Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 213 adalah menjelaskan persoalan bayi yang gugur ketika 4 bulan, adab-adab beristinjak, hukum berkahlwat , menggunakan telefon semasa khutbah dan hukum wanita bermusafir seorang diri.
1021 . Soalan : Bayi yang gugur ketika berusia empat bulan di dalam kandungan, adakah wajib disolatkan?
Jawapan;
Soalan ini secara amnya berkait dengan hukum bayi yang keguguran; apakah wajib disolatkan atau tidak? Dalam hal ini terdapat hadis dari Rasulullah s.a.w. menegaskan;
السقط يصلى عليه ويدعى لوالديه بالمغفرة والرحمة
“Bayi yang gugur (hendaklah) disolatkan ke atasnya dan didoakan untuk dua ibu-bapanya keampunan dan rahmat Allah”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi dan al-Hakim. Hadis ini ditashihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh Imam az-Zahabi).
Hadis di atas adalah umum dan diperincikan oleh ulamak mengikut pandangan dan mazhab masing-masing. Menurut Imam al-‘Abdari; “Jika bayi yang keguguran itu belum berusia empat bulan, tidak wajib disolatkan ke atasnya tanpa khilaf di kalangan ulamak (yakni ijmak). Jika usianya mencapai empat bulan dan tidak bergerak (ketika gugurnya), tidak disolatkan ke atasnya mengikut pandangan jumhur ulamak. Mengikut Imam Ahmad dan Imam Daud; hendaklah disolatkan”. (Lihat; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jil. 5, hlm. 212)
Mengikut pandangan mazhab Syafi’ie; bayi atau janin yang lahir sebelum berusia enam bulan (di dalam kandungan), jika terdapat tanda-tanda hidup (seperti menangis, bergerak, bernafas atau sebagainya), hukumnya sama seperti mayat orang dewasa iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan serta dikebumikan kerana telah diyakini bahawa kematiannya berlaku setelah ia hidup. Jika tidak terdapat tanda-tanda hidup, maka hendaklah dilihat; jika telah kelihatan bentuk lembaga manusia (biasanya apabila janin telah berusia empat bulan atau lebih dalam kandungan), hendaklah dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tanpa perlu disolatkan. Jika belum kelihatan bentuk lembaga manusia (biasanya apabila janin belum berusia empat bulan), maka memadai membasuhnya sahaja (untuk membersihkan dari darah), kemudian dibungkus dengan kain atau sebagainya dan ditanam. Tidak perlu dimandikan dan disolatkan.
Dalil bagi perincian mazhab Syafi’ie tersebut ialah sabda Nabi s.a.w.;
إذا استهل السقط صلى عليه وورث
“Jika bayi yang gugur bersuara atau menangis (ketika gugurnya), hendaklah disolatkan ke atasnya dan ia berhak mewarisi”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dari Jabir r.a.).
Berdasarkan hadis ini, bayi yang keguguran jika tidak terdapat tanda-tanda hidup (seperti menangis atau bersuara sebagaimana di dalam hadis) tidaklah disolatkan. Hadis ini mengikat makna umum hadis pertama di atas. Maka hadis pertama di atas jika dipadankan dengan hadis ini, maka ia memberi maksud; “Bayi yang gugur hendaklah disolatkan ke atasnya (jika ia bersuara atau terdapat tanda-tanda hidup)….”. (Lihat tafsiran hadis ini oleh Imam al-Minawi dalam Faidhul-Qadier, hadis no. 4492).
Perincian hukum di atas adalah khusus bagi janin atau bayi yang berusia sebelum enam bulan sebagaimana dinyatakan. Adapun bayi yang telah berusia lebih enam bulan di dalam kandungan, hukumnya sama seperti orang dewasa iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan jika ia gugur atau mati ketika dilahirkan (sama ada terdapat tanda-tanda hidup atau tidak).
Kesimpulannya, merujuk kepada soalan di atas; bayi yang berusia empat bulan di dalam kandungan jika keguguran tidak perlu disolatkan mengikut mazhab Syafi’ie. Kecualilah jika ketika gugur itu terdapat tanda-tanda hidup, maka wajiblah disolatkan. Namun hal tersebut tidak pernah kita saksikan.
Wallahu A’lam.
Tambahan;
Apa yang kita huraikan di atas adalah mengikut pandangan di kalangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie. Adapun mengikut pandangan ulamak-ulamak mazhab lain;
- Menurut Imam Malik; bayi yang keguguran (yakni lahir tidak cukup bulan) tidak perlu disolatkan kecuali jika ada tanda-tanda hidup dan tanda itu hendaklah dalam tempoh yang panjang.
- Menurut Ibnu Umar r.a., Ibnu Sirin dan Imam Ahmad; hendaklah disolatkan ke atasnya sekalipun tidak bersuara (jika usianya telah sampai empat bulan).
Rujukan;
1. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jil. 5, hlm. 209-212.
2. Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 474.
3. al-Fiqh al-Manhaji, jil. 1, hlm. 264.
4. Al-Fiqhul-Islami Wa Adillatuhu, jil. 2, hlm. 506.
5. Matn al-Ghayah Wa at-Taqrib, ulasan oleh; Syeikh Majid al-Hamawi, hlm. 100-101.
6. Syarh Soheh Muslim, juz 9, kitab al-Janaiz, bab Tarki as-Solah ‘Ala al-Qatil Nafsahu.
1022 . Soalan : Ustaz saya ada soalan minta pencerahan daripada ustaz. Apakah adab-adab beristinjak semasa membuang air besar atau kecil mengikut sunah Rasulullah SAW?
Jawapan :
Istinjak bermaksud membasuh tempat keluar najis iaitu zakar/faraj dan dubur selepas membuang air kecil (yakni kencing) atau air besar (yakni berak). Hukumnya adalah wajib.
Apakah bahan yang harus digunakan untuk istinjak?
Bahan untuk beristinjak ialah air. Anas r.a. memceritakan; “Adalah Nabi SAW apabila keluar membuang air, aku akan bawakan untuknya satu bekas air untuk baginda beristinjak”.
Diharuskan juga menggunakan benda-benda kesat seperti batu, kertas dan sebagainya yang boleh menanggalkan najis. Banyak hadis menceritakan Nabi SAW. beristinjak menggunakan batu.
Menurut mazhab Syafi’ie, paling baik ialah menggabungkan kedua-duanya; iaitu menyapu najis dengan benda kesat (tisu atau sebagainya), kemudian disusuli dengan membasuh dengan air. Cara ini adalah terbaik kerana dapat menjimat air dan mengelak tangan dari terlalu banyak menyentuh najis. Harus menggunakan salah satu cara iaitu dengan air sahaja atau dengan benda kesat sahaja, namun beristinjak dengan air adalah lebih afdhal kerana lebih menyucikan.
Beristinjak sunat menggunakan tangan kiri. Beristinjak dengan tangan kanan adalah makruh, kecuali tidak dapat dielakkan. Kata Nabi SAW maksudnya ; “Sesiapa dari kamu kencing, janganlah ia memegang zakarnya dengan tangan kanannya dan janganlah juga ia beristinjak dengan tangan kanannya”.(Hadis Riwayat Bukhari dari Qatadah r.a)
Apakah syarat-syarat beristinjak dengan benda kesat?
Namun jika hendak beristinjak dengan benda-benda kesat sahaja (tanpa menggunakan air), mesti memenuhi syarat-syarat di bawah;
1. Hendaklah dengan sekurang-kurangnya tiga kali sapuan, tidak boleh kurang darinya.
(Sekalipun telah kelihatan bersih dengan sekali atau dua kali sapuan. Ini kerana tiga kali sapuan itu adalah had minima yang ditetapkan Nabi SAW., tidak harus kurang dari itu.)
Salman r.a. menceritakan; “Nabi SAW menegah kami dari beristinjak kurang dari tiga batu (yakni tiga sapuan batu)”.(Hadis Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Nasai.)
Jika tiga kali sapuan tidak mencukupi, wajib ditambah dan sunat tambahan itu ganjil (yakni lima, tujuh dan sebagainya).
2. Hendaklah najis tidak melepasi papan punggung atau hasyafah (yakni kepala zakar). Jika najis meleleh melepasi kawasan tersebut, wajib istinjak dengan air.
3. Hendaklah sebelum najis kering. Jika najis telah kering, wajib istinjak dengan air.
4. Bahan yang digunakan hendaklah bersih dan kering. Sifatnya hendaklah boleh meanggalkan najis, iaitu tidak terlalu licin atau terlalu kasar kerana tujuan intinjak ialah untuk menanggalkan najis, maka hendaklah bahan yang digunakan boleh memenuhi tujuan tersebut.
5. Bahan yang digunakan bukan dari makanan manusia atau jin seperti tulang. Kata Nabi SAW.; “Janganlah kamu beristinjak dengan tahi binatang, dan juga dengan tulang kerana ia adalah makanan saudara kamu dari kalangan jin”.(Hadis Riwayat Imam Tirmizi)
Adab-adab semasa membuang air kecil atau air besar :
1. Jangan membuka aurat sebelum masuk ke dalam tandas. Apa yang selalu atau kadang-kadang dilakukan oleh sebahagian dari kita hari ini iaitu menyelak atau mengangkat kain hingga nampak aurat sebelum masuk tandas adalah menyalahi Syarak. Hukumnya adalah haram.
2. Ketika memasuki tandas dahulukan kaki kiri dan sebelum melangkah masuk, bacalah terlebih dahulu;
بسم الله، اللهم إني أعوذ بك من الخبث والخبائث
"Dengan nama Allah, Ya Allah Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari syaitan jantan dan syaitan betina" (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)
3. Keluar dari tandas, dahulukan kaki kanan dan apabila telah berada di luar tandas bacalah;
غفرانك، الحمد لله الذي أذهب عني الأذى وعافاني
"Segala puji milik Allah semata yang telah menghilangkan kotoran daripadaku, dan menjadikan aku sihat walafiat." (Hadis Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)
4. Janganlah bercakap-cakap semasa di dalam tandas kecuali tidak dapat dielakkan. Malah Nabi SAW. tidak menjawab salam ketika baginda sedang buang air. Ibnu Umar menceritakan; “Seorang lelaki telah lalu berhampiran Nabi SAW. yang sedang kencing. Ia memberi salam kepada baginda, namun baginda tidak memjawab salamnya”.(Hadis Riwayat Muslim)
5. Jangan membawa masuk barang-barang yang terdapat nama Allah atau ayat al-Quran atau sebagainya yang dimuliakan oleh agama.
6. Jika terpaksa membuang air di tempat yang tidak mempunyai tandas (seperti di hutan dan sebagainya), hendaklah menjaga adab-adab berikut selain dari adab-adab di atas tadi;
i. Hendaklah mencari tempat yang jauh dari orang ramai.
ii. Jangan mengadap ke arah qiblat atau membelakanginya.
iii. Hendaklah mencari tempat yang sesuai. Elakkan dari buang air di jalan lalu lalang orang ramai, tempat berteduh mereka, laluan air, di bawah pohon yang berbuah atau sebarang tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Hal tersebut amat dilarang oleh Nabi SAW. kerana mengundang laknat orang terhadap pelakunya.
iv. Jangan buang air di air yang tenang. Jabir r.a. berkata; “Nabi menegah kencing di air yang tenang."
v. Jangan buang air di lubang yang telah tersedia kerana ia dikhuatiri didiami oleh binatang atau jin. Abdullah bin Sarjis r.a. berkata; “Nabi SAW melarang kencing ke dalam lubang”(Hadis Riwayat Abu Daud)
Apa hukum kencing sambil berdiri?
Diriwayatkan dari Huzaifah r.a. yang menceritakan; Aku bersama Nabi SAW.. Apabila sampai di satu tempat pembuangan sampah, Nabi SAW. kencing di situ sambil berdiri. Aku pun berpaling menjauhi baginda. Namun baginda berkata kepadaku; ‘Hampirilah’. Aku pun menghampiri Nabi hingga aku berdiri hampir dengan dua tumitnya. Setelah selesai kencing, Nabi mengambil wuduk dengan menyapu dua khufnya”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan keharusan kencing sambil berdiri, bukan menunjukkan kebiasaan Nabi SAW. Kebiasaan Nabi SAW ialah kencing sambil duduk sebagaimana riwayat dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang berkata; “Jika ada sesiapa menceritakan kepada kamu bahawa Nabi SAW. kencing berdiri, maka jangan kamu mempercayainya. Nabi tidak kencing melainkan sambil duduk”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain. Menurut Imam Nawawi; sanad hadis ini adalah baik).
Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak menegaskan; hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka; perbuatan Nabi kencing berdiri dalam hadis pertama di atas adalah kerana ada keuzuran bagi baginda; kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafi’ie; orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.
Kesimpulannya; kencing berdiri hukumnya adalah harus atau makruh mengikut perbezaan ulama di atas. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir; “Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW.”.
1023. Soalan : Apakah hukuman yang patut di kenakan kepada lelaki dan wanita berkhalwat tanpa ada mahram wanita tersebut? Apakah maksud seseorang melakukan zina mata, zina hati dan zina mulut?
Jawapan :
Merujuk kepada persoalan ditimbulkan, sebagaimana diketahui, zina adalah perbuatan yang dikutuk oleh Allah SWT. Dalam hubungan ini, ada banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW melarang umat Islam melakukan zina. Antaranya, Allah SWT berfirman, bermaksud: “dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu ialah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk” (Surah al-Isra’ ayat 32)
Oleh kerana zina itu ialah perbuatan yang terkutuk, maka apa saja yang berkaitan dengannya, sama ada perbuatan, kelakuan, perkataan atau apa sahaja kegiatan yang boleh menjerumuskan atau membawa seseorang itu terjerumus ke dalam perbuatan zina, maka ia diharamkan oleh Allah SWT. Hukuman yang dikenakan ke atas mereka adalah hukum takzir.
Mengikut kaedah dalam ajaran Islam, perbuatan yang boleh membawa kepada perkara haram, maka ia juga haram. Begitu juga sebaliknya, sesuatu yang boleh membawa kepada perbuatan baik, berpahala, maka ia juga berpahala. Justeru, apa yang berlaku kepada lelaki dan wanita (berkhalwat dan bercumbuan) telah melakukan perbuatan yang memalukan dan perbuatan tersebut ditegah oleh Islam. Jika disabitkan kesalahan hukuman ke atas mereka yang hukuman Takzir.
Walaupun mereka tidak melakukan zina tetapi bercumbu dan bersunyi-sunyian dan melakukan perkara lain yang ditegah agama dianggap berdosa kerana ia lambat laun akan membawa kepada zina. Perbuatan itu haram disisi Islam walaupun tidak sama dengan dosa zina yang merupakan dosa besar.
Tetapi melakukan suatu perbuatan yang boleh membawa kepada penzinaan itu adalah haram kerana perbuatan itu akhirnya menuju ke arah penzinaan. Ini berasaskan kepada hadis Rasulullah SAW. Baginda melarang orang yang menternak kambing seumpamanya, daripada menternaknya di tepi sempadan orang lain walaupun ia masih berada dalam tanah miliknya sendiri tetapi kerana berdekatan dengan sempadan itu, ditakuti binatang ternakan itu boleh memasuki dan memakan tanaman orang lain.
Oleh itu, ia dilarang oleh Rasulullah SAW. ini bermaksud baginda melarang kita melakukan sesuatu yang boleh membawa kita terjebak ke dalam perbuatan haram. Oleh itu, segeralah bertaubat dan menyesal di atas perbuatan itu. Kembalilah kepada ajaran Islam sebenar, kuatkan iman dan rajin beribadat kepada Allah SWT. Pintu taubat masih terbuka dan Allah Maha Pengampun terhadap hamba-Nya yang menyesal dan bertaubat. Insya Allah, taubat mereka akan diterima Allah SWT. Kembalilah kepada agama Islam dengan sebenar-benarnya supaya hidup akan mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ
“Sesungguhnya Allah menetapkan jatah zina untuk setiap manusia. Dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari: Zina mata dengan melihat, zina lisan dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan gejolak syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas menjelaskan kepada kita hakikat zina hati yang dilakukan manusia. Membayangkan melakukan sesuatu yang haram, yang membangkitkan syahwat, baik dengan lawan jenis maupun dengan sejenis, itulah zina hati.
Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam riwayat yang lain bersabda:
الْعَيْنُ تَزْنِي، وَالْقَلْبُ يَزْنِي، فَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا الْقَلْبِ التَّمَنِّي، وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ مَا هُنَالِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ
“Mata itu berzina, hati juga berzina. Zina mata dengan melihat (yang diharamkan), zina hati dengan membayangkan (pemicu syahwat yang terlarang). Sementara kemaluan membenarkan atau mendustakan semua itu.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Bagaimana jika yang dibayangkan adalah suami atau isterinya?
Dalam Fatawa Syabakah Islamiyah dinyatakan,
Jika seseorang membayangkan melakukan hubungan dengan suaminya atau isterinya maka tidak masalah. Kerana pada asalnya dia dibolehkan untuk bersentuhan, melihat tubuhnya. Sementara membayangkan jelas lebih ringan dibanding itu semua, namun jika yang dibayangkan adalah selain suami atau isteri, hukumnya haram (terlarang).
1024. Soalan : Apakah hukum menggunakan telefon bimbit semasa khatib sedang menbaca khutbah Jumaat ?
Jawapan :
Adapun perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh diqiyaskan kepada maksud sebuah hadits sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan Sembahyang Fardhu Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia”. (Hadis riwayat Muslim)
Dalam hadis ini, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan jelas telah menegaskan bahawa barangsiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah Jumaat itu telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia. Maksud “sia-sia” dalam hadis ini sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini ialah bertentangan dengan sunah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan sembahyang fardhu Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.
Menurut ulama, larangan dalam hadis tersebut tidak hanya terbatas terhadap bermain dengan anak batu sahaja, bahkan larangan tersebut menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah dibacakan ini adalah lebih buruk lagi daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukan dan menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Wallahu a'lam
1025. Soalan : Apakah hukumnya waniat bermusafir seorang diri tanpa ada mahramnya bersama dengannya semasa bermusafir? Minta ustaz berikan pencerahannya.
Jawapan :
Wanita bermusafir seorang diri tanpa di temankan suami atau mahramnya. Ulama memberikan huraiannya :
PERMUSAFIRAN YANG HARUS ATAU SUNAT SEPERTI BERNIAGA, ZIARAH DAN LAIN-LAIN.
1). Ditemani suami atau mahram - Pendapat jumhur Fuqahak
2). Ditemani perempuan-perempuan thiqah (wanita baik yang boleh di percayai). Pendapat ini wujud kerana ia telah diriwayatkan oleh para ulamak mazhab Syafie seperti Abu Hamid, Al Mawardi, Al Muhamili, Al Qadi Husein, Al Baghani, Al Rafei dan lain-lain. Sebab itulah menurut Al Mawardi sebahagian Mazhab Syafieyyah membolehkannya kerana menyamakannnya dengan permusafiran wajib yang ditemani oleh wanita-wanita thiqah. Al Bandahiji pula menyebutkan 'Qil' yang membolehkan permusafiran musliamh dengan seorang atau beberapa orang wanita thiqah bagi permusafiran yang harus.
3). Bersendirian tanpa ditemani oleh suami atau mahram - Sufyan Al Thawri membolehkan untuk perjalanan yang dekat sahaja iaitu kurang dari 3 marhalah (96 batu) - Pendapat Al Qaffal dan ini dipandang baik oleh Al Ruyani.
Kata Abu Hamid pula sebahagian Ashab kami( Mazhab Syafei) membolehkannya keluar tanpa mahram didalam permusafiarn yang wajib atau selainnya. Barangkali maksud Al Qaffal, Abu Hamid dan Al Ruyani ialah permusafirannya dengan rombongan atau wanita thiqah tanpa ditemani oleh mahramnya.
4). Bersama kumpulan atau rombongan
5). Syeikh Al Khazraji Mufti Emirate( Republik Arab Bersatu) dalam fatawa Al Khazrajiyyah mensyaratkan wanita tersebut mesti dihantar ke lapangan terbang (pergi) dan disambut juga di lapangan terbang (tiba) oleh ahli keluarganya atau mahramnya. Tetapi lahjah fatwa Quwait menambah, tempoh perjalanan mesti kurang dari sehari semalam misalnya dari Norway ke Maghribi dengan kapal terbang. Syeikh Ahmad Al Basyuni menukilkan bahawa ini adalah pendapat sebahagian ulamak mutaakhirin.
6). Pendapat ini telah ditarjihkan oleh Qardhawi iaitu bagi perjalanan yang aman sahaja seperti menaiki kapal terbang dan keretapi. Syeikh Al Qardhawi tidak menyebut permusafiran dengan teksi atau van kecil kerana ia tidak selamat untuk wanita musliamh.
HARUS MUSAFIR WANITA TANPA MAHRAM DALAM PERMUSAFIRAN YANG HARUS (SUNAT)
Diantara dalil-dalil yang mengharuskan perempuan musafir tanpa mahram atau suami apabila didapati dalam perjalanannya aman iaitu:
1). Isteri-isteri nabi SAW telah menunaikan haji pada zaman Saidina Umar r.a dan zaman selepasnya maka tidak mengengkari salah seorang dari mereka diatas perbuatan tersebut.
2). Aisyah r.a telah mengeluarkan fatwa.
Islam sudah memberi garis panduan yang jelas wanita apabila bermusafir seorang diri ada risiko yang besar. Jika boleh di atasi outstation bawa rakan wanita sepejabat, suami atau adik / mahram wanita tersebut adalah lebih baik, jangan outstation ikut kereta bos lelaki seorang diri akan bawa fitnah dan terbuka ruang untuk menghampiri zina.
No comments:
Post a Comment