Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 35 adalah menjelaskan persoalan bacaan al-Quran untuk orang yang sudah meninggal dunia, apakah maksud mujahadah, cara melakukan muhasabah, beriltizam dengan ibadah dan isteri di zalimi.
171. Soalan : Boleh ustaz jelaskan adakah bacaan al-Quran sampai atau tidak kepada orang yang telah meninggal dunia?
Jawapan :
Terdapat dua pendapat dalam perkara ini : Perkara ini memang sudah lama menjadi perselisihan pendapat diantara ulama’ sejak dari zaman dahulu lagi. Untuk tidak berlaku bias dan berat sebelah. Saya mengemukakan kedua-dua pendapat tersebut untuk tatapan anda.
PENDAPAT PERTAMA : TIDAK SAMPAI
Ada antara mereka berhujahkan hadith berikut untuk membolehkan membaca surah Yasin sama ada untuk menghapuskan dosa si mati atau mengirim pahala bacaan tersebut kepada si mati :
“Barangsiapa yang menziarahi kubur orang tuanya atau salah seorang dari keduanya pada hari Jumaat, kemudian membacakan surah Yasin, maka akan diampunkan dosanya”.
Hadith di atas ini adalah hadith batil, palsu atau tidak ada asal usulnya. Terdapat di dalam sanadnya seorang yang bernama ‘Amar yang dikenali sebagai pemalsu hadith dan banyak meriwayatkan hadith-hadith yang batil. Imam Daraqutni berkata tentang ‘Amar : “Amar adalah seorang pemalsu hadis”.
Terdapat beberapa ulama’ yang sezaman dengan Imam Syafie yang telah mengharamkan kenduri arwah, salah seorang dari mereka ialah sahabat Imam Syafie bernama Imam Muzani.
Beliau menolak pendapat mereka yang membolehkan kenduri arwah, malah beliau telah menfatwakan tentang pengharaman mengirim (menghadiahkan) pahala dari bacaan al-Quran untuk menyelamatkan orang mati sebagaimana yang diamalkan dalam majlis kenduri arwah, beliau berkata :
“Rasulullah S.A.W telah memberi tahu sebagaimana Allah memberi tahu : Bahawa dosa tiap-tiap orang adalah buat kecelakaan dirinya sendiri sebagaimana amalannya itu buat kebaikan dirinya sendiri bukan untuk kecelakaan orang lain”.
Terdapat juga segolongan mereka yang berhujjahkan fatwa Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyah yang pernah membolehkan perbuatan mereka yang menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada orang yang telah mati.
Namun kenyataannya beliau telah ruju’ (menarik balik dan membatalkan fatwa beliau), yang mana beliau telah menegaskan:
“Bahawa bukan menjadi suatu kebiasaan bagi para Salaf al-Soleh apabila mereka mengerjakan solat-solat sunnah, berpuasa, haji dan membaca al-Quran lalu pahalanya dihadiahkan kepada orang yang telah mati”
Penarikan semula fatwa beliau yang pada asalnya membolehkan (menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati) kemudian mengharamkannya, ianya boleh ditemui di dalam kitab Ali Abdul al-Kafi as-Subki “Takmilatul Majmu”
Di dalam kitab “Syarah Muslim” Imam an-Nawawi telah menjelaskan pendapat Imam as-Syafie tentang perbuatan yang diamalkan dalam majlis kenduri arwah iaitu pengiriman pahala kepada orang mati. Beliau berkata :
“Adapun bacaan al-Quran maka yang masyhur dikalangan mazhab Syafie bahawa tidak sampai pahala bacaan yang dikirim kepada orang yang telah mati”.
Sekali lagi beliau menjelaskan bahawa :
“Adapun pembacaan al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada orang mati, membayar solatnya dan sebagainya, maka menurut Imam Syafie dan jumhur ulama Syafie adalah tidak sampai kepada si mati. Penjelasan seperti ini telah diulang-ulang (oleh Imam Muslim) dalam kitab syarah Muslim”.
Syeikh al-Haitami juga telah menjelaskan :
“Mayat tidak boleh dibacakan al-Quran sebagaimana keterangan yang ditetapkan oleh orang-orang terdahulu, bahawa bacaan al-Quran pahalanya tidak sampai kepada si mati, lantaran pahala bacaan hanya untuk si pembaca. Pahala amalan pula tidak boleh dipindah-pindahkan dari si pembuat berdasarkan firman Allah S.W.T : Dan manusia tidak memperolehi pahala kecuali dari amalan yang dikerjakannya sendiri”.
Ada yang berpendapat bahawa ayat 39 di surah an-Najm ini telah dan dimansuhkan oleh ayat 21 di surah ath-Thur. Imam Syaukani menolak pendapat ini dan beliau berkata:
Adapun makna dari ayat: (Seseorang tidak akan mendapat melainkan atas usahanya sendiri). Lafaz dalam ayat ini termasuk umum yang mukhasas, oleh itu tidak tepat kalau ada yang berkata bahawa ayat ini telah dimansuhkan dalam urusan ini, kerana yang khas tidak boleh memansuhkan lafaz umum, tetapi hanya sebagai takhsisnya sahaja. Maka apabila ada dalil lain yang boleh menentukan bahawa seseorang memperolehi manfaat dari amal orang lain, maka dalil itu sebagai takhsisnya bukan sebagai nasikh serperti ayat yang terdapat di surah ath-Thur: (Kami akan hubungkan dengan mereka itu anak cucu mereka)”.
Namun apabila dibuka secara ilmiah ruang agama untuk membincangkan, mengkaji dan meneliti semula amalan yang diperkatakan di atas, terbukti ia terlalu bertentangan dengan syara’, malah termasuk dalam amalan atau perbuatan yang ditegah, diharamkan dan bid’ah.
Benarnya kenyataan ini dapat dibuktikan apabila kita memahami kesemua hujjah-hujjah dan dalil-dalil syara’ yang dikemukakan oleh para ulama dari kalangan mazhab Syafie.
PENDAPAT 2 : SAMPAI BACAAN
Menurut Prof Dr Wahbah al-Zuhaili, Mazhab Imam Ahmad dan jumhur salaf dan mazhab empat dan di antara mereka Malikiyah dan Syafi’iyah yang kemudian berpendapat sampai pahala amalan tersebut.
Pendapat Imam Abu Hanifah :
“Segala pahala dari sedekah dan lainnya sampai kepada mayat. Ia juga berkata : “Bacalah ayat Kursi tiga kali dan surah al-Ikhlas dan katakanlah : “Ya ALlah, Ya Tuhan kami, pahalanya untuk ahli kubur.”
DALIL AL-QURAN :
Al-Sya’ani juga menyebutkan dalil pendapat kedua dari al-Quran, sunnah dan ijmak serta kaedah syariat. Iaitu mereka yang mengatakan bahawa mayat mendapat manfaat atas apa yang dilakukan oleh orang-orang yang masih hidup untuknya.
Dalil dari al-Quran adalah firman Allah S.W.T yang bererti :
“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan tangan), berkata : “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kamu yang mendahului kami dalam iman.” (Surah al Hasyr : Ayat 10)
Maka Allah S.W.T memuji mereka atas istighfar mereka kepada kaum Mukminin sebelum mereka. Maka hal itu menunjukkan bahawa mayat mendapat manfaat daripada doa terhadap mereka seperti juga doa dalam solat jenazah.
DALIL HADITH :
Ibn Hibban dalam kitab sahihnya meriwayatkan hadith Jundab bin Abdillah, Rasulullah S.A.W bersabda yang bererti :
“Surah al-Baqarah adalah tulang belakang al-Quran, ia diturunkan oleh lapan puluh malaikat dengan membawa satu persatu ayat. Sedangkan ayat kursi diturunkan dari bawah Arsy’. kemudian ia dikumpulkan dengan ayat-ayat surah al-Baqarah. Surah Yasin pula adalah hati al-Quran, tidak ada orang yang membacanya dengan mengharap redha Allah dan pahala akhirat melainkan dia akan mendapat ampunan dari-Nya. Bacalah surah Yasin untuk saudara-saudara kamu yang telah meninggal dunia.“
(Ditakhrij oleh Ibn Hibban di dalam Kitab Sahihnya pada bab Fadhilat Surah al Baqarah. Demikian juga al-Haithami meriwayatkannya di dalam kitab Mawarid al-Dzam’an. Imam Ahmad juga meriwayatkannya di dalam al-Musnad dari Ma’qal bin Yasar.
Al-Haithami mengulas hadith tersebut di dalam kitab Majma’ al-Zawaid, “Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di dalamnya ada salah seorang perawi yang tidak disebut namanya, bagaimanapun perawi-perawi lainnya adalah sahih.
Pendapat dari Imam An Nawawi :
Imam Nawawi berkata :
“Adalah sunnah hukumnya bagi para penziarah kubur untuk mengucapkan salam kepada mereka (penghuni kubur), mendoakan kepada orang yang diziarahi dan juga kepada ahli kubur semuanya. Lebih utama lagi, jika penziarah itu membaca doa-doa yang telah diterangkan dalam al hadith. Dan hukumnya sunnah pula membaca ayat-ayat al Quran dan setelah itu mendoakan para penghuni kubur. Ini semua adalah nas (pendapat) dari Imam al Syafie dan disepakati oleh murid-muridnya (para pengikutnya) – al majmu’ syarh al muhazzab -
Pendapat Imam Ahmad :
Imam Ahmad pada mulanya pernah melarang seorang buta daripada membaca al-Quran di atas kubur, kemudian beliau (imam Ahmad) mengizinkannya setelah mendengar khabar yang mengatakan Ibnu Umar pernah berwasiat supaya dibacakan permulaan dan penghujung surah al-Baqarah di sisinya ketika dikebumikan.
Kisah ini disebut oleh Ibnu Qudamah di dalam kitabnya ‘Al Mughni di dalam masalah : Ziarah Kubur.
Berdoalah kepada ALLah agar pahala kita membaca ayat al Quran sampai kepada si mayyit kerana ALlah sendiri telah berfirman yang bererti :
“Dan Tuhan kamu berfirman:
“Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Surah al-Mukmin : Ayat 60)
Antara ulama’ terkini lain yang mengatakan sampainya pahala seperti : Profesor Dr Sayyid Muhammad ‘Alawi Almaliki Al Hasani, Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa’adi, dan ramai lagi.
KESIMPULAN :
Setelah membaca kedua-kedua pendapat tersebut, saya serahkan kepada anda untuk memilih dan cenderung kepada pendapat yang mana satu. Terpulang kepada anda.
Ulama terdahulu sudah memberikan pandangan dan pendapat mereka dalam masalah ini. Kita sebagai umat Islam pada masa kini bebas untuk memilih pendapat yang mana satu. Tidak perlulah bagi kita untuk menhentam dan mempertikaikan pendapat dan hujah mereka.
Sudah tentu ulama terdahulu sudah membuat pertimbangan dan perkiraan yang waras sebelum mengeluarkan fatwa. Semoga artikel ini dapat memberi panduan dan rujukan kepada anda apabila berdepan dengan masalah ini.
Bagi saya pendapat kedua lebih tepat dan jelas bahawa sedekah bacaan al-Quran, zikir dan doa orang yang hidup kepada orang yang telah meninggal dunia sampai kepada mereka. Dengan syarat bacaan tersebut di niatkan kepada seseorang yang telah meninggal dunia. Wallahua'lam.
172. Soalan : Apakah yang dikatakan Mujahadah?
Jawapan :
Mujahadah : Islam telah menunjukkan kepada kita beberapa jalan yang boleh menyampaikan kita kepada takwa dan salah satu diantara jalan-jalan tersebut ialah dengan kita bermujahadah. Berhubung dengan mujahadah ini Ustaz Said Hawwa menjelaskan,
" Kita bermujahadah ini adalah untuk mendapatkan petunjuk daripada Allah SWT ".
Oleh itu mujahadah ialah jalan untuk kita mendapat petunjuk daripada Allah SWT agar petunjuk itu masuk ke dalam hati kita. Jadi maknanya untuk mendapat dan memperoleh petunjuk daripada Allah SWT maka perlu kepada mujahadah. Mujahadah juga merupakan jalan untuk kita menambahkan petunjuk. Setelah kita mendapat petunjuk kita hendak tingkatkan dan tambah lagi petunjuk daripada Allah SWT iaitu dengan cara kita mempertingkat mujahadah.
Untuk melaksanakan mujahadah ini kita perlu mengikuti jalan yang betul. Sebab banyak orang yang berusaha dan bermujahadah tetapi tidak mendapat bimbingan dan hidayah daripada Allah SWT. Banyak kegiatan-kegiatan yang dilakukan dan bermati-matian bermujahadah tetapi tidak mendapat petunjuk daripada Allah SWT. Kerana apa? kerana jalannya tidak betul yakni tidak mengikut jalan yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.
Hidayah (petunjuk) Allah SWT merupakan mukaddimah kepada takwa. Apabila seseorang itu mendapat hidayah daripada Allah SWT hasil daripada bermujahadah maka hidayah ataupun petunjuk yang diperolehinya itu adalah merupakan mukaddimah kepada takwa, mukaddimah untuk dia menjadi seorang yang muttaqin yakni yang bertakwa kepada Allah SWT. Ini bermakna takwa itu diperolehi hasil dari anugerah hidayah yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang bermujahadah.
Takwa bukan boleh kita buat-buat dalam jiwa kita tetapi dia mestilah dengan hidayah daripada Allah SWT. Ini bererti seseorang itu tidak boleh menjadi orang yang bertakwa dengan akal fikirannya sendiri , dia nak berubah menjadi orang yang baik dengan menggunakan akal fikiran dia sendiri, tidak boleh, sebaliknya dia mestilah mendapat hidayah (petunjuk) daripada Allah SWT dengan jalan bermujahadah sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT dan yang diajarkan oleh Islam kepada kita melalui Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan kami,benar-benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. Dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat baik ". ( Surah al Ankabut : 69 )
Ini merupakan janji-janji Allah SWT kepada mereka yang bermujahadah, Allah SWT akan berikan kepada mereka hidayah. Sesungguhnya Allah SWT tidak pernah memungkiri janjinya. Sesungguhnya Allah benar-benar akan berserta dengan orang-orang yang berbuat baik.
Setelah mendapat hidayah daripada Allah SWT maka bermulalah kita menjadi seorang yang bertakwa kepada Allah SWT. Barulah kita menuju ke arah kehidupan orang-orang yang disebut sebagai Al-Muttaqin yakni yang bertakwa kepada Allah SWT.
Jika sekiranya kita tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT maka ke arah menjadi orang-orang yang bertakwa ini tidak akan wujud. Jadi kalau kita berusaha kuat mana sekalipun kalau tidak mendapat hidayah (petunjuk) dari Allah SWT maka tidak akan ada mukaddimah, tidak akan ada permulaan ataupun titik tolak untuk kita menjadi seorang manusia yang bertakwa kepada Allah SWT.
Oleh itu apabila kita bermujahadah ia akan menyampaikan kita kepada memperolehi hidayah daripada Allah SWT sementara hidayah yang kita perolehi itu pula akan menyampaikan kita kepada takwa. Jadi itu hubungan di antara ketiga-tiga perkara, hubungan di antara mujahadah, hidayah, dan takwa.
Jadi mujahadah akan membawa kita kepada hidayah sementara hidayah pula akan membawa kita kepada takwa. Jadi kalau kita tidak ikut jalan yang pertama ini yakni tidak bermujahadah maka tidak akan ada hidayah dan tidak ada takwa dalam jiwa kita.
Satu perkara penting di dalam proses untuk kita bermujahadah dan mendapatkan hidayah daripada Allah SWT ialah uslub ataupun jalan-jalan yang kita lalui untuk bermujahadah itu mestilah mendapat taufik ataupun persetujuan daripada Allah SWT. Maknanya di sini, tidak semestinya orang yang bermujahadah itu akan mendapat hidayah daripada Allah SWT kerana ada orang yang bermujahadah tetapi dia tidak mendapat hidayah. Ini adalah kerana hikmah dan kebijaksanaan Allah SWT.
Jadi kemungkinan ada berlaku kesilapan di dalam mujahadah seseorang itu ataupun dia bermujahadah tidak mengikut cara Rasulullah SAW bermujahadah, bagaimana Rasulullah SAW menunjukkan cara memperoses dan mengislah(memperbaiki) diri. Jadi dia bermujahdah tidak dengan taufik Allah SWT, tidak dengan persetujuan Allah SWT. Dia bermujahadah tanpa pertolongan dan hidayah daripada Allah SWT maka sebab itulah tidak melahirkan natijah yang sebenarnya.
Justeru itu di dalam langkah-langkah kita bermujahadah ke arah untuk mendapat hidayah dan takwa daripada Allah SWT ini maka kita hendaklah memastikan terlebih dahulu bahawa jalan-jalan yang kita lalui di dalam bermujahadah ini mestilah terlebih dahulu mendapat taufik dan persetujuan daripada Allah SWT. Tidak boleh kita mereka-reka cara bermujahadah ini dengan akal fikiran ataupun dengan cara kita sendiri.
Titik-tolak yang betul untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT ialah dengan bermujahadah. Kita berjihad dan berusaha. Sebab itulah ulama'-ulama' yang muktabar menggariskan bahawa jihad itu perlulah dijadikan sebagai matlamat hidup kita. Dalam hal matlamat hidup ini sekiranya kita baca Allah SWT berfirman yang maksudnya : "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka semua beribadah(mengabdikan diri) kepadaKu". (Surah az Dzariyat ayat 56)
Walaupun istilah dia berbeza, matlamat kita ialah untuk beribadah kepada Allah, matlamat kita ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah, matlamat kita ialah jihad untuk mencari keredaan Allah tetapi disegi konsep atau tasawwur ataupun perincian nya, dia akan menjurus kepada hakikat yang sama.
Matlamat hidup kita sebagaimana yang telah digaris dan diperincikan oleh ulama-ulama yang muktabar ialah kita perlu menjadikan jihad itu sebagai tujuan kita diwujudkan. Kita diwujudkan adalah untuk berjihad menegakkan kalimah syahadah, menegakkan deen Allah SWT di atas muka bumi ini. Untuk itu sebelum kita berjihad hendaklah kita fahami jihad ini dengan betul kerana jihad ini ada bermacam-macam jenis dan ada tertibnya, yang mana perlu kita utamakan terlebih dahulu dan yang mana selepas itu. Jadi jihad ini ada jihad melawan hawa nafsu, melawan orang-orang kafir, melawan orang-orang munafik, orang-orang zalim dan sebagainya.
Jihad melawan hawa nafsu merupakan jihad yang berterusan dan perlu diutamakan kerana hal ini telahpun dinyatakan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya yang bermaksud : "Seutama-utama jihad ialah orang yang berjihad terhadap hawanafsunya dalam mentaati Allah azzawajalla ".
173. Soalan : Bagimanakah cara kita hendak melakukan Muhasabah?
Jawapan :
Muhasabah : Peliharalah diri kalian dari terikut rentak dan ragam manusia yang dimurkai Allah SWT. Sedarilah tekanan kehidupan hari ini terlalu banyak. Semua gejala tamadun baru yang direka menurut keinginan nafsu hanya bertujuan menyesatkan dan meruntuhkan nilai norma yang tinggi. Sekaligus menghancurkan sendi-sendi budi dan akhlak yang mulia yang mengembangkan sifat kejahilan di kalangan umat.
Ingatlah ! Sememangnya tabiat tarbiah itu dinyatakan berulang-ulang. Untuk menghidupkan balik hati yang keras dan mati, untuk menaikkan semula iman yang telah turun dan untuk memulihkan balik akhlak yang telah rosak, bukanlah satu perkara yang mudah. Nabi SAW sendiri mendidik dan mentarbiah sahabat-sahabat baginda di Mekkah mengambil masa 13 tahun. Proses ini berterusan di Madinah dan memakan masa 10 tahun pula.
Didalam al-Quran sendiri Allah SWT sentiasa mengulang-ulangkan asas iman, tauhid dan perkara-perkara ghaib dan kehidupan dihari akhirat. Selagi hayat dikandung badan dan masih bernafas di bumi Allah proses tarbiah imaniah dan takwa perlu berterusan dan berjalan tanpa berhenti.
Al-Ustaz Fathi Yakan dalam menghuraikan tatacara memelihara diri dari dorongan nafsu serta bisikan syaitan telah menyarankan 10 dasar muhasabah harian. Yakinilah dasar ini akan dapat memelihara jiwa kalian untuk terdorong memusatkan pemujaan dan ketaatan kepada Allah. Juga memperteguhkan iman diatas jalan yang diredhai.
Pertama : Qiyamulail merupakan pendidikan rohani yang tidak patut diabaikan. Ia boleh melahirkan kekuatan iman yang tidak dapat dihasilkan oleh ibadat-ibadat yang lain.
Kedua : Sedapatnya solat Subuh berjemaah kerana akan beroleh jaminan perlindungan dari Allah, seperti maksud hadis : "Siapa yang solat Subuh berjemaah maka ia berada dalam jemaah Allah. Allah tidak sekali-kali meminta sesuatu dari kamu kerana jaminan-Nya." (Hadis Riwayat Muslim) .
Ketahuilah malaikat menjaga kita dan mereka datang berhimpun serta bergilir masa kerja pada waktu Subuh dan Asar.
Ketiga : Al-Quran itu sebagai penawar dan kita sangat berhajat rawatan hati dari ayat-ayatnya. Dengannya, hati akan tenang, tenteram dan dapat merasai suasana hening. Berwirid dengan al-Quran sewajarnya diamalkan sehingga berlinangan air mata.
Keempat : Setiap kali menghadap hidangan makanan telitilah sumber ia diperolehi. Pastikan rezeki yang diperolehi itu adalah halal dan suci serta sedaya upaya menjauhkan diri dari berbuat yang haram. Disamping itu, kita patut menyedari tujuan utama makan adalah untuk menambah kekuatan beribadah kepada Allah SWT, dan bukannya melakukan kerosakan.
Kelima : Bersihkan diri dari sifat malas. Islam tidak menyukai hamba Allah yang tidak berusaha atau menganggur. Sepatutnya setiap muslim perlu bersungguh dalam melaksanakan apa jua tugas dan pekerjaan. Di samping itu, tidak lupa untuk membersihkan rezeki dengan mengeluarkan zakat, insaf dan sedekah. Usaha yang gigih serta rezeki yang bersih akan membawa kebahagiaan hakiki.
Keenam : Dalam setiap waktumu berada dikhalayak, sentiasalah menjaga dan mengawal pandangan mata serta perasaan. Jauhkan diri daripada tergoda atau digoda. Malahan, tidak juga terdorong kepada perkara-perkara syubahah atau yang tidak jelas halal atau haramnya.
Ketujuh : Perhatikan setiap tingkahlakumu supaya dikuasai akhlak Islam. Sebaliknya, jadilah muslim contoh yang akan membawa kebaikan kepada manusia lain. Sesungguhnya, engkau akan beroleh pahala seperti orang yang mendapat hidayah kerana kebaikanmu.
Kelapan : Tanyakan dirimu adakah setiap saat dan sepanjang hayatmu dipergunakan untuk menuntut serta menambah ilmu khasnya ilmu Islam itu sendiri.
Perhatikan maksud hadis berikut : "Pelajarilah ilmu! Dalam mempelajarinya kerana Allah akan menambah takwa; menuntutnya ibadah, muzakarah menjadi tasbih, membahas menjadi jihad dan mengajarkannya menjadi sedekah. Mewariskannya kepada ahli keluarga menjadi ibadah qurban. Ilmu itu menunjukkan perbezaan halal dan haram. Juga menjadi lampu isyarat dijalanan ahli syurga. Ilmu menjadi teman keseorangan, menjadi sahabat kepada perantau, dan menjadi penghibur dalam suka dan duka. Juga menjadi senjata berhadapan dengan musuh, dan perhiasan dalam persahabatan. Dengan ilmu juga Allah mengangkat darjat Muslim untuk memimpin setiap insan." (Hadis Riwayat Ibnu Adil Barri)
Kesembilan : Sejauh mana telah engkau bulatkan hati untuk sentiasa melaksanakan tuntutan syarak serta sentiasa berada dalam tanggungjawab mengutamakan kehidupan Islam atas kepentingan-kepentingan lain.
Kesepuluh : Usah dilupakan hak jasad. Kesihatan dan kekuatan fizikal wajib dipelihara. Ingatlah! Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah. Hindari diri dari kerja yang meletihkan dan merosakkan ketangkasan badan. Oleh itu bersederhanalah dalam bekerja dan makan-minum.
Jadikanlah sepuluh perkara diatas sebagai KPI untuk muhasabah diri yang mesti berjalan setiap masa dan saat selagi denyutan nadi kalian berfungsi bukan hanya berjalan dalam waktu tertentu sahaja.
Ingatlah! Kalian semua harapan Islam untuk membawa risalah yang mulia ini dan untuk memakmurkan alam dan membawa kebahagiaan dalam kehidupan insan. Berhati-hatilah dalam menghadapi cabaran baru yang mendatang!
174. Apakah cara-cara kita boleh beriltizam dengan ibadah?
Jawapan :
Iltizam melakukan ibadah : Ibadah adalah jalan untuk mendapatkan takwa dan hubungan hati dengan Allah SWT. Ibadah juga penghubung yang kuat di antara makhluk dan Tuhannya, dari sinilah makhluk akan merasai kemanisan iman dan kyusuk ketika solat dan berzikir. Ibadah yang terbaik adalah disertai dengan istiqamah dan berterusan walaupun sedikit tetapi jika dilakukan dengan istiqamah lebih disukai oleh Allah SWT daripada ibadah yang banyak tetapi berhenti dipertengahan jalan.Untuk beristiqamah, bukan satu perkara yang mudah. Hati manusia ini senantiasa berdolak dalih dan jiwanya juga senantiasa berubah-ubah. Keimanan kita ada saat ianya segar, bersemangat, dan hidup. Adakalanya ianya lesu, lemah,longlai seakan-akan tak bernyawa. Apabila kita memahami maksud tersirat istiqamah itu sendiri supaya lebih mudah untuk kita melaksanakannya.
Istiqamah bermaksud kita menempuh jalan (agama) yang lurus (benar) dengan tidak berpaling ke kiri mahupun ke kanan. Istiqamah ini mencakupi pelaksanaan semua bentuk ketaatan kepada Allah samaada zahir dan batin dan meninggalkan semua bentuk larangan-Nya. Apabila hati telah istiqamah dalam makrifat kepada Allah, dalam takut pada-Nya, pengagungankan-Nya, malu pada-Nya, cinta pada-Nya, berhajat pada-Nya, keinginan pada-Nya, harapan pada-Nya dan berdoa dan bermunajat pada-Nya, tawakkal pada-Nya dan berpaling dari selain-Nya maka organ tubuh lainnya akan istiqamah. Kerana sesungguhnya hati adalah komanden seluruh organ tubuh dan yang lain adalah prajurit.
Jika kita ingin anggota tubuh badan kita istiqamah maka istiqamahkanlah hati kita dengan Iman. Dan iman ini tidak akan berlaku istiqamah, kecuali lisan kita telah istiqamah terlebih dahulu, sebagaimana yang pernah Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :"Tidaklah iman seorang hamba itu lurus (istiqamah) hingga hatinya istiqamah, dan hatinya tidak akan istiqamah kecuali lisannya telah istiqamah." (Hadis Riwayat Ahmad)
Sesungguhnya apabila kita istiqamah maka kita akan mendapat rahmat , pertolongan dan syurga Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan Kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian (istiqamah) mereka, maka Malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu". Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat; di dalamnya kamu memperolehi apa yang kamu inginkan dan memperolehi (pula) di dalamnya apa yang kamu minta. sebagai hidangan (bagimu) dari Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Fushilat ayat 30-32)
Dari Abu Amrah Sufyan bin Abdillah r.a berkata : “Ya Rasulullah, katakan kepadaku satu perkataan sahaja yang aku tidak akan bertanya kepada siapapun selain engkau! Jawab Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Katakan, aku beriman kepada Allah, lalu istiqamahlah." (Hadis Riwayat Muslim)
175. Soalan : Ustaz.saya nak tanya, apakah Puan A dikira sebagai isteri yang dizalimi atau teraniaya kerana suaminya menceraikannya dengan taklik yang dibuat oleh suami sendiri sedangkan dia sedikit pun tak mahukan perceraian itu terjadi.Selepas itu suaminya terus meninggalkannya tanpa sebarang rujuk (walaupun suaminya berjanji untuk rujuk semula) selepas ada hubungan dengan wanita lain (wanita yang menjadi punca dia terlanggar taklik).. Syukran..
Jawapan :
Suami yang menzalimi isterinya tidak akan terlepas balasan daripada Allah SWT di dunia ini, kerana sesiapa yang membuat zalim kepada orang lain, dan orang tersebut berdoa kepada Allah SWT maka doanya sungguh mustajab di sisi Allah SWT.Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Zalim ada tiga jenis :
Pertama : Zalim yang Allah tidak akan ampunkan ;
Kedua : Zalim yang Allah akan ampunkan ;
Ketiga : Zalim yang Allah tidak akan tinggalkan.
Adapun zalim yang Allah tidak akan ampunkan adalah syirik . Allah berfirman : 'Sesungguhnya syirik adalah zalim yang amat besar' (Surah Luqman ayat 13) ;
Adapun zalim yang Allah akan ampunkan ialah kezaliman manusia terhadap dirinya sendiri dengan melakukan dosa-dosa antara dia dengan Tuhannya ;
Adapun zalim yang Allah tidak akan meninggalkannya adalah zalim insan kepada sesama insan sehingga mereka diadili kelak (di akhirat) "
( Hadis Riwayat al-Taualisiy dan Abu Na’im dari Anas Bin Malik – Menurut Syeikh Nasiruddin Albaniy – Hadis Hasan – Lihat Sahih Al-Jaami’ – No 3961 )
Zalim yang Allah tidak akan tinggalkan.
Adapun zalim yang Allah tidak akan meninggalkannya adalah zalim insan kepada sesama insan sehingga mereka diadili kelak (di akhirat) "
Dosa-dosa sesama manusia : Membunuh jiwa yang tidak berdosa, memfitnah, mengumpat, mencuri, merompak, menyamun, merampas hak orang lain, memukul orang dan mencederakannya, menyembur gas pemedih mata atau air kimia kepada rakyat yang berhimpun secara aman, menipu di dalam pilihanraya, mendedahkan aib seseorang, mengambil rasuah sehingga berlaku berat sebelah dan sanggup menzalimi orang lain, menderhakai ibu bapa dan tidak amanah dalam tugas yang diberikan kepadanya.
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"
(Surah Hud ayat 113)
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Seorang mukmin akan dibebaskan dari api neraka, lalu mereka diberhentikan di atas jambatan (qanthrah) antara syurga dan neraka, mereka akan saling diqisas antara satu sama lainnya atas kezaliman mereka di dunia. Setelah mereka bersih dan terbebas dari segalanya, barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, seorang diantara kalian lebih mengenal tempat tinggalnya di syurga daripada tempat tinggalnya di dunia”.(Hadis Riwayat Bukhari).
Zalim merupakan perbuatan yang di larang oleh Allah SWT dan termasuk dari salah satu dosa-dosa besar. Manusia yang berbuat zalim akan mendapatkan balasan di dunia dan seksa yang pedih di akhirat kelak.
Sebagaimana firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya dosa besar itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih“. (Surah asy-Syura ayat 42)
Abu Hurairah r.a. berkata: “Nabi SAW bersabda maksudnya : “Siapa yang merasa pernah berbuat aniaya kepada saudaranya, baik berupa kehormatan badan atau harta atau lain-lainnya, hendaknya segera meminta halal (maaf) nya sekarang juga, sebelum datang suatu hari yang tiada harta dan dinar atau dirham, jika ia punya amal soleh, maka akan diambil menurut penganiayaannya, dan jika tidak mempunyai hasanat (kebaikan), maka diambilkan dari kejahatan orang yang dianiaya untuk ditanggungkan kepadanya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
No comments:
Post a Comment