Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 22 adalah menjelaskan persoalan fitnah Dajjal, bab solat, wuduk dan membaca tahyat akhir, lafaz cerai sindiran, berpisah dengan kekasih dan qada dan qadar
106.Soalan : Ustaz..boleh tak ustaz terangkan apa yang di maksudkan dengan fitnah Dajjal?
Jawapan :
Maksud fitnah Dajjal adalah segala kerosakan dan tipu daya Dajjal di akhir zaman yang akan mempengaruhi dan memperdaya orang mukmin supaya mempertuhankan dirinya dan mengajak keluar daripada agama Islam. Dari Abi Umamah Al-Bahiliy r.a., beliau berkata; Rasululah SAW telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda SAW banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda SAW telah bersabda:
"Sesungguhnya tidak ada fitnah di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin” (Hadis Riwayat Muslim)
Dari Rib'iy bin Hirasy, katanya: "Saya berangkat dengan Abu Mas'ud al-Anshari ke tempat Hudzaifah al-Yaman r.a., lalu Abu Mas'ud berkata kepadanya: "Beritahukanlah kepadaku apa yang pernah kamu dengar dari Rasulullah SAW tentang Dajjal." Hudzaifah lalu berkata, Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya Dajjal itu keluar dan sesungguhnya berserta Dajjal itu ada air dan api. Adapun yang dilihat oleh manusia sebagai air, maka sebenarnya itu adalah api yang membakar, sedang apa yang dilihat oleh manusia sebagai api, maka sebenarnya itu adalah air yang sejuk dan tenang. Maka barangsiapa yang menemui Dajjal di antara kamu semua, hendaklah masuk dalam benda yang dilihatnya sebagai api, kerana sesungguhnya ini adalah air sejuk dan tenang."
Setelah itu Abu Mas'ud berkata: "Saya pun benar-benar pernah mendengarnya seperti itu."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
107. Soalan : Ustaz..saya ada 3 soalan nak tanya.
Soalan 1, Boleh tak kita solat 'express' ketika kita solat di akhir waktu (mempunyai alasan)?
Soalan 2, Berkaitan dengan wuduk soalannya ialah batal atau tidak wuduk kita walaupun kita memakai losyen sekiranya tidak batal apakah kita masih boleh melaksanakan solat seperti biasa atau kita harus mencucinya dahulu?
Soalan 3, Adakah sah solat kita sekiranya sedang membaca tahiyyat kita tidak mengangkat jari telunjuk ketika mengucapkan lafaz syahadah?
Mohon penjelasan dari pihak ustaz.terima kasih.
Jawapan :
1. Tiada solat `express' kecuali yang ada ialah solat yang hanya melaksanakan rukun-rukun sahaja tanpa menyempurnakan yang sunat. Walaupun ia melaksanakan yang rukun sahaja, tetapi tetap wajib menyempurnakan bacaan dengan bertajwid,melaksanakan rukun-rukun fi'li dengan tomakninah.
2. Losyen yang suci tetapi boleh menghalang kulit anggota wuduk mengenai air adalah tidak sah wuduk tersebut. Oleh itu, anggota wuduk seperti tangan, muka dan kaki perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk.
3. Mengikut mazhab Shafei, mengangkat jari telunjuk ketika mengucapkan lafaz syahadah adalah sunat. Wallahua'lam.
Sifat tergopoh gapah untuk tunaikan solat atau pekerjaan yang lain adalah daripada gangguan syaitan sedangkan sifat tenang dan buat dengan sempurna ada amalan yang di sukai oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW. bersabda: “Gopoh-gapah itu dari amalan syaitan dan sifat tenang itu adalah dari Allah Taala”(Hadis Riwayat Abu Ya’la dan Al-Baihaqi daripada Anas r.a.. Sanadnya hasan)
Daripada Sahl Bin Sa’ad r.a, Rasulullah SAW bersabda : “ Gopoh-gapah itu merupakan sifat syaitan.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Sesungguhnya sesiapa yang memiliki dua sifat, nescaya dikasihi oleh Allah iaitu lemah lembut dan tenang.” (Hadis Riwayat Muslim).
Sifat terburu-buru yang tidak elok ialah apabila ianya mengundang kesusahan dan keburukan kepada diri sendiri dan orang lain. Biasanya ia disebabkan oleh sifat tidak sabar, emosi, lekas marah, malas, tamak dan seumpamanya.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa. Kelak akan Aku perlihatkan kepadamu tanda-tanda (azab)-Ku. Maka janganlah kamu minta kepada-Ku mendatangkannya dengan segera.” (Surah al- Anbiyaa’ :ayat 37.)
108. Soalan : Ustaz apakah hukumnya bila pertengkaran berlaku antara suami isteri dan sisuami mengeluarkan kata-kata, "Berambus engkau carilah jantan lain yang boleh tanggung engkau" Apakah hukumnya dan apa sepatitnya sisteri buat?
Jawapan :
Luahan kata-kata dari suami seperti yang di atas adalah termasuk dalam kategori lafaz kinayah yang memerlukan niat suami ketika melafazkan kata-kata tersebut. Saya cadangkan supaya isteri membuat pengaduan di mahkamah syariah agar pihak hakim yang bijaksana membuat penghakiman berdasarkan pengesahan atau pengakuan atau maksud atau niat dari suami. Jika suami bermaksud melepaskan isterinya, maka hakim akan buat keputusan berlakunya penceraian dengan talak 1. Wallahua'lam.
Perbuatan yang halal tetapi dibenci oleh Allah SWT adalah talak. Syaitan cukup suka jika berlaku perceraian kerana dengan terjadinya perceraian akan rosaklah rumah tangga yg sudah dibina sekian lama. Anak-anak akan tertekan jiwanya dan akan menganggu emosi dan pelajarannya. Terbuka ruang untuk suami atau isteri memutuskan silaturahim sedangkan memutuskannya tanpa sebab berdosa besar. Akan timbullah fitnah dan dedahkan aib masing-masing. Kesemua kesan negatif ini akan menyebabkan syaitan bergembira.
109. Soalan : Ustaz telah pun membuat keputusan berpisah dengan orang yang dahulunya di harapkan akan menjadi pemimpin di dalam hidup saya. Tetapi semuanya tidak sama dengan apa yang dirancangkan. Apakah nasihat ustaz untuk menjadi pedoman buat diri saya.
Jawapan :
Apa saja yang berlaku keatas diri kita adalah sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT maksudnya : “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (surah al-Baqarah ayat 216).
Firman-Nya lagi yg bermaksud : “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah ayat 286). Oleh itu bersabarlah sesungguhnya ada hikmah dibalik perpisahan. Berkemungkinan Allah SWT menyuruh kita menjadi lebih baik, menutup aurat, kembali kepada ajarannya dan taat dan patuh kepada suruhan-Nya. Orang mukmin tidak pernah berputus asa dengan rahmat Allah SWT.
Banyakkan berdoa dan solat hajat supaya Allah SWT akan gantikan dengan yang lebih baik dan bertakwa. Amalkan doa ini setiap pagi dan petang (lepas Asar) sebanyak 7 kali untuk melahirkan hati yg sentiasa bertawakal kepada Allah SWT : Nabi SAW sering mengajar umatnya supaya sentiasa berdoa dengan doa-doa yang mashur yang terdapat di dalam al-Quran dan sunahnya. Di dalam al-Quran terdapat banyak doa-doa yang diajarkan oleh Allah SWT untuk Nabi SAW ucapkan , untuk para rasul , orang-orang soleh dan mereka-mereka yang dekat dengan Allah SWT . Salah satu doa tersebut adalah seperti dalam surah at-Taubah ayat 129.
Dari Abu Darda' r.a dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda maksudnya ; "Barangsiapa diwaktu pagi dan petang membaca ; 'Hasbiallahu lailahaillahu alaihitawakkaltu wahuwarabbul 'arsilazim' (Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal. dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung ' (Surah at-Taubah ayat 129), tujuh kali, maka Allah akan mencukupi apa yang diinginkan dari perkara dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Ibnu Sunni dan Ibnu Asakil secara marfu')
110. Soalan : Jodoh pertemuan, ajal maut semuanya telah ditulis sejak azali dalam perut ibu lagi. Tetapi saya ada dengar yang buku takdir kita boleh berubah pada 1 malam dalam setahun? Malam apa saya tak pasti. Betul ke ustaz? Boleh ustaz terangkan perkara ni?
Jawapan :
Benar terdapat hadis sahih yang menjelaskan kedudukan manusia di dalam perut ibunya telah diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh padanya dan diperintahkannya menulis empat kalimah, iaitu rezekinya dan umurnya dan amalnya serta celakanya atau bahagianya. Tidak ada nas yang boleh merubah pada 1 malam saja. Tetapi dalam hadis ada menyebut qada dan qadar boleh berubah dengan doa.Qada Muallaq pula adalah ketetapan yang boleh berubah. Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata, “Mengikut pendapat yang hak, Luh Mahfuz menerima penghapusan dan penetapan.”
Salman Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Tidak tertolak Qada itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi)
Doa itu sendiri sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah.Mereka yang berdoa perlu mempunyai keyakinan kerana ada dinyatakan, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka.
Rasulullah SAW. yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi)
Salah satu malam yang mustajab doa adalah malam nisfu Syaaban. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampuni semua hamba-hambaNya kecuali yang musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” (Hadis Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh)
Dan pada zaman Rasulullah pernah juga berbangkit soalan mengenai qada dan qadar seperti riwayat hadis tersebut sebagaimana yang telah diterangkan Rasulullah dalam salah satu hadis baginda yang bermaksud:
Tidak ada seorang daripada kamu melaikan telah ditulis tempat duduknya dari neraka dan tempat duduknya dari syurga. Lalu mereka (sahabat-sahabat ) berkata: Ya Rasulullah! Kalau begitu maka apakah kami berserah sahaja kepada tulisan kami dan kami tinggalkan amal? Rasulullah bersabda: Beramallah kamu, maka semuanya akan dipermudahkan kepada apa yang telah dijadikan baginya. Adapun orang yang dari golongan bahagia akan beramal dengan amal golongan bahagia. Dan orang dari golongan celaka akan beramal dengan amal golongan celaka (dalam hadis yang lain diterangkan: Orang yang bahagia akan dimudahkan untuk beramal dengan dengan amal orang bahagia, dan orang yang celaka akan dipermudahkan untuk amal orang celaka). Kemudian Rasulullah memabaca ayat 5 hingga 10 dari surah al-Lail yang bermaksud: "Maka barangsiapa memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa dan membenarkan ( (adanya pahala) yang terbaik (syurga) maka akan Kami mudahkan baginya jalan menuju kemudahan (kebahagiaan). Dan ada pun orang yang kikir dan merasa dirinya cukup ( tidak perlu pertolongan Allah) serta mendustakan (pahala) yang terbaik, maka akan Kami mudahkan baginya jalan menuju kesukaran (kesegsaraan)" (Surah al-Lail ayat 5-10)
Jelaslah dari keterangan ini bahawa Rasulullah banyak memperkatakan perkara amal serta menitik beratkan hubungannya dengan seseorang. Kerana amal yang akan mendorongkan jalan kemudahan, dan kerananya pula akan terbuka arah tujuan dan padanya terdapat sebab-sebab yang menimbulkan kebahgiaan dan kecelakaan.
No comments:
Post a Comment