Friday, February 13, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 218 (Isteri Wajib Taat Pada Suami, Hukum Menggunakan Gambar Orang Yang Telah Meninggal Dunia, Nama Anak Yang Baik Dalam Islam, Hukum Wanita Mencukur Bulu Kening dan Cara Menghayati Ilmu Yang di Pelajari.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 218 adalah menjelaskan persoalan isteri wajib taat pada suami, hukum menggunakan gambar orang yang telah meninggal dunia, nama anak yang baik dalam Islam, hukum wanita mencukur bulu kening dan cara menghayati ilmu yang di pelajari.

1046. Soalan : Saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan . Suami saya nak mak saya hantar saya balik ke rumah suami. Tapi mak saya tak izinkan saya balik ke sana . Apa yang saya patut buat ustaz . Saya sudah cukup terseksa di sini . Apa yang boleh saya buat sekarang ni ustaz?

Jawapan : 

Puan perlu membuat pilihan yang betul dan saya pun telah menjelaskan sebelum ini bahawa seorang isteri wajib taat pada suaminya bukan pada ibunya kerana selepas akad nikah puan di bawah jagaan dan tanggungjawab suami puan bukan ibu puan. Puan cuma jaga hati keluarga dan jangan putuskan hubungan silaturahim. Ibu puan berdosa besar jika masih berkeras untuk memisahkan puan dan puan juga jangan termasuk di kalangan isteri yang derhaka (nusyuz) kerana isteri nusyuz tak akan cium bau syurga. Puan tak akan menjadi anak derhaka kerana ketaatan puan pada suami puan , pada masa yg sama pun cuba jaga hubungan dengan ibu puan.

"Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tidak akan masuk Syurga bagi yang memutuskan silaturahim".
(Hadis Riwayat Al-Imam Muslim)

Adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk menjaga hubungan silaturahim dengan sebaik-baiknya. Janganlah disebabkan masalah kecil dan remeh-temeh menyebabkan hubungan menjadi renggang atau retak. Tidak bertegur sapa selama 3 hari. Perkara sebegini boleh menimbulkan ketegangan yang menyebabkan mereka bermasam muka, saling benci-membenci, fitnah-memfitnah dan akhirnya boleh memporak-perandakan hubungan silaturahim dalam berkeluarga dan bermasyarakat.

Terdapat 6 jenis golongan yang termasuk dikalangan penghasut dan memutuskan silatuirahim :

1. Ibu bapa yang mencampuri urusan perkahwinan anak-anaknya. Ibu bapa yang membenci menatu dan menyuruh anaknya memutuskan ikatan perkahwinan (bercerai). Sanggup menghasut dan memfitnah menantunya . Jika menantunya melakukan sesuatu perkara yang tidak syarak sepatutnya sebagai orang tua memberi nasihat dahulu sekiranya perkara tersebut tidak berhasil barulah jalan terakhir mengusulkan perceraian. Setengah kes orang tua yang fasik ini sanggup mengunakan khidmat bomoh untuk mengenakan sihir keatas menantunya. Golongan ini adalah melakukan d dosa besar dan akan mengundang kemurkaan Allah SWT.

2. Rakan sepejabat yang menghasut pegawai atasan untuk memfitnah dan menimbulkan kebencian supaya rakannya tidak mendapat kenaikan pangkat atau gaji. Golongan ini sentiasa memiliki perasaan hasad dengki ini tidak merasai takut dengan azab Allah.

3. Dalam hidup berpoligami sering kita dengan isteri pertama membenci isteri kedua dan membuka rahsia suaminya dan membuat tuduhan kepada madunya dengan harapan untuk mendapat simpati daripada orang lain. Golongan ini jika tidak bertaubat dan menempah dirinya dengan azab Allah SWT kerana ramai wanita memasuki Neraka adalah kerana menyakiti hati suami dan suka mengadu domba.

4. Pemimpin politik sering menyerang peribadi pemimpin lain (berbeza fahaman politik) dan menghasut rakyat supaya membenci musuh politiknya dengan tujuan untuk mendapat pengaruh dan sokongan murahan. Jika yang diceritakan itu tidak benar maka ianya menjadi fitnah dan akan berlakulah pergeseran dan pergaduhan sesama Muslim. Golongan ini di hari akhirat nanti amat mudah menjadi muflis kerana dosa 'kering' yang dilakukan di dunia.

5. Permusuhan dan pulau memulau sesama jiran tetangga atau sekampung kerana berbeza pendapat.Perbezaan ini perlu di atasi supaya dapat mengujudkan ikatan persaudaraan Islam . Kerana semua orang Muslim adalah bersaudara. Jangan biarkan penyakit pulau memulau, kerana jika dibiarkan akan menjadi barah kepada penyatuan umat Islam dan akan mengakibatkan Islam akan hilang kekuatannya.

6. Perselisihan sesama adik- beradik kerana pembahagiaan harta pusaka peninggalan orang tua. Tidak mahu bertolak ansur hingga mengakibatkan terputus dan terungkai ikatan silaturahim dan kasih sayang di antara ahli keluarga. Golongan ke 6 ini amat sesuai dengan hadis Nabi SAW. yang menyatakan bahawa tidak akan masuk syurga sesiapa yang memutuskan ikatan silaturahim.

1047. Soalan : Saya nak tanya kenapa ramai yang guna gambar seseorang yang telah meninggal dunia sebagai profile pic...Bolehkah kita guna gambar orang yang sudah meninggal dunia sebagai ganti diri kita?...Mohon pencerahan dari ustaz...terima kasih

Jawapan :

Sebaik-baiknya janganlah kita menggunakan gambar  profile orang yang telah meninggal dunia kerana cara yang di ajarkan Islam adalah kita berdoa kepada arwah dan postkan ilmu yang bermanfaat , kata-kata nasihat, artikal dan bahan-bahan tarbiyah yang beliau sampaikan .

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya) . 

Walaupun kita bukan anak kandung arwah tetapi jika kita berdoa untuk arwah akan sampai kepada beliau di alam barzakh. Jika kita kasih kepada beliau insya Allah kita akan bersama-sama dengan beliau di hari akhirat kerana seseorang akan di himpunkan bersama orang yang di kasihi.

Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Seorang lelaki datang kepada Rasulullah lalu bertanya, ” Ya Rasulullah, bagaimana menurut tuan seseorang yang mencintai suatu kaum namun dia tidak boleh menjakau ( amalan soleh ) mereka ? ” Lalu Rasulullah menjawab, ” Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dia cintai “( Hadis Riwayat Bukhari No. 5703 dan Muslim No. 2640 )

1048. Soalan : Saya ingin bertanya..adakah dengan mempunyai nama yg bermaksud tidak baik akan mempengaruhi cara kehidupan seseorang itu ? terima kasih

Jawapan :

Nabi SAW sendiri apabila ada nama sahabat yang tidak elok darisegi maknanya (nama tersebut di berikan oleh bapanya semasa zaman jahiliah) maka baginda SAW menukarkannya dengan nama yang lebih baik. Sebabnya adalah panggilan seseorang itu adalah umpama berdoa untuk mereka dan nama tersebut nanti akan di gunakan atau di panggil di hari akhirat oleh Allah SWT. Jika kita telah menamakan anak-anak dengan nama yang tidak elok maka sebaik-baiknya di tukar dengan nama yang baru yang ada maksud yang baik atau mulia.

Disunatkan memberi nama-nama yang baik dan elok kerana Rasulullah SAW bersabda;

إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيامَةِ بأسْمائكُمْ وأسماءِ آبائِكُمْ فأحْسِنُوا أسْماءَكُمْ

“Sesungguhnya kamu semua akan diseru/dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh demikian, perelokkanlah nama-nama kamu.” (Hadis Riwayat Imam Abu Daud dari Abu Dardak r.a.)
.
Nama yang paling baik/paling elok ialah Abdullah dan Abdurrahman sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW;

إنَّ أحَبَّ أسْمائكُمْ إلى اللّه عَزَّ وَجَلَّ عَبْدُ اللّه، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ

“Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah dari nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdurrahman.” (Hadis Riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.) 

Harus memberi nama sempena nama para Nabi seperti Ibrahim, Hud, Soleh, Muhammad dan sebagainya. Sebagaimana sedia dimaklumi bahawa, Rasulullah SAW telah menamakan salah seorang anaknya dengan nama Ibrahim.

1049. Soalan : Ustaz saya nak tanya,apa hukum perempuan muslimah cukur kening.saya tengok yang berhijab pun banyak yang cukur kening.mohon penjelasannya ustaz...terima kasih

Jawapan :

Salah satu bahagian yang menjadi tumpuan pengubahsuaian bagi kaum hawa ini ialah kening, dari zaman nabi lagi telah ada persoalan ini, sehingga ada hadis-hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan hukumnya.

Tidak dinafikan bahawa ada di kalangan kaum wanita yang keningnya bermasalah dari segi lebat atau nipisnya atau bulu kening bersambung antara kening kanan dan kiri.

Menurut pandangan syara’ adalah haram kepada seseorang perempuan mencukur bulu keningnya kerana itu bererti merubah ciptaan Allah dan merubah ciptaan Allah ini adalah dilarang keras di dalam Al-Quran. Perbuatan ini juga menyerupai masyarakat yang bukan Islam, sedangkan Islam sudahpun mempunyai identiti tersendiri dalam soal perhiasan.

Di dalam sebuah hadis yang sahih melarang keras seseorang perempuan itu menyambung rambutnya dan meminta orang lain menyambung rambutnya dan lain-lain, apalagi perbuatan mencukur bulu kening. Kecuali jika bulu-bulu tersebut tumbuh di tempat-tempat yang tidak sepatutnya tumbuh pada diri perempuan, dikala itu haruslah menghilangkannya, seperti tumbuh bulu di pipi, tumbuh misai dan janggut seperti lelaki, kesemua bulu-bulu ini hendaklah dibuang kerana ia memburukkan paras rupa seseorang perempuan.

Perkara ini membabitkan satu riwayat berkaitan dengan riwayat Imam Al-Tabari, bahawa isteri Abu Ishaq pergi ke rumah Aisyah Ummul-Mukminin, isteri Rasulullah SAW. Pada waktu itu rupa parasnya sangat jelita. Beliau lalu bertanya kepada Aisyah mengenai hukum seorang wanita yang membuang bulu-bulu yang terdapat di dahinya untuk tujuan menambat hati suaminya.Aisyah menjawab:
“Hapuskanlah kejelekan yang ada pada dirimu sedaya yang kamu mampu.”

Hadis kedua diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud yang menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka (al-Namisah) atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya (al-Mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik."

Perbuatan-perbuatan yang disebut diatas termasuk mengubah ciptaan Allah.
Mengenai hadis pertama, Imam Nawawi berpendapat bahawa jawapan Aisyah kepada wanita itu membawa erti bahawa wanita boleh bersolek untuk suami, boleh merawat muka untuk menghilangkan kejelekan seperti jerawat, jeragat dan bintik-bintik. Namun demikian, beliau tidak boleh mencabut atau mencukur bulu-bulu di muka (kecuali untuk menghilangkan kejelekan yang luarbiasa), termasuk yang diharamkan ialah menghilangkan bulu kening untuk membentuk alis mata yang cantik.

Aisyah r.a menjawab: “Hapuskanlah kejelekan yang ada pada dirimu sedaya yang kamu mampu”. Imam Nawawi berpendapat sesungguhnya jawapan Aisyah kepada wanita itu membawa maksud wanita boleh bersolek untuk suami, boleh merawat muka untuk menghilangkan kejelekan seperti jerawat, jeragat dan bintik-bintik.
Jelas di sini adanya keharusan untuk mengelokkan wajah dengan membersihkan wajah daripada bulu-bulu yang tumbuh di kawasan kelopak mata atau di kawasan yang tidak sewajarnya.

Ini kerana wanita yang normal pastinya kening berbulu tetapi sudah tidak normal kalau dahinya atau kelopak matanya yang berbulu.

Pendapat ini perlu kepada perincian kerana lafaz dalam pandangan ini ialah mencabut bulu. Mengikut biologi kejadian manusia satu-satu kawasan yang ditumbuhi bulu di wajah wanita ialah kening. Jadi lafaz mencabut bulu di wajah maksudnya kening, ini kerana kening adalah sebahagian daripada wajah.
Kalau difahami secara zahir pastinya apa-apa sahaja yang tumbuh di wajah wanita tidak boleh dicabut, termasuklah kalau ada bulu yang tumbuh di pipi, di dagu, atau tumbuh misai kerana semua ini tumbuh di wajah.

Para ulama’ berpendapat harus mencukur bulu-bulu tersebut supaya tidak kelihatan buruk,tapi bukan mencukur bulu kening melainkan bulu kening itu tumbuh hingga ke kelopak mata atau bersambung antara dua kening.

Lebih diharamkan lagi, jika mencukur alis itu dikerjakan sebagai simbol bagi perempuan-perempuan cabul.

Sementara ulama madzhab Hanbali berpendapat, bahwa perempuan diperkenankan mencukur rambut dahinya, mengukir, memberikan cat merah (make up) dan meruncingkan ujung matanya,apabila dengan seizin suami, kerana hal tersebut termasuk berhias.

Harus diperhatikan di sini ayat yang ‘dibolehkan’itu, dengan izin suami dan sudah tentu di dalam rumahnya,jika diluar rumah sudah tentu tidak dibenarkan syara’.

Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin: Menghilangkan bulu alis (termasuk menggunakan rambut palsu dan tatoo) termasuk salah satu dosa besar, kerana Rasulullah SAW bersabda,
“Allah melaknat wanita yang memasang dan dipasang rambut palsu, wanita yang mencukur bulu alis dan dicukurkan bulu alis dan wanita yang membuat tatoo dan dibuatkan tatoo” (HR. Bukhari no. 5937 dan Muslim no. 2124)

Oleh kerana itu hendaklah setiap orang lelaki (hadis tersebut juga berlaku untuk lelaki) mahupun wanita berusaha menjauhi perbuatan tersebut.
Kesimpulannya, berhias untuk suami adalah diharuskan tetapi membentuk bulu kening dengan mencabut atau mencukurnya sehingga menjadi alis yang cantik adalah tidak dibenarkan. Menghilangkan sebarang tanda yang menjelekkan pandangan di badan, termasuk muka seperti jerawat, jeragat dan bintik hitam, adalah dibenarkan sama ada wanita bersuami atau tidak.

Dalam keghairahan wanita mencantikkan wajah untuk menambat hati suami atau sebagainya, jangan sampai terkeluar daripada sempadan yang digariskan oleh syarak kerana kecantikan bercanggah dengan syarak akan mengundang laknat Allah.

1050. Soalan ; Soalan saya berkaitan dengan ilmu yang dipelajari dan diajarkan serta diperluaskan oleh mereka yang mendalaminya secara terus dari guru tersebut ataupun dari kalangan mereka yang mendalaminya.

1. Persoalannya ialah apakah hukumnya jika seorang guru yang mendalami sesuatu ilmu yang baru dengan jangkawaktu yang lama serta pelbagai rintangan dalam hidupnya dan mengambil keputusan untuk menjadikannya sebagai pendapatan?

2. Bagaimana jika anak murid yang mempelajarinya mengajarkannya kepada orang lain tanpa memberitahu atau merujuk kepada guru tersebut kerana dirasakan ianya adalah hakmilik Allah swt yang memberikan ilham serta sumber kepada mereka?

3. Apakah hukum halal atau haram ilmu itu jika sekiranya mereka/seseorang yang mendapatkan ilmu tersebut dari sumber orang lain atau mencarinya sendiri dari pelbagai dan menggunakannya tanpa merujuk/meminta kebenaran dari guru yang menimba ilmu terdahulu?

Mohon maaf ustaz kerana soalan saya yang agak panjang. Mohon pencerahan dari ustaz kerana isu ini sedang diperbincangkan dalam perniagaan yang saya usahakan ketika ini. 

Jawapan :

1. Seorang ulama atau guru yang memiliki sesuatu ilmu yang bermanfaat samaada ilmu bentuk fadu ain (ilmu agama) atau ilmu fardu kifayah (ilmu akademik, memasak, jahitan, pertukangan dll) boleh mengenakan bayaran kepada anak muridnya kerana mereka juga ada tanggungan dan keluarga yang hendak di berikan nafkah. Tidak semestinya percuma setiap masa. 

2. Seorang pelajar atau anak murid yang memiliki ilmu daripada gurunya boleh sebarkan kepada orang lain dan boleh mengenakan bayaran seperti gurunya lakukan kerana keharusan mengambil upah untuk kita mengajarkan sesuatu ilmu. Tak perlu maklumkan kepada gurunya kerana ilmu itu adalah milik Allah SWT yang di wariskan kepada para hamba-Nya di muka bumi. Nabi SAW telah mengizinkan kita menggunakan ilmu al-Quran dan hadis-hadis daripada baginda untuk kehidupan kita setiap hari. Para ulama yang menulis kitab tak pernah menjadikan ilmu mereka hak cipta terpelihara boleh di sebarkan dan amalkan.

3. Jika kita belajar di kenakan yuran atau pun kita belajar secara percuma maka itu itu telah menjadi hak milik kita untuk kita amalkan dan sebarkan. Tak perlu setiap kita nak sebarkan minta izin dulu kerana ilmu itu adalah milik Allah SWT. Dalam keadaan tertentu misalnya kita nak bukukan ilmu yang kita perolehi (bahan-bahan ilmiyah atau koleksi artikal daripada guru kita) maka perlulah kita minta izin dan berikan royalti atau saguhati kepada guru tersebut kerana usaha-usahanya bertahun-tahun membuat kajian dan penulisan maka adillah jika kita berkongsi keuntungan jika kita bukukan artikal guru tersebut. bukan kita hanya untuk kepentinagn diri kita sendiri.





No comments:

Post a Comment