Friday, July 11, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 136 ( Takrif Anak Yatim, Tak Khusyuk Solat, Berdoa Tak Rasa Sayu Dan Hukum Bernazar.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 136 adalah menjelaskan persoalan takrif anak yatim, tak khusyuk solat, berdoa tak rasa sayu dan hukum bernazar.

636. Soalan :  Ustaz.saya nk tanye mengenai zakat atau sedekah.seorg ank yatim piatu perempuan lebih kurang berumur 20thn.boleh kh die meminta bantu zakat atau tdk perlu meminta bantu.mohon pencerahan ustaz.

Jawapan : 

Menurut Fath Al-Qarib dan Al-Baijuri: “Anak yatim ertinya budak kecil (berumur rendah), yang tiada mempunyai bapa, sama ada budak itu laki-laki atau perempuan, sama ada ia mempunyai datuk atau tiada. Termasuklah budak kecil anak zina, anak pungutan dan anak yang dinafikan dengan sebab li ‘an antara suami isteri.

Apabila ia sudah baligh maka tiadalah dinamakan dia yatim, dan baligh itu dengan cukup umur lima belas tahun qamariyyah (bukan tahun matahari) iaitu tahun dikira dengan anak bulan dengan cukup sempuma lima belas tahun (tiadalah kurang) atau dengan mimpi keluar mani. Dan waktu boleh keluar mani ketika berumur sembilan tahun qamariyyah cukup (tiada lebih kurang) atau dengan keluar darah haid pada perempuan ketika umur sembilan tahun qamariyyah (lebih kurang).

Apabila ada tanda salah satu dari cukup umur 15 tahun atau mimpi keluar mani pada laki-laki dan perempuan dan haid pada perempuan, maka tiadalah dinamakan budak itu anak yatim pada syara’. Diketahui berumur 15 tahun qamariyyah dengan dua saksi laki-laki dan seperti surat beranak, dan diketahui mimpi keluar mani atau keluar darah haid dengan kata budak itu.” lni menurut mazhab kita Asy-Syafi ‘e dari Fath Al-Mu ‘în.. Jika seorang remaja perempuan sudah berumur 20 tahun tidak lagi termasuk golongan anak yatim. Jika dia masih belajar lagi dan tak ada sumber pendapatan untuk menyara perbelanjaan persekolahannya maka dia layak mendapat bantuan zakat atas asnaf orang miskin.


637. Soalan : Masa solat terfikir dengan benda tak baik contohnya terfikir semasa perempuan dan lelaki bercium.berpeluk.tapi pakaian pempuan tu sangat seksi sampai dia pun terganggu..masa solat tu terfikir lalu kemaluan tu berdiri atau stim...apa kah solatnya sah tak solat saya?

Jawapan : 

Syaitan selalu menganggu setiap kita solat samaada solat bersendirian atau solat berjemaah. Sebelum kita solat sebaik-baiknya mohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan.Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehinya hanya penat dan letih kerana mereka itu lalai dalam solatnya."

Menurut Imam Ghazali bahawa solat itu ialah merupakan munajat seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila solat itu sebagai munajat sudah tentu ia dilakukan dengan penuh kesedaran di samping khusyuk dan tawaduk. Bagaimana mungkin seorang yang lalai boleh berbisik atau berdialog dengan Allah.

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seorang akan diterima oleh Allah SAW. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Oramg yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi kata-kata pujian kepada Allah.

Solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih awal di akhirat kelak oleh Allah berbanding amalan-amalan lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan lain.

Antara amalan untuk mendapat khusyuk dalam solat dan kemanisan ibadah ada 17 perkara :

1.Sentiasa melaksanakan solat berjemaah (yang paling afdal ialah di masjid).

2.Menjaga makan minum agar terjamin halalnya (pastikan tidak di makan makanan yang haram dan syubhat kerana ianya boleh mengelapkan hati).

3.Membanyakkan sedekah kepada fakir dan miskin.

4.Jangan solat dengan menangguh untuk membuang air besar atau kecil dan perkemaskan segala urusan supaya tidak timbul kebimbangan dalam solat.

5.Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat atau do'a apabila air melalui di tiap-tiap anggota.

6.Memakai pakaian yang bersih dan kemas seperti akan menghadap pembesar negeri.

7.Tempat sujud dipastikan tidak ada gambar yang menganggu fikiran atau membimbangkan hati.

8.Mengingatkan mati dan kemungkinan itulah solat kita yang terakhir dalam hidup.

9.Menyedari bahawa kita sedang berhadapan dengan Allah Yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia hamba-Nya.

10.Memenuhkan dada dalam perasaan takut dan rendah diri kepada Allah yang melihat segala gerak geri kita.

11.Memahami segala bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat Al-Quran dan segala zikir.

12.Sebelum mengangkat takbir, membaca surah An-Nas, selawat atas Nabi SAW, istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan.

13.Memandang ketempat sujud dan tidak terlalu banyak mengerakkan anggota badan.

14.Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.

15.Memanjangkan sedikit tempoh semasa rukuk dan sujud.

16.Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan solat.

17.Jangan menjeling ke kiri dan ke kanan.
 

Jika saudara melaksanakan 13 rukun solat maka sah solat saudara tetapi kurang khusyuk akan berkurangan pahala yang akan saudara perolehi. Sila baca tafsir surah al-Maun ayat 4-7 

Solat adalah ibadah yang terpenting dan akan mula-mula ditanya di hari akhirat. Jika betul solatnya dan diterima maka amalan-amalan lain akan di terima tetapi sebaliknya apabila solatnya tidak di terima maka amalan-amalannya yang lain akan ditolak oleh Allah SWT. Solat yang bernilai disisi Allah SWT adalah solat yang di laksanakan dengan khusyuk kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT :

فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ (4)الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ (5
الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ (6)
وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ (7)

Maksudnya : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya, orang-orang yang berbuat riak, dan enggan (menolong dengan) barang berguna."(Surah al-Maun ayat 4-7)

Asbabun Nuzul surah al-Maun ayat 4 -7.
Ibnu Abas r.a memaparkan bahawa keempat-empat ayat ini diturunkan berkenaan dengan dengan kaum munafik yang riak melakukan solat jika berada ditengah-tengah kaum muslimin. Namun jika kaum muslimin tidak ada, mereka meninggalkan solat. Selain itu, mereka enggan memberikan pinjaman kepada kaum muslimin." (Hadis Riwayat Ibnu Munzir)
Firman Allah SWT :

فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ (4)الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ (5


Maksudnya : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya" (Surah al-Maun ayat 4-5)

Allah SWT mengungkapkan satu ancaman iaitu celakalah orang-orang yang mengerjakan solat dengan tubuh dan lidahnya tidak sampai ke hatinya. Dia lalai tidak menyadari apa yang diucapkan lidahnya dan yang dikerjakannya oleh sendi anggotanya. Ia rukuk dan sujud dalam keadaan lalai, ia mengucapkan takbir tetapi tidak menyadari apa yang diucapkannya. Semua itu adalah hanya gerak geri biasa dan kata-kata hafalan semata-mata yang tidak mempengaruhi apa-apa, tidak ubahnya seperti robot.

Terdapat banyak tafsiran dan kupasan tentang maksud “lalai” dalam ayat ini. Secara umumnya terdapat tiga tafsiran yang dibuat oleh ulama tafsir iaitu :

Pertama :  Melalai-lalaikan solat dengan sengaja sehingga habis waktunya (solat dikerjakan dengan mengqadakannya) ataupun lalai untuk mengerjakan solat iaitu tidak melakukan solat terus kerana malas.

Kedua : Lalai semasa solat iaitu tidak khusyuk . Iaitu tidak hadir hati dalam solat. Dalam solat teringat perkara-perkara diluar solat yang tidak ada kena mengena dengan solat. Malahan, bukan sahaja tidak hadir hati dalam solat, tetapi maksud perbuatan dan lafaz dalam solat pun tidak diketahui atau difahami. Jauh sekali untuk dihayati atau dijiwai.

Ketiga :  Lalai kerana tidak melaksanakan segala ikrar dan janji yang dibuat di dalam solat. Dalam solat berbagai-bagai ikrar dan janji dibuat. Diantaranya dia berikrar bahawa segala solatnya, ibadahnya, hidup dan matinya  hanyalah kerana Allah SWT. Tetapi selesai sahaja solat , janji itu dilupakan. Buat kerja seolah-olah Tuhan itu tidak wujud atau tidak nampak apa yang dilakukannya.

Walau bagaimana pun , kalau di kaji betul-betul ketiga-tiga tafsiran di atas, maka punca sebenar yang akan di dapati adalah kerana ketiadaan khusyuk dalam solat. Tidak khusyuk semasa mengerjakan solat adalah kerana tidak khusyuk di luar solat. 

Sekiranya seseorang itu khusyuk diluar solat iaitu taat dan patuh kepada perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya, maka khusyuk itu sudah pasti berterusan dan akan dibawa ke dalam solat. Ertinya, orang yang khusyuk dalam hidupnya diluar solat akan merasa khusyuk dalam solat. Hanya apabila di dalam solat, rasa khusyuknya lebih subur dan lebih tajam kerana solat itu ada rukun dan disiplinnya.

Bagi orang yang khusyuk, tidak timbul masalah cuai untuk mengerjakan solat hingga habis waktunya kerana orang yang khusyuk itu selalu menanti-nanti dan menunggu-nunggu waktu untuk bersolat. Menunggu solat itu baginya seperti menunggu untuk bertemu kekasih.Tidak juga timbul hati tidak hadir dalam solat atau teringat perkara-perkara lain diluar solat kerana orang yang khusyuk itu hatinya sentiasa bergelora dengan Tuhannya.

Tidak menunaikan ikrar dan janji semasa diluar solat adalah kerana berpunca kerana hatinya tidak hadir dan tidak merasai khusyuk . Apabila hati tidak khusyuk, segala janji yang dibuat hanyalah di lidah semata-mata. Paling tinggi, akal mungkin turut serta dalam membuat ikrar dan janji tersebut. Tetapi hati tidak ada peranan kerana tiada khusyuk. Khusyuk itu perkara hati. 

Oleh itu ikrar dan janji berkenaan dibuat tanpa komitmen dan kesungguhan kerana hati tidak dilibatkan dan tidak dibawa bersama. Ertinya ikrar dan janji itu tidak dibuat dari hati. Janji yang bukan dari hati bukan janjilah namanya. Tidak hairanlah kenapa janji hanya tinggal janji.

Khusyuk yang dituntut dari manusia bukan hanya ketika dalam solat. Allah SWT bukan wujud dalam solat sahaja. Allah SWT wujud setiap masa dan ketika. Oleh itu kita perlu khusyuk sepanjang masa. Orang yang khusyuk dalam solat itu ialah orang mukmin yang berjiwa Tauhid. Orang yang rasa cinta dan takutnya dengan Tuhan sentiasa mencengkam jiwa dan hati nuraninya. Rasa-rasa ini dibawanya ke mana-mana sahaja dia pergi. Lebih-lebih lagilah dalam solatnya.

Solat yang tidak lalai itu adalah solat yang khusyuk yang sentiasa mempunyai rasa bahawa dia melihat Allah SWT (sifat ihsan) . Jika sekiranya dia tidak dapat melihat Allah SWT maka dia akan yakin sepenuhnya bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan solatnya. Bermula dari takbiratulihram hinggalah kepada salam dia sentiasa memahami maknanya dan tuntutan kalimah yang diucapkannya. Inilah solat yang tidak lalai, solat yang benar-benar khusyuk.



Firman Allah SWT :


الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ (6)

 

Maksudnya : "Orang-orang yang berbuat riak." (Surah al-Maun ayat 6)
Dalam ayat ini Allah menambah penjelasan tentang sifat orang pendusta agama iaitu: mereka melakukan perbuatan-perbuatan lahir hanya semata kerana riak tidak terkesan pada jiwanya untuk meresapi rahasia dan hikmahnya.
Riak ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah SAW menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas. Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Riak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat dan puasa.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal? Kami katakan: 'Tentu.' Baginda bersabda: 'Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya'." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)


Firman Allah SWT :

وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ (7)

Maksudnya : "Dan enggan (menolong dengan) barang berguna." (Surah al-Maun ayat 7)

Dalam ayat ini Allah menambahkan lagi sifat pendusta itu iaitu; mereka tidak mahu memberikan barang-barang yang diperlukan oleh orang-orang yang memerlukannya, sedang barang itu tidak sepatutnya ditahan. Penahanan barang-barang  tersebut adalah mencerminkan kerendahan budi dan tidak mempunyai akhlak Islam.

Keadaan orang yang membesarkan agama berbeda dengan keadaan orang yang mendustakan agama, kerana yang pertama nampak dalam tata kehidupannya iaitu bersikap yang jujur, adil, kasih sayang, pemurah dan lain-lain.

Sedangkan sifat pendusta agama ialah membenci anak yatim, tidak mahu bersedekah kepada fakir miskin, riak, curang, aniaya, takabur, kikir, memandang rendah orang lain, tidak mementingkan yang lain kecuali dirinya sendiri, bangga dengan harta dan kedudukan serta tidak mau mengeluarkan sebahagian dari hartanya, baik untuk keperluan perseorangan maupun untuk masyarakat.
638. Soalan :  Ustaz..saya ingin tanya...macamana mana nak merasai sayu (bulu roma naik) setiap kali berdoa ketika solat..harap ustaz sudi membantu..

Jawapan : 
Untuk merasai hati kasih dan cinta pada Allah SWT semasa berdoa sehingga mengalirkan air mata perlu kepada hati yang bersih. Jika hati kotor penuh dengan hasad dengki, iri hati, sombong, riyak, takbur, hati diliputi selaput hitam (zulumat) maka hubungan dengan Allah akan terdapat hijab. Hati perlu setiap hari dibersihkan dengan perbanyakkan beristighfar, berzikir dan bertafakur mengenangkan betapa hinanya diri ini di sisi Allah SWT. Setiap hari perlu bermuhasabah diri, bermurajaah dan bermujahadah melawat nafsu dan keinginan syahwat. 
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah SWT di dalam kitabNya: Sesekali tidak, sebenarnya apa yang mereka lakukan telah mengkaratkan(menutup) hati mereka. Surah Al-Mutoffifin ayat 14.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim, dari Nu’man bin Basyir)
Untuk membersihkan hati perlu kasih pada orang miskin dan anak-anak yatim dan tidak pandang kedudukan seseorang disisi masyarakat dan ringan tangan bersedekah dan membuat kebaikan dan kebajikan di dalam masyarakat.
Apabila hati telah melalui proses pembersihan seperti di atas maka barulah apabila kita solat terasa Allah SWT melihat perbuatan kita dan doa yang kita baca boleh mengalirkan air mata, perkara ini bukan mudah dilaksanakan tetapi tak begitu sukar apabila kita bersungguh-sungguh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Doa yang paling dekat dengan Allah SWT adalah ketika sujud oleh itu ketika sujud mohon apa yang kita hajatkan untuk keperluan dunia dan akhirat. Minta sungguh-sungguh dengar rasa rendah diri dan buat rayuan demi rayuan , nyatakan bahawa kita ini tak miliki apa-apa dan tak ada sedikit pun kekuatan dan kelebihan hanya Allah saja tempat pergantungan harapan. Setelah habis solat cuba berzikir dan berdoa seperti yang di ajarkan oleh Rasulullah SAW.

639. Soalan : Saya nak tanya beberapa soalan..

1-Bagi seorang perempuan yang sudah berkahwin,adakah dosa dia masih lg ditanggung oleh ibunya..mksudnya ibu n suami menanggung dosa perempuan tu..

2-Ustaz,mcm mna kita nk kurangkan kemarahan kita dgn penuh kesabaran..

Mohon pencerahan ustaz .terima kasih..

Jawapan :

Benar jika ibu bapa sudah beri pendidikan agama, sentiasa menasihatinya dia sendiri yang pilih maksiat dan dosa maka dia akan tanggung dosanya sendiri. Ibu bapanya tidak menanggung dosa tersebut. Tiap Orang Memikul Dosanya Masing-masing

(سورة الإسراء
)
وَكُلَّ إِنسَانٍ أَلْزَمْنَاهُ طَآئِرَهُ فِي عُنُقِهِ وَنُخْرِجُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كِتَابًا يَلْقَاهُ مَنشُورًا (١٣) اقْرَأْ كَتَابَكَ كَفَى بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا (١٤) مَّنِ اهْتَدَى فَإِنَّمَا يَهْتَدي لِنَفْسِهِ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَلاَ تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولاً (١٥)

Terjemahan:

(13). "Tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya pada Hari Kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka."

(14). “Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu”.

(15). "Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berbuat dosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul."
(Surah Al-Israa (17) ayat 13-15)
Untuk kurangkan kemarahan terdapat cara-caranya : Dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya seseorang berkata kepada Nabi SAW., "Berilah aku wasiat?." Nabi SAW. bersabda: : "Janganlah engkau marah" Orang tersebut mengulangi permintaannya hingga beberapa kali, sedang Nabi SAW bersabda : " Janganlah engkau marah"
(Hadis Riwayat Bukhari).

Maka menahan marah merupakan suatu hal yang harus kita latih agar mendapatkan kenikmatan di Syurga kelak.

Terdapat lima pekara untuk mengatasi perasaan marah. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Membaca Ta'awwudz. (memohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan)

Sulaiman Ibnu Sard meriwayatkan, pernah dua orang saling mencerca satu sama lainnya di hadapan Rasulullah SAW.. Sementara itu, kami sedang duduk di sisinya. Salah seorang dari mereka menghina yang lainnya dengan marah, hingga merah mukanya. Maka Rasulullah SAW .bersabda maksudnya : "Aku mengetahui suatu kalimat, jika diucapkan olehnya (laki-laki yang merah mukanya), maka akan hilang kemarahannya. Hendaklah dia berkata: A’udzubillahi minasy syaithanir rajim (maksudnya 'aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk). ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Berwuduk.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : " Sesungguhnya, kemarahan itu berasal dari syaitan. Dan syaitan tercipta dari api. Dan sesungguhnya, api itu dapat dipadamkan dengan air. Jika salah seorang diantara kalian marah, maka berwudhu'lah. (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud, hadis ini hasan.)

3. Duduk.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda maksudnya : "Kalau kalian marah maka duduklah, kalau tidak hilang juga maka bertiduranlah"(Hadis Riwayat Abu Dawud).

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Jika salah seorang kalian marah dan dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah duduk. Jika masih belum reda marahnya, maka hendaklah berbaring.
( Hadis Riwayat Ahmad )

Hal ini kerana marah dalam berdiri lebih besar kemungkinannya melakukan keburukan dan kerusakan daripada dalam keadaan duduk. Sedangkan berbaring lebih jauh lagi dari duduk dan berdiri.

4. Diam.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Jika engkau marah, maka diamlah. Jika engkau marah, maka diamlah." (Hadis Riwayat Ahmad ) .

Banyak berbicara dalam keadaan marah tidak boleh mengawal perasaan sehingga terjatuh pada pembicaraan yang tercela dan membahayakan dirinya dan orang lain.

Dalam hadis disebutkan :“Apabila diantara kalian marah maka diamlah.” Baginda SAW. ucapkan tiga kali."
(Hadis Riwayat.Ahmad)

5. Bersujud (maksudnya solat sunat dua rekaat)

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Ketahuilah, sesungguhnya marah itu bara api dalam hati manusia. Tidaklah engkau melihat merahnya kedua matanya dan tegangnya urat darah di lehernya? Maka barangsiapa yang mendapatkan hal itu, maka hendaklah ia meletakkan pipinya dengan tanah (sujud)." (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang harus di jauhi supaya kita tidak termasuk dikalangan orang yang memilikmi sifat tercela.. Sesiapa yang tidak dapat mengawal perasaan marah sebenarnya ia sedang dikuasi oleh hawa nafsu. Banyak keadaan marah boleh mendatangkan perkara buruk. Apabila seseorang itu marah, ia dibantu oleh syaitan. Syaitan adalah musuh utama manusia yang berjanji kepada Allah untuk menggoda dan memesongkan anak cucu Adam.
640. Soalan : Apakah hukumnya bernazar?
Jawapan :  
Hukum bernazar: Harus / dibenarkan

Latarbelakang: Ia adalah satu ibadah zaman silam. Al-Quran ada menjelaskannya:

Firman Allah SWT maksudnya, "(Ingatlah), ketika isteri 'Imran berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menazarkan kepada Engkau anak yang dalam kandunganku menjadi hamba yang saleh dan berkhidmat (di Baitul Maqdis). Karena itu terimalah (nazar) itu dari padaku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". (Surah Ali-Imran ayat 35)

Perincian hukum bernazar:

Terdapat dua jenis nazar:

1. Nazar mutlak.

Iaitu nazar tanpa syarat. Contoh, apabila seseorang itu mendapat satu-satu nikmat, mana dia bernazar untuk berpuasa sehari. Atau setelah dia terlepas dari bala bencana dia bernazar untuk bersedekah.

2. Nazar Mu'allaq.

Iaitu nazar bersyarat. Contoh: Jika dia mendapat nikmat yang diinginkan dia akan bernazar utk berpuasa sehari. Atau, jika dia terlepas dari bala bencana dia akan bernazar akan bersedekah.

Jelas perbezaan dua jenis nazar ini.

Pendapat-pendapat mazhab:

Malikiyah: nazar mutlak adalah mustahab. Manakala nazar mu'alaq, harus / ja'iz.

Hanabilah: Bernazar,samada mutlak atau mua'laq, makruh.

Kebanyakan Syafi'iah, Hanabilah & Malikiyah: Nazar mua'laq adalah makruh.

Alasan makruh ialah: Nazar adalah bentuk taqarrub/pendekatan diri kepada Allah. Taqarrub melalui nazar mua'llaq ini bergantung kepada dapat atau tidaknya sesuatu yg dihajati. Jika dapat maka akan dilaksanakannyalah taqarrub itu. Jika tidak, maka tidak dilakukannyalah taqarrub yg diniatkannya itu. Ia seperti mahukan pertukaran. Jika Allah makbulkan apa yg dihajati, barulah niat taqarrub itu dilaksanakan. Jika tidak, maka tidak dilakukan. Terjadi semacam bentuk pertukaran di sini.

Ini berbeza dengan nazar mutlak. Di mana, nazar itu dilakukan selepas mendapat apa yg inginkan atau terlepas dari apa yg tidak diinginkan. Contoh: Selepas mendapat seorang mendapat keputusan periksa yang cemerlang barulah dia bernazar, bukan sebelum dengan meletakkan syarat, jika aku lulus cemerlang.

Nazar mua'laq inilah yang dimaksudkan oleh sabdaan Baginda SAW.:

Ertinya: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Pada suatu hari Rasulullah SAW melarang kami dari bernazar, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya nazar itu tidak dapat menolak sesuatupun tetapi dengan nazar itulah (sesuatu) dikeluarkan dari orang yang bakhil. (HR Bukhari, Muslim & Ahmad)

Tanyalah Ustaz Siri 135 (Dosa Menyekat Rezeki, Kenapa Doa Kita Di Palestin Belum Di Kabulkan, Wanita Kerap Keluar Angin, Ada Kata Pandangan Perjuangan Di Palestin Bukan Jihad Dan Solat Pegang Al-Quran.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 135 adalah menjelaskan persoalan dosa menyekat rezeki, kenapa doa kita di Palestin belum di kabulkan, wanita kerap keluar angin, ada kata pandangan perjuangan di Palestin bukan jihad dan solat pegang al-Quran.

631. Soalan : Betul ke rezeki seseorang tu tersekat akibat dosa maksiat yg dilakukan?

Jawapan : 

Dosa atau melakukan maksiat bukan perkara kecil. Hari ini ramai orang memandang remeh soal dosa. Sesetengah umat Islam kini bukan saja tidak takut berbuat dosa malah seronok pula melakukannya.

Menurut Ibnu Qayyim, akibat yang akan menimpa pelaku maksiat antaranya: 1. Maksiat akan menghalang diri daripada mendapatkan ilmu pengetahuan. Ilmu adalah cahaya yang dipancarkan ke dalam hati. Ketahuilah, kemaksiatan dalam hati dapat menghalang serta memadamkan cahaya itu. 2. Maksiat menghalang rezeki. Jika ketakwaan adalah penyebab datangnya rezeki, maka meninggalkan ketakwaan bererti menimbulkan kefakiran. Rasulullah SAW bersabda, "Seseorang hamba dicegah daripada rezeki akibat dosa yang dibuatnya." (HR Ahmad).

Justeru, kita perlu meyakini takwa adalah penyebab datangnya rezeki serta memudahkan rezeki kita. Jika saat ini kita berasakan betapa sukarnya mendapatkan rezeki Allah, maka tinggalkan kemaksiatan! Jangan kita penuhi jiwa kita dengan debu maksiat.

3. Maksiat membuat kita jauh daripada Allah. Diriwayatkan ada seorang lelaki mengeluh kepada seorang arif berkenaan kesunyian jiwanya. Arif itu berpesan, "Jika kegersangan hatimu akibat dosa, maka tinggalkanlah perbuatan dosa itu." 4. Maksiat membuat sukar semua urusan kita. Ketaatan adalah cahaya, sedangkan maksiat adalah gelap gelita. Ibnu Abbas r.a. berkata, "Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kekuatan badan dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk mengundang ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki dan kebencian makhluk.

5. Maksiat melemahkan hati dan badan. Kekuatan seorang mukmin terpancar daripada kekuatan hatinya. Jika hatinya kuat, maka kuatlah badannya. 6. Maksiat menghalang untuk kita taat. Orang melakukan dosa dan maksiat cenderung untuk tidak taat. Orang yang berbuat maksiat seperti orang yang satu kali makan, tetapi mengalami sakit berpanjangan. 7. Maksiat memendekkan umur dan menghapus keberkatan. Pada dasarnya, umur manusia dihitung daripada masa hidupnya. Imam Nawawi hanya diberi usia 30 tahun oleh Allah s.w.t. Meskipun hidupnya pendek, namun berkat. Kitab Riyadhush Shalihin dan Hadits Arbain yang ditulisnya memberinya keberkatan dan usia yang panjang, sebab dibaca oleh manusia dari generasi ke generasi hingga saat ini dan mungkin generasi yang akan datang.

8. Maksiat menumbuhkan maksiat lain. Seorang ulama salaf berkata, jika seorang hamba melakukan kebaikan, maka hal itu akan mendorongnya melakukan kebaikan yang lain dan seterusnya. Oleh itu, berhati-hatilah. Jangan sesekali cuba melakukan maksiat kerana ia akan menyebabkan 'ketagihan' dan sukar untuk berhenti jika ia menjadi satu kebiasaan.

9. Maksiat mematikan bisikan hati nurani. Maksiat melemahkan hati daripada kebaikan dan menguatkan kehendak melakukan maksiat lain. Itulah akibat maksiat. Tidak ada lagi rasa malu ketika berbuat maksiat. Jika orang sudah biasa berbuat maksiat, dia tidak lagi memandang perbuatan itu sebagai sesuatu yang buruk. Tidak ada lagi rasa malu melakukannya. Bahkan dengan bangga menceritakan perbuatan maksiat yang dilakukannya kepada orang lain.


632. Soalan :  Kenapa ALLAH tak makbulkan doa rakyat Gaza,Palestin...seperti yg kita maklum negara mereka telah diserang...ramai anak2 kecil..mati...sudah tentu mereka berdoa pada ALLAH mengharapkan perlindungan,keselamatan..malah seluruh umat islam dunia berdoa akan keselamatan mereka...kenapa ALLAH tak makbulkan doa orang yg dizalimi. Maafkan saya yg jahil dgn soalan ini...sekadar ingin tahu
saya pasti ada hikmah.


Jawapan : 

Apa yang berlaku di muka bumi semuanya di dalam ilmu Allah SWT, Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala-galanya rintihan dan doa para hamba-hamba-Nya yang dizalimi. Yahudi Zionos laknatullah ingat mereka boleh suka-suka membunuh umat Islam yang tak berdosa. Percayalah apa yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat adalah ujian umat Islam di seluruh dunia. Allah SWT yang menyatukan hati-hati umat Islam di seluruh dunia supaya berkorban harta dan berdoa siang dan malam di bulan Ramadan al-Mubarak bulan mustajab doa untuk saudara-saudara kita yang di zalimi. Mereka yang di bunuh Allah SWT pilih untuk mendapat syahid. Yakinlah bantuan Allah SWT pasti akan datang kerana tiga doa yang mustajab adalah doa mereka yang di zalimi, doa seorang yang sedang berpuasa dan doa saudara yang berjauhan kepada saudaranya yang lain. Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh Allah."
(Hadis riwayat Ahmad - sanad hasan)

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara."(Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)

Dari Khuzaimah bin Thabit r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : " Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi. Allah S.W.T. berkata : 'Demi kemulian dan keagunganKu, Aku pasti akan menolongmu walaupun setelah masa yang lama."
(Hadis riwayat Tobrani - sanad hasan)
 

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Ada tiga orang yang doanya tidak akan ditolak: Penguasa yang adil, orang yang berpuasa hingga berbuka, dan doa orang yang di zalimi. Allah akan menaikkan doanya tanpa terhalang awan mendung pada hari kiamat dan dibukakan baginya pintu-pintu langit, dan Dia berfirman, ‘Demi kemuliaan-Ku, Aku pasti menolongmu meskipun beberapa saat lagi’.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Nasa’i, dan Ibnu Majah) dan Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT." (Hadis Riwayat Muslim)

Orang mukmin sentiasa berdoa untuk sahabat dan saudaranya yang berjauhan, persahabatan yang terjalin kerana ikatan kasih sayang kerana Allah SWT. Semasa dia berdoa untuk dirinya sendiri dia akan masukkan bersama doa itu untuk kebaikan sahabat-sahabatnya yang berjauhan dan di zalimi. Salah satu doa yang sangat makbul ialah mendoakan kepada sahabatnya atau saudaranya yang berjauhan. Hadis Qudsi ;Allah murka orang zalim

Berkata Ali r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah Taala telah berfirman: “Aku sangat murka ke atas orang yang melakukan kezaliman terhadap seseorang yang tidak punya pembela selain Aku.” (Hadis Riwayat Thabrani) -hadis Qudsi.


ISYARAT RASULULLAH SAW BAHWA KAUM YAHUDI AKAN KALAH TOTAL MELAWAN KAUM MUSLIMIN.

Isyarat ini sudah pernah disinggung dalam sebuah hadis shahih yang lalu beserta hadist mengenai Ibnu Shayyad--- sanadnya dinisbatkan kepada Ibnu Umar yaitu, bahwa Rasulullah SAW bersabda,

"Kamu sekalian akan diperangi oleh kaum Yahudi, tetapi kamu akan dapat menguasai mereka, sampai batu-batu akan berkata, "Hai muslim, ini ada Yahudi di belakangku, bunuh dia!"

"Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah seluruh umat Islam berperang dengan seluruh Yahudi. Umat Islam akan membunuh mereka sehinggakan apabila mereka bersembunyi di sebalik batu dan pokok, tiba-tiba pokok-pokok dan batu-batu itu bersuara menjerit memanggil umat Islam agar datanglah kamu ke sini dan bunuhlah orang-orang Yahudi itu, kecuali pokok 'Gharqad', kerana ia adalah pokok Yahudi". (Hadis Sahih riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

*Gharqad adalah nama pohon yang ditanam oleh orang-orang Yahudi. Tingginya, satu sampai tiga meter, kulit dan batangnya berwarna putih.

Kaum Yahudi pun meyakini kebenaran hadis di atas suatu saat akan menimpa mereka, maka sejak dini, mereka hanya mahu menanam pohon Gharqad saja untuk dijadikan pelindung atau persembunyian jika perang besar memang benar-benar akan terjadi. Hancurnya bangsa Yahudi merupakan salah satu dari tanda-tanda datangnya hari kiamat. Hal ini bermula dengan sebuah peperangan besar yang melibatkan banyak bangsa di dunia termasuk bangsa Israel. Sebelum terjadi peperangan ini, terdapat beberapa peristiwa lain yang membawa kepada terjadinya peperangan ini menurut kronologi hadis akhir zaman hasil kajian ilmuan Islam. Antaranya, Pencerobohan ke Atas Iraq dan Serangan Israel ke atas Gaza. Rancangan Israel sudah lama untuk mewujudkan perang yang dipanjangkan kepada Perang Dunia Ketiga dan dijangka bakal berlaku tidak lama lagi.

Pertempuran dahsyat ini dikenali sebagai Armageddon, di mana lokasi utama perang ini adalah di lembah Megiddo/Mageddon, Palestin. Padahal di kalangan para ahli kitab mereka telah mengkaji tentang peperangan ini dan senantiasa bersiap sedia untuk menghadapinya.


633. Soalan : Ustaz..nak mintak pandangan ustaz..kalau perempuan yang selalu keluar angin melalui dua jalan depan dan belakang selepas ambil wuduk..kalau dia ambil wuduk untuk solat isyak, bolehkah dia meneruskan solat terawih tanpa mengambil wuduk yg lain?

Jawapan : 

Hukum dan implikasinya

Hukum wanita yang mengeluarkan angin / kentut melalui faraj (qubul) dan juga dubur adalah batal wuduknya berdasarkan dalil berikut,


عَنْ َعبَّادِ بْنِ تَمِيْمٍ عَنِ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لاَ يَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتاً أَوْ يَجِدَ رِيْحاً

‘Abbad bin Tamim melaporkan daripada Nabi SAW yang berkata, “Jangan seseorang berpaling iaitu meninggalkan solat sehingga ia mendengar bunyi kentutnya atau tercium baunya”.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, secara jelas Rasulullah memberitahu bahawa keluar angin boleh membatalkan solat. Oleh sebab itu, wanita yang mengalami masalah angin pada faraj disarankan mengambil langkah-langkah berikut;

1. Berdehem selepas membuang air kecil.

2. Membasuh kemaluan dengan sempurna.

3. Mengelap faraj sehingga kering dan menutupi ruang kemaluan dengan tisu, kain atau menutupi ruang dengan rapat menggunakan tuala pelekat yang nipis dan bersih.

4. Kemudian memakai seluar dalam yang kemas agar udara tidak boleh keluar masuk sebelum berwuduk dan menunaikan solat.

Sikap berhati-hati dalam menunaikan ibadah solat amat penting agar solat sah dan diterima Allah. Jika angin tak keluar boleh solat terawih menggunakan wuduk yang sama. Jika keluar lagi angin sila ambil lagi wuduk.
 

Jika memang tak boleh dielakkan berlaku berterusan maka walaupun di tutup rapat kawasan kemaluan tersebut maka boleh dia solat sunat dengan menggunakan wuduk yang sama. Solat fardu dan sunatnya sah.

634. Soalan : Ada seorang ustaz menyatakan di Palestin bukan jihad di ajalan Allah SWT kerana tak cukup tentera dan senjata, adakah dakwaan ini benar? Minta penjelasan.

Jawapan : 

Umat Islam perlu berhati-hati terhadap fatwa yang pelik-pelik di lakukan oleh ulama muda yang tidak faham realiti sebenar di bumi Palestin. Fatwa yang amat mengelirukan umat Islam, fatwa yang lahir daripada mereka yang kecewa dan sanggup membiarkan yahudi laknatullah meratah daging umat Islam Palestin. Umat Islam perlu menerima fatwa Ketua Ulama Dunia yang berfikiran positif dan faham keadaan sebenar masaalah yang dihadapi oleh umat Islam Palestin.

Syeikh Yusuf al-Qardhawi dalam fatwa mengenai Palestin ada menyatakan :

“Aku ingin menegaskan bahawasanya bumi Palestin merupakan bumi umat Islam. Ianya bukan sahaja milik rakyat Palestin semata-mata tetapi milik umat Islam seluruhnya daripada satu generasi kepada generasi seterusnya. Sekiranya satu generasi telah mengabai dan menyalah-gunakannya maka haram untuk seluruh umat Islam berputus asa daripada melepaskannya kepada musuh.


Sekiranya rakyat Palestin tidak mampu untuk mempertahankan hak mereka maka wajib kepada seluruh umat Islam yang lain untuk menolong mempertahankan hak tanah kelahiran mereka. Wajib menolong untuk melawan musuh dan mempertahankan Masjidil Aqsa".
"Sekiranya kita tidak mampu untuk turun berperang dan berjuang bersama mereka maka musuhilah mereka dengan pelbagai cara untuk menolong umat Islam dengan cara penerangan dan penyampaian maklumat secara menyeluruh. Maka mana mungkin rakyat Palestin sendiri yang sanggup untuk menggadaikan hak mereka (dengan menjual tanahair mereka sendiri)”.


Firman Allah SWT :


وما لنا ألا نقاتل في سبيل الله وقد أخرجنا من ديارنا وأبنائنا
 

“Mengapa kami tidak akan berperang pada jalan Allah sedangkan kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dipisahkan dari anak-anak kami? (Surah al-Baqarah : 246)
 

Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf r.h (Mufti Mesir yang lepas) telah mengeluarkan fatwa yang menyatakan : “Palestin merupakan negara Islam manakala Israel telah melakukan pencerobohan keatasnya. Seluruh dunia Islam diwajibkan untuk menghidup dan menggerakkan semangat jihad dikalangan masyarakat Islam untuk membebaskan Palestin dan menegakkan hukum Allah serta menolong rakyatnya. Haram bagi sesiapa dikalangan umat Islam yang menolong Israel atau memuliakan mereka bahkan haram dalam apa jua sekalipun untuk membantu mereka mendapatkan walupun satu depa tanah Palestin. Mengiktiraf pembentukan negara haram Israel merupakan satu pengkhianatan kepada Allah dan Rasul serta seluruh umat Islam yang telah dipertanggugjawabkan untuk menjaganya. Oleh itu, wajib terhadap semua umat Islam walaupun berbeza pertuturan bahasa, warna kulit, bangsa, negara dan lain-lain untuk mengembalikan Palestin kepada rakyatnya yang sebenar. Serta wajid menolong untuk membekalkan senjata kepada para mujahidin yang berjuang dan pelbagai kelengkapan untuk menolong mereka berjihad pada jalan Allah”.
 

Ulama al-Azhar telah mengeluarkan fatwa pada tahun 1947, wajib berjihad untuk melindungi Masjid al-Aqsa dan menyelamatkan Palestin.

Dalam kitab "Majmu’ah Rasail al-Banna" مجموعة رسائل للإمام حسن البنا dalam “Risalah Jihad” (1948M) sengaja ditulisnya tajuk tersebut pada tahun itu sempena peristiwa khusus yang sedang berlaku di Palestin. “Islam mewajibkan jihad keatas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas setiap bahu muslim. Amanah menyampaikan risalah agama adalah risalah pemberi petunjuk kepada manusia menuju kearah pintu gerbang keadilan dan kebenaran”.
 

Syeikhul Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud dalam kitab “al-Fatawa” iaitu himpunan daripada fatwa-fatwa yang telah dikeluarkannya ada menyebutkan :

“Menyebarkan kalimah Tauhid (Islam) merupakan kewajipan umum kepada seluruh umat Islam begitulah juga untukmempertahankan negara umat Islam. Maka mengusir dan menghalau musuh daripada tanah umat Islam merupakan kewajipan. Mengusir Israel daripada Masjidil Aqsa dan daripada apa sahaja belenggu dan penjajahan dalam bumi umat Islam merupakan satu kewajipan. Ianya adalah satu perkara yang suci dan mulia bahkan wajib fardhu ‘ain keatas semua umat Islam”.


“Peperangan antara arab dengan Israel merupakan jihad dan dalam masa yang sama adalah mempertahankan hak dan maruah umat Islam yang telah ditindas dan diceroboh. Sesapa yang mati maka dinilai sebagai syahid disisi Allah. Rakyat Palestin ada yang terpaksa keluarmeninggalkan bumi sendiri kerana teruknya mehnah dan tribulasi yang menimpa mereka dalam pelbagai aspek. Maka wajib kepada semua negara-negara Islam yang ada untuk membantu mengembalikan hak mereka. Sekiranya ada mana-mana negara umat Islam yang tidak mengambil bahagian maka ia merupakan satu jenayah terhadap Allah dan Rasul-Nya”.


Berdasarkan beberapa fatwa ulama-ulama besar dan mampu memberikan fatwa demi kepentingan umat Islam maka kita hendaklah berpegang dengan fatwa mereka yang mempunyai autoriti dan jangan ikut dan jangan percaya dengan pendapat "ulama" yang keliru dan jauh daripada fikrah Islam yang sebenarnya. Yakinlah semua sumbangan kalian berupa wang ringgit dan doa tidak akan menjadi sia-sia dan menjadi saham akhirat. Mungkin kalian tak perlu ke Gaza UNTUK MENGANGKAT SENJATA TETAPI SUMBANGN KALIAN ADALAH DI KIRA SEBAGAI SUMBANGAN UNTUK JIHAD DI JALAN ALLAH SWT. Mudah-mudahan dengan usaha kecil kalian mmberikan sumbangan ini dapat meringankan beban penderitaan umat Islam di Palestin. Dan Allah memandang kita sebagai Muslimin yang telah berusaha untuk membantu saudara-saudaranya.. Insya Allah.

Firman Allah SWT dalam Surat Al Hujuraat ayat 10 yang maksudnya :
“ Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara….”

Dari Abdur Rahman bin Zaid bin Khalid al-Juhani r.a., katanya: "Nabi SAW. bersabda maksudnya, "Barangsiapa yang memberikan persiapan - bekal - untuk seseorang yang berperang fi-sabilillah, maka dianggaplah ia sebagai orang yang benar-benar ikut berperang - yakni sama pahalanya dengan orang yang ikut berperang itu. Dan barangsiapa yang meninggalkan kepada keluarga orang yang berperang - fi-sabilillah - berupa suatu kebaikan - apa-apa yang diperlukankan untuk kehidupan keluarganya itu, maka dianggap pulalah ia sebagai orang yang benar-benar ikut berperang."
(Muttafaq 'alaih)


635. Soalan : Bolehkan seseorang imam membaca mushaf al-Quran dengan berpegang mushaf tersebut semasa solat terawih?

Jawapan : 

Ketika kita solat sunat ulama mengharuskan kita membaca al-Quran dengan memegang mushaf atau melhat mushaf yang besar berada di sisi kita. Atau cara lain yang membolehkan kita membaca surah-surah yang kita tak menghafalnya.1. Jika berhajat kepada membaca mushaf al-Quran ketika sembahyang tarawih, contohnya imam yang tidak hafiz dan tidak ada hafiz lain yang mengimami solat, maka dibenarkan bersembahyang dengan membaca dari mushaf. Kerana solat tarawih digalakkan dibaca panjang padanya.

Diriwayatkan bahawa Aisyah r.a. bersembahyang tarawih di belakang hambanya, dan hambanya itu membaca dengan mushaf.
Disebut oleh Bukhari secara muallaq 1/170, dan Ibn Abi Syaibah (2/338).

Ibn Syihab ditanya tentang seseorang yang mengimami jemaah pada bulan Ramadan dengan membaca di mushaf. Beliau berkata, "Mereka dahulu melakukan perbuatan demikian sejak awal Islam. Orang-orang terpilih dari kalangan kami pun membaca dengan (melihat) mushaf". (Muntaha al-Iradat 1/200)

Tetapi bagi makmum, tidak digalakkan membaca mushaf ketika solat kerana tidak ada hajat. Kerana makmum digalakkan mendengar bacaan imam. Jika saudara solat bersendirian bolehlah membaca mushaf yang kecil di baca semasa solat dan tidak membatalkan solat.

2. Imam boleh menggunakan mushaf saiz besar dan diletakkan di atas rehal di hadapannya. Ataupun jika dia memegang mushaf saiz biasa, ketika rukuk boleh diletakkan di atas rehal di sebelahnya.

Wallahu A'lam.


Wednesday, July 9, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 134 (Cara Wuduk Kaki Bersimen, Roh Tak Boleh Balik Rumah, Haid Melebihi 30 Hari, Was-was Air Kencing Keluar Dan Syaitan Di Ikat Di Bulan Ramadan.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 134 adalah menjelaskan persoalan cara wuduk kaki bersimen, roh tak boleh balik rumah, haid melebihi 30 hari, was-was air kencing keluar dan syaitan di ikat di bulan Ramadan.

626. Soalan :  Saya kemalangan dan kaki bersimen belah kiri...nak tunduk untuk tayammun pun tak sampai...macamana nak buat???
Selain pasir atau debu....bolehkah guna bedak atau tolong bagi cadangan lain....


Jawapan : 

Orang yang mengalami luka pada badannya atau patah tulang anggotanya dan terpaksa dibalut, diplaster atau disimen di mana ia tidak dapat ditanggalkan (termasuk semasa ingin mengambil wuduk), bagaimana caranya ia hendak mengambil wuduk atau mandi?

Bagi kes tersebut, diberi kelonggaran untuk menyapu air di atas kain balutan atau plaster atau simen yang dipakainya. Orang yang menghadapi masalah sedemikian, ia hendaklah melakukan tindakan berikut semasa mengambil wuduk;

Pertama; Hendaklah ia membasuh dan meratakan air sebagaimana biasa ke kawasan-kawasan yang sihat (tidak sakit) dari anggota wuduknya.

Kedua; Bagi kawasan yang berbalut pula, wajib ia menyapu air ke atasnya. Menurut Imam Abu Hanifah; memadai dengan menyapu sebahagian besar balutan. Namun jumhur ulamak (iaitu Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berkata; “Wajib disapu air meliputi seluruh balutan”.

Jika ia mandi wajib, hendaklah ia mandi sebagaimana biasa iaitu dengan meratakan air ke seluruh badannya yang sihat (yakni yang tidak berbalut). Adapun kawasan yang sakit (yakni yang berbalut) hendaklah disapukan air ke atas balutan secara menyeluruh atau sebahagian besar darinya mengikut pandangan ulamak tadi. Apabila ia sembuh nanti, tidak diwajibkan ia mengulangi semula mandi wajibnya. Ia hanya diwajibkan membasuh/memandikan anggota-anggota yang berbalut sahaja.

Adakah wajib disertai dengan tayammum?

Mengenai soalan ini, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut mazhab Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad; tidak wajib lagi bertayammum. Memadai membasuh kawasan yang sihat dan menyapu air di atas balutan bagi kawasan yang sakit. Tidak perlu bertayammum.

2. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; wajib disertai dengan tayammum. Berdasarkan mazhab Syafi’ie, orang yang memakai balutan ia hendaklah melakukan tiga perkara semasa mengambil wuduk atau mandi wajib;
a) Membasuh kawasan yang sihat (tidak sakit atau cedera)
b) Menyapu air ke atas balutan dengan meratakannya
c) Bertayammum; bagi mandi wajib, cukup dengan sekali tayammum sahaja sama ada sebelum mandi atau selepasnya. Adapun bagi wuduk, ada dua pandangan; (Pandangan pertama); wajib bertayammum mengikut bilangan anggota wuduk yang berbalut untuk menjaga tertib yang disyaratkan dalam wuduk. (Pandangan kedua); cukup sekali tayammum sahaja iaitu sebelum wuduk atau selepasnya. Pandangan yang rajih dalam mazhab ialah yang pertama.

3. Mengikut mazhab Imam Ahmad; wajib tayammum hanya jika balutan melebihi kawasan yang perlu, yakni kawasan yang sakit atau cedera. Jika balutan hanya membalut kawasan sakit tanpa menyentuh kawasan yang sihat, tidak perlu bertayammum, cukup dengan menyapu air ke atas balutan sahaja.

Adakah wajib memakainya setelah bersuci?

Ada dua pandangan ulamak;

Pandangan pertama; wajib balutan atau palster atau simen itu dipakai setelah bersuci iaitu setelah mengambil wuduk atau setelah mandi wajib. Jika tidak, maka solat yang ditunaikan sepanjang memakai balutan atau simen atau plaster itu wajib diulangi semula apabila sembuh nanti. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad.

Pandangan kedua; tidak wajib bersuci terlebih dahulu sebelum memakainya. Dalam pengertian yang lain; tidak disyaratkan pemakaian balutan atau simen atau plaster itu dibuat setelah mengambil wuduk atau mandi wajib terlebih dahulu. Sekalipun seseorang memakai balutan atau simen dalam keadaan tidak berwudhuk, harus baginya menyapu atas balutan atau simen itu semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib dan tidak perlu ia mengulangi solatnya apabila sembuh. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.

Berapa lamakah tempoh diizinkan menyapu balutan?

Keizinan dari Syarak untuk menyapu balutan tidak ada tempoh masa tertentu. Ia bergantung kepada tempoh kesembuhan luka atau patah. Selagi luka atau patah belum sembuh dan balutan masih perlu dipakai, maka selagi itu keharusan menyapu di atas balutan berterusan. Apabila sakit telah sembuh dan balutan dapat dibuka, hilanglah keharusan tersebut dan wajib mengambil wudhuk atau mandi wajib sebagaimana asalnya.


Berdasarkan huraian di atas cara saudara mengambil wuduk mengikut mazhab Syafie iaitu : Saudara basuh anggota wuduk muka, dua tangan hingga siku, sapu air di kepala dan basuh kaki kanan dan di kaki kiri yang bersimen. (jika tak sampai minta orang lain tolong sapukan) kemudian saudara bertayamum iaitu sapu debu di muka dan dua tangan hingga siku. (untuk menggantikan kaki kiri yang tak boleh di basuh dengan air).
 

Perlu di ingat bertayamum TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN bedak atau debu di dinding, perlu gunakan debu tanah yang suci. Cara bertayamum ialah sebagaimana ajar Nabi SAW dalam hadis berikut: "Sesungguhnya cukuplah engkau mengerjakan sebegini - Nabi SAW menepuk tanah dengan kedua tapak tangannya kemudian meniupnya kemudian menyapu muka serta tangannya dengan kedua tapak tangannya itu. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu' Lu' wal Marjan - no: 0208.)

Tayamum hendaklah dengan menggunakan debu tanah yang bersih yang berasal dari bumi sepertimana firman Allah SWT maksudnya : "…kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih…(Surah al-Maidah (5) ayat 6) dan juga dari sabda Nabi SAW : "Kamu diberikan kelebihan atas manusia dengan 3 perkara: Dijadikan barisan-barisan kamu seperti barisan para malaikat, dijadikan bumi seluruhnya sebagai tempat solat dan dijadikan bagi kamu debunya sebagai penyuci apabila kamu tidak mendapatkan air."(Hadis riwayat Imam Muslim, Misykat al-Masabih - 1/725/0186.)

Daripada dua dalil di atas telah ditentukan bahawa agen penyuci yang dibolehkan bagi etika tayamum ialah debu-debu tanah mukabumi. Ulama-ulama fiqh telah memperluaskan maksud debu tanah mukabumi ini kepada tanah dan jenis-jenisnya, pasir, kerikil, debu arsenik dan kapur. (Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/196.)

Apabila hendak bertayamum seseorang itu perlu memastikan bahawa yang akan digunakan itu adalah debu tanah mukabumi dan bukannya debu-debu habuk partikel udara yang kebanyakkannya merupakan sisa kumuhan kimia yang terapung lalu melekat di dinding bas, perabut atau tingkap bangunan atau habuk-habuk di kerusi bas /kapal terbang/ keretapi)

Sesetengah pendapat membolehkan bertayamum dengan menggunakan apa sahaja yang berupa debu, tanpa mengira samada ia berasal dari bumi atau tidak. Pendapat ini membolehkan bertayamum dengan tepung gandum, bedak talkum, serbuk kayu, habuk-habuk yang berada di atas perkakas rumah. habuk-habuk di kerusi bas, kapal terbang atau keretapi dan sebagainya. Ada juga yang menambah, apa sahaja bentuk debu yang ditemui di mukabumi ini maka ia boleh digunakan sebagai agen untuk tayamum.

Pendapat ini menurut analisa ulama yang muktabar adalah tidak tepat kerana ia jelas menyalahi ketentuan syarak yang menyatakan bahawa yang dibolehkan untuk tayamum ialah debu-debu tanah mukabumi. Perkataan tanah debu di dalam al-Quran berasal dari kata Bahasa Arab yang asalnya bererti tanah. (Imam as-Suyuti - Tafsir Jalalain, 1/451, Shaikh M. Ali ash-Shabuni - Tafsir Ayat-ayat Hukum dalam al-Qur'an, 1/951.)

Oleh itu apabila Allah telah memerintahkan : "……hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih ……" (Surah al-Maidah (5) ayat 6) , maka yang dimaksudkan ialah tanah mukabumi ini dan bukan sebarang jenis debu-debu yang tidak berasal dari tanah mukabumi. Hal ini diperincikan lagi oleh Nabi SAW yang telah bersabda:" ……dijadikan bumi seluruhnya sebagai tempat solat dan dijadikan bagi kamu debunya sebagai penyuci ……" (Hadis riwayat Imam Muslim, Misykat al-Masabih - 1/725/0186.)

Imam Ibnu Ruysd seterusnya menambah : Pendapat yang mengatakan kebolehan bertayamum dengan menggunakan apa sahaja yang berada di atas mukabumi adalah lemah. Sebab tidak semuanya itu termasuk dalam kategori 'debu tanah'. Sebab kata 'debu tanah' yang umum itu diertikan sebagai apa yang disebut sebagai bumi. Dengan demikian ia bukanlah diertikan sebagai kapur atau salji atau rumput (dan sebagainya). Allah sahajalah dalam segala hal yang akan menunjukkan kebenaran. (Imam Ibnu Ruysd - Bidayatul Mujtahid, 1/143.)

Dalam kenyataannya ini Imam Ibnu Ruysd tidak memandang kapur sebagai sesuatu yang boleh digunakan untuk bertayamum. Walaubagaimanapun sesetengah ahli fiqh lain berpendapat kapur itu dibolehkan kerana ia adalah juga suatu benda yang asli dari bumi ini. Yang dimaksudkan kapur itu adalah debu-debunya yang dikikis dari bukit-bukit batu kapur sebagaimana yang banyak terdapat di negara kita.)
 

Tak boleh guna bedak untuk tayamum, cuba cari kedai jual buku-buku agama ada yang menjual debu tayamum. untuk yang simen itu sapu dengan tangan yang ada bekas air saja buat syarat. Kemudian tayamum untuk tampung kawasan yang tak kena air.

627. Soalan : Betul ke roh ahli kerluarga kita yang telah meninggal akan datang melawat kita di bulan Ramadan ni ? atau benar kah roh akan datang melawat keluarganya di dunia ini?

Jawapan : 

Pendapat ini tak betul dan ianya adalah kurafat tak boleh percaya kerana boleh menjejaskan akidah kita. Apabila seorang manusia meninggal dunia dan masuk ke alam barzakh maka rohnya tak akan balik kerumah samaada di bulan Ramadan , bulan Syahwal atau bulan-bulan yang lain. Ulama yang muktabar telah memberikan huraiannya mengenai roh orang yang telah meninggal dunia. 

1. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi.
Bahawa roh tidak akan mencampuri urusan yang tidak berguna lagi padanya [Fataawa Muasyarah, 1/70]. Pada hakikatnya, roh berada suatu alam yang dinamakan alam barzakh yang sudah tentu penghidupannya sangat berbeza. Sheikh Walid al-Firyaan mengatakan bahawa alam barzakh adalah jangka waktu diantara kematian seseorang dan Hari Kiamat.
Bagi Roh orang yang beriman, ia akan menerima balasan yang baik di alam barzakh. Dan bagi mereka yang mengerjakan maksiat maka mereka akan diazab di alam barzakh. Sebagaimana sabda Nabi S.A.W:-


Roh orang yang beriman adalah burung yang sangkut di pokok-pokok syurga,memakan buah-buahannya, dan Roh orang kafir akan pergi ke neraka"
Sebagai kesimpulan, alam Roh dengan Alam Dunia amat berbeza sekali. Kekesanan Alam Dunia kepada Alam Roh adalah sebagaimana yang dinyatakan didalam hadith sahih iaitu : sedekah jariah, ilmu yang bermunafaat dan anak yang soleh yang mendo'akannya. Tidak ada gunanya pun kalau roh-roh ini dibenarkan pulang kalau ia tidak memunafaatkan diri mereka.

2. Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Apabila roh sudah berpisah dari tubuh, ia berada di alam yang dinamakan Barzakh, dan ia tidak akan mampu sama sekali untuk kembali ke alam dunia semula sama ada dalam keadaan baik atau buruk. Dakwaan Roh pulang kembali ke rumahnya setelah hari-hari tertentu adalah TIDAK BENAR. Tidak kiralah sama ada roh itu dalam keadaan baik atau buruk. Manakala jika benar kelihatan mahkluk seperti si mati dan kendengaran suara-suara menangis, maka pandangan Ulama adalah ia hanyalah angkara Jin dan Syaitan yang menyerupai si mati dan gangguan mereka, tidak lebih dari itu.

Apabila roh sudah berpisah dari tubuh, ia berada di alam yang dinamakan Barzakh, dan ia tidak akan mampu sama sekali untuk kembali ke alam dunia semula sama ada dalam keadaan baik atau buruk. Dakwaan Roh pulang kembali ke rumahnya setelah hari-hari tertentu adalah TIDAK BENAR. Tidak kiralah sama ada roh itu dalam keadaan baik atau buruk. Manakala jika benar kelihatan mahkluk seperti si mati dan kendengaran suara-suara menangis, maka pandangan Ulama adalah ia hanyalah angkara Jin dan Syaitan yang menyerupai si mati dan gangguan mereka, tidak lebih dari itu.

Bukti bahawa Roh tidak boleh kembali berdasarkan dalil berikut :-

Firman Allah ertinya : " Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka ( orang kafir) dia berkata : " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan mereka ada DINDING (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan" ( Al-Mu'minuun : 99-100).

Imam Mujahid (Tabien dan anak murid Ibn Abbas r.a) dan Ibn Zaid berkata tentang ayat ini : "Barzakh adalah seperti satu tembok yang menghalang orang yang mati kembali ke dunia."

Firman Allah ertinya : "Allah SWT memegang jiwa (ruh) ketika matinya (seseorang) dan memegang jiwa(ruh) orang yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan.." ( Az-Zumar : 42 ).

Melalui ayat ini, jelas bahawa roh berada di dalam pegangan Allah SWT dan Allah tidak membenarkan sama sekali Roh untuk kembali ke dunia, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat sebelum ini,

Terdapat juga ulama berpandangan bahawa roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang hidup ketika mereka sedang tidur (melalui mimpi). (Ar-Ruh, Ibn Qayyim, ms 20). Bagaimanapun, tiada yang berpandangan roh tersebut boleh bertemu dengan orang hidup semasa sedar mereka. Semua roh yang telah di ambil Allah SWT akan sibuk dengan urusan mereka sama ada baik atau buruk.

Prof Ahmed Azzedine Al-Bayanuny dan Prof. Mohamed Hussin pernah menegaskan bahwa dakwaan orang-orang kristian yang boleh bertemu dengan ruh si mati dengan teknik jampian khas adalah penipuan yang menggunakan Jin dan syaitan. Ia bukannya ruh yang sebenar. ( Rujuk Al-Iman Bil Malaika dan Al-Ruhiya al-Haditha)


628. Soalan : Saya ada soalan yang saya kira cakap berat untuk insan kerdil seperti saya ini. 

1) Bagaimana untuk mengira putaran haid seseorang? Adakah di kira sebagai 15 hari suci dan 15 hari tak suci. Sebab adik saya mengalami hari tak suci melebihi 30 hari tanpa henti. 

2) Sekiranya ia memasuki waktu suci walaupun haid nya masih keluar, adakah ia dibenarkan berpuasa dan solat? 

3) Bolehkan ia menyimpan wuduk? Sekian. Terima kasih.

Jawapan : 

Dalam mazhab Syafie masa haid paling lama adalah 15 hari, jika lebih 15 hari dipanggil darah istihadah. Kebiasan adik saudari haidnya berapa hari, jika 7 hari maka 7 hari adalah di kira masa haid dan selebihnya adalah istihadah. Terdapat perbezaan syariat ke atas wanita haid dan wanita mengalami istihadah. Jika adik saudari mengalami tak suci lebih 30 hari itu adalah darah istihadah. Seseorang yang mengalami darah istihadah perlu mendapat pemereksaan doktor di atas penyakit yang di alaminya. Istihadah Dan Hukum-Hukumnya

Istihadah (الاستحاضة) ialah darah yang keluar secara berterusan bagi seorang wanita. Ia keluar tanpa terputus-putus atau mungkin terputus sekejap seperti sehari-dua dalam sebulan.

Dalil bagi kes pertama, yakni darah keluar tanpa terputus-putus ialah sebagaimana aduan Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu 'anha kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana di dalam Shahih al-Bukhari: “Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku tidak suci” manakala dalam satu riwayat yang lain: “Aku didatangi istihadah maka aku tidak suci.”

Dalil bagi kes kedua, yakni darah keluar dengan terputus sekejap ialah kisah Himnah binti Jahsy radhiallahu 'anha yang datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lalu berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku didatangi darah istihadah yang banyak.” [Musnad Ahmad, Sunan Abu Daud dan Sunan al-Tirmizi dan beliau (al-Tirmizi) mensahihkannya.]

Terdapat tiga cara bagi membezakan antara darah haid dan istihadah:

Pertama:

Wanita yang memiliki masa haid yang tetap (tempoh dan putarannya). Maka baginya hukum haid dalam masa yang tetap tersebut dan hukum istihadah bagi waktu selainnya.

Contohnya ialah seorang wanita yang lazimnya didatangi haid selama enam hari bermula awal setiap bulan. Kemudian (pada satu bulan) dia mengalami pendarahan yang berterusan. Maka pendarahan enam hari yang pertama bermula dari awal bulan dikira sebagai haid manakala hari-hari selebihnya dikira sebagai istihadah.

‘A’isyah radhiallahu ‘anha menerangkan bahawa Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu ‘anha pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Sesungguhnya aku didatangi istihadah, maka aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Rasulullah menjawab: “Tidak, sesungguhnya itu ialah ‘irq (penyakit). Tinggalkan solat pada kadar haid yang kebiasaan bagi kamu, kemudian hendaklah kamu mandi dan dirikan solat.” [Shahih al-Bukhari – no: 325 (Kitab al-Haid)]

Hal yang sama pernah berlaku kepada Umm Habibah binti Jahsy radhiallahu ‘anha dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada beliau:

“Duduklah (dalam keadaan haid) sekadar mana yang pernah kamu alami dari hari-hari haid kamu (yang biasa), kemudian hendaklah kamu mandi dan solat”. [Shahih Muslim – no: 334 (Kitab al-Haid)]

Kesimpulannya, bagi wanita yang memiliki masa haid yang tetap (tempoh dan putarannya), hendaklah dia mengira masa haidnya mengikut kebiasaan. Jika ada pendarahan pada hari-hari seterusnya, hendaklah dia mandi dan solat mengikut ukuran masa haidnya yang biasa. Tidak perlu diberi perhatian kepada pendarahan pada hari-hari seterusnya kerana itu adalah istihadah.

Kedua:

Wanita yang tidak memiliki masa haid yang tetap atau diketahui (tempoh dan putarannya). Contohnnya darah yang keluar secara berterusan sejak awal. Maka baginya dibezakan antara darah haid dan darah istihadah dengan memerhatikan sifat-sifat darah tersebut. Darah yang berwarna hitam (merah kehitaman) dan/atau pekat dan/atau berbau, ia adalah darah haid. Selainnya adalah darah istihadah.

Sebagai contoh, seorang wanita yang mengalami pendarahan secara berterusan. Akan tetapi pada hari kesepuluh kelihatan perbezaan sifat darah:

a. Sehingga hari kesepuluh darah berwarna hitam (merah kehitaman) manakala selepas itu ia berwarna merah. Maka darah yang berwarna hitam adalah haid, darah yang berwarna merah adalah istihadah.

b. Sehingga hari kesepuluh darah bersifat pekat manakala selepas itu menjadi cair. Maka darah yang pekat adalah haid, darah yang cair adalah istihadah.

c. Sehingga hari kesepuluh darah memiliki bau manakala selepas itu tiada lagi bau. Maka darah yang berbau adalah haid, darah yang tidak berbau adalah istihadah.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu ‘anha:

“Apabila darah itu adalah haid maka sesungguhnya ia hitam (lagi) dikenali, justeru hendaklah kamu menahan dari melakukan solat. Jika ia adalah (darah) selain itu maka hendaklah kamu berwudhu’ dan mendirikan solat kerana sesungguhnya ia adalah (darah) penyakit.” [Sunan Abu Daud – no: 247 (Kitab al-Thaharah) dan Sunan al-Nasa’i dengan disahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim]

Hadis di atas memiliki perbincangan dari sudut sanad dan matannya, akan tetapi para ilmuan rahimahumullah telah beramal dengannya. Bahkan ia adalah lebih utama daripada membiarkan persoalan ini kepada adat kebiasaan wanita. [Maksudnya, jika persoalan ini dibiarkan kepada adat kebiasaan wanita, ia akan terdedah kepada pelbagai pendapat dan hukum yang tidak benar. Justeru lebih baik menggunakan hadis di atas sebagai rujukan. Sekalipun ia memiliki perselisihan pendapat dari sudut kekuatannya, maksudnya tetap selari dengan lain-lain petunjuk syari‘at sehingga menjadi amalan para ilmuan sejak dari dahulu.]

Ketiga:

Wanita yang tidak memiliki masa (tempoh dan putaran) haid yang tetap dan tidak juga memiliki sifat-sifat darah yang dapat dibezakan antara haid dan istihadah. Maka baginya masa haid diukur berdasarkan kebiasaan wanita, waktu selebihnya dikira sebagai istihadah.

Sebagai contoh, wanita yang menghadapi kes ketiga ini melihat darah keluar secara berterusan bermula pada hari Khamis yang pertama dalam bulan tersebut. Maka hendaklah dia melihat kebiasaan para wanita lain yang menghampirinya dan menjadikan tempoh haid mereka sebagai ukuran ke atas dirinya. Jika pada kebiasaannya mereka didatangi haid selama enam atau tujuh hari, maka demikianlah juga ukuran ke atas dirinya. Oleh itu enam atau tujuh hari yang pertama pendarahan, bermula daripada hari Khamis, dianggap sebagai haid. Hari-hari seterusnya dianggap sebagai istihadah.

Hadis berikut menjadi rujukan dalam kes ketiga ini. Himnah binti Jahsy radhiallahu ‘anha pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya seorang wanita yang didatangi istihadah yang amat banyak, apakah pandangan engkau berkenaannya? Sesungguhnya ia menegah aku daripada mendirikan solat dan puasa.”

Rasulullah menjawab: “Aku akan terangkan untuk kamu (cara menggunakan) al-Kursuf (kapas yang diletakkan di faraj), sesungguhnya ia dapat menghilangkan darah.”

Himnah berkata: “Ia (darah saya) lebih banyak dari demikian itu”.

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya ia (pendarahan kamu) adalah hentakan dari hentakan-hentakan syaitan, maka (apabila) kamu didatangi haid selama enam atau tujuh hari pada ilmu Allah Ta’ala, hendaklah kamu mandi apabila kamu lihat bahawa kamu telah suci (dari darah haid), maka hendaklah kamu solat pada pada dua puluh tiga malam atau dua puluh empat malam dan siangnya dan hendaklah kamu berpuasa.” [Sunan Abu Daud – no: 248 (Kitab al-Thaharah) dan Sunan al-Tirmizi – no: 118 (Kitab al-Thaharah) dan berkata al-Tirmizi, hadis ini hasan sahih]

Sabda Rasulullah: “Enam atau tujuh hari” bukanlah penetapan tetapi ijtihad. Oleh itu hendaklah setiap wanita yang menghadapi kes ketiga ini berijtihad akan satu tempoh haid yang sesuai baginya. Ijtihad dibuat dengan merujuk kepada tempoh haid yang lazim dihadapi oleh para wanita lain yang menghampiri dirinya, seperti daripada keluarga atau adik beradik yang sama, rakan-rakan yang sebaya umurnya dan lain-lain lagi. [“Para wanita lain” ini hendaklah memiliki tempoh dan putaran haid yang normal. Sebagai contoh, jika seorang wanita menghadapi kes ketiga ini, hendaklah dia merujuk kepada tempoh dan putaran haid yang lazim bagi adik beradiknya yang lain. Jika mereka didatangi haid selama 10 hari setiap satu bulan, maka tempoh 10 hari tersebut menjadi ukuran bagi dirinya juga. Maka bagi pendarahan berterusan yang dihadapinya, 10 hari setiap bulan dianggap sebagai haid manakala selebihnya dianggap istihadah]

Demikian tiga cara yang paling lazim bagi membezakan antara darah haid dan istihadah.


629. Soalan : Saya ada masalah sedikit..saya sering terasa air kencing saya terkeluar,tapi bila saya lihat,tiada air pun..perasaan itu sering mengganggu saya..mohon nasihat dari ustaz..

Jawapan : 

Perasaan ini adalah perasaan was-was.Berikut beberapa perkara yang perlu saudara ambil perhatian:

1. Perasaan was-was yang mengganggu ibadah adalah gangguan fikiran dan syaitan. Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah.

Para ulama seperti Ibn Jauzi (meninggal 597H), Ibn al-Qayyim (meninggal 751H) dan ramai lagi sejak dahulu menulis dalam berbagai karya untuk membenteras penyakit yang buruk ini.

2. Antara sebab utama berlakunya was-was; tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi SAW yang mudah dan senang dalam ibadah, terpengaruh dengan ajaran fekah yang suka menyusahkan orang ramai dengan berbagai petua yang membebankan, dan juga terlalu melayan gangguan perasaan.

Kata al-Imam Ibn al-Qaiyyim: “Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah s.a.w, atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah SAW” (Ighathah al-Lihfan Min Masaid al-Syaitan, 134, Beirut: Dar Ibn Zaidun)

3. Antara ajaran yang menyebabkan was-was ialah pendapat yang mewajib mengurut kemaluan selepas kencing. Tiada nas yang sahih dalam perkara tersebut. Hanya yang diperintah agar kita membersihkan diri dari air kencing, bukan disyaratkan mesti mengurut kemaluan sehingga dipastikan segala yang ada dikeluarkan. Anggapan bahawa jika tidak diurut sehingga habis tidak sah solat adalah tidak benar.

Kata al-Syeikh Abd al-‘Aziz Ibn Baz r.h: “Adapun mengurut zakar agar keluar sesuatu adalah salah dan tidak wajar. Ia antara sebab berlakunya was-was dan tidak lawas. Hendaklah dihindari perkara ini. Sebaik sahaja terhenti kencing, maka berintinjak (cuci) dengan air…” (Ibn Baz, al-Fatawa al-Muta’allaqah bi al-Tibb wa Ahkam al-Marda, 35, Riyadh: Idarah al-Buhuth).

4. Bagi mengelakkan was-was yang merasai air kencing terkena pakaian atau masih terkeluar dari kemaluan, dicadangkan agar selepas membuang air kecil, diambil air dan direnjis pada pakaian yang berhampiran. Tujuannya, agar jika ternampak apa-apa kesan air, maka anggaplah itu air renjisan tadi. Al-Imam Ahmad telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas.

Kata al-Imam Ahmad: “Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insyaAllah”. (Ibn Qudamah, al-Syarh al-Kabir 1/94) Cadangan al-Imam Ahmad ini berteraskan hadis: “Bahawa Nabi s.a.w kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Nabi SAW melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita.

5. Adapun rasa ‘keluar angin’ (kentut) tetapi tidak pasti atau tidak yakin bahawa betul-betul keluar atau hanya perasaan sahaja, maka itu tidak membatal wuduk dan solat. Nabi SAW mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. Dalam hadis al-Bukhari, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?. Jawab Nabi s.a.w: “Jangan sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”.

Maksudnya, Nabi SAW mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti tidak berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira. Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.

6. Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini. Sebahagiannya datang ajaran sesetengah guru yang suka memayah-mayahkan cara ibadah. Sedang Nabi s.a.w memberitahu kita: “Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, elakkan mempelajari fekah dari guru yang suka berfalsafah sendiri dan berteori tanpa berlandaskan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

7. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah SWT maka hendaklah dia tahu bahawa Allah tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu.

Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah. Ikutilah arahan Allah SWT dan RasulNya tanpa melayan was-was. Was-was akan memalingkan seseorang dari mengikuti arahan Allah dan rasulNya secara betul.

8. Al-Quran menceritakan bahawa senjata was-was ini jugalah yang digunakan oleh Iblis sehingga membawa Adam melanggar arahan Allah.

Firman Allah SWT: (maksudnya) “Setelah itu maka syaitan telah mewas-waskan kepada Adam dengan berkata: “Wahai Adam, Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu dia tersalah jalan.” (Surah Taha: 120-121)


630.Soalan : Adakah betul syaitan saja yg diikat pada bulan Ramadan ni? dan jin masih berkeliaran? Jin lslam dan Jin Kafir masih lepas? mohon penerangan, sbb sy dgr hanya syaitan saja yg diikat..bagaimana pula dgn Iblis? Bapa Syaitan tu? diikat juga kah?

Jawapan : 

Imam Qurtubi berpegang kepada hadis Imam Bukhari di mana para syaitan diikat tanpa pengecualian. Namun di situlah timbulnya kemusykilan. Kalau dah semuanya kena ikat, macam mana ramai yang boleh lagi dengan selamba buat maksiat tanpa rasa segan silu?

Kemusykilan itu dijawab oleh Imam Qurtubi, “pembelengguan kesemua syaitan tidak membawa makna tidak akan berlaku kejahatan dan maksiat kerana ada sebab-sebab lain berlakunya maksiat dan kejahatan seperti hawa nafsu yang jelek, adat kebiasan yang buruk dan syaitan-syaitan manusia”.

Manusi sendiri mempunyai hawa nafsu yang boleh menyebabkan kita melakukan pelbagai perkara maksiat. Berlakunya sesuatu maksiat bukanlah hanya disebabkan hasutan syaitan semata, tetapi dikait rapat dengan hawa nafsu manusia yang kotor. Ada orang cakap, selama 11 bulan nafsu berguru dengan syaitan, maka sebulan tanpa syaitan pun sudah boleh menjadikan nafsu itu raja dalam diri kita.Maka, dengan itu.. renung-renungkanlah. Segala maksiat dan kejahatan datangnya dari diri kita yang hina ini juga. Jauhkanlah sebaik mungkin, dengan hanya menyucikan hati InsyaAllah Nafsu yang selama ini tunduk pada syaitan akan beralah lalu menuju ke arah kebaikkan.

Perlu dijelaskan disini bahawa syaitan adalah anak cucu iblis laknatullah maka iblis dan semua syaitan adalah diikat (dibelenggu). Tetapi menurut ulama jin Islam dan jin kafir tak diikat mereka bebas seperti manusia Islam dan manusia kafir bebas. Maka jin kafir inilah memainkan peranan untuk menggoda manusia semasa bulan Ramadan dan ada sebahagian orang kena rasuk juga dalam bulan Ramadan. Wallahu a'lam


Tanyalah Ustaz Siri 133 (Doa Untuk Demam, Surah al-Ikhlas Di Sayap Malaikat, Lelaki Memakai Inai, Jirus Air Di Kubur Dan Cara Mengetahui Haid Sudah Kering.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 133 adalah menjelaskan persoalan doa untuk demam, Surah al-Ikhlas di sayap malaikat, lelaki memakai inai, jirus air di kubur dan cara mengetahui haid sudah kering.

621. Soalan : Saya nak tanya macamana cara nak ubati anak kecil yang demam dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran? 

Jawapan : 

Doa Demam Panas : Amalkan bacaan Al-Fatihah (7x), ayat kursi (1x), doa demam panas (3x). Dibaca pada air kosong & bagi anak minum.

Doa demam panas "Dgn nama Allah Yg Maha Besar, aku memohon perlindungan dengan Allah Yang Maha Agung daripada kejahatan urat & kejahatan kepanasan api".

Malik bin Isma’il menceritakan kepada kami, (ia berkata) Zuhair menceritakan kepada kami, (ia berkata) Hisyam menceritakan kepada kami (yang diterima) daripada Urwah (yang berasal) dari ‘Aisyah r.a. (yang diterima) dari Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Demam panas adalah dari serpihan api neraka Jahannam, maka dinginkanlah dengan air.” (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari, no. 3023)

Dalam dunia perubatan, salah satu cara untuk mengurangi rasa panas badan adalah dengan meletakkan air @ ais di bahagian dahi @ kepala. Sehingga suhu tubuh yang belebihan boleh berkurang dan kembali pada keadaan yang normal.
Hadis lain berkaitan dengan deman atau penyakit, antaranya ialah;

“Sakit demam itu menjauhkan setiap orang mukmin dari api neraka”.
(HR. Al-Bazzar, dishohihkan Syeikh Albani dalam kitab Silsilah al Hadiis ash Shohihah no. 1821).

“Janganlah kamu mencaci-maki penyakit demam, kerana sesungguhnya (dengan penyakit itu) Allah akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran-kotoran besi”. (HR. Muslim no. 2575).

“Tidaklah seseorang muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah-gulanan hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebagian dari kesalahan-kesalahannya”.
(HR. Bukhari no. 5641).

“Tidaklah menimpa seorang mukmin rasa sakit yang terus menerus, kepayahan, penyakit, dan juga kesedihan, bahkan sampai kesusahan yang menyusahkannya, melainkan akan dihapuskan dengan dosa-dosanya”.(HR. Muslim no. 2573).

Walaupun demikan, seorang mukmin mestilah berikhtiar untuk mengubatinya. Ini adalah kerana Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya”.(HR. Bukhari no. 5678).


622. Soalan : .Saya nak tanya betul ke ayat-ayat dalam surah al-ikhlas ada tertulis di sayap-sayap malaikat. Kalau betul minta tolong huraikan dan ada tak hadis-hadis yang berkaitan. T/kasih.

Jawapan :  

1- Telah tersebar suatu hadis yang tidak sahih di Internet berbunyi:

"Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahad itu tertulis disayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s".

2- Hadis tak sahih ini diriwayatkan di dalam kitab sufi yang ditulis oleh As-Sayyid Muhammad Haqqiy An-Naziliy halaman 162 dalam suatu hadis yang panjang berkenaan Israk dan Mikraj.

3- Tiada Imam hadis ahli s-sunnah yang meriwayatkan hadis seperti di atas.

4- Tiada juga sebarang hadis sahih yang menceritakan tentang nama mala’ikat `Izra’il.

5- Tiada juga sebarang hadis sahih yang menceritakan tentang tulisan di atas sayap mala’ikat.

6- Menyebarkan hadis yang tak sahih ini adalah dilarang.

Wallahu a'lam.


623. Soalan : Saya hendak bertanya boleh tak lelaki memakai inai?

Jawapan : 

Hukum memakali inai bagi lelaki

Fuqahak semua mazhab berpendapat haram bagi lelaki memakai inai di tangan atau di kaki kerana inai merupakan perhiasan bagi wanita. Lelaki tidak harus meniru wanita sama ada pakaian atau perhiasan sebagaimana sabda Nabi SAW. bermaksud:
“Allah laknat lelaki yang menyerupai atau meniru wanita dan wanita yang menyerupai atau meniru lelaki.”

Antara kata-kata fuqahak dalam masalah ini:
1. “Adapun menginaikan dua tangan dan dua kaki, maka disunatkan bagi wanita yang bersuami kerana terdapat Hadis-hadis yang masyhur mengenainya. Dan perbuatan itu haram bagi lelaki kecuali kerana keperluan seperti berubat dan sebagainya…” Imam an-Nawawi di dalam kitab ‘Al-Majmuk”
2. “Dan tidak harus menginaikan dua tangan kanak-kanak lelaki dan dua kakinya kecuali kerana ada keperluan untuk berbuat demikian, tetapi harus bagi wanita…” Al-Fatawa al-Hindiyyah. Dinyatakan di dalam fatwa tersebut tidak harus diinaikan tangan dan kaki kanak-kanak lelaki. Maka lelaki dewasa lebih-lebih lagi.
3. “Adapun menginaikan dua tangan dan dua kaki, maka disunatkan untuk wanita dan diharamkan untuk lelaki kecuali untuk berubat…” ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud.

Kesimpulannya, inai adalah perhiasan wanita. Hukum memakainya adalah harus, sunat dan dalam keadaan tertentu makruh, iaitu bagi wanita yang tidak bersuami menurut pendapat fuqahak mazhab Syafi’ei. Bagi lelaki adalah haram kecuali dalam keadaan terpaksa seperti untuk berubat dan sebagainya.
Justeru, adat lelaki memakai inai ketika aqad nikah dan walimah adalah tidak selari dengan ajaran Islam dan mesti dihentikan.


624. Soalan : Ustaz, saya ingin bertanya.. kenapa waktu kita menziarahi kubur, selepas membaca doa untuk simati, kita perlu menjirus air di kubur tersebut. adakah ini perlu, wajib, harus dlm islam. atau pun ini satu bidaah, perkara yang di ada-adakan, mohon penjelasan ustaz, terima kasih.?

Jawapan : 

Amalan menjirus air ke kubur hukumnya SUNNAT di dalam mazhab Syafi`e.

Tetapi yang disunnatkan hanya dengan air semata-mata dan bukannya air mawar sebagaimana kelaziman sesetengah masyarakat kita.

Menjirus air dengan air mawar dihukumkan MAKRUH kerana ianya dikira satu pembaziran.

Imam asy-Syafi`i meriwayatkan daripada Ibraahiim bin Muhammad daripada Ja'far bin Muhammad daripada ayahandanya bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. telah menyiram (air) atas kubur anakanda baginda Ibrahim dan meletakkan atasnya batu-batu kerikil. Riwayat ini terkandung dalam "Musnad al-Imam al-Mu`adzhdzham wal Mujtahid al-Muqaddam Abi 'Abdillah Muhammad bin Idris asy-Syafi`i r.a.", juzuk 1, halaman 215. Wallahu 'alam.


625. Soalan : Ustaz saya nak tanya..perempuan yang datang haid selama 3 hari..hari yg ke 5 haidnya dtg sikit-sikit ( haid keluar sikit-sikit kadang langsang tak ada)hingglah hari ke 7.soalannya-adakah d bolehkan solat pada hari ke4 sesudah mandi dan bagaimana dengan hari ke5 hingga ke7.boleh solat tak kalau haid masih keluar walaupun sikit.adakah sah solat .trima kasih ustaz.

Jawapan : 

Untuk memastikan haid sudah bersih sepenuhnya perlu di pereksa dengan kapas putih , jika ada lagi sedikit tak boleh mandi hadas lagi dan tak boleh solat. Hadis ‘Aisyah :

Sekumpulan wanita menghantar ad-durjah kepada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha dan di dalamnya ada kapas yang terdapat kesan sufrah padanya. Maka ‘Aisyah berkata : Janganlah kamu tergesa-gesa (mandi) sehingga kamu melihat al-qassat al-baydha’ (iaitu dia memaksudkan sudi daripada haid).

Takhrij hadis :

Diriwayatkan oleh Malik dalam al-Muwaththa’ dan al-Bukhari dalam Sahihnya secara mu’allaq dengan sighah yang jazam.

Fiqh hadis :

1. Hadis menunjukkan tiada tempoh tertentu untuk had maksimum haid tetapi haid itu terhenti apabila berhentinya darah.
2. Cara menentukan haid kering : meletakkan kapas pada faraj untuk melihat samada masih ada kesan darah atau tidak.
3. Tanda suci dari haid : 1- al-qassat al-baydha’ dan al-jafaf (kering).
al-qassat al-baydha = cecair putih yang keluar setelah berhentinya darah haid.
4. Hadis ini menunjukkan para wanita di zaman awal sangat mengambil berat dengan solat.
Ibn Hajar berkata : maksud ‘sehingga kamu nampak al-qassat al-baydha’’ = (1) setelah kamu letakkan kapas di faraj, maka ia jelas putih bersih, (2) keluarnya cecair putih.