Saturday, January 31, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 212 (Hukum Ulat Sagu, Wanita Haid Boleh Masuk Surau, Doa Beli Kenderaan Baru, Haji dan Umrah Mana Perlu di Dulukan dan Was-was Semasa Solat.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 212 adalah menjelaskan persoalan hukum ulat sagu, wanita haid boleh masuk surau, doa beli kenderaan baru, haji dan umrah mana perlu di dulukan dan was-was semasa solat.

1016. Soalan : Ustaz saya nak tanya ada orang cakap ulat sagu boleh di makan & ada ustaz cakap ulat sagu haram di makan..begitu juga dengan kucing..ada orang cakap kucing boleh di makan & ada orang cakap kucing haram di makan..mohon pencerahan

Jawapan :

Ulat sagu adalah haram di makan dan kucing juga binatang bertaring yang haram di makan. 

Menurut jumhur ulama (mazhab Hanafi, Syafi’ie dan Hanbali); daging gajah haram dimakan kerana ia tergolong dalam binatang bertaring. Abu Tsa’labah al-Khusyani RA menceritakan; “Nabi SAW telah melarang kami dari memakan daging haiwan yang bertaring dari binatang-binatang buas” (Soheh al-Bukhari; 5530, 5780. Soheh Muslim; 1932).

Maksud bertaring ialah haiwan yang menggunakan gigi taringnya untuk menerkam dan membunuh mangsanya (an-Nihayah. Al-Majmu’). Di antara contoh yang disebut ulama bagi binatang-binatang jenis ini ialah; anjing, kucing, singa, harimau, serigala, gajah, kera dan seumpamanya (lihat; Nailul-Autar, as-Syaukani; 1/131. Al-Majmu’, an-Nawawi; 9/14. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; perkataan “At’imah”).

Hukum Memakan Ulat MULONG :

Ulat Sagu (Sarawak : Ulat Mulong).

“. . .Bahawasanya telah dinashkan oleh ulama atas bahawasanya tiap-tiap ulat, dan jika ada ia suci pada ketika hidupnya sekalipun, HARAM memakan dia.” (Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, ulama besar pengarang kitab “Sabilal Muhtadin” dengan jelas pada juzuk 1 halaman 38)

PENGECUALIAN

Walaubagaimanapun masih ada pengecualian pengharaman ini (dari pendapat ulama Syafie)

Yang diistisna` (dikecualikan) hanyalah ulat yang terwujud dalam cuka atau buah-buahan yang sukar hendak dibezakan apa lagi untuk dibuang, yang dimakan bersama-sama cuka atau buah-buahan tersebut (yakni lebih tepat diistilahkan sebagai “termakan bersama-sama iaitu yang dimakan adalah buah sedangkan ulatnya ikut termakan sekali”. Jadi menjadi satu syarat yang ianya dimakan bersama – sama buah tersebut kerana sukar hendak dibezakan dan dibuang. Jika ulat-ulat tersebut boleh dipisahkan dari buah-buahan, maka tetaplah hukumnya haram dimakan. (Sumber: kitab-kitab fiqh mu’tabar dalam mazhab seperti “Minhajuth Tholibin” halaman 130 dan 132 serta syarahnya pada “Tuhfatul Muhtaj” juzuk 9 halaman 369 dan 445)

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ .إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Baqarah ayat 172-173)

Semua manusia di mana-mana sahaja bersepakat mengenai kewajipan memelihara tatacara pemakanan, minuman, berpakaian dan lain-lain lagi yang menjadi satu fitrah kepada manusia dalam mengaturnya. Bagi setiap individu ada makanan yang dimakannya dan ada yang perlu ditinggalkannya. Setiap kelompok masyarakat mempunyai cara tersendiri untuk menilai makanan dan minuman yang memberi manfaat dan membawa kemudaratan kepada mereka. Ada yang menjadikan agama masing-masing sebagai penilai, ada yang menjadikan pengalaman dan kajian, ada yang menjadikan perubatan dan bermacam-macam lagi penilai untuk mencapai matlamat masing-masing untuk mendapat makanan dan minuman yang baik untuk kehidupan masing-masing.

Segala usaha dan penilaian yang menyibukkan ini akan menjadikan manusia melupai Allah sedikit atau banyak. Kesannya akan menyebabkan hati dicemari dengan kekotoran dan terputus hubungannya dengan Allah Taala. Racun yang memasuki hati ini wajib diubati. Oleh sebab itu maha bijaksana Allah apabila memerintahkan untuk mensyukuriNya selepas memperoleh segala makan minum yang diinginkan. Allah juga mengkhususkan makanan tertentu sahaja yang dibenarkan untuk dimanfaatkan oleh manusia kerana sebahagian daripada binatang-binatang yang dimakan akan memberi kesan kepada akhlak emosi seseorang insan. Perkara tersebut telah diakui oleh tokoh-tokoh perubatan sendiri mengenai akhlak manusia yang memakan khinzir, monyet dan sebagainya. Bagi orang yang beriman, penilaian yang diberikan oleh Allah dan Rasulnya merupakan penilaian yang paling tepat dan wajib untuk ditaati.

Oleh itu, peranan khalifah Allah yang dipertanggungjawab oleh Allah kepada manusia di muka bumi ini bukan hanya semata-mata urusan solat, puasa, haji, zakat dan seumpamanya yang merupakan ibadat itu sendiri akan tetapi menjadikan pelaksanaan setiap inci kehidupan di muka bumi Allah ini mengikut neraca yang Allah inginkan juga merupakan satu kewajipan. Jika hati dan dada kita diberi petunjuk untuk memahami dan menghayati isi dan ajaran Al-Quran itu sendiri. Maha benar apa yang Allah firmankan

مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ

Maksudnya: Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

Para Fuqaha memberikan kaedah untuk menilai makanan yang diharamkan untuk dimakan oleh kaum Muslimin. Kaedah ini dikeluarkan daripada firman Allah dan sunah baginda Nabi 

1) Makanan memberi mudarat kepada tubuh.

2) Memberi mudarat kepada akal.

3) Sesuatu yang jijik pada pertimbangan mereka yang sihat emosinya.
Berkata Ibn Qudamah: “Apa yang dikata elok oleh Arab maka ianya halal kerana firman Allah SWT :

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ

Maksudnya: dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik
Iaitu apa yang dianggap baik dan elok oleh mereka selain daripada yang telah dihalalkan. 

Firman Allah SWT :

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang Dihalalkan bagi mereka?” bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik,(Surah al-Maaidah ayat 4)

Jika Allah ingin maksudkan makanan yang telah dihalalkan, maka ayat ini tidak menjadi jawapan kepada persoalan.

Juga sesuatu yang dianggap jelik oleh Arab hukumnya haram. Berdasarkan firman Allah Taala;

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: dan mengharamkan kepada mereka Segala benda yang buruk;

Mereka yang diiktiraf dan diguna pakai untuk diterima tanggapan baik dan jeliknya sesuatu ialah bangsa Arab Hijaz yang tinggal di kota. Ini kerana Al-Quran mula-mula diturunkan kepada mereka dan mula-mula mendapat mendengar hadis Nabi, maka dirujuk setiap ucapan Al-Quran dan Sunah kepada adat dan uruf mereka tidak selain mereka. Tidak boleh menilai perasaan Penduduk Hijaz yang tinggal di kampung-kampung kerana disebabkan darurat atau kelaparan mereka makan apa sahaja yang mereka temui”.

4) Benda-benda Najis

5) Daging binatang buas yang berkaki empat dan juga burung

6) Haiwan jinak yang mempunyai kuku. Seumpama keldai

7) Haiwan-haiwan yang dituntut oleh syarak untuk membunuhnya.

Ini merupakan tujuh kaedah dalam menentukan sesuatu makanan halal dimakan atau tidak. Berhubung tentang hukum memakan lintah, Imam Dumairi berkata: “Haram memakan lintah”.

Jijik menurut madzhab syafi’iy :

1. Menurut selera bangsa arab. maksudnya jika ulat sagu tsb disuakan kepada org arab atau pelancung arab, apakah mereka ada selera memakannya. atau mereka merasa jijik.

2. Jijik menurut standard masyarakat madani atau komuniti manusia yg menetap di kota. Ini kerana selera org kota lebih terjaga, bukannya standard orang dusun pendalaman atau komuniti org asli yg tiada jijik kepada semua perkara…

ULAMA SARAWAK YANG MENGFATWAKAN HARAM

Ulama-ulama Sarawak termasuklah almarhum Shohibus Samahah Datuk Haji `Abdul Qadir Hasan, turut tidak ketinggalan mengeluarkan fatwa mengenai haramnya memakan ulat mulong ini. Malangnya ada sebilangan kecil masyarakat Islam yang masih tidak mendengar beduk mengenai haramnya makan ulat mulong menurut mazhab Syafi`i. Kepada penggemar ulat mulong, maka ketahuilah bahawa makan ulat mulong itu adalah haram hukumnya sebagaimana haramnya makan ular dan katak dan beruk dan kera menurut mazhab Syafi`i. Jadi eloklah berhenti dan jika dikatakan rasanya seperti rasa udang, maka eloklah beli udang dan makanlah udang. Wallahu a'lam.

1017. Soalan : Orang yang kedatangan haid tak boleh duduk dlm masjid.
cumna dengan surau atau bilik solat?

Jawapan :

Menurut Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang di haruskan wanita haid / nifas memasuki surau atau bilik solat yang tak di dirikan solat Jumaat di dalamnya. FATWA NEGERI PULAU PINANG

Soalan:

i) Apakah yang dimaksudkan dan ditak'rifkan dengan surau dari segi hukum syarak?

ii) Adakah sama dengan taraf masjid dari segi disunatkan sembahyang tahiyyatul-masjid (تحية المسجد) ketika memasukinya, disunatkan i'tiqaf di dalamnya dan di larang wanita yang sedang dalam keadaan haid berada di dalamnya ?

Jawapan:

i) Surau adalah tempat melakukan 'ibadat sembahyang yang tidak didirikan sembahyang Jumaat di dalamnya.

ii) Tidak ada sembahyang sunat tahiyyatul-masjid di surau dan tidak ada i'tiqaf di dalamnya dan tidak dilarang wanita-wanita yang sedang di dalam keadaan haid berada di dalamnya. Nas dari kitab إعانة الطالبينI juzuk 2, m/s 259. وأعلم أن الجامع وهو ما تقام فيه الجمعة. 

Bermaksud: "Dan ketahuilah bahawa yang di namakan masjid itu, ialah tempat yang didirikan padanya sembahyang Jumaat.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Pulau Pinang
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Hal Ehwal Ugama Pulau Pinang
Penulis/Ulama : Dato’ Haji Hassan Bin Haji Ahmad ( Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang)
Tarikh Diisu : Nov. 1986.

1018 . Soalan : Ustaz..nak tanya ni..saya selalu engar bila beli kenderaan baru setengah orang akan buat doa untuk di renjis pada kenderaan tersebut bagi keselamatan pemandu & kenderaan.soalan saya adakah itu boleh dlakukan? adakah salah pada islam? Sekiranya di bolehkan..boleh saya renjis dengan air Yassin?

Jawapan : 

Islam tidak ajar merejiskan air jampi atau air yasin ke atas kenderaan yang baru di beli. Dalam hadis Nabi SAW mengajar kita untuk berdoa seperti doa di bawah ini :

Petikan daripada kitab 101 Doa Hadis2 Sahih Terbitan Telaga Biru Sdn Bhd

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسأَلُكَ خَيْرَهَا و خَيْرَ مَا جَـبَلْتَهَا عَلَيْهِ ،
وَ أَعُوذُبِكَ مِنْ شَرِّهَا وَ شَرِّ مَا جَـبَلْتَهَا عَلَيْهِ

" Wahai Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu kebaikan kenderaan ini dan kebaikan sifatnya . Dan aku memohon perlindunganMu dari kejahatan kenderaan ini dan kejahatan sifatnya . ( HR Abu Dawud no 2160 , Ibn Majah no 1918 , lihat sahih Ibn Majah no 324 dan Adaab az-Zifaf )

Solat hajat di haruskan untuk semua urusan begitu juga doa boleh di lakukan bila-bila masa saja.

1019. Soalan : Ustaz,..soalan saya,..antara umrah dan haji,..yang mana kita perlu dahulukan,..sebab saudara saya ni,..ada duit yg membolehkan dia buat umrah,..tapi dia kata nak buat haji dulu,..tapi dengan keadaan sekarang yang berdaftar dengan Tabung Haji,..perlu mengikut senarai menunggu,..jadi apa pendapat ustaz,..terima kasih,..

Jawapan :

Puan kena utamakan haji dulu daripaad umrah. Haji adalah wajib jika cukup perbelanjaan dan mendapat quota daripada Tabung Haji. Puan kena daftar haji dulu dan cukupkan jumlah kos penuh yang di kenakan oleh Tabung Haji dan dapatkan tahun menunggu. Sekurang-kurangnya jika kita mati kita sudah ada niat dan cukup perbelanjaan yang kita depositkan di akaun Tabung haji dan mudah menjawab jika di soal oleh Allah SWT adakah kita telah membuat persiapan untuk tunaikan Rukun Islam ke5. Soal belum sampai masa kerana ramai senarai menunggu itu soal kedua. 

Allah SWT Maha Mengetahui niat dan keazaman kita untuk menunaikan haji. Di takdirkan puan meninggal dunia ketika itu wang puan yang berada di Tabung Haji akan di buatkan upah haji oleh anak puan nanti. Setelah wang di Tabung Haji di cukupkan barulah jika ada wang lebihan bolehlah buat umrah sunat. Jangan utamakan yang sunat dan buat tak kisah pada yang wajib.

Jumhur ulama menjelaskan untuk tunaikan haji tak perlu meminjam kerana jika kita meminjam ini bermakna kita belum cukup peruntukan dan perbelanjaan untuk tunaikan ibadah haji.

Sebelum mengerjakan umrah lebih baik kita membuat persiapan dan mengikuti kursus haji dan umrah. Beli buku yang berkaitan ibadah umrah mana-mana doa yang belum kita hafal cuba menghafalnya. Jika masih belum hafal tak menjadi masaalah kerana semasa mengarjakan umrah nanti boleh bawa catatan semasa melakukan perkara-perkara sunat semasa umrah nanti. Terdapat mutawif (pemandu umrah) yang akan bersama-sama kita dan boleh tanyakan soalan jika saudari kurang faham semasa mengerjakan umrah nanti. 

Anak kecil jika ada yang boleh jaga di rumah misalnya ibu bapa kita maka sebaiknya di tinggalkan supaya saudari dapat memberikan tumpuan beribadah sepenuhnya di Mekkah dan Madinah bukan mudah nak mengerjakan umrah terpaksa berkorban dengan mengeluarkan wang ringgit yang banyak maka masa inilah seluruh fokus untuk beribadah dan berdoa di berikan keutamaan.

1020. Soalan : Ustaz..semasa solat sekiranya kita was was samada dah betul atau tidak baca alfatihah untuk sesuatu ayat...maka perlu ulang dari awal atau ulang ayat itu sahaja.

Jawapan :

Jika kita membaca surah al-Fatihah jika rasa silap membacanya maka kita ulangi mana-mana ayat yang silap tak perlu ulang daripada mula ayat. Kita kena yakin jangan mudah di was-waskan oleh syaitan kerana syaitan cuba nak timbulkan was-was pada hati kita dan membatalkan solat.

Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam daripada Abu Sa‘îd alKhudriyyi radhiallahu ‘anhu: “Jika seseorang daripada kamu syak dalam solatnya, lalu dia tidak tahu berapa rakaat telah dilakukannya. Adakah tiga atau empat? Maka buanglah syak dan peganglah apa yang diyakini (buatlah jumlah rakaat yang diyakini). Kemudian sujudlah dua kali sujud sebelum memberi salam. Jika dia telah melakukan lima rakaat, maka ia (kedua sujud dan duduk antaranya) menggenapkan solatnya. Jika dia telah melakukan sempurna empat rakaat, kedua sujud itu sebagai satu tanda kehinaan bagi syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Mengatasi Was-was dengan Memperdalami Ilmu. 
Menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullah, was-was timbul kerana lemahnya akal pemikiran dan kurangnya ilmu mengenai agama. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/214)

Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Ibnu ‘Abbâs Radhiallahu ‘anhumâ: 

“Seorang faqîh (ahli ilmu agama) lebih susah bagi syaitan (mendatangkan waswas) daripada seribu orang ahli ibadat (yang jahil).”(Hadis Riwayat at-Tirmidzî)

Hadis yang disebutkan di atas merupakan galakan untuk kita memperdalami ilmu; khususnya ilmu agama dalam masalah ibadat, agar kita yakin dalam segala amalan kita, dan tidak mudah tewas oleh bisikan dan godaan syaitan yang cuba menimbulkan keraguan dalam amalan kita. 

Jadi bagi mengatasi masalah was-was ketika solat, hendaklah memperdalami ilmu mengenai solat; dari segi tatacara memasang niat, mengangkat takbîratul ihram, bacaan-bacaan yang betul dalam solat dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment