Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 224 adalah menjelaskan persoalan hukum membela binatang dalam sangkar, solat yang khusyuk, tuntutan nafkah anak, hutang yang tak di bayar dan kedudukan binatang di akhirat.
1076. Soalan : Ustaz, apakah hukum memelihara binatang peliharaan didalam sangkar atau kurungan yang mana membataskan pergerakkanya, Rantai dikaki Dan Leher Serta, menafikan hak berpasangan?
Jawapan :
Harus kita bela burung di dalam sangkar. Boleh hukumnya memelihara haiwan dalam kurungan seperti ikan, burung, arnab, hamster, dsbnya, asalkan ia dijaga dgn baik dan dijaga makan minumnya...bahkan ia suatu industri yg besar di dunia.
Dalil umum: Firman Allah SWT :
وَالأَنْعَامَ خَلَقَهَا لَكُمْ فِيهَا دِفْءٌ وَمَنَافِعُ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ
Maksudnya,"Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu; padanya ada (bulu) yang menghangatkan dan berbagai-bagai manfa'at, dan sebahagiannya kamu makan."(Surah an-Nahl ayat 5)
Jadi, Allah ciptakan hewan ternak untuk pelbagai kegunaan termasuk utk hiburan dan suka-suka kerana suaranya yg merdu (burung) dan kecantikan.
Dalil hadis: Anas meriwayatkan adiknya bernama Abu Umair yang membela seekor burung nughair, setiap kali nabi menziarahi keluarga Anas, baginda akan bertanya Abu Umair mengenai burungnya itu." (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhori no 6203.)
Membela burung diharuskan di dalam islam yang penting beri makan dan minum dengan cukupnya dan jangan menyeksanya.Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini di dalam Fath al-Bari berkata:
“Hadis ini telah dijadikan dalil atas keharusan mengurung burung (memeliharanya di dalam sangkar), kerana Nabi SAW tidak mengingkari perbuatan Abu Umair.”
Berdasarkan hadis di atas ini bahawa memelihara binatang di dalam sangkar adalah harus kerana memelihara binatang ini adalah sebagai perhiasa di rumah atau hobi seseorang. Islam adalah agama yang sukakan kecantikan, Allah juga sukakan perkara yang cantik. Allah jadikan binatang dan tumbuh-tumbuhan adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia, seperti menjadi rezeki kepada manusia, dijadikan perhiasan dan sebagainya. Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad), “Siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?”(Surah Al-Araf ayat 32)
“Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan”(Surah Al-Nahl ayat 8)
Jelas di sini, bahawa Allah menjadikan sebahagian binatang untuk dimanfaatkan oleh manusia, seperti menjadikan sebagai tunggangan, sumber rezeki dan perhiasa kepada manusia. Tidak menjadi masalah kepada manusia mengambil binatang untuk dipelihara sebagai perhiasan dan hobi. Tetapi perlu diingatkan, jangan menzalimi binatang peliharaan dengan tidak memberi makan, menyiksa dan sebagainya. Menjadi dosa bagi manusia yang memelihara untuk melakukan kezaliman kepada binatang peliharaannya. Hal ini dapat dirujuk kepada pandangan Syaikh bin Baaz sebagai berikut:
“Tidak masalah dengan hal itu bila pemiliknya menyediakan keperluan burung-burungnya, seperti makanan dan air. Karena, berdasarkan hukum asal, diperbolehkan. Sementara itu tidak ada dalil yang menunjukkan penentangan terhadap kaidah ini, berdasarkan atas apa yang kami ketahui. Wallahu’alam.” (Fatawa Islamiyah 4/449).
1077. Soalan : Ustaz saya ada pertanyaan ia itu kerap kali bila saya solat samada berjemaah atau bersendirian, ada masanya saya rasa sangat sangat tenang dan terasa seolah saya tersenyum sambil mata tepat ke arah sejadah, Apa kah maksudnya ustaz. Dan ada ketikanya pula, waktu membaca Al Fatihah, saya rasa sangat sebak dan ingin menangis tapi saya menahannya.. Boleh Ustaz jelaskan maksudnya.
Jawapan :
Solat adalah satu ibadah yang khyusus di antara manusia dengan Allah SWT. Jika kita solat hati rasa seronok dan ketika membaca al-Fatihah dan surah sehingga rasa sebak dan mengalirkan air mata maka itu ada petanda ada ciri-ciri khyusuk.
Semakin seseorang merasai khyusuk maka semakin hampir dirinya dengan Allah SWT. Para sahabat bila mereka solat mereka lupa segala-galanya urusan dunia dan masaalaah kehidupan yang mereka hadapi. Saidina Ali r.a apabila terkena panah di betisnya, untuk di keluarkan panah tersebut ketika beliau solat sunat dan tidak menjerit kesakitan kerana terlau khyusuk kepada Allah SWT semasa beliau solat.
Khusyuk dalam solat adalah satu perkara penting kerana dengan mendapat khusyuk barulah solat kita akan bernilai disisi Allah SWT, Jika kita solat tetapi tidak khusyuk maka kita akan termasuk dikalangan orang yang lalai. Terdapat enam perkara jika kita hayati sebenar-benarnya maka kita akan mendapat khusyuk.
Perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Perasaan takut kepada kebesaran Allah SWT. sebagai Tuhan pencipta seluruh alam membuat diri terasa kerdil, takut dan gentar berhadapan dengan Allah SWT.
2. Keyakinan dan keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT menguatkan lagi ketetapan hati dan keimanan kepada-Nya.
3. Menyerahakan seluruh pergantungan kepada Allah SWT. atas segala sesuatu disamping meletakkan segala pengharapan kepada-Nya dan yakin dengan sepenuhnya janji-janji Allah SWT.
4. Menganggap segala nikmat dan musibah adalah ujian dari Allah SWT. untuk menguji keimanan dan ketakwaan hamba-Nya. Dalam setiap kesusahan akan ada kegembiraan. Manusia hendaklah redha dengan segala ujian dan musibah yang menimpa dan yakin semua yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT.
5. Hendaklah bersikap ikhlas dalam solat dan melakukannya sebagai tanda bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. serta tidak mengharapkan sebarang ganjaran dari-Nya.
6. Sentiasa ingat mati.
1078. Soalan : Ustaz, saya nak tanya pendapat ustaz...boleh ke jika kita nak buat tuntutan nafkah jika ayah si anak tidak mengirim duit nafkah untuk anaknya..?
Jawapan :
Puan boleh mengadu di mahkamah syariah meminta makhamah keluarkan surat perintah kepada bapa kepada anak-anaknya memberikan nafkah secara tetap tiap-tiap bulan . Menurut Islam, seorang isteri berhak mendapat keperluan hidup dan nafkah yang mencukupi daripada suaminya, dan bukan sebaliknya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin (yang bertanggungjawab) terhadap kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.” (Surah an-Nisaa’ 4:34)
Seorang sahabat bernama Hakim bin Mua’wiyah bin Hidah al-Qusyairi r.a. pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami?” Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Memberinya makan apabila kamu makan dan memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” (Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, no. 1830)
Menurut riwayat ini, syarak mempertanggungjawabkan kepada para suami untuk menanggung perbelanjaan makan minum dan pakaian si isteri dan juga anak-anak, dan ini termasuklah tempat tinggal, perubatan dan ilmu yang bermanafaat. Sebagai contoh, seorang suami mampu menyediakan makan minum yang mengenyangkan untuk isteri dan anak-anak berupa nasi dan lauk yang sesuai, itu dikira telah menyediakan nafkah yang cukup walaupun hari-hari makan ikan dan sayur dan hanya sekali dalam sebulan makan daging atau ayam. Wang poket juga tetap perlu diberikan kepada isteri dalam kadar yang sesuai dan munasabah untuk tabungan dan simpanan bagi menghadapi kes-kes kecemasan. Seorang suami yang tidak memberikan wang saku yang sesuai dan munasabah adalah dikira telah melakukan keganasan kewangan kepada isteri, sekiranya isteri adalah seorang surirumah yang tidak mempunyai apa-apa hasil pendapatan selain daripada wang yang diberikan oleh suami.
Seorang isteri yang bekerja juga berhak mendapatkan nafkah 2 persalinan pakaian yang lengkap termasuk kasut,pakaian dalam,tudung dsb dalam setahun.
Semua keperluan ini bergantung dalam konsep yang munasabah menurut syarak. Bermaksud, jika suami sediakan pakaian yang tidak baik, terlalu jarang hingga mendedahkan aurat, atau sediakan rumah tetapi tiada bekalan elektrik atau air, atau sediakan makanan tetapi yang tidak berkhasiat SEDANGKAN suami berkemampuan , maka suami seperti ini dikategorikan sebagai suami yang kikir, bakhil atau kedekut.
Syara’ juga menetapkan kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi kemampuannya yang sebenar.
Jika suami enggan memberi nafkah, maka isteri berhak mengambil duit suami tanpa pengetahuannya mengikut kadar keperluan belanja keluarga.
Hal ini dibenarkan oleh syara’ . Ini berdalilkan kepada riwayat berikut.
Rasulullah SAW telah ditanya oleh isteri Abu Sufian, Hindun binti Utbah bin Rabi’ah yang datang mengadu kepada Baginda SAW, “Wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami?” Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Tidak mengapa engkau mengambil sekadar keperluanmu dengan cara yang makruf.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari no. 2460)
Jika puan sudah bercerai selepas iddah tidak ada lagi nafkah untuk puan kerana puan bebas berkahwin lain , tetapi hak nafkah anak-anak wajib bekas suami memberikannya sehingga anak-anak tersebut bekerja dan boleh mencari nafkah pada dirinya sendiri. Jika anak perempuan walaupun dia belum bekerja tetapi setelah dia berkahwin maka nafkah dirinya akan di tanggung oleh suaminya.
Dalam Islam seorang anak wajib di bin atau bintikan kepada bapa kandung tujuannya adalah kerana harta pusaka si ayah atau ibunya wajib di berikan kepada anak-anaknya walaupun dia di berikan pada orang lain sebagai anak angkat. Bapa akan menjadi wali nikah pada si anak perempuan dan tak boleh bapa angkat menajdi wali nikah. Tidak benar pendapat mengatakan anak yang telah di berikan nafkah tak berhak mendapat harta pusaka si bapa jika dia meninggal dunia. Anak angkat yang telah di berikan kepada orang lain untuk menjaganya pun wajib di berikan harta pusaka inikah pula anak-anaknya yang di berikan nafkah.
1079. Soalan : Ustaz..saya nak tahu boeh ustaz jelaskan..bagi yang gemar berhutang tapi tak nak bayar..bila berhutang dia cakap untuk beli makanan kat anak-anak .siap nangis lagi nak pinjam duit. Tapi saya perhatikan dia beli benda-benda lain. Adakah kita nak berikan lagi pinjam duit pada orang seperti ini?
Jawapan :
Seseorang itu tidak akan berhutang jika dia berada di dalam kesenangan dan mempunyai wang yang cukup untuk perbelanjaan, kerana perasaan malu akan datang jika dia suka-suka meminjam jika dia bukan di dalam keadaan yang terdesak. Seseorang mungkin tidak akan menceritakan keadaan sebenarnya dan menutup aib dirinya.
Seseorang yang di datangi rakan, jiran, ahli keluarga yang berhajat meminjam maka janganlah di marahi atau di berikan sindiran atau menyakiti hati orang yang datang untuk mohon pinjaman, jika kita rasa boleh membantunya silakan itu adalah di kira pahala sedekah, jika kita tak ada wang yang cukup atau kita tak mahu memberikannya maka jangan di berikannya kerana mengungkit-ungkit kisah lama akan menghapuskan pahala kebaikan yang telah kita buat.
Ramai orang merasai rugi kerana wang yang di pinjamkannya tidak dapat bayaran balik tetapi jika dia ikhlas dan sabar menunggu dengan tenang akan wang yang di berikan hutang itu akan menjadi pahala sedekah jika orang tersebut belum mampu membayarnya, jika dia mampu membayarnya tetapi dia tak bayar maka orang yang berhutang akan bayar amal solehnya di akhirat sebanyak mana hutangnya di dunia.
Seorang yang bersabar menuntut hutangnya atau membebaskannya dengan ikhlas akan mendapat perlindungan Arasy di hari akhirat.
Untuk pemberi hutang pula jika orang yang berhutang dengannya tidak berkemampun untuk membayarnya maka berilah tempuh yang sewajarnya atau jika boleh halalkan saja itu lebih baik kerana ada hadis di riwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah SWT. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya." (Hadis Riwayat Tirmizi).
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah SWT akan merahmati seorang yang lapang dadanya ketika menjual,membeli dan menagih hutang" (Hadis Riwayat Bukhari dari Jabir r.a.)
Sifat orang mukmin yang akan mendapat rahmat Allah SWT apabila dia berlapang dada semasa dia berniaga menjual barang kepada pelanggannya. Tidak menipu timbangan dan jelas akad jual beli tidak ada unsur-unsur menipu pelanggannya. Begitu juga ketika dia membeli tidak cerewet dan mudah dan mesra semasa membeli jika dia meminta potongan harga adalah dengan harga yang berpatutan tidak menyakitkan hati penjual. Begitu juga sifat mukmin yang terpuji sentiasa berlapang dada semasa menuntut hutangnya dan masih memberi ruang masa jika orang yang berhutang masih belum mampu. Dia tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang berhutang dan sentiasa menjaga ukhwah dan silaturahim.
Terdapat katu kisah dizaman Bani Israel seorang lelaki yang kurang amal ibadahnya ketika di dunia tetapi cukup berlapang dada semasa menuntut hutangnya apabila ditanya oleh Allah SWT di hari akhirat tentang amalan kebaikannya. Beliau menjawab semasa menuntut hutang dia berlapang dada dan tidak membebankan orang yang berhutang, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya dan dia dimasukkan kedalam syurga dengan rahmat Allah SWT.
1080.Soalan : Ustaz rakan saya bersedih kerana kehilangan binatang peliharaannya yang dia sayang. Saya ingin bertanya adakah ada hadis menceritakan kedudukan binatang di dunia ini adakah mereka juga akan di himpunkan di Padang Mahsyar?
Jawapan :
Semua binatang yang melakukan kesalahan seperti menanduk binatang lain akan di hisab dan di berikan pembalasan setelah itu binatang tersebut akan menjadi tanah. Binatang tak masuk syurga atau neraka. Sesungguhnya makhluk yang pertama kali diadili oleh Allah Ta’ala adalah binatang, bukan manusia ataupun jin. Allah Ta’ala berfirman:
وَإِذَا الْوُحُوْشُ حُشِرَتْ (5)
Maksudnya : “Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan.” (QS. At-Takwir: 5), yakni dikumpulkan di hari Kiamat untuk diadili.
وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ طَائِرٍ يَطِيْرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلاَّ أُمَمٌ أَمْثَالُكُمْ مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ يُحْشَرُوْنَ (38)
Maksudnya : “Dan tiadalah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan umat-umat (juga) sepertimu. Tiadalah Kami lupakan sesuatu apapun di dalam Al-Kitab kemudian kepada Rabb-lah mereka dihimpunkan.” (Surah al-An’aam ayat 38)
Syaikh Muhammad bin Sholih al-‘Utsaimin rahimahullah mengatakan, “Pada hari kiamat kelak, seluruh binatang akan dikumpulkan, sedangkan manusia menyaksikannya. Kemudian binatang-binatang itu diadili, sehingga binatang yang tidak bertanduk akan menuntut balas terhadap binatang bertanduk yang telah menanduknya di dunia. Setelah binatang tersebut diqisas, Allah akan mengubahnya menjadi tanah. Allah melakukannya untuk menegakkan keadilan di antara makhluk-Nya.” (Tafsiir Juz ‘Amma, hal. 70)
Hisabnya hewan ini disaksikan oleh para malaikat, orang-orang yang beriman dan juga orang-kafir. Setelah binatang diadili, Allah Ta’ala berfirman: “Jadilah tanah!” Maka binatang-binatang itu berubah menjadi tanah. Tatkala melihat hewan itu diubah menjadi tanah, orang-orang kafir itu mengatakan, “Alangkah baiknya jika aku menjadi tanah.” Inilah salah satu makna firman Allah Ta’ala:
وَيَقُوْلُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرَابًا (40)
Maksudnya : “Dan orang kafir itu berkata, “Alangkah baiknya sekiranya aku menjadi tanah saja.” (Surah an-Naba ayat 40).
No comments:
Post a Comment