Wednesday, August 26, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 242 (Cara Nak Redha Di Atas Ujian Allah, Ikhlas Dalam Islam, Buku Kasut Semasa Ziarah Kubur, Isteri Bermusafir Tanpa Suami Dan Tiada Solat Musafir.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    


Tanyalah Ustaz Siri 242 adalah menjelaskan cara nak redha di atas ujian Allah, ikhlas dalam Islam, buku kasut semasa ziarah kubur, isteri bermusafir tanpa suami dan tiada solat musafir.

1166. Soalan : Macamana untuk kita belajar redha walaupun ada ketika rehda itu sakit tapi manis akhirnya . Terima kasih.

Jawapan :

 
Cara nak redha adalah kita merasakan semua kejadian yg berlaku ada hikmahnya di sisi Allah SWT. Jika kita sabar dan redha besar ganjarannya kepada Allah SWT.Sebagai insan biasa hidup kita tidak sunyi daripada kegembiraan dan kedukaan. Adakalanya kita berbahagia dan merasa seronok di atas kejayaan yang kita perolehi, tetapi tidak kurang juga merasai terharu kerana tidak tercapai hajat yang diimpikan. Kedua-dua perkara tadi adalah lumrah kehidupan.

Fitrah manusia mahukan semuanya berlaku seperti yang dirancangkan dengan sempurna . Namun, sebagai syarat bagi ujian di dunia, banyak perkara yang berlaku tidak seperti yang dijangkakan. Sementara seseorang merasakan keadaan hidupnya sekarang ini cukup selesa dan berbahagia, tetapi di masa akan datang belum tentu berlaku seperti yang dirancangkan, mungkin berlaku sebaliknya dan tampak merugikan pada tanggapan awal.

Dalam keadaan itu, apa yang menimpa orang mukmin adalah untuk menyedarkanya bahawa setiap kajadian bagi setiap detik kehidupan seseorang, pasti ada hikmah di sebaliknya. Seseorang perlu ingat bahawa setiap yang dijangkakan berlaku, mungkin berubah menjadi tidak baik baginya.

Dalam Surah Al-Baqarah, Allah SWT mengaitkan setiap apa yang manusia sangka baik, mungkin buruk manakala apa yang disangka buruk, adalah baik untuknya seperti firmanNya yang bermaksud :

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah ayat 216)

Di antara rahasia ayat ini bahwa ayat ini menghendaki seorang hamba untuk menyerahkan urusan kepada Zat yang mengetahui akibat segala perkara serta reda dengan apa yang Dia pilihkan dan takdirkan untuknya, kerana dia mengharapkan daripada Allah SWT akibat-akibat yang baik.

Dalam ayat yang lain firman Allah SWT maksudnya : “Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah Menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia memberikan kebaikan kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Surah Yunus ayat 107)

Seseorang yang berfikiran positif dan reda dengan takdir Allah SWT akan menilai setiap saat dalam kehidupannya dengan panduan al-Quran, iman, kebijaksanaan dan panduan mata hati meyakini bahawa Allah SWT adalah sebagai 'Penolong' dan 'Teman' yang sebenarnya, mencipta sesuatu dengan kebaikan. Walaupun nampak susahnya pada pandangan zahir . Dia juga tahu bahawa Allah SWT akan melindunginya dan dia tidak ragu-ragu meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Seseorang boleh melihat bagaimana takdir yang telah ditetapkan Allah SWT berlaku serta akibatnya hanya dalam waktu yang singkat. Takdir Allah SWT adalah suatu yang terbaik untuk kita.

Firman Allah SWT maksudnya : "Jika Allah Menolong kamu, maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu, tetapi jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapa yang dapat menolongmu setelah itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakal.” (Surah Ali ‘Imran ayat 160)

Kita perlu merancang kehidupan kita sebaik-baiknya. Jika berjaya apa yang kita rancangkan maka sebenarnya berlaku disebabkan keizinan Allah SWT maka hendaklah kita banyak bersyukur. Tetapi jika sekirannya rancangan kita gagal dan apa yang kita hajatkan tidak berhasil, percayalah itu semua berlaku disebabkan Allah SWT ada perancangan yang lebih baik untuk kita sedangkan kita tidak mengetahuinya. Hikmah dan hikmatnya yang tersirat berada di dalam ilmu Allah SWT. maka kita perlu banyak bersabar dan berbaik sangka dengan Allah SWT. Jika perkara ini kita boleh terima dan reda insya Allah kita akan menjadi hamba Allah yang dirahmati dan dikasihi-Nya di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT maksudnya : “Katakanlah, 'Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (ketentuan) Allah jika Dia "mengkehendaki bencana atasmu atau mengkehendaki rahmat untuk dirimu?” mereka itu tidak akan mendapatkan pelindung dan penolong selain Allah.” (Surah al-Ahzab ayat 17)


1167. Soalan : Ustaz boleh jelaskan pengertian KEIKLASAN. Secara terpeninci Dari sudup pandangan ulama?

Jawapan :


Sifat ikhlas adalah antara sifat terpuji yang menghiasi peribadi muslim bertakwa. Keikhlasan juga adalah asas penilaian di sisi Allah SWT sama ada amalan dilaksanakan setiap muslim diterima Allah SWT atau sebaliknya.

Maknanya, keikhlasan menjadi penentu kepada kejayaan dan kebahagiaan muslim di dunia dan di akhirat.

Jika ditinjau rangkaian ayat suci al-Quran, kita dapati betapa ciri keikhlasan adalah ciri utama bagi perhiasan peribadi muslim yang bertakwa.

Di antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya." (Surah al-Zumar, ayat 2).

Rasulullah SAW tidak ketinggalan memperlihatkan kepada kita akan kepentingan sifat ikhlas dibajai dalam sanubari muslim melalui sabda baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya segala amalan itu tergantung atas niat. Sesungguhnya bagi seseorang itu di atas apa yang dia niatkan. Maka sesiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah untuk Allah dan Rasul-Nya, dan juga sesiapa yang berhijrah kerana dunia atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya itu terpulang kepada niatnya dari penghijrahannya itu." (Hadis riwayat Bukhari).

Berdasarkan nas ini, dapat disimpulkan keikhlasan memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan amalan di sisi Allah SWT.

Yang lebih penting lagi ialah keikhlasan menjadi bukti kepada kesempurnaan dan ketulusan iman muslim kepada Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan diri pun kerana Allah, maka sesungguhnya dia mencapai kesempurnaan imannya." (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Sesungguhnya, sifat ikhlas amat penting disemai dan dibaja dalam hati setiap muslim dalam semua lapangan hidup agar dapat menempatkan dirinya di kalangan hamba Allah SWT yang bertakwa.

Perlu disedari sifat ini tidak hanya perlu diserlahkan ketika pelaksanaan ibadat seperti solat, puasa, sedekah dan haji, malah niat yang ikhlas akan meningkatkan mutu amalan yang dianggap keduniaan semata-mata dan menjadikannya sebagai satu ibadat diberi ganjaran pahala.

Sebaliknya, niat tidak baik seperti riak atau ujub (mengharap pujian ramai) akan menjatuhkan nilai sesuatu amalan walaupun ia adalah amalan ibadat dan akan menukarkannya menjadi amal maksiat yang pastinya disediakan balasan seksaan pedih di akhirat kelak.

Sehubungan itu, Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umat Islam agar menjauhi perkara boleh menodai dan menghakis sifat keikhlasan kepada Allah SWT seperti sifat riak, ujub dan sombong.

Pernah suatu ketika Rasulullah SAW menganggap riak itu sebahagian daripada syirik tersembunyi kepada Allah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sedikit daripada sifat riak itu adalah syirik. Maka sesiapa memusuhi wali Allah, nescaya dia memusuhi Allah. Sesungguhnya Allah amat mengasihi orang yang berbakti dan bertakwa serta tidak dikenali ramai akan hal ehwal dirinya. Jika mereka tidak ada dan hilang (ghaib) dalam mana-mana majlis, mereka tidak dicari, dan jika mereka hadir di situ, mereka tidak begitu dikenali ramai. Hati nurani mereka umpama lampu petunjuk yang menyuluh mereka keluar dari tempat gelap gelita." (Hadis riwayat Hakim).

Demikian gambaran indah diterangkan Rasulullah terhadap hamba-Nya yang mengikhlaskan diri kepada Allah SWT.

Mereka sama sekali tidak mengharapkan habuan dan kemewahan dunia, sebaliknya hanyalah limpahan keredaan Ilahi dan syurga Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang menyerah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)." (Surah al-An'am, ayat 162-163).

Dari satu segi, gambaran orang tidak ikhlas dalam amalan mereka dan mengharapkan pujian manusia dan kemewahan dunia amatlah menggerunkan hati orang beriman.

Ini kerana Rasulullah SAW sebagai rasul yang amat sayangkan umatnya awal-awal lagi sudah memperingatkan balasan buruk yang akan menimpa kepada orang tidak ikhlas.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa kemudian diasing-asingkan apa-apa dikerjakan kerana Allah dan yang dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkan ke dalam api neraka." (Hadis riwayat Baihaqi).

Di samping itu, Islam adalah agama amat unik kerana setiap gerak geri dan perlakuan harian yang dilakukan muslim dianggap sebagai ibadat.
Setiap muslim dituntut supaya mengikhlaskan kerjanya kerana Allah Subhanahuwata’ala.

Rasulullah SAW sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasa-i, menjelaskan (yang bermaksud): “Sesungguhnya Allah Azzawajalla tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kepadaNya, dan ditujukan hanya untukNya”

Dalam hadis riwayat Ahmad dijelaskan tentang kepentingan niat dan ikhlas serta implikasinya dalam realiti kehidupan (yang bermaksud): “Barangsiapa menikahi wanita dengan mas kahwinnya, sedangkan ia tidak berniat memberinya, maka ia berzina. Dan sesiapa berhutang, sedangkan ia tidak berniat untuk membayarnya, maka ia adalah pencuri”

Al-Bukhari dan Muslim pula meriwayatkan: “Hanyasanya amalan-amalan itu dengan niat, dan hanyasanya setiap urusan dengan apa yang diniatkannya”

Muslim yang ikhlas dalam kerjanya akan terhindar daripada sombong, riyak dan mengharapkan penghargaan makhluk. Ali bin Abi Talib k.wj pernah berkata (yang bermaksud):

“Orang riyak itu memiliki empat tanda:
1. Malas ketika bersendirian
2. Bersemangat ketika berada di tengah manusia ramai
3. Bertambah amalannya jika dipuji, dan
4. Berkurangan amalan jika tidak mendapat pujian”

Oleh itu, setiap amalan sama ada berbentuk duniawi atau ukhrawi memperoleh ganjaran pahala jika diniatkan penuh ikhlas kerana Allah SWT.

Hal ini ditegaskan sendiri Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud: "Tiada sesuatu yang engkau belanjakan kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan engkau akan diberi pahala hinggakan apa yang engkau suapkan ke dalam mulut isteri engkau."(Hadis riwayat Bukhari).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Apa yang engkau beri makan kepada diri engkau sendiri ada padanya pahala sedekah, dan apa engkau beri makan kepada anak isteri engkau ada padanya pahala sedekah, dan juga apa yang engkau beri makan kepada khadam di rumah, ada padanya pahala sedekah." (Hadis riwayat Ahmad).

Marilah sama-sama kita menyerahkan dirinya kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan dan semata-mata mencari keredaan-Nya. Oleh itu segala tingkah laku dan diam kita, tidur dan jaga kita akan dinilai sebagai ibadah apabila kita lakukan semata-mata menuju kepada keredaan Allah.

Jika begini kedudukan seorang ikhlas kepada Allah SWT dengan pelbagai kemuliaan dan keistimewaan di sisi Allah SWT, maka kita sebagai umat Islam sewajarnya menghiaskan diri dengan sifat mulia dalam usaha memartabatkan kembali kegemilangan ummah di persada dunia.

Dengan penjanaan sifat ikhlas ini barulah hati bersih dan suci dari sebarang kekotoran serta penyakit yang boleh menghancurkan ummah.

Harta dan kemewahan dunia tidak bererti, sebaliknya harta paling bernilai adalah hati yang ikhlas.

Ia bertepatan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya, Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu tetapi Dia hanya memandang kepada hati sanubari kamu." (Hadis riwayat Muslim).

Allah tidak memandang kepada paras rupa,tetapi melihat kepada hati dan amalan tidak ada beza seseorg di sisi Allah kecuali iman dan takwa kepada-Nya.

Sabda Nabi SAW maksudnya, “Sesungguhnya setiap amalan harus disertai dengan niat. Setiap orang hanya akan mendapatkan balasan tergantung pada niatnya. Barangsiapa yang hijrah kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana menginginkan perkara dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (hanya) mendapatkan apa yang dia inginkan” (HR. Bukhari no. 1 dan Muslim no. 1907)

Perkataan Para Ulama Tentang Ikhlas :

1. “Baiknya hati dengan baiknya amalan, sedangkan baiknya amalan dengan baiknya niat” (Mutharrif bin Abdullah, dinukil dalam Jami’ul Ulum wal Hikam)

2. “Betapa banyak amal kecil menjadi besar kerana niat. Dan betapa banyak pula amal besar menjadi kecil gara-gara niat” (Abdullah bin Mubarak, dinukil dalam Jami’ul Ulum wal Hikam)

3. “Amalan yang dilakukan tanpa disertai ikhlas dan tanpa mengikuti tuntunan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam bagaikan seorang musafir yang membawa bekal berisi pasir. Bekal tersebut hanya memberatkan, namun tidak membawa manfaat apa-apa” (Ibnul Qayyim, dalam Al Fawaid)

4. “Segala sesuatu yang dilakukan tidak untuk mencari keredhaan Allah, pasti akan pupus sirna” (Rabi’ bin Khutsaim, dinukil dalam Shifatush Shafwah)

5. “Ikhlas dalam beramal karena Allah ta’ala merupakan rukun paling mendasar bagi setiap amal soleh. Ia merupakan pondasi yang melandasi keabsahan dan diterimanya amal di sisi Allah SWT, sebagaimana halnya mutaba’ah (mengikuti tuntunan) dalam melakukan amal merupakan rukun kedua untuk semua amal soleh yang diterima di sisi Allah” (Syaikh Ibrahim Ar Ruhaili, dalam Tajrid al-Ittiba’ fi Bayan Asbab Tafadhul al A’mal)

6. “Meninggalkan suatu amal kerana orang lain adalah riya’. Sedangkan beramal kerana orang lain adalah syirik. Adapun ikhlas adalah ketika Allah menyelamatkanmu dari keduanya” (Fudhail bin Iyadh, dimuat dalam Tazkiyatun Nufuus wa Tarbiyatuha Kama Yuqarrirruhu ‘Ulama As Salaf)

Ikhlas adalah intisari dari keimanan seseorang dan kualiti tertinggi kemurnian hati, kerana segala sesuatu yang dikerjakan adalah “kerana Allah dan hanya untuk Allah”. Dalam setiap perbuatan, hal yang pertama kali kita harus lakukan adalah bertanya kepada diri sendiri, apakah niatnya benar-benar ikhlas untuk Allah atau ada niat lain di belakangnya. Rasulullah SAW bersabda, “Innamal a’malu bin niat, wa innamaa likullimri in maanawaa”, yang ertinya “sesungguhnya segala amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya, dan setiap orang akan mendapatkan balasan tergantung pada niatnya”.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Jika seseorang berkata ,"saya berikan sumbangan ini ikhlas semata-mata kerana Allah SWT" Belum tentu apa yg di ucapkannya itu benar-benar dia ikhlas walaupun kita kena bersangka baik, semoga kata-kata tersebut dengan hatinya sama iaitu dia berikan benar-benar ikhlas.


1168. Soalan : Adakah ada hadis sahih jika kita memasuki tanah perkuburan di sunatkan membuka kasut? 

Jawapan : 

Tidak memakai kasut atau selipar. hukumnya sunat apabila amsuk ke tanah perkuburan.

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pernah melihat seorang lelaki yang berjalan di antara kubur dengan memakai sepasang kasut, lalu baginda menegurnya:

"يَا صَاحِبَ السِّبْتِيَّتَيْنِ وَيْحَكَ أَلْقِ سِبْتِيَّتَيْكَ."

فَنَظَرَ الرَّجُلُ فَلَمَّا عَرَفَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَلَعَهُمَا فَرَمَى بِهِمَا.

“Wahai pemilik kasut al-Sibtiyyah! Celakalah engkau! Lemparkanlah kasut al-Sibtiyyah engkau itu.”

Maka lelaki itu menoleh lalu tatkala mengenali yang menegur itu ialah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam, dia membuka kedua-dua kasutnya itu dan melemparnya.[ Hadis Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3230 (Kitab al-Janaiz, Bab berjalan dengan memakai kasut di antara kubur). Kasut al-Sibtiyyah ialah kasut yang diperbuat dari kulit yang telah disamak.]

Oleh itu apabila berjalan di antara kubur atau di celah-celah kubur, tanggalkanlah kasut atau selipar. Jika kawasan perkuburan itu tidak sesuai untuk berjalan tanpa alas kaki, maka memadai berdiri di tepi kawasan kubur. Ini kerana manfaat ziarah kubur dapat diperolehi oleh penziarah dengan berdiri di tepi perkuburan, tidak semestinya di tengah-tengah perkuburan.


1169. Soalan : Boleh kah isteri pergi melancong tanpa suami.walaupun dengan izin suami?

Jawapan :

Hukum wanita bermusafir tanpa mahram adalah antara soalan yang kerap diajukan oleh umat Islam. Hadis sahih telah melarangnya, seperti yang disabda oleh Nabi Muhammad SAW:

لَا تُسَافِرْ الْمَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ وَلَا يَدْخُلُ عَلَيْهَا رَجُلٌ إِلَّا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَخْرُجَ فِي جَيْشِ كَذَا وَكَذَا وَامْرَأَتِي تُرِيدُ الْحَجَّ فَقَالَ اخْرُجْ مَعَهَا

"Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan bersama wanita itu mahramnya.” Tiba-tiba seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku akan keluar untuk berperang, dan isteri-ku pula hendak pergi menunaikan haji.” Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: “Pergilah kamu bersama isteri-mu (menunaikan haji).” (Muttafaqun alaihi).

Dalam sepotong hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang lain, nabi Muhammad SAW dilaporkan bersabda:

“لا يحل لامرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن تسافر سفرًا يكون ثلاثة أيام فصاعدًا إلا ومعها أبوها أو أخوها أو زوجها أو ابنها أو ذو محرم منه

"Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk keluar tiga hari ke atas melainkan bersama-samanya bapanya atau saudara kandung lelakinya atau suaminya atau anak lelakinya atau mana-mana mahramnya. (di dalam riwayat lain, ada dinyatakan satu hari satu malam, dan dua hari dua malam)"

Kedua-dua hadis di atas ialah sebahagian daripada beberapa hadis yang melarang wanita daripada keluar berjalan tanpa mahram. Ulama menyatakan pengharaman itu adalah mutlaq tanpa penentuan berjalan jauh atau pendek, sekejap atau panjang, berseorangan atau secara berkumpulan dengan wanita tanpa mahram yang lain.

Akan tetapi, ada juga pandangan yang menyatakan sekiranya terjamin keselamatan dan fitnah kepada si perempuan sepanjang perjalanannya, maka ianya dibenarkan. Itupun sekiranya perjalanan itu merupakan perjalanan yang perlu sahaja, bukan perjalanan tanpa tujuan. Majlis Fatwa Al-Azhar Mesir berpegang kepada pendapat ini. Menurut mereka, sebahagian ulamak mazhab Maliki dan yang Shafi’e membolehkan perempuan untuk bermusafir tanpa mahram sekiranya ada keperluan dan jalan yang akan ditempuhinya serta tempat yang akan didatanginya terjamin keselamatannya. Ini berdasarkan kepada sepotong hadis sahih Bukhari yang diriwayatkan oleh ‘Adiy bin Hatim:

فَإِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ لَتَرَيْنَ الظَّعِيْنَةَ تَرْتَحِلُ مِنَ الْحِيْرَةَ حَتَّى تَطُوْفَ بِالْكَعْبَةِ لاَ تَخَافُ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ

Jika kamu panjang umur, nescaya kamu akan melihat wanita berjalan bersendirian dari Hirah (sebuah kawasan di Iraq) hingga melakukan tawaf di Ka’bah (Makkah). Dia tidak takut sesuatu pun melainkan Allah (dalam perjalanan itu)

Walaupun hadis ini lebih merujuk kepada hadis ramalan akhir zaman, akan tetapi sebahagian ulama mengeluarkan hukum yang menyatakan kebenaran kepada wanita untuk bermusafir tanpa mahram. Syaratnya ialah, ada keperluan yang hampir sama hukumnya seperti haji, atau sekurang-kurangnya keperluan mendesak untuk berjalan tanpa mahram, dan terjamin keselamatan semasa di dalam perjalanan dan di destinasi permusafirannya.

Di akhir zaman ini, realiti hidup memang memerlukan wanita kerap keluar rumah atau berjalan tanpa mahramnya. Sebagai contoh, ada sesetengah isteri yang menjadi surirumah, di mana suaminya pergi bekerja selama beberapa hari. Sudah tentu si isteri perlu keluar tanpa mahram bagi mendapatkan bahan makanan dan seumpamanya, dengan syarat ada kebenaran suami, perjalanan yang terjamin selamat dan perjalanan itu tidak melencong ke tujuan lain.

Begitu juga dengan golongan pelajar wanita. Kebiasaannya institut pengajian sama ada di peringkat sekolah atau universiti letaknya jauh dari rumah. Kadang-kadang memerlukan pelajar wanita keluar bermusafir tanpa mahram untuk pergi ke kelas, tempat pengajian, kursus-kursus dan seumpamanya. Sekiranya pelajar wanita itu menaiki pengangkutan awam, maka ianya dibenarkan sekiranya diketahui umum syarikat pengangkutan awam itu mempunyai kredibiliti terhadap jaminan keselamatan penumpangnya. Sekiranya perlu menaiki kenderaan atau berjalan kaki, maka dibenarkan juga dengan syarat memang diketahui umum bahawa perjalanan ke destinasinya itu adalah selamat daripada kekacauan dan fitnah, dan pelajar wanita itu juga bersungguh-sungguh mematuhi undang-undang keselamatan ketika dalam perjalanan, dan memaklumkan perjalanan mereka kepada mahram mereka.

Begitu juga pekerja-pekerja wanita, maka dibenarkan untuk keluar tanpa mahram dengan syarat-syarat yang sama seperti di atas.

Sekiranya tiada keperluan, maka wanita perlu mengelakkan diri daripada berjalan tanpa mahram supaya tidak terjebak dengan larangan di atas. Pandangan Majlis Fatwa al-Azhar ini turut disokong oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dan ditulis di dalam Ensiklopedia Feqh Islam. Sebahagian mereka meletakkan syarat, iaitu perlu wanita tadi bergerak keluar bersama-sama dengan kumpulan wanita yang lain yang mana secara adatnya akan terjamin daripada kekacauan dan fitnah.

Hukum ini perlu dilihat sebagai memberikan perlindungan dan penghormatan kepada wanita, dan bukannya satu diskriminasi gender atau meletakkan wanita di taraf yang rendah. Kesan fitnah ke atas wanita adalah berbeza dengan kesan fitnah ke atas lelaki, justeru banyak undang-undang perlindungan dikenakan ke atas wanita berbanding lelaki.


1170. Soalan :  Ustaz.nak tanya solat Safar boleh tak dikerjakan selepas waktu Asar. Sesetengah pendapat kata boleh sesetengah pendapat kata tak boleh dikerjakan seleps waktu Asar.

Jawapan :


Sebenarnya tiada dalil sahih yang mensyari'atkan solat sunat sebelum musafir kecuali sebuah hadis daif yang bermaksud: "Tidak ada satupun yang lebih utama ditinggalkan seseorang kepada keluarganya selain solat 2 rakaat yang dilakukannya di saat hendak berpergian. [Maksud hadith diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani dan Ibnu Asakir, dinyatakan kelemahannya oleh Shaikh Sayid Sabiq dalam Fiqh-us-Sunnah, 5/10 ; daif kerana perawi-perawinya terputus melebihi dua orang secara berturut-turut (mudlal) sementara perawinya yang pertama pula tidak hidup di zaman Nabi SAW (mursal). Hadith yang mudlal dan mursal tidak boleh dijadikan sumber hukum agama.]

Hadis-hadis yang daif, yakni lemah, tidak boleh dijadikan hujah mahupun dalil dalam hal-hal agama, apatah lagi sebagai sesuatu yang mensyari'atkan sesuatu bentuk ibadah. Justeru sesiapa yang menelaah kitab-kitab hadis mahupun kitab-kitab fiqh muktabar tidak akan menemui sebarang dalil sokongan atau hujah penjelasan bagi mengesahkan kewujudan solat sunat ini di sisi syari'at Islam.

Selain riwayat daif di atas, tidak ada sebarang dalil lain yang dapat mewujudkan solat sunat sebelum musafir ini, sebagaimana terang Drs. Abdul Ghani Azmi Hj. Idris: "Tidak ada hadis sahih yang menyunatkan solat 2 rakaat di kala hendak keluar rumah untuk bermusafir dan tidak ada pula hadis sahih yang menyunatkan solat sunat di kala berhenti dalam perjalanan dan apabila sampai ke tempat yang dituju". [Drs. Abdul Ghani Azmi Hj. Idris - Pedoman Solat-solat Sunat Menurut Sunnah Rasulullah SAW, ms 302.]



No comments:

Post a Comment