Monday, February 23, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 221 (Isteri Enggan Bersama Suami, Hukum Percaya Pada Nasib, Hukum Membenci Alim Ulama, Hukum Amalkan Selawat Syifa', Dan Hukum Membuat Tahlil Arwah.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 221 adalah menjelaskan persoalan isteri enggan bersama suami, hukum percaya pada nasib, hukum membenci alim ulama, hukum amalkan selawat syifa', dan hukum membuat tahlil arwah.

1061. Soalan : Ustaz yang dikasihi.saya ada satu kemusykilan tentang isteri yang malu nak melayan suami setelah ada dua anak.juga masih tidur dengan anak dalam satu bilik.malah suaminya tidur berseorangan.si-isteri ini sebelumnya mengamalkan pil perancang dan tak mahu anak lagi.macam mana nak terjemah kalau mengikut hukumnya ustaz.orang yang sihat dan cukup keperluan dari suami.boleh ustaz terangkan serba sedikit untuk saya dan kawan-kawan berkongsi..terima kasih ustaz.

Jawapan : 

Seorang isteri tidak boleh bersikap dingin dengan suaminya. Kerana hak bersama adalah salah satu kewajipan isteri memberikannya kepada suaminya. Jika suaminya memanggil isteri ke tempat tidur dan isterinya enggan datang (bukan kerana uzur atau sakit) dan tidur suaminya dalam keadaan marah, malaikat melaknat si isteri sehingga subuh. 

Hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu sebagaimana yang disebutkan di atas mengenai isteri yang nusyuz.“Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari) . 

Dalam Islam terdapat cara-cara merancang keluarga secara natural tak payah makan pil perancang keluarga. Para sahabat pernah buat cara 'azal iaitu bila sampai kepada kemuncak suami lepaskan air mani di luar faraj supaya air mani suami tak bercampur dengan air mani isteri supaya tak berlaku persenyawaan. 

Daripada Jabir r.a beliau berkata : Kami pernah melakukan Al-‘Azal di zaman Rasulullah SAW dan perkara itu sampai ke pengetahuan baginda SAW , tetapi Baginda SAW tidak pula menegah kami daripada melakukan perkara tersebut “ ~ ( Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim – Kitab An-Nikah – 2610 ) .

1062. Soalan : Apa hukumnya ketika saya melamar kekasih saya tetapi ditolak orang tuanya hanya kerana hisab nama saya dengan kekasih saya hasilnya tidak berkebaikan,Minta ustaz memberikan pencerahannya.

Jawapan : 

Jika penolakkan orang tua bakal isteri kerana kiraan nama (lelaki dan perempuan) kononnya tak sesuai perbuatan tersebut adalah HARAM dan boleh jatuh syirik. Tidak sepatutnya orang beriman boleh mempercayai nujum dan perkara kurafat. Tidak ada kena mengena jumlah huruf nama dengan kesesuian dan jodoh. Islam suruh memilih agamanya bukan tenung nasib kerana namanya tak sesuai. Mintalah orang tua gadis tersebut bertaubat kepada Allah SWT.

Syaitan sentiasa ada di keliling manusia yang cuba menyesatkan manusia dengan telik nasib dan nujum, semua perbuatan ini adalah daripada perbuatan syaitan.

Untuk menjaga akidah kita supaya tidak dicemarkan oleh kepercayaan dan amalan syirik dan kurafat maka kita perlulah sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran dan sunah Rasulullah S.A.W. Banyak terdapat ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A.W. yang melarang umatnya daripada kepercayaan yang membawa kepada syirik dan juga kepercayaan kurafat .

Di dalam kepercayaan masyarakat melayu terdapat beberapa kepercayaan dan amalan yang dipegang turun temurun yang mana kepercayaan tersebut  boleh menjejaskan akidah kita kerana pergantungan  kepada kejadian tersebut. Oleh itu perlulah kita jauhi perkara syirik, kurafat dan kepercayaan yang tidak ada sandaran yang sahih :

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Mempercayai bulan safar membawa sial dan bala bencana.

2. Mempercayai burung hantu berbunyi diwaktu malam akan ada orang nak mati atau ada bala bencana.

3. Percaya bahawa apabila hujan panas ada orang nak mati.

4. Percaya kalaulah cicik berbunyi maknanya betullah cakap kita.

5. Biawak lintas jalan ada petanda urusan hari itu gagal tak boleh diteruskan. Jika diteruskan akan gagal.

6. Bila ada kupu-kupu masuk rumah akan ada tetamu nak datang ke rumah.

7. Bila tangan kanan bergerak-gerak akan ada rezeki, begitu juga bila tangan kiri bergerak akan habiskan rezeki yang ada.

8. Telik tapak tangan dan mempercayai urat-urat tertentu boleh membawa tuah atau sebaliknya.

9. Apabila ada pingan pecah maka akan ada bala nak datang atau ada sesuatu kemalangan akan berlaku.

10. Bila makan tersedak ada orang sebut nama kita atau ada orang sedang mengingati kita.

Masyarakat melayu morden pula percaya :

1. Rahsia tarikh lahir untuk motivasi diri.

2. Nombor tertentu membawa tuah dan nombor tertentu membawa bencana. Contoh no. 8888,9999 boleh bawa tuah dan no. 4444, 13 bawa musibah.

3. Percaya setiap individu ada nombor peribadi yang bertuah.(Nombor 1 hingga 9)

4. Percaya bahawa  dalam bulan Januari hingga bulan Disember terdapat bintang-bintang tertentu jika lahir dalam bulan tersebut ada tuah-tuah tertentu dan keburukan-keburukan tertentu. Contoh bila lahir pada 20 Januari- 18 Februari (Bintang Aquarius) dan  22 Desember - 19 Januari (Bintang Capricorn). dan lain-lain.

{Kepercayaan ini telah berakar umbi dalam masyarakat kita terutama belia dan remaja oleh itu kita perlu menjelaskan kepada masyarakat percaya pada bintang ini adalah boleh bawa kepada syirik)

Kita wajib membuangkan segala bentuk kepercayaan orang-orang melayu yang tidak ada nas dalam al-Quran dan hadis Nabi S.A.W. kerana semua perkara ghaib mestilah ada nas dan rujukkan kepada dua sumber tersebut.

Sabda Nabi S.A.W. yang maksudnya :  " Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya kamu tidak akan sesat, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan al-Sunnah Rasul-Nya." (Hadis Riwayat Malik)

1063. Soalan : Ustaz,bagaimana pandangan ustaz mengenai orang yang rajin berselawat kepada Baginda Nabi SAW tapi dalam waktu yang sama tidak menghormati alim ulama, memandang rendah kepada alim ulama?

Jawapan :

Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna. Apabila seseorang cinta kepada Rasulullah SAW maka dia kena cinta kepada sunah baginda. Ajaran yang di bawa oleh baginda SAW adalah sentiasa menghormati dan mengasihi para ulama kerana ulama yang jujur dan ikhlas adalah ulama pewaris para nabi dan Rasul.

 Golongan yang menghina ulama perlu perhatikan ayat-ayat al-Quran seperti berikut 

Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah , maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barangsiapa disesatkan oleh Allah, maka merekalah orang-orang yang merugi ". [ Surah Al a'raf (7) ayat 178]

"Sebenarnya, Al-Qurân itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu .Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim." [Surah al-Ankabût (29) ayat 49]. 

Firman Allah SWT :

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ

Maksudnya: “Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain”. [Surah Al-Baqarah ayat 85].

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :"Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya dengan itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan denganya Tuhan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izinNya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang betul dan lurus." [Surah Al-Maidah ayat 15-16]

1064. Soalan : Ustaz boleh tak perjelaskan soalan saya di bawah :

1. Apa maksud kitab dalam bahasa arab dan pecahan-pecahan sebelum menjadi sebuah al Quran. Semoga ustaz dapat perjelaskan untuk pengetahuan.

2. Apa itu selawat asyifa....apa kelebihanannya jika diamalkan.

Terima kasih semoga ustaz dapat memberikan pencerahannya.

Jawapan :

Terdapat lebih daripada 10 nama Al-Quran dirakamkan oleh Allah dalam kitabNya. Nama-nama itu menepati ciri-ciri dan kriteria Al-Quran itu sendiri. Salah satu nama al-Quran adalah al-Kitab.

1. Al-Kitab (Kitab).

Perkataan Kitab di dalam bahasa Arab dengan baris tanwin di akhirnya (kitabun) memberikan makna umum iaitu sebuah kitab yang tidak tertentu. Apabila ditambah dengan alif dan lam di depannya menjadi (Al Kitab) ia telah berubah menjadi suatu yang khusus (kata nama tertentu). Dalam hubungan ini, nama lain bagi Al-Quran itu disebut oleh Allah adalah Al-Kitab.

Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, (menjadi) petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (Surah al-Baqarah ayat 2) Al-Quran merupakan Kalam Allah yang mengandungi ayat-ayat Allah yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibrail untuk disampaikan kepada semua manusia. Al-Quran merupakan mukjizat yang paling agung yang telah mendapat jaminan daripada Allah SWT akan kekal terpelihara. Penurunan ayat-ayat al-Quran adalah se ayat demi se ayat sehingga lengkap 30 juzuk dan mengandungi 114 surah. dan jumlah ayat-ayat al-Quran adalah 6236 ayat.

2. Kedudukan selawat syifa' :

Majlis Fatwa Negeri Perlis : Hukum Selawat Syifa (Ibadah)

Tarikh Keputusan: 29 Jan, 2007

Keputusan: Pada 29 Januari 2007, setelah meneliti dan membahaskan secara teliti mengenai selawat syifa", Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis sebulat suara membuat keputusan seperti berikut:

Selawat adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh syarak, namun selawat syifa" yang diamalkan oleh sebahagian anggota masyarakat telah didapati tidak bersumberkan daripada apa-apa sumber Islam yang muktabar iaitu nas-nas al-Quran atau as-Sunnah. 

Bahkan kandungan selawat ini amat mengelirukan dan bercanggah dengan prinsip-prinsip aqidah Islam kerana memberikan unsur-unsur ketuhanan kepada baginda ar-Rasul SAW. Adapun andaian-andaian sesetengah pihak dalam membela maksud selawat tersebut tidak dapat diterima dari segi ilmiahnya.

1065. Soalan : Ustad, betul ke majlis tahlil tu makruh. Apa hukumnya buat tahlil?. Boleh beri pencerahan. Terima kasih

Jawapan :

Mengadakan majlis kenduri tahlil adalah harus bukan makruh. Jika ada keluarga yang berhajat mengadakan majlis tersebut untuk arwah ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia untuk hadiahkan bacaan al-Quran dan tahlil untuk arwah adalah di haruskan. Menjamu ahli kariah dan jiran tentangga dengan makanan dan minuman adalah amal baik yang akan di berikan pahala oleh Allah SWT dengan amalan tersebut akan merapatkan lagi ukuwah Islamiah di kalangan ahli kariah dan jiran tetangga.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 9 September 2002 telah membincangkan mengenai Hukum Membaca Surah Yasin Dan Tahlil Berjemaah.

Fatwanya adalah :

Segala bentuk sedekah seperti kenduri, membaca ayat-ayat Al-Quran dan segala bentuk zikir, tahlil adalah harus dan pahalanya إن شاء الله sampai kepada simati yang ditujukan dengan syarat diniatkan semua pahala amalan-amalan kebajikan tersebut untuk simati dengan penuh keikhlasan.

Ulama telah membahaskan samaada bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada simati sampai atau tidak? Ada yang berpendapat pahala bacaan al-Quran tersebut sampai dan ada yang berpendapat tidak sampai. 

Majoriti ulama berpendapat bacaan tersebut akan sampai apabila di niatkan untuk individu tertentu yang telah meninggal dunia. 

Syeikh Ali Jumuah Mufti Republik Arab Mesir menghuraikan permasaalahan tersebut seperti dibawah ini :

Kitab : البيان لما يشغل الأذهان

Para ulama’ telah bersepakat (berijma’ atau berpendapat) mengatakan bahawa membaca Al-Quran di atas kubur adalah tidak haram, bahkan tidak berdosa bagi mereka yang melakukannya dan jumhur ulama’ Hanafiah, Syafi’iyah dan Hanabilah berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat, berdasarkan riwayat daripada Anas R.A ( hadis marfu’ ):

من دخل المقابرفقرأ فيها (يس) خفف عنهم يومئذ، و كلان له بعددهم حسنات

Maksudnya: “Barangsiapa yang memasuki kawasan perkuburan lalu membaca di dalamnya surah Yasin maka diringankan azab kepada ahli kubur di hari tersebut dan bagi mereka (orang yang membaca al-Quran) adalah memperoleh pahala kebaikan”1

Dan telah thabit daripada Ibnu Umar bahawa :

“Sesungguhnya beliau berwasiat bahawa apabila beliau dikebumikan, maka dibacakan disisinya dengan awal permulaan surah Al-Baqarah dan akhir surah Al-Baqarah”.2

Adapun ulama’ Malikiyyah berpendapat bahawa membaca Al-Quran di atas kubur adalah makruh. Akan tetapi, Syeikh Dardir memberikan komentar beliau di dalam masalah ini :

“Ulama’ mutaakh’khirin berpendapat bahawa tidak mengapa membaca Al-Quran dan berzikir serta menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada si mati bahkan si pembaca juga akan mendapat/beroleh pahala, Insya Allah”.3

Perselisihan pendapat pada masalah ini adalah terlalu lemah (dhoif). Pendapat yg mengatakan hukumnya adalah sunat adalah pendapat yg kuat. Sesungguhnya sebahagian ulama berpendapat bahawa masalah ini adalah masalah ijma’. Antara ulama’ yg berpendapat sedemikian adalah Imam Ibnu Qudamah Al-Maqdisi Al-Hanbali. Beliau mengatakan bahawa :

“Apa-apa kebaikan yg dilakukan dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati yg muslim (beragama Islam), maka itu adalah perkara yg bermanfaat. Berkata sebahagian ulama’, apabila dibacakan Al-Quran di sisi si mati atau menghadiahkan pahalanya kepada si mati maka beroleh pahala, maka pembacanya juga akan mendapat/beroleh pahala dan seolah-olah si mati juga membacanya, maka diharapkan si mati beroleh rahmat. Sesungguhnya, apa yg kami sebutkan itu tadi adalah disepakati/dipersetujui (ijma’) oleh para ulama’. Mereka ( para ulama’ yg bersepakat ) bersama-sama berkumpul membacakan Al-Quran serta menghadiahkan pahalanya kepada si mati tanpa ada yg membantah di kalangan mereka (tanpa saling membantah antara satu sama lain).4

Sesungguhnya, Syeikh Al-Uthmani telah memberikan komentar berikut di dalam masalah ini :

“Para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa istighfar, doa, sedekah, haji, pembebasan hamba adalah bermanfaat bagi si mati dan pahala kebaikan tersebut sampai kepadanya. Hukum membaca Al-Quran di atas kubur adalah sunat”.5

Dalil bagi sampainya pahala bacaan Al-Quran kepada si mati adalah diqiyaskan dgn hukum sampainya pahala “haji ganti/haji badal” kepada si mati kerana haji terkandung di dalamnya solat dan solat dibaca di dalamnya surah Al-Fatihah dan surah-surah yg lain. Apa-apa yg sampai ke semuanya, pasti akan sampai satu juzu’ daripadanya. Maka pahala bacaan Al-Quran sampai kepada si mati dgn izin Allah sekiranya si pembaca memohon supaya Allah memberikan pahala kepada si mati sepertimana diberikan pahala kepadanya (si pembaca).

Berdasarkan kepada apa yang diterangkan, sesungguhnya ulama’ telah bersepakat bahawa membaca Al-Quran utk si mati adalah harus manakala sebahagian ulama’ berpendapat bahawa menghadiahkan pahala kpd si mati adalah harus. Para ulama’ Syafi’iyah berpendapat bahawa pahala tersebut sampai kepada si mati dgn diiringi bacaan doa :

اللَّهُمَّ اجْعَلْ مِثْلَ ثَوَابِ مَا قَرَأْتُ لِفُلان

Maksudnya: “Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaan Al-Quran aku ini kepada si fulan” dan ianya bukanlah hanya semata-mata dengan amalan tersebut sahaja.

Perselisihan yang berlaku adalah sedikit dan sepatutnya tidak berlaku pada masalah ini.

Penterjemah :

Al-Fadhil Ustaz Shahrizan Bin Mohd Hazime. Kuliah Syariah Islamiyyah, Universiti Al-Azhar Al-Syarif.

Nota kaki :

1. Al-Khilal beserta sanadnya, Al-Mughni (Ibnu Qudamah-Jilid 2/225), Tuhfatul Ahwazi (Jilid 3/275)

2. Al-Khilal beserta sanadnya, Al-Mughni (Ibnu Qudamah-Jilid 2/225), Tuhfatul Ahwazi (Jilid 3/275)

3. Syarah Kabir (Allamah Dardir-Jilid 1/423)

4. Al-Mughni (Ibnu Qudamah-Jilid 2/225)

5. Rohmatal Ummah Fi Ikhtila’fil A’Immah (Syeikh Uthmani)

JAKIM juga telah memberikan pendapatnya dalam persoalan ini :

Para ulama telah bersepakat (berijma’ atau berpendapat) mengatakan bahawa bagi mereka yang melakukannya dan jumhur ulama’ Hanafiah, Syafi’iyah dan Hanabilah berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat, berdasarkan riwayat daripada Anas r.a. ( hadis marfu’ ):

Maksudnya: “Barangsiapa yang memasuki kawasan perkuburan lalu membaca di dalamnya surah Yasin maka diringankan azab kepada ahli kubur di hari tersebut dan bagi mereka (orang yang membaca al-Quran) adalah memperoleh pahala kebaikan”

Dan telah thabit daripada Ibnu Umar bahawa : “Sesungguhnya beliau berwasiat bahawa apabila beliau dikebumikan, maka dibacakan disisinya dengan awal permulaan surah Al-Baqarah dan akhir surah Al-Baqarah”.

(Rujukan: Jakim – http://kemusykilan.islamgrid.gov.my/questions/view/28365)



No comments:

Post a Comment