Friday, July 10, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 240 (Hukum Guna Inhaller Semasa Puasa, Tempat Bayaran Zakat Fitrah, Hikmah Malam Laitaul Qadar., Meninggal Dunia di Bulan Ramadan, Doa Selepas Tahyat Akhir, Dan Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 240 adalah menjelaskan hukum guna inhaller semasa puasa, tempat bayaran zakat fitrah, hikmah malam Laitaul Qadar., meninggal dunia di bulan Ramadan, doa selepas tahyat akhir, dan hari raya jatuh pada hari Jumaat.

1155. Soalan : Ustaz, saya ada lah penghidap asma yg teruk, sahari 4 hingga 5 kali menggunakan ubat sedut ( inhaller) kadang2 kalau agak lebih teruk saya ada misyen (nebulizer) di rumah, soalan saya bagaimana puasa saya dan adakah wajib diganti?.

Jawapan :


Tak batal puasa menurut fatwa ulama oleh itu tak payah ganti puasa jika dia tak membatalkan puasa semasa menggunakan inhaller

Penggunaan Inhaler Mulut.

Inhaler merupakan satu alat yang mengandungi ubat dalam bentuk cecair yang mengandungi tiga jenis bahan iaitu ubat-ubatan, air dan juga oksigen. Cara penggunaannya dilakukan di dalam bentuk mengangkat, kemudian menekannya ke dalam mulut atau hidung. Pada masa itu bahan-bahan yang terkandung di dalamnya akan keluar dan memasuki tekak melalui mulut atau melalui bahagian dalam hidung. Sebahagian daripadanya akan kekal berada di dalam tekak. Kadang-kadang satu kuantiti kecil akan berada di dalam kerongkong.

Pendapat Ulama:

Ulama’ masa kini berselisih pendapat tentang penggunaan inhaler ini kepada dua iaitu:

Penggunaan inhaler tidak membatalkan mahupun merosakkan puasa. Inilah pendapat As-Syeikh Abd Aziz bin Baaz, As-syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin, As-Syeikh Abdullah bin Jabrin, As-Syeikh Dr. As-siddiq Ad-Darir, Dr. Muhammad Al-Khayyat dan Jawatankuasa Fatwa Tetap Kerajaan Arab Saudi.

Alasan Hukum:

a. Bahan yang terdapat di dalam inhaler yang masuk ke dalam kerongkong dan seterusnya ke dalam perut adalah terlalu sedikit, kerana itu, hukumnya tidak membatalkan puasa, sebagai qiyas kepada berkumur dan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu’).

Satu alat inhaler mengandungi 10 ml cecair, yang mengandungi ubat-ubatan. Kuantiti ini cukup untuk digunakan sebnyak 200 kali semburan. Setiap kali semburan, mengeluarkan jumlah yang rendah, tidak sampai 1ml. Setiap semburan tidak sampai 1 titis. Satu titis ini terbahagi kepada beberapa bahagian dan bahagian yang paling besar memasuki bahagian pernafasan. Satu bahagian memasuki kerongkong, manakala bakinya jatuh ke dalam perut. Kuantiti yang jatuh ke dalam perut ini dimaafkan, sebagai qiyas kepada air yang terlekat pada tekak hasil berkumur dan istinsyaq. Malah sisa air yang terlekat pada bahagian tekak lebih banyak daripada kuantiti semburan inhaler yang memasukinya. 

Dengan ini, jika seseorang berkumur dengan air yang diperkaya dengan bahan-bahan tertentu (seperti mineral atau vitamin, yang hanya boleh dilihat dibawah sinar x), sudah tentu bahan tersebut dapat ditemui tidak berapa lama selepas itu di dalam perut, yang sekaligus membuktikan kewujudan bahan tersebut di dalam perut, tetapi di dalam kuantiti yang sedikit adalah dimaafkan. Kuantiti sisa air dari berkumur dan istinsyaq tersebut dari segi keyakinannya, sudah tentu melebihi kuantiti semburan inhaler yang memasuki kerongkong, jika diandaikan ia memasuki kerongkong.

b. Semburan yang masuk ke dalam perut, satu perkara yang belum pasti, sebaliknya masih diragui. Mungkin masuk dan mungkin juga tidak. Berdasarkan kepada hukum asal, puasa sah dan tidak rosak. Perkara yang yakin, tidak dapat dihilangkan dengan perkara yang masih ragu-ragu.

c. Ia tidak sama dengan makan dan minum, sebaliknya lebih menyerupai pengambilan darah untuk ujian klinikal dan suntikan yang tidak mengandungi makanan (nutritive).
Perbahasan kepada alasan ini: Walau bagaimanapun alasan ini boleh dipertikaikan, kerana memang wujud kuantiti tertentu air di dalam kandungan ubatan yang terdapat di dalam Inhaler, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

d. Bahan semburan akan keluar dalam bentuk wap dan tidak akan sampai ka dalam perut, sebaliknya hanya ke dalam ruang di dalam paru-paru sahaja.

Perbahasan kepada alasan ini: Walau bagaimanapun sebelum ini, kita telah menjelaskan kuantiti kecil semburan Inhaler juga masuk ke dalam perut.

e. Pakar-pakar perubatan memperakui penggunaan siwak (kayu sugi) mengandungi lapan jenis bahan kimia, yang dapat mengawal gigi dan gusi dari serangan penyakit. Bahan kimia ini sudah tentu meresap pada lidah dan memasuki tekak, apabila seseorang bersiwak.

Di dalam Sahih Al-Bukhari daripada ‘Amir bin Rabi’ah, katanya: “Saya melihat Rasulullah s.a.w bersiwak, dalam jumlah yang tidak dapat saya hitung, sedangkan Baginda berpuasa.”

Sekiranya bahan-bahan kimia yang memasuki tekak ini dimaafkan, kerana kuantitinya yang sedikit dan tidak disengajakan, begitu jugalah bahan-bahan daripada Inhaler yang memasuki tekak, juga dimaafkan, di atas sebab yang sama.

Perbahasan kepada alasan ini: Mereka yang bersiwak, berkumur dan beristinsyaq tidak berniat untuk memasukkannya ke dalam tekak, jika masukpun secara tidak sengaja. Berbeza dengan penggunaan inhaler yang mmg disembur ke dalam tekak.

Penggunaannya tidak membatalkan puasa, adalah sesuai dan logik. Manakala qiyas mereka kepada berkumur, istinsyaq dan siwak, adalah qiyas yang betul. Wallahu A’lam.

Hukum Inhaler Menggunakan Debu.

Adapun hukum inhaler yang menggunakan debu, para ulama semasa berselisih pendapat agak kuat lebih daripada isu inhaher, memandangkan debu tersebut mungkin terlekat di halkum atau kerongkong.

Menurut Kajian Dr. Khalid bin Abdullah Al-Muslih:
Semua jenis penggunaan inhaler dengan pelbagai jenisnya, termasuk yang menggunakan debu yang disedut melalui mulut atau hidung, semuanya tidak membatalkan puasa menurut pendapat yang rajah (kuat hujjahnya).

Alasan Hukum:

1- Sedutan yang dilakukan pergi ke bahagian pernafasan, bukan pergi ke saluran makanan dan minuman.


2- Kalaupun ada yang termasuk ke saluran makanan ianya adalah terlalu sedikit, tidak lebih pada kebiasaannya debu-debu yang masuk melalui pernafasan
(Fiqh Syafieyyah mengatakan: “Sekiranya lalat atau nyamuk, atau debu jalan masuk ke dalam al-Jauf, maka puasa TIDAK batal. Ini kerana untuk menghindarinya adalah tersangat susah (masyaqqah). Begitu juga dengan menelan air liur.”


3- Debu ubat itu tidak dikira sebagai sejenis makanan dan minuman, atau yang bermakna sejenis makanan.


4- Berpegang dengan hukum Asal, bahawa puasa seseorang itu tidak batal sehingga ada dalil yang menentukan perkara itu batal, Wallahu a’lam.


1156. Soalan : Assalamualaikum ustaz,saya ingin tnya 1 soalan tentang zakat fitrah.saya keliru tentang tempat nak bayar zakat fitrah.adakah kita kena bayar zakat tempat di mana kita cari rezeki atau boleh kita bayar zakat di tempat lain(di kampung)?Mohon pencerahan dari ustaz.

Jawapan :

Zakat fitrah adalah zakat diri. Oleh ia hendaklah dikeluarkan di tempat di mana diri kita akan berada semasa terbenam matahari hari terakhir Ramadhan (yakni bermula malam pertama Syawal) iaitulah waktu sebenar bagi kewajipan mengeluarkan zakat fitrah menurut mazhab Syafi’ie, Ahmad dan beberapa ulamak yang lain. Walaupun waktu wajib adalah di penghujung Ramadan (iaitu apabila terbenam matahari di hari terakhir Ramadan), namun zakat fitrah harus dibayar lebih awal dari masa tersebut. Ketetapan waktu bagi mengeluarkan zakat fitrah mengikut menurut mazhab Syafi’ie adalah seperti berikut;

1. Waktu wajib : iaitu dengan terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadan.

2. Waktu harus : iaitu sebaik sahaja masuknya bulan Ramadan dan berterusan hingga ke hari raya (sebelum terbenamnya matahari). Jadi, sepanjang bulan Ramadan –menurut mazhab Syafi’ie- adalah waktu yang diharuskan untuk kita membayar zakat fitrah.

3. Waktu sunat ; iaitu pada pagi hari raya sesudah sembahyang subuh dan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya atau sebelum solat hari raya didirikan.

4. Waktu makruh; iaitu mengeluarkan zakat fitrah sesudah solat aidil-fitri tetapi sebelum terbenam matahari pada hari raya.

5. Waktu haram; iaitu melambatkan pembayaran zakat fitrah hingga selepas terbenam matahari pada hari raya.

Jika bimbang tak sempat bayar zakat fitrah di kampung untuk kita berhari raya boleh di bayar zakat fitrah tempat tinggal kita. Tetapi jika sempat nak bayar zakat fitrah di kampung malam hari raya berada di kampung maka lebih afdhal bayar di kampung kita.

Ramai yang keliru di antara zakat harta dengan zakat fitrah. Zakat harta lebih afdhal kita bayar di mana kita mencari rezeki tetapi bukan zakat fitrah. Ulama Mazhab Syafie dan Hambali mengatakan zakat fitrah lebih afdhal kita bayar di tempat yang mana pada malam Hari Raya Aidilfitri kita berada di tempat tersebut.

Bukannya bayar malam raya, tetapi kita bayar di tempat kita menyambut hari raya. Jika kita sampai di kampung 2 hari awal maka bayarlah di tempat tersebut lebih afdhal ini pandangan ulama terdahulu. Kita di tuntut membayar zakat tempat kita cari rezeki adalah zakat harta atau zakat pendapatan bukannya zakat fitrah. 

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, "Seorang muslim mengeluarkan zakat al-Fitr di tempat yang pada satu Syawal (malam Raya) dia berada di sana. Ini kerana pengeluaran zakat bukan disebabkan puasa tetapi disebabkan berhari raya. Kerana itu disandarkan (zakat) kepada hari raya bahkan dinamakan zakat itu sebagai Zakat al-Fitr. Berdasarkan ini, jika seseorang meninggal dunia sebelum Maghrib hari terakhir bulan Ramadan, zakat al-Fitr tidak menjadi suatu yang wajib atasnya, walaupun dia telah berpuasa seluruh hari Ramadhan. Jika seseorang bayi dilahirkan selepas Maghrib hari terakhir Ramadan iaitu pada malam pertama masuknya bulan Syawal, maka ia termasuk orang yang wajib mengeluarkan zakat al-Fitr dengan Ijma’ (kesepakatan ulama). Maka ia (zakat al-Fitr) adalah zakat yang berkait rapat dengan hari raya bagi menyebarkan kegembiraan dengannya, termasuk orang-orang fakir dan miskin, kerana itu terdapat hadis yang menyebut : “Kayakanlah mereka (orang-orang fakir dan miskin) pada hari ini (hari raya).”

(Sumber : Fatawa al-Mu’asarah, Juzu’ pertama, m.s. 326)

Bila batas waktu “fitri” (zakat fitrah)?

Dalam hal ini, ulama berbeda pendapat. Majoriti ulama Mazhab Syafi’iyah berpendapat bahawa waktu “fitri” adalah waktu sejak terbenamnya matahari di hari puasa terakhir sampai terbitnya fajar pada tanggal 1 Syawal. (Syarh Shahih Muslim An-Nawawi, 7:58)

Syekh Muhammad bin Saleh Al-Utsaimin rahimahullah pernah ditanya tentang hukum menunaikan zakat fitri (zakat fitrah) di awal Ramadan. Dalam Fatawa Arkanul Islam Syekh Ibnu Utsaimin, hlm. 434, jawaban beliau termuat, “Zakat fitri (zakat fitrah) dikaitkan dengan waktu ‘fitri’ kerana waktu ‘fitri’ adalah penyebab disyariatkannya zakat ini. Jika waktu fitri setelah Ramadan (tanggal 1 Syawal) merupakan sebab adanya zakat ini, itu menunjukkan bahawa zakat fitri (zakat fitrah) ini terikat dengan waktu fitri tersebut, sehingga kita tidak boleh mendahului waktu fitri.

Oleh kerana itu, yang paling baik, waktu mengeluarkan zakat ini adalah pada hari Idul Fitri, sebelum melaksanakan solat. Hanya saja, boleh didahulukan sehari atau dua hari sebelum solat id, kerana ini akan memberi kemudahan bagi pemberi dan penerima zakat. 

Berdasarkan keterangan ini, waktu menunaikan zakat fitri (zakat fitrah) ada dua:

Waktu harus, iaitu sehari atau dua hari sebelum hari raya.(menurut ulama di Malaysia mula 1 Ramadan sudah di bolehkan membayar zakat fitrah)

Waktu utama, iaitu pada hari hari raya sebelum solat.

Adapun mengakhirkan pembayaran zakat fitri (zakat fitrah) sampai setelah solat maka ini hukumnya haram dan zakatnya tidak sah. Berdasarkan hadis Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhu,

من أداها قبل الصلاة فهي زكاة مقبولة، ومن أداها بعد الصلاة فهي صدقة من الصدقات


‘Barang siapa yang menunaikan zakat fitri sebelum solat maka itu adalah zakat yang diterima, dan barang siapa yang menunaikannya setelah solat maka statusnya hanya sedekah.’ (Hadis Riwayat. Abu Daud dan Ibnu Majah; dinilai hasan oleh Al-Albani)

1157. Soalan : Apakah Lailatul Qadar dan apakah amalan yang patut di lakukan di malam tersebut?

Jawapan : 

Lailatul Qadar adalah malam yang penuh berkat. Al-Quran diturunkan sekali gus pada malam kemuliaan dari Loh Mahfuz ke Baitul Izzah.

Lailatul Qadar juga adalah satu malam berlaku di bulan Ramadan (terutama 10 malam terakhir), malam itu adalah lebih baik daripada seribu bulan yang membawa maksud bahawa setiap amalan yang termakbul pada malam itu samalah dengan amalan yang setara dengannya sebanyak amalan seribu bulan.(83 tahun 4 bulan)

Ketika berlakunya Lailatul Qadar Malaikat Jibril dan malaikat rahmat diturunkan ke dunia pada malam tersebut. Sejahtera malam itu hingga terbit fajar (masuknya waktu Subuh).

Lailatul Qadar adalah satu malam untuk Allah berikan kelebihan berlipat ganda kepada orang yang meyakini janji Allah. Mereka bersungguh merebut peluang di penghujung Ramadan yang tidak diperoleh pada bulan lain

Apakah amalan-amalan yang perlu dilakukan pada malam kemuliaan ini (Lailatul Qadar)?

Sebaik-baik amalan adalah :

1. Berikhtikaf di masjid .

Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata : “Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan Baginda SAW.” ( Hadis Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah)

2. Berdoa dan bermunajat.

Rasulullah SAW amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah. Lailatul Qadar adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doanya dikabulkan Allah. Oleh kerana itu perbanyakkanlah doa pada malam itu, khususnya pada:
 Masa berlalunya separuh malam. Ketika berada pada bahagian malam yang akhirnya.

Dalam sebuah hadis riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar (bertepatan dengan malam Qadar), maka apa yang aku perlu buat?

Baginda menjawab: “Bacalah:

اَللَّهُمَّ اِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّىْ وَاغْفِرْلِى.

“Allahumma innaka ‘afuwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni wagh’firli”

Ya Allah! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun, Maha Pemurah lagi suka mengampun. Maka ampunilah dan lindungilah diriku.

Doa lain yang baginda baca ialah seperti berikut yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami,
anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, dan
peliharalah kami dan siksa neraka." (Surah Al-Baqarah ayat 201).

3. Solat terawih dan solat tahajud.

Daripada Aishah r.a telah berkata : “Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan , baginda menghidupkan malam (qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan).” ( Muttafaqun alaih)

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa bangun pada malam lailatulqadar kerana dorongan iman dan mengharapkan pahala, maka diampunkan dosa-dosanya terdahulu.” (Muttafaqun ‘alaih)

4. Membaca al-Quran dan memahami maksudnya :

Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa beribadat sesaat pada malam Qadar, kira-kira selama seorang penggembala memerah susu kambingnya, maka adalah lebih disukai Allah daripada berpuasa setahun penuh. Demi Allah yang telah mengutus daku dengan hak menjadi nabi, sesungguhnya membaca satu ayat dari al-Quran pada malam Qadar adalah lebih disukai Allah daripada mengkhatamkannya pada malam-malam yang lain.“

 5. Berzikir dengan bertahlil, bertahmid dan bertakbir.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi (ketakwaan), maka akan dihapuskan semua dosanya yang telah lalu.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

6. Berselawat kepada Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman maksudnya : “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”.
(Surah al-Ahzab ayat 56)

Berselawat ke atas Rasulullah SAW bermakna kita berdoa memohon supaya Allah melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita, Nabi Muhammad SAW.

Nabi SAW bersabda maksudnya : " Siapa berselawat kepada Nabi SAW sekali. nescaya dia akan di selawatkan Allah dan para Malaikat-Nya sebanyak 70 kali." (Hadis Riwayat Ahmad)

Marilah sama-sama kita berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan amal ibadah kita di sepuluh malam yang terakhir ini kerana ibadah di waktu ini ada dua kebaikan menanti iaitu Pembebasan daripada api neraka dan mendapat Lailatul Qadar.


Berusahalah banyakkan berikhtikaf di masjid kerana suasana di masjid lebih tenang, damai dan tenteram. Perbagaikan beribadah seperti solat tahajud, solat taubat, solat hajat, berzikir, membaca al-Quran, berdoa dan berselawat kepada Nabi SAW. Yakinlah kalian semua akan bertemu Lailatul Qadar pada tahun ini dan doa-doa kalian semua akan diterima oleh Allah SWT.

1158. Soalan : Bagaimana kedudukan orang yang meninggal di bulan Ramadan? Adakah dia terlepas daripada seksa kubur?

Jawapan : 

Meninggal di bulan Ramadan : Sesungguhnya sudah menjadi janji Allah SWT untuk memasukkan setiap hamba-Nya yang beriman kepadanya serta beramal sholeh sebagaimana firman-Nya :

وَالَّذِينَ آمَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Ertinya : ”Dan orang-orang yang beriman serta beramal saleh, mereka itu penghuni surga; mereka kekal di dalamnya.” (Surah. Al Baqarah ayat 82)

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ

Ertinya : ”Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, Maka Sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan Sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah An Nahl ayat 97)

Janji Allah SWT untuk memasukkan mereka kedalam syurga-Nya tidaklah terbatas di bulan Ramadhan saja akan tetapi di semua bulan dan di semua waktu selama orang tersebut betul-betul beriman dan beramal soleh.

Adapun keutamaan bagi orang yang meninggal dalam keadaan berpuasa terdapat didalam riwayat Ahmad bahwa Nabi SAW bersabda,”Barangsiapa yang mengatakan Laa Ilaha Illalah dengan hanya mengharapkan redha Allah lalu meninggal dalam keadaan seperti itu maka dia masuk syurga. Barangsiapa yang berpuasa suatu hari dengan hanya mengharapkan redha Allah lalu meninggal dalam keadaan seperti itu maka dia masuk syurga. Barangsiapa yang bersedekah dengan suatu sedekah dengan hanya mengharapkan redha Allah lalu meninggal dalam keadaan seperti itu maka dia masuk syurga.” Syeikh Al Bani mengatakan bahwa sanadnya shahih.

Ayat-ayat dan hadis diatas adalah khusus bagi hamba-hamba Allah yang beriman dan meninggal dalam keadaan beriman serta mengharapkan redhaNya didalam amal-amal solehnya tidak terkecuali jika hal itu terjadi di bulan Ramadhan. Akan tetapi hal ini tidaklah boleh anggap kepada semua orang yang meninggal di bulan Ramadhan. Bagaimana mungkin seorang yang meninggal di bulan Ramadhan sementara ia tidak beriman kepada Allah atau tidak berpuasa atau berpuasa akan tetapi tidak dilakukannya semata-mata mengharapkan redha-Nya lalu dimasukkan ke syurga ?!!

Dan tidaklah ada dalil yang menyebutkan keutamaan secara khusus terhadap orang yang semata-mata meninggal di bulan Ramadhan akan masuk syurga.

Wallahu a'lam

1159. Soalan : "Tempat mustajab doa selepas tahyat akhir sebelum salam adalah tempat mustajab doa"  Ada doa khusus atau apa sahaja doa yg dihajatkan. Jika tiada doa khusus, boleh ustaz ajar kan doa untuk dilepaskan dari seksaan kubur.

Jawapan : 

Terdapat 10 doa yang boleh di baca selepas tahyat akhir sebelum salam. Selepas membaca salah satu doa-doa tersebut bolehlah berdoa dengan doa yang di hajatkan untuk kepentingan dunia dan akhirat. Doa-doa tersebut adalah seperti berikut : 1) Doa pertama berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ،
وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّال

Dan mafhumnya : Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada azab neraka jahanam, daripada azab kubur, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan fitnah dajjal.

2) Doa kedua berdasarkan hadis riwayat Imam Al-Bukhari. (sangat baik diamalkan jika kita ada situasi hutang) : 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

Dan mafhumnya : Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada azab kubur, aku berlindung denganMu daripada fitnah Dajjal, aku berlindung denganMu daripada fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada dosa dan hutang. 

3) Doa ketiga berdasarkan hadis riwayat Imam Al-Bukhari juga. Doa yang ini amat baik untuk melupuskan sifat mazmumah yang ada pada diri kita. :

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْبُخْلِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمْرِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ فِتْنَةِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْقَبْرِ.

Dan mafhumnya : “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari bakhil, aku berlindung kepadaMu dari penakut, aku berlindung kepadaMu dari dikembalikan ke usia yang terhina, dan aku berlindung kepadaMu dari fitnah dunia dan siksa kubur.

4) Doa keempat berdasarkan hadis riwayat Imam Abu Daud dan Imam An-Nasaie. Doa yang amat baik untuk memohon ALLAH jadikan kita hambaNYA yang bersyukur dan sentiasa mengingatiNYA :

اَللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ.

Dan mafhumnya : “Ya Allah! Berilah pertolongan kepadaku untuk mengingatiMu, bersyukur kepadaMu dan ibadah yang baik untukMu

5) Doa kelima berdasarkan hadis riwayat Imam An-Nasaie.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَمِلْتُ ، وَمِنْ شَرِّ مَا لَمْ أَعْمَلْ

Dan mafhumnya : Ya Allah! Aku berlindung daripada kejahatan yang telah aku lakukan, dan daripada kejahatan lakukan.

6. Doa yang keenam. Doa ini untuk memohon ALLAH mudahkan urusan hisab / perbicaraan kita di mahkamah ALLAH di akhirat nanti.

اللهم حَاسِبْنِي حِسَابًا يَسِيرَا

Dan mafhumnya : Ya Allah! Hitunglah aku dengan perhitungan yang mudah.

7. Doa yang ketujuh dari riwayat Imam Bukhary. Doa ini adalah doa taubat. sesuai sangat dibaca selepas membaca tahiyyat akhir dalam solat taubat.

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ ، وَارْحَمْنِي إِنَّك أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Dan mafhumnya : Ya Allah! Sesungguhnya aku telah banyak menzalimi diriku sendiri. Tiada yang dapat mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau, maka ampunilah diriku dengan keampunan yang Engkau miliki. Rahmatilah aku. Sesungguhnya Maha Pengampun dan Penyayang.

8. Doa kelapan dari riwayat Imam Abu Daud.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ يَا اللَّهُ الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ ، أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Dan mafhumnya : Ya Allah! Aku memohon kepada Mu. Ya Allah Yang Maha Esa Yang… Yang Tidak Melahirkan dan Tidak Dilahirkan, dan tidak ada yang setara dengannya, Engkau ampunilah dosa-dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Penyayang. 

9. Doa kesembilan riwayat Imam Abu Daud.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ ، وَمَا أَسْرَفْتُ ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي ، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

Dan mafhumnya : Ya Allah! Ampunilah aku untuk apa yang telah aku (lakukan) di masa lalu dan apa yang akan aku (lakukan) di masa hadapan, apa yang aku (lakukan) secara tersembunyi dan apa yang aku (lakukan) terang-terangan, apa yang telah aku berlebih-lebihan, dan apa-apa yang lebih Engkau ketahui berbanding diriku sendiri. Engkaulah Yang Mendahului dan Engkaulah Yang Mengakhiri. Tiada yang berhak disembah melainkan Engkau.

10. Doa kesepuluh dari hadis riwayat imam Abu Daud juga, doa memohon dimasukkan ke syurga dan diselamatkan dari neraka

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ

Dan mafhumnya : “Ya Allah! Sesungguhnya aku mo-hon kepadaMu, agar dimasukkan ke Surga dan aku berlindung kepadaMu dari Neraka.

Alhamdulillah berjaya juga mengumpulkan 10 doa-doa yang diamalkan oleh Nabi Muhammad saw selepas membaca tasyahhud / tahiyyat akhir dan sebelum memberi salam.

Semoga perkongsian ini menjadi asbab kita semua mendapat redho dan rahmat ALLAH dan terlepas dari siksa kubur, siksa mahsyar semasa hisab dan siksa neraka….

1160. Soalan : Assalamualikum minta ustaz berikan pencerahannya : Apakah benar jika hari raya berlaku pada Hari Jumaat maka sesiapa yang menunaikan Solat Hari Raya tidak wajib lagi untuk dia menunaikan Solat Jumaat?

Jawapan : 

Waalakauamussalam : Secara ummnya ia terbahagi kepada dua pendapat:

Pertama: Gugur kewajipan solat jumaat bagi mereka yang telah melakukan solat sunat hari raya, tetapi wajib ke atasnya solat Zohor. Dengan erti kata lain tidak wajib solat Jumaat. Ia adalah pendapat Imam Ahmad (241H)

Kedua: Solat hari raya tidak menggugurkan kewajipan solat Jumaat. Maknanya solat Jumaat tetap wajib ke atas mereka yang telah melakukan solat hari raya. Ini merupakan pendapat jumhur ulama’ daripada mazhab al-Hanafiah, al-Malikiah dan al-Shafi’iah.

Pendapat pertama berpegang kepada dalil-dalil seperti yang dinyatakan di atas. Ia dikuatkan lagi dengan riwayat daripada ‘Ato’katanya: 

Ibn al-Zubair solat hari raya bersama kami pada awal pagi hari Jumaat, kemudian kami pergi menunaikan Jumaat sedangkan dia (ibn al-Zubair) tidak keluar dengan kami, maka kami pun solat sesama kami. Ketika itu Ibn Abbas berada di To’if, apabila kembali kami menceritakan perkara itu kepadanya, lalu dia berkata: dia menepati sunnah. (Hadis Riwayat Abu Daud). Imam al-Nawawi (676H) pula menyatakan dalam al-Majmu’bahawa isnad hadith ini baik. Selain itu, Riwayat daripada Abu ‘Ubaid maula Ibn Azhar menyatakan bahawa: 

Aku menyaksikan dua hari raya bersama Uthman bin Affan, hari itu ialah hari Jumaat, dia pun solat sebelum khutbah, kemudian dia berkhutbah, katanya: wahai manusia, sesungguhnya pada hari ini telah berhimpun bagi kamu dua hari raya, barangsiapa daripada penduduk kawasan tinggi (jauh) yang ingin menunggu Jumaat maka tunggulah, dan barangsiapa yang ingin balik maka aku izinkan. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Menurut pendapat yang pertama, kesemua dalil ini menunjukkan gugurnya kewajipan solat Jumaat bagi seseorang yang telah melakukan solat sunat hari raya jika berhimpun kedua-duanya pada hari yang sama. Tetapi solat Zohor tetap wajib dilakukan sebagai ganti solat Jumaatnya. Ini bermakna solat hari raya hanya menggugurkan kewajipan solat Jumaat bukannya solat Zohor. 

Solat Zohor tetap wajib : Jika ada yang mengatakan bahawa kewajipan solat zohor juga gugur dengan solat sunat hari raya berdasarkan perbuatan Ibn al-Zubair, ia adalah tidak tepat dan bertentangan dengan jumhur ulama’ dahulu mahupun kontemporari. Ini kerana solat Jumaat yang telah gugur kewajipannya dengan sebab rukhsah (kelonggaran), keuzuran, atau terlupa maka ia wajib digantikan dengan solat Zohor.

Bagi pendapat kedua pula, mereka berpegang kepada umumnya dalil yang menyatakan kewajipan solat Jumaat pada setiap minggu. Ia adalah syi’ar Islam yang perlu dilaksanakan sebagaimana solat sunat hari raya, melaksanakan salah satu daripada kedua-duanya tidak boleh menampung yang yang satu lagi. Kedua-duanya mesti dilaksanakan tanpa pengecualian. Mereka berpandangan bahawa hadith dan atharyang sampai kepada mereka dalam persoalan ini tidak kuat sehingga ke peringkat boleh mengkhususkan umumnya dalil kewajipan Jumaat yang telah thabit (tetap) dalam al-Qur’an, al-Sunnah dan ijma’. Firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 9 bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."

Ayat ini adalah umum iaitu pada setiap Jumaat bagi mereka yang cukup syarat-syarat wajibnya, sama ada berbetulan dengan hari raya atau tidak. Terdapat juga pelbagai hadith nabi SAW lain yang menunjukkan kewajipan solat Jumaat dan peringatan keras bagi mereka yang meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran, di antaranya sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:

Sama ada satu kaum berhenti daripada meninggalkan Jumaat, atau Allah akan menutup hati-hati mereka, kemudian menjadikan mereka dalam kalangan orang-orang yang lalai. (Hadis Riwayat Muslim)

Kesimpulan : Islam itu ajarannya praktikal dan sesuai dilaksanakan pada setiap masa dan semua tempat. Persoalan ini ada keluasannya selagi ia adalah permasalahan khilafiyah (perbezaan pandangan) yang berdiri di atas ijtihad kerana dalalah (pendalilan) nya yang dzonni. Oleh itu, solat Jumaat di masjid hendaklah didirikan kerana beramal dengan nas asal dan mengambil yang ahwat (lebih berat). Maka imam bertugas hendaklah keluar untuk solat Jumaat bersama orang ramai khususnya yang tidak melakukan solat sunat hari raya, kerana kewajipan solat Jumaat tidak gugur ke atas mereka. Ini disebabkan yang gugur hukum wajib solat Jumaat menurut pendapat pertama adalah bagi mereka yang telah melakukan solat sunat hari raya sahaja.

Bagi mereka yang telah melakukan solat sunat hari raya, jika mempunyai kesukaran untuk menghadiri Jumaat boleh memilih untuk mengikut pendapat pertama, iaitu rukhsah (kelonggaran) solat Jumaatnya sudah tidak wajib ke atasnya. Solat sunat hari raya yang dikerjakannya sudah memadai baginya, dengan syarat dia wajib melaksanakan kewajipan solat Zohor selepas masuk waktunya. Dilarang memperkecilkan orang lain yang pergi menunaikan solat Jumaat, dan tidak boleh mengingkari orang ramai yang melaksanakan Jumaat di masjid kerana ia boleh menyalakan api fitnah yang boleh membawa kepada ketidaktenteraman dan perpecahan.

No comments:

Post a Comment