Wednesday, September 3, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 145 ( Kisah Dajjal, Siram Air Di Kubur, Harta Pusaka Wang Haram, Perkara Membatalkan Wuduk Dan Roh Manusia.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 145 adalah menjelaskan persoalan kisah Dajjal, siram air di kubur, harta pusaka wang haram, perkara membatalkan wuduk dan roh manusia.

681. Soalan :  Ustaz...satu soalan yang ringkas ingin saya bertanya....adakah Dajjal pernah bertemu dengan Nabi Muhammad SAW?

Jawapan : 


Dajjal yang bermata satu daripada keturunan Yahudi yang akan muncul di akhir zaman nanti tidak pernah berjumpa Nabi SAW. Kerana kemunculannya ditanggungkan terlebih dahulu semuanya di dalam perancangan ilmu Allah SWT. Sahabat Rasulullah yang bernama Tamim ad-Dariy. pernah berjumpa Dajjal. Kisah Tamim Al-Dariy berkenaan Dajjal.

Ada riwayat Muslim yang diterima dari Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah SAW memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah SAW. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak.

Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya.” Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”

Rasulullah SAW berkata lagi: “Demi Allah aku menyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal.

Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya. Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya.

Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?” Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.”

Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?” Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.

Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?” Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?”

Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini.

“Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”

Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya.” Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan:

“Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” nama tempat di negeri Syam. Mereka menjawab:

“Keadaan apanya yang tuan maksudkan?” Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?”

Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah.”

Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah.” Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.” Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering.”

Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?” Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.” Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, dia diperangi oleh orang-orang Arab.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa Rasulullah SAW telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.

Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya.” Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.”

Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah SAW menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?” Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.” Rasulullah SAW berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah SAW sambil menunjuk ke arah timur.

Rasulullah SAW telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfahan. Wallahu a’lam


682. Soalan : Kebiasaan masyarakat membuat kenduri, baca yaasin & tahlil ada letakkan air, kemudian air itu disiram ke kubur, apa hukumnya?


Jawapan : 

Mengadakan majlis tahli dan baca surah Yasin adalah di haruskan sebagai satu usaha untuk sedekahkan doa dan bacaan al-Quran kepada arwah ahli waris seperti ibu dan bapa. Amalan menjirus air ke kubur hukumnya SUNNAT di dalam mazhab Syafi`e.

Tetapi yang disunnatkan hanya dengan air semata-mata dan bukannya air mawar sebagaimana kelaziman sesetengah masyarakat kita.

Menjirus air dengan air mawar dihukumkan MAKRUH kerana ianya dikira satu pembaziran. Air biasa yang telah di bacakan Yasin adalah harus sahaja.

Imam asy-Syafi`i meriwayatkan daripada Ibraahiim bin Muhammad daripada Ja'far bin Muhammad daripada ayahandanya bahawasanya Junjungan Nabi SAW. telah menyiram (air) atas kubur anakanda baginda Ibrahim dan meletakkan atasnya batu-batu kerikil. Riwayat ini terkandung dalam "Musnad al-Imam al-Mu`adzhdzham wal Mujtahid al-Muqaddam Abi 'Abdillah Muhammad bin Idris asy-Syafi`i r.a.", juzuk 1, halaman 215. Wallahu 'alam.

683. Soalan : Apa hukum memakan harta pusaka ketua keluarga yang sudah meningal dari sumber yang di ketahui (maksudnya,ketua keluarga dulu mengumpul duit haram dan apabila mati diwarisi keluarga) haram ?.adakah akan jadi haram untuk pewarisnya? 

Jawapan : 

Jika seorang ayah meninggal dunia dan meninggalkan harta yang halal bercampur yang haram jika boleh dipisahkan maka perlulah dipisahkan supaya harta yang haram (harta tak patuh syariah) dengan harta yang halal. Harta yang haram tak boleh digunakan untuk kegunaan peribadi boleh di berikan kepada fakir miskin atau di buat projek umum untuk kegunaan masyarakat. Hanya harta yang halal saja boleh di berikan secara hukum faraid. Tetapi jika waris tak tahu secara pasti maka keluarkanlah sebahagian daripada harta tersebut untuk di masukan kedalam akaun wang tak patuh syariah. (Pusat Zakat negeri-negeri ada juga menyediakan akaun wang tak patuh syariah untuk memudahkan umat Islam masukan wang mereka yang haram ke dalam akaun tersebut). Untuk membersihkan harta tersebut.

Tanggunjwb bapa masa hidupnya adalah mengahwini anaknya.kalau ayahnya menggunakan duit yang haram itu untuk membantu dan mengahwini anaknya.hukumnya apa?

Dalam Islam seorang ayah bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, jika ayah menggunakan harta haram untuk memberi nafkah untuk isteri dan anak-anaknya maka untuk mereka menjadi halal kerana mengambil hak nafkah tetapi dosa mendapatkan harta tersebut dengan jalan yang tak syarak adalah di tanggung oleh ayah tersebut. Isteri dan anak-anak tak bersalah dan anak terima sebagai bantuan daripada walinya.

684. Soalan : Apakah perkara yang boleh membatalkan wuduk?

Jawapan : 

1. Kentut & Qada’ Hajat

Firman ALLAH S.WT:

Wahai orang-orangyang beriman, berwuduklah apabila kamu ingin mendirikan solat... atau apabila ada antara karnu yang datang dari tempat membuang hajat. (Surah al-Maidah: 6)

Abu Hurairah r.a berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

ALLAH tidak akan menerima solat seseorang apabila dia telah berhadas sehingga dia kembali berwuduk. Seorang lelaki daripada Hadramaut bertanya: Apakah yang dimaksudkan dengan hadas wahai Abu Hurairah? Jawabnya: Kentut. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Keluar air mazi.

Ali bin Abu Talib r.a berkata:

Aku adalah lelaki yang paling banyak keluar air mazi. Lalu aku perintahkan seorang lelaki bertanya kepada Nabi s.a.w menggunakan nama anak perempuanya (Fatimah). Lalu dia bertanya kepada baginda. Lantas haginda menjawab: Berwudhu’lah dan basuhlah kemaluanmu. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibn al-Mundziri r.h bcrkata:

“Memang tsabit daripada hadis Rasulullah s.a.w rnengenai kewajipan berwudhu’ bagi air mazi (yang keluar)” (Rujuk al-Ausot, jil. 1, ms. 133)

Al-Nawawi r.h berkata:

“Mengenai hukum keluar air mazi, ijmak ulama bahawa tidak wajib mandi junub. Abu Hanifah, Syafie, Ahmad dan jumhur berpendapat, wajib berwuduk berdasarkan hadis ibi.” (Rujuk Syarh Sahih Muslim, jil. 3, ms. 212)

3. Keluar al-Wadi

Ibn Abbas a berkata:

Berhubung dengan air mani, wajib mandi junub. Mengenai air mazi dan wadi, dia hendaklah membasuh kemaluannya serta bewuduk. (Hadis riwayat Abdul Razzaq dalam Musannaf, jil. 1, ms. 159 dengan sanad sahih)

Ibn al-Mundzir r.h berkata:

“Mengenai air wadi, ia sesuatu yang keluar daripada zakar selepas kencing. Oleh itu, wudhu’ wajib selepas kencing. Jadi, apa sahaja yang keluar daripada zakar sudah tentu diwajibkan berwuduk sebagaimana wajib berwuduk apabila keluar air kencing.” (Rujuk al-Ausot, jil. 1, ms. 136)

4. Keluar air mani

Ini berdasarkan riwayat Ibn Abbas r.a yang dinyatakan sebelum ini melalui Musannaf Abdul Razzaq.

5. Sesuatu yang keluar secara berterusan seperti darah istihadhah dan sebagainya.

Nabi s.a.w memerintahkan agar wanita yang mengalami darah istihadhah berwuduk setiap kali solat berdasarkan hadis yang diriwayat oleh Bukhari dalam kitab al- Wuduk, bab: Ghuslu al-Dam (228) dan Muslim, kitab al-Haid (333)

6. Tidak perlu berwuduk apabila waswas.

Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang antara kamu merasakan sesuatu yang tidak kena pada perutnya lalu waswas sama ada dia kentut atau tidak, dia tidak perlu keluar daripada masjid kecuali selepas dia mendengar bunyi atau terhidu bau kentut. (Hadis riwayat Muslim)

7. Tidur atau Tidak Tetap Punggung

Safwan bin ‘Assal r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w memerintahkan kami agar tidak mencabut kasut ketika musafir selama tiga hari tiga malam kecuali jika berjunub, buang air besar, air kecil atau tidur” (Hadis riwayat Ahmad, al-Nasaai dan al-Tirmizi. Al-Tirmizi mensahihkannya)

Berselisih pendapat sama ada tidur boleh membatalkan wudhu’ atau sebaliknya. Namun, terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan bahawa tidur yang lena dan tetap punggungnya tidak perlu berwuduk.

Anas r.a berkata: “Suatu ketika, para sahabat Rasulullah s.a.w menunggu solat isyak sehingga tersengguk-sengguk kepala mereka kerana Nabi s.a.w melewatkannya. Setelah baginda bersiap untuk menunaikan solat, mereka bangun bersolat tanpa memperbaharui wuduk.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi)

Ibn ‘Abbas r.a berkata: Aku telah bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah (isteni Nabi). Rasulullah s.a.w bangun untuk menunaikan solat malam. Lain, aku bangun berdiri di sebeiah kirinya. Kemudian, baginda menanik tanganku hingga menjadikan aku berada di sebeiah kanannya. Setiap kali kepalaku tersengguk kerana mengantuk, baginda akan menarik telingaku. Baginda melakukan solat itu sebanyak 11 rakaat. (Hadis riwayat Muslim)

Menurut pendapat paling sahih, apabila seseorang tidur tetapi tetap punggungnya di bumi dan sebagainya, wuduknya tidak terbatal berdasarkan beberapa hadis di atas. Namun, yang afdalnya ialah berwuduk apabila tertidur berdasarkan maksud hadis secara umum.

8. Menyentuh Wanita Ajnabi.

Ulama berbeza pendapat dalam menentukan hukum menyentuh wanita ajnabi tanpa berlapik. Mazhab Syafie batal wuduk tetapi mazhab Hanafi tak batak wuduk.

685 Soalan : .Ke manakah perginya roh yang jasadnya belum lagi disemadikan? dan sekiranya jasad tersebut tidak dijumpai sampai bila-bila..adakah mereka terlepas dari persoalan malaikat munkar dan nakir di alam kubur?


Jawapan :

Sesiapa pun tidak dapat menduga bilakah saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan 'menanti' saat kematian mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiya' ayat 35)

Apabila mayat dikebumikan dikubur, maka dia akan tinggal keseorangan melainkan yang akan menemaninya adalah amalannya ketika di dunia. Jika banyak amal solehnya maka dia akan merasa gembira dan berbahagia, tetapi jika dia membawa amalan dosa dan maksiat dan tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT maka dia akan berdukacita , sedih dan merasai amat takut untuk berhadapan dengan malaikat Munkar dan Nakir.

Malaikat yang menanyakan persoalan di amal barzakh adalah Malaikat Munkar Dan Nakir. Malaikat Munkar dan Nakir bertugas menanyai mayat dalam alam kubur tentang siapa Tuhannya, apa agamanya dan siapa nabinya. Sedangkan dalam suatu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah menjelaskan bahwa al-Qaulu as-Tsabit dalam QS Ibrahim: 27 adalah jawaban orang Islam terhadap pertanyaan Malaikat di dalam alam kubur.

Firman Allah SWT maksudnya : "Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh (al-Qaulu as-Tsabit) (dalam kehidupan ) di dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim, dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki" (Surah Ibrahim ayat 27)

Asbabun Nuzaul ayat 27 :

Al-Barra' r.a menyatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan tentang azab kubur dan keadaan yang terjadi di alam kubur. (Hadis sahih riwayat Nasai)

Firman Allah dalam Surah al-Mukminun 23 ayat 99-100 maksudnya : "Sehingga apabila tiba maut kepada salah seorang di kalangan mereka, berkatalah ia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku dapat mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Bahkan sesungguhnya ia hanya perkataan yang dia ucapkan, sedang di hadapan mereka ada barzakh hingga hari mereka dibangkitkan semula."

Firman Allah dalam Surah al-Ghafir 40 ayat 46 maksudnya : "Mereka didedahkan kepada api neraka pada waktu pagi dan petang, dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang sedahsyat-dahsyatnya!”

Apakah yang dimaksudkan dengan “Mereka didedahkan kepada api neraka pada waktu pagi dan petang”? Ia bermaksud azab sebelum hari kiamat. Ini kerana ayat selepas itu menyebut, yang maksudnya: “dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat):

Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang sedahsyat-dahsyatnya!”. Jelas sekali azab yang pertama ialah azab sebelum kiamat yang dibentangkan kepada mereka pada waktu pagi dan petang.

Peristiwa di alam kubur atau di alam barzakh bermula apabila seseorang itu telah mati dan kemudiannya dimasukkan ke dalam kubur. Di alam kubur itulah seseorang itu dikatakan berada di alam barzakh. Barzakh ialah dinding pemisah di antara dua alam yang akan dialami oleh setiap manusia iaitu di antara alam dunia dengan alam akhirat. Setelah seseorang itu mati, dia akan kembali ke alam akhirat tetapi sebelum menempuh alam akhirat, dia akan berada di alam barzakh terlebih dahulu. Alam akhirat yang sebenarnya ialah alam Mahsyar iaitu setelah berlaku kiamat yang seterusnya manusia akan menuju ke syurga atau ke neraka. Jadi, alam barzakh ialah tempat seseorang itu akan menunggu setelah dia mati sebelum dia dibangkitkan semula oleh Allah SWT di hari kiamat nanti.

Apabila seseorang itu mati, dia akan ditanamkan. Ada setengah-setengahnya dibakar, namun hakikamya adalah ditanam juga dan tetap menuju ke alam barzakh juga. Bagi umat Islam, setiap yang telah mati adalah ditanam. Begitu juga sebahagian dari orang-orang kafir.

Mereka yang menghantarkan seseorang yang telah mati itu ke kubur akan pulang, tidak kira sama ada dia suaminya atau anaknya atau isterinya atau siapa saja. Tidak ada siapa yang mahu menunggu lama-lama di atas kubur tadi. Maka akan tinggallah seseorang yang telah mati itu tadi berseorang diri di dalam kubur yang sempit lagi gelap gulita itu.

Pada satu hari, Rasulullah SAW masuk ke tempat sembahyang (musolla) dan baginda melihat beberapa orang sedang bergelak ketawa atau berbual kosong. Lalu baginda bersabda yang bermaksud :

“Kalau kamu semua memperbanyakkan mengingati perkara yang melenyapkan segala kelazatan hidup, nescaya kamu akan menjadi sibuk (tekun beribadat) sepertimana aku melihat kematian.”

“Oleh itu perbanyakkanlah mengingati mati kerana tidak berlalu satu hari melainkan kubur akan berkata, ‘aku rumah kesepian, aku rumah keseorangan, aku rumah tanah dan aku rumah ulat dan cacing.”

“Apabila dikebumikan hamba yang beriman, maka kubur berkata kepadanya, ‘marhaban wa ahlan’ (ucapan selamat datang), kamu adalah orang yang aku kasihi di kalangan mereka yang berjalan di atas belakangku, dan apabila aku menerimamu hari ini, lihatlah apa aku akan lakukan kepada kamu.”

Sambung Nabi saw lagi ;

“Maka kubur pun menjadi luas sejauh pandangan matanya dan dibukakan juga kepadanya pintu yang menghadap ke syurga..”

“Dan apabila dikebumikan hamba yang berdosa dan kafir, maka kubur berkata kepadanya, ‘la marhaban wa la ahlan’ (yakni tidak diundang dan tidak diterima kehadirannya).’

Engkaulah antara mereka yang paling aku benci yang berjalan di atas belakangku selama ini. Dan apabila aku menerima kamu hari ini, kamu akan saksikan apa yang bakal aku lakukan terhadapmu.”

Sabda Nabi SAW yang maksudnya, “Maka kubur pun sedikit demi sedikit mula menghimpit tubuhnya hingga bertemu rapatlah segala tulang belulangnya.”

Rasulullah SAW mengepal jari-jarinya lalu menyambung, ” Dihantarkan kepadanya tujuh puluh ular besar lagi berbisa, jika seekor daripadanya menyemburkan bisanya ke atas muka bumi ini, nescaya tidak akan tumbuh sesuatu apa pun. Selama mana baki dunia ini, maka selama itulah dia akan dibelit dan dipagut ular-ular itu hinggalah tiba hari perhitungan (Yaumul Hisab).”

Nabi SAW bersabda lagi maksudnya : “Kubur itu samaada sebuah taman syurga ataupun sebuah lubuk api neraka.”


Orang mukmin yang soleh, yang taat kepada perintah Allah dan Rasul yang mengatur setiap aspek kehidupannya mengikut Al-Quran dan Sunnah dari aspek yang sekecil-kecilnya hinggalah ke aspek yang sebesar-besamya, mereka-mereka ini dapat menjawab dengan mudah setiap soalan yang ditanya oleh Mungkar dan Nakir. Apabila semua soalan itu telah dijawab, maka malaikat Mungkar dan Nakir pun mempersilakan mayat tadi berehat di satu kawasan yang sangat luas. Kemudian malaikat pun berkata, “Tidurlah kamu di sini sebagai tidur pengantin”. Yang dimaksudkan ialah tidur yang penuh dengan keindahan dan keseronokan yang dinikmati di alam barzakh bagi orang mukmin soleh adalah lebih dari keindahan malam pengantin. Nikmat-nikmat kehidupan di dalam syurga Allah hantarkan melalui malaikat-malaikat untuk mereka.








Tanyalah Ustaz Siri 144 ( Tebus Talak, Wang Pinjaman Bank Untuk Perniagaan, Aqiqah Untuk Bukan Islam, Konsep Qada Dan Qadar Dan Hukum Bulu Kucing.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 144 adalah menjelaskan persoalan tebus talak, wang pinjaman bank untuk perniagaan, aqiqah untuk bukan Islam, konsep qada dan qadar dan hukum bulu kucing.

676. Soalan : Ustaz adakah isteri boleh meminta cerai secara tebus talak jika isteri sudah benci pada suaminya?

Jawapan :  

Suami yang berpoligami tetapi tak mampu berlaku adil dan tak mahu memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak telah melakukan kezaliman dan akan menanggung dosa besar kerana mengabaikan kewajipannya terhadap keluarganya. Suami seperti inilah yang telah mencemarkan kemurnian poligami di dalam Islam dan tidak cukup kefahaman Islam ketika hendak berpoligami. Isteri boleh memohon cerai dengan 2 cara iaitu dengan cara fasakh dan dengan cara tebus talak. 

Cara tebus talak adalah cara yang lebih mudah dan dapat di selesaikan untuk memohon cerai bagi pihak isteri. Dalam urusan cerai cara tebus talak suami akan meminta suatu bayaran tertentu sebagai pertukaran lafaz cerai yang akan dia berikan, cara ini di benarkan dalam Islam. Tetapi meminta jumlah wang hantaran adalah satu yang membebankan isteri kerana isteri mungkin tak mampu nak sediakan wang sebanyak itu. Sepatutnya suami bertimbang rasa dengan meminta jumlah bayaran yang tak membebankan kerana isteri tak bekerja.. Jumlah yang di minta mestilah mendapat persetujuan kedua belah pihak bukan pihak suami saja yang menetapkan.
 

Talak (Khulu’)

Definisi

Suatu perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan memberi wang atau lain-lain harta benda kepada suaminya. Sekiranya suami tidak bersetuju menjatuhkan talak dengan kerelaannya sendiri tetapi bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau dengan bayaran yang dipersetujui bersama, Mahkamah hendaklah mengarahkan suami itu melafazkan cerai khulu; dan menjadi bain sughra.

Kesan Perceraian Tebus Talak

i. Suami tidak boleh rujuk pada isterinya semasa eddah kerana khulu’ adalah jenis ta’liq bain;

ii. Boleh hidup bersama dengan mengadakan akad semula serta membayar mas kahwin lain;

iii. Bekas isteri mempunyai hak penuh untuk membuat keputusan semada untuk bernikah semula atua tidak.

Tatacara Pendaftaran Kes

i. Tuntutan hendaklah dimulakan dengan memfailkan Saman dan Penyata Tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah

ii. Dokumen pendaftaran kes hendaklah difailkan seperti berikut :

- Surat iringan pendaftaran kes

- Penyata tuntutan

- Salinan kad pengenalan plaintif

- Salinan sijil cerai/sijil kematian

- Wakalah Peguam Syarie (jika guna khidmat peguam)

- Lain-lain dokumen berkaitan tuntutan (jika ada)

Nota Peringatan

Segala maklumat di dalam risalah ini hanyalah sebagai panduan dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah di dalam mana-mana prosiding mahkamah
 

Tebus Talak (Khul') juga diasaskan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang berbunyi: Sesungguhnya isteri Thabit bin Qais datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, Wahai Rasulullah SAW sesungguhnya saya tidak mengaibkan akhlak dan agama (suami saya Qais) tetapi sesungguhnya saya tidak menyukainya dan tidak mahu hidup bersamanya. Menyebabkan saya melakukan maksiat (atau kerana kebencian yang bersangatan akan mendorongnya menzahirkan kekufuran supaya terfasakh perkahwinan)."
"Mahukah kamu kembalikan kepadanya kebun (yang dijadikan maharmu)?" Jawab isteri Qais, "Ya". Kemudian Rasulullah SAW bersabda (kepada Qais): "Terimalah kembali kebun itu, dan ceraikan dia satu talak."

Hadis ini menunjukkan bahawa seorang isteri boleh menceraikan dirinya daripada suaminya melalui tebus talak, iaitu dengan mengembalikan semula mahar atau mas kahwin yang telah diberikan oleh suami kepadanya semasa akad dahulu.

Hadis ini juga jelas maksudnya, di mana isteri memohon untuk menebus dirinya ini bukan kerana kekurangan suaminya tetapi kerana dia sengat benci kepada suaminya. Kebencian itu menyebabkan dia tidak dapat melaksanakan tugasnya sebagai isteri.

Kes ini sangat menarik kerana di zaman Rasulullah lagi telah ada wanita yang tidak sanggup tinggal bersama suaminya kerana terlalu membencinya.

Isu kebencian adalah soal hati yang sangat rumit. Jika mulanya cinta setinggi langit, sedalam lautan, tiba-tiba selepas hidup bersama, sesingkat sebulan atau selama 25 tahun, perasaan benci menebal hingga tidak dapat dibendung lagi. Daripada mereka hidup sebagai suami isteri dalam keadaan kebencian yang boleh menjejas anak-anak, maka adalah lebih baik mereka bercerai.

Dari segi hukum khul' adalah sunat berdasarkan hadis mengenai isteri Qais ini. Jika suami amat menyintai isterinya, maka hendaklah dia cuba memujuk isteri dan menyabarkannya supaya tidak memohon khul'. Khul' adalah batal jika isteri dipaksa memohon khul'. Misalnya, isteri didera suami dan suami enggan melafaz talak kerana tabiat buruknya. Kerana terlalu tersiksa, isteri memohon khul' kerana sudah tiada cara memohon cerai.

Permohonan fasakhnya pula terlalu lama dan belum menjanjikan keputusan yang diharapkan. Jadi dia memohon khul' dan suami secara sewenang meletakkan harga ke atas khul' itu. Perbuatan itu berdosa berasakan surah al-Nisa ayat 19: ..Dan janganlah kami menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu berikan kepadanya…

Perbuatan memaksa isteri mengembalikan mahar atau membayar sejumlah wang untuk menceraikan ini adalah perbuatan orang fasik dan ia berdosa. Khul' dibenarkan dalam keadaan di mana suami dan isteri takut tidak dapat melaksanakan hukum Allah jika terus berkahwin.

Kebanyakan ulama berpandangan khul' makruh atau tidak dibenarkan dalam keadaan yang mana isteri terpaksa memohon khul' kerana tidak sanggup hidup terseksa secara berterusan.

Ini bermakna kedua-dua pihak mesti bersetuju bahawa mereka bercerai secara khul' dan bersetuju jumlah khul' yang hendak dibayar.
Khul' tidak sah jika suami berkata, "Aku khul' kamu dengan RM1000 sedangkan isteri berkata, "Aku terima dengan RM800." Bahasa mudahnya, jumlah khul' mesti sama.


677. Soalan :  Ustaz. Saya ingin bertanya boleh kah duit pinjaman bank untk perniagaan di buat zakat. Dan bagaimana kah pengiraannya?

Jawapan : 

Jika pinjaman bank konvesional untuk di buat perniagaan maka tak boleh di zakatkan kerana wang tersebut tidak patuh syariah, hanya pinjaman bank Islam atau perbankkan Islam sahaja boleh di buat kiraan untuk di bayar zakat perniagaan. 

Atau pun sekiranya wang pinjaman tersebut di simpan pula di dalam akaun bank selama setahun Hijrah dan cukup nisabnya maka di wajibkan bayar zakat harta sebanyak 2.5 % .(rm 11, 465.00 adalah nisab semasa tahun 2014 -Pusat Zakat Selangor)

678. Soalan : Ustaz..saya nak tahu .apa hukumnya jika seseorg tu buat aqiqah tapi hidangan tu di sediakan pada majlis perkahwinan yang dhadiri berbagai agama..dan bagaimana hukumnya jika hidangan tu di makan bukan beragama islam..mohon pencerahan  ustaz?

Jawapan : 

Sejak akhir-akhir ini, selepas hubungan silang agama semakin rapat dan akrab, ziarah menziarahi kerap berlaku, saling menjemput ke majlis jamuan dan kenduri kendara sudah menjadi kebiasaan.

Malah, seorang Islam atau bukan Islam mungkin berasa janggal jika tidak menjemput rakan bukan Islam ke majlis yang diadakan, terutama jiran satu taman dan rakan setempat kerja. Budaya dan interaksi seperti ini mungkin menimbulkan isu.

Keadaan lebih ketara pada ibadat aqiqah yang pada kebiasaannya dilakukan di rumah. Majoriti orang Islam di Malaysia berpendapat daging aqiqah haram diberi makan kepada orang bukan Islam. Seorang Muslim akan berasa serba salah, jika tidak menjemput jiran bukn Islam sebelah rumah.

Dianggap kurang manis jika tidak memberikan daging korban kepada jiran. Sebaliknya, berasa bersalah kerana sudah melanggar hukum syarak yang mengharamkan daging aqiqah dan korban diberi makan kepada bukan Islam.

Jiran bukan Islam juga akan tidak selesa berada di rumah dalam keadaan dia tidak dijemput. Biasanya mereka akan sengaja membuat helah untuk tidak berada di rumah pada masa majlis diadakan.

Keadaan seperti ini sebenarnya menimbulkan satu tanggapan bahawa Islam tidak mesra jiran. Apakah tidak ada cara bagi umat Islam mengatasi masalah ini. Apakah tidak ada pendapat lain, selain pendapat yang mengatakan daging korban dan aqiqah haram diberi makan kepada bukan Islam?

Pendapat umum dan amalan orang Islam di Malaysia mengatakan daging korban tidak boleh diberi makan kepada bukan Islam. Namun, kita boleh merujuk kepada pendapat dikemukakan ulama mazhab lain dalam isu ini. Kita dapat mengesan pelbagai pendapat dengan hujah masing-masing. Melalui pendapat itu umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.

Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.

Dalam al-Bajrimi dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga dalam Kitab al-Majmu` disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.

Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir miskin Islam.

Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan al-Syarbini dalam al-Iqna' menyebutkan mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.

Mazhab Hambali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus.

Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla menyatakan tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat:
1. Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada bukan Islam.

2. Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

3. Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

4. Semua ulama mazhab sepakat (ijma') memberi atau memberi makan daging korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi`ie saja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat atau daging aqiqah sunat, tidak harus jika korban wajib.atau aqiqah wajib.

Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat atau daging aqiqah sunat lebih baik diterima pakai.

Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam memang ada sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara perhubungan silang agama.

Di samping itu, menerima pakai pendapat majoriti dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak berasa bersalah untuk menjemput jiran kalangan bukan Islam menghadiri majlis kenduri mereka. - Ulasan Ustaz Alis Othman bekas pensyarah Akademik Islam Universiti Malaya.
 

Berdasarkan huraian di atas maka dapatlah di simpulkan bahawa menjemput jiran atau rakan yang bukan Islam di majlis perkahwinan yang mana terdapat daging aqiqah sunat adalah di haruskan dan majoriti ulama mazhab mengatakan bahawa harus orang bukan Islam dijamu dengan daging aqiqah sunat atau daging korban sunat. Wallahu a'lam

679. Soalan : Saya nak bertanya, Allah sudah tentukan amalan seseorang hamba itu sebelum seseorang itu lahir ke dunia sama ada baik atau buruk amalannya tetapi kenapa Allah mahu menghukum sesuatu yang sudah Allah tentukan sendiri.? Maaf jika soalan saya salah kerana saya kurang jelas konsep qada dan qadar.

Jawapan : 

Kita kena faham betul-betul konsep qada dan qadar supaya kita tak tersesat di dalam memahami rukun iman ke 6 iaitu percaya kepada qada dan qadar. Akidah kita adalah akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan bukan akidah Qadariah atau Jabariah. Kedua-dua akidah ini (Qadariah dan Jabariah) adalah sesat dan bertentangan dengan kefahaman dan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
 

Qadariah

Qadariah dinisbahkan dari perkataan Qudrat. Golongan ini beriktikad bahawa segala perbuatan manusia itu samada baik atau buruk adalah lahir dari usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri, tiada hubung kait dengan kuasa ALLAH, pengasas mazhab ini ialah Ma’bad ibn Khalid al Juhani dan Ghailan al-Dimasyqi. Mazhab ini lahir di Basrah oleh sebab pertikaian umat islam tentang persoalan qada dan qadar ALLAH, nama mazhab ini diambil dari al-qadar. Mereka mengatakan bahawa segala usaha dan perbuatan manusia itu terjadi dengan kehendak mereka sendiri. 


Antara lain mengenai iktikad qadariah ini ialah:

a. Manusia bebas melakukan sesuatu mengikut kemahuan yang kesannya adalah dari manusia, akan tetapi dengan qudrat yang diberikan ALLAH kepada manusia.


b. Percaya ALLAH tidak membuat apa-apa takdir kepada manusia
Iktikad ini tidak tepat kerana setiap perbuatan manusia kebanyakan tidak tercapai dimana jika manusia itu berkuasa mestilah tiada yang sakit, hidup kemiskinan sengsara dan sebagainya. Fahaman ini adalah melampau sama sekali.

Jabariah

Berasal dari perkataan al-jabr atau jabrun yang bermaksud tergagah atau digagahi. Muncul di Kufah pada zaman pemerintahan Umaiyah yang dibawa oleh seorang lelaki bernama Jaham ibn Safuan dari Khurasan, mazhab ini beriktikad bahawa manusia itu dipaksa dan digagahi sepenuhnya oleh ALLAH, manusia itu langsung tidak berkemampuan melainkan ALLAH dan manusia seperti kapas dan debu yang ditiup angin.

Kefahaman Qadariah mengatakan bahawa baik buruk amalan manusia ini di tentukan oleh diri mereka sendiri dan kefahaman Jabariah pula bahawa segala perbuatan dan amalan manusia di tentukan oleh Allah SWT dan manusia umpama kapas ikut saja tak ada ikhtiar manusia. Kedua-dua kefahaman ini adalah sesat dan tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan ayat-ayat Allah SWT dan hadis-hadis Rasulullah SAW.


Percaya dan beriman kepada Qada' dan Qadar adalah termasuk salah satu daripada Rukun Iman yang enam. Sesiapa yang mengingkarinya akan merosakkan imannya.
Percaya dan beriman kepada Qada' dan Qadar adalah termasuk salah satu daripada Rukun Iman yang enam. Sesiapa yang mengingkarinya akan merosakkan imannya.

Qada' dan Qadar ialah ketetapan Allah yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan.

Qada' dan Qadar terbahagi kepada dua iaitu Mubram dan Muallaq.

Pertama : Qada' Mubram adalah takdir yang pasti. Sebagai contoh, wanita sahaja yang boleh mengandung dan melahirkan anak, manusia memerlukan oksigen, makan dan minum yang mencukupi untuk hidup. Itu adalah satu ketetapan yang pasti. Allah menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya diikuti dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Allah menetapkan satu bahagian oksigen perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen untuk menjadi air dan hakikat ini tidak dapat diubah sampai ke bila-bila.

Allah menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai bila-bila masa. Allah menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang pakar perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini. Semua ini dan yang lain-lainnya tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah sejak dari azali lagi berdasarkan kebijaksanaanNya yang tanpa batas dan ia telah menjadi hukum alam yang dikenali sebagai hukum sebab musabab dan sebab akibat.

Justeru, hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah sebahagian daripada ketetapan Qada' dan Qadar.

Kedua : Qada' Muallaq pula adalah ketetapan yang boleh berubah. Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata, “Mengikut pendapat yang hak, Luh Mahfuz menerima penghapusan dan penetapan.”

Salman Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Tidak tertolak Qada' itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Doa itu sendiri sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah.Mereka yang berdoa perlu mempunyai keyakinan kerana ada dinyatakan, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka.

Rasulullah SAW. yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas do'a orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Memetik kata-kata Imam al-Ghazali:“Jika ada orang bertanya, apa manfaat doa itu padahal Qada' (ketentuan Allah) tidak dapat dihindarkan. Ketahuilah bahawa Qada' juga boleh menghindarkan suatu bala dengan berdoa. Maka doa menjadi sebab bagi tertolaknya suatu bala bencana dan adanya rahmat Allah sebagaimana juga halnya, perisai menjadi sebab bagi terhindarnya seseorang daripada senjata dan air menjadi sebab bagi tumbuhnya tumbuh-tumbuhan di muka bumi.”

Perkara ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 39 yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada sisi-Nya ada ibu segala suratan.”

Berkenaan dengan hal ini kita boleh mencontohi sikap para sahabat Nabi SAW walaupun sudah dijanjikan Syurga namun mereka masih lagi berusaha meningkatkan amal dan berbuat baik.


Sayyidina Umar Al-Khattab r.a pada suatu ketika, telah melafazkan do'a-do'a ini ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud :"Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalankan hubungan tali silaturahim."(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Umur seseorang itu adalah termasuk Qada' Muallaq boleh berubah-rubah samaada dipanjangkan atau dipendikkan. Dalam hadis tersebut Allah boleh memanjangkan umur seseorang apabila dia menghubungkan silaturahim.

Terdapat satu kisah di zaman Nabi Daud a.s. bahawa menjalin ikatan silaturahim dengan izin Allah dipanjangkan umur. Mengikut riwayat, pada suatu ketika malaikat maut datang kepada Nabi Daud. Pada masa itu kelihatan seorang lelaki duduk di depannya.

Malaikat maut berkata "Enam hari lagi, orang ini akan dicabut nyawanya".

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, Nabi Daud menjenguk lelaki itu yang ternyata dia masih hidup. Bahkan keadaannya bertambah sihat. Lelaki itu juga kelihatan bertambah muda berbanding sebelumnya.

Nabi Daud pun bertanya kepada malaikat maut,"Mengapakah demikian (dia masih hidup) sedangkan katamu tinggal enam hari saja lagi lelaki itu akan dicabut nyawanya?".

Malaikat maut pun menjawab. "Ketika itu, selepas beredar dari hadapanmu, dia sudah menyambung silaturahimnya yang sudah lama terputus, maka Allah menambahkan umurnya hingga 20 tahun lagi."

Syed Sabiq di dalam kitabnya Al-Aqaid Al-Islamiyah berkata: “Imam Al-Khathabi telah berkata: ‘Ramai orang mengira Qada' dan Qadar adalah pemaksaan Allah ke atas hambaNya dan manusia hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui tentang kejadian yang akan berlaku berhubung semua perkara..’ Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu.”

Di zaman Umar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan beliau telah dibawa menghadap khalifah Umar al-Khattab. Lelaki itu telah disoal: “Mengapa kamu mencuri?” Lelaki itu menjawab: “Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya.” Khalifah Umar r.a amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya.” Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: “Mengapa hukumannya begitu berat?” Berkata Umar al-Khattab r.a: “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah.” Maksudnya, manusia diizinkan Allah untuk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan Qada' dan Qadar.

Manusia dapat menolak takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan oleh Allah bagi manusia. Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat dihilangkan dengan tidur. Mengikut sebuah riwayat yang sahih, Khalifah Umar al-Khattab r.a enggan memasuki kampung tertentu di Syam kerana ketika itu ia sedang dilanda wabak taun. Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah r.a bertanya kepada Umar r.a: “Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan?’ Umar r.a menjawab: “Aku lari dari takdir Allah kepada takdir yang lain.”(Tarikh At-Tabari)

Kesemua ini menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia malah sebaliknya manusia telah diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya sendiri. Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari ruang kemanusiaan yang telah Allah tetapkan dan Allah sejak dari awal lagi telah mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.

Allah berfirman maksudnya : “Keputusan di sisiKu tidak akan berubah dan Aku sekali-kali tidak menzalimi hamba-hambaKu.”(Surah Qaaf ayat 29)

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaun itu sendiri mengubah nasibnya"(Surah Ar-Ra'd ayat 11)

Takdir ini boleh berubah dari masa ke semasa, sebagai contoh, jika seseorang telah ditakdirkan hidup hingga ke usia 60 tahun, dan beliau sering menghubungkan tali persaudaraan dengan manusia, Allah mungkin menambah umurnya melebihi 60 tahun. Atau jika seseorang telah ditulis akan memasuki Neraka kemudian di hujung hidupnya beliau bertaubat dan melakukan amal soleh dengan penuh keikhlasan, berkemungkinan beliau akhirnya akan dimasukkan ke dalam Syurga.
 

Kesimpulannya : Allah SWT memberi akal kepada manusia boleh berfikir dan membuat pilihan baik atau buruk. Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran dan Nabi Muhammad SAW telah menyampaikan wahyu daripada Allah SWT bahawa jika manusia pilih Islam dan iman dan menjadi manusia yang bertakwa maka mereka akan di masukkan ke dalam syurga tetapi jika manusia kufur dan tak mahu beriman kepada Allah SWT hendak pilih maksiat dan dosa walau pun tahu ancaman daripada Allah dia berdegil nak buat dosa dan maksiat juga maka jika dia di masukkan kedalam neraka tak boleh dia salahkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. 

Dalam ajaran Islam jika seorang cacat akal semenjak dilahirkan maka insan seperti ini tak ada dosa dan pahala maka tak di bebankan untuk melaksanakan kewajipan terhadap Allah SWT. Manusia boleh membuat pilihan dan Allah SWT serahkan pada manusia untuk membuat pilihan. Sebagai seorang mukmin yang yakin dengan qada dan qadar akan berpegang pada 3 perkara iaitu berdoa, berusaha (berikhtiar) dan bertawakkal. Jika berjaya apa yang di usahakan dia bersyukur tetapi jika sudah berusaha mendapat kegagalan dia redha dan bersabar akan mendpat kebaikan juga pada manusia. Semua yang terjadi di muka bumi jika seorang mukmin itu faham hakikat iman maka semuanya adalah kebaikan belaka dan mereka berbaik sangka terhadap Allah SWT.

680. Soalan : Ustaz saya ni pengemar kucing, apakah batal solat saya, jika ada bulu kucing pada baju saya, apakah bulu kucing itu najis.. sedangkan tiada najis pada bulu kucing tersebut?

Jawapan : 

Menurut ulama bermazhab Syafii, bulu yang tercabut daripada binatang yang haram dimakan, bulu itu adalah najis. Oleh kerana kucing adalah binatang yang haram dimakan, maka bulu yang tercabut semasa kucing itu masih hidup adalah najis.

Namun bulu kucing itu adalah najis yang dimaafkan kerana kucing adalah binatang peliharaan dan sukar untuk dikawal dan berkebarangkalian bulunya merata-rata dan sukar dikawal. Oleh itu jika badan, pakaian, atau tempat sembahyang terkena bulu kucing, maka solat yang dikerjakan adalah sah.

Kabshah bt Ka’ab ibn Malik melaporkan, "Pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu saya menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian datang seekor kucing dan ia menjilat air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu menjilat air daripada bekas tersebut." Kabshah meneruskan kata-katanya, "Abu Qatadah perasan yang saya memandang kepadanya, lalu dia bertanya, 'Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?' Saya menjawab, 'Ya’. Abu Qatadah menjelaskan, "Rasulullah SAW pernah bersabda, 'Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu.'" Hadis sahih direkod oleh Imam Abu Daud, Tirmizi, al-Nasa'i, dan Ibnu Majah. ). Wallahu a'lam .



Tanyalah Ustaz Siri 143 (Pawah Kebun, Mengatasi Was-was, Fidyah Tak Berganda, Niat Untuk Melakukan Dosa dan Jin Ada Islam dan Kafir.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 143 adalah menjelaskan persoalan pawah kebun, mengatasi was-was, fidyah tak berganda, niat untuk melakukan dosa dan jin ada Islam dan kafir.

671. Soalan :  Apa pendapat ustaz tenteng pawah, seperti pawah kebun getah,ada sesetengah ustaz kata haram pawah 50-50 tuan kebun 50%, penoreh 50%.musykil juga sebab kebanyakkan orang kampung memang pawah kebun mereka.

Jawapan : 

Urusan pawah kebun getah, sawah padi, kebun kelapa sawit adalah di haruskan . Pembahagian adalah mengikut perjanjian dan persetujaun bersama-sama. Jika pemilik dan pengusaha bersetuju hasil yang di perolehi di bagi dua (50:50) maka ianya adalah haruskan. Tidak boleh satu pihak menindas pihak yang lain. Misalnya pegusaha di berikan hanya 20 % dan pemilik mendapat 80% maka cara ini zalim dan meganiaya pengusaha. Sekurang-kurangnya pengusaha mendapat 50% atau lebih misalnya 60% pengusaha dan memilik kebun mendapat 40%..
 

Pengertian, Hukum, Rukun dan Syarat Musaqah

Musaqah merupakan salah jenis kegiatan muamalah yang sering terjadi dimasyarakat, seperti halnya muzaraah dan mukhabarah.

Akad musaqah merupakan peluang bagi orang lain untuk bekerja dan mendapatkan hasil dari pekerjaannya dengan cara yang halal dan diredhai Allah SWT. Sedangkan bagi majikan juga merasa sangat terbantu. Islam sangat menganjurkan musaqah kerana memberi manfaat sosial yang sangat tinggi.
Pengertian dan dasar hukum Musaqah

Musaqah berasal dari kata al-saqa, yakni seseorang yang bekerja mengurus pohon anggur, kurma, tamar, getah, padi, kelapa, getah atau lainnya supaya mendatangkan kemaslahatan dan mendapatkan bagian tertentu dari hasil yang diurus sebagai imbalannya.

Musaqah secara istilah adalah mempekerjakan manusia untuk mengurus pohon dengan menyiram dan memeliharanya serta hasil yang direzekikan Allah SWT. dari pohon itu untuk mereka berdua memilikinya hasinya (pendapat Syekh Syihab ad-Din al-Qalyubi dan Syekh Umarah).

Dasar hukumnya dalah hadits Nabi SAW. riwayat Imam Muslim dari Ibnu Amr, r.a bahwa Rasulullah SAW. bersabda :

اعطى خيبر بشطر مايحرج من ثمراو زرع وفى رواية : دفع إلى اليهود خيبر وارضها على انيعملوها من اموالهم وان لرسول الله صلى الله عليه وسلم شرطها

maksudnya: “Memberikan tanah khaibar dengan separuh dari penghasilan, baik buah-buahan mahupun pertanian (tanaman).” Pada riwayat lain dinyatakan bahwa Rasulullah SAW menyerahkan tanah khaibar itu kepada Yahudi, untuk diolah dan modal dari hartanya, penghasilan separuhnya untuk Nabi SAW.
Rukun Musaqah

Rukun musaqah meliputi beberapa hal:

1) Antara pemilik kebun dan tukang kebun (penggarap) hendaknya orang yang sama-sama berhak bertasaruf (membelanjakan harta keduanya).

2) Kebun dan semua pohon yang berbuah boleh diparokan (bagi hasil), baik yang berbuah tahunan (satu kali dalam satu tahun) mahupun yang berbuah hanya satu kali kemudian mati, seperti jagung dan padi.


Syarat Musaqah

Syarat musaqah adalah sebagai berikut:

1) Ahli dalam akad.

2) Menjelaskan bagian penggarap.

3) Membebaskan pemilik dari pohon.

4) Hasil dari pohon dibagi dua antara pihak-pihak yang melangsungkan akad sampai batas akhir, yakni menyeluruh sampai akhir.

Tidak disyaratkan untuk menjelaskan mengenai jenis benih, pemilik benih, kelayakan kebun, serta ketetapan waktu.
Hikmah Musaqah

Memberi kesempatan pada orang lain untuk bekerja dan menikmati hasil kerjanya, sesuai dengan yang dikerjakan. Sementara itu, pemilik kebun/tanah garapan memberikan kesempatan kerja dan meringankan kerja bagi dirinya.


672. Soalan : Bagaimanakah cara kita hendak mengatasi was-was setelah mengambil wuduk untuk solat?

Jawapan : 

Apabila berlaku was-was maka was-was adalah daripada gangguan syaitan.Terdapat Berapa Cara Untuk Mengatasi Perasaan Was-Was :

1. Perasaan was-was yang mengganggu ibadah adalah gangguan fikiran dan syaitan. Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah.

Para ulama seperti Ibn Jauzi (meninggal 597H), Ibn al-Qayyim (meninggal 751H) dan ramai lagi sejak dahulu menulis dalam berbagai karya untuk membenteras penyakit yang buruk ini.

2. Antara sebab utama berlakunya was-was; tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi SAW yang mudah dan senang dalam ibadah, terlalu melayan gangguan perasaan.

Kata al-Imam Ibn al-Qaiyyim: “Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah SAW atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah SAW” (Ighathah al-Lihfan Min Masaid al-Syaitan, 134, Beirut: Dar Ibn Zaidun)

3. Antara ajaran yang menyebabkan was-was ialah pendapat yang mewajib mengurut kemaluan selepas kencing. Tiada nas yang sahih dalam perkara tersebut. Hanya yang diperintah agar kita membersihkan diri dari air kencing, bukan disyaratkan mesti mengurut kemaluan sehingga dipastikan segala yang ada dikeluarkan. Anggapan bahawa jika tidak diurut sehingga habis tidak sah solat adalah tidak benar.

Kata al-Syeikh Abd al-‘Aziz Ibn Baz r.h: “Adapun mengurut zakar agar keluar sesuatu adalah salah dan tidak wajar. Ia antara sebab berlakunya was-was dan tidak lawas. Hendaklah dihindari perkara ini. Sebaik sahaja terhenti kencing, maka berintinjak (cuci) dengan air…” (Ibn Baz, al-Fatawa al-Muta’allaqah bi al-Tibb wa Ahkam al-Marda, 35, Riyadh: Idarah al-Buhuth).

4. Bagi mengelakkan was-was yang merasai air kencing terkena pakaian atau masih terkeluar dari kemaluan, dicadangkan agar selepas membuang air kecil, diambil air dan direnjis pada pakaian yang berhampiran. Tujuannya, agar jika ternampak apa-apa kesan air, maka anggaplah itu air renjisan tadi. Al-Imam Ahmad telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas.

Kata al-Imam Ahmad: “Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insya Allah”. (Ibn Qudamah, al-Syarh al-Kabir 1/94) Cadangan al-Imam Ahmad ini berteraskan hadis: “Bahawa Nabi SAW kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Hadis Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Nabi SAW melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita.

5. Adapun rasa ‘keluar angin’ (kentut) tetapi tidak pasti atau tidak yakin bahawa betul-betul keluar atau hanya perasaan sahaja, maka itu tidak membatal wuduk dan solat. Nabi SAW mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. Dalam hadis al-Bukhari, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi SAW bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?. Jawab Nabi SAW: “Jangan sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”.

Maksudnya, Nabi SAW mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti tidak berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira. Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.

6. Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini. . Sedang Nabi SAW memberitahu kita: “Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

7. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah SWT maka hendaklah dia tahu bahawa Allah tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu.

Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah. Ikutilah arahan Allah SWT dan RasulNya tanpa melayan was-was. Was-was akan memalingkan seseorang dari mengikuti arahan Allah dan rasulNya secara betul.

8. Al-Quran menceritakan bahawa senjata was-was ini jugalah yang digunakan oleh Iblis sehingga membawa Adam melanggar arahan Allah.

Firman Allah SWT: (maksudnya) “Setelah itu maka syaitan telah mewas-waskan kepada Adam dengan berkata: “Wahai Adam, Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu dia tersalah jalan.” (Surah Taha ayat 120-121)


673. Soalan :  Ustaz, mohon penjelasan, saya ingin bertanya , Bagaimana cara untuk kita mengantikan puasa yang kita tinggal 5 tahun lepas (Ketika itu saya dalam keadaan pantang bersalin)?

Jawapan : 

Puasa yg ditinggalkan wajib qada jumlah yg ditinggalkan. Di samping puasa qada saudari juga dikenakan fidyah 1 cupak makanan asasi setiap hari yang ditinggalkan. Mengikut mazhab Syafie fidyah di gandakan setiap tahun yg ditinggalkan tetapi mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali tidak payah digandakan hanya bayar sekali sahaja. Jawatankuasa Fatwa telah dikemukakan dengan persoalan tentang hukum gandaan fidyah dan kifarah. Pihak Jawatankuasa diminta untuk memberi pendapat dan keputusan tentang perkara tersebut.
Keputusan:

1. Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor yang bersidang pada 16 Januari 2001 telah sebulat suara membuat keputusan bahawa pembayaran-pembayaran fidyah dan kifarah yang tertangguh adalah tidak digandakan (harus). Ini menurut sebahagian pandangan mazhab Syafie.

2. Walaubagaimanapun, sekiranya pihak pembayar ingin membuat pembayaran fidyah dan kifarah secara berganda maka ianya boleh diterima.

3. Oleh itu, pembayaran fidyah dan kifarah ini diberi dua pilihan:

a. Digandakan pembayaran fidyah dan kifarah mengikut tahun yang ditinggalkan.

b. Tidak digandakan pembayaran.

4. Pandangan ini diambil kira ia berbetulan dengan ajaran Islam yang tidak sama sekali menyusahkan manusia yang menganut ajarannya

Keterangan/Hujah:

LATAR BELAKANG

1. Fidyah ialah satu istilah yang terdapat di dalam fiqh al-Islami. Ia lebih difahami sebagai "satu cara untuk menggantikan puasa Ramadhan yang tertinggal disebabkan keuzuran yang diterima oleh syarak atau tidak".

2. Jumlah fidyah yang dibayar adalah berdasarkan kepada bilangan puasa yang ditinggalkan. Sekiranya bilangan puasa yang ditinggalkan itu banyak, maka banyaklah fidyah yang perlu dibayar. Begitu juga sebaliknya.

3. Sekiranya jumlah yang perlu dibayar adalah sedikit, ia tidak menjadi masalah. Tetapi sekiranya jumlah tersebut terlalu tinggi, masalah akan timbul apabila berlaku penggandaan dalam pengiraan fidyah apabila pembayaran ditangguhkan untuk beberapa Ramadhan.

PENDAPAT ULAMA"

1. Terdapat dua pandangan terhadap masalah penggandaan kiraan fidyah tertangguh:

1) Tidak digandakan: ia adalah pandangan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Pandangan ini dikukuhkan dengan hujah bahawa penagguhan terhadap sesuatu ibadah tidak akan menambahkan bilangan ibadah tersebut sebagaimana yang berlaku kepada ibadah haji yang tertangguh.

2) Digandakan: Pandangan ini dikukuhkan dengan hujah bahawa setiap penagguhan tersebut membentuk fidyah yang lain. Fidyah yang bertambah tersebut tidak boleh disatukan menjadi satu.


674. Soalan : Ustaz...saya hendak bertanya.. ustaz apakah hukum seseorang itu berniat untuk mmbuat kejahatan tetapi tidak dilakukan..adakah dikira berdosa juga...terima kasih.

Jawapan : 

Dari Abdullah bin Abbas r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah mencatat segala hasanat (kebaikan) dan sayyiat (kejahatan) kemudian menjelaskan keduanya maka barangsiapa yang berniat akan melakukan kebaikan lalu dikerjakannya maka akan dicatat untuknya sepuluh hasanat mungkin ditambah hingga tujuh ratus kali lipat atau lebih dari itu.Dan apabila ia berniat akan melakukan sayyiat (kejahatan) lalu tidak dikerjakannya maka Allah mencatat baginya satu hasanat dan jika niat itu dilaksanakannya maka ditulis baginya satu sayyiat.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walau pun niat yang belum dilaksanakan tidak mendapat dosa tetapi jika niat yang buruk itu bersarang di hatinya akan menjadi dosa kerana akan timbul perasaan dendam dan apabila sesaorang berazam untuk melakukan maksiat / dosa maka jika mati dengan niat buruk itu ada di hati akan berdosa sesuai dengan niat di hatinya. 

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:"Apabila dua orang muslim berbunuh-bunuhan dengan pedang maka pihak yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka. Abu Bakrah bertanya, Wahai Rasulullah, orang yang membunuh memanglah masuk neraka tetapi bagaimana orang yang terbunuh pun masuk neraka? Jawab baginda, kerana ia berniat dengan bersungguh-sungguh hendak membunuh lawannya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Contoh yang lain jika seeorang berniat nak mencuri dalam perjalanan berlaku kemalangan jalan raya dan dia mati dalam keadaan niat di hatinya untuk mencuri maka matinya dalam keadaan maksiat. Oleh itu niat juga akan mempengaruhi amal soleh seseorang, contoh kisah seorang lelaki telah membunuh 100 orang tetapi dia berniat nak bertaubat di dalam perjalanan dia meninggal dunia maka Allah SWT terima taubatnya kerana niat yang baik untuk dia bertaubat walaupun belum sampai ditempat yang dituju.

Islam melarang umatnya bersikap suka berdendam kerana dendam boleh menyebabkan kita jauh daripada rahmat Allah SWT. Perasaan dengki, dendam, marah dan perlakuan buruk kepada sesama Muslim adalah satu senjata pemusnah yang digunakan syaitan untuk memporak-perandakan hidup manusia. Lalu dibisikkan ke telinga manusia untuk menyemarakkan api kemarahan dan mendorong dendam.

Perlakuan buruk itu akan menghindari kita daripada berusaha meningkatkan ukhwah dan persaudaraan, apa lagi untuk saling bermaafan sesama kita. Sikap ini pasti menjauhi lagi hubungan silaturahim yang dituntut agama.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah daripada (hasutan) syaitan, untuk menjadikan orang beriman berduka cita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jugalah hendaknya orang beriman berserah diri." (Surah Al-Mujadalah, ayat 58)

Justeru, penting bagi kita untuk mengawal perasaan dendam dan marah supaya terbuka pintu kemaafan di hati kita terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain. Sikap mengawal marah ini dititikberatkan Rasulullah SAW apabila seorang sahabat meminta nasihat.

Baginda bersabda yang bermaksud: "Jangan marah. Kemudian orang itu mengulangi permintaannya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi Baginda SAW menjawab: Jangan Marah." (Hadis riwayat Bukhari)

Allah juga akan memberi ganjaran besar bagi mereka yang mampu mengawal perasaan marah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa yang menahan perasaan marah sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya (melepaskan kemarahannya), maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di hadapan sekalian makhluk, kemudian disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya." (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

Untuk meredakan perasaan marah terhadap seseorang, hendaklah kita fokuskan jiwa melihat seteru kita daripada sudut positif. Mungkin ada banyak perkara baik pernah dia lakukan terhadap kita dan renungkanlah secara mendalam bagi memadamkan api kemarahan yang wujud dalam jiwa.

Contohnya, apabila kita marah melihat kesalahan dilakukan isteri maka hendaklah kita fokuskan perbuatan baik yang pernah dilakukannya sepanjang perkahwinan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredai akhlaknya yang lain." (Hadis riwayat Muslim)

Perasaan marah yang tidak dapat dilenyapkan akan mewujudkan perasaan dendam. Maka hati akan berasa berat untuk memaafkan seseorang dan terbitlah perasaan benci serta ingin menjauhkan diri daripada orang itu.

Perasaan dendam juga akan menyebabkan kita menghukum pihak yang melakukan kesalahan dengan pelbagai perkataan buruk hina lagi mengaibkan yang tidak patut keluar daripada lidah jika kita benar-benar beriman kepada Allah.

Hendaklah kita sedaya-upaya menghindari untuk membalas kejahatan dilakukan orang lain dengan kejahatan atau mencela dan mengaibkan mereka. Jangan kita membalas celaan dengan celaan, umpatan dengan umpatan, caci-maki dengan caci-maki kerana ia hanya akan mengeruhkan suasana.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika ada seseorang mencelamu dengan sesuatu noda yang ada dalam dirimu, maka janganlah mencelanya dengan menunjukkan suatu noda yang ada di dalam diri orang itu." (Hadis Riwayat Imam Ahmad daripada Jabir bin Muslim)

Antara batu penghalang utama untuk kita menerapkan perasaan saling bermaaf-maafan adalah sikap yang kasar, keras kepala dan berhati batu. Oleh itu sikap lemah lembut dalam pergaulan seharian wajar menjadi sifat umat Islam terpuji.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan mencintai kelembutan dan Dia memberikan atas (sebab) lemah lembut apa yang tidak Dia berikan atas (sebab) kekerasan dan yang tidak yang tidak dia berikan atas (sebab) selainnya." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Allah menganugerahkan kepada Nabi dan Rasul-Nya sikap lemah lembut terhadap umat manusia dan sikap itu adalah daya tarikan terhadap dakwah mereka. Melalui sikap lemah lembut ini jugalah memunculkan sifat suka memaafkan kesalahan pihak lain.


675. Soalan : Ustaz..apakah status hadis berkenaan sebaik baik jin sejahat jahat manusia.

Jawapan : 

Kata-kata tersebut bukan hadis dan bukan kata-kata ulama . Kata-kata tersebut palsu dan tidak benar dan menyimpang apa yang di jelaskan di dalam al-Quran. Al-Quran menjelaskan bahawa ada dikalangan jin Islam yang soleh dan beriman dan ada dikalangan mereka yang kafir dan engkar. Mana boleh sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin seolah-olah kita mengatakan semua jin kafir lebih jahat daripaad firaun (kerana firaun adalah sejahat-jahat manusia).

Terjemahan Surah al-Jinn (72) ayat. 1-15

Bismillahi al-Rahman al-Rahim (Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani).


72-1: Katakanlah: "Telah diwahyukan kepadaku bahawa sekumpulan jin telah mendengarkan, lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan al-Qur’an yang menakjubkan.”


72-2: “Memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami tidak akan mempersekutukan seorang pun dengan Rab (Tuhan) kami.”


72-3: “Dan bahawasanya Ta’ala (Maha Tinggi) kebesaran Rab (Tuhan) kami, Dia (Allah) tidak beristeri dan tidak (pula) beranak”


72-4: “Dan bahawa orang yang bebal daripada kami mengatakan yang melampaui batas terhadap Allah.”


72-5: “Dan sesungguhnya kami mengira, bahawa manusia dan jin tidak akan mengatakan perkataan yang dusta terhadap Allah.”


72-6: “Dan bahawa ada beberapa orang laki-laki antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki antara jin, maka mereka (manusia) menjadikan mereka (jin) itu bertambah sombong.

72-7: Dan sesungguhnya mereka (jin-jin) menyangka sebagaimana sangkaan kamu, bahawa Allah tidak akan membangkitkan seorang (rasul) pun.


72-8: Dan sesungguhnya kami (jin) telah menyentuh (mengintip) langit itu, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api.


72-9: Dan sesungguhnya kami (dahulu) dapat menduduki beberapa tempat padanya (di langit) untuk mendengar-dengarkan. Tetapi sekarang sesiapa yang mendengar-dengarkan, tentu akan menjumpai panah api yang mengintai.


72-10: Dan sesungguhnya kami tidak mengetahui apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi atau Rab (Tuhan) mereka menghendaki kebaikan bagi mereka.


72-11: Dan sesungguhnya antara kami ada orang yang salih dan antara kami ada yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza.


72-12: Dan sesungguhnya kami mengetahui, bahawa kami tidak dapat melepaskan diri dari Allah di bumi dan tidak kami melepaskan diri dengan lari.


72-13: Dan sesungguhnya tatkala kami mendengar petunjuk, maka kami beriman kepadanya. Sesiapa beriman kepada Rab (Tuhan)nya, maka dia tidak takut akan kerugian dan tidak akan penganiayaan.

72-14: Dan sesungguhnya antara kami ada yang Muslimin (yang berserah diri), dan ada (pula) yang menyimpang dari kebenaran. Sesiapa yang aslam (berserah diri), maka mereka itulah yang telah memilih jalan yang lurus.


72-15: Adapun orang yang menyimpang, maka mereka menjadi kayu api neraka Jahanam.
 

Cuba kita lihat Surah al-Jinn ayat 14-15 terjemahannya, "Dan sesungguhnya antara kami ada yang Muslimin (yang berserah diri), dan ada (pula) yang menyimpang dari kebenaran. Sesiapa yang aslam (berserah diri), maka mereka itulah yang telah memilih jalan yang lurus. Adapun orang yang menyimpang, maka mereka menjadi kayu api neraka Jahanam." Ayat ini dengan jelas menerangkan bahawa di antara jin ada yang beriman (Islam dan taat kepada Allah) dan ada jin yang menyimpang (kufur dan melakukan dosa dan maksiat). Jin yang menyimpang dari kebenaran akan di masukkan kedalam neraka.

Tanyalah Ustaz Siri 142 (Hukum Bulu Kucing, Air Ikan Kena Baju, Doa Khatam Al-Quran, Niat Semasa Berkorban Dan Ibu Kena Sihir)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 142 adalah menjelaskan persoalan hukum bulu kucing, air ikan kena baju, doa khatam al-Quran, nita semasa berkorban dan ibu kena sihir.

666. Soalan : Ustaz adakah bulu kucing itu najis.. sebab ada yang beritahu saya bulu kucing adalah.. najis..jika terkena pada baju.. tak boleh bawa solat.. betul ke ustaz?..jazakallahu khair

Jawapan :

Bulu kucing bukanlah najis, oleh kerana kucing itu sendiri bukan binatang yang najis, malahan bulu kucing yang jatuh kedalam air minuman juga tidak menajiskan minuman tersebut.

Berikut kami petik fatwa yang dikeluarkan Markas Fatwa dibawah pegawasan Dr Abdullah al-Faqih :-

"Kucing bukanlah binatang yang najis, diriwayatkan dari pengarang-pengarang al-Sunan dari Kabshah bt Ka'b ibn Malik, isteri kepada Abu Qutaadah, bahawa Abu Qutaadah masuk dan dia (isteri) menuangkan air kepadanya agar dia dapat melakukan wuduk. Kemudian datang seekor kucing dan minum dari air tersebut, dan ia menarik takungan tersebut agar dapat minum air tersebut. Kabshah berkata :'Dia melihatku memandang kepadanya dan dia berkata, 'Adakah anda mendapatinya pelik, Ya anak perempuan saudaraku?'. Aku berkata,'Ya'. Dia berkata :'Rasulullah SAW bersabda :'Sesungguhnya bukanlah kucing itu najis, kerana sesungguhnya ia adalah dikalangan mereka yang biasanya berada dikeliling kamu (al-tawwaafeena ‘alaikum).

Maka dengan itu, apa yang datang pada bulunya adalah bersih (Taher) dan tidak memudharatkan jika ia terjatuh kedalam makanan dan minuman, akan tetapi seeorang itu boleh meninggalkannya sebab menjaga kesihatan" [Fatwa IslamWeb : 52034]

Perkataan "mereka yang biasanya berada dikeliling kamu didalam hadis yang terkandung didalam fatwa diatas membawa maksud kucing itu juga bagaikan orang gaji atau orang rumah yang biasa berada dengan orang-orang didalam rumah.

Terdapat juga didalam riwayat yang lain, dimana seorang wanita membawa makanan hareesa kepada A'isyah ra. dan mendapati beliau sedang bersolat. A'isyah telah mengisyaratkan kepadanya agar dia meletakkan barangan tersebut dibawah. Kemudan seekor kucing datang dan makan sedikit darinya. Apabila A'siyah selesai bersolat, beliau makan makanan yang telah makan oleh kucing tersebut dan berkata :

"Rasulullah SAW bersabda : Kucing bukanlah najis, malah dia adalah diantara mereka yang biasanya berada dikeliling kamu". Aku melihat Rasulullah SAW melakukan wuduk dengan air yang telah diminum oleh kucing" [Hadis Riwayat Abu Daud dan lain-lain].

Berikut adalah jawapan dari JAKIM mengenai status bulu kucing :

Soalan : saya ada memelihara kucing di rumah saya..adakah sah sembahyang saya,jika kain sembahyang atau sejadah terdapat bulu kucing. Adakah bulu kucing ini dikategorikan sebagai najis?

Jawapan : Sah solat saudari kerana bulu kucing bukan najis..

sumber : http://baheis.islam.gov.my/web/musykil.nsf

Kesimpulannya : Kucing bukanlah binatang najis, begitu juga dengan bulunya. Kucing dianggap sebagai 'orang rumah' sebagaimana yang digambarkan didalam hadis Nabi SAW diatas. Terdapat dikalangan ulama-ulama bermazhab Syafie mengatakan bahawa apa yang tertanggal dari binatang yang haram dimakan adalah najis. Menurut Prof Dr Wahbah al-Zuhaily (a-Fiqh al-Islami 1/175) bahawa disana terdapat pandangan yang menyebut bahawa jika bulu tersebut tidak lebih dari dua, maka ia dima'afkan. Namun demikian, jumhur ulama' berpendapat bahwa bulu kucing tidak najis, malah jika ia jatuh kedalam air sekalipun, maka air tersebut masih boleh diminum, sebagaimana Rasulullah melakukan wuduk pada takungan air yang telah diminum oleh kucing, dan A'isyah juga makan kueh yang telah diusik oleh kucing.Kesemua ini menjadi dalil kesucian kucing. Wassalam.

Rujukan :

1. Markas Fatwa pengawasan Dr Abdullah al-Faqih.

2. Prof Dr Wahbah al-Zuhaily. al-Fiqh al-Islami wa adillatuh - 1.cet ke 3. Damsyik : Dar al-Fikr, 1989. 3. Fatwa JAKIM.

667. Soalan : Kalau pakaian kita terkena air ikan ketika membeli di pasar, pakaian tu boleh ke utk kita bawa sembahyang ? T/kasih ust..

Jawapan :

Air ikan tidak najis jika pakaian tersebut terkena pakaian boleh di buat solat. Dr. Ustaz Zaharudin memberi ulasan mengenai najis ikan : "Rasulullah SAW. ketika ditanya tentang masalah air laut, baginda menjawab:

"Laut itu airnya suci dan bangkainya halal." (Hadis Riwayat Ahmad dan ahli sunnah)

Dan firman Allah yang mengatakan:

"Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut dan makanannya." (Surah al-Maidah ayat 96)

Umar r.a berkata: Yang dimaksud shaiduhu, iaitu semua binatang yang diburu; sedang yang dimaksud tha'amuhu (makanannya), iaitu barang yang dicarinya.

Dan kata Ibnu Abbas pula, bahawa yang dimaksud ‘thaamuhu', iaitu bangkainya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Jabir bin Abdullah diceriterakan, bahwa Rasulullah SAW pernah mengirimkan suatu angkatan, kemudian mereka itu mendapatkan seekor ikan besar yang sudah menjadi bangkai. lkan itu kemudian dimakannya selama 20 hari lebih. Setelah mereka tiba di Madinah, diceriterakanlah hal tersebut kepada Nabi, maka jawab Nabi:

"Makanlah rezeki yang telah Allah keluarkan untuk kamu itu, berilah aku kalau kamu ada sisa. Lantas salah seorang diantara mereka ada yang memberinya sedikit. Kemudian Nabi memakannya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Tiada pun diarahkan oleh Nabi untuk membuang perut atau najis ikan itu terlebih dahulu.

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi Menyebut (Al-Halal wal Haram Fil Islam) :

Binatang laut iaitu semua binatang yang hidupnya di dalam air.

Binatang ini semua halal, didapat dalam keadaan bagaimanapun, apakah waktu diambilnya itu masih dalam keadaan hidup ataupun sudah bangkai, terapung atau tidak. Binatang-binatang tersebut berupa ikan ataupun yang lain yang hidup di laut.

Bagi yang mengambilnya tidak lagi perlu diperbincangkan, apakah dia seorang muslim ataupun orang kafir. Dalam hal ini Allah memberikan keleluasaan kepada hamba-hambaNya dengan memberikan perkenan (mubah) untuk makan semua binatang laut, tidak ada satupun yang diharamkan dan tidak ada satupun persyaratan untuk menyembelihnya seperti yang berlaku pada binatang lainnya. Bahkan Allah menyerahkan bulat-bulat kepada manusia untuk mengambil dan menjadikannya sebagai modal kekayaan menurut keperluannya dengan usaha semaksima mungkin untuk tidak menyiksanya.

Firman Allah:

"Dialah Zat yang memudahkan laut supaya kamu makan daripadanya daging yang lembut." (Surah an-Nahl ayat14)

"Dihalalkan buat kamu binatang buronan laut dan makanannya sebagai perbekalan buat kamu dan untuk orang-orang yang belayar." (Surah al-Maidah ayat 96)

KESIMPULAN :

DARI SUDUT HUKUM, PERUT IKAN MALAH NAJISNYA ADALAH PERKARA YANG DIDIAMKAN HUKUMNYA OLEH ALLAH DAN RASULNYA, Natijahnya, hukumnya akan mengikuti hukum dagingnya sebagaimana dalil di atas, iaitu harus untuk dimakan bersekali dengan dagingnya.

Bagaimanapun, jika adat dan sains mendapati ianya tidak baik untuk kesihatan manakala adat mendapatinya sebagai kotor dan kurang elok. Maka adalah baik untuk menjauhinya. Kepala ikan pun sebenarnya nampak macam kotor dan mengerikan, tapi ramai orang suka makan kari kepala ikan."

Jika ikan itu tidak najis maka air ikan juga tidak najis dan pakaian yang terkena air ikan boleh dibawa solat. Wallahu a'lam

668. Soalan : Ustaz...soalan saya,ada tidak apa-apa bacaan doa selepas khatam Al-Quran di bulan Ramadan?. Terima kasih..

Jawapan : 

DOA KHATAM AL-QUR'AN VERSI BAHASA MELAYU :
 
Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillahirabbil alamin wassolatu wassalamu ala asyrafil anbiya'i wal mursalin wa ala alihi wasahbihi ajmain

Ya Allah, rahmatilah aku dengan al-Quran. Jadikan ia sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat bagiku. Ya Allah, ingatkanlah apa-apa yang aku lupa daripadanya. Berikanlah ilmu apa-apa yang belum aku ketahui mengenainya. Anugerahkanlah kepadaku untuk membacanya pada waktu tengah malam dan penghujung siang. Jadikanlah ia sebagai hujah bagi wahai Tuhan seru sekalian alam.

Ya Allah Ya Rabbku, perbaikilah bagiku agamaku kerana dialah penjaga urusanku. Perbaikilah bagiku duniaku kerana di dalamnya aku hidup. Perbaikilah bagiku akhiratku, kerana ia tempat kembaliku. jadikanlah kehidupan sebagai tambahan segala kebaikan bagiku dan jadikanlah kematian sebagai kerehatanku daripada segala kejahatan.

Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghabisannya, dan sebaik-baik amalku adalah penutupnya dan sebaik-baik hari bagiku adalah hari berjumpa dengan-Mu. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kehidupan yang tenteram, kematian yang tenang dan tempat kembali yang tidak menyedihkan dan tidak membuka aib.

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu sebaik-baik permohonan, sebaik-baik doa, sebaik-baik kejayaan, sebaik-baik ilmu, sebaik-baik amal, sebaik-baik pahala, sebaik-baik kehidupan, sebaik-baik kematian,. Teguhkanlah aku, beratkanlah timbangan kebaikanku, teguhkanlah keimananku, tinggikanlah darjatku. Terimalah sembahyangku, ampunilah segala kesalahanku. Aku memohon ketinggian syurga.

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keharusan mendapatkan rahmat-Mu dan keteguhan pengampunan-Mu, keselamatan daripada segala dosa, kejayaan daripada semua kebajikan, keuntungan syurga dan keselamatan daripada neraka.

Ya Allah, perbaikilah akhir hayat kami dalam segala perkara. Selamatkanlah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan akhirat.

Ya Allah, anugerahkanlah bagi kami ketakutan kepada-Mu yang dapat menghindarkan kami daripada berbuat maksiat kepada-Mu, ketaatan yang dapat menyampaikan kami kepada syurga-Mu, keyakinan yang dapat memperkecil musibah dunia yang menimpa kami. Berikanlah kenikmatan kepada kami dengan pendengaran, penglihatan, dan kekuatan kami selama hidup kami. Jadikanlah ia sebagai peninggalan kami. Jadikanlah pembalasan kami kepada orang yang menzalimi kami. Tolonglah kami menghadapi orang yang memusuhi kami. Janganlah Engkau jadikan dunia sebagai kehendak kami yang paling besar, dan pengetahuan paling akhir kami. Janganlah Engkau berikan kepada kami kekuasaan atas kami kepada orang yang tidak mengasihi kami.

Ya Allah, janganlah Engkau tinggalkan dosa-dosa pada kami melainkan Engkau telah mengampuninya. Janganlah Engkau tinggalkan kesusahan kepada kami melainkan Engkau telah menggembirakannya. Janganlah Engkau tinggalkan hutang-hutang kepada kami melainkan Engkau telah menunaikannya, dan janganlah Engkau tinggalkan sesuatu keperluan dunia dan akhirat pada kami melainkan Engkau telah menunaikannya wahai Zat Yang Maha Mengasihani.

Ya Rabb kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan selamatkanlah kami daripada seksaan api neraka. Semoga Allah melimpahkan selawat salam kepada junjungan kita nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam dan kepada keluarga baginda serta kepada para sahabat baginda yang baik. Amin.

(Disalin daripada naskhah Mushaf Tajwid Beserta Terjemahan Ke Dalam Bahasa Malaysia (2006), Kuala Lumpur: Darul Fikir - Dalam blog Cikgu Azhar Rodzi)


669.Soalan :Ustaz.macamana niat semasa melakukan ibadah korban dan bilakah niat itu perlu di lafazkan.Perlukah kita mewakilkan kepada si penyembelih untuk menyembelih bahagian korban kita.Kalau kita lupa.untuk mewakilkan kepada si penyembelih sah kah korban kita?

Jawapan :  

Untuk melaksanakan ibadah korban beberapa perkara perlulah dilaksanakan oleh mereka yang hendak berkorban. 

1. Pastikan al-wakil (pihak orang yang menerima perwakilan) merupakan orang yang dipercayai dan mampu melaksanakan ibadah yang dimaksudkan (iaitu ibadah korban) atau mampu menguruskannya.

2. Melakukan akad taukil (penyerahan) dengan bahasa yang jelas, seperti berkata kepada al-wakil tadi; "Ini duit RM500, belikan untukku binatang korban (1 tompok (bahagian) darinya) dan laksanakan korban bagi pihakku". Jika taukil (penyerahan) turut membabitkan pengagihan daging korban, nyatakan sama; "....dan mengagihkannya bagi pihakku kepada yang berhak / layak menerimanya". Jika ada borang disediakan, mengisi borang bersama penyerahan wang sudah memadai sebagai taukil (penyerahan).

3. Kemudian hendaklah al-wakil menerima taukil (penyerahan) tadi dengan lafaz darinya (seperti ia berkata; 'aku terima') atau dengan perbuatan (seperti menerima wang dan borang tanpa berkata apa-apa).
Kena
4. Walaupun telah menyerahkan perlaksaan ibadah korban kepada orang lain, namun disunatkan kepada al-muwakkil (orang yang menyerah) untuk turut hadir menyaksikan penyembelihan korbannya dilakukan. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW kepada Fatimah r.ha; “Pergilah kepada binatang korban kamu dan saksikanlah dia kerana sesungguhnya dengan titisan pertama darah yang jatuh darinya akan menyebabkan diampunkan untukmu segala dosa kamu yang lalu” (Mustadrak al-Hakim; 7525, dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.).

5. Jika ia dapat hadir sama, hendaklah ia berniat korban ketika melihat binatang korbannya di sembelih. Boleh juga jika ia menyerahkan niat kepada penyembelih. Disunatkan juga ketika melihat binatang korbannya disembelih, ia membaca;

إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهُ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ
 

“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku semuanya untuk Allah Tuhan semesta alam, tiada sekutu bagiNya, dengan yang demikian itulah aku diperintahkan, dan aku adalah dari kalangan orang-orang yang berserah diri kepada Allah” (Mustadrak al-Hakim; 7524, dari ‘Imran bin Hushain RA).

6. Jika ia tidak dapat hadir sama, akad taukil tadi sudah memadai sebagai niat korban bagi dirinya. Tinggal lagi orang yang melaksanakan penyembelihan korban bagi pihak orang lain hendaklah ia berniat korban bagi pihak mereka.

Apakah niat korban harus bersamaan dengan menyembelih korban?

Dalam hal ini ada dua pendapat, sebagaimana yang disebutkan An-Nawawi dalam Al-Majmu’;

وَهَلْ يَجُوزُ تَقْدِيمُهَا عَلَى حَالَةِ الذَّبْحِ أَمْ يُشْتَرَطُ قَرْنُهَا بِهِ، فِيهِ وَجْهَانِ: أَصَحُّهُمَا: جَوَازُ التَّقْدِيمِ كَمَا فِي الصَّوْمِ وَالزَّكَاةِ عَلَى الْأَصَحِّ
 

Bolehkah mendahulukan niat sebelum menyembelih korban, ataukah disyaratkan harus membaringkan niat dengan menyembelih?

Dalam hal ini ada dua pendapat dalam mazhab syafiiyah: pendapat yang paling kuat, boleh mendahulukan niat sebelum menyembelih, sebagaimana untuk puasa dan zakat, menurut pendapat yang kuat. (Al-Majmu’ Syarh Muhadzab, 8/406).

Orang yang mewakilkan penyembelihan korban kepada seserang yang berniat bukan orang tersebut tetapi pemilik hewan korban itu. yang berniat. Sementara yang diucapkan oleh orang yang di wakilkan, hanyalah mengabarkan bahawa korban ini dari si Fulan. Orang tersebut akan mengucapkan: Allahumma hadza ‘an Fulan [Ya Allah, ini dari Fulan]. Sekiranya orang tersebut tidak mengucapkan kalimat pemberitaan ini, korban tetap sah. Niat di hati " Ya Allah, saya ingin berkorban sunat untuk diri ku dan ahli keluragaku" (Jika ada keluarga kita yang wakilkan pada diri kita)
 

Bolehkah kalau kita berniat seperti " Ya Allah, terimalah korban ini dari Rashid bin Ali ( contoh nama org yg berkorban) serta ahli keluarga Rashid bin Ali ( walaupun kita hanya masuk sebahagian sahaja drp 7 bhg lembu. Boleh kita sebutkan serta ahli keluarga
boleh dan sah ibadah korban tersebut. Puan awal-awal niat nak berkorban pada hari raya Haji tahun ini sudah di kira berniat kerana Allah dan di tambah niat yang khusus juga baik di laksanakan sebagai menyempurnakan ibadah korban kita.


670.Soalan : Ibu saya di santaua / sihir oleh orang yg mengubati penyakit nya...oleh kerana menolak pinangan nya..saya dah ikhtiar bermacam kaedah dn cara berpuluh pengamal perubatan islam telah saya cuba .. setelah berubat hnya pulih dalam masa 7 hari shja selepas itu akan kembali sakit semula..batuk berdarah dn benda berjalan di bawah kulit....

Jawapan : 

Untuk memastikan terdapat sihir pada ibu saudara cuba baca ayat -ayat al-Quran di bawah : Cara-caranya adalah seperti berikut :

Membaca ayat-ayat dibawah ditapak tanganmu :

1. Baca surah Ibrahim ayat 42-52

2. Baca surah al-Mukminun ayat 98-118

3. Baca surah al-Falaq ayat 1-5.

4. Baca surah an-Nas ayat 1-6

Ketika membaca ayat-ayat di atas , letakkan mulutmu di telapak tangan kananmu, sehingga nafasmu atau sebahgian dari ludahmu mengenainya. Kemudian hulurkan tapak tangan kananmu itu di depan mata si sakit, dan mintalah dia melihatnya. Kalau dia sama sekali tidak boleh melihatnya, atau matanya menjadi silau atau nanar, atau dia melihat tapak tanganmu berwarna sangat merah atau hitam, atau dia melihat banyak salib di telapak tanganmu, atau tiba-tiba kepalanya terasa sangat pening, atau dia menunjukkan suatu gejala yang muncul secara tiba-tiba, maka dia , tidak diragukan, terkena sihir atau kesurupan atau kedua-duanya sekali.

[CATATAN : Sebaik-baiknya, usahakan dia sendiri yang membacanya ayat-ayat diatas. Kalau si sakit tidak boleh membaca sendiri maka kalian boleh bacakan ditapak tangan kalian dan hulurkan tangan kanan kalian di depan mata si sakit minta dia melihatnya.]
 

Jika terdapat tanda-tanda tersebut cuba amalkan cara membuang sihir atau santau : 
 
1. Ambil tujuh helai sirih hijau atau daun teratai. Tumbuk dengan batu, besi atau apa saja sehingga lumat (boleh juga guna alat penghancur letrik - blinder)

2. Masuk tumbukan daun sirih atau daun teratai itu dalam satu mangkuk besar. Isi dengan air secukupnya untuk minum dan mandi seluruh badan.

3. Letakkan telapak tangan kananmu pada air yang sudah diisi tumbukan daun sirih.

4. Sentuhkan bibirmu pada mangkuk, sehingga nafas atau sebahagian dari ludahmu mengenainya.

5. Bacakan ayat-ayat berikut :

a. Baca Ayat Kursi. (Surah al-Baqarah ayat 255)

b. Bacakan Surah al-Kafirun.

c. Baca Surah al-Ikhlas.

d. Baca Surah al-Falaq.

e. Baca Surah an- Nas.

(Ayat-ayat dibawah adalah ayat penawar sihir)

f. Baca Surah al-A'raf ayat 117-119.

g. Baca Surah Yunus ayat 79-82.

h. Baca Surah Thaha ayat 65-69.

Setelah dijampi dengan ayat-ayat al-Quran di atas air itu diminumkan kepada si sakit, kemudian mandikan ia dengannya. Ulangi seminggu sekali dan sesudah itu in syaa Allah , sihir itu tidak akan ada lagi.

[Yakinlah kepada Allah SWT bahawasanya hanya Dia sahaja yang akan menyembuhkan segala penyakit termasuk penyakit disebabkan sihir hasil perbuatan jin dan syaitan]
 

Beberaapa rakan facebook yang cuba mengamalkan ayat-ayat di atas alhamdulillah ada yang sembuh dengan izin Allah SWT daripada penyakit sihir.