Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 217 adalah menjelaskan persoalan kelebihan meniggal dunia hari Jumaat, huraian tentang bid'ah, berubat dengan bomoh, hukum makan tupai dan doa yang di baca berhadapan dengan musuh.
1041. Soalan : Saya cuma ingin tahu apa keistimewaan hamba Allah yg meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat.harap ustaz dapat jelaskan untuk kefahaman saya dan semua.terima kasih.
Jawapan :
Diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi didalam sunan-nya hadis daripada Abdullah bin Amru, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Tiada seorang pun daripada kalangan orang muslim yang meninggal dunia pada hari jumaaat atau pada malam jumaat melainkan dia dipelihara oleh Allah SWT daripada azab kubur.”
Pandangan ulama’ berkenaan taraf hadis :
Berkata Abu Isa : Hadis ini dho’if (gharib) dan sanadnya (rantaian perawinya) tidak bersambung. Imam Ibnu Hajar Al-Athqolani pula berkata bahawa hadis ini daripada kategori hadis dho’if.
Secara keseluruhan, kebanyakan ulama’ hadis berpendapat bahawa hadis ini adalah hadis dho’if (lemah).Maka hadis dho’if tidak boleh dijadikan sandaran dalam perkara yang berkaitan dengan aqidah (kerana azab kubur merupakan perkara ghaib yang wajib diimani dan merupakan sebahagian dari pegangan aqidah umat islam).
Walaupun hadis dhoif masih lagi didalam kategori hadis yang diterima, namun antara syarat untuk beramal dengannya adalah tidak meyakini sepenuhnya ia datang dari Nabi SAW. Dalam erti kata yang lain, kita tidak boleh meyakini 100% bahawa orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat akan dipelihara oleh azab kubur merujuk kepada taraf hadis tersebut.
Kerana sesungguhnya apa yang membantu seseorang muslim itu didalam kubur nanti adalah amalannya, bahkan ramai daripada kalangan Sahabat -radhiallahu ‘anhum- yang meninggal dunia pada hari selain daripada hari Jumaat. Saidina Abu Bakar r.a sendiri meninggal dunia pada hari selasa menurut satu riwayat akan tetapi beliau sendiri telah dijanjikan syurga baginya.
Sebahagian ahli ilmu pula manjadikannya sebagai tanda-tanda husnul khatimah bersandarkan kepada hadis ini.
Maka seadil-adil pegangan dalam perkara ini adalah sekiranya muncul tanda-tanda seperti ini maka sebagai seorang muslim kita tidak boleh mengatakan secara pasti bahawa si mati dijauhkan dari azab kubur, akan tetapi tidak salah untuk merasa tenang dengan pemergiannya pada hari yang mulia ini,
Begitu juga sebaliknya, kita tidak boleh berkeyakinan bahawa jika tidak muncul tanda-tanda husnul khatimah (meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat) pada si mati, maka secara pasti dia bukan daripada kalangan orang-orang soleh dan dikenakan azab kubur kerana perkara ini tergolong dalam perkara-perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Luqman ayat ke 24 :
“Sesungguhnya hanya disisi Allah ilmu tentang hari kiamat; dan Dia yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada di dalam Rahim. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya esok, dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui dibumi mana dia akan mati.Sungguh, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Sesungguhnya manusia tidak mengetahui dimana dan bila dia akan mati kerana ilmu tentang kematian milik Allah SWT secara mutlak.Oleh sebab itu,yang lebih penting bagi seorang hamba itu adalah beramal dengan amal yang soleh serta mencari keredhaan-Nya dalam setiap perkara yang dilakukan. Wallahua’lam.
1042. Soalan : Minta dalil setiap yang baru adalah bid'ah. Dalil yg membantah semua bidaah sesat agar dapat mewujudkan bid'ah hasanah? Dalil setiap bid'ah sesat tu sangat kuat qatie rajih dan sohih. Mohon penjelasan..
Jawapan :
Golongan yang memborong semua yang baru adalah bid'ah dolalah (bid'ah yang sesat) adalah mereka yang keliru dan kurang memahai kosep Islam yang sebenarnya, ianya lebih di dorong oleh kefahaman yang taksub kepada pendapat golongan mereka sendiri dan menolak pendapat ulama lain yang tidak sependapat dengan mereka.
Kita sering mendengar perkataan bid'ah yang terdapat di dalam hadis-hadis sahih daripada Nabi SAW. Terdapat banyak tafsiran mengenai erti bid'ah. Ada pendapat yang yang terlalu ekstrim yang menghukumkan semua perkara baru yang tidak dilaksanakan oleh Nabi SAW adalah bid'ah yang sesat tanpa merujuk kepada kaedah usul fiqh yang terdapat dalam ajaran Islam sendiri. Hingga menyebabkan kekeliruan dan timbul perpecahan dan perselisihan pendapat yang menimbulkan ketegangan dikalangan umat Islam.
Ada beberapa pendekatan yang dilakukan oleh para ulama dalam mendefinisikan bid’ah. Perbedaan cara pendekatan para ulama disebabkan, apakah kata bid’ah selalu merujuk dengan kesesatan, atau bergantung kepada sesuatu keadaan dalam ajaran Islam?
Hal ini disebabkan erti bid’ah secara bahasa adalah : "Sesuatu yang asing, tidak dikenal pada zaman Rasulullah SAW."
Sehingga pengertian bid’ah yang sesat yang dimaksudkan adalah: "Segala bentuk perbuatan atau keyakinan yang bukan dari ajaran Islam, dikesankan seolah-olah sebahagian dari ajaran Islam, seperti Ajaran Qadiyani, kaum Mu’tazilah, Qodariyah, Syi’ah, Golongan anti hadis, NGO Wanita (yang mempertikaikan poligami dan harta pusaka menurut Islam), termasuk pula kumpulan Islam Liberal dan lain-lain."
Imam ‘Izzuddin bin ‘Abdus Salam sebagaimana disebutkan dalam kitab Tuhfatul akhwadzi juz 7 hal 34 menyatakan: “Apabila pengertian bid’ah ditinjau dari segi bahasa, maka terbagi menjadi lima hukum :
Haram, seperti keyakinan kaum Qodariyah, Mu’tazilah, Syi'ah dan Qadiyani dan lain-lain.
Makruh, seperti membuat hiasan-hiasan dalam masjid.
Wajib, seperti belajar ilmu nahu bahasa arab dan tajwid.
Sunnah, seperti membangun sekolah agama, maahad tahfiz atau madrasah.
Harus, seperti bersalaman setelah solat.
Menurut Imam ‘Izzuddin, “Segala kegiatan keagamaan yang tidak terdapat pada zaman Rasulullah SAW, hukumnya bergantung pada salah satu kaidah hukum Islam iaitu haram, makruh, wajib, sunnah, atau harus. Sebagai contoh, belajar ilmu nahu (bahasa arab) untuk memahami ilmu syariat Islam yang wajib, maka hukum belajar ilmu nahu (bahasa arab) menjadi wajib.”.(Risalatu Ahli as-Sunnah wa al-Jama’ah hal. 6-8.)
Penjelasan tentang bid’ah boleh kita ketahui dari dalil-dalil berikut :
Hadis riwayat Sayyidatina Aisyah :
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ. رواه مسلم
“Dari ‘Aisyah r.ha, dia berkata : "Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang melakukan suatu perbuatan yang tiada perintah kami atasnya, maka amal itu ditolak” (Hadis Sahih Riwayat Muslim).
Hadis ini sering dijadikan dalil untuk melarang semua bentuk perbuatan yang tidak pernah dilaksanakan pada masa Nabi SAW. Padahal maksud yang sebenarnya bukanlah seperti itu.
Para ulama menyatakan bahawa hadis ini sebagai larangan dalam membuat-buat hukum baru yang tidak pernah dijelaskan dalam al-Quran ataupun hadis, baik secara jelas atau isyarat, samada dalam bentuk ibadah khusus atau hukum- hakam yang mencakupi hukum hudud, qisas dan diyat.
Oleh kerana itu, ulama membuat beberapa kriteria dalam permasalahan bid’ah ini, iaitu :
Pertama, jika perbuatan itu memiliki dasar dalil-dalil syar’i yang kuat, baik yang berbentuk juz’i (cabang) atau umum, maka bukan tergolong bid’ah. Namun jika tidak ada dalil yang dapat dibuat sandaran, maka itulah bid’ah yang dilarang.
Kedua, memperhatikan pada ajaran ulama salaf (ulama pada abad l, ll dan lll Hijrah.) dan juga ulama mazhab. Apabila sudah diajarkan oleh mereka, atau memiliki landasan yang kuat mengikut kaedah Islam yang mereka buat, maka perbuatan itu bukan tergolong bid’ah.
Ketiga, dengan jalan qiyas. Yakni, mengukur perbuatan tersebut dengan beberapa amaliyah yang telah ada hukumnya dari nash al-Quran dan hadis. Apabila perbuatan tersebut haram, maka perbuatan baru itu tergolong bid’ah muharromah (bid'ah haram) . Apabila memiliki mirip dengan yang wajib, maka perbuatan baru itu tergolong wajib. Dan begitu seterusnya samaada sunat atau makruh. (Risalatu Ahli as-Sunnah wa al-Jama’ah hal.6-7.)
2. Hadis riwayat Ibn Mas’ud :
عَنْ عَبْدِ اللهِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ, أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أَلاَ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ شَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ. رواه ابن ماجه
“Dari ‘Abdullah bin Mas’ud. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “ Ingatlah, berhati-hatilah kalian, jangan sampai membuat hal-hal baru. Kerana perkara yang paling buruk adalah membuat hal baru . dan setiap perbuatan yang baru itu adalah bid’ah. Dan semua bid’ah itu sesat (dolalah).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah) .
Hadis inipun sering dijadikan dasar dalam memjelaskan erti bid’ah segala perkara baru yang tidak ada pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat atau tabi’in dengan pertimbangan bahawa hadis ini menggunakan kalimat kullu (semua), yang secara lahiriahnya seolah-olah diertikan semuanya atau seluruhnya.
Namun, dalam memahami makna hadis ini, khususnya pada kalimat وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ, terdapat perbedaan pandangan pandangan di kalangan ulama.
Pertama, ulama memandang hadis ini adalah kalimat umum namun dikhususkan hanya pada sebagian saja (عام مخصوص البعض ), sehingga makna dari hadis ini adalah “bid’ah yang buruk itu sesat” .
Hal ini didasarkan pada kalimat kullu, kerana pada hakikatnya tidak semua kullu bermaksud seluruh atau semua, adakalanya ianya bermaksud kebanyakan (sebagian besar). Sebagaimana contoh-contoh berikut :
Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’ ayat 30 :
وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ
“Dan dari air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?” (Surah al-Anbiya’ ayat 30) .
Meskipun ayat ini menggunakan kalimat kullu, namun tidak berarti semua makhluk hidup diciptakan dari air. Sebagaimana disebutkan dalam ayat al-Qur’an berikut ini:
وَخَلَقَ الْجَانَّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ
“Dan Allah SWT menciptakan Jin dari percikan api yang menyala”.
(Surah ar-Rahman ayat 15.)
Begitu juga para malaikat, tidaklah Allah ciptakan dari air.
Hadis riwayat Imam Ahmad :
عَنِ الْأَشْعَرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ عَيْنٍ زَانِيَةٌ
Dari al-Asyari berkata: “ Rasulullah SAW bersabda: “ setiap mata berzina” (musnad Imam Ahmad)
Sekalipun hadis di atas menggunakan kata kullu, namun bukan bermakna keseluruhan/semua, akan tetapi bermakna sebagian, iaitu mata yang melihat kepada ajnabiyah (bukan mahram).
Kedua, ulama menetapkan sifat umum dalam kalimat kullu, namun mengarahkan pengertian bid’ah secara syar’iyah iaitu perkara baru yang tidak didapatkan di masa Rasulullah SAW, dan tidak ada sandarannya sama sekali dalam usul hukum syariat.
Telah kita ketahui bahwa perkara yang bertentangan dengan syariat baik secara umum atau isi yang terkandung di dalamnya, maka haram dan sesat. Dengan demikian, makna hadis di atas adalah setiap perkara baru yang bertentangan dengan syariat adalah sesat, bukan bererti semua perkara baru adalah sesat walaupun tidak bertentangan dengan syai’at.
Oleh kerana itu, jelas sekali bahwa bukan semua yang tidak dilakukan di zaman Nabi adalah sesat. Terbukti, para sahabat juga melaksanakan atau mengadakan perbuatan yang tidak ada pada masa Rasulullah SAW. Misalnya, usaha menghimpun dan membukukan al-Quran, menyatukan jamaah tarawih di masjid, azan Jumaat dua kali dan lain-lain.
Sehingga, apabila kalimat kullu di atas diertikan keseluruhan, yang bermaksud semua hal-hal yang baru tersebut sesat dan dosa. Ini bermakna para sahabat telah melakukan kesesatan dan perbuatan dosa secara bersama.
Padahal, sejarah telah membuktikan bahawa mereka adalah orang-orang pilihan yang tidak diragukan lagi keimanan dan ketakwaannya. Bahkan diantara mereka sudah dijamin sebagai penghuni syurga.
Oleh kerana itu, sungguh tidak dapat diterima akal, kalau para sahabat Nabi SAW yang begitu agung dan begitu luas pengetahuannya tentang al-Quran dan hadis tidak mengetahuinya, apalagi tidak mengindahkan larangan Rasulullah SAW. (Mawsu’ah Yusufiyyah juz ll hal 488.)
Oleh itu dapatlah kita simpulkan bahawa bid'ah yang sesat (dolalah) adalah seperti berikut :
1. Mengambil dan menggantikan hukum-hukum Allah SWT kepada hukum ciptaan manusia. (samaada hukum qisas, hudud dan diyat). Salah satu contoh bid'ah sesat adalah membuat tuduhan seseorang berzina dengan tidak membawa 4 orang saksi yang adil dan menggantikan dengan sumpat laknat. Sumpah laknat dalam ajaran Islam (bab tuduhan zina) hanya berlaku diantara suami dan isteri sahaja di panggil sumpah li'an.
Dalil Sumpah Li'an, firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; - Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.
Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; - Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar. (Surah an-Nuur ayat 6-9)
2. Membawa ajaran sesat yang didakwa daripada ajaran Islam seperti ajaran Qodariyah, Mu’tazilah, Syi'ah dan Qadiyani atau pun kumpulan sesat lain seperti kumpulan anti hadis, kumpulan NGO Wanita menentang poligami dan hukum faraid, kumpulan Islam Liberal dan lain-lain. Salah satu contoh bid'ah sesat yang dibawa oleh ajaran Sy'iah adalah menghalalkan nikah mut'ah (nikah kontrak) sedangkan nikah ini sudah dimansuhkan hukumnya dan menyeksa diri semasa Hari Asyura.
3. Mengamalkan adat istiadat jahiliah yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti tolak bala dengan mandi safar, mempercayai nombor-nombor tertentu bawa sial atau bawa untung, bersanding dalam majlis perkahwinan (adat hindu), mempercayai amalan-amalan kurafat seperti membina bangunan di kuburan , mempercayai roh orang mati boleh balik kerumah, bertawasul dimakam orang yang telah mati dan bayar nazar di kuburan dan lain-lain lagi.
Amalan-amalan berikut tidak termasuk perkara bid'ah sesat (dolalah) :
1. Membukukan kitab suci al-Quran dizaman Saidina Othman r.a
2. Solat sunat tarawih Ramadan berjemaah semasa zaman Khalifah Umar al-Khattab sebanyak 20 rekaat.
3. Hukum hudud kerana minum arak di sebat sebanyak 80 kali dizaman Sa'idi Ismailidina Umar. (40 hukum asal dan 40 lagi hukum takzir)
4. Mengadakan majlis Maal Hijrah dan Maulidur Rasul. (Sambutan Maulidur Rasul dimulakan dizaman Sallehuddin al-Ayubi)
5. Berzikir dan berdoa secara beramai-ramai selepas solat fardu.
Hadis Zikir Selepas Solat :
عَنْ اللَّهِ بْنَ الزُّبَيْرِ يَقُولُ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إذَا سَلَّمَ
مِنْ صَلاَتِهِ يَقُولُ بِصَوْتِهِ الأَعْلَى:لاَ إلَهَ إلاَّ اللَّهُ....
Abdullah ibnu Zubair (radhiallahu 'anh berkata): "Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam apabila memberi salam daripada solatnya, mengucapkan zikir berikut dengan suara yang keras: "La ilaha illallah..."(Hadis Sahih Riwayat Muslim di dalam Shahihnya – hadis no. 594)
6. Menghadiahkan bacaan al-Quran dan berdoa untuk orang yang sudah meninggal dunia.
Berlaku perbezaan pendapat di kalangan para ulama tentang adakah sampai kepada mayat pahala bacaan Al-Quran atau zikir kepadanya ataupun tidak. Majoriti mengatakan sampai pahala tersebut.
Ibnu Hajar Al-Haitami menjelaskan di dalam Fatwa Kubranya (bab wasiat, jilid 4, m/s 20): “ Adapun berdoa untuk disampaikan seumpama pahala kepada orang lain (simati) maka tiada mengapa kerana ianya terdiri daripada perbuatan berdoa bagi saudara muslim tanpa kehadirannya (tanpa pengetahuannya). Banyak hadis-hadis yang menunjukkan di atas dimakbulkan doa ini (doa bagi saudara muslim tanpa pengetahuannya) dan selainnya. Lebih-lebih lagi, tidak terdapat larangan padanya maka tiada ada satupun alasan untuk menegahannya.”
7. Membaca talkin untuk simati dan membuat kenduri tahlil untuk mendoakan simati. Ulama di Nusantara (Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Berunai) mengatakan perkara tersebut bukan bid'ah sesat walaupun amalan tersebut tidak dilakukan oleh Nabi SAW. Majlis fatwa kebangsaan tidak melarang amalan tersebut dan Majlis Fatwa Negeri Johor, Patani dan Brunei mengharuskannya amalan kenduri tahlil)
Oleh itu marilah sama-sama kita beramal denga sunah Rasulullah SAW dan meninggalkan perbuatan dan amalan bid'ah yang sesat (dalalah). Kerana amalan yang sunnah jelas dan yang haram (bid'ah) juga jelas di antara yang halal dan haram ada amalan-amalan yang syubhah, sesiapa yang meninggalkan amalan yang syubhah bermakna dia menjaga agamanya.
Semoga kita dipelihara oleh Allah SWT menjadi hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa. Golongan yang suka memecah belahkan umat dengan membidaahkan amalan umat Islam yang tak sesat adalah golongan yang suka memutuskan silaturahim dan suka memecahkan umat, hukumnya jelas berdosa besar.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : "Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :" Tidak akan masuk Syurga bagi yang memutuskan silaturahim". (Hadis Riwayat Al-Imam Muslim)
1043. Soalan : Apakah hukumnya berubat menggunakan bomoh tradisional dengan cara menurun?
Jawapan :
Hukum berubat dengan menggunakan bomoh tradisional yang menurun adalah haram dan berdosa besar dan boleh jatuh syirik. Setiap penyakit ada ubatnya. Cuma, apa yang perlu diberi perhatian ialah mempastikan agar cara dan kaedah rawatan yang digunakan itu tidak bercanggah dengan hukum syarak. Antara amalan salah yang dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu Islam pada hari ini sehingga melibatkan perbuatan syirik ialah dengan meminta bantuan bomoh yang menggunakan perantaraan jin dan makhluk halus dalam perubatan.
Sabda Nabi S.A.W. bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).
Tambahan daripada itu, Rasulullah S.A.W. juga mengingatkan bahawa orang yang mempercayai keburukan itu datangnya daripada sesuatu selain daripada Allah adalah syirik, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah syirik, dan tidak termasuk dalam golongan kami melainkan orang yang beriman sahaja, dan Allah akan menghilangkan syirik itu dengan tawakkal".
(Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Larangan meminta bantuan, pertolongan dan perlindungan jin dalam sesuatu perkara sudah pun jelas dinyatakan hukumnya di dalam al-Quran. Antaranya ialah firman Allah dalam surah al-Jin ayat 6 yang bermaksud: ”Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki dalam kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dalam kalangan jin, maka jin-jin itu menambahkan bagi mereka dosa dan kesalahan”.
Sering-kali kekeliruan timbul dalam kalangan masyarakat apabila seseorang bomoh itu menyatakan bahawa yang mendampinginya untuk melakukan perubatan itu bukanlah jin tapi roh para wali seumpama Syeikh Abdul Qadir Jailani dan sebagainya yang akan datang meresap dalam tubuh bomoh tersebut ketika upacara perubatan dilakukan. Semua ini adalah suatu penipuan daripada jin ke atas manusia. Hal ini kerana sesuatu yang pasti ialah alam roh tidak akan bersatu dengan alam ‘syahadah’ dalam kalangan manusia.
Oleh itu, sesuatu yang mustahil ‘roh’ akan datang bertemu manusia dalam keadaan sedar dan jaga. Akan tetapi sebaliknya yang datang itu bukanlah roh, namun ia adalah jin dan syaitan!. Lalu sama ada sedar atau pun tidak, seseorang itu telah melakukan syirik kepada Allah dengan meminta bantuan dan perlindungan ‘jin’ dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
Sehubungan dengan itu, masyarakat Islam hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam setiap tindakan dan amalan agar tidak terjebak dalam syirik yang membinasakan ini.
Namun begitu, tidak dinafikan bahawa terdapatnya ‘bomoh’ atau pengamal perubatan Islam yang melaksanakan perubatan semata-mata dengan ayat-ayat suci al-Quran dan tidak menggunakan ‘perantaran’ sebagaimana yang dijelaskan. Oleh yang demikian, ia tidak mendatangkan syirik kepada Allah.
Justeru, sebelum berjumpa dengan mana-mana pengamal perubatan tradisional, hendaklah terlebih dahulu dipastikan bahawa ia seorang yang berilmu serta tahu hukum-hakam agama dengan baik. Justeru, sekiranya didapati bahawa pengamal perubatan itu boleh bertukar ‘suara’, atau menggunakan kaedah ‘menurun’ dan seumpamanya, maka hendaklah dijauhi daripadanya agar terselamat daripada syirik.
Janganlah terpedaya dengan seseorang yang boleh melakukan sesuatu perkara ‘luar biasa’ sehinggakan terus menganggap ia sebagai wali dan keramat. Ingatlah pesanan Imam Syafei yang menyatakan : ‘sekiranya engkau melihat pelaku bid’ah boleh terbang di angkasa, maka janganlah engkau tertipu dan terpedaya dengannya’.
1044. Soalan : Apakah hukumnya memakan tupai, adakah halal darsegi hukum syarak?
Jawapan :
Menurut Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di dalam ruangan soal jawab mereka, sebilangan besar ulama’ menghukum dan memfatwakan tupai sebagai binatang yang halal dimakan. Oleh itu, memakan daging tupai itu adalah halal dan tidak memudaratkan kesihatan. Lebih-lebih lagi, tupai bukanlah binatang buas yang bertaring mahupun binatang yang hidup daripada dua alam seperti katak dan buaya.
Dalam soal jawab ini, jelaslah bahawa tiada dalil yang mengharamkannya samada secara langsung ataupun tidak. Oleh itu, hukumnya kembali kepada hukum mubah, yakni harus untuk dimakan.
1045. Soalan : Apakah doa yang harus kita baca jika berhadapan dengan orang yang buruk akhlaknya suka membuat fitnah dan melakukan permusuhan sesama muslim?
Jawapan :
Baca doa ini 3 kali pagi dan 3 kali petang : Membaca Doa Agar Terhindar Dari Kesulitan
اللهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِن الهَمّ وَ الحَزَنْ, وَ العَجْزِ وَ الكَسلْ, وَ البُخْلْ وَ الجُبْنِ,وَ ضَلَعِ الدَينِ, وَ غَلَبَتِ الرِ جَا لْ
“Allahumma inni a-‘udzuubika minal hammi walhazan, wal-‘ajzi wal kasal, wal bukhli wal jubni, wa dhola’iddayin, wa gholabatilrrijal“
Ertinya : “Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari rasa gelisah dan sedih, lemah dan malas, pengecut dan kikir, dibebani hutang (dhala’id dain) dan dikuasai manusia (ghalabatir rijal).” (HR. Bukhari No. 364, 2736, 6002, Muslim No. 1365, Ahmad No. 12616, Al Baihaqi dalam As Sunan Al Kubra No. 12535, Abu Ya’la No. 3703, Ath Thabarani dalam Ad Du’a No. 1349, dan lain-lain.)
Doa apabila takut terhadap sesuatu golongan : "Hasbunallahu wani' mal wakil " - maksudnya , " Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepaad-Nya segala urusan kami)." (Hadis Riwayat Imam Bukhari no. 4563)
No comments:
Post a Comment