Saturday, January 17, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 204 (Bawah Dagu Wanita Aurat, Dalil Baik Dan Buruk Dengan Izin Allah, Cara Bersumpah Dalam Islam. Hukum Aqiqah Dan Korban Dengan Lembu Dan Wanita Solat Di Masjid.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 204 adalah menjelaskan persoalan bawah dagu wanita aurat, dalil baik dan buruk dengan izin Allah, cara bersumpah dalam Islam. hukum aqiqah dan korban dengan lembu dan wanita solat di masjid.

976. Soalan : Ustaz saya ingin kepastian adakah bawah dagu wanita aurat yang wajib di tutup?

Jawapan : 

Dagu wanita tidak termasuk di dalam aurat bahagian bawah dagu wanita adalah TERMASUK AURAT yang wajib ditutup. Ini kerana bahagian tersebut tidak termasuk dari batas-batas wajah yang boleh dibuka. al-Syirazi berkata:

والوجه ما بين منابت شعر الرأس إلى الذقن ومنتهى اللحيين طولاً، ومن الأذن إلى الأذن عرضاً

Maksudnya: “Dan wajah itu apa yang ada diantara tempat tumbuh rambut kepala hingga ke dagu dan hujung kedua-dua rahang, secara panjang. Lebarnya pula dari telinga hingga ke telingan satu lagi.”

Kata Imam Nawawi di dalam al-Majmu’ ketika memberi komentar kepada perkataan al-Syirazi ini:

هذا الذي ذكره المصنف في حد الوجه هو الصواب الذي عليه الأصحاب ونص عليه الشافعي رحمه الله في الأم

Maksudnya: “Yang disebut oleh penulis (al-Syirazi) tentang batas wajah, ianya benar seperti pandangan al-Ashab, dan telah dinyatakan perkara ini oleh al-Syafie r.h di dalam kitabnya al-Umm.” Maksud bawah dagu adalah kulit yang terdapat di antara dagu dan leher.

Wallahu a’lam.

977. Soalan : Saya ingin bertanya apakah nas dan dalil " apa yang berlaku (baik dan buruk) adalah dengan izin Allah. Ramai yg keliru dan berbantah-bantah tentang perkara ini.? Saya mohon pencerahan...terima kasih....

Jawapan :

Firman Allah SWT maksudnya, "Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya,(Surah Asy Syams ( 91) ayat 8) 

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا (8) 

Dalam ayat ini Allah menerangkan bahwa Ia telah mengilhamkan kepada setiap jiwa jalan kefasikan (keburukan) dan ketakwaan (kebaikan) serta diterangkan-Nya pula perbezaan antara keduanya mana yang dapat membawa kebahagiaan dan mana yang dapat membawa kepada siksaan dan hukuman.

Firman-Nya lagi yang bermaksud, "Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya (Surah Asy Syams ayat 9-10)

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا (9) وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا (10) 

Allah SWT menerangkan, bahwa sangat beruntunglah orang-orang yang menyucikan jiwanya dan memupuknya sehingga dapat mencapai kesempurnaan akal dan perbuatan yang membuahkan kebaikan untuk dirinya dan orang lain. Dan sebaliknya orang tidak beruntung ialah orang yang merugikan dan menjatuhkan diri ke dalam jurang kebinasaan disebabkan melakukan perbuatan maksiat dan menjauhkan amal kebaikan dan akan mendapat siksaan di akhirat nanti.

Berdasarkah ayat di atas jelaslah bahawa baik dan buruk adalah berlaku dengan izin Allah SWT. Terserah kepada manusia nak pilih yang mana satu baik atau buruk dan manusia akan terima akibat daripada pemilihannya jika baik akan di berikan balasan pahala dan jika buruk atau jahat maka dia akan di berikan balasan dosa.

Apabila kebenaran sudah di sampaikan dengan jelas dan mereka masih memilih maksiat dan seronok dengan maksiat, maka tugas kita sudah sampai di sasarannya. Kita jangan berputus asa teruskan dakwah dan memberi nasihat, dan berdoa kepada Allah SWT semuga terbuka pintu hati mereka untuk bertaubat, ingatlah kita sebagai manusia hanya mampu berdakwah , sedangkan yang hendak memberikan taufik dan hidayah adalah Allah SWT.

Yang menghalang manusia ada dua iatu nafsunya yang seronok dengan maksiat dan kedua godaan syaitan yang menarik manusia suka kepada maksiat. Jika kedua-dua halangan ini dapat di atasi insya Allah manusia akan kembali kepada fitrahnya yang asal.

978. Soalan : Ustaz bagaimanakah bersumpah cara islam? Cara lafaznya yg betul,apa akan terjadi sekiranya seseorang itu berbohong ketika bersumpah dgn nama Allah SWT?

Jawapan :

 Di syaratkan pada sumpah itu 3 perkara;

1. taklif, ikhtiar, lafaz serta qasad[niat]
2. sumpah dengan nama Allah @ sifat nya
3. perkara yg disumpah bukanlah yang di wajibkan oleh syarak..

Jika seseorang berbohong dan membuat sumpah palsu maka hukumnya berdosa besar. Bersumpah palsu dengan menyebut nama Allah adalah diharamkan. Pertama : Hal itu termasuk kebohongan, dan kebohongan adalah diharamkan. Kedua : Kebohongan ini disandingkan dengan sumpah, sedangkan sumpah adalah pengagungan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Apabila sumpahnya untuk suatu kebohongan, berarti di dalamnya terkandung sikap tanaqqus (penghinaan) terhadap Allah, karena menjadikan namaNya sebagai penguat kebohongan. Oleh karena itu, bersumpah dengan menyebut nama Allah untuk suatu kebohongan -menurut sebagian ulama- termasuk sumpah palsu yang menyebabkan pelakunya terjerumus kepada dosa, kemudian ke neraka.

Dalam Islam terdapat 2 jenis sumpah, iaitu sumpah yang terpakai (sah) dan sumpah yang tidak terpakai. Sumpah yang terpakai pula terbahagi kepada 2 iaitu samada sumpah di atas perkara yang baik atau sumpah di atas perkara yang tidak baik. Sumpah yang tidak terpakai pula ialah sumpah lagha.(akan diceritakan lebih lanjut dibawah)

Syarat sumpah: lafaz dan niat

Lafaz sumpah mesti menggunakan salah satu dari 3 kalimah sumpah iaitu “wallahi”, “wabillahi” dan “wattallahi”.

Setiap lafaz sumpah itu perlu disertai dengan niat, tanpa niat ia tidak sah dan cuma sekadar lafaz sumpah sahaja.

Firman Allah SWT maksudnya, "Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah) dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar." (Surah al-Baqarah ayat 225)

Jenis-jenis Sumpah

Sumpah yang terpakai (sah)

1) Sumpah di atas perkara yang baik

Misalnya mengatakan “Wallahi aku tidak akan menonton rancangan hiburan lagi selepas ini” dan disertai dengan niat untuk bersumpah.

Jika tidak disertai niat untuk bersumpah tetap tidak dikira sebagai sumpah.

Sekiranya tidak dapat melakukan perkara baik yang terkandung dalam sumpah itu, hendaklah membayar kifarah (denda) samada memberi makan 10 orang miskin atau memberikan pakaian 10 orang miskin atau 3 hari berpuasa. (Lakukan kifarah mengikut turutannya)

2) Sumpah di atas perkara yang tidak baik

Sumpah di atas perkara yang tidak baik adalah haram. Allah melarang bersumpah untuk perkara yang tidak baik.

Firman Allah SWT maksudnya, "Dan janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertakwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 224)

Misalnya bersumpah untuk tidak bertegur sapa dengan mengatakan “wallahi aku tidak bercakap dengan Ahmad sampai bila-bila“. Sebaliknya didapati bertegur sapa itu lebih baik untuk silaturrahim dan berdosa tidak bertegur sapa sesama Islam melebihi 3 hari.
Bentuk kaffarah sumpah telah dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya,

فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ

“Kaffarahnya adalah memberi makan sepuluh orang miskin, yaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu langgar. ” (Surah Al-Maidah ayat 89)

Sumpah atas perkara yang tidak baik dikenakan kifarah (denda) 1. Memberi makan 10 orang miskin atau 2. Memberikan pakaian 10 orang miskin. atau 3.Memerdekakan seorang budak (hamba). 4.  Puasa tiga hari berturut-turut.

Perhatian : Kaffarah sumpah perlu di laksanakan  perkara 1, 2 dan 3 dahulu. Jika tidak mampu maka barulah dilaksanakan perkara ke 4.

Untuk membatalkan sumpah itu,  hendaklah batalkan sumpah dengan membuat perkara yang bertentangan iaitu perkara yang lebih baik misalnya dengan kembali bercakap dengan Ahmad. Jangan kekalkan sumpah tersebut. Dalilnya ialah sabda Nabi SAW:-

“Siapa yang bersumpah untuk tidak melakukan sesuatu, kemudian dia melihat hal lain yang lebih baik dari hal tersebut, maka hendaklah dia membayar kifarah sumpahnya, lalu mengerjakan hal yang lebih baik itu.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sumpah yang tidak terpakai

Sumpah lagha

Sumpah yang tidak dimaksudkan untuk bersumpah. Tidak berdosa sumpah seperti ini, dalilnya seperti ayat 225 surah Al-Baqarah di atas.

Terdapat perbezaan tentang definisi sumpah lagha di antara mazhab Syafie dan Hanafi.

Mazhab Syafie: Lafaz sumpah tetapi tidak diniatkan untuk bersumpah seperti kebiasaan orang Arab atau Afghan berkata “Wallahi” (Demi Allah). Misalnya seorang Arab mengatakan “wallahi, ini minyak attar“. Pada orang Arab minyak attar adalah minyak wangi, sedangkan orang Melayu menyangka minyak attar itu minyak yang tiada alkohol. Tidak berdosa sumpah seperti ini.

Mazhab Hanafi: bersumpah diatas keyakinan hati benda itu betul tapi pada hakikatnya benda itu tidak betul. Misalnya kita tengok seseorang di satu tempat. Kita yakin orang itu ada disitu pada masa itu padahal sebaliknya (orang lain yang serupa berada disitu). Misalnya dengan berkata “Wallahi saya nampak Ahmad di KLCC pukul 5 petang tadi”.(padahal yang dilihat itu adalah orang lain yang seiras). Tidak berdosa sumpah seperti ini.

979. Soalan : Apakah hukumnya aqiqah anak lelaki,kita buat ketika raya korban & ambil 1bahagian sahaja? daging lembu bukan aqiqah dengan seekor kambing..mohon pencerahan..

Jawapan : 

Jika kita ambil bahagian di dalam korban lembu di Hari Raya Haji tetapi bahagian kita untuk aqiqah maka jika anak lelaki 2 bahagian dan untuk anak perempuan 1 bahagian. Sama juga jika kita buat aqiqah kambing anak lelaki 2 ekor dan anak perempuan 1 ekor kambing.

Boleh buat aqiqah anak yang belum baligh semasa hari raya korban. Amabil 2 bahagian untuk anak lelaki dan 1 bahagian untuk anak perempuan dalam seekor lembu.

Dalam seekor lembu akan di bahagikan kepada 7 bahagian untuk korban semua atau boleh di campurkan untuk korban dan untuk aqiqah. Dalam hadis sahih riwayat Jabir

فأمرنا رسول الله - صلى الله عليه وسلم - أن نشترك في الإبل والبقر كل سبعة منا في بدنة

Maksudnya : Maka Rasulullah s.a.w memerintahkan kami supaya berkongsi dalam seekor unta dan seekor lembu, iaitu setiap tujuh orang dari kalangan kami berkongsi seekor unta. (Hadis Riwayat Muslim) Bolehkah dalam seekor lembu dijadikan 4 untuk aqiqah dan 3 untuk korban.?

Melihat kepada fatwa-fatwa ulama, ia menyerupai masalah mencampurkan niat dalam satu ibadat. Dalam fatwa ulama ada dinyatakan masalah sekiranya seorang ingin menyembelih haiwan dan ia berniatkan korban dan aqiqah sekaligus, adakah harus?

Ada dua pendapat dalam masalah ini.

Pertama: Tidak harus dilakukan, mesti diasingkan niat. Ini adalah pandangan mazhab Syafie. Hujahnya ialah ibadat korban dan aqiqah ini mempunyai maksud dan tujuan khusus bagi setiap satu. Bahkan kedua-duanya mempunyai sebab yang berlainan.

Pendapat kedua: Harus mencampurkan niat aqiqah dan korban dalam satu haiwan sembelihan. Hujahnya ialah kerana maksud dan tujuan penyembelihan ialah untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Taala. Ada riwayat dari Hasan menyebut (Musannaf Ibn Abi Shaybah (5/534):

عَنْ الْحَسَنِ قَالَ : إذَا ضَحُّوا عَنْ الْغُلَامِ فَقَدْ أَجْزَأَتْ عَنْهُ مِنْ الْعَقِيقَةِ .

Maksudnya “Jika kamu melakukan sembelihan korban untuk bayimu, maka ia memadai untuk aqiqah”

Sheikh Muhammad bin Ibrahim r.h memilih pendapat ini, katanya :

لو اجتمع أضحية وعقيقة كفى واحدة صاحب البيت ، عازم على التضحية عن نفسه فيذبح هذه أضحية وتدخل فيها العقيقة
Maksudnya : Sekiranya korban dan aqiqah berhimpun, maka memadai dengan melakukan satu sahaja untuk tuan rumah, ia berazam untuk melakukan korban bagi dirinya, maka ia menyembelih korbannya, dan akan masuk di dalamnya ibadat aqiqah.

Hasilnya ialah, dalam masalah di atas iaiatu (7 bahagian, 4 niat aqiqah, 3 niat korban) insyaAllah harus dan dibolehkan kerana tujuan penyembelihan tetap sama iaitu taqarrub kepada Allah Taala.

Jika saudara hendak aqiqahkan anak lelaki saudara maka kena ambil 2 bahagian daripada 7 bahagian lembu begitu juga jika nak ambil bahagian aqiqah untuk anak perempuan maka boleh ambil 1 bahagian daripada 7 bahagian lembu.

980. Soalan : Ustaz bolehkan wanita solat di masjid tanpa hadir bersama suami?

Jawapan :

Jika ada kemudahan ke masjid untuk solat berjemaah dan mengikuti majlis ilmu maka di galakkan pergi. Jika dapat bersama anak sebagai teman adalah lebih baik. Dalam hadis ada menjelaskan solat wanita di rumah lebih baik daripada di masjid tetapi oleh kerana majlis ilmu ada di ajarkan di masjid-masjid di antara magrib dan isyak maka wanita lebih utama ke majid di samping mendapat pahala berjemaah akan mendapat juga pahala menuntut ilmu. Setiap langkah daripada rumah ke masjid akan mendapat satu pahala, di hapuskansatu dosa dan di naikan satu darjat keadaan ini untuk pergi dan balik. Malaikat rahmat akan mendoakan sesiapa sahaja di antara mukminin dan mukminat yang berniat nak solat berjemaah dan menuntut ilmu.

Wanita dibenarkan untuk ke masjid selama-mana dia menjaga 3 syarat :-
1. Hendaklah di menutup aurat
2. Tidak memakai bau-bauan (minyak wangi).
3. Jika dia seorang isteri, hendaklah meminta izin suami, jika tak ada suami ajak anak lelaki / perempuan menemaninya semasa ke masjid.

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa pada zaman Nabi , terdapat kaum wanita menyertai solat berjemaah di masjid. Mereka juga menyertai solat Jumaat dan juga Solat Eid. al-Qaradhawi mengatakan bahawa wanita-wanita ini menggunakan pintu yang sama dengan lelaki, sehinggalah Nabi memerintahkan agar pintu tersebut dikhaskan kepada wanita, dan sehingga kini wujud Pintu khas untuk Wanita tersebut.

Tidak ada riwayat yang menunjukkan bahawa para sahabat menghalang wanita dari menunaikan solat dimasjid. Dr Muzammil Siddiqi mengatakan bahawa adat melarang wanita pergi kemasjid telah bermula zaman baru-baru ini sahaja. Dukacita di maklumkan bahawa ia membawa kesan yang negatif kepada muslimat, dan menjauhkan mereka kebelakang.

Dr Muzammil Siddiqi mengatakan bahawa, kalaulah wanita itu boleh keluar rumah untuk ke Universiti, bekerja, ke pasar, atau membeli belah dsb, mengapa pula kita hendak menghalang wanita dari pergi ke masjid?

Kesimpulannya, wanita boleh pergi ke masjid dengan mematuhi syarat-syarat diatas dan Nabi SAW melarang seseorang itu menghalang wanita-wanita dari pergi ke masjid.







No comments:

Post a Comment