Monday, February 9, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 215 (Cara Wanita Beristihadah Solat, Hukum Penggunaan Wang Haram Untuk Nafkah, Mengambil Upah Mengajarkan al-Quran, Kewajipan Nafkah Untuk Isteri dan Suami Terminum Susu Isteri.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 215 adalah menjelaskan persoalan cara wanita beristihadah solat, hukum penggunaan wang haram untuk nafkah, mengambil upah mengajarkan al-Quran, kewajipan nafkah untuk isteri dan suami terminum susu isteri.

1031. Soalan : Bolehkan ustaz terangkan bagaimana cara wanita yang mengalami darah istihadah hendak mengerjakan solat?

Jawapan : 

Hukum-hukum bagi wanita beristihadah :

Wanita beristihadah adalah tidak terhalang daripada melakukan solat, berwuduk, membaca al-Quran dan perkara-perkara lain yang diharamkan ketika haid, kecuali bersetubuh. Walau bagaimanapun terdapat khilaf dalam hal bersetubuh ketika waktu syak di antara haid dan nifas, tetapi jika diyakini darah tersebut adalah istihadah, bersetubuh tidak terlarang.

Wanita beristihadah wajib meletakkan tuala wanita (pad) di kemaluannya bagi menghalang darah keluar supaya tidak terkena pakaian dan tempat ia berjalan.

Jumhur ulama menyatakan wanita yang istihadah tidak terlarang dari menunaikan solat, cuma dia perlulah mengambil wuduk setiap kali sebelum solat fardu. Dia boleh solat walaupun darah itu turun selama mana dia menutup farajnya dengan tuala wanita (pad).

Dalil dari Fatimah binti Abi Jaish bahawa beliau berkata; "Ya Rasulullah, aku adalah wanita beristihadah, aku tidak bersih, apakah aku boleh meninggalkan solat? maka Nabi menjawab, itu adalah darah sakit bukannya haid, apabila datang haid, tinggalkan solat, apabila tamat haid maka mandilah kemudian tunaikan solat." (Hadis Riwayat Tirmizi dengan 3 riwayat dan beliau menyatakan ketiga-tiga riwayat ini adalah hasan.)

1) Wanita beristihadah perlu mengambil wuduk setiap kali sebelum solat fardu. Selepas itu dia boleh menunaikan solat fardu seperti qada' dan solat-solat sunat pada satu waktu solat fardu. (Mazhab Hanafi, Hambali dan Maliki). 

Jika dia meniatkan wuduk itu untuk mengharuskan sembahyang fardu secara umum tanpa menentukan adakah ia sembahyang fardu Subuh, atau sembahyang fardu Zuhur, atau sembahyang fardu Asar dan sebagainya, misalnya dia berniat: “Sahaja aku berwuduk bagi mengharuskan sembahyang fardu kerana Allah Ta‘ala”, maka dalam hal ini dia boleh mengerjakan apa sahaja satu sembahyang fardu yang lain seperti sembahyang qada' dan beberapa apa sahaja sembahyang sunat. 

2) Wanita beristihadah perlu berwuduk setiap kali solat fardu dan wajib tetapi dibolehkan menunaikan solat sunat pada satu waktu sebanyak mana dia mahu (Mazhab Syafie)

Terdapat banyak kemungkinan berlakunya darah istihadah ini. Dari sudut kesihatan, pendarah dalam rahim wanita mungkin disebabkan penyakit-penyakit tertentu dalam badan terutamanya rahim. Dikhuatiri juga pendarahan ini menjadi simptom kepada tumor yang ada dalam rahim. Tumor jika dibiarkan tanpa dirawat boleh merebak menjadi barah atau Kanser. Tetapi harus diingat, tidak semuanya adalah kerana tumor, boleh jadi juga kerana tekanan atau keadaan hormon dalam badan yang tidak seimbang.

Walau bagaimanapun, dapatkan pemeriksaan doktor sebelum ianya menjadi lebih teruk. Pencegahan lebih baik dari rawatan. Amalkan gaya hidup sihat!

Rujukan : Fikh Kerahsiaan Wanita oleh Dr. Saadudin Mus'ad Hilali.

1032. Soalan : Saya nak tanya jika ayah belanja anak anaknya menggunakan duit dari hasil yang haram adakah anak-anaknya juga mendapat dosa jika dia menggunakan barang yang dibeli makanan atau barang-barang lain oleh ayah dari sumber yang haram?

Jawapan :

Kewajipan bapa memberi nafkah pada isteri dan anak-anak. Anak-anak terima wang nafkah daripada bapanya. Jika bapanya bawa wang haram maka anak tak berdosa kerana anak ambil nafkah daripada bapanya dan bapanya dapat dosa kerana mencari atau mendapatkan wang haram sebagai nafkahnya. Sama juga jika seseorang bayar hutang kita menggunakan wang haram, maka kita boleh ambil duit kita yang seseorang hutang kerana kita tak terlibat dalam wang haram yang di lakukan oleh seseorang.

Al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin r.h pernah ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya. Beliau menjawab:
“Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi SAW pun menerima hadiah dari yahudi, memakan makanan yahudi, membeli dari yahudi sedangkan yahudi terkenal dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah SAW memakannya dengan jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang halal, maka tidak mengapa”

Darah daging tetap terjadi daripada wang haram yang di bawa balik oleh ayahnya tetapi isteri dan anak-anak tak berdosa, yang akan tanggung dosa adalah ayahnya. jika kehidupan keluarganya tak berkat maka yg bersalah adalah ayahnya tadi yg beri makan dari wang yg haram. Jika isteri dan anak-anak tak gunakan wang tersebut mereka nak dapat wang daripada mana? takkan nak minta sedekah. Oleh itu darisegi hukum wang tersebut halal untuk isteri dan anak-anak tetapi dosanya di tanggung oleh ayahnya.

1033. Soalan : Apakah hukumnya mengambil upah daripada mengajarkan membeca al-Quran untuk anak-anak di kawasan taman tempat saya tinggal?

Jawapan : 

Mengambil upah mengajarkan al-Quran di haruskan. Imam Ibnu Rushd al Hafid menjelaskan: Adapun meminta upah untuk mengajarkan al-Quran, sekelompok fuqaha berselisih dengan memakruhkannya , namun sebahagian yang lain mengharuskannya. Mereka yang mengharuskannya telah mengqiaskan pada amalan yang lain dan berhujah dengan apa yang diriwayatkan oleh Kharijah Bin al-Somit dari bapa saudaranya beliau berkata:

“Aku telah menerima Islam dari sisi Nabi SAW. Setelah selesai aku pun pulang. Di perjalanan aku telah melalui sebuah perkampungan. Di situ terdapat seorang lelaki yang terkena penyakil gila dengan tubuh badannya telah dirantai. Lalu salah seorang dan keluarganya berkata: “Sesungguhnya aku telah mendengar berita bahawa kamu ini telah datang dari lelaki (Nabi saw) membawa kebaikan. Jadi, adakah sesuatu yang telah anda dapati untuk merawat si malang ini ?”. Maka aku katakan kepada mereka: “YA” Lalu aku pun menjampikannya dengan surah al Faatihah selama 3 hari setiap pagi dan petang.

Dengan izin Allah lelaki tersebut pulih seperti sediakala. Keluarga lelaki itu kemudiannya menghadiahkan kepada aku seratus ekor kambing. Aku berkata kepada mereka: “Jangan sehinggalah aku bertanyakan hal ini kepada Nabi saw terlebih dahulu”. Aku kemudiannya terus pergi berjumpa Rasulullah S.A.W. dan menceritakan segala yang telah berlaku. Rasulullah S.A.W. kemudiannya bersabda:”Adakah engkau (telah menambah dengan apa-apa jampi lain) selain dari (surah al Fatihah) itu ?””Tidak!” Jawabku. Seterusnya Rasulullah S.A.W. bersabda: “Ambillah kambing-kambing tersebut, demi umurku, (adalah haram sama sekali barangsiapa yang memakan hasil dari) jampi yang batil (tidak betul).

Sesungguhnya kamu telah memakan hasil jampi yang hak (benar)”.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘ed Al-Khudri, beliau berkata:

“Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi W`asallam mengutus kami dalam suatu peperangan, lalu kami singgah berhenti pada suatu kaum. Kemudian kami meminta kepada mereka agar menjamu kami. Tetapi mereka enggan menjamu kami. Lalu ketua mereka disengat (kalajengking). Mereka pun datang berjumpa kami.

Lalu mereka berkata: “Adakah di antara kamu sesiapa yang boleh menjampi untuk mengubat sengatan kalajengking?” Aku (Abu Sa‘ed) berkata: “Ya, tetapi aku tidak akan menjampinya sehingga kamu memberikan kambing kepada kami.” (Salah seorang kaum itu) berkata: “Sungguh, saya akan memberikan kepada kamu tiga puluh ekor kambing.”

Kami pun bersetuju, kemudian aku membacakan kepadanya Al-Hamdulillah (Al-Fatihah) sebanyak tujuh kali. Setelah itu ketua kaum itu pun sembuh dan kami menerima kambing. Dia (Abu Sa‘ed) berkata: “Lalu timbul sesuatu dalam fikiran kami, kemudia kami berkata: “Janganlah tergesa-gesa sehingga kamu menghadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.” Dia (Abu Sa‘ed) berkata: “Apabila kami datang menghadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam aku pun menceritakan kepada Baginda apa yang telah aku lakukan.” Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bagaimana kamu tahu bahawa (surah Al-Fatihah) itu adalah jampi? Terimalah kambing itu dan berilah aku bahagian bersamamu.”

Adapun mereka yang memakruhkan upah dalam pengajian al-Quran, mereka berpendapat bahawa ia seperti mengambil upah dalam mengajar solat bahkan upah yang disebutkan itu adalah dalam hal jampi sama ada jampi dengan ayat al-Quran atau pun selainnya. Meminta upah padanya di sisi kami adalah harus seperti menerima rawatan, sebahagian lain pula berpendapat hal mendapatkan rawatan itu bukanlah hal yang wajib kepada semua manusia, tetapi mengambil upah mengajar al-Quran adalah WAJIB kepada semua orang. 

Jld 2 m/s 168 -169 Kitab Bidayah Al-Mujtahid Wa Nihayah Al-Muqtasid Ibn Rushd Al-Hafid (W 595h) 

Jika kita rujuk pula kitab bada’ie al-Sona’ie fi Tartib al-Syara’ie juzuk 4 halaman 191 yang ditulis oleh Ala’uddin al-Kasani al-Hanafi (w587h) Adalah fardhu ain (pada setiap mukallaf), tidak sah juga meminta upah dalam mengajarkan ilmu kerana ilmu itu fardhu ain, begitu juga tidak sah dalam mengajarkan al-Quran di sisi kami, (Hanafi) namun IMAM AL-SYAFIE berkata: Mengambil UPAH dalam mengajarkan al-Quran adalah HARUS, kerana meminta UPAH pada kerja yang diketahui dengan kadar yang dimaklumi, maka hukumnya HARUS!! 

Al-Hakam bin Utaibah berkata : Tidak aku ketahui seseorang pun (dari kalangan sahabat dan tabi’en) yang memakruhkan untuk mengupah seorang guru. Dan apa yang SAHIH dari ‘Atho dan Abi Qilabah adalah HARUS mengupah guru untuk mengajar al-Quran. Al-Hasan (al-Basri) dan ‘Alqamah di dalam satu pendapat mereka turut mengharuskan memberi upah dalam kerja menyalin al-Quran. 

Sila rujuk Kitab al-Muhalla karya Ibn Hazm (w456h) juzuk 8 m/s 196. 

Akhir sekali kita ambil penjelasan dari kitab Tuhfatul Ahwazi karya Abd Rahman al-Mubarakfuri dalam juzuk 6 m/s 191:

Imam al-Syafie memberi izin bagi guru yang mengajarkan al-Quran diambil upahnya. Sependapat dengan al-Syafie beberapa Imam lain seperti Imam Malik, Ahmad, Ishaq (ibn Rahawaih), Abu Tsaur dan selain mereka dari kalangan ulama SALAF dan para ulama selepas mereka. Ulama yang mencegah perbuatan tersebut hanyalah Imam Abu Hanifah yang mengharuskannya hanya di dalam jampi sahaja (berpaksikan hadis di atas) sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab syarah Muslimnya. Dan berkata pula Imam al-Hafiz (Ibn Hajar) sesungguhnya dinaqalkan daripada Iyadh (al-Qadhi Iyadh al-Maliki) diharuskan mengambil upah dari mengajarkan al-Quran dari SELURUH ULAMA kecuali ulama Hanafi sahaja.

Dalam hadis sahih belajar al-Quran dan mengambil upah adalah di haruskan bukan haram atau di larang. Hadis tersebut maksudnya haram mengambil upah sedangkan hadis sahih yang lain mengharuskannya.

1034. Soalan : Suami saya cukup berkira memberi nafkah untuk keluarga, perbelanjaan keluarga sering tidak mencukupi. Saya tahu suami ada wang simpana di dalam rumah , adakah boleh saya mengambilnya tanpa pengetahuannya untuk keperluan keluarga kami? Adakah saya di kira berdosa mengambil wang tersebut tanpa izin suami?

Jawapan : 

Menurut Islam, seorang isteri berhak mendapat keperluan hidup dan nafkah yang mencukupi daripada suaminya, dan bukan sebaliknya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin (yang bertanggungjawab) terhadap kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.” (Surah an-Nisaa’ (4) ayat 34)

Seorang sahabat bernama Hakim bin Mua’wiyah bin Hidah al-Qusyairi r.a. pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami?” Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Memberinya makan apabila kamu makan dan memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” (Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, no. 1830)

Menurut riwayat ini, syarak mempertanggungjawabkan kepada para suami untuk menanggung perbelanjaan makan minum dan pakaian si isteri dan juga anak-anak, dan ini termasuklah tempat tinggal, perubatan dan ilmu yang bermanafaat. Sebagai contoh, seorang suami mampu menyediakan makan minum yang mengenyangkan untuk isteri dan anak-anak berupa nasi dan lauk yang sesuai, itu dikira telah menyediakan nafkah yang cukup walaupun hari-hari makan ikan dan sayur dan hanya sekali dalam sebulan makan daging atau ayam. 

Wang poket juga tetap perlu diberikan kepada isteri dalam kadar yang sesuai dan munasabah untuk tabungan dan simpanan bagi menghadapi kes-kes kecemasan. Seorang suami yang tidak memberikan wang saku yang sesuai dan munasabah adalah dikira telah melakukan keganasan kewangan kepada isteri, sekiranya isteri adalah seorang surirumah yang tidak mempunyai apa-apa hasil pendapatan selain daripada wang yang diberikan oleh suami.

Seorang isteri yang bekerja juga berhak mendapatkan nafkah 2 persalinan pakaian yang lengkap termasuk kasut,pakaian dalam,tudung dsb dalam setahun.

Semua keperluan ini bergantung dalam konsep yang munasabah menurut syarak. Bermaksud, jika suami sediakan pakaian yang tidak baik, terlalu jarang hingga mendedahkan aurat, atau sediakan rumah tetapi tiada bekalan elektrik atau air, atau sediakan makanan tetapi yang tidak berkhasiat SEDANGKAN suami berkemampuan , maka suami seperti ini dikategorikan sebagai suami yang kikir, bakhil atau kedekut.

Syara’ juga menetapkan kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi kemampuannya yang sebenar.

Jika suami enggan memberi nafkah, maka isteri berhak mengambil duit suami tanpa pengetahuannya mengikut kadar keperluan belanja keluarga.
Hal ini dibenarkan oleh syara’ . Ini berdalilkan kepada riwayat berikut.
Rasulullah SAW telah ditanya oleh isteri Abu Sufian, Hindun binti Utbah bin Rabi’ah yang datang mengadu kepada Baginda SAW, “Wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami?” Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Tidak mengapa engkau mengambil sekadar keperluanmu dengan cara yang makruf.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari no. 2460)

Maka jika puan berhadapan dengan suami seperti ini, puan boleh mengambil secara diam-diam sejumlah wang yang sesuai untuk menampung perbelanjaan bagi keperluan yang patut dan wajar untuk diri sendiri dan anak-anak, pembantu jika ada, tanpa menanggung apa-apa dosa bahkan puan sebenarnya telah meringankan beban siksa suami puan dihadapan Allah Taala di yaumil akhirat nanti.

1035. Soalan : Saya nak tanya soalan.. Apakah hukum suami minum susu isteri.? Ada setengah kata haram dn ada setengah kata harus....

Jawapan :

Allah memberikan kebebasan bagi suami isteri untuk menikmati jimak sesuai dengan kaedah dan cara yang dianggap sesuai menurut syarak. Maksudnya memenuhi kepuasan nafsu dengan tidak melampaui nilai dan adab.

Namun begitu, Islam juga menggariskan batas-batas jimak tersebut, seperti dilarang menjimak isteri ketika haid atau nifas, dilarang menjimak dubur isteri dan lain-lain.

Mengenai persoalan terminum susu isteri ketika bersetubuh sama ada secara sengaja atau sebaliknya. Harus menghisap payu dara isteri ketika berjimak, tetapi jika isteri dalam tempoh menyusukan anak adalah lebih baik tidak menghisapnya sampai terminum susu dari tubuh isteri.

Ini kerana mungkin mulut si suami boleh membawa kuman dan anak yang menghisap susu itu boleh terdedah kepada sebarang jangkitan kuman.

Perkara yang kedua ialah susu itu hak si anak dan bukan hak si suami. Walaupun dengan meminum susu si isteri tidak menjadikan lelaki itu bapa susuan. Sekiranya perbuatan suami itu membawa mudarat kepada bayi dengan jangkitan kuman atau susu berkurangan, maka hukumnya haram.

No comments:

Post a Comment