sepanjang hidup kita memperjuangkan keturunan, harta, rupa adalah kerana untuk menjaga agama.
Isteri mesti banyak bersabar. Kenapa? Sebab isteri adalah saraf tunjang keluarga. Walaupun suami adalah tulang belakang, tapi saraf tunjangnya adalah isteri. Isteri, walaupun kerja sebagai emgius pun, dia akan menjaga kebajikan keluarganya.
Menjaga anak, memasak, mengemas rumah… bayangkan kalau semasa membuat kerja-kerja tu isteri melakukannya dengan perasaan marah dan tak puasa hati akan menyebabkan rumah tangga ada sedikit masaalah. Suami sepatutnya memahami tugas dan tanggungjawab isteri. Walaubagaimana pun isteri perlu mengajak suami bersama-sama buat kerja rumah supaya dengan ini akan menambah lagi ikatan kemesraan dan kasih sayang.
Perbincangan dua hala amatlah penting. Lebih-lebih lagi di zaman sekarang ni yang mana para isteri ada berbagai ilmu dan mungkin ada banyak alasan. Suami perlu bijak menangani emosi isteri dan isteri perlu cekap dalam mengawal emosinya.
Yang penting, bila teguran kita tak berkesan, semak kembali diri, mungkin cara tegur kita salah, mungkin kita tak pandai menegur, atau mungkin kita sendiri yang patut ditegur! Wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment