Sunday, September 21, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 155 ( Hukum Makan Ulat, Sedekah Boleh Ubati Penyakit, Minum Ketika Khutbah, Hukum Onani, Melambatkan Solat.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 155 adalah menjelaskan persoalan hukum makan ulat, sedekah boleh ubati penyakit, minum ketika khutbah, hukum onani, melambatkan solat.

731. Soalan : Ustaz..mohon penjelasan..saya pernah dengar ulat sagu tidak haram dimakan kerana sumber makanan ulat tersebut adalah daripada sagu itu sendiri. ada yang kata haram? Mana satu yang betul minta pencerahan

Jawapan : 

Ulat sagu jelas haram di makan.Dalam mazhab Syafi`i segala macam ulat dihukumkan haram memakannya.

Yang diistisna` (dikecualikan) hanyalah ulat yang terwujud dalam cuka atau buah-buahan yang sukar hendak dibezakan apa lagi untuk dibuang, yang dimakan bersama-sama cuka atau buah-buahan tersebut (yakni lebih tepat diistilahkan sebagai "termakan bersama-sama iaitu yang dimakan adalah buah sedangkan ulatnya ikut termakan sekali".


Jadi menjadi satu syarat yang ianya dimakan bersama - sama buah tersebut kerana sukar hendak dibezakan dan dibuang. Jika ulat-ulat tersebut boleh dipisahkan dari buah-buahan, maka tetaplah hukumnya haram dimakan. Perkara ini dibincangkan dalam kitab-kitab fiqh mu'tabar dalam mazhab seperti "Minhajuth Tholibin" halaman 130 dan 132 serta syarahnya pada "Tuhfatul Muhtaj" juzuk 9 halaman 369 dan 445. 

Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, ulama besar pengarang kitab "Sabilal Muhtadin" dengan jelas pada juzuk 1 halaman 38 menyatakan sebagai berikut:- Bahawasanya telah dinashkan oleh ulama atas bahawasanya tiap-tiap ulat, dan jika ada ia suci pada ketika hidupnya sekalipun, HARAM memakan dia.


Ulama-ulama Sarawak termasuklah almarhum Shohibus Samahah Datuk Haji `Abdul Qadir Hasan, turut tidak ketinggalan mengeluarkan fatwa mengenai haramnya memakan ulat mulong ini. Ketahuilah bahawa makan ulat mulong itu adalah haram hukumnya sebagaimana haramnya makan ular dan katak dan beruk dan kera menurut mazhab Syafi`i. Jadi eloklah berhenti dan jika dikatakan rasanya seperti rasa udang, maka eloklah beli udang dan makanlah udang."


732. Soalan : Ustaz.adakah sedekah disertakan niat untuk mengharapkan kesembuhkan sesuatu penyakit dibenarkan dalam islam.ada pandangan menyatakan,tak boleh mengharapkan balasan..takut2 tak ikhlas..dan nabi ada tak menyarankan tentang sedekah sebagai penyembuh penyakit..?

Jawapan : 

Tidak menjadi kesalahan jika kita bersedekah mohon kepada Allah SWT supaya keberkatan sedekah ini menjadi asbab pulihnya penyakit yang kita hadapi. Yang sembuhkan penyakit adalah Allah SWT dan jika kita bersedekah dengan kebaikan kedekah tersebut Allah SWT izinkan bahawa di kurniakan kesembuhan daripada penyakit yang di hadapi.
 Terdapat 9 kebaikan bersedekah. Terdapat banyak lagi kelebihan dan keistimewaan sedekah dan diantaranya ialah sebagai penyembuh penyakit, ini bersesuaian dengan hadis dibawah :


دَاوُوْا مَرْضَاكُمْ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya, “Ubatilah orang yang sakit di antara kamu dengan sedekah.” (HR. Thabrani dan Baihaqi)

Di zaman moden ini terdapat banyak penyakit yang timbul dan cukup merungsingkan. Sehingga ada penyakit yang tidak ditemui penawar buat masa kini walaupun begitu sebagai orang islam kita boleh ikhtiar untuk merawat penyakit dengan sedekah.

Bukankah penyakit yang menimpa seseorang merupakan ujian dari Allah SWT. Rasulullah SAW telah bersabda :


فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَ مَالِهِ وَ نَفْسِهِ وَ وَلَدِهِ وَ جَارِهِ يُكَفِّرُهَا الصِّيَامُ وَالصَّلاَةُ وَالصَّدَقَةُ وَاْلأَمْرُ بِالْمَعْرُوْفِ وَالنَّهْيُ عَنِ الْمُنْكَرِ

“Ujian yang menimpa seseorang pada keluarga, harta, jiwa, dan jiran boleh dihapuskan dengan puasa, solat, sedekah dan amar makruf nahi mungkar” (HR Bukhari dan Muslim)

Oleh itu bersedekahlah dengan harta yang baik yang dikurniakan oleh Allah SWT kerana Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik. Ini sesuai dengan Firman Allah SWT

“Wahai orang beriman nafkahkanlah sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik…” (Surah al-Baqarah :267)

Seterusnya niatkanlah ketika bersedekah iaitu sebagai penyembuh sebagaimana di dalam hadis

“Setiap amal itu tergantung niatnya dan setiap orang mendapatkan sesuai apa yang ia niatkan” (HR Bukhari)

Ikhlas ketika bersedekah merupakan satu tuntutan agar ianya diterima disisi Allah SWT. Selain itu pilihlah orang yang betul-betul memerlukannya supaya amalan sedekah sempurna. Itulah diantara adab-adab yang perlu dijaga ketika bersedekah.

Semoga Allah SWT menyembuhkan segala penyakit yang dihadapi oleh umat islam dan menambah nikmat kepada orang-orang yang beriman.


733. Soalan : Pada hari solat jumaat ketika mendengar kutbah sy terlalu dahaga dan membawa sebotol air mineral, sambil mendengar sambil minum.setelah masuk waktu solat jumaat saya terus solat, boleh ke ustaz? Sah tak solat saya..

Jawapan :  

Kebanyakkan Ulama’ moden menyatakan bahawa tidak menjadi masalah bagi Imam untuk meneguk air semasa menyampai khutbah Jumaat. Didalam kitab al-Majmu’, Imam al-Nawawi rh menjelaskan bahawa : “adalah makruh kepada sesiapa yang minum air sebab suka-suka, dan Tidak menjadi masalah minum air kerana kehausan kepada Makmum dan juga Khatib, ini adalah pandangan mazhab kami . Berkata Ibn Munzir : Ia adalah ruhsah didalam perbuatan minum menurut pandangan Thawus, Mujahid, Syafie. Perbuatan tersebut ditegah oleh Mazhab Malik, ‘Auzaie dan Ahmad. Berkata Auzaie : BATAL Jumaat jika Imam yang berkhutbah minum….”.

Didalam syarah Fath al-Qadir menjelaskan bahawa Mazhab Hanafi dan Maliki mengharamkan makan dan minum sewaktu khutbah. Didalam Hasyiah ‘Adawi, sebuah kitab Mazhab Maliki ada menyatakan bahawa adalah dilarang apa-apa yang bertentangan dengan perbuatan mendengar Khutbah, jika perbuatan mendengar bertukar kepada makan, minum, mengerak-gerakkan kertas atau pakaian, membuka pintu, atau mengerakkan tasbih atau pun membaca nota.

Didalam forum Multaqa Ahl Hadith, Syiekh Ayman al-Khalid ada menyebut bahawa meminum air tidak menjadi masalah bagi Imam, kerana mereka yang diarahkan untuk mendengar dan dilarang untuk tidak lalai darinya adalah mereka yang mendengar khutbah (iaitu makmum & bukan Imam). Lebih-lebih lagi jika ia diperlukan [oleh Imam, kerana kehausan, kering tekak, dsb]
 

Berdasarkan pendapat di atas majoriti ulama melarang makmum minum air semasa khatib berkhutbah walaupun ada yg mengharuskan maka sebaik-baiknya jangan minum semasa khutbah, cuba minum air sebelum khutbah dan minum air selepas solat adalah lebih baik.

734.Soalan : Saya nak tanya mengenai "masturbasi"... Jika seseorang itu melakukan masturbasi dengan sengaja (menggunakan tangan) hukumnya apa ustaz?

Jawapan : 

Perbuatan onani atau masturbasi adalah haram kerana mengeluarkan air mani dengan sengaja bukan di tempatnya. Para ulama mazhab Maliki, Syafi’i dan Zaidiyah berpendapat bahawa onani adalah haram. Alasan mereka akan pengharaman onani ini adalah bahawa Allah SWT telah memerintahkan untuk menjaga kemaluan dalam segala keadaan kecuali terhadap isteri mereka. Apabila seseorang tidak melakukannya terhadap isteri mereka kemudian melakukan onani maka ia termasuk kedalam golongan orang-orang yang melampaui batas-batas dari apa yang telah dihalalkan Allah bagi mereka dan beralih kepada apa-apa yang diharamkan-Nya atas mereka. Firman Allah SWT

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾
إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ﴿٦﴾
فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاء ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ﴿٧﴾

Maksudnya : “dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki. Maka Sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada terceIa. Barangsiapa mencari yang di balik itu. Maka mereka Itulah orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al Mukminun ayat 5 – 7)
 

Jika melakukan onani dengan tangan keluar air mani maka wajib mandi hadas besar. Jika bermimpi dan keluar air mani maka juga di wajibkan mandi hadas besar. Jika melakukannya tidak keluar air mani maka tak wajib mandi. Dalam Islam tak ada hukum hudud untuk mereka yang melakukan onani jika sabit kesalahan adalah boleh dikenakan takzir sahaja. Air Mazi adalah sejenis cecair jernih sedikit melekit dan kurang berbau yang keluar dari kemaluan lelaki dan wanita setiap kali ada rangsangan syahwat. Ia berbeza dengan Air Mani pula cecair melekit dan berbau kuat seperti klorok, yang keluar hanya di kemuncak syahwat semasa persetubuhan atau ia juga boleh keluar di kemuncak syahwat apabila seseorang melakukan kesalahan mastubarsi (onani).

Air Mani adalah sejenis cecair pekat, yang biasanya keluar dengan rasa kenikmatan. Berbeza dengan Air Mazi yang keluar tanpa sedar, hasil peningkatan syahwat. Air Mazi adalah najis dan perlu dibasuh sedangkan air mani pula jika keluar, seseorang itu perlu mandi hadas ( MANDI WAJIB) untuk kembali menyucikan diri bagi melaksanakan ibadah khusus seperti solat dan membaca al-Quran.


735.Soalan : Apakah hukum nya jika sengaja melambatkan solat? Kadang2 solat subuh pn qada je sebab dh terlajak. Mohon penjelasan Ustaz. Terima Kasih.

Jawapan : 

Jika sengaja melambatkan solat di hujung waktu (masih ada waktu solat) hukumnya makruh tetapi melambatkan solat sehingga habis waktu hukumnya haram. Ancaman Allah neraka wail bagi mereka yang melalaikan solat sehingga habis waktu solat. Sila baca tafsir surah al-Maun ayat 4-7 

Jika bagun tidur terlewat (bukan di sengajakan) tidak berdosa tetapi yang berdosa adalah di lakukan dengan sengaja. Sudah terjaga waktu subuh tetapi sambung balik tidur sehingga habis waktu subuh. Jika saudara tertidur sehingga keluar waktu solat Subuh, maka saudara hendaklah segera bersiap-siap untuk mengqada solat Subuh. Jika tertinggal solat Zuhur umpamanya, dan dia sedar pada waktu Asar, maka hendaklah ia segera qadanya pada waktu Asar.

Mengqada solat adalah wajib, manakala menyegerakannya adalah sunat seperti satu hadis yang diriwayatkan Muslim, daripada Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tidur salah seorang kamu sehingga meninggalkan solat atau terlupa daripadanya, maka hendaklah ia segera solat apabila ia teringat kerana Allah SWT berfirman: “Dirikanlah kamu akan solat untuk mengingati-Ku.”


Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah, beliau berkata: “Mereka menyebut kepada Nabi SAW tentang tidur mereka sehingga terlepas waktu solat. Maka Baginda bersabda: Tidaklah sebab tidur dikira kecuaian. Kecuaian itu hanya dikira sekiranya dalam keadaan jaga. Maka apabila salah seorang kamu lupa sembahyang, atau tidur lena sehingga meninggalkan sembahyang, maka hendaklah ia sembahyang apabila dia ingat.”
 

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawasanya Saidina Umar datang pada Hari Khandaq, sesudah terbenamnya matahari, yang mana dia mencaci orang kafir Quraisy seraya beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku hampir tidak solat Asar, sehingga hampir matahari masuk (terbenam).

Maka Nabi SAW menjawab: Demi Allah aku pun belum sembahyang. Maka Baginda berwuduk dan kami pun berwuduk. Maka Baginda sembahyang Asar sesudah matahari masuk (terbenam), kemudian Baginda mengerjakan sembahyang Maghrib sesudahnya. Demikianlah, Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment