بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah Ustaz Siri 235 adalah menjelaskan persoalan bercinta dengan orang bukan Islam, hukum upah haji, hadis palsu dari Syiah (kisah Fatimah r.ha), merawat kena santau dan syurga di bawah tapak kaki suami.
1131. Soalan : Ustaz apa hukum bercinta dengan seseorang yang bukan Islam?
Jawapan :
Islam melarang umat Islam bercinta dengan orang bukan Islam kerana cukup merbahaya. Seseorang boleh mengadai akidahnya jika perasaan cinta sudah tak dapat di kawal sehingga seorang sanggup mengikuti kekasihnya semata-maat atas dasar cinta walaupun menjual agamanya. Kejadian ini bukan khayalan tetapi telah berlaku banyak kes di dalam masyarakat kita. Oleh itu jauhilah fitnah yang besar ini.
Islam mengalakkan umatnya berdakwah pada orang bukan Islam tetapi bukan atas dasar nak berkahwin dengan orang bukan Islam tersebut yang di dakwahkan. Kerana jika hijrah seseorang kerana nak kawin maka orang yang bukan islam ini tak akan dapat hayati Islam dan dia tak akan mampu istiqamah walaupun dia sudah masuk Islam. Lebih merbahaya lagi jika yang bukan islam itu lelaki dan yg muslim itu perempuan kononnya dia nak tarik bakal suaminya kepada islam hakikat sebenarnya si lelaki kebanyakkannya berpura-pura islam tetapi setelah kawin 1 atau 2 tahun dia kembali mengikut cara hidup agama asalnya seperti minum arak, berjudi, bersama-sama melakukan adat datuk nenek moyang mereka.
Kes seperti ini banyak saya hadapi dan pesanan saya , jika nak cari jodoh carilah yg muslim lagi soleh atau solehah ini saja yang nak menjamin kebahagiaan rumah tangga.
1132. Soalan : Saya mohon penjelasan dan pencerahan dari ustaz....saya bercadang untuk upah haji arwah ayahnda saya yg baru meninggal dunia..disini saya mohon ustaz perjelasan apa hikmat atau pahala arwah ayahnda saya dapat atas upah haji tersebut....terima kasih ustaz....
Jawapan :
Dalil-dalil keharusan mengerjakan haji untuk orang lain (Upah Haji).
Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan keharusan mengerjakan haji untuk orang lain. Di antaranya:
1. Abdullah bin Abbas meriwayatkan bahawa seorang wanita dari Khas`am datang menemui Nabi SAW. dan berkata: "Wahai Rasulullah! Di antara amalan-amalan yang difardukan oleh Allah ke atas hamba-Nya ialah haji yang dikenakan ke atas bapa saya yang sudah tua dan tidak mampu menaiki kenderaan untuk melakukannya, bolehkah saya berhaji untuknya?'' Jawab Rasulullah SAW.: ''Ya!'' (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
2. Ibnu Abbas juga meriwayatkan bahawa wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah SAW. lalu berkata: "Ibu saya bernazar untuk mengerjakan haji dan dia tidak mengerjakaannya sehingga meninggal dunia, bolehkah saya berhaji untuknya?'' Jawab Baginda: ''Ya! Tunaikanlah haji untuknya. Pada pendapat kamu andainya ibu kamu mempunyai hutang, bukankah kamu yang melangsaikannya? Tunaikanlah hak Allah yang wajib atas kamu kerana hutang kepada Allah itu lebih wajar ditunaikan." (Hadis Riwayat Bukhari).
3. Ibnu Abbas juga meriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa saudara atau kerabat seorang yang bernama Syubrumah bertanya kepada Nabi SAW. bagi menunaikan haji untuknya, lantas Nabi SAW. bertanya: "Adakah kamu sudah menunaikan haji untuk dirimu sendiri?'' Jawabnya: ''Tidak!'' Sabda Baginda: ''Tunaikanlah untuk dirimu, kemudian tunaikanlah untuk Syubrumah." (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban.)
4. Imam Ahmad dan Nasai telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Zubair katanya: "Telah datang seorang lelaki dari Khas`am kepada Nabi SAW. dan berkata: "Bapa saya telah memeluk Islam, sedangkan usianya sudah lanjut dan tidak berupaya menaiki kenderaan sedangkan haji wajib ke atasnya, adakah boleh saya menunaikan haji untuknya?'' Rasulullah SAW. bersabda bermaksud: "Apakah kamu anaknya yang paling tua?'' Jawabnya: ''Ya!'' Rasulullah SAW. bersabda: ''Tunaikanlah haji untuknya.'' (Hadis Riwayat Ahmad dan Nasai).
1133. Soalan : Apakah status hadis tersebut :
Mengapa Rasulullah SAW menangis ? Mereka bertanya kepada Baginda SAW: “Mengapa tuan menangis wahai Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Pada malam aku di Israk ke langit, aku melihat orang sedang mengalami pelbagai penyeksaan, apabila teringatkan mereka aku menangis.”
Rasulullah SAW dengan keadaan teresak-esak menceritakan pengalaman Baginda menyaksikan balasan azab dahsyat terhadap kebanyakkan golongan wanita ketika Israk Mikraj kepada Saidina Ali dan Fatimah r.a.:
1. Perempuan digantung rambutnya dan otak kepalanya menggelegak disebabkan tidak menutup rambut daripada kalangan lelaki dan bukan muhrimnya.
2. Perempuan digantung lidahnya, dijadikan lidahnya sepanjang 70 zira’ (hasta) kemudian diikat di belakang tengkoknya, tangannya diikatkan ke belakang dan timah cair dicurah ke kerongkongnya (tekak), akibat daripada menggunakan mulutnya (kata-kata) untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.
3. Perempuan yang digantung dengan buah dadanya dari balik punggung sedangkan air getah kayu zakum dituang ke kerongkongnya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa izin suaminya.
4. Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing dan bersolek serta berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain.
5. Perempuan yang digantung sambil kedua kakinya dan tangannya diikat ke ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala jengking kepadanya; disebabkan ia boleh solat tetapi tidak mengerjakannya dan keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya.
6. Perempuan yang memakan dagingnya sendiri dan di bawahnya dinyalakan api neraka; disebabkan tidak mahu mandi wajib daripada suci haid dan nifas.
7. Perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya (ususnya) sendiri. kerana ia suka berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka membicarakan keaiban dan mengumpat orang.
8. Perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, darah dan otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kulit, kusta dan sopak; adalah akibat daripada dia mampu mengerjakan solat dan puasa. Tetapi dia tidak mahu berwuduk dan tidak solat serta tidak mahu mandi wajib.
9. Perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar (keldai) dan mendapat berbagai kesengsaraan; disebabkan dia suka berbohong dan melaga-lagakan orang lain.
10. Perempuan yang rupanya seperti anjing, sementara kala dan ular masuk ke mulut, kemaluan dan duburnya. Malaikat memukulnya dengan corong api neraka; disebabkan dia suka membuat fitnah dan marah-marah serta membenci suaminya.
11. Kebanyakan ahli neraka adalah perempuan kerana mereka mengingkari suaminya dan mengkufurkan ihsannya serta mereka sering rasa tidak berpuas hati dan tidak cukup walaupun suaminya telah banyak berbuat baik kepadanya.
Rasulullah SAW bersabda lagi: “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan.”
Rasulullah SAW ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda SAW menjawab: “Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup.” (Hadis riwayat Bukhari)
Jawapan :
Perlu di jelaskan di sini Peristiwa Israk dan Mikraj adalah kisah benar yang berlaku ke atas Nabi Muhammad SAW sebagaimana ayat al-Quran dalam surah al-Israk ayat 1. Terdapat juga hadis sahih yang menceritakan perjalanan Rasulullah SAW semasa Israk dan Mikraj apa yang berlaku dan apa yang di lihat oleh Rasulullah SAW.
Walaubagimana pun bukan semua kisah-kisah yang di ceritakan itu adalah datangnya daripada hadis sahih tetapi ada juga terselit di dalam kisah Israk dan Mikraj adalah daripada hadis dhaif dan hadis palsu.
Kisah Saidina Ali k.wj dan Fatimah r.ha berjumpa Rasulullah SAW adalah kisah yang TIDAK SAHIH , BUKAN DATANGNYA DARIPADA HADIS SAHIH BUKHARI. Hadis di atas adalah satu PENDUSTAAN, bukan daripada hadis Bukhari. Sebaliknya hadis ini disebarkan oleh beberapa kitab Syiah yang sememangnya terkenal suka melakukan pembohongan atas nama Nabi SAW., seperti kitab ‘Uyun Akhbar al-Ridha, Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi. Jawatankuasa Fatwa Arab Saudi. Jilid:17. Hal:165 melihat penyebaran hadis ini sebagai satu pendustaan terhadap Nabi SAW.
1134. Soalan : Ustaz saya nak tanya, mak saudara saya dia kena santau, ustaz boleh tolong tak macamana nak tolong dia?
Jawapan :
Jjika tak mampu nak berubat sendiri maka boleh mencari pengamal perubatan Islam dan minta tolong ustaz yang sepenuh masa mengadakan rawatan gangguan sihir, santau dan saka. Kita berikhtiar hanya Allah SWT saja yang menyembuhkannya.
Boleh juga mencuba melakukan rawatan membuang sihir dengan cara-cara berikut :
1. Ambil tujuh helai sirih hijau atau daun teratai. Tumbuk dengan batu, besi atau apa saja sehingga lumat (boleh juga guna alat penghancur letrik - blinder)
2. Masuk tumbukan daun sirih atau daun teratai itu dalam satu mangkuk besar. Isi dengan air secukupnya untuk minum dan mandi seluruh badan.
3. Letakkan telapak tangan kananmu pada air yang sudah diisi tumbukan daun sirih.
4. Sentuhkan bibirmu pada mangkuk, sehingga nafas atau sebahagian dari ludahmu mengenainya.
5. Bacakan ayat-ayat berikut :
a. Baca Ayat Kursi. (Surah al-Baqarah ayat 255)
b. Bacakan Surah al-Kafirun.
c. Baca Surah al-Ikhlas.
d. Baca Surah al-Falaq.
e. Baca Surah an- Nas.
(Ayat-ayat dibawah adalah ayat penawar sihir)
f. Baca Surah al-A'raf ayat 117-119.
g. Baca Surah Yunus ayat 79-82.
h. Baca Surah Thaha ayat 65-69.
Setelah dijampi dengan ayat-ayat al-Quran di atas air itu diminumkan kepada si sakit, kemudian mandikan ia dengannya. Ulangi seminggu sekali dan sesudah itu in syaa Allah , sihir itu tidak akan ada lagi.
[Yakinlah kepada Allah SWT bahawasanya hanya Dia sahaja yang akan menyembuhkan segala penyakit termasuk penyakit disebabkan sihir hasil perbuatan jin dan syaitan]
1135. Soalan : Ustaz. saya mahu tanya ....Apakah ada syurga di bawah telapak kaki suami? Kalau ada, apa hadis nya.
Jawapan :
Tidak ada hadis yang menjelaskan syurga isteri di bawah tapak kaki suami. yang ada adalah dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dari Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
لَوْ كُنْتُ آمِرًا لِأَحَدٍ أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا
“Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada orang lain nescaya aku akan memerintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya.” (HR. at-Tirmidzi, beliau berkata, "Hadis ini hasan”).
“Wanita (isteri) mana saja yang meninggal dalam keadaan suaminya redha kepadanya nescaya ia akan masuk syurga.” (HR. At-Tirmidzi )
Tetapi redha suami kepada isterinya akan mendapat redha Allah SWT kerana derhaka isteri kepada suaminya akan mendapat kemurkaan Allah SWT. Setiap pergerakkan isteri untuk keluar rumah perlu mendapat keizinan suami dan tidak boleh bawa masuk kerumah suaminya orang yang tidak di sukai oleh suaminya.
Nabi bersabda maksudnya, "Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita,bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit sekali golongan kamu yang dapat melakukan demikian." (Hadis Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)
No comments:
Post a Comment