Friday, February 20, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 219 (Cara Solat Ghaib, Perkara Ghaib Adalah Urusan Allah, Tak Ada Solat Sunat Sebelum Musafir, Hukum Menqada' Solat Sunat Sebelum Subuh, Dan Dosa Sesama Manusia Wajib Minta Maaf di Dunia.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 219 adalah menjelaskan persoalan cara solat ghaib, perkara ghaib adalah urusan Allah, tak ada solat sunat sebelum musafir, hukum menqada' solat sunat sebelum subuh, dan dosa sesama manusia wajib minta maaf di dunia.

1051. Soalan : Ustaz..saya nak minta pencerahan mengenai cara-cara solat ghaib?

Jawapan :

Apabila ada keluarga atau saudara sesama muslim yang meninggal dunia jauh dari tempat kita, baik meninggalnya itu disebabkan suatu bencana, kecelakaan atau penyakit yang sedang menimpa sehingga menimbulkan banyak korban, maka disunnahkan bagi kita untuk mendirikan solat ghaib walaupun waktunya sudah lewat.

Solat ghaib hukumnya sah sebagaimana solat jenazah. Begitupula bacaan dan segala caranya sama dengan solat jenazah. Dengan empat takbir tanpa rukuk dan sujud. 

1. Membaca surat alfatihah setelah takbir pertama (takbiratul ihram). 

2. Kemudian takbir kedua membaca selawat atas Nabi SAW paling pendik : “Allahumma shalli ‘ala Muhammad”. 

3. Lalu mendoakan mayit setelah takbir ketiga yang berbunyi:

اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه

Allahummaghfirlahu, warhamhu, wa ‘afihi wa’fu anhu.

Maksudnya, "Ya Allah ampuniah dia, berilah dia rahmat dan sejahterakan serta maafkanlah dia."

4. Dan terakhir, setelah takbir keempat disunatkan membaca doa sebelum salam. 

Adapun doa setelah takbir keempat adalah:

اللهم لاتحرمنا أجره ولاتفتنا بعده واغفرلنا وله

Allahumma la tahrimna ajrahu wala taftinna ba’dahu waghfirlana walahu
Maksudnya, "Ya Allah, janganlah Engkau halangi pahalanya yang akan sampai kepada kami, dan jangan Engkau memberi fitnah kepada kami sepeninggalnya serta ampunilah kami dan dia".

Hanya saja perbezaannya terletak pada niat. Jika solat jenazah yang mayitnya ada di depan maka niatnya adalah :

أصلى على هذا الميت اربع تكبيرات فرض كفاية مأموما لله تعالى

Saya niat solat atas mayit ini empat kali takbir fardhu kifayah kerana menjadi makmum kerana Allah Ta’ala."

Sedangkan niat solat ghaib yang ditujukan kepada mayit yang diketahui dengan jelas identitasya maka bunyi niatnya adalah:

أصلى على ميت (فلان) الغائب اربع تكبيرات فرض الكفاية لله تعالى

"Saya niat solat ghaib atas mayit (si A) empat kali takbir fardhu kifayah kerana Allah Ta’ala."

Andaikan solat ghaib itu dilakukan tanpa mengetahui identitinya Jenazahnya dengan tepat, sebagaimana yang sering dilaksanakan setelah solat Jumaat maka niatnya adalah :

أصلى على من صلى عليه اللإمام اربع تكبيرات فرض الكفاية مأموما لله تعالى

"Saya niat solat ghaib atas mayit yang disolati imam empat kali takbir fardhu kifayah menjadi makmum kerana Allah Ta’ala."

1052. Soalan : Ustaz. saya nak tanya satu soalan sekarang ni banyak dekat google tentang " Umur Umat Islam hanya 1500 tahun Hijriah " adakah betul umur umat islam hanya sehingga 1500 hijriah atau 51 tahun yang akan datang lagi, iaitu hari terakhir seluruh umat islam..? Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan :

Umat Islam  jangan mudah percaya berita yang tak ada asas dan sandarannya. Perkara ghaib akan datang adalah urusan Allah tak ada siapa pun di kalangan jin dan mausia yang tahu perkara ghaib. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda dalam hadis yang panjang, yang telah diriwayatkan oleh Syaikhani, Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim,

خَمْسٍ لَا يَعْلَمُهُنَّ إِلَّا اللَّهُ ثُمَّ تَلَا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ }

“Ada lima perkara (ghaib) tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah, kemudian Rasul membaca (QS Luqman 34) : (1) sesungguhnya hanya disisiNya lah ilmu tentang hari kiamat; (2) Dan Dia yang menurunkan hujan; (3)Dia yang mengetahui apa yang ada dalam rahim; (4) dan tidak ada orang yang mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakan / diperoleh besok, (5) dan tidak ada seorangpun yang mengetahui di bumi mana ia akan meninggal dunia. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Maha Mengenal.”

Apabila kita mudah percaya perkara ghaib daripada sumber yang tak betul maka boleh jatuh syirik. Oleh beritahu rakan-rakan kita jangan mudah percaya sesuatu perkara yang boleh merosakkan akidah kita, mungkin ini agenda orang bukan Islam untuk merosakkan akidah umat Islam.

1053. Soalan : Boleh kah mengerjakan solat sunat musafir selepas solat subuh?
Jika seorang yang mengerjakan solat jamak qasar (jamak taqdim) contohnya:solat zuhur dan asar..Setibanya di mukimnya waktu zuhur belum habis lagi..atau pun baru masuk waktu asar....Adakah sah jamak qasarnya dan haruskah dia menunaikan solat zuhur atau pun asar lagi?

Jawapan :

Mengenai dengan solat sunat musafir , tidak terdapat sebarang petunjuk daripada Sunah Rasulullah SAW yang menyuruh untuk kita mengerjakannya sebelum daripada bermusafir.Ini kerana hadis yang menunjukkan tentang solat sunat musafir ialah disebut sebagai solat al-Qudum min as-Safar yang membawa maksud : “Solat Tiba / sampai dari musafir”.

Ini berdasarkan hadis Jabir bin Abdullah ra , yang diriwayatkkan oleh Syaikhain (Bukhari dan Muslim) sebagaimana berikut : “Kami bersama-sama Rasulullah SAW dalam perjalanan (musafir).Maka apabila kami tiba di Madinah , Rasulullah SAW telah berkata kepada saya , Masuklah ke masjid dan solatlah 2 rakaat.” (Muttafaqun ‘alaih) (HR Bukhari no : 3087 , Muslim no : 495) 

Berdasarkan hadis di atas , solat musafir adalah dilakukan selepas sampai ke tempat tujuan perjalanan kita. Maka dengan ini tidak timbul sebarang perbincangan mengenai solat musafir sebelum bermusafir.

Jika saudara bermusafir semasa dalam perjalanan balik sudah masuk waktu zuhur dan saudara solat jamak takdim zuhur dan asar di lakukan pada waktu zuhur. Apabila sampai ke rumah saudara waktu zuhur masih ada atau pun baru masuk waktu asar maka saudara tak perlu solat zuhur dan asar sekali lagi kerana solat jamak takdim saudara telah sah.

1054. Soalan : Saya nak bertanya..boleh kan kita lakukan sembahyang sunat selepas sembahyang fardu subuh.?

Jawapan : 

Tak boleh solat sunat selepas solat subuh. Cuma ulama ada menyatakan jika tak sempat solat sunat sebelum subuh imam sudah mulakan solat subuh maka di haruskan solat sunat sebelum subuh selepas solat fardu subuh.

Nabi Muhammad SAW sangat mementingkan dan menjaga solat-solat sunat, terutama yang mu’akkad. Rasulullah SAW bersabda; “Dua rakaat sunat Subuh, lebih aku sukai daripada seisi dunia.” (Hadis riwayat Muslim)

Solat sebelum Subuh ini mempunyai fadhilat yang besar, Nabi SAW walaupun di dalam permusafiran tidak pernah meninggalkan Solat Sunat sebelum Fajar.
Bagi mereka yang terlepas Solat Sunat sebelum Subuh, dibenarkan Qada' solat tersebut sebaik-baiknya selepas Solat Subuh.

Ini berdasarkan kepada peristiwa berikut: “Pada suatu ketika, Rasulullah SAW terlihat seorang lelaki bersolat dua rakaat selepas menunaikan solat subuh. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepada lelaki itu; “ Adakah anda bersolat Subuh dua kali?” Jawab sahabat tersebut, “Saya belum menunaikan solat dua rakaat sebelumnya (solat sunat Fajar), maka saya bersolat sekarang.” Baginda SAW apabila mendengar jawapan itu mendiamkan diri (tanda setuju).” (Hadis Riwayat Ibn Majah dan Abu Daud)

Diamnya Rasulullah SAW ini dianggap satu pengakuan daripada Baginda SAW bahawa solat sunat Qabliyyah adalah disyariatkan yakni boleh dilakukan selepas Solat Subuh bagi mereka yang tidak sempat menunaikan pada waktunya.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda; “Sesiapa yang tidak sempat solat sunat Subuh, maka boleh dilakukan sesudahnya (selepas solat subuh sebelum habis waktu subuh atau setelah habis waktu Subuh iaitu sesudah masuk waktu syuruk).” (Hadis riwayat Turmizi r.a. dan Imam al-Baghawi)

Masuknya waktu solat sunat qabliyyah adalah ketika masuknya waktu solat tersebut dan ianya berakhir setelah masuknya waktu solat selepasnya. Apabila Rasulullah SAW tidak dapat melakukan pada waktunya, Baginda SAW pasti akan mengqadakan solat tersebut pada waktu berikutnya.

Baginda SAW juga pernah mengqadakan solat Fajar (solat sunat sebelum subuh) pada waktu Syuruk dan mengqadakan juga solat sunat ba’diyyah Zuhur dua rakaat selepas solat fardu Asar.

Daripada Aisyah r.a.; “Bahawa jika Rasulullah SAW tertinggal solat empat rakaat sebelum Zuhur, maka Baginda SAW melakukannya selepas Zuhur (waktu Asar).” (Hadis riwayat Turmizi r.a.)

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan hadis (mafhumnya): “Baginda Rasulullah SAW telah mengqadhakan solat sunat ba`diyyah (solat sunat sesudah solat wajib) zuhur selepas bersolat asar.”

Bermakna Rasulullah SAW pernah tertinggal solat sunat Rawatib Ba`diyyah Zuhur. Lalu baginda mengqadhakan solat sunat tersebut selepas solat Asar.
Solat sunat yang mendatang; seperti Solat Tahiyatul Masjid, Solat Gerhana, Solat Jenazah, Solat Qadha dan Solat sunat Rawatib boleh juga dilakukan pada waktu yang ditegah (haram) kerana waktu tersebut hanya dilarang untuk solat yang tidak mempunyai sebab (solat sunat Mutlak). 

Imam Syafie juga membenarkan mengqada mana-mana solat pada waktu yang diharamkan bersolat. Imam Nawawi dari mazhab Syafie telah berkata: Jika terlepas solat sunat yang muaqqat (berwaktu) seperti solat hari raya dan solat dhuha…maka sunat qada’ berdasarkan hadis Bukhari dan Muslim “ Sesiapa yang terlupa solat atau tertidur maka kaffarahnya adalah melakukan solat itu apabila dia ingat.” Ini kerana Nabi SAW telah qada’ dua rakaat solat sunat Subuh ketika Nabi SAW tertidur di wadi dan terlepas solat Subuh sehingga naik matahari.

Dan Baginda SAW qada’solat sunat selepas Zuhur selepas solat Asar kerana ia merupakan solat sunat muaqqatah (berwaktu)…maka di qada’ seperti solat fardu. Ini samada semasa musafir atau tidak.

Daripada Kitab ‘Mughni al-Muhtaj’; “Seandainya terluput akan solat sunat yang berwaktu, disunatkan mengqadakannya.” Maka solat sunat yang berwaktu boleh diqadakan sama seperti solat fardu.

Berdasarkan kepada hadis-hadis tersebut di atas dan banyak lagi hadis-hadis lainnya, maka dapat diambil kesimpulan bahawa solat-solat sunat Rawatib, harus diqadakan semula, meskipun pada waktu-waktu yang pada dasarnya dilarang seperti larangan solat sunat selepas solat Subuh dan Asar.

Oleh yang demikian jelaslah bahawa mengqadakan solat sunat yang tertinggal itu adalah termasuk dalam perkara-perkara harus yang dibolehkan kita melakukannya.
Jika anda ingin lebih khusyuk dalam bersolat dan melindungi diri daripada perkara-perkara mungkar, jaga dan perbanyakkanlah solat-solat yang mu’akkad dan Rawatib..

Sebaik-baiknya solat wajib dan solat-solat sunat rawatib seperti ini tidak ditinggalkan dan digalakkan dilakukan secara konsisten. Sama-samalah kita menambahkan amal dan beistiqamah dalam melakukannya..

1055. Soalan : Saya nak bertnya jika seseorang yang suka aniaya orang lain kemudian dia bertaubat tapi dia tak  minta maaf pada orang yang dia telah aniaya adakah taubatnya akan di terima . Terima kasih.

Jawapan :

Dosa manusia ada dua jenis iaitu dosa kepaad Allah SWT dan dosa sesama manusia. Dosa kepada Allah SWT apabila seorang hamba bertaubat maka Allah SWT akan mengampunkannya insya Allah, tetapi dosa sesama manusia wajib minta maaf dan minta halal jika termakan atau terambil hak orang lain. 

Jika tak minta maaf pada orang yang di zalimi maka balasannya adalah di akhirat kerana Allah SWT Maha Adil akan menghisab seadil-adilnya dan tak ada sesiapa pun yang akan teraniaya. Allah SWT tak akan terima taubat seorang hamba-Nya yang mempunyai dosa sesama manusia. 

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya; bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Dari Sa'id bin Zaid r.a., bahawa Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang mengambil tanah secara zalim sekalipun sejengkal, akan dibelitkan pada hari kiamat dengan tanah yang diperintahkannya mengangkut sebanyak itu dari tujuh petala bumi." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


1 comment:

  1. Assalammualaikum ustaz....disini saya ingin bertanya adakah kita dibolehkan berdoa ketika sujud yg terakhir dalam rumi...sbb saya ada terbaca dlm 1 artikel yg menyatakan doa seharus dibaca dlm bahasa arab ketika solat wajib

    ReplyDelete