بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 21 adalah menjelaskan persoalan membaca terjemahan al-Quran dan kebaikan al-Quran, bernazar perkara yang wajib, perjanjian untuk berkahwin, cara mudah hafalan dan zikir tenangkan hati.
101. Soalan : Ustaz saya nak tanya apa hukum kalau kita membaca makna ayat al-Quran saja sebab kita tidak tahu membaca ayat-ayat al-Quran.? Apakah kebaikan-kebaikan membaca al-Quran?
Jawapan :
.Kita wajib belajar membaca al-Quran dengan tajwid. Carilah masa yg ada dan belajarlah kerana besar pahalanya di sisi Allah SWT.Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang berbunyi: Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah S.A.W.:
"Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia."
Membaca terjemahannya baik dan akan dapat pahala jika faham dan amalkannya tetapi adalah lebih baik boleh membaca al-Quran dan diikuti memahami maksdu dan tafsirannya.
Terdapat 15 kebaikan-kebaikan al-Quran di dalam hadis-hadis sahih :
Pertama : Al-Quran akan menjadi syafaat dihari akhirat.
Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua : Al-Quran sebagai pembela (mempertahankan) orang yang membacanya dihari akhirat.
Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Di hari akhirat kelak akan didatangkan al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah Ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Ketiga : Sebaik-baik amalan adalah orang yang belajar dan mengajarkan al-Quran.
Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.
(Hadis Riwayat Bukhari)
Keempat : Membaca al-Quran dan susah menyebutnya mendapat dua pahala.
Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : “Orang yang membaca al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelima : Mukmin yang membaca al-Quran umpama buah yang harum dan sedap rasanya.
Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Umpama orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca al- Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Keenam : Allah SWT mengangkat martabat golongan yang membaca al-Quran.
Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran”.(Hadis Riwayat Muslim)
Ketujuh : Kefahaman yang sahih tentang al-Quran akan menjadi contoh ikutan.
Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda:
“Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang al-Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam , lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelapan : Membaca al-Quran akan mendapat ketenangan (sakinah)
Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata : “Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan al-Quran”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kesembilan : Sesiapa yang tidak mengingati ayat-ayat al-Quran umpama rumah yang roboh.
Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. beliau berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam ingatannya sesuatu pun daripada ayat al-Quran seperti rumah yang roboh”. (Hadis Riwayat Tarmizi dan beliau berkata: Hadis ini hasan sahih)
Kesepuluh : Membaca dan memperelokkan bacaan al-Quran akan mendapat kebaikannya.
Daripada Abdullah Bin ‘Umru Bin Al ‘As r.a. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :
“Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca al-Quran: Bacalah, perbaikkilah dan perelokkanlah bacaan al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”. ( Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi dan beliau berkata : Hadis ini hasan sahih )
Kesebelas : Membaca beberapa ayat al-Quran lebih baik daripada mendapat unta yang gemuk.
Daripada ‘Uqbah Bin ‘Amir r.a. menceritakan : Rasulullah S.A.W keluar dan kami berada di tempat duduk masjid yang beratap. Maka beliau bersabda: “Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan silaturrahim”. Kami menjawab : “Kami suka demikian itu. Sabda Rasulullah S.A.W : “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor unta demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua belas : Sesiapa yang lebih fasih memebaca al-Quran lebih layak menjadi imam solat berjemaah.
Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda : Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca al-Quran”. (Hadis Riwayat Muslim )
Ketiga belas : Nabi SAW mengutamakan sahabat yang paling kuat berpegang teguh kepada al-Quran untuk dikebumikan jenazah mereka.
Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. menghimpun antara dua lelaki yang terbunuh di peperangan Uhud kemudian baginda bersabda : “Yang mana satukah antara keduanya yang paling kuat berpegang teguh dengan al-Quran maka apabila aku tunjukkan kepada salah seorang daripada keduanya maka dialah orang yang pertama masuk ke liang lahad”. (Hadis Riwayat Bukhari, Tarmizi, Nasa’ie dan Ibnu Majah)
Keempat belas : Kelebihan berdoa selepas membaca al-Quran.
Daripada ‘Imran Bin Husain Bahawa beliau lalu di hadapan qari yang sedang membaca al-Quran kemudian dia berdoa kepada Allah kemudian ia kembali membaca kemudian ia berkata aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Barangsiapa yang membaca al-Quran maka berdoalah kepada Allah dengan al-Quran maka sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca al-Quran dan mereka berdoa dengannya”.
(Hadis Riwayat Tarmizi, beliau berkata : Hadis ini hasan)
Kelima belas : Setiap satu huruf membaca al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.
Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata : “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al- Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.(Hadis Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)
Marilah kita menjadikan al-Quran sebagai peduman hidup kita , apabila kita sentiasa menjadikannya sebagai panduan dan peraturan hidup kita tidak akan sesat dan sentiasa mendapat pimpinan daripada Allah S.W.T. Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya.
Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W.bersabda : Daripada Ibnu Umar r.a berkata:
“Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya : "Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air". Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Kata baginda lagi, " Dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran.”
102. Soalan : Ustaz..saya ingin bertanya sedikit kemusykilan...jika seorang wanita bernazar terhadap sesuatu perkara...dan nazarnya adalah hendak menutup aurat dengan sempurna baik di luar atau di rumah..bila berjaya mendapat sesuatu perkara dia tidak tunaikannya..dikira bagaimana ye ustaz?...Bernazar sesuatu yang dah memang wajib ke atasnya...bagaimana sebaiknya hendak memberi penjelasan padanya itu...Sekarang dia telah berusaha menutup aurat sempurna dan dalam usaha memperbaiki diri...tapi risau status nazar itu..atau bagaimana..?..Syukran
Jawapan :
Tidak sepatutnya wanita muslim yang sudah baligh menjadikan kewajipan menutup aurat sebagai nazarnya. Kerana menutup aurat bukan sunat tetapi wajib, perkara wajib tidak boleh dijadikan sebagai nazar kerana perintah Allah SWT tidak boleh di cagarkan dengan hajat duniawinya. Jika perkara sunat atau harus boleh dijadikan sebagai nazar. Begitu juga perkara haram, haram jika dia bernazar untuk melakukannya.
Cara menyelesaikan perkara ini adalah dia wajib menutup aurat kerana Allah SWT kerana perintah menutup aurat adalah wajib jika dia enggan dia berdosa. Untuk menebus nazarnya dia dikenakan kaffarah sumpah iaitu : firman-Nya yang bermaksud: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.(Surah al-Maidah ayat 89).
Maka berpandukan kepada ayat di atas jelas bahawa kafarah (penebus) bagi nazar adalah seperti berikut:
1- Memberi makan 10 orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu.
2- Memberi pakaian kepada 10 orang miskin
3- Memerdekakan seorang hamba
4- Mereka yang tidak mampu melakukan ketiga-tiga perkara di atas bolehlah berpuasa selama tiga hari.
Adapun makan kepada sepuluh orang daripada makanan yang biasa kita makan atau makanan biasa sesebuah keluarga. Kebiasaannya memberi orang makan mestilah hidangannya sempurna, misalnya di negara kita sesuatu hidangan mesti dilengkapi dengan nasi, lauk dan sayur. Maksudnya hidangan yang lengkap dan mengenyangkan.Jika tidak mampu memberi makan orang miskin maka sediakan pula 10 pakaian kepada orang miskin. Jika masih tidak mampu maka memerdekakan seorang hamba (di zaman kita hamba sudah tidak ada lagi) jika tidak dapat memerdekakan hamba maka jatuh cara ke empat pula iaitu berpuasa 3 hari. Tidak boleh terus berpuasa 3 hari tanpa dicuba dahulu syarat pertama, kedua dan ketiga.
Justeru, setiap ibadah yang dilakukan kepada Allah SWT mestilah ikhlas dan jujur. Apa sahaja amalan yang dilakukan mestilah dibuat dengan sebaik mungkin dengan harapan ia diterima Allah SWT, jangan melakukan sesuatu ibadat seperti ” melepaskan batuk di tangga”, natijahnya Allah SWT tidak akan terima.Oleh yang demikian, bagi mereka yang bernazar hendaklah menunaikan nazar mereka dan bagi mereka yang terlepas pandang atau terlupa maka hendaklah ditebus nazar itu dengan melakukan ikut turutan dari kaffarah yang dinyatakan dalam surah al-Maidah ayat 89 di atas.
103. Soalan : Saya ingin bertanya adakah jika seseorang lelaki telah berjanji dengan seorang perempuan untuk berkahwin dalam tempoh yang dipersetujui bersama dan adakah ini dianggap bertunang?
Jawapan :
Maksud bertunang sebenarnya mestilah melalui wali perempuan atau mahramnya dan ada ikatan bersama maka barulah sah pertunangannya. Ketika ini tidak ada siapa yang boleh melamar wanita tersebut, secara resminya sudah ada yang punya. Jika walinya tidak tahu dan tidak salah jika ada orang masuk melamar melalui walinya kerana ikatan perjanjian seorang wanita dan lelaki tidak diketahui oleh ahli keluarganya. Oleh itu jika berhajat ingin hidup bersama sebagai suami isteri maka cepat-cepatlah berjumpa wali atau mahramnya dan buat satu ikatan pertunangan dan tetapkan majlis akad nikah.
104. Soalan : Minta pencerahan macamana nak mudah menghafal dan mudah diguna pakai hafalannya tu? .. Terima kasih.
Jawapan :
Kenapa kita merasai sukar untuk menghafal ayat-ayat Allah? Kenapa mukjizat al-Quran tidak menyerap masuk kedalam hati kita? Kenapa arahan al-Quran tidak mampu kita hayati di dalam kehidupan kita?
Kenapa kita sukar untuk memahami Islam,walaupun setiap hari kita membaca bahan-bahan mengenai Islam?
Kenapa kita sukar untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan kita,walaupun kita mengetahui setiap arahan Allah dan Rasul-Nya wajib kita patuhi?
Tepuk dada tanya iman kita...adakah kerana banyak kotoran yang melekat dihati kita hinggakan nur hidayah dan nur rahmat tidak mudah menyerap masuk di hati kita.?
Untuk menjawab persoalan ini marilah kita hayati doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. kepada Sayyidina Ali k.w.
Abdullah bin Abbas r.a. berkata, "Saya pergi ke majlis Nabi SAW dan disana Sayyidina Ali k.w telah datang dan berkata, "Wahai Rasulullah, saya mengorbankan ayah dan ibu saya untuk tuan, ayat-ayat al-Quran tidak melekat pada hati saya. Apa-apa saja yang saya hafal tidak kekal dalam ingatan."
Nabi SAW bersabda maksudnya , "Hendakkah saya memberitahu kamu satu cara yang akan memberi manfaat kepada kamu dan kepada sesiapa yang akan kamu sampaikan tentang hal ini serta apa-apa sahaja yang kamu pelajari akan terpelihara dalam ingatanmu?"
Diatas permintaan Ali k.w Nabi SAW memberitahu, "Apabila tiba malam jumaat, sekiranya kamu mampu, bangunlah pada satu pertiga bahagian akhir malam. Masa itu masa yang paling baik kerana masa itu adalah masa para malaikat turun ke bumi dan masa yang khusus untuk penerimaan doa. Untuk menunggu masa tersebutlah Nabi Ya'akub a.s. berkata kepada anak-anaknya yang bermaksud, " Tidak lama lagi aku akan memohon keampunan untuk kamu daripada Tuhanku." (yakni malam jumaat).
Setelah kita selesai solat tahajjud 4 rekaat , memuji Allah SWT, beristighfar, berselawat dan mohon keampunan untuk kaum Muslimin dan Muslimat baik yang masih hidup atau telah meninggal dunia maka teruskan membaca doa ini :
"Ya Allah, rahmatilah daku sehingga daku dapat meninggalkan segala maksiat selama Engkau menghidupkan daku. Rahmatilah daku supaya daku tidak menanggung apa-apa beban yang tidak memberi manfaat kepadaku. Kurniakanlah kepada daku pandangan yang baik terhadap amalan yang membawa daku kepada keredhaan-Mu.
Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, wahai Tuhan yang memiliki kehebatan dan kemuliaan serta kehormatan yang tidak mungkin dapat dicapai oleh sesiapapun. Wahai Allah, wahai yang Maha Pemurah, aku memohon dengan kehebatan dan nur wajah-Mu supaya Engkau menetapkan hatiku untuk menghafal kitab-Mu sebagaimana Engkau telah mengajarku. Dan kurniakanlah (taufik) supaya daku dapat membaca al-Quran dengan cara yang menyebabkan Engkau redha terhadapku.
Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, yang memiliki kehebatan, kemuliaan dan kehormatan yang tidak dapat di capai (oleh sesiapapun), wahai Allah dan wahai Tuhan yang Maha Pemurah, aku memohon dengan kehebatan dan nur wajah-Mu supaya Engkau mencahayakan penglihatanku dengan nur kitab-Mu dan Engkau mengerakkan lidahku untuk menyebut al-Quran dan Engkau menghilangkan kesempitan hatiku dengan keberkesanan al-Quran dan Engkau lapangkan dadaku dengan keberkatan al-Quran.
Dan Engkau membasuh badanku dengan al-Quran (dari kekotoran dosa) kerana sesungguhnya tiada pembantu bagiku keatas perkara yang haq (benar) kecuali Engkau dan tidak ada yang mengurniakan perkara haq itu (kepadaku) kecuali Engkau. Dan tiada daya (untuk melakukan sebarang kebaikan) dan tiada upaya (untuk menjauhi sebarang kejahatan) kecuali dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung."
Selanjutnya, Rasulullah SAW bersabda maksudnya, "Wahai Ali, lakukanlah amalan ini sama ada 3 kali Jumaat, 5 kali Jumaat atau 7 kali Jumaat. Insya Allah doa kamu pasti akan dikabulkan. Demi Zat yang mengutuskan daku dengan kebenaran, doa ini tidak akan ditolak daripada mana-mana Mukmin."
Abdullah bin Abbas r.a. berkata, " Setelah berlalu 5 atau 7 minggu maka Sayyidina Ali k.w. telah datang ke majlis Nabi SAW. dan berkata, "Wahai Rasulullah, dahulu saya membaca lebih kurang 4 ayat, itu pun saya tidak dapat mengingat sedangkan sekarang saya membaca 40 ayat dan ayat-ayat itu dapat saya ingati sehingga seolah-olah al-Quran terbuka dihadapan saya. Sekarang, setelah saya mendengar hadis, apabila saya ingin menyampaikan hadis itu kepada orang lain, satu huruf pun saya tidak tertinggal."
Marilah kita amalkan doa ini semoga terbuka pintu hati kita untuk menerima ayat-ayat al-Quran dan ilmu yang haq dan benar dan mampu pula kita amalkan dan sampaikan kepada orang lain. Semoga Allah SWT memberi taufik dan hidayah-Nya kepada kita semua dan diiringi pula dengan rahmat dan keberkatan.
105. Soalan : Ada tak ayat atau zikir yang boleh tenangkan hati yang gelisah dan tidak tenteram.. Lagi satu ada seorang hamba telah melakukan dosa besar dan berniat nak bertaubat tetapi dia telah mengulangi perkara lama semula kemudian menyesal semula dan mengulangi lagi.. Setiap kali dia buat maka dia akan menyesaal kemudian dia bertaubat dan berdoa. Adakah doa dan taubatnya akan diterima oleh Allah SWT? Mohon penjelasan ustaz.. Terima kasih..
Jawapan :
Allah SWT tetap akan terima taubat hamba-Nya jika dia bertaubat kepada Allah SWT selagi nyawanya belum sampai dikerongkong (sebelum nazak). Untuk muhasabah kenapa seseorang sudah bertaubat boleh mengulangi dosa-dosa yang lama dimana silapnya? Jika kita lihat syarat-sayart taubat nasuha terdapat 5 perkara :
PERTAMA : Taubatnya tersebut dilakukannya dengan ikhlas semata kerana Allah. Jadi, faktor yang mendorongnya untuk bertaubat, bukanlah kerana riyak nama baik (prestise), takut kepada makhluk ataupun mengharap suatu urusan duniawi yang ingin diraihnya. Bila dia telah berbuat ikhlas dalam taubatnya kepada Allah dan faktor yang mendorongnya adalah ketakwaan kepada-Nya, takut akan seksaanNya serta mengharap pahalaNya, maka berarti dia telah berbuat ikhlas dalam hal tersebut.
KEDUA : Menyesali perbuatan dosa yang telah dilakukan. Yakni, seseorang mendapati dirinya sangat menyesal dan bersedih atas perbuatan yang telah lalu tersebut serta memandangnya sebagai perkara besar yang wajib baginya untuk melepaskan diri darinya.
KETIGA : Berhenti total dari dosa tersebut dan keinginan untuk terus melakukannya. Bila dosanya tersebut berupa tindakannya meninggalkan hal yang wajib, maka setelah taubat dia harus melakukannya dan berusaha semaksima mungkin untuk membayarnya. Dan jika dosanya tersebut berupa tindakannya melakukan sesuatu yang diharamkan, maka dia harus cepat berhenti total dan menjauhinya. Termasuk juga, bila dosa yang dilakukan terkait dengan makhluk, maka dia harus memberikan hak-hak mereka tersebut atau meminta dihalalkan darinya.
KEEMPAT : Bertekad untuk tidak lagi mengulanginya di masa yang akan datang. Yakni, di dalam hatinya harus tertanam tekad yang bulat untuk tidak lagi mengulangi perbuatan maksiat yang dia telah bertaubat darinya.
KELIMA : Taubat tersebut hendaklah terjadi pada waktu yang diperkenankan. Jika terjadi setelah lewat waktu yang diperkenankan tersebut, maka ia tidak diterima. Lewatnya waktu yang diperkenankan tersebut dapat bersifat umum dan dapat pula bersifat khusus. Waktu yang bersifat umum adalah saat matahari terbit dari arah terbenamnya. Maka, bertaubat setelah matahari terbit dari arah terbenamnya tidak dapat diterima. Atau ketika nazak (nyawa dikerongkong) maka taubatnya tidak akan diterima.
Satu perkara yang perlu diingat jika seseorang sudah bertaubat kemudian mengulangi lagi dosa tersebut di khautiri hatinya menjadi mati dan rasa payah pula nak kembali kepada fitrah yang asal dan tiba-tiba dia mati dalam keadaan dia tak sempat nak bertaubat maka perkara inilah yg sangat dikhuatiri. Oleh itu pesanlah kepada saudara kita yang sudah bertaubat maka janganlah sekali-kali cuba melanggari janji yang telah dia buat dihadapan Allah SWT untuk bertaubat tiba-tiba dia lupa akan janji yang telah dia ucapkan ketika dia bertaubat dahulu.
Cara-cara untuk tenangkan hati :
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi :
1. Dimensi lidah (qauli),
2. Hati (qalbi) dan
3. Perlakuan (fikli).
Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.
Kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.
Dimensi kata, rasa dan tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya.
Firman Allah maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”
(Surah At Tahrim ayat 8)
Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri”
(Surah Al-Baqarah ayat 222).
Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan . Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kita? Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.
Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!
Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:
Rasa kehambaan.
Rasa bertuhan.
Memahami maksud takdir.
Mendapat hikmah di sebalik ujian.
Wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment