Saturday, December 28, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 34 (Panggilan Ibu, Hukum Membaca Tahlil, Tanda-tanda Kematian, Hukum Faraid dan Fenomena Huruf 26)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 34 adalah menjelaskan persoalan pangglan ibu, hukum membaca tahlil, tanda-tanda kematian, hukum faraid dan fenomena huruf 26.

166. Soalan : Ustaz ...saya ingin tahu ..apakah berdosa seorang anak memanggil ibu kandungnya dengan nama aja ..sebab saya dari kecil di jaga oleh nenek sebelah ibu ni kerana mak saya kawin lain..masaalahnya saya rasa janggal pangil dengan panggilan mak...

Jawapan : 



menghormati orang tua terutama ibu sendiri adalah satu tuntutan agama. Adalah sikap kurang sopan apabila memmanggil ibu dengan panggilan namanya. Biar pun orang lain yang menjaga sejak kecil tetapi jasa ibu mengandung dan menyusukan itu satu amalan yang tak dapat dibalas jasanya oleh seorang anak. Abu Laith Samarqandi meriwayatkan bahawa datang seorang pemuda berkata kepada Rasulullah SAW "Ya Rasulullah, ibu saya sakit di tempat saya, maka sayalah yang memberi makan dan minum. Tangan sayalah yang mewudhukkan mereka, mengangkat di atas bahu saya. Apakah dengan itu terbalas jasa-jasa mereka?"

Jawab Nabi SAW yang bermaksud, "Belum satupun dari jasa-jasa mereka! Cuma kau telah berbuat baik, dan Allah akan memberi pahala yang besar terhadap amal kau yang sedikit itu."

Untuk menjadi anak yang soleh dan solehah, kita semestinya berbakti semaksima mungkin kepada kedua ibu dan bapa. Hormatilah dan dengarlah nasihat mereka, sekiranya pilihan hati kita tidak direstui oleh ibu bapa , utamakanlah pendapat mereka kerana keredhan Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa. Janganlah menjadi anak yang derhaka, sesungguhnya anak yang derhaka tidak akan mencium bau Syurga.

Firman Allah SWT.yang bermaksud :
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."
(Surah al-Luqman ayat 14)

Berurusanlah dengan mereka dengan berendah hati untuk mengelak membantah dengan suara keras. Membentak sekalipun dengan satu perkataan umpama 'cis' menguris hati mereka. Tanyalah mana-mana orang tua dan mula lemah anggota kerana ketuaan, bantahan anak memang memilukan hati. Hati orang tua cukup sensitif.

Allah menjadikan orang tua lazimnya bersifat pengasih dan penyayang, lebih-lebih lagi orang tua yang sangat manis beribadat. Mereka suka melihat kelakuan anak yang sopan terhadap mereka, mengambil berat tentang mereka, dan menjadi kawan bicara mereka. Tugas seumpama itu tidak berat. Usahlah kesibukan membuat kita abaikan mereka. Jika berjauhan seringkalilah hubungi mereka melalui telefon tanya khabar, walaupun hanya dua tiga patah perkataan sebenarnya boleh mengembirakan hati ibu bapa. Bila ada masa lapang ambillah cuti dan ziarahlah mereka, sesungguhnya apabila kita membuat hati ibu dan bapa gembira menyebabkan Allah meredhai hidup kita. Kasih sayang ibu bapa bukan setakat di dunia tetapi kasih mereka hingga ke syurga. Ingat! Syurga dibawah tapak kaki ibumu.

167. Soalan : Ustaz saya nak tanya soalan ..Sebenarnya tahlil orang meninggal ni boleh dibuat atau tidak?

Jawapan :


TAHIL yang biasa dibuat oleh masyarakat islam skg ini adalah merupakan bacaan aL-Quran, zikir,selawat dan doa . Tidak ada amalan syirik di dalam membaca tahlil. Semua bacaan tersebut di niatkan atau di hadiahkan untuk mereka yang telah meninggal dunia. Terdapat khilaf ulama membicarakan bacaan al-Quran yang disedekahkan atau dikirimkan kepada orang mati sampai atau tidak? Sebahagian mengatakan tidak sampai dan sebahagian mengatakan sampai. Maka yang kata sampai dengan dalil-dalilnya akan membuat tahlil dan yang mengatakan tak sampai tak buat tahlil. Maka tak seharusnya dijadikan isu perpecahan dan tuduh menuduh yang tidak berkesudahan.Kita sering mendengar perkataan bid'ah yang terdapat di dalam hadis-hadis sahih daripada Nabi SAW. Terdapat banyak tafsiran mengenai erti bid'ah. Ada pendapat yang yang terlalu ekstrim yang menghukumkan semua perkara baru yang tidak dilaksanakan oleh Nabi SAW adalah bid'ah yang sesat tanpa merujuk kepada kaedah usul fiqh yang terdapat dalam ajaran Islam sendiri. Hingga menyebabkan kekeliruan dan timbul perpecahan dan perselisihan pendapat yang menimbulkan ketegangan dikalangan umat Islam.

Ada beberapa pendekatan yang dilakukan oleh para ulama dalam mendefinisikan bid’ah. Perbedaan cara pendekatan para ulama disebabkan, apakah kata bid’ah selalu merujuk dengan kesesatan, atau bergantung kepada sesuatu keadaan  dalam ajaran Islam?

Hal ini disebabkan erti bid’ah secara bahasa adalah : "Sesuatu yang asing, tidak dikenal pada zaman Rasulullah SAW."  

Sehingga  pengertian bid’ah yang sesat yang dimaksudkan adalah: "Segala bentuk perbuatan atau keyakinan yang bukan dari ajaran Islam, dikesankan seolah-olah sebahagian dari ajaran Islam, seperti Ajaran Qadiyani, kaum Mu’tazilah, Qodariyah, Syi’ah, Golongan anti hadis, NGO Wanita (yang mempertikaikan poligami dan harta pusaka menurut Islam), termasuk pula kumpulan Islam Liberal dan lain-lain."

Imam ‘Izzuddin bin ‘Abdus Salam sebagaimana disebutkan dalam kitab Tuhfatul akhwadzi juz 7 hal 34 menyatakan: “Apabila pengertian bid’ah ditinjau dari segi bahasa, maka terbagi menjadi lima hukum :

Haram, seperti keyakinan kaum Qodariyah, Mu’tazilah, Syi'ah dan Qadiyani dan lain-lain.

Makruh, seperti membuat hiasan-hiasan dalam masjid.

Wajib, seperti belajar ilmu nahu bahasa arab dan tajwid

Sunnah, seperti membangun sekolah agama, maahad tahfiz  atau madrasah.

Harus, seperti bersalaman setelah solat.

Menurut Imam ‘Izzuddin, “Segala kegiatan keagamaan yang tidak terdapat pada zaman Rasulullah SAW, hukumnya bergantung pada  salah satu kaidah hukum Islam iaitu haram, makruh, wajib, sunnah, atau harus. Sebagai contoh, belajar ilmu nahu (bahasa arab)  untuk memahami ilmu syariat Islam yang wajib, maka hukum belajar ilmu nahu (bahasa arab) menjadi wajib.”.(Risalatu Ahli as-Sunnah wa al-Jama’ah hal. 6-8.)

Sahabat yang dimuliakan,
Penjelasan tentang bid’ah boleh kita ketahui dari dalil-dalil berikut :

Hadis riwayat Sayyidatina Aisyah :


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ. رواه مسلم


“Dari ‘Aisyah r.ha, dia berkata : "Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang melakukan suatu perbuatan yang tiada perintah kami atasnya, maka amal itu ditolak” (Hadis Sahih Riwayat Muslim).

Hadis ini sering dijadikan dalil untuk melarang semua bentuk perbuatan yang tidak pernah dilaksanakan pada masa Nabi SAW. Padahal maksud yang sebenarnya bukanlah seperti itu.

Para ulama menyatakan bahawa hadis ini sebagai larangan dalam membuat-buat hukum baru yang tidak pernah dijelaskan dalam al-Quran ataupun hadis, baik secara jelas atau isyarat,  samada dalam bentuk ibadah khusus atau hukum- hakam yang mencakupi hukum hudud, qisas dan diyat.Oleh kerana itu, ulama membuat beberapa kriteria dalam permasalahan bid’ah ini, iaitu :

Pertama, jika perbuatan itu memiliki dasar dalil-dalil syar’i yang kuat, baik yang berbentuk juz’i (cabang) atau umum, maka bukan tergolong bid’ah. Namun jika tidak ada dalil yang dapat dibuat sandaran, maka itulah bid’ah yang dilarang.

Kedua, memperhatikan pada ajaran ulama salaf (ulama pada abad l, ll dan lll Hijrah.) dan juga ulama mazhab.  Apabila sudah diajarkan oleh mereka, atau memiliki landasan yang kuat mengikut kaedah Islam yang mereka buat, maka perbuatan itu bukan tergolong bid’ah.

Ketiga, dengan jalan qiyas. Yakni, mengukur perbuatan tersebut dengan beberapa amaliyah yang telah ada hukumnya dari nash al-Quran dan hadis. Apabila perbuatan tersebut haram, maka perbuatan baru itu tergolong bid’ah muharromah (bid'ah haram) . Apabila memiliki mirip dengan yang wajib, maka perbuatan baru itu tergolong wajib. Dan begitu seterusnya samaada sunat atau makruh. (Risalatu Ahli as-Sunnah wa al-Jama’ah hal.6-7.)

2. Hadis riwayat Ibn Mas’ud :

عَنْ عَبْدِ اللهِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ, أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أَلاَ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ شَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ. رواه ابن ماجه

“Dari ‘Abdullah bin Mas’ud. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “ Ingatlah, berhati-hatilah kalian, jangan sampai membuat hal-hal baru. Kerana perkara yang paling buruk adalah membuat hal baru . dan setiap perbuatan yang baru itu adalah bid’ah. Dan semua bid’ah itu sesat (dolalah).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah) .

Hadis inipun sering dijadikan dasar dalam memjelaskan erti bid’ah segala perkara baru yang tidak ada pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat atau tabi’in dengan pertimbangan bahawa hadis ini menggunakan kalimat kullu (semua), yang secara lahiriahnya seolah-olah diertikan semuanya atau seluruhnya.

Namun, dalam memahami makna hadis ini, khususnya pada kalimat وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ, terdapat perbedaan pandangan pandangan di kalangan ulama.

Pertama, ulama memandang hadis ini adalah kalimat umum namun dikhususkan hanya pada sebagian saja (عام مخصوص البعض ), sehingga makna dari hadis ini adalah “bid’ah yang buruk itu sesat” .

Hal ini didasarkan pada kalimat kullu, kerana pada hakikatnya tidak semua kullu bermaksud seluruh atau semua, adakalanya ianya bermaksud kebanyakan (sebagian besar). Sebagaimana contoh-contoh berikut :

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’ ayat 30 :

وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ

“Dan dari air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?” (Surah al-Anbiya’ ayat 30) .

Meskipun ayat ini menggunakan kalimat kullu, namun tidak berarti semua makhluk hidup diciptakan dari air. Sebagaimana disebutkan dalam ayat al-Qur’an berikut ini:

وَخَلَقَ الْجَانَّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ

“Dan Allah SWT menciptakan Jin dari percikan api yang menyala”.
(Surah ar-Rahman ayat 15.)

Begitu juga para malaikat, tidaklah Allah ciptakan dari air.

Hadis riwayat Imam Ahmad :

عَنِ الْأَشْعَرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ عَيْنٍ زَانِيَةٌ

Dari al-Asyari berkata: “ Rasulullah SAW bersabda: “ setiap mata berzina” (musnad Imam Ahmad)

Sekalipun hadis di atas menggunakan kata kullu, namun bukan bermakna keseluruhan/semua, akan tetapi bermakna sebagian, iaitu mata yang melihat kepada ajnabiyah (bukan mahram).

Kedua, ulama menetapkan sifat umum dalam kalimat kullu, namun mengarahkan pengertian bid’ah secara syar’iyah iaitu perkara baru yang tidak didapatkan di masa Rasulullah SAW, dan tidak ada sandarannya sama sekali dalam usul hukum syariat.

168. Soalan : Ustaz saya mahu bertanya tentang tanda-tanda kematian yang dimulai dari 100 hari , 40 hari dan seterusnya sampai 1 hari , apakah semua itu benar atau tidak , apakah ada ayat al-Quran , hadis atau riwayat yang menjelaskan tentang itu ?

Jawapan :

Tidak terdapat nas daripada hadis yang sahih mengenai tanda-tanda kematian bermula 100 hari, 40 hari hingga 1 hari. Jika ini pengalaman seseorang tidak boleh dijadikan hujah bahawa semua manusia akan mendapat tanda-tanda yang sama.Jika tanda-tanda tersebut hendak disandarkan dengan Islam maka perlu sertakan dengan dalil yang sahih jika tidak ada kita perlu katakan "mengikut pengalaman orang-orang dahulu". boleh jadi betul dan boleh jadi tak tepat. Hadis Nabi SAW ada menjelaskan tanda-tanda seseorang mendapat husnul khatimah iaitu : tanda-tanda kita mati dalam keadaan husnul khatimah antaranya:

1. Mengucapkan kalimah syahadah ketika di akhir hayat. Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Hakim) 

2. Ketika meninggal dunia dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: “Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: ‘Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya.’ (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)

3. Meninggal dunia pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Mati dalam peperangan fisabilillah. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid antara kalian? Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.”

Baginda bersabda: “Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit.”

Kalangan sahabat kembali bertanya: “Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang yang mati tenggelam, dialah syahid.”

(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

5. Mati disebabkan penyakit kolera.

Mengenai ini banyak hadis Rasulullah SAW meriwayatkan antaranya sebagai berikut: Rasulullah bersabda maksudnya : “Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim.” (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)

6. Mati kerana tertimpa runtuhan bangunan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Kalangan syuhada itu ada lima;

1. orang yang mati kerana wabak kolera,

2. kerana sakit perut,

3. tenggelam,

4. tertimpa runtuhan bangunan dan

5. syahid berperang di jalan Allah.”

(Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

7. Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.

Berdasarkan hadis yang diberitakan dari Ubadah ibnush Shamit radhiyallahu anhu bahawa Rasulullah SAW menjenguk Abdullah bin Rawahah yang tidak boleh beranjak dari pembaringannya, kemudian baginda bertanya :

"Tahukah kalian siapa syuhada dari ummatku? orang-orang yang ada menjawab:Muslim yang mati terbunuh" baginda bersabda:Kalau hanya itu para syuhada dari ummatku hanya sedikit. Muslim yang mati terbunuh adalah syahid, dan mati kerana penyakit kolera adalah syahid, begitu pula perempuan yang mati karena bersalin adalah syahid (anaknya yang akan menariknya dengan tali pusarnya kesyurga)" (HR. Ahmad, Darimi, dan ath-Thayalusi) Menurut Imam Ahmad ada periwayatan seperti itu melalui sanad lain dalam Musnad-nya.

8. Mati terbakar.

Mengenai dua perkara ini banyak riwayat dan yang paling masyhur dari Jabir bin Atik secara marfu’: “Kalangan syuhada ada tujuh:

1. Mati terbunuh di jalan Allah,

2. kerana penyakit kolera adalah syahid,

3. mati tenggelam adalah syahid,

4. kerana busung lapar adalah syahid dan kerana penyakit perut keracunan adalah syahid,

5. kerana terbakar adalah syahid dan

6. yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah runtuh) adalah syahid

7. serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid.”

(Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

9. . Mati kerana penyakit tubercolosis (TBC).

Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid.” (Hadis riwayat Thabrani)

10. Mati kerana mempertahankan harta dari perompak.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

11. Mati dalam membela agama dan jiwa.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid.”

12. Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur).”

13. Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh. Semoga kematian kita dalam husnul khatimah.

169. Soalan : Ustaz, saya ada soalan berkaitan faraid.. keluarga sebelah ibu saya orang Negeri Sembilan, moyang sebelah ibu saya masih mengamalkan adat pepatih, yang mana harta diberikan kepada anak perempuan dan tidak mengikut hukum faraid, apabila nenek saya meninggal, tanah-tanah pusaka tersebut diberikan kepada ibu dan adik beradik perempuan beliau.. jadi apakah status tanah-tanah tersebut ustaz? apakah halal untuk diambil ibu saya?

Jawapan : 


Hukum Allah SWT tak boleh digantikan dengan hukum adat atau hukum ciptaan manusia. Dalam pembahagian harta secara hukum faraid anak lelaki akan mendapat 2 bahagian daipada anak perempuan.Ayat-ayat mengenai faraid ini banyak terdapat dalam al-Quran, begitu juga dalam hadis-hadis Nabi SAW.

Di antaranya ayat berikut:يوصيكم الله فى آولدكم ، للذكر مثل حظ الأنثيين فإن كن نسآء فوق أثنتين فلهن ثلثا ما ترك، وإن كانت وحدة فلها النصف.

Maksudnya: "Allah memerintahkan kamu mengenai pembahagian harta pusaka untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati.

Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja maka bahagiannya ialah seperdua (separuh harta itu)……"(sehingga akhir ayat). (Surah an-Nisaa ayat 11)

Dan hadis:عن ابن عباس رضى الله عنهما عن النبى صلى الله عليه وسلم قال: اقسموا المال بين أهل الفرائض على كتاب الله تعالى.

Maksudnya: "Daripada Ibnu 'Abbas radhiallahu 'anhuma daripada Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sabdanya: "Kamu bahagi-bahagikanlah harta (pusaka) di antara ahli fard 'idh (waris) berdasarkan Kitabullah. "(Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Haram dan berdosa besar jika mengutamakan anak perempuan dan tidak memberi langsung kepada anak lelaki. Di akhirat jika mereka yang menolak hukum Allah SWT yang jelas akan dihitung sebagai seorang yang zalim kerana menafikan hak anak lelaki.

Jika ibu saudara mengambil harta tersebut tanpa dibahagikan secara hukum faraid maka dosa itu akan ditanggung oleh ibu saudara oleh itu bertindaklah segara untk menyelesaikannya mengikut hukmu Allah SWT bukannya hukum adat. Hak ibu saudara hanyalah sebahagian saja bukan kesemuanya harta tersebut. Anak lelaki, ibu dan bapa jika masih hidup mereka mempunyai hak sebagai waris.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Barangsiapa yang mengambil hak orang lain walaupun hanya sejengkal tanah, maka akan dikalungkan di lehernya (pada hari Kiamat nanti) seberat 7 lapis bumi.” (Hadis Riwayat Bukhari, juz-V/76. dan Muslim, hadis no.1612.)

170. Soalan : Ustaz..sekarang sebuk diperkata tenteng bencana 26 hb..seperti yg dikatakan terdapat dalam al-Quran...benarkah itu adalah dakyah Yahudi semata-mata  ustaz...?

Jawapan : 

Umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan kiraan huruf-huruf untuk menentukan sesuatu bencana berlaku. Semua bencana berlaku adalah dengan izin Allah SWT kerana perbuatan tangan-tangan manusia sendiri. Tidak ada kaitan langsung dengan fenomena huruf-huruf yang dibaicarakan sekarang ini. Agenda orang Yahudi atau Kristian adalah cuba hendak memesongkan akidah umat Islam percaya dengan sesuatu yang direka cipta dan dikaitkan dengan bilangan huruf, hari atau masa dan dikaitkan dengan kejadian yang berlaku. Umat Islam yang keliru akan cepat mudah percaya dan yakin perkara tersebut. Ingatlah hadis Nabi SAW. Dari Ibnu Umar r.a, dari Nabi SAW. Baginda bersabda : " Lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan Allah iaitu: 1) Tiada mengetahui apa yang tersimpan di dalam rahim ibu (kandungan perempuan) melainkan Allah. 2) Tiada yang mengetahui apa yang akan terjadi esok hari melainkan Allah. 3) Tiada seorangpun yang mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan Allah. 4) tiada seorangpun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan Allah. 5) Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan Allah. (Hadis Sahih Riwayat Bukhari)

Huraiannya :

Pemilik ilmu itu adalah Allah SWT. Tiada sesuatupun yang luput dari pengetahuan-Nya, yang nampak mahupun yang tersembunyi di mana manusia dan makhluk lainnya tidak diberi ilmu oleh Allah SWT melainkan hanya sedikit sahaja. Ilmu manusia jika dibandingkan dengan ilmu Allah ibarat setitik air dalam lautan. Firman Allah SWT yang bermaksud : 

" Katakanlah : kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis ditulis kalimat-kalimat Tuhanku meskipun Kami datangkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan. " (Surah al-Kahfi ayat 109)










1 comment:

  1. Assalamualaikum ustaz..saya nk tnya,apakah hukum seorang cucu memanggil neneknya dgn panggupan mama atau ibu,datuknya,abah atau ayah..mohon pencerahan...

    ReplyDelete