Sunday, February 22, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 220 (Wali Fasik Menjadi Wali Nikah, Kedudukkan Tulang Ekor Manusia, Huraian Sumber Hukum Dalam Islam, Hukum Solat Qabliyyah Jumaat dan Upah Haji Untuk Si Mati.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 220 adalah menjelaskan persoalan wali fasik menjadi wali nikah, kedudukkan tulang ekor manusia, huraian sumber hukum dalam Islam, hukum solat Qabliyyah Jumaat dan upah haji untuk si mati.

1056. Soalan : Orang tak solat  tak boleh jada wali dan  tak sah nikah..jika di teruskan juga ,adakah sah kawinya dan adakah anak yang lahir nanti juga tak sah..mohon panjelasan ustaz?

Jawapan :

Jika seorang wali nikah tak solat maka dia akan menjadi orang fasik, orang fasik tak sah menjadi wali nikah di dalam Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali.. Tetapi sekarang ini peraturan Pejabat Agama sebelum majlis akad nikah semua wali nikah, saksi-saksi dan pengantin lelaki kena mengucap dua kalimah syahadah, bertaubat dan berselawat ke atas Nabi SAW. Di harapkan Allah SWT menerima taubat mereka semua dan pernikahan tersebut sah.

ADAKAH SYARAT WALI MESTI TIDAK FASIK & ADIL?

Berlaku perselisihan besar antara ulama dalam mensyaratkan adil dan tidak fasik bagi wali nikah.

PERNDAPAT PERTAMA:

Yang sahih dalam mazhab Syafie dan mazhab Hanbali: Disyaratkan wali yg adil. kalau wali fasik, hak kewalian itu berpindah kepada wali yg lebih jauh.

Syarat ini (sebagimana kata Ibn Abdil Hadi) diambil daripada dua HADIS DHOIF; iaitu:

Hadis Pertama :

عن ابن عباس قال قال رسول الله لا نكاح إلا بولي وشاهدي عدل وأيما امرأة أنكحها ولي مسخوط عليه فنكاحها باطل

Maksudnya: Daripada Ibn Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada nikah melainkan dengan wali dan dua saksi yg adil. mana-mana wanita yang dinikahkan oleh wali yg dimurkai, maka nikahnya batal”.
(Hadis Riwayat Daruqutni 3/221 dan Baihaqi dalam Sunan Kubra 7/124)

Status Hadis :

1. Kata Daruqutni: Hadis ini disandarkan kepada Nabi secara marfuk oleh Adiy bin Al-Fadhl, dan orang lain tiada seorang pun yang menyandarkannya.

2. Kata Baihaqi: Adiy bin al-Fadhl (perawi) adalah dhaif. Yang sahihnya hadis ini mauquf (kata-kata Ibn Abbas).

3. Kata Ibn Hajar: Adiy adalah perawi dhaif. (Talkhis Habir 3/162).

4. Ibn Jauzi menyebut: “Dalam hadis ini ada perawi bernama Adiy. Kata Yahya (Bin Maien): Dia bukan thiqah dan hadisnya tidak ditulis. Kata Abu Hatim al-Razi: Ditinggalkan hadisnya.” (AL-Tahqiq 2/292).

Hadis Kedua :

لا نكاح إلا بولي مرشد وشاهدي عدل

Maksudnya: “Tiada nikah melainkan dengan wali yg mursyid, dan dua saksi yang adil”.

Takhrij Hadis :

1. Syafie dalam musnadnya m/s 220 daripada Ibn Abbas secara mauquf.

2. Baihaqi dalam Sunan Kubra 7/112 daripada jalur Imam Syafie.

3. Manakala riwayat secara marfuk (disandar kpd Nabi) adalah dhaif sebagaimana dijelaskan oleh Baihaqi 7/124, Ibn Hajar dalam Talkhis 3/162, Ibn Jauzi dalam al-Tahqiq 2/291.

PENDAPAT KEDUA:

Mazhab Hanafiyyah dan Mazhab Malikiyyah tidak mensyaratkan sifat adil bagi wali. Dan ini dipilih oleh sebahagian ulama syafie, dan ulama hanbali.

Malahan kata Ibn Taimiyyah: “Kebanyakan fuqaha mengesahkan pernikahan oleh wali yg fasik”.(Majmuk Fatawa 32/66).

Dan dipilih juga oleh Syeikh Ibn Sa’diy (tok guru Uthaimin), katanya: "Yang benar dan diputuskan ialah sifat adil bukanlah syarat bagi wali nikah, maka wali yg fasik boleh menikahkan anak perempuannya. (al-Mukhtarat m/s 4).

PENYELESAIAN.

1. Sekiranya belum berlaku pernikahan, maka si wali yang fasik secara zahirnya hendaklah diminta supaya bertaubat. apabila dia bertaubat, maka sah kewaliannya terhadap anak perempuannya tanpa khilaf.

2. Sekiranya telah berlaku pernikahan oleh si wali yg fasik secara zahirnya, maka dalam kes sebegini, adalah lebih wajar dipegang pendapat kedua, iaitu SAH NIKAH tersebut, kerana:

a. Dalil mensyaratkan wali yg adil adalah dhaif.

b. Kebanyakan ulama mengesahkan pernikahan oleh wali fasik.

c. Jika dihukum nikahnya batal, banyak mafsadah dan mudarat yang akan menyusul.

d. Kes sebegini adalah dalam lingkungan ijtihadiyyah, dan juru nikah dan qadhi harus menghukum berdasarkan maslahah selain daripada dalil yg rajih.

Wallahu a’lam.

Rujukan :

1. Raudhah talibin 7/64
2. Majmuk fatawa ibn taimiyyah 32/66
3. Al-Mukhtarat al-Jaliyyah m/s 4
4. Al-Hawi al-Kabir 9/62

1057. Soalan : Ustaz. boleh tak ustaz terangkan tentang tulang ekor manusia (coccyx)? Terima kasih.

Jawapan :

Apa sebenarnya rahsia serta keajaiban tulang sulbi sehingga tulang ini disebut oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam sejak 14 abad dahulu?. Mengikut istilah anatomi, tulang sulbi dikenali sebagai Coccyx. Ia merupakan tulang yg terakhir dlm susunan dari atas ke bawah tulang vertebra (tulang belakang) yg terletak dibahagian pinggul.

Dalam sebuah hadis marfu’ yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ibnu Majah: 
“Tidak ada dari Jasad manusia kecuali akan hancur, kecuali tulang ekornya, dari tulang ekor ini lah tubuhnya akan disusun kembali pada hari kiamat”
Al Qurtubi didalam kitab Tazqirahnya mengutip hadis ini dari Kitab Fitnah Kubur riwayat Muslim pada hadis 2955.

Sahabat bertaya Nabi shallallahu 'alaihi wassalam ” Apakah tulang ekor wahai Rasullulah?” Lalu di jawab oleh Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam , ” Yakni seperti biji gandum, dari biji itulah ia tumbuh” - (Hadis Riwayat Ahmad)

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu bahawa Rasululah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda yg bermaksud: "Semua bahagian tubuh anak Adam akan dimakan tanah, kecuali tulang sulbi yang daripadanya ia diciptakan dan daripadanya dia akan dibangkitkan." (Hadis Riwayat An-Nasa'i, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Berdasarkan hadis-hadis di atas dapat disimpulkan bahawa: 

1. Bermulanya kejadian manusia adalah daripada tulang sulbi. 

2. Tulang sulbi begitu utuh & tidak akan hancur. 

3. Manusia akan dibangkitkan semula pada hari kiamat drpd tulang sulbi.

Seorang saintis Jerman bernama Hans Spermann berjaya membuktikan bahawa sel-sel di dlm coccyx tidak akan hancur. Dalam kajian yg dilakukan, beliau telah mengisar tulang coccyx hingga hancur & memanaskannya dengan suhu yang amat panas dalam tempoh masa yg lama. Beliau kemudian memeriksa sel-sel tulang tersebut & ternyata ia masih lagi hidup & utuh seperti biasa. Jadi ini bermakna, meskipun jasad seseorg telah meninggal dunia, tetapi sel-sel dlm tulang coccyx kekal hidup walau di mana sekalipun dia dikebumikan meskipun telah beribu-ribu tahun lamanya. Manusia dibangkitkan semula pada hari kiamat dengan tulang sulbi

Dalam AL-Qur'an ada menceritakan tentang kebangkitan manusia pada hari kiamat. 
Firman Allah yang bermaksud "Engkau memasukkan malam ke dalam siang, dan Engkau memasukkan siang ke dalam malam. Engkau keluarkan yang hidup daripada yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati daripada yang hidup" (Surah Ali Imran, Ayat 27).

Hans Spermann berjaya membuktikan keupayaan sel-sel tulang coccyx untuk tumbuh semula. Beliau telah memasukkan tulang-tulang sulbi yang telah dikisar & dibakar tadi ke dalam embrio-embrio lain. Hasilnya, tulang sulbi tersebut tetap dapat tumbuh & membentuk paksi janin yg lain yang seterusnya membuktikan kebenaran Al Quran dan hadis.

1058. Soalan : Saya ingin bertanyakn soalan..Rasulullah SAW  berpesan supaya kita berpegang kepada Al-Quran dan hadis agar tidak sesat.jadi perlu ke kita mengambil kira qias dan ijmak.? Mohon pandangan ustaz.

Jawapan : 

Dalam hukum Islam sumber utama adalah al-Quran dan as-Sunnah . Dalam ajaran Islam bukan semua hukum hakam ada di dalam al-Quran dan sunah maka ianya memerlukan kepada ijmak ulama dan qiyas untuk memutuskan hukum tersebut samaada wajib, haram, sunat, makruh dan harus. 

Itu sebab kenapa terdapat banyak mazhab di dalam hukum feqah. Mazhab yang paling terkenal dan ramai pengikutnya adalah 4 mazhab utama. iaitu Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali.

Selain daripada sumber utama (4 perkara) terdapat lagi sumber tambahan di dalam sumber hukum Islam iaitu 4 perkara ( Istihsan., masalih mursalah, uruf dan Istshab).

Ulama feqah juga menggunakan kaedah fiqh untuk memutuskan sesuatu hukum yang tidak ada nas yang jelas di dalam permasalaahn kehidupan manusia iaitu 5 kaedah utama iaitu 

1. Setiap perkara berdasarkan niat ,

2. Keyakinan tidak menghilangkan keraguan. 

3. Kesukaran membawa kemudahan ,

4. Bahaya mesti dihapuskan.dan 

5. Adat menjadi hukum.

Ringkasannya : 

A. Sumber utama : 1. Al-quran 2. Al-hadis 3. Ijma’ ulama 4. Qiyas . 

B. Sumber tambahan 1. Istihsan. 2. Masalih mursalah. 3. Uruf 4. Istshab 

C. Kaedah fiqh : 

1. Setiap perkara berdasarkan niat 

2. Keyakinan tidak menghilangkan keraguan. 

3. Kesukaran membawa kemudahan 

4. Bahaya mesti dihapuskan. 

5. Adat menjadi hukum

Huraian :

B : SUMBER HUKUM TAMBAHAN :

1. Istihsan

Istihsan dari segi bahasa ialah menganggap sesuatu itu baik atau sesuatu yang disukai oleh seseorang serta cenderung ke arahnya sekalipun dipandang buruk (tidak disukai) oleh orang lain. 

Istihsan merupakan salah satu daripada sumber hukum perundangan Islam tetapi ia tergolong dalam sumber hukum yang tidak disepakati. Ini kerana terdapat ulama yang menerima dan juga menolak istihsan. Antara ulama yang menerima kehujahan istihsan ialah ulama Mazhab Hanafi, Imam Malik dan sebahagian ulama Hanbali. Sementara ulama yang menolak kehujahan istihsan ialah Imam Syafi’i serta sebahagian ulama Hanbali.

Ulama usul yang menggunakan istihsan sebagai sumber hukum mereka dilihat dari aspek keutamaan maslahat juz’i yang terdapat pada suatu hukum tertentu. Hal ini kerana nas-nas syariat Islam banyak sekali menjelaskan tentang kewajipan memelihara maslahat dan menolak kesempitan. Allah berfirman:
Firman Allah SWT maksudnya, "Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.(Surah al-Baqarah ayat 185)

Firman Allah SWT maksudnya. " dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah." (Surah al-Hajj ayat 78)

Contoh : Istihsan dengan ijmak ialah berpindah daripada hukum asal yang telah ditetapkan pada satu masalah kerana terdapat persepakatan para ulamak yang menghendakinya berpindah daripada hukum asal tersebut. Misalnya menempah barangan iaitu bai’ al-salam. Mengikut kaedah umum adalah tidak diharuskan kerana barang yang diakadkan itu tidak ada semasa akad. Namun, ia diharuskan kerana jual salam ini adalah sesuatu yang baik dan merupakan salah satu cara masyarakat menjalankan jual beli yang merupakan satu keperluan, maka para mujtahid bersepakat bahawa jual salam ini diharuskan. 

Contoh yang kedua ialah masalah penggunaan bilik air awam yang mengenakan bayaran masuk yang sama, tetapi tidak ditentukan kadar penggunaan air dan masa berada di dalamnya. Menurut kaedah umum, hal seperti ini adalah diharamkan kerana tidak diketahui kadar air yang digunakan dan masa ketika berada di dalamnya. Namun, para mujtahid telah menggunakan kaedah al-istihsan dengan melihat bahawa sudah menjadi kebiasaan orang ramai melakukannya di setiap masa tanpa diingkari oleh mana-mana mujtahid. Maka, ia menunjukkan bahawa mereka bersepakat bagi meraikan keperluan orang ramai dan menolak kesukaran bagi mereka. Kesimpulannya, penggunaan bilik air awam itu adalah diharuskan kerana melihat kepada al-istihsan.

Masalih Mursalah

Maslahah mursalah adalah hujah syarak Mazhab Maliki dan Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat bahawa maslahah mursalah boleh dijadikan salah satu sumber hukum dalam menetapkan sesuatu hukum. Antara dalil dan hujah mereka ialah seperti berikut: (Ramli 1999: 167-173) i. Para Sahabat dan tabicin yang berijtihad telah mengeluarkan fatwa pada banyak perkara dengan menggunakan maslahah tanpa terikat dengan kaedah qiyas dan tiada sesiapa yang membantah perbuatan para Sahabat dan tabicin tersebut. 

Antara contohnya: 

a. Khalifah Abu Bakar telah mengumpul al-Quran dalam satu mushaf untuk menjaga al-Quran setelah ramai para Sahabat yang menghafal al-Quran telah terkorban dalam Perang al-Riddah. Kronologi pengumpulan ini bermula dengan cadangan Sayidina ‘Umar kepada Sayidina Abu Bakar. Pada peringkat awal, Sayidina Abu bakar menolak cadangan ini kerana perbuatan tersebut tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Namun begitu, Abu Bakar akhirnya bersetuju untuk mengumpulkan al-Quran tersebut berdasarkan kemaslahatan umat Islam pada masa itu iaitu bagi mengelakkan al-Quran daripada hilang. 

b. Khalifah ‘Umar pernah menghukum lelaki tampan dengan buang daerah kerana rupa parasnya yang cantik telah menyebabkan ramai wanita muda di Madinah terpesona. ‘Umar bertindak sedemikian demi maslahah untuk mengelakkan daripada berlakunya fitnah.

Sekiranya kemaslahatan yang terdapat di setiap tempat itu diabaikan walaupun maslahah itu selari dengan kehendak syarak, nescaya umat Islam yang mukallaf akan mengalami kesulitan. Oleh itu, penetapan sesuatu hukum syarak adalah berdasarkan kepada kemaslahatan umat bukan berdasarkan kepada kepentingan seseorang individu. (Ramli 1999: 168) 

Uruf

Uruf ialah apa yang disenangi oleh masyarakat dan menjadi kebiasaan dalam kehidupan, sama ada dalam bentuk kata-kata atau perbuatan. Dari segi fuqaha, uruf dikatakan adalah sama dengan adat.
Menurut pandangan Imam Ghazali, beliau menyatakan uruf dapat diertikan sebagai;

" ما استقر في النفوس من جهة المقول وتلقته الطباع السليمه بالقبول "

“Sesuatu yang telah mantap di dalam jiwa manusia dan diterima oleh tabiat yang sihat.”

Manakala ulama kotemporeri masa kini seperti Dr Yusuf Qardhawi pula membahaskan uruf di dalam kitabnya adalah sebagai :

" مااعتاده الناس, وتواضعوا عليه, في شئون حياتهم, حتي أنسوا به وأطمأ نو اليه, وأصبه أمرا معروفا, نسوأ أكان عرفا قوليا, أم عمليا, عاما أم خاصا "

“Uruf ialah budaya masyarakat yang lumrah dan diterima dengan penuh rela dan senang hati sama ada dalam bentuk perkataan ataupun perbuatan sama ada umum mahupun khusus.”[Dr. Yusuf Al-Qardawi (1993) Madqal bidirasah al-Syariah al-islamiyah, Beirut : Mussasah al-Risalah c.1 h.153]

contoh : Uruf emas setiap negeri di Malaysia berlainan. Zakat emas perhiasan di kenakan setelah menolak jumlah uruf negeri tersebut baru di kenakan zakat lebihan daripada uruf.
Istishab :

Perlaksanaan Al Istishab

Al Istishab dapat diaplikasikan dalam banyak perkara ,ia juga boleh di aplikasikan di dlm perkara ibadah dan muamalah cthnya

Ibadah

Seseorang yg berwudhuk akan berkekalan di dlm wudhuk sehinggalah ada perkara yg membatalkan wudhuknya . maksudnya jika dia syak kedudukan wudhuknya samada sudah batal atau tidak maka keputusan yg harus diambil ialah dia masih lagi mempunyai wudhuk dengan syarat dia telah mengambil wudhuk sebelum ini .

Muamalah

Seseorang itu dianggap tidak berhutang selagimana tiada bukti yg menunjukkan bahawa dia telah berhutang . maksudnya jika seseorang dengan tiba-tiba mendakwa bahawa si Pulan telah berhutang , kemudian diminta kepadanya ..berikanlah bukti bahawa si Pulan itu telah berhutang ..kemudian dia tidak dapat memberikan bukti tersebut maka si Pulan itu dianggap tidak berhutang .

Inilah 2 cth aplikasi drp kaedah Al Istishab . cth yg lain seseorang itu tidak di anggap bersalah sebelum dia dapat dibuktikan bahawa dia itu bersalah . 

Sesungguhnya kaedah ini adalah satu kaedah yg baik untuk umat Islam secara amnya , saya ulang kembali , yg pertama tadi ia memelihara syariat Islam dari terhapus sedikit demi sedikit dan yg kedua ia boleh aplikasikan di dlm urusan ibadah dan muamalah . Ia juga boleh menjadikan kita seorang yg berfikiran profesional dan rasional.

C . KAEDAH FIQH :

1, Setiap Perkara Dinilai Berdasarkan Niat.

Nabi SAW bersabda maksudnya, “Sesungguhnya setiap amalan tergantung pada niatnya. Dan setiap orang akan mendapatkan apa yang ia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena Allah dan Rasul-Nya, mkaa hijrahnya untuk Allah dan Rasul-Nya. Siapa yang hijrahnya karena mencari dunia atau karena wanita yang dinikahinya, maka hijrahnya kepada yang ia tuju.” (HR. Bukhari no. 1 dan Muslim no. 1907).

2. Keyakinan Tidak Hilang Dengan Keraguan.

-Kita telah ambil wuduk dan solat magrib. Bila masuk isyak timbul persoalan, adakah wuduk aku batal atau pun tidak? Yakin wuduk tak batal maka boleh teruskan wuduk yang ada kerana keyakinan tidak hilang dengan keraguan.

-Asal sesuatu itu adalah harus kecuali ada dalil lain yang mengharamkan ia

"Tiap-tiap perkara itu yang telah diyakini berlaku tidak akan dibatalkan dengan sebarang keraguan yang datang terkemudian."

3. Kesukaran Membawa Kemudahan.

"Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran " (Surah al-Baqarah ayat 185) 
- musafir (solat jama dan qasar), sakit (boleh solat duduk/ baring), dipaksa (di paksa tak berdosa), lupa (di maafkan ), perkara yang tidak dapat dielakkan dan kekurangan.

- apabila terdapat sesuatu kesusahan atau kesukaran (yang diterima syarak) dalam melaksanakan perintah Allah maka dibolehkan dibuat sesuatu yang lebih ringan atau lebih mudah.

4. Bahaya Mesti Dihapuskan.

Nabi SAW bersabda “(Islam itu) tidak boleh bahaya dan membahayakan.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

-Keadaan Dharurat mengharuskan benda yang dilarang –makan bangkai boleh mengancam nyawa.

- Apa yang diharuskan dalam dharurat itu mengikut kadar daruratnya sahaja.

- Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaharatan. - berubat dengan barang yang di haramkan.

- Apabila ada dua kemudharatan maka diambil yang lebih ringan dan tinggalkan yang lebih berat.- Hukum penjenayah

- Menolak kemudharatan adalah lebih utama daripada mengambil kebaikan

5. Adat menjadi Hukum

Kaedah ini membawa maksud bahawa adat, uruf atau kebiasaan sesuatu tempat itu boleh dijadikan sumber hukum dalam menentukan hukum-hukum tertentu yang tiada dalil sumber hukum Islam yang sedia ada.

Nabi SAW bersabda maksudnya, "Apa-apa yang dipandang baik oleh kaum muslimin maka ia dianggap baik disisi Allah sementara apa-apa yang dipandang buruk oleh kaum muslimin itu maka ia dianggap buruk oleh Allah.” ( HR Bukhari)

Contoh : Hantaran belanja majlis perkahwinan, membeyar bil air elektrik, rumah 
sewa atau masuk tandas kena bayaran 20sen.

1059. Soalan : Ustaz.saya masih keliru tentang sembahyang sunat yang sepatutnya dilakukan.semasa tiba di masjid untuk sembahyang zuhur, azan telah selesai di laungkan tetapi sembahyang fardhu zuhur belum dimulakan lagi. Sembahyang sunat manakah yg patut di lakukan iaitu tahiyatul masjid atau kabliah zuhur.

Jawapan : 

Utamakan solat sebelum solat zuhur kerana solat ini sudah di kira memenuhi solat tahyatul masjid. Solat Sunat Tahiyatul Masjid ialah solat sunat mu’akkad ‘selamat datang’ bagi menghormati baru masuk masjid. Jika kita solat sunat sebelum zuhur maknanya kita sudah solat menghormati baru masuk masjid.

Semasa sedang berkhutbah baginda berhenti sejenak dan menyuruh seorang jemaah yang masuk ke masjid terus duduk tanpa solat tahyatul masjid. Kerana tak ada solat sunat qabliyah ( sebelum) solat Jumaat berdasarkan hadis yang sahih.

Dalam kisah sahabat yang bernama Sulaik. Dialah yang ditegur oleh Nabi SAW semasa baginda sedang memberi khutbah Jumaat supaya dia melakukan solat Tahiyatul Masjid 2 rekaat. 

Solat Qabliyah (sebelum) Jumaat berlaku khilaf ulama.

1. Dalil Pendapat yang Membolehkan Solat Sunat Qabliyah Jumaat

Dari Abdullah bin az-Zubair, Rasulullah SallALlahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak ada satu solat fardhu itu melainkan disunatkan solat sunat qobliyah dua rakaat.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Hadis ini secara umumnya menerangkan adanya solat sunat qobliyah di setiap solat fardhu termasuklah solat fardhu Jumaat. Hujjatul Islam al-Imam Ibn Hajar menjelaskan berdasarkan hadis di atas, beliau berkata:

“Yang terkuat untuk dijadikan dalil bagi solat Qabliyyah Jumaat adalah merupakan hujjah umum sebagaimana hadis yang disohihkan oleh Ibn Hibban dari hadis Abdullah bin Zubair dengan riwayat Marfu’: “Tiadalah solat fardu melainkan sebelumnya terdapat solat sunat Qabliyah.” (Fathul Baari al-Masyhur Juz 2 hal 426). 

2. Dalil Pendapat yang Menolak Solat Sunat Qabliyyah Jumaat :

Di sini dibawakan juga dalil pendapat yang menolat adanya solat sunat Qabliyyah Jummat, berdasarkan hadis Saib bin Yazid:

“Pada awalnya azan Jumaat dilakukan pada ketika Imam berada di atas mimbar iaitu pada zaman Nabi SAW , Abu Bakar dan Umar. Dan setelah zaman Uthman dan manusia semakin ramai, maka Uthman menambah azan menjadi tiga kali (memasukan iqamat).” Dalam riwayat Bukhari“..menambah azan menjadi dua kali (tanpa memasukkan iqamat).” (Hadis Riwayat semua Imam kecuali Imam Muslim)

Dari hadis ini Ibn al-Qayyim berpendapat bahawa Nabi SAW keluar dari rumah dan terus naik ke mimbar kemudian bilal mengumandangkan azan. Setelah azan Nabi SAW terus berkhutbah tanpa adanya pemisah antara azan dan khutbah. Oleh itu Ibnu al-Qayyim membuat kesimpulan bahawa Nabi SAW dan para Jemaah tidak melakukan solat sunat Qabliyyah Jumaat.

Juga terdapat penghujahan terhadap hadis-hadis di atas bagi menafikan adanya solat sunat Qabliyah. Penghujahan itu juga mempunyai asas dengan pemahaman yang berbeza walaupun berpandukan hadis yang sama. Perbezaan ini melibatkan penilaian martabat hadis, kaedah memahami ayat sama ada bersifat umum atau khusus, perbezaan dalam memahami maksud Imam hadis yang memberi komen pada matan hadis dan lain-lain.

Kesimpulannya : 

Tidak menjadi halangan para jemaah Jumaat nak melakukan solat Qabliyyah Jumaat 2 rekaat atau pun tidak kerana ianya menjadi khilaf ulama. Tetapi solat sunat Ba'diyyah (selepas) Jumaat (4 rekaat, 2 rekaat dan 2 rekaat) adalah di sunatkan kerana terdapat hadis sahih riwayat Muslim dan ianya tak menjadi perselisihan ulama. Hadis dari Abu Hurairah pula meriwayatkan bahawa baginda melakukan sembahyang sunat Jumaat empat rakaat [Sahih Muslim solat sunat Rawatib Ba’diyyah empat rakaat ]

Saidina Abdullah bin Umar meriwayatkan bahawa Nabi sembahyang dua rakaat setelah menunaikan Jumaat. Dalam riwayat yang lain Nabi SAW mengejakan solat sunat Ba'diyyah Jumaat 4 rekaat seperti riwayat di atas..

Wallahu a'lam

1060. Soalan : Ustaz, apa hukum kalau orang dah meninggal kalau waris dia tak haji kan?

Jawapan :

Jika sebelum arwah meninggal dunia wang untuk mengerjakan sudah cukup tersimpan di Tabung Haji . Arwah tak sempat nak kerjakan haji kerana tak sampai kuota haji kerana Tabung Haji utamakan mereka yang berdaftar lebih awal maka WAJB waris upahkan haji dengan duit peningalan arwah sebelum di bagi secara hukum faraid. 

Jika harta arwah keseluruhannya melebihi wang upah haji maka ketika ini di wajibkan juga waris mengupahkan haji untuk arwah. Tetapi jika arwah orang miskin tak ada wang tersimpan atau harta maka terpulanglah anak-anak atau waris arwah nak buat kan upah haji atau tidak. Jika di buat adalah lebih baik kerana ianya adalah termasuk hadish pahala yang akan sampai kepada arwah di alam barzakh.

Dari Ibnu Abbas berkata bahawa seorang wanita dari Kabilah Juhainah bertemu Nabi SAW dan berkata, “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk mengerjakan Haji tetapi dia belum mengerjakannya sehingga dia meninggal dunia. Adakah boleh saya mengerjakan Haji tersebut untuknya?”. Nabi SAW menjawab, “Kerjakanlah Haji tersebut bagi pihaknya. Jika ibumu berhutang dengan seseorang, adakah kamu wajib melunaskan hutang tersebut? Maka tunaikanlah hak Allah (iaitu Haji) kerana ia lebih patut dilunaskan”. (Hadis diriwayatkan oleh Al-Bukhari).

Seorang wanita bertanya Nabi SAW tentang ayahnya yang meninggal dunia dalam keadaan belum mengerjakan Haji. Nabi SAW berkata kepada wanita tersebut,“Kerjakanlah Haji bagi pihak ayahmu”. (Hadis riwayat An-Nasaie).

Dari hadis-hadis di atas jelas menunjukkan bahawa boleh mengerjakan Haji bagi pihak orang yang telah meninggal dunia walaupun tidak diwasiatkan olehnya untuk berbuat demikian. Nabi SAW juga membuat perbandingan dimana melunaskan Haji yang belum dikerjakan adalah seperti melunaskan hutang yang belum dibayar oleh seseorang yang meninggal dunia.

No comments:

Post a Comment