Monday, January 19, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 206 (Mengumpat Yang Di Haruskan, Hukuman Jika Seseorang Murtad, Hukum Wanita Membuang Bulu-bulu Di Muka, Hukum Berkhalwat Dan Hukum Darah Keluar Semada Mengandung.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 206 adalah menjelaskan persoalan mengumpat yang di haruskan, hukuman jika seseorang murtad, hukum wanita membuang bulu-bulu di muka, hukum berkhalwat dan hukum darah keluar semada mengandung.

986. Soalan : Ustaz , kalau orang mengumpat tapi tak sebut nama dia ..adakah berdosa dan adakah perkara-perkara yang di haruskan mengumpat?

Jawapan : 

Tidak di kira mengumpat jika kita tidak menceritakan nama atau individu terbabit dan menceritakan hanya keburukannya saja kepada rakan kita. Tetapi amalan ini juga tidak di galakkan kerana diri kita telah memberikan satu sikap negatif dan buruk sangka kepada orang tersebut. Allah SWT melarang kita ada prasagka buruk kepada saudara kita yang lain. Terlalu banyak mencari keaiban orang lain atau menceritakannya sebenarnya itu adalah reflek daripada sikap dan hati kita yang buruk dan berpenyakit.

Walaubagimana pun menyebut sesuatu kemungkaran dan keaiban secara menyeluruh tanpa menyebut nama atau individu diharuskan bagi tujuan mengambil iktibar serta pengajaran. Ia juga bergantung niat seseorang untuk menyiarkannya...adakah untuk tujuan mengaibkan seseorang atau untuk menjadi iktibar kepada yang lain. 

Mari kita merenungi hadith berikut: Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan, sesungguhnya orang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang diumpat." (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad) 

Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah daripada kamu. Adakah seorang daripada kamu suka makan daging bangkai saudaranya, tentunya kamu semua membenci memakannya "" (Surah al-Hujurat, ayat 12). 

Rasulullah bersabda maksudnya,  "Tidak akan masuk syurga Al-Nammam (kaki umpat)" (Hadis Riwayat Muslim).

Firman Allah SWT makasudnya, "Wahai orang yang beriman ! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan ( supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang ) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari - cari kesalahan dan keaiban orang lain dan jangan sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati ? ( Jika demikian keadaan mengumpat ) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. ( Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut ) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani "(Surah al-Hujurat ayat 12) 

Keharusan Mengumpat :

Walaupun pada asal hukum mengumpat adalah haram, namun ianya juga menjadi harus bagi kita dalam keadaan yang tertentu. Di dalam kitab Riyadus Solihin iaitu karangan kitab oleh Imam Nawawi, terdapat 6 keuzuran yang diharuskan padanya mengumpat. 

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1- Kes Penganiayaan.

Apabila seseorang di zalimi sebagai contohnya seorang isteri yang di zalimi oleh suaminya, maka menjadi keharusan kepada si isteri untuk menceritakan keaiban dan keburukan yang dilakukan oleh suaminya ke atas dirinya kepada pihak pemerintah. Hal ini adalah bertujuan untuk menyelesaikan masalah dan sebagai bukti bahawa kezaliman itu memang berlaku.

2- Mohon Bantuan Mencegah Kemungkaran.

Apabila di dapati berlakunya kemungkaran, kemudian melaporkannya kepada pihak yang berkuasa dengan tujuan / niat untuk mencegah kemungkaran yang ada, maka diharuskan untuk orang yang mengadu menceritakan kemungkaran yang dilakukan. Sebagai contoh dia mengatakan " Si polan telah melakukan maksiat begitu begini, maka tegahlah dia agar tidak berlaku kemudaratan yang berpanjangan".

3- Minta Fatwa.

Diharuskan juga menceritakan keaiban orang dengan tujuan meminta fatwa sepertimana Hindun meminta fatwa kepada Rasulullah SAW perihal suaminya yang kedekut. 

4- Mengajak Muslimin Agar Bersikap Berhati-hati.

Tujuan menceritakan keburukan orang yang tertentu adalah semata-mata untuk kemaslahatan orang lain agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya contohnya seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.

5- Jika Melakukan Maksiat dan Bid'ah Secara Terang-terangan.

Jika seseorang itu melakukan maksita dan bid'ah secara terang-terangan, maka menjadi harus hukum mengumpat tentangnya. Dengan syarat diniatkan keharusan mengumpat itu agar tidak mudah tertipu dan supaya kaum muslimin yang lain sentiasa berwaspada dengannya. Walau bagaimana pun tidak boleh menceritakan keburukannya yang tersembunyi.

6- Sebagai Tanda Pengenalan.

Dibolehkan dengan syarat tidak bertujuan untuk menghina dan merendahkan orang yang dinyatakan seperti mila jongang, mamat tempang. Andaikata hanya dengan gelaran-gelaran tersebut menjadikan orang lebih mengenalinya, maka diharuskan menceritakan kekurangannya. 

Waullahualam.

987. Soalan : Ustaz...saya ingin bertanya mengenai hukum bunuh seorang murtad...bolehkah ustaz terangkan hukum ini dengan ayat surah al Baqarah ayat 256 yang mengatakan tidak ada paksaan dalam beragama? Bukankah membunuh orang yang murtad itu sudah bercanggah dengan ayat tersebut...ada tak ayat al Quran yang mengatakan hukum murtad itu mesti dibunuh? Jika tak ..bolehkah ustaz terangkan siapa yang sebenarnya mewujudkan hukum bunuh tersebut?

Jawapan :

Dalam al-Quran menyatakan tidak ada paksaan di dalam memasuki agama Islam adalah terhadap orang kafir yang belum Islam maka Islam tak memaksa mereka untuk memasuki Islam. Tetapi untuk orang Islam yang telah memeluk agama Islam samaada Islam darisegi Islam keturunan atau dia sendiri memilih untuk masuk Islam, tiba-tiba nak keluar Islam (murtad) maka hukumnya adalah di bunuh (hukum hudud untuk orang yang murtad). Tetapi Islam memberi tempuh 3 hari untuk dia bertaubat dan kembali kepada Islam maka dia tak akan di hukum bunuh.

Firman Allah SWT maksudnya, "Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. Karena itu barangsiapa yang ingkar kepada thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah Al Baqarah ayat 256) 

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (256) 

Huraiannya : 

Ada suatu riwayat tentang sebab turunnya ayat ini, seorang lelaki bernama Abu Al-Husain dari keluarga Bani Salim Ibnu Auf mempunyai dua orang anak lelaki yang telah memeluk agama Nasrani sebelum Nabi Muhammad SAW. diutus Tuhan sebagai nabi. Kemudian kedua anak itu datang ke Madinah (setelah datangnya agama Islam), maka ayah mereka selalu meminta agar mereka masuk agama Islam dan ia berkata kepada mereka, "Saya tidak akan membiarkan kamu berdua, hingga kamu masuk Islam." Mereka lalu mengadukan perkaranva itu kepada Rasulullah SAW. dan ayah mereka berkata, "Apakah sebagian dari tubuhku akan masuk neraka?" Maka turunlah ayat ini, lalu ayah mereka membiarkan mereka itu tetap dalam agama semula. 

Jadi, tidak dibenarkan adanya paksaan. Kewajiban kita hanyalah menyampaikan agama Allah kepada manusia dengan cara yang baik dan penuh kebijaksanaan serta dengan nasihat-nasihat yang wajar sehingga mereka masuk agama Islam dengan kesadaran dan kemauan mereka sendiri. 

Apabila kita sudah menyampaikan kepada mereka dengan cara yang demikian tetapi mereka tidak juga mau beriman itu bukanlah urusan kita melainkan urusan Allah SWT Kita tidak boleh memaksa mereka. Dalam ayat yang lain Allah SWT. telah berfirman yang ertinya, "Apakah Engkau ingin memaksa mereka hingga mereka itu menjadi orang-orang yang beriman?" 

Dengan datangnya agama Islam, maka jalan yang benar sudah tampak dengan jelas dan dapat dibedakan dari jalan yang sesat. Maka tidaklah boleh adanya pemaksaan untuk beriman karena iman tersebut adalah keyakinan dalam hati sanubari dan tak seorang pun dapat memaksa hati seorang untuk meyakini sesuatu apabila ia sendiri tidak bersedia. 

Ayat-ayat Alquran yang menerangkan kenabian Muhammad saw. sudah cukup jelas. Maka terserahlah kepada setiap orang apakah ia akan beriman atau kafir setelah kita menyampaikan ayat-ayat itu kepada mereka. Inilah etika dakwah Islam. Adapun suara-suara yang mengatakan bahwa agama Islam dikembangkan dengan pedang itu hanyalah omong kosong dan fitnahan belaka. 

Umat Islam di Mekah sebelum berhijrah ke Madinah hanya melakukan solat dengan cara sembunyi dan mereka tidak mau melakukan secara demonstratif terhadap kaum kafir. Ayat ini turun kira-kira pada tahun ketiga sesudah hijrah, yaitu setelah umat Islam memiliki kekuatan yang nyata dan jumlah mereka telah bertambah banyak namun mereka tidak diperbolehkan melakukan paksaan terhadap orang-orang yang bukan muslim, baik paksaan secara halus apalagi dengan kekerasan. 

Adapun peperangan yang telah dilakukan umat Islam, baik di Jazirah Arab maupun di negeri-negeri lain seperti di Mesir, Persia dan sebagainya, itu hanyalah semata-mata suatu tindakan bela diri terhadap serangan-serangan kaum kafir kepada mereka, dan untuk mengamankan jalannya dakwah Islam. Sehingga orang-orang kafir itu dapat dihentikan dari kezaliman, memfitnah dan mengganggu umat Islam kerana menganut dan melaksanakan agama mereka dan agar kaum kafir itu dapat menghargai kemerdekaan peribadi dan hak-hak asasi manusia dalam menganut keyakinan. 

Di daerah-daerah yang telah dikuasai kaum muslimin, orang-orang yang belum menganut agama Islam diberi hak dan kemerdekaan untuk memilih apakah mereka akan memeluk agama Islam ataukah akan tetap dalam agama mereka. Jika mereka memilih untuk tetap dalam agama semula, maka mereka diharuskan membayar "jizyah", yaitu semacam pajak sebagai imbangan dari perlindungan yang diberikan pemerintah Islam kepada mereka. Dan keselamatan mereka di jamin sepenuhnya asal mereka tidak melakukan tindakan-tindakan yang memusuhi Islam dan umatnya. 

Ini juga merupakan suatu bukti yang jelas bahwa umat Islam tidak melakukan paksaan, bahkan tetap menghormati kemerdekaan beragama, walaupun terhadap golongan minoriti yang berada di daerah-daerah kekuasaan mereka. Sebaliknya dapat kita lihat dari bukti-bukti sejarah, baik pada masa dahulu, maupun pada zaman modern sekarang ini, betapa malangnya nasib umat Islam apabila mereka menjadi golongan minoriti pada suatu negara. 

Ayat ini selanjutnya menerangkan, bahwa siapa-siapa yang sudah tidak lagi percaya kepada tagut, atau tidak lagi menyembah patung, atau benda yang lain, melainkan beriman dan menyembah Allah semata-mata, maka ia telah mendapatkan pegangan yang kokoh, laksana tali yang kuat yang tak akan putus. Dan iman yang sebenarnya adalah iman yang diyakini dalam hati, diucapkan dengan lidah dan diiringi dengan perbuatan. Itulah sebabnya, maka pada akhir ayat, Allah berfirman yang maksudnya, "Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." 

Ertinya Allah senantiasa mendengar apa yang diucapkan dan Dia lalu mengetahui apa yang diyakini dalam hati, dan apa yang diperbuat oleh anggota badan. Dan Allah akan membalas amal seseorang sesuai dengan iman, perkataan dan perbuatan mereka masing-masing. 

Tafsir Jalalain / Surah Al Baqarah 256 

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (256) 

(Tidak ada paksaan dalam agama), maksudnya untuk memasukinya. (Sesungguhnya telah nyata jalan yang benar dari jalan yang salah), Ertinya telah jelas dengan adanya bukti-bukti dan keterangan-keterangan yang kuat bahawa keimanan itu bererti kebenaran dan kekafiran itu adalah kesesatan. Ayat ini turun mengenai seorang Ansar yang mempunyai anak-anak yang hendak dipaksakan masuk Islam. 

(Maka barang siapa yang ingkar kepada tagut), maksudnya syaitan atau berhala, dipakai untuk tunggal dan jamak (dan dia beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpul tali yang teguh kuat) ikatan tali yang kokoh (yang tidak akan putus-putus dan Allah Maha Mendengar) akan segala ucapan (Maha Mengetahui) segala perbuatan.

988. Soalan : Ustaz apa hukumnya membuang bulu-bulu muka tujuan kecatikan tapi tak ada niat untuk menarik perhatian lelaki.....sekadar untuk diri sendiri....terima kasih.....

Jawapan :

Wanita boleh membersihkan mukanya daripada tumbuhan bulu selain daripada kening. Nabi SAW melarang mencukur bulu kening sehingga di katakan merubah ciptaan Allah SWT. Perkara ini membabitkan satu riwayat berkaitan dengan riwayat Imam Al-Tabari, bahawa isteri Abu Ishaq pergi ke rumah Aisyah Ummul-Mukminin, isteri Rasulullah SAW. Pada waktu itu rupa parasnya sangat jelita. Beliau lalu bertanya kepada Aisyah r.a mengenai hukum seorang wanita yang membuang bulu-bulu yang terdapat di dahinya untuk tujuan menambat hati suaminya. 

Aisyah r.a menjawab: "Hapuskanlah keburukan yang ada pada dirimu sedaya yang kamu mampu". Imam Nawawi berpendapat sesungguhnya jawapan Aisyah kepada wanita itu membawa maksud wanita boleh bersolek untuk suami, boleh merawat muka untuk menghilangkan keburukan seperti jerawat, jeragat dan bintik-bintik.

Jelas di sini adanya keharusan untuk mengelokkan wajah dengan membersihkan wajah daripada bulu-bulu yang tumbuh di kawasan kelopak mata atau di kawasan yang tidak sewajarnya. 

Ini kerana wanita yang normal pastinya kening berbulu tetapi sudah tidak normal kalau dahinya atau kelopak matanya yang berbulu. Wallahu a'lam

989. Soalan : Apakah hukumnya lelaki datang kerumah perempuan seorang diri berjumpa perempuan tersebut seorang ibu tungga sedangkan ibu perempuan ini sudah hilang ingatan?

Jawapan : 

Untuk mengelakkan fitnah dan di anggap menghampiri zina sepatutnya lelaki tersebut tak perlu datang kerumah perempuan tersebut jika dia datang seorang diri. Jika dia datang membawa mahramnya yang perempuan masih syarak lagi dan mungkin tak timbul fitnah. ini adalah kerana  ibunya sedang sakit sudah tak boleh berfikiran secara waras. Berbagai kemugkinan boleh berlaku jika dia datang seorang diri . Perjumpaan dan perbualan di antara dua orang di kira berkhalwat walaupun di dalam rumah ada ibunya kerana ibunya sudah tak baik ingatannya. Eloklah datang membawa adik perempuan, ibunya atau kakaknya jika hendak datang menziarahi perempuan tersebut dan ibunya yang sedang sakit.

Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : "Tidak halal bagi seseorang lelaki berkhalwat dengan seseorang wanita yang tidak halal buatnya kecuali ditemani mahram (mahram-orang yang diharamkan nikah / kahwin dengannya. Maka orang atau pihak ketiga yang ada bersama-sama ketika mereka berdua berkhalwat itu adalah syaitan". 

Dapat difahami bahawa Islam tidak membenarkan pasangan lelaki dan perempuan yang sudah bertunang atau belum bertunang berjumpa berdua-duaan walaupun dalam apa jua alasan. Sebab ini akan menimbulkan fitnah dan buruk sangka orang ramai terhadap pasangan tersebut. 

Bagi pendapat saya, jumpa walaupun membincangkan hal-hal penting pun juga tidak boleh dan haram, kerana dikuatiri perbuatan tersebut dapat menghampiri zina. Jika tidak menghampiri zina, maka ia akan berlaku fitnah di atas perempuan atau pasangan tersebut dengan mengatakan bahawa perempuan atau pasangan tersebut tidak mempunyai maruah. 

Adakah anda suka orang awam mengatakan anda tidak mempunyai maruah? Kalau tidak suka, maka jangan berjumpa berdua-duaan di tempat tersembunyi atau di tempat awam. atau pun datang ke rumah perempuan seorang diri, kecuali jika bawa bersamanya ibu atau pun kakaknya . 

Firman Allah yang bermaksud : “Perempuan-perempuan Yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan Yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, Dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.” (Surah An-Nisa ayat 34) 

Wanita yang soleh adalah wanita yang memelihara kehormatannya sebagai seorang wanita yang suci dan tidak pernah difitnah disebabkan perbuatannya atau keluar berdua-duaan dengan lelaki atau tunangnya atau pun datang ke rumah perempuan seorang diri. Janganlah mencari 1001 alasan untuk menghalalkan perbuatan yang memang jelas di dalam Islam adalah haram sepertimana keluar berdua-duaan kononnya untuk membincangkan sesuatu masalah, hanya pergi membeli belah dan sebagainya atau pun dengan niat nak menziarahi ibu perempuan yang sakit. Allah sangat membenci orang yang sentiasa mencari jalan untuk menghalalkan perkara yang haram. Jelas bahawa yang haram itu jelas dan yang halal itu jelas dan tidak ada perkara yang perlu dipertikaikan lagi. 

Menurut pandangan Dr.Yusof Al Qardawi dalam Fatawa Muasoroh (fiqh kontemporari) mengatakan bahawa : “Selama mana akad kahwin (ijab dan qabul) belum ditunaikan oleh tunang laki dan tunang wanita (belum sah nikah/kahwin mereka mengikut 'uruf-adat, syarak dan undang-undang), maka keadaan masih seperti hukum asal.” 

Hukum asal yang dimaksudkan oleh Dr. Yusof Al-Qardawi dalam masalah ini ialah seperti berikut : Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk berkhalwat(berdua-duaan sehingga menimbulkan fitnah) dengan khatibnya (tunang lelaki) kecuali bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya . Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk bermusafir atau melancong dengan khatibnya (tunang lelaki) kecuali bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya. 


Kesimpulan dari fatwa yang dikeluarkan oleh tokoh ulamak moden iaitu syeikh Dr. Yusof Al-Qardawi menyatakan haram sama sekali bagi pasangan lelaki dan perempuan yang belum bertunang atau sudah bertunang berdua-duaan tanpa teman dari orang yang mahram dengannya seperti ibu, ayah, kakak, abang atau sebagainya. Perlu bawa teman dari mahramnya adalah untuk mengelakkan dari berlakunya maksiat atau fitnah orang terhadap pasangan tersebut. Bahaya fitnah ini, kerana disebabkan fitnah manusia boleh berbunuhan antara satu sama lain, disebabkan fitnah juga suami dan isteri boleh bercerai dan sebabkan fitnah juga pasangan bertunang tersebut akan binasa.

990. Soalan : Ustaz..minta pencerahan sikit..kalau ibu-ibu yang mengandung di awal khamilan ada tanda-tanda macam darah haid yang sudah akhir..bukan merah tetapi darah p coklat kehitaman..macamana dengan amal ibadat...boleh ke sembahyan?

Jawapan :

Permasalahan di atas berkait dengan masalah; apakah wanita yang mengandung ada kemungkinan didatangi haid atau tidak? Berlaku khilaf di kalangan ulama;

1. Jumhur (kebanyakan) ulama berpandangan; perempuan mengandung tidak boleh didatangi haid. Maka jika seorang wanita melihat darah keluar melalui farajnya semasa ia sedang mengandung, darah itu bukan darah haid, tetapi darah istihadhah. Oleh itu, ia hendaklah mengerjakan solat sebagaimana biasa.

2. Namun menurut mazhab Syafi’ie (dan juga Maliki); perempuan mengandungi boleh didatangi haid dengan syarat darah yang datang itu menepati hari-hari kebiasaan haidnya dan terdapat tanda darah haid padanya. Jika datangnya bukan pada hari-hari kebiasaan haid dan tidak nampak tanda-tanda darah haid padanya, maka ia bukan haid, akan tetapi darah istihadhah (atau fasad). Berdasarkan pandangan kedua ini, jika seorang wanita yang sedang mengandung melihat darah keluar dari farajnya dan darah itu ada tanda-tanda haid (seperti warnanya hitam atau merah kehitaman sebagaiman warna darah haid dan tempoh keluarnya tidak kurang 24 jam) dan hari keluarnya menepati hari-hari kebiasaan haid (sebelum ia hamil), wajiblah ia berhenti dari mengerjakan solat kerana darah yang keluar itu dikira darah haid.

Kesimpulannya : Pandangan yang menepati ilmu kedoktoran hari ini ialah pandangan yang pertama. Kerana itu ia ditarjih oleh ramai ulama-ulama semasa hari ini antaranya Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh at-Toharah. Berdasarkan tarjih ini, darah yang keluar dari puan bukanlah darah haid dan puan hendaklah menunaika solat sebagaimana biasa. Mengenai cara bersuci, hendaklah dilihat;

1. Jika darah itu keluar tidak berterusan (yakni pada ketika-ketika tertentu sahaja), puan hendaklah menunggu ketika darah berhenti, kemudian bersuci dengan membersihkan faraj terlebih dahulu, kemudian mengambil wuduk dan menunaikan solat.

2. Jika darah keluar berterusan, puan hendaklah melaksanakan kaedah bersuci sebagaimana berikut;

a) Hendaklah puan menunggu waktu solat masuk terlebih dahulu. 

b) Mulai dengan membasuh faraj dengan sempurna.

c) Setelah itu hendaklah puan membalut faraj dengan kain, tuala wanita atau sebagainya (untuk membendung darah dari mengalir keluar ketika solat).

d) Kemudian hendaklah puan segera mengambil wuduk.

e) Ketika mengambil wuduk hendaklah puan berniat bersuci untuk membolehkan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang disyaratkan wuduk. Contohnya; meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wuduk untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wuduk puan berniat untuk mengangkat hadas kerana hadas puan tidak akan terangkat selama darah terus mengalir keluar dari faraj kerana perkara tersebut membatalkan wuduk.

f) Setelah selesai wuduk hendaklah puan segera menunaikan solat, tanpa menangguh lagi.

g) Jika semasa solat itu darah masih keluar, tidak perlulah puan berhenti dari solat, sebaliknya teruskan solat kerana ia dimaafkan disebabkan keuzuran yang puan alami.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/347 dan 2/385.
2. Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
3. Tamam al-Minnah, Syeikh ‘Adil bin Yusuf al-‘Azzazi, 1/133.

No comments:

Post a Comment