Friday, December 6, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 18 (Hubungan Lelaki dan Wanita, Bercerai, Majikan Tidak Benarkan Solat, Maksud Insan Dan Jatuh Menjadi Kafir)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 18 adalah menjelaskan persoalan perhubungan lelaki dan wanita di facebook, kedudukan muslimah selepas bercerai, majikan tak benarkan solat, maksud insan dan ucapan seseorang boleh menjadikan dia jatuh kafir (murtad)

86. Soalan : Bolehkah ber-inbox dengan lelaki bukan mahram di facebook? Hantar mesej di private message...boleh ke? Syukran.

Jawapan :

Selagi batasan syarak itu dijaga seperti tidak memperkatakan perkara yang lucah, atau yang berbau lucah. haram dan tidak menimbulkan keinginan syahwat serta tidak mengeposkan gambar-gambar peribadi apatah lagi gambar yang tidak menutup aurat adalah diharuskan. Sama seperti hukum bermuamalah antara lelaki dan perempuan. Jika kita masih lagi dara atau telah menjadi janda maka eloklah jika sudah ada keserasian dan cukup syaratnya (rujuk pnduan memilih pasangan) agar jalinkan hubungan mengikut kaedah yang dibenarkan syara' . Wallahu a'lam.

87. Soalan : Dimana letaknya keredhaan Allah SWT pada muslimah yang telah bercerai dengan suaminya?

Jawapan :

Apabila berlaku perpisahan (bercerai) bergantung kepada keadaan. Jika berlakunya perceraian disebabkan suami tak bertanggung jawab tak beri nafkah, mencederakan isteri tanpa sebab, suami melakukan dosa-dosa besar maka isteri dalam kes ini tak bersalah dan akan mendapat redha Allah kerana berpisah dengan suami yg derhaka kepada Allah SWT.Tetapi jika berlakunya perceraian kerana isteri ada "pakwa lain" atau isteri nusyuz dan suami tidak bersalah atau suami berpoligami dan isteri tak sanggup bermadu maka isteri berdosa dan akan mendapat laknat Allah dan tak akan cium bau syurga.


Hadis riwayat Tsauban radhiallahu’anhu disebutkan :

“Siapa saja wanita yang minta diceraikan suaminya tanpa alasan yang dibolehkan maka haram baginya bau syurga” (HR Ahmad 5/277)

Hadis lain riwayat Uqbah bin Amir radhiallahu’anhu menyebutkan :

“Sesungguhnya wanita-wanita yang melepaskan dirinya dan memberikan harta kepada suaminya agar diceraikan, mereka adalah orang-orang munafik” (HR Thabrani dalam Al Kabir : 17/339, dalam shahihul jami’ hadits No : 1934)

Adapun jika memang ada sebab-sebab yang dibolehkan menurut syara’, seperti suaminya suka meninggalkan solat, suka minum-minuman keras dan hisap dadah, atau memaksa isterinya berbuat haram, suka menyiksanya dan menolak memberikan hak-hak isteri, tidak mau lagi mendengar nasihat dan tak berguna lagi upaya ishlah (perbaikan) maka tidak mengapa bagi isteri meminta cerai sehingga ia tetap dapat memelihara diri dan agamanya.


Dalam aqidah ahli sunah wal Jamaah sesiapa yang ada sedikit imannya dan tidak syirik walau pun dia melakukan dosa-dosa besar dia akan dimasukkan kedalam syurga . Setelah habis tempuh di seksa di neraka maka akhirnya dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Tidak bau syurga adalah seseorang yang di hisab dan didapati bersalah kerana melakukan dosa besar dan terus dimasukkan ke dalam syurga.

 Dosa wanita (bekas isteri) terhadap suaminya adalah dosa sesama manusia. Isteri yang meminta cerai (bukan yg dibenarkan syarak) sebenarnya dia memutuskan silaturahim dan jika bekas suaminya tidak ampun dia tetap mendapat dosa sesama manusia . Taubat seseorang dengan Allah SWT akan diterimanya tetapi bukan kesalahan sesama manusia. Oleh itu suami isteri pastikan jika bercerai sekali pun maka perlulah bermaaf-maafan supaya dosa tersebut tidak dibawa hingga ke hari akhirat. Pada masa itu tidak siapa boleh menolong kita melainkan amal-amal yg kita bawa.

88. Soalan : Ustaz saya nak tanya sikit ,kawan saya kerja di super market tidak sedia tempat solat banyak hari dia terlepas solat Zohor,Asar.balik kerja selalu dia mengqadakan solat yang tertinggal, adakah dia berdosa?

Jawapan :

 Tidak boleh gadaikan solat kerana kerja kerana kewajipan solat tidak boleh ditinggalkan ini adalah perintah Allah SWT. Cuba usahakan berbagai cara untuk pastikan majikan membenarkan pekerja muslim menunaikan solat kerana qada' solat hanya untuk mereka yang tertidur, terlupa atau pingsan/ gila. Dalam keadaan terdesak dan tidak dapat di elakkan paling kurang boleh dijamakkan solat Zohor dengan Asar (jamak takhir) tetapi bukan tinggalkan kedua-dua waktu tersebut dan kedua-duanya diqada' pada waktu Magrib atau Isyak.' Jika berlaku berterusan hingga tak ada ruang untuk solat pada waktunya eloklah mencari kerja di tempat lain kerana ada supermarket yang membenarkan pekerjanya yang hendak menunaikan solat. Rezeki Allah SWT ada dimana-mana. 
Wallahu a'lam.

89. Soalan : Apakah maksud insan.? Adakah insan juga bermaksud lupa?

Jawapan :



Insan disebut sebanyak 65 kali dalam al-Quran. Kita boleh mengelompokkan konteks insan dalam tiga kategori, iaitu:

Pertama, insan dihubungkan dengan keistimewaannya sebagai khalifah atau pemikul amanah.

Kedua, insan dihubungkan dengan ciri-ciri negatif diri manusia.

Ketiga, insan dihubungkan dengan proses penciptaan manusia.

Huraiannya :

Pertama, insan dihubungkan dengan keistimewaannya sebagai khalifah atau pemikul amanah.

Semua konteks insan menunjukkan pada sifat-sifat psikologi atau spiritual. Pada kategori pertama, kita melihat keistimewaan manusia sebagai wujud yang berbeza dengan haiwani. Menurut al-Quran, manusia adalah makhluk yang diberi ilmu. Firman Allah SWT maksudnya : “Yang mengajar dengan pena, mengajar insan apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-’Alaq ayat 4-5).

 “Dia mengajarkan (insan) al-bayan.“ (Surah ar-Rahmaan ayat 3). Manusia diberi kemampuan mengembangkan ilmu dan daya nalarnya. Kerana itu juga, kata insan berkali-kali dihubungkan dengan kata nazhar. Insan disuruh menazhar (merenungkan, memikirkan, menganalisis, meneliti) perbuatannya. Firman Allah SWT maksudnya : “Iaitu hari manusia akan menigingati apa yang telah diusahakannya.” (Surah al-Naba‘ ayat 35)

Manusia adalah makhluk yang memikul amanah . Firman Allah SWT maksudnya : " Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung ganang, tetapi semuanya engan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir tidak akan melaksanakannya (berat) , lalu dipikul amanat itu oleh insan (manusia). Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh."(Surah al-Ahzab ayat 72). 

Menurut Fazlur Rahman (1967: 9), amanah adalah menemukan hukum alam, menguasainya atau dalam istilah al-Quran ‘mengetahui nama-nama semuanya’ dan kemudian menggunakannya, dengan inisiatif moral insani, untuk menciptakan tatanan dunia yang baik. Berbagai pendapat para mufassir tentang makna amanah dan memilih makna amanah sebagai ciri-ciri untuk beriman dan mentaati Allah. Di dalamnya terkandung makna khilafah. Amanah inilah yang dalam ayat-ayat lain disebutkan sebagai perjanjian. Ciri-ciri untuk beriman inilah yang digambarkan secara metafora dalam surah al-A‘raaf, ayat 172.

Manusia memikul amanah, maka insan di dalam al-Quran juga dihubungkan dengan konsep tanggungjawab (Surah al-Qiaamah ayat 36; Surah al-Qiaamah ayat 3; Surah al-Qaaf ayat 16). 

Manusia diperintah untuk berbuat baik (Surah Luqman ayat 14; Surah al-Ahkaf ayat 15). Amalnya dicatat dengan teliti untuk diberi balasan, sesuai dengan apa yang dikerjakannya (Surah al-Najm ayat 39). 

Oleh hal yang demikian itu, insanlah yang dimusuhi syaitan (al-Israa‘ ayat 53; al-Hasy-r ayat 16) dan ditentukan nasibnya di hari kiamat (Surah al-Qiaamah ayat 10, 13, 14; Surah al-Naazi‘aat ayat 35; Surah ‘Abasa: 17; Surah al-Fajr ayat 23).

Dalam menyembah Allah SWT  insan sangat dipengaruhi oleh lingkungannya. Apabila dia ditimpa musibah, dia cenderung menyembah Allah SWT dengan ikhlas. Tetapi apabila dia memperoleh keuntungan, dia cenderung sombong, takbur, bahkan musyrik (Surah Yunus ayat 12; Surah Hud ayat 9;  Surah al-Israa‘ ayat 67 dan Surah al-Israa' ayat 83; Surah az-Zumar ayat 8; Surah al-Fussilat ayat 49, Surah al-Fussilat ayat 51; Surah asy-Syuraa ayat 48 dan Surah al-Fajr ayat 15).

Dalam kategori kedua, kata insan dihubungkan dengan ciri negatif pada diri manusia. 

Menurut al-Quran, manusia itu cenderung zalim dan kafir (Surah Ibrahim ayat 34; Surah al-Hajjayat 66; Surah az-Zukhruf ayat 15), tergesa-gesa, terburu-buru (al-Israa‘: 11; al-Anbiyaa: 37), bakhil (al-Israa‘: 100), bodoh (al-Ahzab: 72).

Manusia banyak menafikan atau membantah (Surah al-Kahfi ayat 54; Surah al-Nahl ayat 4; Surah Yaasiin ayat  77).

Manusia resah, gelisah, dan enggan membantu (Surah al-Ma‘aarij ayat 19)

Ditakdirkan untuk bersusah payah dan menderita (Surah al-Insyiqaaq ayat 6; Surah al-Balad ayat 4).

Tidak berterima kasih (Surah al-’Aadiyaat ayat  6).

Berbuat dosa (Surah al-’Alaq ayat 6; Surah al-Qiaamah ayat 5).

Meragukan hari akhirat (Surah Maryam ayat 66). 

Apabila dihubungkan dengan sifat-sifat manusia pada kategori pertama, insan menjadi makhluk paradoks, yang berjuang mengatasi konflik dua kekuatan yang saling bertentangan: kekuatan mengikuti fitrah (memikul amanah Allah SWT) dan kekuatan mengikut ciri negatif. Kedua-dua kekuatan ini digambarkan dengan kategori ayat-ayat ketiga.

Ketiga proses penciptaan manusia atau asal kejadian manusia dinisbahkan kepada konsep insan dan basyar sekaligus. 

Sebagai insan, manusia diciptakan daripada tanah liat, intipati tanah, tanah (Surah al-Hijr ayat 26; Surah ar-Rahmaan ayat 14; Surah al-Mukminun ayat 12; Surah as-Sajdah ayat 7). 

Demikian juga basyar berasal daripada tanah liat, tanah (Surah al-Hijr ayat 28; Surah Saad ayat 71; Surah ar-Rum ayat 20) dan air (Surah al-Furqan ayat 54).

Ini dapat disimpulkan bahawa proses penciptaan manusia menggambarkan secara simbolik perwatakan basyari dan perwatakan insani. Menurut Qardhawi (1973: 76), manusia adalah gabungan kekuatan tanah dan hembusan Ilahi (bain qabdhat al-thin wa nafkhat al-roh).


Yang pertama, unsur material dan yang kedua unsur rohani. Yang pertama, unsur basyari, yang kedua unsur insani. Kedua-duanya harus bergabung dalam keseimbangan. “Tidak boleh (seorang mukmin) mengurangi hak-hak tubuh untuk memenuhi hak roh, dan tidak boleh dia mengurangi hak-hak roh untuk memenuhi hak tubuh,” kata Abbas Mahmud al-’Aqqad (1974, 7:381). 

Maksud insan juga bermaksud makhluk yang mudah lupa. Itu sebab manusia ini kena sentiasa diberi nasihat , diberi tarbiah dan di berikan dakwah kerana mereka mudah lupa. Hari ini ingat maka esok sudah lupa. Firman Allah SWT maksudnya : “Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. 1. Demi masa. 2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, 3. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah. Al-‘Ashr ayat 1-3). Wallahu a'lam

90. Soalan : Apakah ucapan-ucapan seseorang yang boleh menjadi kafir (murtad) apabila di ucapkan tetapi orang tersebut tidak tahu ianya boleh menyebabkan dia menjadi kafir (murtad).

Jawapan :

Seseorang yang menjadi kafir (murtad) tetapi dia tak sedar perbuatan dan percakapannya boleh merosakkan akidahnya hingga jatuh kafir (murtad). Contoh : Seseorang mengatakan wanita tak wajib tutup aurat kerana pakaian tersebut adalah pakaian orang arab. Atau dia berkata poligami adalah menzalimi kaum wanita dan tidak sesuai diamalkan. Atau dia kata hukum hudud sekarang dah ketinggalan zaman dan tidak sesuai dilaksanakan dalam masyarakat majmuk. 

Dengan mengucapkan salah satu daripada ucapan tersebut di atas sebenarnya boleh menjadikan seseorang menjadi kafir (murtad) kerana mempertikaikan hukum-hukum Allah SWT.

No comments:

Post a Comment