Friday, May 1, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 233 (40 Hari Solat Berjemaah, Sukar Tidur Malam Amalkan Doa Sebelum Tidur, Tambah Sayyidina Apabila Selawat Kepada Nabi SAW, Suami Isteri Boleh Berjumpa Di Syurga Dan Bila Masa Nak Sebut Masya Allah Atau Subhanallah.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 233 adalah menjelaskan persoalan 40 hari solat berjemaah, sukar tidur malam amalkan doa sebelum tidur, tambah sayyidina apabila selawat kepada Nabi SAW, suami isteri boleh berjumpa di syurga dan bila masa nak sebut masya Allah atau subhanallah.

1121. Soalan : Saya ingin bertanya betul ke solat 40 hari berjemaah, tanpa tertinggal rakaat pertama boleh menghindar kan sifat-sifat munafik (saya dengar dari cd )..tolong beri pencerahan..trima kasih.

Jawapan :

Terdapat beberapa hadis-hadis yang menerangkan tentang fadhilat al-Takbirah al-Uula ini. Diantaranya, sabda Nabi SAW :-

من صلى لله أربعين يوما في جماعة يدرك التكبيرة الأولى كتبت له براءتان براءة من النار وبراءة من النفاق

"Barang yang bersolat kepada Allah 40 hari berjemaah dan mendapat takbir pertama, maka akan tercatat sebagai bebas dari dua perkara : bebas dari api neraka dan bebas dari sifat munafik" - [Hadis Riwayat al-Tirmudzi, dikelaskan sebagai Dha'if oleh Tirmudzi sendiri; akan tetapi dikelaskan sebagai hasan oleh Syeikh Nasyiruddin Al-Albani. Hadis ini dikelaskan sebagai Hasan oleh beberapa ulama' yang terkemudian - Talkhis al-Habiir 2/27].

Hadis ini menunjukkan akan komitmen seseorang Islam apabila tiba waktu melakukan kewajipan harian mereka. Sudah tentu bersolat pada saat yang awal ini ada ganjaran disisi Allah SWT

(b) Bagaimana pula dengan mereka yang terlambat? Mereka yang terlambat dinamakan Masbuk, tidaklah mendapat al-Takbirah al-Uula kerana al-Takbirah al-Uula hanya berlaku diawal solat, iaitu didalam Takbirah al-Ihram. Bagi mereka yang terlambat didalam solat berjemaah, tuntutannya ialah untuk 'mendapatkan rakaat bersama imam agar tidak hilang fadilat solat berjemaah. Dr Mustafa al-Khin mengatakan :

ويحصل المأموم على فضيله الجماعة ما لم يسلم االإمام

"Selagi Imam belum memberi salam, makmum akan mendapat fadhilat solat berjemaah" [Al-Fiqh Al-Manhaji 1/183]. Sabda Nabi SAW :-

ما أدركتم فصلوا وما فاتكم فأتموا

"Apa sahaja yang boleh kamu mendapatkannya, maka bersolatlah, dan apa sahaja yang kamu tertinggal, maka sempurnakannya" - [Hadis riwayat al-Bukhaari dan Muslim dengan isnaad yang banyak].

(c) Apakah sempurna bacaan al-Fatihah dikira mendapatkan al-Takbirah al-Uula?

Ini merupakan dua perkara yang berbeza. Mereka yang mendapat Takbiratul Ihram bersama Imam di awal solat. mendapat fadhilat al-Takbirah al-Uula. Menurut Mazhab Syafie, bagi makmum yang sempat bersama Imam dengan kadar membaca al-Fatihah (sebelum Imam rukuk) dinamakan Muwafiq, manakala yang tidak sempat membaca al-Fatihah dikira sebagai Masbuk [Al-Fiqh Al-Islami, DBP, 2/233]. 

Seseorang itu dikira Muwafiq menurut mazhab al-Syafie selama-mana ia dapat menghabiskan bacaan al-Fatihahnya; walaupun ia tidak mendapat al-Takbirah al-Uula bersama Imam. Wallahu a'lam

Wassalam
========
1. Dr Mustafa al-Khin [et al]. Al-Fiqh Al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam Al-Syaafie - 1. cetakan ke 4. Damsyik : Dar al-Qalam, 2000.

2. Dr Wahbah Zuhaily. al-Fiqh al-Islami - 2. terjemahan, KL : DBP, 2002..

1122. Soalan : Ustaz, saya ada seorang kawan dimana dia sukar hendak tidur malam walaupun mata mengantuk dan letih.adakah ini disebabkan jin atau sihir?perkara ni berlarutan selama 4 minggu dn selalunya dapat tidur jam 3 pagi.

Jawapan : 

Cuba amalkan adab-adab tidur sebelum tidur dan amalkan doa ini sebelum tidur : 

اللَّهُمَّ غَارَتِ النُّجُومُ ، وَهَدَأَتِ الْعُيُونُ ، وَأَنْتَ حَيٌّ قَيُّومٌ يَا حَيُّ ، يَا قَيُّومُ ، أَنِمْ عَيْنَيَّ وَأَهْدِئْ لَيْلِي

Maksudnya : "Ya Allah , telah malap bintang-bintang , dan telah tenang mata-mata manusia , dan Engkau maha berkuasa , Wahai yang Maha Berkuasa , lelapkanlah mataku dan tenangkanlah malamku ini ."

Doa Supaya Mudah Tidur. Keterangan & Petua Beramal :

Diriwayatkan oleh At-Tabraniy dan Ibn al-Sunni, dari Hajjaj bin Imran As-Sadusiy, dari Amru bin Al-Husain, dari Muhammad bin Abdillah dari Thaur bin Yazid dari Khalid bin Ma’dan dari Abdul Malik bin Marwan bahawa bapanya pernah mengatakan bahawa Zaid bin Thabit pernah mengadu kepada Nabi saw tentang penyakit tidak boleh tidur malam yang menimpanya, lalu baginda saw mengajarnya doa di atas .

Menurut hadis riwayat Ibnus Sunni, Zaid bin Thabit r.a yang mengalami masalah sukar untuk tidur (insomnia) akhirnya dapat tidur dengan nyenyaknya berkat beramal dengan doa yang diajar oleh Nabi SAW ini .

Doa ini boleh dibacakan pada pesakit dan air. Caranya iaitu, letakkan tangan kanan atas dahi semasa membaca doa dan tiup kedua belah biji matanya. Air yang telah dijampi dengan doa ini boleh digunakan untuk diminum dan untuk mandi.

Adab-adab Tidur

Tidur seorang hamba pada waktu malam setelah segala aktiviti yang dilakukannya pada siang hari, akan membantu tubuhnya menjadi segar untuk boleh melakukan aktiviti pada esok hari, juga akan membantu tubuhnya lebih bersemangat untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT Maka dengan nikmat yang besar ini hendaknya seorang muslim bersemangat untuk menjaga tuntunan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. dalam masalah adab-adab yang berkaitan dengan tidur. Di antara adab tersebut adalah:

1. Tidak mengakhirkan tidur setelah melakukan solat Isya kecuali kerana perkara yang penting untuk dilakukan seperti mempelajari ilmu atau menjamu tamu atau untuk melayani keluarga. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Barzah bahwasanya Nabi SAW tidak menyukai tidur sebelum solat Isya dan berbincang-bincang setelahnya.

2. Tidur dengan berwuduk terlebih dahulu. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW : “Apabila kamu hendak tidur maka berwuduklah sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

3. Memulai tidur dengan membaringkan tubuh ke sisi sebelah kanan sebagaimana dalam hadis di atas.

4. Tidak tidur dengan tiarap, berdasarkan sabda Nabi SAW “Sesungguhnya itu adalah cara tidur yang dimurkai Allah ‘azza wa jalla”.(Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang shahih)

5. Mengumpulkan kedua telapak tangannya. Kemudian ditiup dan dibacakan: surat Al-ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Kemudian dengan kedua telapak tangan tadi mengusap tubuh yang dapat dijangkau dimulai dari kepala, wajah dan tubuh bagian depan. Hal ini dilakukan sebanyak tiga kali." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Mengibaskan tempat tidur dengan ujung sarung atau dengan pakaiannya sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat Bukhari).

7. Membaca doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, seperti membaca doa “Bismika Allahumma amuutu wa ahyaa (Dengan menyebut nama-Mu ya Allah aku mati dan hidup)” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Dianjurkan membaca tasbih 33 kali, tahmid 33 kali, takbir 33 kali atau 34 kali ketika hendak tidur, sebagaimana sabda baginda kepada Ali bin Abi Thalib dan isterinya ketika mereka hendak tidur, “Maka bacalah tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, dan takbir tiga puluh tiga kali” dan dalam riwayat lain “takbirlah tiga puluh empat kali” (Hadis Riwayat Bukhari).

9. Dianjurkan juga membaca ayat kursi, membaca dua ayat terakhir surat Al-Baqarah atau membaca surat Ali ‘Imran ayat 190-200. (Hadis Riwayat Bukhari).

10. Apabila tiba-tiba terbangun di tengah malam, maka dianjurkan meminta kepada Allah SWT kerana saat itu adalah saat yang mustajab, sebagaimana sabda Nabi SAW. “Tidaklah seorang muslim yang tidur dalam keadaan suci dan berdzikir lalu tiba-tiba terbangun di malam hari kemudian mohon kepada Allah kebaikan dunia dan akhirat kecuali Allah akan mengabulkannya” (Hadis Riwayat Abu Dawud).

11. "Ketika bermimpi buruk hendaknya berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk dan dari keburukan yang dilihat dalam mimpi. " (Hadis Riwayat Muslim).

12. Ketika bangun tidur hendaknya membaca doa, “Alhamdulillahil ladzi ahyaana ba’da maa amaatanaa wa ilaihin nusyuur (Segala puji bagi Allah yang telah membangkitkan kami dari mati (tidur) dan hanya kepada-Nya semuanya kembali)” (Hadis Riwayat Bukhari).

Demikianlah beberapa adab tidur yang dituntunkan oleh Nabi kita Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam. Semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk senantiasa mengamalkannya, mengikuti sunnah Nabi-Nya sehingga tidur kita tidak sekedar rutin harian untuk pemenuhan keperluan jasmani, namun juga merupakan kenikmatan yang bernilai ibadah dan membuahkan pahala di sisi Allah. Wallahu a’lam.

1123. Soalan : Assalamualaikum ustaz...selawat kepada Nabi Muhammad SAW mana lebih afdhal kita tambah "sayyidina" atau pun tidak. Minta pencerahan.

Jawapan : 

Waalakaumussalam Syazwan Razi : Hukum menambahkan kata “sayyidina” dalam selawat ketika tahiyat awal dan tahiyat akhir solat :

Selawat yang terbaik adalah selawat yang diajarkan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Disamping itu, tidak dijumpai adanya dalil dari Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, mahupun sahabat, bahkan sampai tabi’in sekalipun yang menambahkan lafadz “sayyiduna” sebelum kata ‘Muhammad’ ketika membaca selawat.

Al-Hafidz Ibnu Hajar Al-Asqalani pernah ditanya tentang lafaz selawat yang benar, baik ketika solat mahupun di luar solat. Apakah disyaratkan harus menggelari Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan ‘sayyidina’, misal dengan mengucapkan: ‘shalli ‘ala sayyidina Muhammad’ ataukah cukup mengucapkan: “Allahumma shalli ‘alaa Muhammad”?

Mana yang lebih afdhal, menambahkan lafadz ‘sayyid’ kerana kata ini termasuk sifat yang melekat pada diri Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam? Ataukah tanpa diberi tambahan kerana tidak ada dalil dalam masalah ini?

Al-Hafidz Ibnu Hajar menjawab: Benar, mengikuti lafaz selawat yang ma’tsur (sesuai dalil) itu lebih didahulukan. Kita tidak boleh mengatakan: Boleh jadi Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak mengajarkan demikian kerana ketawadhuan baginda sebagaimana baginda tidak membaca selawat ketika nama baginda disebut, sementara umatnya dianjurkan membaca selawat ketika nama baginda disebut.

Kami beralasan, andaikan memberikan tambahan ‘sayyidina’ itu dianjurkan, tentu akan dipraktikkan para sahabat, kemdian tabi’in. Namun belum pernah aku ( Al-Hafidz Ibnu Hajar Al-Asqalani) jumpai adanya riwayat dari sahabat maupun tabiin yang mengucapkan kalimat itu. Padahal sangat banyak lafaz selawat dari mereka.

Lihatlah Imam As-Syafi’i –semoga Allah meninggikan derajatnya– beliau termasuk orang yang paling banyak mengagungkan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, namun beliau sampaikan dalam pengantar buku beliau, yang merupakan acuan pengikut mazhabnya:

Allahumma shalli ‘ala muhammad, sampai pada ujung usaha perjuangan yang telah beliau tunaikan, yaitu ucapan beliau: ‘ketika orang mengingatnya atau ketika orang lalai melupakannya.’

Al-Hafidz Ibnu Hajar menjelaskan : Seolah Imam Syafi’i dengan pengantar tersebut mengambil kesimpulan dari hadis shahih, yang terdapat lafaz; [subhaanallah ‘adada khalqih: Maha Suci Allah, sebanyak jumlah bilangan makhluk-Nya].

Al-Qodhi ‘Iyadh – ulama besar Mazhab Syafi’i –membuat satu bab khusus tentang cara berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam kitab beliau ‘As-Syifa’. Beliau menukil beberapa hadis Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dari para sahabat dan tabiin.

Dan tidak ada satupun riwayat dari seorang-pun sahabat, mahupun yang lainnya yang menyebutkan lafaz: ‘sayyidina’. Andaikan tambahan ini dianjurkan, tentu tidak mungkin tidak diketahui oleh mereka semua, sehingga mereka melupakannya. Dan semua kebaikan ada pada sikap mengikuti.” Allahu a’lam

Di ambil dari Fatwa Islam: no. 84853 : Di antara selawat yang diajarkan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah riwayat dari Ibnu Abi Laila, bahwa beliau bertemu Ka’ab bin Ujrah (shahabat), kemudian Ka’ab mengatakan,
“Mahukah kamu, aku beri hadiah? Sesungguhnya, Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam menemui kami, kemudian kami bertanya, ‘Wahai Rasulullah, … Bagaimanakah bacaan selawat kepadamu?’ Baginda bersabda, ‘Ucapkanlah, ‘Allahumma shalli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad…‘.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim).

Andaikan tambahan kata “sayyidina” itu disyariatkan, sebagai bentuk rasa hormat kepada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, tentu Ka’ab bin ‘Ujrah, seorang sahabat yang mulia, akan mengajarkannya kepada muridnya, kerana merekalah orang yang paling hormat dan paling tahu cara mengagungkan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Setelah kita memahami bahwa bacaan selawat dari Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak memuat tambahan “sayyidina” maka bacaan salawat ketika solat tidak perlu ditambahi “sayyidina”. Semua bacaan dalam solat harus tepat sesuai dengan bacaan yang disebutkan dalam dalil. Jika nak sebut juga "sayyidina" di luar solat maka masih di bolehkan tidak haram.

Kesimpulannya : Sekiranya ada umat islam yang hendak menambah perkataan "sayyidina" ketika berselawat maka sebahagian ulama masih mengharuskannya tanda memuliakan Rasulullah SAW walaupun ulama terdahulu tidak menambahkan perkataan tersebut.

1124. Soalan : Assalamualikum ustaz... jika salah seorang suami isteri meninggal. Contohnya, suami meninggal. Jika isteri berkahwin lain, adakah benar isteri takkan dpt berjumpa dengan suaminya itu di akhirat kelak? Hanya bertemu suami barunya? Suami itu pula.. adakah tidak akan dpt jumpa dengan sesiapa di akhirat nanti jika isterinya berkahwin lain?

Jawapan : 

Waalakaumussalam Bie Rahman isteri akan bersama-sama dengan suaminya yang terakhir jika mereka berdua masuk syurga. Jika suami keduanya tak masuk syurga dan isterinya masuk syurga maka dia akan bertemu dengan suaminya yang pertama. Ada riwayat yang menyatakan si isteri akan pilih suaminya yang paling baik akhlaknya (samaada suami pertama atau kedua) . Semakin baik dan tinggi akhlak seseorang maka semakin tinggi tingkatan syurga yang akan dia tinggal. Syurga ada 100 tingkat ,syurga yang aling tinggi adalah Syurga Firdaus.

Dalam syurga bukan saja suami isteri akan bertemu tetapi mereka akan bertemu juga dengan anak-anak mereka dan ibu bapa mereka. Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan do'a anak soleh yang mendoakannya (Hadith Riwayat Muslim) 

Untuk merealisasikan maksud hadis di atas, maka berlumba-lumbalah para ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat pengajian Tahfiz, pondok atau sekolah agama. Pada satu segi, tindakan ini boleh dikira sebagai satu sikap defensif ibu bapa yang merasakan amalan mereka masih kurang cukup untuk membela nasib mereka di alam barzakh kelak. Oleh itu, langkah termudah ialah dengan menghasilkan anak-anak yang soleh yang mampu dan bakal mendo'akan mereka. 

Manakala pada satu sudut lain pula, ianya merupakan satu manifestasi rasa terima kasih ibu bapa terhadap ibu-bapanya dahulu yang sudah berjaya mendidik mereka menjadi anak yang soleh. Lalu anugerah soleh itu dipanjangkan kepada anak-anaknya sendiri agar legasi soleh in berterusan kepada generasi berikutnya.

Namun begitu, kita sebenarnya hampir terlupa akan satu aspek lain yang WAJIB dimiliki oleh ibu-bapa sendiri. Berdasarkan kehendak agama, bukan anak-anak sahaja yang perlu menjadi soleh, bahkan ibu bapa sendiri.
Jelas Allah Firman Allah SAW maksudnya :" Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya." (Surah al-Tur ayat 21)

Ayat di atas secara jelas menjelaskan kelebihan 2 hala di dalam hubungan ibu bapa dan anak cucu mereka di akhirat kelak. Orang-orang yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga bersama dengan ibu bapa serta anak cucu mereka sebagai salah satu bentuk ni’mat dan hiburan kepada mereka.

Bahkan Allah akan mengangkat darjat ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka, begitu juga meninggikan darjat anak- cucu disebabkan amal soleh ibu bapa (Tafsir Ibn Kathir)). Menurut Imam al-Razi, ayat ini juga menjadi bukti bahawa kasih sayang ibu bapa yang beriman berterusan sehingga ke akhirat (Tafsir al-Razi).

Walaubagaimanapun ni’mat ini hanya dikhususkan kepada ibu bapa dan anak cucu yang sama-sama beriman dan mati di dalam iman sahaja.

Di syurga setiap manusia yang tidak ada pasangan ketika di dunia atau suaminya tidak masuk syurga maka dia akan di berikan jodoh pasangannya dengan seorang ahli syurga yang lain. Allah SWT beri peluang untuk dia buat pilihan. Contoh : Asiah isteri firaun masuk syurga tanpa firaun yang kufur maka beliau akan di jodohkan dengan lelaki yang mulia di syurga.

Apabila seorang di pilih masuk syurga dengan rahmat Allah SWT dia boleh membuat permohonan dan menarik ahli keluarganya atau sahabatnya untuk bersama-sama ke syurga. Begitu juga isteri juga berpeluang memohon kepada Allah SWT untuk suaminya ahli nereka masuk syurga. Terpulanglah kepada Allah SWT untuk menerimanya atau pun tidak.

Semasa hidup di dunia ini kita tak boleh mengharapkan syafaat orang lain untuk membantu kita masuk syurga seandainya amalan kita tidak cukup untuk melayakkan kita untuk memasuki syurga. Carilah sebaik-baik amal soleh, untuk memberatkan amalan kita jika di timbang di mizan dan di mudahkan semasa pemereksaan amal kita, jika di mudahkan oleh Allah SWT maka bahagilah kita tetapi jika di pereksa dengan halus maka binasalah kita . Oleh itu banyakkanlah berdoa, " Ya Allah mudahkanlah hisabku di hari akhirat nanti dengan hisab yang mudah" Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Hakim, dengan sanad yang shahih.
Rasulullah juga pernah bersabda:

‘Barangsiapa yang di dalam dirinya ada 3 perkara, maka pada hari kiamat nanti Allah akan mudahkan proses hisab terhadap dirinya dan Allah akan memasukkannya ke dalam syurga’. Para sahabat bertanya, ‘Apa yang 3 perkara itu, wahai Rasulullah?’ Rasulullah SAW. menjawab, ‘Yaitu engkau tetap memberi pemberian kepada orang yang menolak pemberianmu, engkau menyambung silaturrahim kepada orang yang memutuskannya, dan engkau memaafkan orang yang berbuat zalim kepadamu. Jika engkau lakukan yang demikian, maka engkau akan masuk syurga’.(Hadis Riwayat Imam al-Hakim dengan sanad yang sahih)

1125. Soalan : Assalamualaikum Ustaz...saya nak tanya tentang penggunaan perkataan SubhanAllah dan MasyaAllah...saya ingin tahu kesesuaian penggunaannya masa bila dan dlm keadaan apa...contohnya jika kita terlihat sesuatu bencana...atau kita terlihat sesuatu yg indah dan cantik...mana satu yg sesuai digunakan...mohon pencerahan ustaz...terima kasih...

Jawapan : 

Waalaikumussalam Umi Mastura : Ungkapan "Masya Allah" sepatutnya digunakan untuk perkara yang menggambarkan keindahan, ketakjuban yang positif terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, kejayaan seseorang dalam pelajarannya atau bidangnya perlu kita sebut

"MasyaAllah, hebatnya dia dapat 20 A1 dalam SPM"

"MasyaAllah, dia dapat cipta enjin solar berkelajuan tinggi"

"MasyaAllah, cantiknya baju awak"

Dalam masa yang sama, penggunaan kalimah ini boleh menghindari seseorang mendapat penyakit "ain" atau sumpahan mata . Oleh itu tidak hairanlah jika kita dapati di kebanyakan negara Arab, dan Pakistan , mereka akan melakarkan perkataan "MasyaAllah" jika mereka sedang dalam proses pembinaan bangunan dan kalimah itu kekal sehinggalah bangunan siap dibina.

Manakala penggunaan kalimah SubhanaLLAH pula biasa digunakan oleh baginda SAW dalam perkara yang dianggap pelik atau hairan pada perbuatan yang kurang tepat. Sebagai contoh dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tirmizi, dari Abu Hurairah ra mafhumnya

"Suatu hari aku berjunub dan ternampak Rasulullah SAW berjalan bersama para sahabat, lantas aku menjauhi mereka dan pulang untuk mandi junub, setelah itu aku datang menemui Rasulullah SAW. Baginda bersabda: Wahai Abu Hurairah, mengapakah engkau melarikan diri tatkala ternampak kami? Aku menjawab: Wahai Rasulullah , aku kotor (berjunub) dan aku tidak selesa untuk bertemu kalian. Rasulullah SAW bersabda: Subhanallah!! sesungguhnya mukmin tidak najis"

Lihatlah bagaimana ungkapan Nabi SAW ketika mendengar kata-kata Abu Hurairah . Baginda tersentak dengan fahaman Abu Hurairah yang kurang tepat. Oleh itu, sepatutnya jika berlaku atau terdengar sesuatu yang negatif , kita ungkapkan "Subhanallah", contohnya

"Subhanallah, awak belum solat lagi?"

"Subhanallah, kenapa boleh jadi macam tu?"

Mungkin kita tertanya-tanya, bagaimana pula ayat Al-Quran yang menggunakan kalimah "Subhanallah" ketika membicarakan soal penciptaan langit dan bumi serta seisinya yang cukup mengagumkan?

Jawapannya ialah kerana ketakjuban kita dan keindahan yang memukau itu menyebabkan minda kita melayang-layang yang memudahkan syaitan menusuk 'jarumnya' untuk membayangkan Zat Allah, lantas kita perlu sucikan Allah dari segala bentuk bayangan minda yang salah. Juga untuk memasakkan dalam jiwa kita sekalipun kita takjub pada alam, Allah yang lebih layak untuk kita kagumi. Wallahu a'lam.

Saudari sebut masya Allah jika melihat keindahan ciptaan Allah SWT. Firman Allah SWT maksudnya, “Dan mengapa kamu tidak mengucapkan tatkala kamu memasuki kebunmu “Masya Allah laa quwwata illa billah” (sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Sekiranya kamu anggap aku lebih sedikit darimu dalam hal harta dan keturunan?” (Surah Al-Kahfi ayat 39). Ucapan Subhanallah. Saat mendengar atau melihat hal buruk / keji, ucapkan Subhanallah sebagai penegasan: "Allah Mahasuci dari keburukan tersebut".




No comments:

Post a Comment