Thursday, May 21, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 237 ( Wanita Haid Niat Ihram, Isteri Minta Cerai Pada Suaminya Tanpa Alasan, Hutang Tak Mahu Bayar, Sihir Melalui Barang, Roh Orang Yang Meninggal Dunia.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 237 adalah menjelaskan persoalan wanita haid niat ihram, isteri minta cerai pada suaminya tanpa alasan, hutang tak mahu bayar, sihir melalui barang, roh orang yang meninggal dunia.

1141. Soalan : Boleh kah wanita dalam haid berniat ihram?.

Jawapan : 

Boleh wanita haid berniat ihram

Di bawah ini di senaraikan soal jawab mengenai ihram :

[ Soalan 1 : Apakah perbezaan di antara miqat makani dan zamani?

Jawapan :

Miqat makani ialah tempat kita menunaikan niat. Miqat zamani pula ialah masa kita memulakan niat. Miqat makani bagi haji untuk orang yang datang dari jauh ialah 5 tempat menurut jurusan daerah masing-masing. Tempat-tempat itu tersebut dalam hadis Nabi saw. Miqat ini juga menjadi miqat umrah mereka. Orang yang tinggal di Makkah atau kawasan sekitarannya miqat hajinya ialah tempat tinggalnya. Adapun miqat umrahnya ialah tanah halal yang terdekat seperti Taneim atau yang jauh seperti Ja’ranah. Tidak ada miqat zamani bagi amalan umrah. Miqat zamani bagi haji ialah: mula daripada 1 Syawal hingga sejurus sebelum fajar 10 Zulhijjah.

Soalan 2 : Apakah ertinya ihram?

Jawapan :

Erti Ihram ialah mengharamkan atas dirinya segaola yang diihramkan semasa ihram. Tetapi ianya tidak berlaku melainkan setelah berniat. Oleh kerana itu ihram juga diertikan niat. Orang yang sudah berniat walaupun tidak memakai ihram atau dia membuat perkara yang terlarang hajinya adalah sah tetapi ia berdosa dan dikenkan dam. Kecuali jika ia bersetubuh sebelum tahallul awal maka batal hajinya.

Soalan 3 : Adakah wanita yang didatangi haid dibolehkan mandi sunat dan berniat ihram?

Jawapan :

Ya, boleh dan sunat ia mandi kerana ihram dan mandi-mandi haji yang lainnya.

Soalan 4 : Adakah boleh berniat ihram dengan tidak memakai ihram?

Jawapan :

Boleh. Tetapi berdosa dan dikenakan dam

Soalan 5 : Apakah hukum bagi seseorang yang tidak menjatuhkan niat di miqat?

Jawapan :

Hukumnya haram. Kerana setiap orang yang menuju ke Makkah dengan tujuan haji atau umrah, mesti berihram dengan niat dan dikenakan dam jika melanggar miqat.

Soalan 6 : Apakah hukum bagi seorang yang berniat ihram haji atau umrah setelah melewati miqat?

Jawapan :

Niatnya sah tetapi dikenakan dam jika ia telah melewati kesuluruhan miqat.

Soalan 7 : Bolehkah seorang yang telah berniat ihram haji, menukar niat untuk mengerjakan umrah?

Jawapan : 

Tidak boleh.

Soalan 8 : Adakah dalil yang menguatkan kelebihan bermiqat di Ja’ranah untuk berihram umrah?

Jawapan :

Dalilnya ialah kerana Nabi saw bermiqat umrah dari situ pada tahun pembukaan Makkah.

Soalan 9 : Apakah yang harus dilakukan jika seorang wanita yang berniat ihram haji tetapi tidak dapat menyempurnakan kesemua rukun-rukunnya kerana kedatangan haid hingga tiba tarikh kepulangan ke tanah airnya?

Jawapan :

Ia boleh keluar meninggalkan Makkah hingga ia sampai ke tempat yang tidak mungkin ia kembali ke Makkah semua, di sana ia bertahallul kalau belum bertahallul setelah ia membayar dam kerana terhalang, dan ia wajib membuat rukun yang tertinggal itu pada bila-bila masa dengan ihram.

Soalan 10 : Bagaimanakah yang harus dilakukan dan apakah hukumnya bagi jemaah yang telah berihram untuk mengerjakan haji atau umrah tetapi tidak dapat meneruskan niatnya untuk mengerjakan amalan-amalan tersebut dan terpaksa membatalkan ihramnya itu atas sebab-sebab tertentu seperti sakit terlantar, coma, hilang fikiran dan tidak dapat bergerak atau kerana keselamatan yang tidak terjamin di Tanah Suci atau di perjalanan menuju ke Tanah Suci ekoran dari peperangan atau keadaan huru-hara?

Jawapan :

Jemaah haji yang tidak dapat meneruskan amalan haji atau umrahnya setelah mereka berihram yakni berniat, maka mereka boleh bertahallul dengan salah satu daripada dua cara berikut:

a. Mereka hendaklah membayar dam kerana terhalang dari meneruskan amalan iaitu menyembelih seekor kambing di tempat hendaklah dinilaikan harga kambing dan dibelikan makanan untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Kalau tidak mampu hendaklah mereka berpuasa menurut bilangan cupak yang dapat dibeli dengan harga seekor kambing, secupak puasanya sehari, kalau terdapat setengah cupak, puasanya juga sehari. Setelah membayar dam hendaklah mereka bertahallul dengan bercukur.

b. Mereka boleh terus bertahallul jika ada zuru yang menghalang tanpa membayar dam jika mereka telah berniat ihram dengan bersyarat iaitu kalau ada halangan, mereka akan bertahallul. 

Contoh niatnya: Aku niat haji/umrah dan aku berihram dengannya dengan syarat aku bertahallul jika ada uzur yang yang datang menghalang - atau lafaz lain yang seumpamanya. Maka apabila datang uzur mereka terus bertahallul.

Dalam kedua-dua keadaan mereka belum lagi sempurna mengerjakan haji. Jadi yang belum menunaikan haji wajib masih belum gugur kewajipannya dan mesti menunaikan hajinya di lain tahun.

Soalan 11 : Adakah qaul yang membolehkan seseorang itu menggantungkan niat ihramnya?

Jawapan :

Ya, ada qaul dalam perkara ini. Caranya ia hanya berniat ihram. Kemudian setelah masuk ke Makkah baharulah ia menentukan dengan niat haji atau umrah.

Soalan 12 : Bilakah niat ihram untuk mengerjakan umrah bertukar menjadi haji?

Jawapan :

Apabila seseorang itu memasukkan niat haji ke dalam umrahnya sebelum ia mula tawaf umrah, jadilah hajinya haji qiran dan dikenakan dam.]

Nota : Soal & Jawab - Dibangunkan oleh Jabatan Mufti Melaka

1142. Soalan : Saya mahu tanya apakah hukum seorang isteri meminta cerai pada suaminya sedangkan suaminya memberikan nafkah yang cukup?

Jawapan :

Jika isteri meminta cerai tanpa alasan yang di benarkan syarak hukumnya berdosa besar dan tak akan cium bau syurga.Diriwayatkan dari Tsauban radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Wanita mana yang meminta cerai kepada suaminya tanpa ada apa-apa maka haram baginya mencium wanginya syurga.” (Shahih Sunan at-Tirmidzi). 

Dalam hadis yang lain 

الْمُخْتَلِعَاتُ وَالْمُنْتَزِعَاتُ هُنَّ الْمُنَافِقَاتُ 

“Isteri-isteri yang minta khulu’(tanpa alasan yang membenarkannya) dan mencabut diri (dari pernikahan) mereka itu wanita-wanita munafik.” (Shahih Sunan at-Tirmidzi). 

“Wanita mana yang meminta cerai kepada suaminya tanpa ada apa-apa maka haram baginya mencium wanginya syurga.” (Shahih Sunan at-Tirmidzi )

Kewajipan isteri mentaati suaminya selagi mana si suami tidak menyuruh melakukan maksiat : Dalam Sunan At-Tirmidzi dari Ummu Salamah radliyallah 'anha, ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا رَاضٍ عَنْهَا دَخَلَتِ الْجَنَّةَ 

“Wanita (isteri) mana saja yang meninggal dalam keadaan suaminya redha kepadanya nescaya ia akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi , Tirmidzi berkata, “Hadis ini hasan.” 

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dari Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, baginda bersabda:

لَوْ كُنْتُ آمِرًا لِأَحَدٍ أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا 

“Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada orang lain nescaya aku akan memerintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya.” (HR. at-Tirmidzi, beliau berkata, "Hadis ini hasan”). 

“Wanita (isteri) mana saja yang meninggal dalam keadaan suaminya redha kepadanya nescaya ia akan masuk surga.” (HR. At-Tirmidzi )

Diriwayatkan pula oleh Abu Daud dan lafadznya: “…nescaya aku perintahkan para isteri untuk sujud kepada suami mereka di sebabkan kewajiban-kewajiban sebagai isteri yang Allah bebankan atas mereka.”(Shahih Sunan Abi Dawud) 

Demikian pula dalam Al-Musnad, Sunan Ibni Majah, dan Shahih Ibni Hibban dari Abdullah ibnu Abi Aufa radhiyallahu ‘anhu, ia berkata: "Tatkala Mu’adz datang dari bepergiannya ke negeri Syam, ia sujud kepada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka baginda menegur Mu’adz, “Apa yang kau lakukan ini, wahai Mu’adz?” Muadz menjawab:

أَتَيْتُ الشَّامَ فَوَجَدْتُهُمْ يَسْجُدُوْنَ لِأَسَاقِفَتِهِمْ وَبَطَارِقَتِهِمْ، فَوَدِدْتُ فِي نَفْسِي أَنْ تَفْعَلَ ذَلِكَ بِكَ يَا رَسُوْلَ اللهِ 

“Aku mendatangi Syam, aku dapati mereka (penduduknya) sujud kepada uskup mereka. Maka aku berkeinginan dalam hatiku untuk melakukannya kepadamu, wahai Rasulullah.” Lalu Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

لاَ تَفْعَلُوا ذَلِكَ، فَإِنِّي لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِغَيْرِ اللهِ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَ تُؤَدِّي الْمَرْأَةُ حَقَّ رَبِّهَا حَتَّى تُؤَدِّيَ حَقَّ زَوْجِهَا، وَلَوْ سَأََلَهَا نَفْسَهَا وَهِيَ عَلَى قَتَبٍ لَمْ تَمْنَعْهُ 

“Jangan engkau lakukan hal itu, kerana sungguh andai aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada selain Allah nescaya aku perintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, seorang isteri tidaklah menunaikan hak Rabbnya sampai ia menunaikan hak suaminya. Seandainya suaminya meminta dirinya dalam keadaan ia berada di atas pelana (hewan tunggangan) maka ia tidak boleh menolaknya.” (Shahih Sunan Abi Dawud dan Musnad Ahmad).

1143. Soalan : Ustaz,.seseorang telah berhutang duit dan dia berjanji nak pulangkan duit  dalam masa seminggu..tapi sebliknya.dia buat tak tau. bila kita minta dia maki hamun kita..marah-marah dan terus putus kawan? Macamana saya nak buat ustaz tolong berikan nasihat.. .

Jawapan : 

Orang yang meminjam duit tetapi dengan niat tak mahu membayarnya akan berdosa besar dan orang yang berikan pinjaman boleh tuntut di akhirat. Jika seseorang belum mampu untuk membayarnya dia boleh runding dengan orang yang beri pinjam seharusnya dia boleh memberi peluang untuk melanjutkan tempuh membayar balik hutang tersebut. 

Jika peminjam tersebut tak mahu bayar hutang dan putuskan silaturahim maka dia akan mendapat dua dosa besar iaitu dosa kerana enggan bayar hutang dan dosa memutuskan silaturahim. Sedangkan orang yang suka memutuskan silaturahim tak akan cium bau syurga. Saudari tak boleh memutuskan silaturahim dengan orang yang hendak memutuskannya, cuba usahakan untuk berbaik-baik semula dengan rakan saudari.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku mempunyai kaum kerabat yang aku eratkan hubunganku dengan mereka tetapi mereka memutuskan, dan aku berbuat baik dengan mereka tetapi mereka membuat jahat kepadaku, aku berlemah lembut dengan mereka tetapi melakukan kekasaran terhadap aku”. 

Maka jawab Rasulullah, “Jika benarlah apa yang engkau katakan itu maka seolah-oleh engkau memberi makan abu panas (mereka melakukan dosa besar) dan Allah sentiasa bersama engkau memberi pertolongan selagi kamu mengekalkan sifat-sifat kamu”. 
(Hadis Riwayat Muslim)

Huraian Hadis : Islam mengajar umatnya berbuat baik bagi mengeratkan hubungan antara keluarga walaupun kebaikan itu dibalas dengan keburukan. Berbuat baiklah dengan kaum keluarga dengan tujuan mengeratkan hubungan silaturahim, semoga mendapat keredaan dan pertolongan daripada Allah SWT. Islam menghendaki umatnya mengerjakan kebaikan sesama keluarga untuk menjamin kesejahteraan. Orang yang cuba melakukan permusuhan dan kemarahan kepada orang yang hendak berbuat baik dengannya adalah dimurkai oleh Allah dan dia akan mendapat seksaan diakhirat kelak. Dalam hadis yang lain, hadis riwayat Jubair bin Muth`im ra.: Dari Nabi SAW. bahawa baginda bersabda: "Tidak akan masuk Syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan." (Hadis Shahih Riwayat Muslim )

Hadis riwayat Anas bin Malik ra., ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Barang siapa yang merasa senang bila dimudahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung hubungan kekeluargaan (silaturahmi)." (Hadis Shahih Riwayat Muslim)

1144. Soalan : Saya nak tanya SIHIR boleh di bagi melalui barang tak ? contoh bag kain baju.

Jawapan :

Perbuatan menggunakan ilmu sihir boleh di lakukan oleh para bomoh dengan berbagai cara . Sihir melalui angin (santau angin) , melalui makanan - sudah di letakkan bahan santau tersebut, dan sihir melalui pemujaan dan di hantar penyakit tersebut kepada musuh seseorang melalui bantuan bomoh dan jin kafir. Perbuatan menggunakan sihir untuk merosakan seseorang adalah boleh jatuh kepada syirik. Amalan sihir adalah amalan syaitan yang boleh mendatangkan dosa besar disisi Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda “Jauhilah diri kamu daripada tujuh (7) dosa yang boleh membinasakan. Baginda ditanya:”Apakah dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda berkata:” Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.”,(Hadis Riwayat Muslim)

Dengan ini jelas bahawa adalah tidak mustahil bagi seseorang itu ditimpa penyakit yang disebabkan oleh sihir, akan tetapi hendaklah diingat bahawa ia berlaku atas keizinan Allah SWT. Sihir adalah sejenis ilmu yang dikuasai oleh golongan jin kafir dan syaitan. Oleh itu bagi manusia yang mengamalkan ilmu bererti mereka akan memperalatkan dan bekerjasama dengan syaitan bagi tujuan-tujuan tersebut.

Sihir adalah perbuatan yang berkaitan dengan jin yang menyebabkan perubahan secara mendadak tanpa diketahui sebabnya. Sihir juga merupakan perantaraan di antara tukang sihir dan syaitan yang mensyaratkan si tukang sihir tersebut agar melakukan perbuatan haram dan syirik di samping menyerahkan segala ketaatan kepadanya demi memperolehi bantuan dan pertolongan yang dihajatkan.

Dalam masyarakat melayu memang terkenal mengenai ilmu sihir. Ilmu sihir ini selalu dikaitkan dengan bomoh dan dukun. Ia sering dirujuk dalam masyarakat kita sebagai perbuatan orang atau kemasukan syaitan.

Bahan yang sering digunakan oleh tukang sihir di kalangan masyarakat Melayu bergantung kepada keperluan tukang sihir itu sendiri. Lazimnya air sihir, keris, darah, telur, jarum dan patung merupakan bahan yang popular digunakan di kalangan bomoh atau tukang sihir Melayu. Di samping itu ia turut dibantu beberapa jenis jin kafir atau hantu (syaitan) bagi tercapainya apa yang diminta. 

Antara jin atau hantu (syaitan) tersebut dikenali sebagai berikut :

Hantu Bungkus : Boleh meresap dalam tubuh manusia,

Langsuir : Perempuan yang mati ketika melahirkan anak, boleh digunakan bagi tujuan mengganggu. (Jin akan menyerupai wajah perempuan tersebut)

Polong : Bagi menghisap darah mangsa.

Jembalang (hantu raya) : Tukang sihir akan membuat perjanjian dengan jembalang sebagai pengawal apabila sesuatu tapak atau kawasan diganggu oleh orang lain.

Kesemua ini diperolehi tukang sihir sama ada secara warisan keturunan nenek moyangnya atau dipelajari oleh seorang guru sihir. Dalam hubungan ini syaitanlah yang memainkankan peranan yang paling besar.

1145. Soalan : Bolehkah ustaz jelaskan adakah roh orang yang meninggal dunia boleh balik kerumahnya pada bulan Ramadan?

Jawapan :

Dalam Islam tak ada kepercayaan roh balik rumah samaada pada bulan Ramadan atau bulan lain. Apabila seseorang telah meninggal dunia, rohnya berada di alam barzakh dan tak boleh balik kerumah. Kepercayaan mengatakan roh boleh balik rumah mungkin itu di ambil daripada kepercayaan hindu atau budha. Tidak ada nas daripada al-Quran atau hadis sahih mengatakan pada bulan Ramadan roh balik ke rumah.

Allah mengingkari permintaan orang mati untuk dikembalikan ke dunia
Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka,berkatalah ia:”Wahai Tuhanku,kembalikanlah daku(hidup semula di dunia) supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tnggalkan”. sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu hanyalah perkataan-perkataan yang dia ucapkan saja. dan di hadapan mereka ada dinding (alam barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan. (QS. Al-Mukminun ayat 99 – 100). Syaikh Abdurrahman bin Nashir Al-Barrak pernah ditanya, benarkan roh orang yang meninggal akan kembali ke keluarganya dan dapat melihat semua keadaan keluarganya selama 40 hari?
Jawapan beliau :


Seseorang setelah meninggal, dia menghilang dari kehidupan dunia ini, dan berpindah ke alam barzakh. Dan rohnya tidak kembali ke keluarganya, dan tidak mengetahui semua keadaan keluarganya. Khabar yang menyebutkan bahawa roh kembali ke keluarga selama 40 hari adalah khurafat, yang sama sekali tidak memiliki dalil. Demikian pula si mati, dia tidak mengetahui keadaan keluarganya, kerana dia tidak ada di tengah-tengah mereka. Mereka sibuk dalam kenikmatan atau azab. (Fatwa Islam, 13183)


No comments:

Post a Comment