Monday, September 29, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 163 (Cara Duduk Tahyat Akhir, Tak Terima Takdir Allah, Hadis Palsu Wanita Melahirkan Anak, Bersalaman Dengan Kanak-kanak Dan Perbezaan Qarin Dan Syaitan.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 163 adalah menjelaskan persoalan cara duduk tahyat akhir, tak terima takdir Allah, hadis palsu wanita melahirkan anak, bersalaman dengan kanak-kanak dan perbezaan qarin dan syaitan.

771. Soalan :  Saya menghadapi kesukaran semasa duduk tahyyat awal & akhir atas faktor berat badan. Tapi saya pastikan perut ibu jari mencecah lantai. Tapi saya mmg x dpt nak duduk selurus2nya

Jawapan : 

Sebaik-baiknya duduk yang sempurna tahyat awal seperti gambar di atas tetapi jika kaki kanan tak mampu di lentikkan kelima-lima jari pastikan perut ibu jari dapat di lentikkan . Begitu juga semasa duduk tahyat akhir pastikan ibu jari kaki kanan dapat dilentikkan.
 

Jika tak boleh semua sebahagian pun boleh ikut kemampuan kita. Boleh duduk saudara seperti tahyat awal kerana keuzuran tersebut. Dalam mazhab lain tahyat akhir mereka cara duduk adalah seperti tahyat awal.
 

Duduk tahiyat akhir sepertimana yang biasa dilakukan orang Islam adalah merupakan duduk yang tepat berdasarkan hadis sahih.

Antaranya hadis Abu Humaid As-Sa’idi yang meriwayatkan sifat solat Nabi SAW:

فَإِذَا جَلَسَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ جَلَسَ عَلَى رِجْلِهِ الْيُسْرَى وَنَصَبَ الْيُمْنَى وَإِذَا جَلَسَ فِي الرَّكْعَةِ الْآخِرَةِ قَدَّمَ رِجْلَهُ الْيُسْرَى وَنَصَبَ الْأُخْرَى وَقَعَدَ عَلَى مَقْعَدَتِهِ

" Dan apabila baginda duduk pada raka’at kedua (tahiyat awal), maka baginda duduk di atas kaki kirinya dan menegakkan kaki kanan (duduk iftirash), dan jika beliau duduk pada raka’at terakhir, maka beliau mengedepankan kaki kirinya dan menegakkan kaki kanan, dan duduk di atas tempat duduknya (duduk tawarruk) ". (HR. Bukhari)

Hadis ini membezakan antara duduk tahiyat awal dan akhir. Dan cara duduk tersebut merupakan yang paling afdal bagi kedua-dua keadaan duduk ini.

Imam Nawawi menjelaskan: jika seseorang itu meninggalkan duduk yang sunnah ini, solatnya tidak terbatal. Begitu juga dengan apa jenis duduk sekalipun, samada seseorang itu terbalikkan duduk tahyiat awal (iftirash) dengan duduk tahiyat akhir (tawarruk) atau duduk berlunjur atau bersila atau lain-lain jenis duduk, semua ini tidak membatalkan solat, tetapi dia dikira telah meninggalkan sunnah yang afdal.

Wallahu a'lam


772. Soalan :  Apa hukum seseorg itu menyalahkan takdir ataupn ujian yg Allah berikan kepadanya tidak Kira samada sesuatu ujian itu ringgan mahupn berat.

Jawapan : 

Apabila seseorang tak redha di atas qada dan qadar yang berlaku dan menyalahkan takdir dia berdosa besar dan boleh menjejaskan akidahnya kerana rukun iman ke 6 adalah Percaya kepada Qada' dan Qadar

Kita wajib percaya bahawa segala sesuatu yang telah terjadi dan yang akan terjadi, semuanya itu, menurut apa yang ditentukan dan ditetapkan oleh Tuhan Allah, sejak sebelumnya (zaman azali). Jadi segala sesuatu itu (nasib baik dan buruk) sudah diatur dengan rencana-rencana tertulis atau batasan-batasan yang tertentu. Tetapi kita tidak dapat mengetahuinya sebelum terjadi. Rencana sebelumnya itu Qadar atau Takdir bermaksud ketetapan. Terlaksananya berupa kenyataan, dinamakan Qada bermaksud keputusan perbuatan (pelaksanaan). Sebahagian Ulama’ menamakan takdir itu juga qada dan qadar. 


Firman Allah SWT maksudnya, " Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (Surah Al-Hadid ayat 22-23)"

773. Soalan : Ustaz, saya nak tanya soalan, Benarkah seorang wanita islam apabila melahirkan bayi maka dosanye terhapus dan seperti bayi tiada apa-apa dosa ustaz?
Benarkah hanya terhapus dosa kita jika kita orang yg taat pd perintah ALLAH saja seperti solat tak tinggal?, dan perempuan islam yg tak solat tidak terhapus dosanye apabila melahirkan bayi?


Jawapan : 

Hadis Palsu – Kelebihan Ibu Mengandung dan Melahirkan anak.

KEPALSUAN hadis kelebihan ibu yang mengandung dan melahirkan anak ;

“Apabila seorang wanita redha atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya dia mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya di jalan Allah dan jika dia merasa sakit hendak bersalin, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah.”

Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Awsath, al-Hasan bin Sufyan dalam Musnadnya, Ibn ‘Asakir dan al-Dailami. Hadis ini dihukum PALSU oleh Ibn Hibban dalam al-Majruuhiin, Ibn al-Jauzi dalam al-Maudhuu’aat, al-Suyuthi dalam al-Aalii al-Masnuu’ah, al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah wa al-Maudhuu’ah.

Berkata Ibn Hibban :

وقد روى عن أنس بن مالك حديثا موضوعا يشهد الممعن في الصناعة بوضعه، لا يحل ذكره في الكتب إلا على وجه الاختبار للخواص.

Beliau (‘Amr bin Sa’iid) meriwayatkan satu hadis palsu dari Anas bin Malik, mereka yang meneliti hadis ini dengan baik pasti dapat mengenal pasti kepalsuannya. Tidak halal meriwayatkan hadis ini dalam mana-mana kitab kecuali untuk tujuan menguji mereka yang arif dalam bidang ini.

(Lihat : Ibn Hibban, al-Majruuhiin, 2/68)

Kepalsuan hadis ini tidak bermakna ibu yang mengandung dan melahirkan tidak mendapat ganjaran pahala dari Allah. Bukankah keumuman hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam menyebut : “Tidaklah seorang mukmin itu ditimpa kepenatan, kesakitan, perkara yang tidak disukainya, kesedihan, bahaya (yang disebabkan oleh orang lain) dan kerisauan, hatta duri yang mencucuknya kecuali Allah akan mengampunkan dosa-dosanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dan cukuplah juga kepayahan ibu mengandung, melahirkan dan menjaga anak ini digantikan oleh Allah dengan kedudukan ibu yang sangat tinngi di sisi Allah SWT.
 

Hadis palsu adalah hadis yang bukan datangnya daripada Rasulullah SAW tetapi di reka cipta oleh mereka yang suka berdusta seperti golongan Syiah yang telah memalsukan hadis sebanyak puluhan ribu hadis. 

Hadis palsu juga orang yang meriwayatkan hadis tersebut di kenali sebagai seorang pendusta, fasik, atau seorang munafik. Hadis yang saya bawa di atas adalah contoh hadis palsu mengenai kelebihan ibu yang mengandung. Seorang ibu yang melahirkan anak tak akan menghapuskan semua dosa-dosanya tetapi dia mendapat pahala jika bersabar di atas kesusahan melahirkan anak. 

Dosa akan di hapuskan apabila seseorang bartaubat nasuha bukan kerana melahikan anak. Contoh hadis sahih adalah hadis riwayat Bukhari : "Tidaklah seorang mukmin itu ditimpa kepenatan, kesakitan, perkara yang tidak disukainya, kesedihan, bahaya (yang disebabkan oleh orang lain) dan kerisauan, hatta duri yang mencucuknya kecuali Allah akan mengampunkan dosa-dosanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

774. Soalan : Ustaz, saya nak tanya. Seorg perempuan yg dah berumur lebih 60 tahun, ada wuduk tiba seorang kanak2 lelaki belum baligh hulur tangan bersalam dgn perempuan tersebut. Batal tak wuduk perempuan tersebut...

Jawapan : 

Mufti Brunei di dalam membicarakan adakah batal wuduk sentuhan di antara lelaki dewasa dengan kanak-kanak perempuan : Bersentuhan Kulit Dengan Kanak-Kanak Dalam Keadaan Berwuduk :

Sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama, wuduk menjadi batal jika persentuhan kulit berlaku antara lelaki dewasa dan perempuan dewasa yang dikatakan mencapai tahap memiliki syahwat mengikut ‘uruf (kebiasaan).

Ini bererti, wuduk tidak batal jika berlaku persentuhan kulit antara dua orang kanak-kanak kerana tidak ada kemungkinan syahwat. Berbeza halnya jika bersentuhan dengan lelaki atau perempuan yang cukup tua, wuduk tetap batal walaupun tidak ada kemungkinan syahwat kerana mereka adalah antara orang sudah mencapai tahap memiliki syahwat.

Jika persentuhan kulit itu berlaku di antara orang dewasa dan kanak-kanak, perlulah diperhatikan keadaan seperti contoh berikut:

Contoh:

Persentuhan kulit di antara A (lelaki dewasa) dan B (kanak-kanak perempuan);

1) Jika persentuhan kulit berlaku antara A dan B, maka wuduk kedua-duanya tidak batal kerana wuduk tidak batal jika persentuhan kulit berlaku dengan salah seorang darinya adalah kanak-kanak yang belum lagi mencapai had memiliki syahwat.

2) Jika persentuhan kulit berlaku dan secara jelas B sudah mencapai had memiliki syahwat walaupun B masih di peringkat umur kanak-kanak pada kebiasaannya, maka wuduk kedua-duanya (A dan B) batal dan tetap batal sekalipun tidak bersyahwat semasa persentuhan berlaku.

3) Jika persentuhan kulit berlaku dan tidak jelas ( di luar pengetahuan) adakah B sudah mencapai had memiliki syahwat, maka wuduk kedua-duanya (A dan B) tidak batal kerana wuduk tidak batal jika merasa syak atau ragu sama ada perempuan atau lelaki berkenaan masih dikira kanak-kanak yang belum bersyahwat atau sebaliknya.

Perkara ini tertakluk kepada keyakinan seseorang. Keyakinan adalah disyaratkan dalam perkara ini. Dalam erti kata lain, wuduk tidak batal jika dihadiri rasa syak atau ragu adakah seseorang yang dengan kita bersentuhan itu adalah dikira kanak-kanak ataupun sebaliknya.

Untuk memudahkan, berikut adalah perkara yang perlu diambil perhatian sebagai sukat-sukat dalam menilai seorang kanak-kanak itu menurut pandangan syara‘.

Siapakah Yang Dimaksudkan Dengan Kanak-Kanak?

Secara amnya, menurut istilah para fuqaha, kanak-kanak itu ialah seseorang yang belum baligh. Baligh bermaksud kanak-kanak yang sudah cukup umur, iaitu apabila umurnya sudah mencapai 15 tahun ataupun kanak-kanak lelaki bermimpi sehingga keluar air mani, manakala kanak-kanak perempuan telah keluar haid dalam jangka umur antara 9 hingga 15 tahun.

Dari keterangan di atas, peringkat kanak-kanak itu ialah dari semenjak lahir sehingga mencapai peringkat baligh.

Terdapat dua peringkat akan dialami oleh setiap kanak-kanak normal iaitu:

1) Peringkat Belum Mumaiyiz: Bermula dari sejak kelahiran sehinggalah kanak-kanak itu mencapai umur mumaiyiz. Secara kebiasaannya kanak-kanak yang belum mumaiyiz ini berusia tidak lebih dari 7 tahun.

2) Peringkat Mumaiyiz: Bermula dari sejak kanak-kanak itu berkemampuan untuk membezakan di antara sesuatu dengan sesuatu yang lain, dapat membezakan antara sesuatu yang bermanfaat dan yang memudaratkan.

Peringkat kanak-kanak yang mencapai tahap mumaiyiz tiada had umur yang tertentu tetapi berpandukan pada kebolehannya dalam menentukan setiap perbuatan yang hendak dilakukannya. Berakhir peringkat ini apabila mencapai tahap baligh.

Dari satu sudut lagi, kanak-kanak itu ialah yang menurut kebiasaan umum tidak ada kemungkinan syahwat, lawan kepada dewasa iaitu orang yang telah mencapai had memiliki syahwat.

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Syahwat?

Syahwat ialah perasaan atau naluri semulajadi yang ingin atau cenderung terhadap sesuatu dan sebahagian besarnya adalah perasaan atau naluri yang ingin atau cenderung kepada kelazatan.

Adapun syahwat yang dimaksudkan dalam konteks membatalkan wuduk ini adalah yang dinamakan syahwat jinsiyyah iaitu gelora hati dan perasaan yang suka atau ingin terhadap kaum lawan jenis yang juga kadang-kadang bercampur baur dengan rasa keinginan sehingga boleh membangkitkan rangsangan fizikal apabila memandang atau memegang sesuatu.

Di dalam kitab I‘anah ath-Thalibin disebutkan bahawa sukat-sukat syahwat bagi seorang lelaki adalah dengan adanya rangsangan fizikal pada anggota tertentu manakala bagi seorang perempuan adalah dengan kecenderungan hati atau berkeinginan terhadap lelaki.

Batalkah Wuduk Jika Bersentuhan Dengan Kanak-Kanak Bukan Islam?

Salah satu perkara membatalkan wuduk ialah bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dengan tidak berlapik. Sebaliknya wuduk tidak batal jika persentuhan kulit berlaku antara sesama jenis, sesama khuntsa, khuntsa dengan lelaki atau khuntsa dengan perempuan sama ada mereka Islam atau bukan Islam.

Demikian juga halnya dengan yang melibatkan kanak-kanak bukan Islam. Hukum lelaki dewasa dan perempuan dewasa bersentuhan dengan kanak-kanak bukan Islam adalah sama juga dengan kanak-kanak Islam dalam perkara wuduk ini sebagaimana menurut pendapat para ulama fiqh.

Berdasarkan keterangan di atas, apa yang dapat difahami, tiada had umur tertentu bagi menentukan kanak-kanak yang batal dan yang tidak batal wuduk apabila bersentuhan dengannya. Tetapi memadai dengan berpandukan pada keyakinan dan pengetahuan seseorang dalam menilainya serta dengan berpandukan kepada ‘uruf atau kebiasaan sesuatu tempat dan masyarakat.

Wuduk tidak batal jika menyentuh atau tersentuh kulit bayi atau kanak-kanak yang pada zahirnya tidak ada kemungkinan syahwat dan tidak menimbulkan syahwat.

Namun perlu diingat, wuduk akan tetap batal jika menyentuh atau tersentuh kemaluan walaupun kemaluan bayi atau kanak-kanak kerana menyentuh atau tersentuh kemaluan dengan jari atau bahagian dalam tangan (tapak tangan) yang tidak berlapik sama ada sengaja atau tidak sengaja juga merupakan antara perkara yang membatalkan wuduk.

Selain itu, wuduk ahli keluarga angkat juga akan batal jika bersentuhan dengan anak angkat bukan susuan kepada ibu angkat apabila anak tersebut sudah mencapai tahap memiliki syahwat kerana kedudukan hubungan anak angkat dengan keluarga angkat tetap tidak berubah seperti asalnya. Dia tetap dianggap orang asing dalam lingkungan keluarga angkatnya kecuali jika ada pertalian mahram atau setelah disusukan oleh ibu angkatnya dengan mengikut dan memenuhi syarat penyusuan yang ditetapkan syara‘.
 

Berdasarkan hutaian di atas wanita berusia 60 tahun bersalaman dengan kanak-kanak lelaki tadika yang belum baligh tak membatalkan wuduk. atau kanak-kanak lelaki yang telah mumaiyiz tetapi belum baligh dan tidak ada rasa syahwat maka tak batal wuduk.

775. Soalan : Mohon pencerahan apa bezanya di antara qarin dan syaitan?

Jawapan :  

Qarin adalah jin pendamping manusia yang di kirim oleh Allah SWT bersama kelahiran seorang bayi. Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Tidak ada sesiapa diantara kamu melainkan baginya ditugaskan Qarin dari kalangan Jin, Mereka berkata : 'Walaupun kamu Ya Rasulullah?', Baginda menjawab : 'Walaupun Aku, akan tetapi Allah menolongku dan aku selamat darinya (atau - mengIslamkannya), maka dia hanya akan memerintahku melakukan perkara yang baik" (Hadis Riwayat Muslim)

Qarin adalah sejenis jin yang berdamping dengan manusia. Qarin di sini adalah makhluk halus (dikalangan jin) yang mengiringi kelahiran seseorang bayi. Qarin suka menghasut manusia kearah kejahatan, melainkan qarin Nabi S.A.W. yang telah ditundukkan oleh baginda. 


Dalam riwayat yang lain , "Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermak­sud: "Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan den­gan seorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya daripada kalangan malaikat. Sahabat bertanya: Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Dan aku pun. Akan tetapi Allah menolong aku daripada gangguannya, maka tidak­lah ia mendorong saya, kecuali kepada kebaikan." Firman Allah S.W.T. maksudnya : ( Syaitan) yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: 'Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong'. (Allah berfirman) : 'Janganlah kamu bertengkar dihadapan-Ku, dan sungguh, dahulu Aku telah memberikan ancaman kepadamu.'. Keputusan-Ku tidak dapat diubah dan Aku tidak menzalimi hamba-hamba-Ku."
(Surah Qaf ayat 27-29)

Menurut Ibn Kathir rh, ayat "(qarin) syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata : "Ibn Abbas r.a, Mujahid, Qutaadah dan lain-lain mengatakan bahawa ia merujuk kepada 'syaitan' yang ditugaskan berdamping dengannya".

Disifatkan bahawa qarin ini pada hari kiamat tidak mengaku telah menyesatkan manusia, lalu mengatakan bahawa manusialah yang menyesatkan diri mereka sendiri. Seterusnya Ibn Kathir rh. memetik firman Allah S.W.T. menyatakan tugasan syaitan setelah berjaya menyesatkan manusia :-

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan berkatalah pula syaitan setelah selesai perkara itu: Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya." (Surah Ibrahim ayat 22)

Ibn Kathir rh menerangkan bahawa apabila dihadapan Allah kelak, kedua-dua manusia dan qarin saling menuduh diantara satu sama lain. Seterusnya Allah S.W.T. mengatakan bahawa semuanya sudah di hakimi, dan Allah hanya akan mengazab dosa yang ditanggung oleh masing2 dan bukan dosa orang lain. [Mukhtasar Tafsir al-Quran al-Azhim - Umdah al-Tafsir 'an al-hafiz Ibn Kathir 3/371, Dar el-Wafa' 2003. syiekh Ahmad Muhammad Syakir]
 

Syaitan adalah anak, cucu cicit keturunan iblis. Syaitan adalah zuriat keturunan Iblis hasil perkahwinan beliau dengan jin perempuan yang menjadi pengikutnya.

Iblis mempunyai 5 anak utama yang memegang lima kementerian iaitu Tsabar (kementerian musibah), Dasim (kementerian cerai berai rumah tangga), Al-A'war (kementerian perzinaan), Maswath (kementerian pembohongan) dan Zalnabur (kementerian pergaduhan dan pembunuhan).

Semua zuriat keturunan Iblis melalui lima orang anak-anaknya adalah kafir yang dipanggil syaitan. Jumlah mereka adalah ramai dan membiak setiap hari hingga jumlahnya berbillion . sesiapa diantara mereka dan menyesatkan manusia dan membuat maksiat akan diberikan mahkota tanda penghargaan Iblis kepada jasa-jasa cucu cicitnya menjalankan tugas dengan jayanya.

Menurut Muhammad Isa Dawud dalam bukunya bertajuk 'Dialog dengan Jin Islam' kerajaan Iblis yang besar adalah terletak di Segitiga Bermuda. Kerajaan Amerika telah membuat kajian terhadap kawasan laut di Segitiga Bermuda melalui satelit canggih yang mereka temui adalah satu dataran yang sangat luas dan terdapat bunyi suara hiruk-pikuk dan tak dikenali, yang tidak ada kaitan langsung dengan suara-suara di dasar laut yang biasa diketahui.

Pernah berlaku seorang juruterbang muslim melalui di laut Segitiga Bermuda dan semua alat-alat letronik di pesawat yang dibawa rosak dan tidak berfungsi dan ditarik seperti magnet kebawah, juruterbang itu teringat Allah S.W.T. dan beliau azan sekuat-kuatnya dengan tiba-tiba alat-alat letroniknya berfungsi semula dan beliau terselamat dari terhempas di Segitiga Bermuda. Ini menandakan bahawa misteri Segitiga Bermuda sebenarnya adalah ibu pejabat kerajaan Iblis melakukan operasinya keseluruh dunia.

Huraiannya adalah seperti berikut :

1. Tsabar

Dia adalah jenis syaitan yang selalu mendatangi orang yang sedang kesusahan atau tertimpa musibah, baik kematian anak atau kerabat dan lain-lain. Kemudia dia melancarkan bisikan dan menyatakan permusuhan kepada Allah S.W.T. Di ucapkannya, melalui mulut orang yang tertimpa musibah itu. Keluk kesah, caci maki , tidak reda dengan qadak dan qadar terhadap ketentuan Allah atas dirinya. Untuk menghindarkan ini bacalah doa ini .

"Aku berlindung kepada Allah dari gangguan syaitan, Tsabar yang terkutuk, serta pengikut-pengikut dan anak-anaknya."

2. Dasim.

Dia adalah jenis syaitan yang yang selalu berusaha untuk mencerai beraikan ikatan perkahwinan, mengobarkan rasa benci satu sama lain dikalangan suami isteri, sehingga terjadi penceraian. Dia adalah anak kesayangan Iblis di wilayah kerajaannya yang sangat besar. Dia juga suka menggoda seseorang supaya suka mendedahkan aib orang lain hingga orang itu menjadi marah. Untuk menghadapinya hendaklah baca doa ini :

"Aku berlindung kepada Allah dari gangguan syaitan, Dasim yang terkutuk, serta pengikut-pengikut dan anak-anaknya."

3. Al-A'war.

Dia adalah jenis syaitan yang pakar dalam mengalakkan perzinaan. Anak-anaknya menghiaskan indah bahagian bawah tubuh kaum wanita ketika keluar rumah. Wanita yang keluar rumah dengan berhias diri dan tidak menutup aurat sangat disukai oleh Iblis, Al-A'war dan anak-anaknya kerana mereka bekerja untuk meruntuhkan akhlak, moral dan mengalakkan perzinaan.

4. Maswath.

Dia adalah syaitan jenis yang pakar dalam membuat pembohongan-pembohongan besar atau kecil. Bahkan kejahatan yang Maswath dan anak-anaknya lakukan sampai pada tingkat dia memperlihatkan diri dalam bentuk manusia dan duduk dalam satu pertemuan yang diselenggarakan oleh manusia, lalu menyebarkan kebohongan yang pada gilirannya disebarkan pula oleh manusia.

5. Zalnabur.

Dia adalah syaitan yang berkeliaran dipasar-pasar di seluruh dunia. Merekalah yang mengobarkan pertengkaran, caci maki, perselisihan dan bunuh membunuh antara sesama manusia

Menurut bahasa Arab adalah ruuhun syariirun atau roh yang sangat jahat/buruk atau suatu kehidupan yang sangat buruk atau pendurhaka yang merusak”. Sedangkan syaitan secara istilah adalah sifat yang jahat yang tersembunyi dalam diri jin dan manusia yang dapat menimbulkan kerusakan dan kehancuran.

Jadi syatan adalah sebutan dari kalangan jin dan manusia yang jahat. Hal ini sesuai dengan definisi Allah mengenai syatan dalam Al Quran maksudnya :

“Syaitan yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia dari (golongan jin dan manusia)” (Surah an-Naas ayat 5-6)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “ Dan demikian Kami jadikan bagi tiap – tiap nabi itu musuh, yaitu syaitan-syaitan dari jenis manusia dan dari jenis jin. Sebagian lagi membisikkan kepada sebagian lagi perkataan – perkataan yang indah – indah untuk menipu manusia. Jikalau Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan,” (Surah al-An’am ayat 112)
 

Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa syaitan adalah anak keturunan Iblis dan juga jin kafir yang menjadi pengikut Iblis bersama-sama menggoda manusia dan menimbulkan kesesatan dan kebencian. Syaitan yang berbentuk manusia pula adalah manusia jahat yang menjadikan amalan dan perbuatan Iblis itu sebagai amalannya.

Diantara sifat syaitan itu adalah sifat sombong, bongkak, sesat dan cinta terhadap kejahatan. Jin yang bersifat sombong dan bongkak dan cinta kejahatan disebut sebagai syaitan. Manusia yang memiliki sifat tersebut disebut juga syaitan. Syaitan dari jenis manusia dan syaitan dari jenis jin yang ditetapkan Allah sebagai musuh para nabi itu menperdaya sebagian yang lain dengan kata-kata indah yang dibisikannya. Yang dimaksud dengan membisikkan disini adalah kerja-kerja menipu dan mendorongnya untuk berbuat sombong, sesat dan maksiat kepada Allah Azza Wa Jalla.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “ Dan orang-orang kafir berkata, “ya Tuhan kami perlihatkanlah kepada kami dua jenis orang yang telah menyesatkan kami (yaitu) sebagian jin dan manusia agar kami letakkan keduanya di bawah telapak kami kami supaya kedua jenis itu menjadi orang-orang yang hina” (Surah Fusshilat ayat 29)

Sedangkan syaitan itu menurut Al-Quran Al-Kariem adalah makhluk yang kerjanya mengajak kepada perbuatan jahat dan keji serta berbohong.

No comments:

Post a Comment